Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: 1,200 anggota JPJ digerak bantu polis mulai hari ini

PUTRAJAYA, 16 JAN: Seramai 1,200 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara digerakkan mulai hari ini sehingga 26 Jan bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

JPJ berkata kolaborasi mapan antara kedua-dua agensi penguat kuasa ini penting dalam merealisasikan aspek penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) dengan lebih serius.

“Gerak kerja seumpama ini akan memberi keutamaan khusus kepada beberapa kawasan dan lokaliti tertentu di seluruh negara yang menjadi tumpuan utama pengguna jalan raya.

“Ia akan dilaksanakan melalui tiga strategi utama iaitu rondaan jalan utama negeri dan lebuh raya; sekatan jalan raya yang mengkhususkan kenderaan awam; dan pemeriksaan serta pemantauan di terminal bas utama (TBS),” kata JPJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, langkah bersepadu ini wajar dilakukan bagi tujuan mengekang penularan wabak Covid-19 yang dilihat semakin meningkat akibat ketidakpatuhan SOP oleh masyarakat tempatan.

Justeru, JPJ berharap seluruh rakyat Malaysia akan turut memberi kerjasama sepenuhnya dalam tempoh penguatkuasaan PKP, PKPB dan PKPP agar penularan ini ditangani secara berkesan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar SOP: Polis bertindak tegas, tiada lagi budi bicara – menteri

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Polis mula bertindak lebih tegas dan tiada lagi kompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga hari lepas, kerajaan telah memberi kelonggaran dan ruang sewajarnya serta polis juga masih menggunakan budi bicara dalam mengambil tindakan.

“Hari ini (15 Januari) adalah hari terakhir pihak polis menggunakan budi bicara mereka kerana bermula esok (16 Januari) polis akan mula bertindak tegas dan tiada lagi kompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP ditetapkan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan di sini.

Ismail Sabri berkata sekiranya orang ramai masih mempunyai kekeliruan berkaitan SOP mereka boleh merujuk kepada laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau menghubungi hotline agensi atau kementerian berkaitan.

Selain itu, semalam pasukan khas operasi pematuhan polis telah melakukan sebanyak 45,172 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP di seluruh negara.

“Sebanyak 3,111 pasar raya, 3,913 restoran, 829 kilang, 1,548 pasar tani/awam dan 2,646 tempat ibadah serta 1,268 tempat riadah telah diperiksa.

“PDRM juga menahan 514 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu 495 orang telah dikompaun manakala 18 direman dan seorang telah dijamin,” katanya.

Mengenai Op Benteng, beliau berkata semalam pihak berkuasa menahan 42 pendatang tanpa izin dan merampas sebuah bot serta merampas tiga kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

“Sebanyak 444 sekatan jalan raya Op Benteng dilaksanakan di seluruh negara melibatkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM boleh tahan, ambil tindakan pesalah ingkar PKP – menteri

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempunyai bidang kuasa menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

“Kalau dahulu ATM hanya boleh ambil tindakan kalau ada kegiatan rentas sempadan di jalan tikus, sekarang mereka boleh menahan suspek untuk tindakan lanjut tanpa menunggu kehadiran polis,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Beliau berkata ia akan berkuat kuasa sepanjang tempoh Ordinan Darurat dilaksanakan sehingga Ogos depan.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mereka yang mahu merentas negeri terutamanya di kawasan PKP bermula Sabtu ini.

Beliau berkata kompaun akan dikenakan secara terus di lapangan kerana melanggar perintah ditetapkan.

“Bagi tempoh tiga hari sehingga esok, kita (kerajaan) masih dalam ‘mood’ memberi nasihat dan tiada tindakan dikenakan. Tetapi selepas esok, polis tidak akan berkompromi lagi,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Jan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata negeri lain di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) boleh dikenakan PKP sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati ada peningkatan mendadak kes Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata ketua jabatan perkhidmatan awam perlu mempertimbangkan sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (BDR) kepada ibu bapa yang bekerja dalam perkhidmatan perlu supaya dapat memantau anak-anak di peringkat sekolah rendah semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kesan saksi bicara kes dadah

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Polis sedang mengesan seorang wanita tempatan yang juga saksi bagi membantu perbicaraan kes pengedaran dadah di Mahkamah Seksyen Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata wanita berkenaan adalah K Karthirnee Nadarajah yang berusia 28 tahun dengan alamat terakhir di Lot 5430, Jalan Bernam, Parit 4, Sungai Burung, Sekinchan, Selangor.

Beliau berkata wanita berkenaan adalah saksi bagi perbicaraan kes di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai saksi itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Amyriul Naufa Mohd Yusoff di talian 0111-0176104 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat lelaki ditemukan di dalam but kereta

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Seorang lelaki warga emas dipercayai mati dibunuh telah ditemukan di dalam but sebuah kereta di Jalan Wawasan 5/2, Taman Wawasan, Puchong di sini malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.

Bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat digunakan untuk mengumpil but kereta tempat mayat dijumpai.

Mangsa berusia 70 tahun itu dilapor hilang sejak 31 Disember lepas dan susulan laporan kehilangan warga emas itu, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan di sebuah pasar raya di Kuala Klawang, Negeri Sembilan pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian berpunca daripada persengketaan berhubung isu jual beli tayar dianggarkan bernilai RM1,100.

Katanya, keluarga mangsa membuat dua laporan polis berhubung kehilangan warga emas itu pada Jumaat dan Sabtu di Balai Polis Ara Damansara.

“Keluarganya memaklumkan kepada polis bahawa kad kredit milik mangsa telah digunakan suspek dan berlaku transaksi kad kredit di sebuah pasar raya di Kuala Klawang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Nik Ezanee, lelaki yang ditahan adalah seorang ahli perniagaan dan pemilik sebuah bengkel kereta.

“Mayat mangsa dijumpai di dalam but sebuah kereta Volvo berwarna hijau yang juga milik seorang pelanggan suspek,” katanya.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis umum pertukaran tiga pegawai kanan

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Pegawai Turus Risikan, Cawangan Risikan/Operasi, Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Superintenden Amir Hussin merupakan antara tiga pegawai kanan polis yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 2 Februari depan.

Ketua Komunikasi Korporat Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan Amir akan dilantik sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM di Perlis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Kelantan Deputi Superintenden Sik Choon Foo akan bertukar jawatan sebagai Ketua Polis daerah tersebut dengan memangku pangkat Superintenden.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Perak Deputi Superintenden Mohd Sohaimi Ishak pula akan bertukar jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor dengan turut memangku pangkat Superintenden.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan bapa tikam bayi perempuan 20 bulan

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Seorang bapa ditahan kerana disyaki menikam bayi perempuannya yang berusia setahun lapan bulan di sebuah flat di Puchong Permai dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata penahanan itu dibuat selepas unit rondaan bermotosikal (URB) dari Balai Polis Bukit Puchong menerima aduan daripada orang awam pada kira-kira 4.30 petang.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, polis menahan lelaki berumur 27 tahun yang merupakan bapa bayi malang itu dan merampas sebilah pisau pemotong roti yang dipercayai digunakan untuk menikam perut mangsa.

“Bayi tersebut kemudian telah dikejarkan ke Hospital Serdang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Polis telah mengambil rakaman percakapan saksi-saksi untuk tujuan siasatan lanjut,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Abd Khalid berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana mengamuk dan ujian air kencing telah dibuat bagi mengenal pasti sama ada lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik rumah serang dua anggota polis ditahan

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Polis telah menahan seorang pemilik rumah di Damansara Damai di sini kerana disyaki menyerang dua anggota polis pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam insiden pada kira-kira 2 pagi itu, pihaknya mendapat aduan bahawa ada orang mengamuk di kawasan tersebut.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, dua anggota polis memanggil penghuni rumah terbabit yang merupakan seorang lelaki tempatan (suspek) tetapi lelaki itu tiba-tiba bertindak membaling pinggan kaca ke arah mereka.

“Seorang daripada anggota terbabit mengalami luka di bahagian siku dan pada masa yang sama, suspek berusia 48 tahun itu cuba menyerang kedua-dua anggota polis dengan sebilah pisau pemotong dan penukul,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata kedua-dua anggota polis mengalami kecederaan ringan selepas bergelut untuk menahan suspek yang bertindak agresif dan mereka kemudian mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Katanya siasatan lanjut mendapati suspek memiliki lebih lima rekod jenayah lampau dan kes dadah.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari serta disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dalam kes berasingan, polis trafik menahan seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mencurigakan di sepanjang Lebuhraya Persekutuan menuju ke Lebuhraya Sprint pada 3.20 pagi.

“Kenderaan yang dipandunya diarahkan berhenti kerana lelaki itu disyaki berada di bawah pengaruh alkohol dan sebaik sahaja menghentikan kenderaannya, pemandu tersebut telah bertindak keluar daripada kereta untuk berdepan dengan polis.

“Polis telah mengarahkan suspek untuk kembali ke dalam kereta dan duduk di kerusi penumpang namun dia enggan bekerjasama sebaliknya bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang bertugas,” katanya.

Nik Ezanee berkata suspek ditahan reman selama empat hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis terima tiga laporan individu dakwa diugut pegawai SPRM

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Polis menerima tiga laporan berhubung seorang ahli perniagaan yang mendakwa menerima ugutan daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan kes Macau Scam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata kes itu sedang dalam siasatan, dan ada beberapa perkara yang perlu dipastikan kerana berdasarkan siasatan awal, banyak persoalan perlu dirungkai terlebih dahulu berhubung ketiga-tiga laporan polis itu.

“Isnin atau Selasa minggu depan, kita (akan) tahu hala tujunya (perkembangan kes ini),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata pada mulanya polis melihat ada unsur-unsur berkaitan pemerasan dan fitnah berkaitan kes itu, dan beliau telah mengarahkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk mengkaji isu itu dengan lebih mendalam.

“Kita tidak mahu membuang masa kerana laporan dibuat yang mendakwa berlakunya beberapa perbuatan salah laku ini (didapati) lebih kepada perbalahan antara dua orang yang pernah menjalankan perniagaan,” katanya.

Pada Rabu, SPRM membuat laporan polis berhubung tohmahan seorang ahli perniagaan terhadap pegawai agensi itu, kononnya beliau diugut pegawai SPRM berkaitan siasatan kes Macau Scam, baru-baru ini.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Abdul Hamid berkata polis telah menahan seorang lelaki yang mengugut akan membunuh Ketua Polis Negara baru-baru ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata individu itu telah pun dibebaskan, selepas perbuatan itu didapati lebih kepada tindakan untuk melepaskan geram.

Pada 1 Disember lepas, polis dilaporkan memburu seorang lelaki yang membuat ugutan akan menembak mati Abdul Hamid, dengan mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tidak kompromi anggota langgar peraturan, terlibat rasuah

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan rasuah atau pelanggaran undang-undang melibatkan warga pasukan keselamatan itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata ketika ini, PDRM berdepan dengan persepsi negatif di mata masyarakat akibat tangkapan demi tangkapan yang dilakukan terhadap anggota polis atas kesalahan jenayah rasuah.

“Disebabkan segelintir pasukan yang tidak bermaruah dan mementingkan diri maka keseluruhan warga PDRM dicaci serta dituduh oleh masyarakat, ia ibaratkan ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

“Tindakan penamatan perkhidmatan akan diambil ke atas mereka terlibat dalam rasuah serta salah laku serius yang berulang,” katanya ketika merasmikan majlis Pelancaran Buku Pelan AntiRasuah PDRM di Bukit Aman, disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM hari ini.

Abdul Hamid berkata pembangunan Pelan Antirasuah PDRM yang menetapkan enam bidang keutamaan, adalah bukti komitmen pasukan keselamatan itu dalam menghapuskan gejala rasuah dan mengamalkan ketelusan.

“Perkara yang diberikan tumpuan adalah tadbir urus organisasi dan sumber manusia; risikan dan keselamatan; risikan dan penguatkuasaan undang-undang; siasatan dan pendakwaan; ketenteraman awam, serta pengurusan kewangan dan perolehan PDRM,” katanya.

Abdul Hamid yakin pelan anti rasuah itu dapat membentuk satu hala tuju ke arah menetapkan PDRM atas landasan yang betul dan menjadi panduan untuk seluruh warga polis untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.

Katanya beliau berharap usaha itu dapat memulihkan imej polis dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti pihak polis sebagai agensi penguatkuasa utama negara.

Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dilapor berkata Pelan Tindakan AntiRasuah PDRM adalah sebagai usaha menangani gejala rasuah dalam kalangan warga pasukan keselamatan itu dengan lebih tegas.

Pelan berkenaan akan menjadi rangka tindakan kepada pasukan itu dalam memerangi gejala rasuah bagi tempoh empat tahun sehingga 2024.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

NTF pertimbang tambah anggota di sempadan

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melaksanakan Op Benteng mempertimbangkan untuk menambah bilangan anggota di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan lain, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga sempadan negara di bahagian utara dibahagikan tugasan mengikut kawasan-kawasan tertentu.

“Berikutan insiden berbalas tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sehingga menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam, Op Benteng akan melibatkan kerjasama bersepadu secara menyeluruh dan tidak lagi membahagikan kawasan.

“Selain itu, dalam meningkatkan lagi kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kita juga perlu menambah bilangan keanggotaan sama ada daripada pihak ATM atau PDRM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan, di sini.

Ismail Sabri berkata kementeriannya akan berbincang bersama NTF supaya apa yang dilaksanakan di kawasan Op Benteng Sabah termasuk di Semenanjung, pantai barat sebagainya dapat digemblengkan di Op Benteng di kawasan utara.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara ini akan dibincangkan di bawah NTF terdahulu kerana melibatkan pelbagai unit beruniform yang memerlukan penyelarasan selepas ini.

Semalam, Bernama melaporkan dalam insiden awal pagi itu, dua anggota Pasukan Gerakan Am mendiang Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Norihan a/l Tari, 39, cedera parah semasa berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata insiden berbalas tembakan itu merupakan kali pertama berlaku di sempadan berkenaan.

Sebelum ini, hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu. Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 Nov lepas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, diminta mengulas mengenai kos kuarantin sekiranya anggota Batalion Malaysia (MALBATT) pulang bercuti ke tanah air, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membiayai kos kuarantin mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes jenayah turun 23 peratus dalam tempoh pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Dakwaan kes jenayah di Malaysia meningkat kerana ramai yang kehilangan pekerjaan akibat kesan daripada pandemik Covid-19 tidak berasas kerana statistik menunjukkan penurunan kes sebanyak 23 peratus bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 November tahun ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan hari ini melaporkan penurunan kes jenayah sebanyak 16,719 kes, berbanding 72,836 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata ini sekali gus menafikan dakwaan kes jenayah di Malaysia menunjukkan peningkatan disebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata PDRM mengambil maklum tentang wujudnya kerisauan dalam kalangan masyarakat mengenai kemungkinan berlakunya peningkatan kes jenayah kerana kesan daripada pandemik ini dengan ramai kehilangan pekerjaan.

Datuk Huzir Mohamed ketika sidang media harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada 30 Oktober 2019. Foto BERNAMA

Masyarakat menjadi gusar apabila wujud berita mengenai trend jenayah ragut di negara ini yang turut tular di media sosial.

“Bagi jenayah ragut, sebanyak 1,160 kes dilaporkan dalam tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun 2019 iaitu 2,216 kes dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,056 kes atau 47.7 (nte: 47.65) peratus.

“Seramai 893 suspek telah berjaya ditangkap kerana terlibat dalam jenayah ragut sepanjang tempoh 1 Jan sehingga 15 November tahun lepas berbanding 527 suspek dalam tempoh sama tahun ini,” jelasnya.

Huzir berkata walaupun statistik menunjukkan penurunan kes, PDRM akan sentiasa memastikan trend jenayah terus menurun dengan mengambil tindakan yang lebih komprehensif demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat, berkongsi atau menularkan sebarang berita atau gambaran salah dan tidak tepat berkenaan trend jenayah atau kes-kes jenayah yang tidak disokong dengan fakta yang sahih daripada pihak berkuasa.

Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh membangkitkan kegusaran masyarakat malah mampu menimbulkan persepsi yang salah terhadap badan penguat kuasa khususnya PDRM, katanya.

-BERNAMA