Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik lengang di beberapa lebuh raya utama

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di sekitar Lembah Klang dilaporkan lancar dan terkawal pada pagi sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat 11 pagi tadi, aliran trafik di kedua-dua arah Lebuhraya Utara Selatan juga lancar berikutan aliran trafik yang rendah.

“Trafik masih lengang di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 termasuk lokasi di sekitar Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Kuala Terengganu berikutan aliran trafik yang rendah,” demikian menurut jurucakap LLM.

Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Sungai Besi hari ini juga mendapati jalan raya lengang dari kedua-dua arah.

Selain itu, beberapa sekatan jalan raya di sekitar ibu negara khususnya di sempadan negeri yang sebelum ini berlaku kesesakan juga lancar dan terkawal.

Sebelum ini media melaporkan berlaku peningkatan aliran trafik di lebuh raya menghala ke timur beberapa hari sebelum Aidiladha yang disambut hari ini.

Pada Ahad lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kelulusan pergerakan sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri susulan terdapat individu menyalah guna surat itu untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

776 kemalangan di PLUS berlaku akibat barang jatuh dari kenderaan

KLANG, 10 MAC: Sebanyak 776 kemalangan dilaporkan pihak PLUS Malaysia Bhd (PLUS) berlaku akibat daripada barang-barang yang jatuh daripada kenderaan di laluan lebuh raya pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor Nazli Md Taib berkata, statistik itu adalah sesuatu yang membimbangkan, malah pihak PLUS juga melaporkan sebanyak 19,218 item objek dikutip sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 46.1 peratus objek adalah serpihan tayar, besi 18.4 peratus, kayu 11.9 peratus dan selebihnya adalah lain-lain objek seperti komponen kenderaan dan bahan plastik,” katanya kepada pemberita pada sidang media bersempena ‘Ops Halangan’ di Plaza Tol Bukit Raja di sini, hari ini.

Nazli berkata pada Ops Halangan yang dijalankan pihak JPJ dengan kerjasama PLUS dan polis peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, bertujuan untuk memberi kesedaran kepada semua pemilik treler dan lori serta para pemandu, untuk tidak meletakkan bahan-bahan seperti kayu dan besi di bawah badan kenderaan yang akan menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Beliau berkata sejak 8 pagi hingga 11 pagi tadi, JPJ telah mengeluarkan 196 notis saman di atas pelbagai jenis kesalahan, antaranya kesalahan kayu penyendal sebanyak 46 kes, kesalahan teknikal (21 kes), tayar celup/botak (11 kes), dua kes Agensi Pengangkutan Awam Darat dan lebih muatan (empat kes).

“Walaupun mereka memberitahu kayu atau besi tersebut telah diikat dengan kemas dan digunakan untuk menahan barang-barang, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk pemilik-pemilik treler meletakkan bahan-bahan yang tidak dibenarkan.

Menurutnya di bawah Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, pemilik kenderaan tidak dibenarkan meletak sebarang objek di badan kenderaan.

Beliau berkata mengenai pelaksanaan Ops Halangan, JPJ mengadakan operasi bersepadu bersama PLUS dan PDRM secara berterusan sepanjang tahun ini.

Katanya sejak Januari 2021 hingga semalam, JPJ Selangor telah mengeluarkan sebanyak 14,142 notis saman kepada pemilik treler dan lori bersempena ‘Ops Halangan’ atas pelbagai kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabel terbakar, PLUS jamin Jambatan Pulau Pinang selamat digunakan

GEORGE TOWN, 23 FEB: PLUS Malaysia Berhad memberi jaminan struktur keseluruhan Jambatan Pulau Pinang adalah kukuh dan selamat untuk digunakan susulan kebakaran kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah jambatan itu semalam.

Menurut kenyataan PLUS hari ini, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 7.30 malam semalam dan tidak melibatkan sebarang kecederaan.

“Susulan kejadian, lorong kanan di kedua-dua hala melibatkan lokasi kebakaran akan ditutup selama beberapa hari bagi membolehkan siasatan secara bersama dijalankan oleh TNB, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis.

“Sepanjang tempoh berkenaan, PLUS menggalakkan orang ramai menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah bagi mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang susulan penutupan lorong tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi R&R di kawasan PKPB dilanjut hingga 12 tengah malam – PLUS

KUALA LUMPUR, 20 FEB: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melanjutkan operasi premis makanan dan minuman di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di lebuh raya kendaliannya hingga 12 tengah malam di negeri-negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata bagi negeri-negeri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia kekal beroperasi bermula 6 pagi hingga 10 malam.

“Selari dengan tatacara operasi piawai (SOP) PKPB, waktu operasi terkini dan kapasiti tempat duduk berdasarkan kepada saiz meja sudah pasti memudahkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan bersama keluarga atau kumpulan pekerja untuk makan bersama.

“Kami berharap langkah ini dapat membantu meningkatkan perniagaan kepada pengusaha gerai dan rakan niaga kami kerana pertambahan kunjungan orang ramai ke R&R sangat dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata semasa tempoh PKP dan PKPB, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam dengan menjalankan pembersihan berjadual lebih kerap.

“Untuk menikmati pelbagai hidangan makanan dari gerai dan rakan niaga, PLUS menasihatkan pelanggan supaya dapat membuat Pra-Pesanan makanan menerusi Aplikasi PLUS atau klik https://orderdisini.plus.com.my/. Pelanggan juga boleh melayari Facebook rasmi PLUS Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai fungsi Pra-Pesanan.

“PLUS juga menggalakkan pelanggan supaya memuat turun aplikasi PLUS bagi memudahkan mereka merancang perjalanan di lebuh raya dengan terdapatnya maklumat trafik terkini serta paparan kamera litar tertutup (CCTV) mengenai keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PLUS buka semula medan selera R&R, ikut SOP ketat

KUALA LUMPUR, 11 FEB: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula medan selera di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) termasuk dua restoran jejantas dan hentian sebelah di lebuh raya kendaliannya serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), bermula semalam.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembukaan semula ruang makan itu selari dengan pengumuman kerajaan berhubung kebenaran makan di restoran dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat berkuat kuasa semalam.

“PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menikmati makanan dan minuman di kawasan berkenaan agar mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu hanya dua orang dibenarkan untuk satu meja makan dengan memastikan penjarakan fizikal satu meter.

“Semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini manakala restoran, gerai serta trak makanan dan minuman bergerak termasuk kedai serbaneka beroperasi mulai 6 pagi hingga 10 malam,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, prapesanan menerusi aplikasi PLUS juga digunakan dalam usaha membantu rakan niaga menerima tempahan daripada pelanggan dan ia boleh dimuat turun secara percuma melalui google Play Store atau App Store.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik lebuh raya utama lancar pagi ini

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Aliran trafik di lebuh raya utama negara setakat 11 pagi ini, bergerak lancar dan terkawal walaupun jumlah kenderaan meningkat berikutan cuti panjang sempena perayaan Krismas yang akan disusuli cuti umum tahun baharu, minggu depan.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata aliran trafik di kedua-dua arah berjalan lancar dan terkawal.

“Kita menjangkakan aliran trafik akan meningkat esok berikutan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing untuk bekerja,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata aliran trafik ke arah timur negara juga bergerak lancar dan terkawal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafikm atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik .

-BERNAMA

Sumber Grafik: LLM
Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik perlahan pagi Hari Krismas

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Aliran trafik di lebuh raya utama negara setakat 10 pagi ini, bergerak perlahan berikutan jumlah kenderaan yang meninggalkan ibu kota mula bertambah di beberapa tempat pada pagi Hari Krismas yang juga cuti umum.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata aliran trafik mula perlahan di lebuh raya terutama dari Kuala Lumpur menghala ke utara pada pagi ini.

“Setakat ini, keadaan trafik dari Slim River menghala ke Sungkai dan di Km 444.9 Rawang Selatan menghala ke Rawang bergerak perlahan akibat kemalangan.

“Trafik juga bergerak perlahan di Sungai Buloh menuju ke Rawang, Bukit Beruntung menghala ke Bukit Tagar dan Tapah ke Gopeng,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, dari selatan ke arah utara pula trafik bergerak perlahan dari Senai ke Kulai, Senawang ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Senawang, dan dari utara ke arah selatan trafik juga perlahan dari Putra Mahkota menuju ke Nilai.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia pula berkata trafik turut perlahan sebelum memasuki Terowong Genting Sempah arah timur.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafikm atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik .

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Trafik dijangka naik 30 peratus semasa Krismas, tahun baharu – PLUS

KUALA LUMPUR, 18 DIS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengunjurkan aliran trafik meningkat hingga 30 peratus semasa cuti umum bersempena sambutan Krismas dan tahun baharu 2021 minggu depan.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata bagi tempoh itu, dijangkakan jumlah trafik di lebuh raya utama meningkat hingga 1.7 juta kenderaan pada waktu puncak setiap hari berbanding 1.3 juta pada hari biasa.

Sehubungan itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna yang melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan antara 22 Disember hingga 19 Januari 2021 dan menggalakkan pengguna lebuh raya mengikutinya.

“Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

“Pengguna yang menuju ke lain-lain destinasi lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain-lain negeri disaran memasuki lebuh raya selepas 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengguna lebuh raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh sama, dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

PLUS katanya amat menggalakkan orang ramai mengikuti jadual perjalanan disarankan itu bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar, sekali gus mengurangkan kesesakan terutama di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat dan rawat pada musim perayaan.

PLUS juga menasihati orang ramai untuk terus mematuhi prosedur kesihatan dan keselamatan, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri serta memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara ketika ini.

Maklumat terkini boleh diperolehi menerusi aplikasi PLUS, Twitter @PLUSTrafik, interaksi secara digital di Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik lebuh raya atau talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik lancar, tiada kesesakan luar biasa – polis

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Tiada kesesakan luar biasa di kebanyakan lebuh raya utama negara selepas seminggu kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pemerhatian pihaknya mendapati aliran trafik lancar sejak dua hari lepas dan perkara tersebut dijangka berterusan.

“Kita menjangkakan tiada kesesakan luar biasa di semua lebuh raya dan pemerhatian sejak dua hari lalu mendapati aliran trafik seperti biasa sama ada menuju ke utara, timur atau selatan tanah air,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, anggotanya tetap berada dalam keadaan bersiap sedia dalam memantau aliran lalu lintas di semua lebuh raya dan juga jalan utama, termasuk jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, laluan di kedua-dua arah LPT 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar setakat 2.30 petang ini.

Bagaimanapun, aliran trafik perlahan di beberapa laluan seperti KM 42.3 hingga KM 41.0 hala barat (Bukit Tinggi-Genting Sempah) berikutan terdapat kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terbabit kemalangan.

“Trafik perlahan dari PGA ke Pusat Bandar dan Puchong Perdana ke Puchong Intan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata aliran trafik ke utara dan selatan adalah lancar.

Pada 5 Dis lepas, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula Isnin lalu.

Polis juga tidak melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kemalangan lori minyak sawit: Bina ban tanah elak henti tugas LRA

SHAH ALAM, 6 NOV: Ban tanah dibina di sistem saliran berhampiran kawasan kemalangan lori membawa muatan minyak sawit, dekat Bandar Ainsdale ke Nilai bagi menghalang pencemaran Sungai Jerangkang dan Sungai Batang Labu.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata langkah itu dibuat Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) selain pihaknya memohon kerjasama Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan untuk mengambil tindakan kawalan di lokasi.

“Lori berkenaan dialihkan dan pemiliknya melakukan penyedutan minyak yang tumpah. Pasukan kecemasan Luas turut berada di tapak terbabit bagi memantau kerja pembersihan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kerja menyedut dan membersihkan minyak dijalankan pemilik lori di kawasan kemalangan pada 6 November 2020. Foto Facebook Luas

Susulan tindakan pantas itu, agensi memaklumkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu dan Salak Tinggi berjalan seperti biasa kerana tiada bahan tercemar memasuki saliran.

Kemalangan di Kilometer 276.1 arah utara berlaku kira-kira jam 7.40 pagi tadi dianggarkan sejauh 10.7 kilometer (KM) dan 15.68 KM dari dua LRA itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus: 3E tangani isu keselamatan lebuh raya, guna teknologi

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Plus Malaysia Berhad (Plus) melaksanakan formula ‘3E’ iaitu kejuruteraan (Engineering), penguatkuasaan (Enforcement) dan pendidikan (Education) dalam usaha memastikan lebuh raya kendalian syarikat itu berada pada tahap terbaik.

Dalam kenyataan hari ini, Plus memaklumkan aspek kejuruteraan memfokuskan penggunaan aplikasi teknologi terbaru bagi meningkatkan keselamatan seperti turapan jalan, penghadang jalan, peralatan keselamatan jalan raya dan teknologi video analitik.

“Sebagai contoh, di laluan Ipoh-Kuala Kangsar, Plus telah mengadakan penambahbaikan aspek kejuruteraan seperti pemasangan pengadang jalan konkrit, ‘rumble strips’ dan sebagainya untuk meningkatkan tahap keselamatan di laluan terbabit,” menurut kenyataan itu.

Bagi aspek penguatkuasaan pula, Plus berkolaborasi dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Penguatkuasaan Awam Darat (APAD) untuk meningkatkan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang keselamatan jalan raya.

Ia termasuk 96 Ops Halangan yang dilaksanakan tahun lepas dalam usaha mengesan kenderaan berat yang membawa muatan secara berbahaya, di samping tahap keselamatan tayar yang digunakan.

Menurut kenyataan itu, Plus turut bekerjasama dengan JPJ untuk memasang lebih banyak kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di empat lokasi terpilih di lebuh raya untuk mengurangkan kemalangan disebabkan pemandu yang memandu melebihi had laju.

Sementara itu, bagi aspek pendidikan merangkumi penganjuran program kesedaran keselamatan jalan raya seperti Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP) yang diperkenalkan pada 2018 dan telah merekodkan pengurangan jumlah kematian melibatkan petugas di lebuh raya sebanyak 75 peratus.

Pemandangan udara di sekitar kawasan Plaza Tol Jalan Duta di bawah kendalian PLUS. Foto BERNAMA

Plus turut mengambil inisiatif mendidik orang ramai tentang keselamatan lebuh raya menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Menurut kenyataan itu lagi, secara purata antara 2013 hingga 2019, hanya 2.6 peratus insiden trafik seluruh negara berlaku di lebuh raya Plus dan ia disebabkan pendekatan yang diguna pakai Plus telah menyaksikan penurunan jumlah kemalangan di lebuh raya kendaliannya.

Selain mendapat kedudukan pertama bagi lebuh raya sistem tertutup berprestasi terbaik dari segi keselamatan dan keselesaan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Plus juga adalah syarikat pengendali lebuh raya di Asia yang pertama memenangi anugerah antarabangsa keselamatan jalan raya iaitu ‘Prince Michael International Road Safety Award’ pada 2019.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Plus tutup sementara surau R&R, hentian sebelah

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kemudahan surau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah plaza tol yang terletak di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan ditutup sementara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PLUS Malaysia Berhad (Plus) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan antara lokasi surau terlibat adalah R&R Ulu Bernam (arah selatan), R&R Rawang (arah utara), R&R Dengkil (kedua-dua arah), Restoran Jejantas Sungai Buloh dan USJ serta Hentian Sebelah Tanjung Malim (arah utara), Hentian Sebelah Sungai Buloh (arah selatan) dan Hentian Sebelah Serdang (kedua-dua arah).

“Kesemua 29 surau yang terdapat di hentian sebelah plaza tol Plus di negeri dan kawasan yang terlibat turut ditutup sementara kepada orang ramai.

“Gerai makan di lokasi terbabit hanya dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh PKPB dan hanya dua individu dibenarkan duduk di meja makan. Pelanggan yang singgah di R&R juga perlu mendaftar menerusi MySejahtera dan merekodkan suhu badan sebelum memasuki premis makanan selain mematuhi penjarakan fizikal satu meter serta memakai pelitup muka sebelum dan selepas makan,” menurut kenyataan itu.

Semua kemudahan tandas awam di R&R yang terlibat tetap beroperasi 24 jam setiap hari sepanjang tempoh PKPB.

-BERNAMA