Categories
AGENDA NASIONAL

311 individu ditahan ingkar arahan PKP

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Seramai 311 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 306 daripadanya dikompaun manakala lima individu direman.

“Antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (97), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69), rentas negeri/daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (30), aktiviti pusat hiburan (26) dan lain-lain (14),” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata Operasi Benteng semalam menahan 14 pendatang tanpa izin serta merampas tiga bot dan satu kenderaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 79,128 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 78 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,270 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 502 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 67,356 individu dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Mengenai Op Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya sebanyak 40 operasi sanitasi meliputi 11 zon merah, empat zon jingga, sembilan zon kuning dan empat zon hijau membabitkan 12 negeri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

381 individu ditahan ingkar arahan PKPP

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Seramai 381 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan 377 daripadanya dikompaun manakala empat individu direman, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, antara kesalahan mereka ialah berkenaan aktiviti di pusat hiburan (96), tidak memakai pelitup muka (80), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (57), rentas negeri/daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (33) dan lain-lain (46).

Beliau berkata dalam kenyataan di sini, hari ini, semalam Operasi Benteng berjaya menahan 20 pendatang tanpa izin, tiga penyeludup serta merampas sembilan kenderaan darat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 72,182 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 74 hotel serta 18 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 9,855 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 404 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 61,923 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Berkaitan pemantauan barang keperluan asas, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 673 premis perniagaan termasuk 482 peruncit, 160 pemborong dan 31 pengilang.

Ismail Sabri berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 1,045 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi arahan ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Berhubung Ops Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya sebanyak 35 operasi sanitasi meliputi sembilan zon merah, tiga zon jingga, enam zon kuning dan sembilan zon hijau melibatkan 10 negeri dan dua Wilayah Persekutuan kecuali Putrajaya, Sarawak dan Terengganu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal patuhi penjarakan fizikal rekod salah tertinggi ingkar PKPP

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal antara kesalahan tertinggi direkodkan semalam membabitkan 206 daripada 455 individu yang dikenakan tindakan atas kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah individu yang dikenakan tindakan semalam, 427 daripada mereka dikenakan kompaun, 27 direman dan seorang dibebaskan dengan jaminan.

Kesalahan ingkar PKPP yang lain membabitkan 72 individu dalam aktiviti pusat hiburan, tidak memakai pelitup muka (63), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas negeri/daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran pihak berkuasa (21) dan lain-lain (34), katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan diambil hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata Operasi Benteng yang dilaksanakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan berjaya memberkas 28 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup, semalam.

“Sebanyak tiga kenderaan darat turut dirampas,” katanya dan menambah kata kejayaan itu hasil 306 sekatan jalan raya Operasi Benteng yang dilaksanakan melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 72,062 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, dan ditempatkan di 72 hotel serta 19 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 10,396 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 404 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 61,262 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 654 premis perniagaan termasuk 483 peruncit, 140 pemborong dan 31 pengilang.

Ismail Sabri berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 638 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi arahan ditetapkan.

Beliau, bagaimanapun menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN bentang dasar, polisi baharu PKPB, PKPP Sabtu ini – menteri

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka membentangkan keputusan mengenai sebarang perubahan dasar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada mesyuarat khas Sabtu ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak MKN membincangkan beberapa tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan perkara itu pada mesyuarat jawatankuasa teknikal pagi tadi namun belum membuat sebarang keputusan.

“Kita akan bincang semula dalam mesyuarat khas MKN kerana pada mesyuarat itu kita akan buat keputusan berdasarkan dasar, polisi baharu yang mungkin mempunyai sedikit perubahan kalau ada,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP, di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati menipu, menukar cecair pembasmi kuman dengan cecair peluntur.

Perbuatan itu katanya tidak bertanggungjawab kerana boleh membahayakan kesihatan orang awam.

“Macam-macam kesan sampingan mungkin akan berlaku kalau menggunakan cecair pencuci lantai untuk mencuci tangan, mungkin membawa kesan teruk kepada kesihatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Ada keperluan PKPP diteliti semula, kekang Covid-19 naik

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan ada keperluan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diteliti semula, bagi kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak Covid-19 terutama di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak.

Perdana Menteri berkata ketika Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) harian mengenai Covid-19 hari ini, beliau berbincang mengenai PKPP yang akan berakhir Disember ini, sedangkan situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai cabaran Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan diadakan hujung tahun ini (5 Disember) dan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam situasi Covid-19 yang masih belum reda,” katanya dalam laman Facebooknya, malam ini.

Muhyiddin turut memuat naik beberapa keping gambar mesyuarat secara sidang video berkenaan, yang membincangkan situasi semasa pandemik dan langkah-langkah yang perlu diambil.

Beliau juga melahirkan rasa bimbang berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor, yang bertukar daripada zon hijau kepada zon kuning atau merah, walaupun tindakan dan pendekatan secara mitigasi dan intervensi telah dipertingkatkan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, walaupun kerajaan Arab Saudi telah membenarkan ibadah umrah dijalankan selama 10 hari, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia ke sana pada masa ini.

Mengenai kebenaran mengadakan majlis pernikahan dan solat Jumaat, Muhyiddin berkata Dr Zulkifli menjelaskan ketetapan telah dibuat dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum dilaksanakan.

Menyentuh mengenai sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam, Muhyiddin berkata ia berlangsung dalam keadaan norma baharu, dengan pelbagai tatacara operasi piawai (SOP) diperkenalkan.

“Bagaimanapun sepanjang minggu ini sidang Parlimen diadakan setakat jam 1 petang sahaja, berikutan ada beberapa kes Covid-19 yang melibatkan beberapa petugas di Bangunan Parlimen.

“Berikutan kes tersebut, timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan ahli parlimen sendiri kerana kedudukan Bangunan Parlimen itu sendiri pun terletak di zon merah dan melibatkan pergerakan keluar masuk ahli parlimen, para pegawai mereka serta kakitangan di situ,” katanya.

Perdana Menteri turut percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dapat menggunakan kebijaksanaan beliau untuk menguruskan perkara itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelombang baharu Covid-19: Sektor perhotelan bakal ‘sakit’ lagi

SEREMBAN, 11 OKT: Selepas menarik nafas lega apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lepas, sektor perhotelan di negara ini kembali berdepan tempoh getir susulan gelombang baharu penularan wabak Covid-19.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan panas Covid-19 serta peringatan agar orang ramai mengelakkan tempat sesak selain peningkatan kes harian wabak dalam tiga angka sejak akhir-akhir ini menyebabkan masyarakat memilih berada di rumah

Berdasarkan perkembangan semasa, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng menjangkakan berlaku penurunan kadar penginapan sekitar 15 peratus untuk tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, iaitu kerugian antara RM60 juta hingga RM100 juta bagi sektor itu.

Beliau juga berkata kaji selidik yang dijalankan mendapati sektor perhotelan negara ini dijangka mengalami kerugian sekitar RM6.3 bilion tahun ini, merangkumi RM3 bilion untuk enam bulan pertama dan RM3.3 bilion bagi enam bulan kedua.

“Dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sejak 18 Mac lepas, kadar penginapan hotel jatuh ke tahap paling rendah iaitu sekitar lima peratus sahaja, bagaimanapun pembukaan semula sektor pelancongan domestik bermula Jun lepas merancakkan kembali sektor perhotelan dengan kadar penginapan mencatat angka tertinggi 42 peratus semasa cuti panjang bersempena Hari Kebangsaan yang lalu,” katanya kepada Bernama.

Yap berkata penularan Covid-19 memaksa industri perhotelan bergantung pada pasaran domestik yang dijangka berlanjutan hingga pertengahan tahun depan.

Foto Wikipedia

Sementara itu, Pengerusi MAH Negeri Sembilan Haziz Hassan berkata mereka kehilangan tempahan lebih 50 peratus, merangkumi tempahan bermalam dan penganjuran kursus, seminar dan majlis keraian, susulan peningkatan kes Covid-19 sekarang.

“Selepas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) umum boleh rentas negeri Jun lepas, sektor perhotelan kembali rancak dan tempahan mula konsisten, tapi selepas kes Covid-19 semakin meningkat, kita terjejas semula dengan kebanyakan panggilan yang diterima ialah untuk membatalkan atau menangguhkan tempahan,” katanya.

Menurutnya pemulihan sektor itu akan mengambil masa dan beliau menjangkakan industri hanya dapat kembali stabil seawal-awalnya Jun tahun depan, bergantung pada situasi penularan wabak.

Katanya walaupun berdepan kekurangan pelanggan, hotel masih perlu terus beroperasi bagi memastikan penyelenggaraan, keselamatan dan kebersihan premis terjamin.

Tinjauan Bernama di sekitar pusat peranginan Port Dickson di sini baru-baru ini mendapati kehadiran orang ramai jelas tidak semeriah seperti sebelum ini selain kawasan pantai yang sering menjadi tumpuan pengunjung juga lengang.

Mereka yang ditemui Bernama juga menyatakan keberatan untuk melancong pada masa ini.

Antaranya penjawat awam dari Kuala Lumpur, Mohamad Shahriel Hamdan, 42, yang menyatakan dia membuat keputusan untuk tidak membawa keluarga bercuti sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya tidak mahu merisikokan keluarga saya, (kami akan) bercuti nanti bila keadaan sudah reda dan selamat,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun lepas Negeri Sembilan mencatatkan ketibaan pelancong seramai 6.43 juta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKPP: 26 pelanggan pusat hiburan dikompaun

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Seramai 26 pelanggan di sebuah pusat hiburan di USJ 19, Subang Jaya, dikompaun awal pagi tadi kerana ingkar dengan arahan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Selangor DSP Zuhairee Mohamad Rashid berkata dalam serbuan 2.30 pagi itu, tiga penjaga premis dan 10 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam berusia antara 20 hingga 43 tahun turut ditahan.

“Semasa serbuan dilakukan kesemua pelanggan di situ didapati berhibur tanpa penjarakan fizikal dan telah melanggar SOP ditetapkan.

“Susulan itu, polis mengambil tindakan kompaun mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Zuhairee, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH) 1998, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Lelaki ‘gelang merah jambu’ ditahan ketika makan di restoran

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Seorang lelaki yang memakai ‘gelang merah jambu’ ditahan selepas disyaki melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19 dengan makan di sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri, Rawang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di hadapan restoran itu kira-kira jam 7.30 malam setelah menerima aduan daripada orang awam.

“Semakan mendapati lelaki berkenaan diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula semalam hingga 16 Oktober depan selepas ujian saringan Covid-19 di klia2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2) dan keputusan (ujian saringan) masih belum diterima,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata lelaki itu akan direman esok bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

Selain itu, katanya siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 8) 2020.

“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi perintah menjalani kuarantin yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan mereka, keluarga serta orang lain. Perbuatan ini juga boleh menggusarkan masyarakat sekitar, “ katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar menunjukkan sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ingkar PKPP: Aktiviti dalam kelab malam kekal kesalahan tertinggi

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Masih ramai yang terus ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila seramai 98 individu ditahan semalam dengan 34 daripada mereka kerana aktiviti di dalam pub dan kelab malam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan lain termasuk penjarakan fizikal sebanyak 24 kes, tidak memakai pelitup muka (22), gagal melunaskan caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (lapan).

“Daripada 98 yang ditahan itu, 95 individu dikompaun dan tiga lagi direman,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini, hari ini.

Beliau berkata semalam turut menyaksikan seramai 34 pendatang asing dan empat penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi.

Sebanyak 84 sekatan jalan raya Ops Benteng dijalankan semalam oleh pelbagai agensi penguatkuasa, katanya.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata hasil pemeriksaan khas oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam mendapati sebanyak 1,186 premis perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP manakala 18 premis diberi nasihat kerana tidak patuh.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 37,452 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 buah hotel dan 11 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 8,144 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 29,202 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 33 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah individu ingkar PKP turun, 82 ditahan semalam – menteri

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Bilangan individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menunjukkan penurunan berbanding 661 individu pada Ahad apabila hanya 82 individu ditahan semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesalahan itu merangkumi 46 individu ditahan atas kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal, 23 individu tidak memakai pelitup muka, 12 individu gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri dan seorang ditahan ketika sedang berhibur di kelab malam.

“Daripada jumlah itu, 75 individu dikompaun, enam direman dan satu dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu bagi Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 29 pendatang tanpa izin dan dua penyeludup ditangkap, manakala sebuah bot serta empat kenderaan darat dirampas hasil 81 sekatan jalan raya yang diadakan semalam.

“Sejak 1 Mei lepas hingga semalam, seramai 7,389 individu ditahan melibatkan 750 tekong, 6,344 pendatang tanpa izin dan 295 penyeludup,” katanya.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata pada masa ini terdapat 8,671 individu yang pulang dari luar negara sedang menjalani kuarantin di hotel serta institut latihan awam dan institusi pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

Mereka merupakan antara 37,133 individu yang pulang ke tanah air menerusi pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas hingga semalam.

Daripada jumlah itu juga seramai 106 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 28,356 telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.

Beliau juga berkata sejak 30 Mac hingga semalam, 10,153 operasi sanitasi awam melibatkan 13,062 premis dilaksanakan iaitu 2,716 pusat perniagaan, 1,601 kawasan perumahan antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR); 2,623 tempat awam; 354 pasar raya dan 5,768 bangunan kerajaan.

Bagi mengurangkan kegusaran orang ramai terhadap barangan keperluan harian, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa barangan itu mencukupi dan mampu menampung permintaan dalam negara secara berterusan selain mudah diperoleh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis sukan dibenar operasi sehingga 2 pagi, patuhi SOP

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan waktu operasi premis sukan dilanjutkan sehingga 2 pagi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu diputuskan selepas kerajaan mengambil maklum mengenai aduan operator premis perniagaan berkaitan sukan.

“Baru-baru ini, saya mengumumkan operasi premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan dari 12 tengah malam hingga 2 pagi. (Sedangkan) Operator perniagaan berkaitan sukan sebagai contoh, futsal, mereka sekarang kena tutup pada pukul 12 tengah malam.

“Mereka membuat aduan, ramai yang datang bermain futsal di tempat mereka selepas waktu Maghrib atau Isyak… sedangkan banyak pasukan bermain. Atas dasar itu, mesyuarat khas hari ini bersetuju aktiviti sukan juga dilanjutkan sehingga 2 pagi,” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Beliau berkata semua pihak yang terlibat sama ada pemain, pengurus premis dan mereka yang hadir masih tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP).

Mengenai operasi pematuhan PKPP, Ismail Sabri berkata 136 individu ditahan kerana ingkar arahan PKPP semalam, termasuk keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kedah.

Menerusi Ops Benteng pula, beliau berkata 64 pendatang tanpa izin dan seorang tekong ditahan selain lima kenderaan darat dirampas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: 93 individu ditahan ingkar arahan PKPP

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Seramai 93 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 85 dikompaun manakala lapan lagi direman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara kesalahan dikesan ialah tidak memakai pelitup muka iaitu seramai 33 individu, diikuti 32 individu berkaitan penjarakan fizikal dan 14 individu bagi aktiviti dalam pub dan kelab malam.

“Bagi premis beroperasi tanpa kebenaran melibatkan seramai tujuh individu, enam gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri manakala seorang dikesan gagal kemukakan surat kebenaran keluar/masuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini hari ini.

Berhubung berita palsu Covid-19, beliau berkata sehingga semalam, sebanyak 268 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ismail Sabri memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 131 masih dalam siasatan, manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah, 12 diberikan notis amaran, 16 dalam proses perbicaraan dan 19 telah mengaku bersalah.

“Pada masa yang sama, sebanyak 370 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan bagi membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19,” katanya.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri memaklumkan seramai 65 pendatang asing, tiga tekong dan seorang penyeludup ditahan ketika cuba menyusup masuk ke dalam negara semalam, manakala 14 kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu.

Beliau berkata 82 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan melibatkan polid, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 30,717 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 70 hotel serta lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam serta Institusi Pengajian Swasta.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 9,753 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 20,893 individu telah dibenarkan pulang.

-BERNAMA