Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam ingkar PKP dikenakan tindakan – KSN

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Bersedialah untuk menerima tindakan dan dikenakan hukuman.

Itulah peringatan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali kepada 1.6 juta penjawat awam sekiranya mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata tindakan undang-undang diputuskan kerajaan tidak akan terkecuali kepada mereka yang melanggar arahan pematuhan ditetapkan itu termasuklah terhadap penjawat awam sendiri.

“Sama sahaja. Sekiranya mereka melanggar prosedur (PKP) mereka akan tetap dikenakan hukuman. Jadi peringatan kepada penjawat awam, sekiranya mereka ini tidak bersedia untuk dikenakan tindakan, hendaklah mematuhi SOP yang telah diputuskan dalam PKP,” katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini, Mohd Zuki menegaskan setiap keputusan diambil dan dilaksanakan kerajaan itu adalah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 yang kini semakin meningkat setiap hari.

Sebelum ini dilapor Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata penjawat awam dan pesara kerajaan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mengingkari PKP bakal berdepan kemungkinan kehilangan segala keistimewaan dinikmati selama ini.

Menurut beliau, tidak ada mana-mana individu boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, walaupun sedang berkhidmat atau bersara daripada perkhidmatan.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sehingga 26 Januari ini.

Bagaimanapun di Sarawak, pelaksanaan PKP bermula 16 Januari hingga 29 Januari melibatkan tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu daerah Sibu, Selangau dan Kanowit.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rasuah dalam kalangan penjawat awam cemar nama baik, ancam keselamatan

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Bak peribahasa ‘seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit’, itulah ibarat bagaimana budaya rasuah dan salah laku segelintir penjawat awam, mencemarkan dan merosakkan imej institusi kerajaan.

Bahkan, apabila tajuk berita mengenai penangkapan penjawat awam sering terpampang di dada-dada akhbar, ia menguatkan lagi stereotaip bahawa penjawat awam banyak ‘makan suap’, menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi Institut Integriti Malaysia (IIM) Hamilye Sham Harun.

Beliau berkata meskipun hakikatnya angka penjawat awam yang terlibat dalam ketirisan itu dilihat kecil berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam di dalam negara, namun impak yang diberikan cukup besar dan perlu dicegah sebelum parah.

“Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini merekodkan 46.3 peratus dari 4,860 individu yang ditahan dari 2014 hingga Jun 2019 kerana kesalahan rasuah adalah penjawat awam, angka ini kalau nak dibandingkan dengan jumlah penjawat awam, ia memang nampak kecil.

“Tetapi hakikatnya, dalam 1.6 juta penjawat awam ini, walau satu orang sahaja melakukan rasuah, kita tetap perlu bimbang juga, malah membimbangkan lagi kekerapan rasuah sentiasa terjadi, buktinya ada sahaja berita penjawat awam dari pelbagai agensi ditahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hamilye berkata, impak terhadap kegiatan rasuah penjawat awam memberi pelbagai kesan buruk yang tidak boleh dinilai dari bentuk wang ringgit, termasuklah boleh menjejaskan imej kerajaan selain reputasi keselamatan negara.

“Contohnya melepaskan pendatang asing tanpa dokumen masuk ke dalam negara oleh agensi yang berkaitan, kita boleh tengok kesannya termasuklah jenayah sosial dan ini boleh menjejaskan reputasi keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata terdapat tiga sektor ‘rapuh’ yang perlu diberi tumpuan, iaitu yang terlibat dengan perolehan, penguatkuasaan dan perlesenan, bagi memastikan jenayah rasuah tidak menjadi barah.

“Ketua jabatan setiap agensi contohnya Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pegawai Eksekutif dan sebagainya perlu memastikan pembangunan Pelan Anti Rasuah (PAR), selain mengambil tindakan segera terhadap jenayah-jenayah yang berlaku.

“Manakala stigma dalam kalangan penjawat awam yang tidak mahu melaporkan sebarang kegiatan rasuah, sepatutnya tidak wujud lagi kerana identiti mereka akan dirahsiakan, keselamatan dijaga, malah insentif juga diberikan,” katanya sambil menambah, terdapat banyak lagi kementerian, jabatan dan agensi korporat yang masih lagi belum membangunkan PAR masing masing.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat menggesa, penjawat awam agar tidak takut membuat laporan berkenaan rasuah, meskipun perasuah atau penerima rasuah itu adalah ketua jabatan masing-masing.

Seperti mana seruan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang baru-baru ini meminta penjawat awam agar mengamalkan sikap ‘jaga tepi kain orang’, katanya rasuah dalam kalangan warganya akan dapat ditangani jika seseorang itu tidak takut untuk membuat laporan.

“Sebelum ini penjawat awam ada masalah untuk membuat laporan kerana kadang kala orang yang kita laporkan itu adalah ketua kita, yang akhirnya kita pula dianggap bersalah kerana menjejaskan imej, mencalarkan imej jabatan kerana membuat laporan.

“Yang melapor ini kemudiannya ditukar, diberi kerja yang bukan kerja asal, ditukar skop kerja atau ‘disejukbekukan’ kerana membuat laporan, jadi jaminan dan saranan KPPA itu amat kita sambut baik kerana kita mahu banteras terus gejala rasuah dari bermaharajalela, dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan SPRM dengan masalah rasuah dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata gejala itu belum sampai ke tahap ‘bimbang sepenuhnya’ memandangkan hanya 0.15 peratus penjawat awam yang terlibat dengan salah laku tersebut

“Itu pun keterlibatan mereka masih di dalam peringkat siasatan, belum ada di peringkat menjatuh hukuman, walaupun begitu, kewujudan rasuah itu tidak sepatutnya berlaku sebab penjawat awam dilantik bukan untuk terima rasuah, tetapi untuk menjalankan perkhidmatan untuk negara dan rakyat,” katanya.

Adnan berkata ada juga penjawat awam yang terlibat dalam penguatkuasakan peraturan dan undang-undang, dijadikan sasaran dan diburu untuk diberikan rasuah oleh individu yang mahukan jalan pintas, dan pemburu ini juga wajar diheret dan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM Nor’afiza Saim berkata, tahap rasuah dan salah guna kuasa yang membimbangkan itu bukan sahaja dalam kalangan kakitangan awam, malah juga dalam kalangan sektor swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) dan anak-anak syarikat kerajaan.

“Perkara ini sudah berada di satu tahap yang kritikal dan perlu tindakan drastik dari semua Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi dan Ketua Jabatan organisasi, memandangkan mereka adalah bertanggungjawab untuk memastikan organisasi ditadbir urus dengan baik dan mewujudkan budaya integriti yang tinggi.

“Tanggungjawab untuk mengubah budaya terletak di bahu ketua setiap organisasi, seperti mana ditekankan di dalam kod, standard, pelan dan inisiatif yang telah dikeluarkan kerajaan dan juga badan antarabangsa, termasuklah Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP), Kod dan Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) dan Sistem Pengurusan Anti-rasuah menurut standard antarabangsa ISO 37001,” katanya.

Nor’afiza berkata, sekiranya organisasi melaksanakan inisiatif, standard atau kod, yang telah sedia ada tersebut dengan penuh komitmen, institut itu percaya ia juga akan membantu pihak SPRM untuk menerima lebih banyak aduan.

“Persoalannya, adakah organisasi tersebut bersedia dan komited untuk berubah atau tidak, perubahan ini bukanlah sesuatu yang rumit untuk dilaksanakan dan tidak memerlukan kos yang tinggi, malahan akan membendung ketirisan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam perlu jadi pemberi maklumat, jamin ketelusan – SPRM

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Penjawat awam perlu menjadi pemberi maklumat atau whistleblower kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mendedahkan isu-isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa di jabatan atau agensi masing-masing, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata isu integriti dan salah guna kuasa tidak boleh dipandang remeh sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana usaha untuk membaiki budaya negatif dalam sektor awam mesti dilakukan secara dalaman.

“SPRM menyeru kepada penjawat awam agar ‘membuka mata dan telinga’ dengan menyalurkan maklumat kepada SPRM kerana mereka lebih mengetahui apa yang berlaku di jabatan atau agensi masing-masing.

“Sekiranya mereka kurang yakin untuk menjadi pengadu, mereka boleh memilih untuk menjadi pemberi maklumat dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sekiranya dikenakan tindakan tidak wajar oleh ketua jabatan atau pegawai kanan susulan pendedahan yang dibuat kepada SPRM,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman bertajuk ‘Mendepani Cabaran, Melangkaui Ekspektasi’ di Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam, semalam.

Antara amanat Mohd Khairul Adib ialah penjawat awam perlu mengambil tahu tentang perlakuan rasuah di tempat kerja dan mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah.

Azam berkata amanat Mohd Khairul Adib tepat pada masanya kerana isu penjawat awam terlibat rasuah perlu dilihat dalam skop lebih besar.

“SPRM sedia maklum ramai kakitangan kerajaan terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan rekod dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Perkara itu amat membimbangkan dan sudah tiba masanya semua pihak khususnya penjawat awam bekerjasama dengan SPRM,” katanya.

Beliau berkata penjawat awam perlu tampil untuk melaporkan kegiatan rasuah di jabatan masing-masing agar isu ketirisan dan salah guna kuasa dapat ditangani demi kepentingan semua.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perlu peduli, ambil tahu untuk cegah rasuah

PUTRAJAYA, 13 JAN: Penjawat awam kini tidak lagi boleh bersikap “jangan jaga tepi kain orang” tetapi perlu ambil tahu dan peduli dengan perlakuan rakan di tempat kerja bagi mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata setiap perlakuan rasuah yang dilakukan oleh segelintir kecil penjawat awam akan terpalit kepada kumpulan majoriti yang berintegriti dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan amanah.

“Jika dulu kita melihat ia hanya terpencil kerana ia membabitkan sebilangan kecil penjawat awam, tetapi kini kita tidak boleh duduk diam kerana apa jua tindakan kita akan akhirnya ia sampai di hadapan kita.

“Inilah kumpulan minoriti yang seharus diketepikan. Kita adalah kumpulan majoriti dan ramai lagi penjawat awam yang berpegang teguh kepada prinsip penjawat awam,” katanya ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian hari ini.

Menurut Mohd Khairul Adib, sepanjang tahun lepas, ada penjawat awam ditangkap dan dituduh kerana rasuah dan salah guna kuasa antaranya berkaitan isu kad pengenalan, kelonggaran kemasukan warga asing ke negara ini serta gangguan bekalan air.

“Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘jangan jaga tepi kain orang’, malahan kita patut sama-sama menjaga dan memerhati perlakuan rakan-rakan di sekeliling kita. Jika kita tidak melakukan sesuatu, ia akan terus menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi, dan akhirnya negara kita yang akan rosak binasa,” katanya.

Mohd Khairul Adib dalam amanatnya turut mengingatkan penjawat awam agar sentiasa meningkatkan integriti diri dan menjauhkan diri daripada gejala rasuah serta ketirisan amanah dan integriti; ambil tahu dan ambil peduli; serta memperkemaskan sistem dan prosedur kerja.

“Sekiranya kita sedar dan tahu tentang sebarang isu rasuah, atau sebarang bibit-bibit ke arah kerja yang tidak amanah, kita ada pilihan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian.

“Kita boleh memberi nasihat sekiranya ia melibatkan orang yang kita kenal atau rakan sekerja kita. Jika kes yang kita lihat adalah serius atau melibatkan mereka yang kita tidak kenali, kita boleh membuat laporan sama ada kepada ketua jabatan atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Mohd Khairul Adib juga berkata penjawat awam tidak seharusnya menunggu habuan dan hadiah bagi mendedahkan perbuatan salah laku rakan sekerja atau kakitangan lain yang diketahuinya atau takut untuk membuat laporan.

Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata setiap organisasi perlu memperkemaskan sistem dan prosedur kerja kerana proses yang panjang, tiada ketelusan dalam membuat keputusan, polisi yang tidak sesuai dan lapuk, merupakan antara masalah birokrasi dihadapi di tempat kerja.

“Kenapa saya sering menekankan isu kepantasan dan profesionalisme dalam membuat keputusan adalah kerana ia berkait rapat dengan isu integriti.

“Isu birokrasi adalah antara faktor yang akan menyebabkan berlakunya salah laku, seperti mahu kelulusan yang cepat bagi permit pendatang asing. Ada pegawai yang menerima rasuah atas balasan mempercepatkan proses sesuatu permohonan.

“Justeru, kita harus sama-sama memikirkan bagaimana untuk memudahkan proses dan prosedur kerja kita tanpa kompromi daripada segi keselamatan dan undang-undang. Kita tutup ruang daripada berlakunya salah guna kuasa pegawai-pegawai pelulus ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pandemik Covid-19 beri ruang kukuhkan pendigitalan perkhidmatan awam

PUTRAJAYA, 13 JAN: Penularan wabak Covid-19 di negara ini merupakan satu titik tolak kepada pengukuhan era digitalisasi dalam perkhidmatan awam di negara ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian hari ini, beliau melihat keperluan untuk menyatukan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu platform dengan aplikasi pintar untuk memudahkan urusan.

“Kalau dahulu, kita mempunyai pelbagai platform untuk menguruskan urusan pencen, cuti, permohonan belajar, bayaran pinjaman dan lain-lain lagi. Saya menjangkakan kita mampu menyatukan kesemua perkhidmatan bawah satu platform dengan aplikasi pintar yang boleh diintegrasikan dengan aplikasi kerajaan yang lain.

“Justeru, melalui penyatuan ini, pelanggan akan berfokus kepada satu platfom perkhidmatan yang memudahkan segala urusan dengan pihak kerajaan iaitu melalui perkhidmatan berpusat secara dalam talian,” katanya.

Mohd Khairul Adib berkata sesebuah organisasi boleh berjaya jika ia dapat melihat dan membuat jangkaan perubahan yang akan berlaku pada masa hadapan manakala organisasi yang tidak membuat perubahan dengan cepat akan ketinggalan dan gagal.

Beliau memberikan contoh mengenai syarikat Kodak, sebuat syarikat besar dalam dunia fotografi, yang hampir terpaksa gulung tikar kerana kegagalan melihat perubahan dunia fotografi ke arah digital.

“Dalam konteks ini, perkhidmatan awam juga sama. Kita perlu melihat dan memahami perubahan yang berlaku, yang melibatkan pelanggan utama kita (penduduk Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demografi penduduk Malaysia sedang berubah dan Jabatan Perangkaan Malaysia menjangkakan peratusan penduduk Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas akan meningkat daripada lima peratus pada 2010 kepada 15 peratus pada 2030.

“Malaysia akan menjadi sebuah ‘negara tua’ menjelang 2030. Perubahan demografi serta perubahan lain seperti teknologi, akan menghasilkan suatu era baharu kepada perkhidmatan awam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Darurat: Penjawat awam perlu fokus, jadi pemudah cara rakyat – Cuepacs

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Penjawat awam diminta kekal fokus kepada tugas dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sepanjang tempoh darurat ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata penjawat awam juga perlu melaksanakan pelbagai program pemulihan semula ekonomi negara.

“Sektor perkhidmatan kerajaan akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh darurat ini berlangsung. Ordinan darurat ini hanya dilaksanakan untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.

“Perkhidmatan awam juga akan terus beroperasi bagi memberi khidmat kepada orang awam dan sokongan kepada sektor ekonomi. Berilah perkhidmatan terbaik dengan menjadi pemudah cara kepada rakyat yang sememangnya terkesan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan kunjungan panik ke premis kerajaan kerana operasi setiap jabatan kerajaan masih tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya Cuepacs juga berharap semua pemimpin dan ahli politik di negara ini dapat memberikan kerjasama dan menghormati keputusan dibuat kerajaan dan memberikan khidmat kepada rakyat yang menghadapi kesukaran dalam tempoh darurat Covid-19 ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jentera pentadbiran tidak terkesan pengumuman darurat – KSN

PUTRAJAYA, 12 JAN: Jentera pentadbiran negara tidak terkesan dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat kerana segala operasi dalam sektor awam dan swasta, yang merangkumi aktiviti ekonomi, industri serta rantaiannya, berjalan seperti biasa dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang masih berkuat kuasa.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata situasi itu berbeza dengan Proklamasi Darurat pada 1969, yang disebabkan oleh ancaman keselamatan dan menyebabkan pengawalan ketat anggota keselamatan negara bagi menangani keadaan tegang pada ketika itu.

Mohd Zuki berkata Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada waktu ini adalah untuk mengekang ancaman penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan sekali gus berisiko tinggi menggugat tiga asas utama dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Pendekatan ini akan menjamin kestabilan negara dan membolehkan kerajaan kekal fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta memastikan kehidupan rakyat yang makmur dan sejahtera,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Mohd Zuki memberi jaminan bahawa anggota perkhidmatan awam akan terus memberikan komitmen dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan undang-undang dan dasar kerajaan yang diputuskan dari semasa ke semasa.

“Saya dan perkhidmatan awam akan terus menjunjung taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan menyokong Pengisytiharan Proklamasi Darurat dengan menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan. Jawatankuasa itu akan mengesyorkan kepada Seri Paduka sekiranya pelaksanaan darurat itu dapat ditamatkan lebih awal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam boleh kerja dari rumah jika dapat arahan

PUTRAJAYA, 4 JAN: Pegawai perkhidmatan awam persekutuan boleh bekerja dari rumah (BDR) jika mendapat arahan daripada kerajaan atau diarahkan ketua jabatan masing-masing melalui pelaksanaan dasar BDR yang berkuat kuasa 1 Jan 2021, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Lima Tahun 2020 bertarikh 21 Dis lepas, beliau berkata pegawai boleh juga bekerja dari rumah jika mendapat kebenaran ketua jabatan masing-masing dan dalam keadaan tertentu, Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam boleh mengarahkan mana-mana pegawai untuk BDR demi kepentingan perkhidmatan.

Pekeliling itu turut menyertakan garis panduan mengenai tujuan dan arahan BDR yang boleh dipertimbangkan iaitu untuk mengurangi atau mengelakkan kerugian, kerosakan atau kemusnahan atas sebab seperti pencemaran alam sekitar, penularan penyakit berjangkit atau bencana alam yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam sama ada di pejabat, premis atau kawasan tempat kediaman.

Situasi yang boleh dipertimbangkan antaranya pegawai tidak dapat hadir ke pejabat kerana kediaman termasuk dalam kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan atau lain-lain tindakan yang menyebabkan pergerakannya terhalang.

Pejabat pegawai perlu dikosongkan kerana mengalami serangan kulat atau serangga atau kerosakan struktur atau pejabat pegawai diwartakan oleh kerajaan sebagai pusat kuarantin atau lain-lain kegunaan bagi menangani isu tertentu.

BDR juga boleh dipertimbangkan untuk mengelakkan berlaku kemudaratan, kesukaran atau keadaan serba salah, seperti kehadiran pegawai di pejabat boleh menyebabkan wujudnya percanggahan kepentingan peribadi yang memungkinkan kebocoran maklumat atau membawa penglibatan pengaruh luar.

Ia juga dipertimbangkan bagi mewujudkan keseimbangan dan kesejahteraan antara keperluan agensi dan keperluan pegawai menguruskan hal persendirian dalam situasi pegawai tidak dibenarkan menggunakan kemudahan cuti, contohnya keperluan menjaga anak-anak berusia 12 tahun dan ke bawah akibat penutupan taska atau pusat asuhan kanak-kanak atau sekolah rendah disebabkan, antara lain atas arahan kerajaan

Menurut Mohd Khairul Adib, dasar BDR memperuntukkan pegawai melaksanakan tugas hakiki atau tugas rasmi lain dari rumah pada hari bekerja.

“Ia boleh dilaksanakan sama ada secara penuh atau separuh hari bagi sesuatu tempoh mengikut kesesuaian, tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan awam dan diambil kira sebagai hadir bertugas,” katanya.

Pegawai yang diarah atau dibenarkan BDR perlu mematuhi peraturan ditetapkan antaranya sentiasa berada di rumah sebagai tempat bekerja dalam tempoh yang ditetapkan dan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh, hari dan waktu bekerja, katanya

Mohd Khairul Adib berkata pegawai berkenaan juga perlu sentiasa bersedia untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain yang diarahkan ketua jabatan dalam tempoh yang munasabah.

“Pelaksanaan BDR hendaklah dipastikan tidak akan menjejas atau menyebabkan penyusutan kualiti penyampaian perkhidmatan dan prestasi kerja pegawai. Ketua jabatan hendaklah menetapkan dan memantau pencapaian tugasan pegawai yang BDR,” katanya.

Bagi memastikan BDR dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti, Mohd Khairul Adib berkata pegawai yang diarah atau dibenarkan untuk BDR hendaklah mengemukakan maklumat mengenai alamat rumah sebagai tempat bekerja semasa BDR dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan dalam pekeliling itu.

Menurutnya, dasar BDR diwujudkan sebagai sebagai alternatif cara bekerja baharu dalam perkhidmatan awam dalam usaha berterusan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam dan keperluan mengimbangi keperluan tugas dan kesejahteraan pegawai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Penjawat awam diseru jadikan 2021 tahun lonjakan kecemerlangan

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengajak semua penjawat awam menjadikan tahun 2021 ini sebagai Tahun Lonjakan Kecemerlangan Sektor Awam.

Menurutnya, lonjakan kecemerlangan itu perlu digerakkan menerusi pemantapan modal insan dengan kompetensi masa depan, pengukuhan organisasi lebih fleksibel, pengurusan dan pembangunan projek yang pantas serta berimpak tinggi.

Selain itu, katanya penyampaian perkhidmatan juga perlu berteraskan teknologi digital dan revolusi industri 4.0 dan ia selaras dengan harapan serta cabaran yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Lonjakan kecemerlangan ini pula perlul dilaksanakan berasaskan nilai-nilai ‘Kepercayaan Untuk Berkhidmat’ dan dipacu oleh prinsip F.A.S.T.E.R atau flat, agile, streamlined, tech-enabled, efficient and resilient yang sering saya nyatakan sebelum ini.

“Meskipun kita masih berusaha mengimbangkan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dengan kesihatan serta ancaman wabak, namun saya percaya senja pandemik yang kelam pada tahun 2020 akhirnya akan sirna, dan fajar masa depan baharu yang lebih cerah akan terus bersinar pada tahun 2021 ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook.

Mohd Zuki berkata 2020 melabuhkan tirainya dengan seribu satu episod cabaran penuh mehnah (sengsara) dan rintangan serta ujian, namun berjaya diharungi bersama.

Ia bermula dengan usaha mengekang pandemik Covid-19 yang menyaksikan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan serta memastikan setiap rakyat Malaysia terus kekal berdaya tahan menerusi strategi ekonomi dan sosial yang efisien dan pantas.

“Kita kemudiannya terus mengorak langkah proaktif memulihkan ekonomi yang terjejas menerusi empat inisiatif utama iaitu PRIHATIN, PRIHATIN Tambahan, PENJANA, KITA PRIHATIN dan pelaksanaan Belanjawan 2021 yang telah diluluskan oleh sidang Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam merangkumi petugas barisan hadapan serta di sebalik tabir seperti yang menguruskan logistik dan sumber manusia kerana bertungkus lumus mendepani cabaran pandemik Covid-19.

“Anda adalah sebenar-benarnya Wira dan Wirawati Negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Rasuah ‘pembunuh senyap’ kredibiliti penjawat awam

Oleh Noraizura Ahmad

PUTRAJAYA, 9 DIS: Budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam di negara ini, ibarat barah yang dibimbangi akan merosakkan institusi kerajaan secara perlahan.

Hal ini terbukti berdasarkan statistik tangkapan Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada 2015 sehingga Oktober tahun ini, apabila seramai 2,607 penjawat awam ditahan kerana terbabit dalam gejala tidak sihat itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, tangkapan melibatkan kumpulan pelaksana merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,884 individu, diikuti kumpulan pengurusan dan profesional seramai 658.

“Kumpulan pengurusan tertinggi pula mencatatkan 65 individu. Kita tidak mahu kerana segelintir individu ini, akan merencatkan kelancaran pembangunan negara dan kredibiliti penjawat awam.

“Disebabkan itu usaha menangani dan memastikan negara terutamanya penjawat awam bebas rasuah adalah tanggungjawab bersama, dan bukan hanya terletak di bahu SPRM sahaja,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di pejabat SPRM di sini baru-baru ini.

Shamshun Baharin berkata sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) hari ini, SPRM memberi fokus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan bertemakan ‘PBT Perangi Pemberi Rasuah’.

Jelasnya PBT adalah salah satu fokus dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan pihaknya sedia bekerjasama membantu PBT, dalam menangani masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa selain penyelewengan.

“PBT ini banyak isu dan bukan sahaja rasuah, tetapi juga isu perkhidmatan yang selalu dipertikaikan orang ramai,” katanya.

Katanya ini adalah usaha mentransformasikan PBT menjadi organisasi berintegriti tinggi dan bebas rasuah.

Beliau turut menyarankan PBT untuk membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) tersendiri, dalam usaha memerangi gejala rasuah secara komprehensif, sekali gus memperlihatkan komitmen seluruh warga kerja dalam memerangi rasuah, selain bertindak sebagai peringatan dan amaran mengenai PBT tidak menerima rasuah.

Katanya Majlis Perbandaran Taiping antara yang pertama dalam kalangan 149 PBT di Malaysia, membangunkan pelan tersebut dan mencerminkan komitmen serta sokongan warga MPT dalam memerangi rasuah, malah secara tidak langsung menjadi pembakar semangat SPRM untuk terus memerangi rasuah serta salah guna kuasa secara habis-habisan.

“Kita sedia membantu PBT lain dalam menyediakan OACP, dengan memberi nasihat dan kerjasama dengan pegawai terbabit,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: 30 peratus penjawat awam di pejabat, khidmat penting dikecuali

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Semua ketua jabatan perkhidmatan awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah perlu memastikan kehadiran pegawai ke pejabat hanya pada kadar maksimum 30 peratus bagi memastikan perkhidmatan asas berterusan, mulai esok sehingga tamat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata arahan kehadiran bertugas itu adalah terkecuali kepada penyampaian perkhidmatan penting (essential services).

Langkah itu diambil bagi mengukuhkan usaha mencegah penularan wabak Covid-19 di kawasan terbabit.

“Bagi maksud ini, semua ketua jabatan adalah diarah supaya memastikan pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan berada di pejabat sepenuh masa dijadualkan bekerja dari rumah (BDR), sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa agar kehadiran mereka di pejabat dioptimumkan pada kadar minimum semasa tempoh PKPB dikuatkuasakan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ketetapan dalam Surat Edaran JPA.SARAAN(S)256/6/31 JLD.6 (2) bertarikh 17 Mac 2020, dan ketetapan dalam Surat Edaran JPA.SARAAN(S)256/6/31 JLD.6 (6) bertarikh 2 Mei 2020 masih terpakai.

Mohd Khairul Adib berkata semua aktiviti secara bersemuka seperti mesyuarat, perbincangan atau latihan tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya manakala dokumen rahsia rasmi adalah tidak dibenarkan untuk dibawa keluar.

“Bagaimanapun, ketua jabatan boleh mempertimbangkan atas kepentingan tugasan dan prinsip BDR untuk memberi kebenaran membawa keluar dari pejabat dokumen rahsia rasmi termasuk salinan cetak (hardcopy) atau salinan lembut (softcopy) berpandukan Garis Panduan Membawa Rahsia Rasmi Keluar Dari Pejabat Semasa Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau mengingatkan ketua jabatan agar memastikan pematuhan sepenuhnya semua peraturan, garis panduan dan surat edaran yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Arahan ini juga dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang dikenakan PKPB sehingga tamat tempoh PKPB, tertakluk kepada mana-mana arahan yang akan diumumkan kerajaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes rasuah tiris perolehan kerajaan semakin kritikal – SPRM

PUTRAJAYA, 1 OKT: Kes rasuah melibatkan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam dilihat semakin kritikal, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Tanpa mendedahkan statistik berkenaan, beliau berkata hampir 50 peratus kes ketirisan perolehan kerajaan banyak berlaku melibatkan agensi-agensi kerajaan.

“Saya boleh katakan ketirisan pada analisa SPRM banyak berlaku di sektor awam, dengan mereka (pihak pimpinan tertinggi agensi kerajaan) yang berkuasa dalam memutuskan sesuatu perkara itu (perolehan kerajaan) terlibat penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Apabila berlakunya ketirisan perolehan kerajaan, siasatan kami menunjukkan terdapatnya elemen rasuah yang menyebabkan sesuatu nilai perolehan kerajaan turut naik,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Ulang Tahun SPRM ke-53, hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Azam memberi contoh jika sesuatu perolehan kerajaan bernilai RM1 juta maka nilai rasuah juga akan naik berbanding nilai asas.

“Ia bukan hanya nilai rasuahnya naik malah kualiti projek juga tidak berkualiti. Saya ingin memberi contoh kes terbaharu melibatkan projek naik taraf jalan di Sarawak. Projek jalan ini dikurangkan kualiti pembuatannya sehingga menyebabkan jalan terlibat cepat rosak lalu menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan,” katanya.

Azam berkata pihaknya perlu ada pakar dalam perkara berkenaan dan perlu bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian semula.

Pada awal September lepas, Bernama melaporkan SPRM telah menahan dua pengarah syarikat berpangkat Datuk disyaki terlibat rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit berhubung pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan di Sarawak bernilai RM800 juta.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berlaku ketirisan, Azam berkata pihaknya ada menerima kes ketirisan melibatkan sektor swasta, namun jumlahnya tidak membimbangkan seperti dalam sektor awam.

“Hasrat SPRM adalah untuk menyiasat kedua-dua pihak ini (sektor awam dan swasta) jika terlibat ketirisan perolehan kerajaan, kami akan bawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas usaha menjadikan negara ini bebas rasuah, Azam berkata SPRM yang telah memasuki usia melebihi lima dekad, menuntut kematangannya dalam semua tindakan sama ada melibatkan penguatkuasaan, pencegahan mahupun pendidikan masyarakat dalam membanteras rasuah.

“Sekarang ini, kita hidup dalam norma baharu berhadapan dengan wabak Covid-19 untuk beberapa tahun akan datang dan ia memberi cabaran kepada SPRM untuk mencapai sifar rasuah atau mewujudkan masyarakat bebas rasuah.

“Sebelum Covid-19, SPRM banyak turun padang beri taklimat dan membuat kempen banteras rasuah kepada masyarakat, namun sejak ada Covid-19, SPRM banyak menggunakan pendekatan video dan media sosial untuk berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Selain itu, Azam berkata SPRM turut memasukkan elemen pendidikan antirasuah dalam buku teks sekolah rendah Tahun lima yang akan berkuat kuasa 2021.

“Selain tindakan pencegahan, pendidikan masyarakat juga merupakan agenda utama SPRM dalam meningkatkan integriti individu terutama melibatkan masa depan sektor awam,” katanya.

-BERNAMA