Categories
AGENDA NASIONAL

Tarik lesen operasi, penjara pemilik pub ingkar arahan PKPP

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disyor mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik pub dan kelab malam yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk mengheret mereka ke mahkamah dan menarik balik lesen operasi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini memandangkan kesalahan ingkar PKPP melibatkan aktiviti di pub dan kelab malam terus merekodkan kesalahan tertinggi meskipun premis ini masih dalam senarai larangan beroperasi.

“Setiap hari tangkapan melibatkan aktiviti di kelab malam dan pub tinggi kerana premis-premis ini masih tersenarai dalam senarai yang dilarang beroperasi disebabkan sukar untuk mengawal penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai (SOP) yang lain.

“Saya sudah minta PBT kalau premis ini ada lesen kita minta agar lesen mereka ditarik dan tutup perniagaan… mungkin tindakan lebih keras boleh diambil dengan hadapkan mereka ke mahkamah untuk hukuman lebih berat seperti penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kad Aku Janji Pematuhan SOP Covid-19 sempena Kempen Bulan Kebangsaan Perbadanan Nasional di sini hari ini.

Katanya, setakat ini belum ada perbincangan untuk membenarkan kelab malam dan pub kembali beroperasi.

Mengenai pemeriksaan pematuhan SOP premis perniagaan, Ismail Sabri berkata berdasarkan laporan harian yang diterima didapati tiada tangkapan dilakukan terhadap premis perniagaan berhubung pelanggaran SOP.

“Setakat hari ini, tidak banyak premis perniagaan diambil tindakan cuma ada yang berniaga lebih masa tetapi tiada tangkapan dilakukan maka saya anggap tiada tangkapan tentulah pematuhan dilaksanakan.

Bagaimanapun ramai yang masih keliru dari segi kedudukan di meja makan, setiap individu yang duduk di meja makan itu mesti ada penjarakan fizikal tidak kiralah besar mana meja tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengenakan kuarantin terhadap mereka yang pulang dari Sabah.

“Ia hanya akan dilakukan sekiranya negeri itu diisyiharkan sebagai Zon Merah… selagi seluruh Sabah tidak diisytiharkan sebagai Zon Merah selagi itu kita tidak perlu adakan kuarantin bagaimanapun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan buat kajian dari semasa ke semasa ikut pada jumlah kes berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: 294 ditahan berhibur di kelab malam – menteri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kesalahan membabitkan aktiviti di pub dan kelab malam merupakan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi semalam dengan 294 kes direkodkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mereka merupakan antara 512 individu yang ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara kesalahan lain ialah penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (103), ‘private party’ atau pesta persendirian (56), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (32), tidak memakai pelitup muka (14) dan premis beroperasi lebih masa (8).

“Daripada jumlah yang ditahan, 452 individu dikompaun, 59 individu direman dan seorang dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata pihak berkuasa berjaya menangkap 80 pendatang tanpa izin, enam penyeludup dan seorang tekong melibatkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebanyak 82 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan PDRM (57), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10) dan Angkatan Tentera Malaysia (15),” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 24 Julai lepas hingga semalam, seramai 28,063 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari 32 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 10,187 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 69 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam dan institusi pengajian swasta manakala 69 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 17,807 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata mereka yang terbabit pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Mengenai operasi sanitasi awam di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, beliau berkata bagi tempoh 30 Mac lepas hingga semalam, sebanyak 9,930 operasi dijalankan di 134 zon dengan 12,988 premis antaranya pusat perniagaan, bangunan kerajaan dan tempat awam telah disanitasi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mudah diperoleh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Waktu operasi premis niaga di KL kekal hingga 12 tengah malam – DBKL

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Waktu operasi premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) masih kekal sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Pengurusan Krisis WPKL (CMCWPKL) yang bersidang pada 11 September.

Kenyataan itu berkata keseragaman waktu itu adalah bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan oleh DBKL dan lain-lain agensi.

“Sepanjang tempoh PKPP, DBKL bersama lain-lain agensi telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP ke atas 7,200 premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.

“Hasil pemantauan yang dilaksanakan setiap hari mendapati tahap pematuhan SOP PKPP ini masih perlu ditingkatkan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Pada 10 September lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau dilaporkan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.

Sehubungan itu, DBKL memohon kerjasama pemilik, pengendali premis perniagaan dan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan oleh pihak kerajaan serta kekal mengamalkan kawalan kendiri, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan penjarakan fizikal apabila berada di tempat awam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Masih ramai tidak amal penjarakan fizikal, langgar SOP – menteri

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Tidak mengamalkan penjarakan fizikal antara kesalahan yang masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia antara tatacara operasi piawai diwajibkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata berdasarkan laporan polis yang mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKPP, seramai 26 individu ditahan atas kesalahan itu semalam.

“Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (24), tidak memakai pelitup muka (20), lari dari pusat kuarantin (satu) serta premis beroperasi lebih masa (satu).

“Daripada jumlah itu 70 individu dikompaun, seorang direman dan seorang dijamin,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng melakukan 14 tangkapan melibatkan 25 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup.

Bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, beliau berkata 24,961 individu dari 32 negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 67 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu, seramai 9,887 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 15,008 lagi individu discaj dan dibenarkan pulang.

Sejak 30 Mac, sebanyak 9,874 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,970 premis terdiri daripada 2,708 pusat perniagaan, 5,706 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: Masih ramai ingkar jarak fizikal, tidak pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal adalah antara kesalahan masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia antara tatacara operasi piawai diwajibkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ia terbukti apabila daripada 131 tangkapan dibuat kerana ingkar PKPP semalam, dua kesalahan tersebut mencatat jumlah paling ramai ditahan iaitu 73 (aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal) dan 31 lagi tidak memakai pelitup muka

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan/catatan keluar masuk (20), langgar perintah kuarantin (2), premis beroperasi lebih masa (4) dan premis beroperasi tanpa lesen perniagaan (1).

“Bagi Operasi Benteng pula, seramai 67 pendatang tanpa izin dan empat tekong ditahan semalam kerana cuba memasuki negara ini secara haram melalui lorong-lorong tikus.

“Operasi turut membuat rampasan melibatkan satu bot dan empat kenderaan darat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 23,590 individu dari 32 negara telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Beliau berkata mereka ditempatkan di 68 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,162 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 14,362 lagi individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak 30 Mac, sebanyak 9,849 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,965 premis yang terdiri 2,706 pusat perniagaan, 5,703 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Pesta persendirian’ kesalahan tertinggi ingkar PKPP

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Kesalahan membabitkan penganjuran ‘private party’ atau pesta persendirian merupakan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada 46 individu yang ditahan oleh polis , 15 adalah atas kesalahan itu.

Lain-lain kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (11), premis beroperasi lebih masa (10), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (8) serta masing-masing satu kes kerana beroperasi tanpa lesen perniagaan dan penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran ramai orang yang menyukarkan penjarakan fizikal, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata sebanyak 26 tangkapan dilakukan oleh polis selain rampasan melibatkan lima kenderaan darat.

“Sebanyak 79 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan polis (65), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10 ) dan Angkatan Tentera Malaysia (4),” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi tempoh 24 Julai lepas hingga semalam, seramai 22,906 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 9,028 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 70 hotel dan empat Institut Latihan Awam manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 13,812 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.

Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Makin ramai ingkar PKPP, 778 orang ditahan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Bilangan individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terus meningkat dengan 778 orang ditahan setakat semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 98 individu direman, tujuh dijamin manakala 673 pula dikompaun.

“Kesalahan meliputi aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (127), gagal merekod butiran pelanggan (14) dan aktiviti dalam pub atau kelab malam (600).

“Selain itu, dua kesalahan gagal mematuhi arahan kuarantin, premis beroperasi lebih masa (12) dan beroperasi tanpa lesen perniagaan (7) serta tidak memakai pelitup muka (16),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri memaklumkan polis akan memohon bantuan pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pusat hiburan yang beroperasi lebih masa termasuk menarik semula permit.

Keseluruhannya, sebanyak 63,125 pemeriksaan dilakukan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKPP: 84 ditahan, paling ramai di kelab malam

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Seramai 84 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam dengan 45 daripada mereka ialah kerana aktiviti dalam pub atau kelab malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah tangkapan itu, 55 individu dikompaun, 27 direman dan dua dijamin.

Kesalahan lain dilakukan ialah gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk melibatkan 17 individu, tidak memakai pelitup muka (10 individu), premis beroperasi lebih masa (2), seorang kerana premis beroperasi tanpa lesen, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai menyukarkan penjarakan fizikal (7) serta dua tangkapan pendatang tanpa izin, katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Beliau berkata 61,303 pemeriksaan juga dilakukan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP melibatkan 4,798 pasukan pematuhan dengan 18,308 anggota pemantau yang memeriksa pasar raya, restoran, penjaja serta terminal pengangkutan darat, air dan udara.

Katanya sebanyak 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng dijalankan di seluruh negara semalam, dan 28,309 kenderaan diperiksa bagi mengekang pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 20,190 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 74 hotel serta empat institut latihan awam (ILA).

Beliau berkata daripada jumlah itu, 8,854 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, dan 11,280 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Kesemua mereka pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Ismail Sabri berkata sebanyak 418 pemeriksaan turut dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing semalam dan pemeriksaan mendapati kesemua individu yang dikuarantin mematuhi SOP ditetapkan.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula melakukan 1,264 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,196 premis mematuhi SOP manakala 43 premis diberi nasihat dan 25 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan Hari Kebangsaan 2020 dalam norma baharu

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan 2020 esok akan melakar sejarah tersendiri apabila ia diadakan dengan amalan norma baharu bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang dikuatkuasakan.

Jika sambutan sebelum ini dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan pasukan beruniform serta agensi kerajaan dan swasta tetapi pada kali ini perarakan seumpamanya tidak diadakan dan digantikan dengan acara membabitkan pergerakan dan jumlah minimum hadirin.

Acara kali ini, dijadual bermula jam 8 pagi di Dataran Pahlawan, Putrajaya itu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiada penyertaan daripada komponen lain bagi menjaga penjarakan fizikal susulan pandemik Covid-19.

Majlis dijadualkan bermula dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Pahlawan dengan disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut sama menyambut keberangkatan Seri Paduka berdua ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Ia kemudian diikuti dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ sebelum Seri Paduka berdua berangkat ke Dewan Serbaguna untuk Al-Sultan Abdullah menyampaikan Titah Diraja Sempena Hari Kebangsaan 2020.

Sebaik selesai Titah Diraja, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta orang kenamaan dijadual akan menyaksikan siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di layar besar yang disediakan oleh RTM.

‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan tahun ini dengan membawa maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

43 pasar tani di Selangor beroperasi sejak PKPP

SHAH ALAM, 30 OGOS: Sebanyak 43 daripada 49 pasar tani seluruh Selangor beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu, kata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor.

Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata pasar produk tani itu dibuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Kita harap dengan ramai pengunjung membolehkan aktiviti ekonomi usahawan bertambah baik sekali gus menyumbang kepada pendapatan usahawan dan pemasar.

“Ini kerana, Fama sentiasa membantu menyemarakkan lagi pasar tani dengan memasarkan produk pertanian sama ada tanaman, perikanan atau ternakan,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibaran Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di Pasar Tani Stadium Shah Alam, hari ini.

Tambah beliau, baki pasar terbabit di Petaling (tiga), Sepang (dua) dan Kuala Langat (satu) dibuka September ini mengikut garis panduan ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Kita sudah berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuka pasar tani tersebut dan setakat ini tiada masalah, cuma bergantung pada kesediaan usahawan.

“Ada sesetengah usahawan masih lagi mengambil langkah berhati-hati buat masa ini berikutan kebimbangan terhadap Covid-19, namun kita masih menggalakkan mereka untuk buka pasar tani berkenaan.”

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP lanjut, pelitup muka cukup tampung keperluan rakyat

MELAKA, 29 OGOS: Kerajaan yakin bekalan pelitup muka mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat di negara ini susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata
pada masa ini terdapat 13 pengilang tempatan beroperasi berbanding hanya empat sebelum penularan wabak Covid-19.

“… difahamkan ada beberapa lagi pengilang tempatan akan beroperasi tidak lama lagi.

“Dengan pertambahan kilang tempatan ini, kita yakin tidak akan berdepan dengan masalah bekalan pelitup muka walaupun kerajaan mengumumkan pelanjutan PKPP hingga Disember ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Negeri Melaka di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kementerian sedang mengkaji semua aspek sebelum menurunkan lagi harga siling pelitup muka jenis tiga lapis bawah RM1 agar adil kepada semua yang terlibat.

“Kerajaan perlu memastikan harga yang ditetapkan tidak terlalu rendah dan menjejaskan industri ini. Kalau mereka tutup, mana kita hendak dapatkan bekalan nanti. Kita tidak boleh mengharapkan import dari negara luar, kerana pelitup muka amat penting untuk keselamatan dan kesihatan kita,” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata hasil jualan barangan tempatan melalui platform e-dagang Shopee mencatatkan nilai jualan RM11.9 juta dalam tempoh Julai hingga 26 Ogos lepas berbanding hanya RM4.7 juta pada 2019.

Jumlah produk buatan Malaysia yang dijual menerusi Shopee juga meningkat daripada 3,500 kepada 26,365 produk melibatkan 5,177 penjual, katanya.

Beliau berkata KBBM bertujuan merancakkan sektor peruncitan dalam fasa PKPP dan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, KPDNHEP diberi peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menggerakkan kempen itu.

KBBM akan diteruskan ke seluruh negara secara berperingkat hingga Disember depan dan Melaka merupakan negeri keempat bagi pelancaran kempen itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 79 lagi individu ingkar perintah kawalan

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Meskipun sudah 81 hari negara berada di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masih ada individu yang melanggar arahan itu dengan 79 orang ditahan atas kesalahan tersebut semalam.

Dalam kenyataannya mengenai perkembangan PKPP hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 51 dikompaun manakala 28 lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam, gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa, private party serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 19,218 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam dan mereka telah ditempatkan di 70 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

Daripada jumlah itu, seramai 8,464 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 56 lagi telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 10,698 individu didiscaj serta dibenarkan pulang, katanya.

“Mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Polis Diraja Malaysia telah mengadakan 64 sekatan jalan raya Operasi Benteng dan memeriksa 30,120 kenderaan semalam bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin khususnya di lorong-lorong tikus.

Mengenai operasi sanitasi awam pula, Ismail Sabri berkata sebanyak 11 operasi telah diadakan di tujuh negeri semalam iaitu Melaka, Sabah, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur melibatkan 83 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan 135 anggota daripada agensi lain.

Dalam pada itu, beliau berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 690 premis perniagaan termasuk peruncit (504), pemborong (157) dan pengilang (29).

Menurutnya, KPDNHEP turut melakukan 1,024 pemeriksaan khas pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP dan mendapati 1,007 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 17 premis diberi nasihat.

Ismail Sabri berkata secara keseluruhannya bekalan barangan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara serta mudah diperoleh.

-BERNAMA