Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM: Jawatan, pengaruh punca penjawat awam terlibat rasuah

SHAH ALAM, 1 OKT: Berjawatan tinggi dan berpengaruh merupakan punca penjawat awam terlibat dengan rasuah, kata pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Dato’ Alias Salim berkata berdasarkan statistik keseluruhan dalam tempoh lima tahun sejak 2016, seramai 2,285 daripada 4,811 tangkapan merupakan penjawat awam.

“Hampir separuh atau 47.5 peratus tangkapan terdiri daripada penjawat awam. Penjawat awam perlu ambil perhatian kerana mereka mempunyai kuasa dalam menguruskan dana kerajaan, perolehan, sebut harga dan kontrak.

“Mereka seharusnya menjadi mata dan telinga SPRM dengan memberikan maklumat. Kita pelawa mereka beri maklumat kerana SPRM hanya mempunyai lebih 2,000 anggota dan tidak mampu tangani 32 juta penduduk,” katanya dalam siaran langsung Wacana Betul Ke Selangor Lubuk Rasuah malam tadi.

Alias memaklumkan, penjawat awam yang memberi maklumat tidak perlu khuatir kerana mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Penjawat awam ini mengetahui dengan tepat apa yang berlaku dalam jabatan masing-masing sekaligus mahu mengurangkan peratusan tangkapan melibatkan mereka. Dengan maklumat orang awam ditangkap kerana mereka yang sogok terutama pegawai penguat kuasa.

“Kita hendak kurangkan penjawat awam ditangkap dan mahu menuduh orang yang menyogok. Ini yang kita kena didik penjawat awam dengan melaporkan kegiatan rasuah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wajibkan penjawat awam ambil vaksin, kecuali faktor kesihatan

PUTRAJAYA, 21 SEPT: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan beberapa pilihan tindakan dan pendekatan telah dibawa kepada MKN untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.

Kenyataan itu menyebut sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin COVID-19 telah mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok kecil yang belum berbuat demikian.

“Perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberi keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPA, usaha vaksinasi perlu diberi keutamaan untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara.

Pada 4 Sept lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepas) Adnan Mat mencadangkan kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus mengenai penjawat awam yang masih tidak mengambil vaksin COVID-19 dengan menjelaskan tindakan dan pendekatan yang perlu dilakukan kepada golongan itu dalam isu pengambilan vaksin.

Menurut JPA, ia berpandangan beberapa langkah boleh diambil oleh kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya mengambil vaksin.

Katanya secara dasar, penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan mereka perlu mematuhi peraturan sedia ada termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila diarahkan oleh ketua jabatan.

“Kita hendaklah melindungi diri kita sebelum kita mahu melindungi orang lain. #lindungdiri,lindungsemua!” kata JPA.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs gesa penjawat awam tolak vaksin beri penjelasan

ALOR GAJAH, 9 SEPT: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menggesa agar kakitangan awam yang menolak vaksin tampil membuat penjelasan.

Presidennya Adnan Mat berkata sebagai anggota pelaksana dasar kerajaan, mereka perlu menjadi individu pertama menyokong serta melaksanakan dasar dikeluarkan dan bukannya menolak pelaksanaannya.

“Setakat ini, kira-kira 30,000 kakitangan awam belum mendaftar menerima vaksin dan ada antaranya memberi alasan mempunyai masalah kesihatan.

“Jadi kita minta mereka tampil menjelaskan situasi sebenar dalam permasalahan ini supaya tidak mengundang tanggapan negatif daripada orang awam,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Alor Gajah di sini semalam.

Justeru, Adnan berkata pihaknya meminta kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk membuat saringan berkala terhadap penjawat awam yang menolak untuk divaksinasi.

“Kita meminta perkara ini dipertimbangkan dan dalam masa sama, memohon mereka yang menolak agar tampil untuk kita tahu situasi sebenar kerana pelaksanaan saringan berkala juga melibatkan kos,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan berharap kerajaan mewujudkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu memandangkan sistem saraan sedia ada yang digubal pada November 2002 tidak pernah dikaji atau ditambah baik sehingga hari ini.

Beliau berkata perkara itu wajar dimasukkan dalam peruntukan Belanjawan 2022 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober bagi memastikan ia relevan dengan persekitaran ekonomi semasa dan bukannya menggunakan dapatan daripada sistem diwujudkan 19 tahun lepas.

“Selain daripada usaha untuk memperbaharu sistem saraan bagi penjawat awam dapat dilaksanakan, pemberian peruntukan khusus bagi mewujudkan sistem saraan baharu itu turut mencerminkan kerajaan serius mahu mereformasi sistem penyampaian perkhidmatan awam dari segala aspek termasuk melibatkan hal kebajikan penjawat awam,” katanya.

Antara perkara perlu diberi perhatian dalam sistem saraan baharu kelak adalah skim gaji yang melangkaui pendapatan garis kemiskinan negara.

“Kenaikan gaji tahunan yang lebih bersesuaian juga perlu mengikut peningkatan kos sara hidup semasa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

2.2 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam belum daftar vaksin

PORT DICKSON, 29 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memberi fokus terhadap 2.2 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setakat 19 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata susulan itu pihaknya akan mengemukakan nama-nama berkenaan kepada ketua jabatan masing-masing bagi mengetahui isu sebenar untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas kita buat pemadanan data di aplikasi MySejahtera dengan data penjawat awam, kita dapati daripada lebih sejuta penjawat awam, cuma 2.2 peratus yang kita tak dapat kesan mendaftar di aplikasi itu untuk mendapatkan vaksin.

“Jadi kita akan sentiasa melihat dan cuba meningkatkan lagi peratusannya. Ini kerana bila mana lebih banyak sektor perkhidmatan dibuka, mereka kena hadir ke pejabat…kehadiran ke pejabat wajib walaupun suntikan vaksin belum lagi diwajibkan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kira-kira 400 masyarakat India di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Adib berkata setakat 19 Ogos lepas, 74 peratus penjawat awam di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 manakala 17.8 peratus lagi menerima satu dos.

Beliau berkata pihaknya turut meminta Kementerian Kesihatan untuk menyegerakan pemvaksinan kepada 30,000 penjawat awam yang masih belum ada tarikh janji temu sebelum pembukaan semua sektor ekonomi di negara ini.

“Ini kerana kalau kita nak buka sektor ekonomi, perkhidmatan kerajaan perlu dibuka terlebih dahulu, jadi kita harap yang belum ada janji temu segera divaksinkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penjawat awam yang belum mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk berbuat demikian sekali gus memastikan negara mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata semua penjawat awam kini telah bersedia untuk kembali ke pejabat dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sekali gus mengembalikan semula ekonomi negara seperti sedia kala.

“Bagi mereka yang bekerja dari rumah pula, kita sarankan untuk sentiasa mengekalkan produktiviti malah perlu jadi lebih baik biarpun berdepan pelbagai kekangan termasuk masalah capaian internet,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Sultan, Permaisuri zahir dukacita pemergian Ahmad Sarji

SHAH ALAM, 28 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri menzahirkan dukacita atas pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pagi tadi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mengutus salam takziah kepada balu Allahyarham Toh Puan Sagiyah Salikin.

Mengikut Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin dan Ahmad Sarji mempunyai hubungan rapat khususnya semasa Allahyarham berkhidmat sebagai KSN.

Suktan Selangor turut mengurniakan darjah kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Allahyarham pada 1992

“Baginda menganggap Allahyarham seorang yang komited dan banyak menyumbang pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berusia 82 tahun hari ini disahkan meninggal dunia di sebuah hospital pada jam 1.40 pagi.

Memulakan kerjaya sebagai timbalan penolong pegawai daerah Klang pada 1961, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN antara 1990 hingga 1996.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Elak terjebak rasuah, MBPJ tapis ketat calon penjawat awam

SHAH ALAM, 4 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menapis ketat calon penjawat awam baharu bagi mencegah gejala rasuah dan jenayah.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata individu yang dilantik kemudian wajib menghadiri kursus yang menekankan aspek kerja dan jati diri.

“Seseorang penjawat awam yang diamanahkan kuasa dan tanggungjawab perlu bertindak secara telus
dengan mematuhi proses atau tatacara undang-undang ditetapkan,” katanya dalam perutusan pada 27 April.

Beliau menegaskan MBPJ tidak berkompromi terhadap kakitangan terlibat rasuah dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika ada yang disabitkan dengan gejala itu.

“Tindakan tegas akan diambil termasuk menamatkan khidmat mereka yang didapati terbabit dan bersalah dalam jenayah, rasuah, salah laku yang serius dan kes berulang,” kata Mohd Sayuthi.

Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara 2015 hingga 2020, sebanyak 2,683 daripada 5,652 tangkapan rasuah membabitkan penjawat awam.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dunia bagi tahun 2020 jatuh pada kedudukan 57 daripada 180 negara, berbanding tangga 51 pada 2019.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam terima bantuan khas Aidilfitri RM500

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 untuk penjawat awam yang akan dibayar bersama gaji pada 6 Mei depan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pesara pula akan menerima RM250.

Bantuan itu akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.

“Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP dan RM250 kepada pesara kerajaan.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pengumuman pemberian Bantuan Khas Aidilfitri itu dibuat lebih awal berbanding tahun sebelumnya sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam dan pesara membuat persiapan awal untuk meraikan Aidifitri.

“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini (akan) dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” demikain menurut kenyataan itu lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CUEPACS mohon bantuan khas Aidilfitri bagi penjawat awam, pesara

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan bersempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Presidennya Adnan Mat berkata bantuan berkenaan yang lazimnya diberikan setiap tahun, wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam di samping meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan itu.

“Pemberian ini juga wajar diberikan memandangkan kali terakhir penjawat awam menerima bonus ialah pada 2012 dan selepas tahun tersebut penjawat awam hanya menerima bantuan khas kewangan sahaja,” katanya.

Adnan berkata pihaknya juga telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar dipertimbangkan perkara itu.

Beliau turut berharap kerajaan negeri memberikan bantuan serupa kepada penjawat awam yang bertugas di peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan serta semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Adnan berkata pihaknya turut meminta semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan sekiranya kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam.

Ini memandangkan kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri, tegasnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Beri khidmat terbaik, Selangor hargai 126 penjawat awam cemerlang

SHAH ALAM, 7 APRIL: Seramai 126 penjawat awam negeri ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar.

Penerima meliputi kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, perbendaharaan, pejabat tanah dan galian, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta Majlis Sukan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapannya menghargai komitmen dan pengorbanan kakitangan awam yang sentiasa memberikan khidmat terbaik di sebalik penularan Covid-19.

“Pentadbiran kerajaan mainkan peranan amat penting jika berlaku bencana dan penjawat awam Selangor membuktikan mereka mampu mendepani perkara luar jangka,” katanya di Dewan Jubli Perak di sini.

Amirudin turut berharap penjawat awam terus membudayakan kerja yang unggul seiring status Selangor sebagai negeri maju.

“Kerajaan Negeri mengangkat agenda Selangor Maju Bersama tanpa mengetepikan mana-mana pihak selain menggarap potensi sekalian warga,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Penjawat awam perlu jadi contoh daftar terima suntikan vaksin

SUBANG JAYA, 4 April: Dato’ Menteri Besar meminta semua ketua jabatan penjawat awam di negeri ini memastikan kakitangan mereka membuat pendaftaran suntikan vaksin Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 17,000 golongan itu perlu menjadi contoh kepada masyarakat supaya yakin menerima suntikan.

“Selepas fasa pertama suntikan melibatkan petugas hadapan berakhir, fasa dua dijangka bermula pada bulan ini serta dikuti fasa tiga.

“Kita minta ketua jabatan pastikan kakitangan di bawah seliaan masing-masing sudah mendaftar,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Program Perluasan Imunisasi Covid-19 di Dataran Puchong Permai hari ini.

Pada Khamis lepas, ketua setiausaha negara mengingatkan penjawat awam mengelak terlibat gerakan antivaksin.

Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata mereka yang menerbit, mengedar kenyataan, khabar angin atau berita berhubung antivaksin boleh dikenakan tindakan.

Fasa kedua suntikan vaksin yang sepatutnya pada 19 April diawalkan dua hari, dengan menyasarkan seramai 9.4 juta penerima melibatkan warga emas, pesakit kronik, orang kelainan upaya dan mempunyai lebih satu penyakit.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPA: Tiada kompromi isu rasuah dalam kalangan penjawat awam

GEORGE TOWN, 18 MAC: “Berani buat, berani tanggung”, demikian ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman berhubung pembabitan penjawat awam dalam gejala rasuah.

Katanya, pihaknya tidak pernah sama sekali berkompromi dalam isu yang berhubung kait dengan pelakuan rasuah, pelanggaran peraturan atau undang-undang melibatkan penjawat awam.

Beliau berkata SPA sentiasa memandang serius isu berhubung penjawat awam menyalahi undang-undang terutama soal amalan rasuah walaupun jumlah mereka yang terbabit dalam kegiatan tersebut adalah kecil.

Zainal Rahim berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuklah penamatan perkhidmatan terhadap mereka yang didapati terbabit dalam jenayah, gejala rasuah, serta salah laku yang serius dan berulang.

Beliau berkata demikian kepada Bernama hari ini ketika mengulas penahanan 44 individu termasuk 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disyaki terbabit dengan sindiket melindungi kegiatan pengusaha lori yang melanggar pelbagai kesalahan di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Perlis.

Penahanan itu dilakukan melalui Operasi Sukat digerakkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak beberapa hari lalu.

Zainal Rahim berkata penapisan ketat dilakukan terhadap calon penjawat awam dan selepas pelantikan, mereka wajib menghadiri pelbagai kursus yang menekankan pelbagai perkara berkaitan kerja serta jati diri termasuk hal rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata seseorang penjawat awam telah diamanahkan kuasa dan tanggungjawab serta perlu bertindak secara telus dengan mematuhi proses atau prosedur undang-undang ditetapkan.

“Mereka harus memahami tanggungjawab dan perlu tahu jika buat kesalahan akan dikenakan tindakan tatatertib malah dibuang kerja.

“Sebenarnya kalau mereka sanggup buat (terima rasuah) dan beranilah tanggung hukuman iaitu dibuang kerja,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs mohon runding lanjut cadangan sistem saraan baharu

KUANTAN, 13 MAC: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap dapat mengadakan rundingan lanjut bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secepat mungkin berkenaan cadangan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu.

Presidennya Adnan Mat berkata sistem baharu itu lebih komprehensif menepati kehendak semasa dengan peningkatan kos sara hidup selain disusun dengan mengambil kira pandangan daripada penjawat awam itu sendiri.

“Usul ini telah dibawa untuk perhatian bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Disember 2019 sebelum perbincangan kali pertama dengan JPA telah dibuat pada 13 Jan 2020 untuk menggantikan sistem saraan kerajaan sedia ada.

“SSM ini telah digunakan sejak tahun 2002 sampai ke hari ini cuma ada sedikit tambahan dari SSM kepada SSM plus. Justeru, kita berharap dapat mengadakan perbincangan lanjut secara terperinci bersama JPA,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada penjawat awam anjuran Cuepacs di sini, hari ini.

Menurut beliau, bagi kenaikan gaji yang diberi pada 2007 dan 2012 hanya dibuat berdasarkan pada keadaan dan permintaan semasa yang tiada pelaksanaan dalam bentuk sistematik supaya kenaikan itu berlaku setiap lima tahun disebabkan tiada perjanjian kolektif.

Selain itu, Adnan berkata, Cuepacs turut melakukan kajian mengenai Bekerja Dari Rumah (BDR) kepada suami yang menyambut kehadiran anak yang baru dilahirkan selain menjaga orang tua yang sedang sakit.

“Hasil kajian Cuepacs itu akan dimuktamadkan pada 9 hingga 11 April depan yang akan diserahkan kepada kementerian terlibat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

– BERNAMA