Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan jalan raya diadakan semula di KL, Selangor dan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Polis akan kembali menguatkuasakan sekatan jalan raya (SJR) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 14 Okt.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sekatan jalan raya itu akan diadakan di beberapa lokasi di tiga negeri terlibat bermula tengah malam esok.

“Sekatan jalan raya akan dilaksanakan sama seperti yang pernah dibuat sebelum ini (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Mac lepas. Arahan penugasan anggota polis di lokasi akan diatur oleh ketua polis Kuala Lumpur dan ketua polis Selangor,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM akan bekerjasama dengan PDRM dalam melaksanakan sekatan jalan raya seperti sebelum ini.

“ATM dan PDRM akan buat seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya ringkas.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini.

Keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Petaling serta Gombak.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Gangguan bekalan air pulih 97 peratus

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sebanyak 266 dari 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya menerima bekalan air penuh dengan peratusan pemulihan pada tahap 97 peratus sehingga 6 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Basri, dalam kenyataan hari ini, menyebut Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem bagi memulihkan lapan lagi kawasan yang masih terjejas di wilayah Petaling dan Kuala Langat.

Air Selangor menyarankan agar para pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran komunikasi rasminya dengan merujuk aplikasi Air Selangor, media sosial Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad apabila Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas selepas berlaku pencemaran sumber air mentah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga konsep bandar pacu hala tuju Putrajaya

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Konsep bandar pintar, bandar hijau dan bandar sukan akan memacu visi pembangunan Putrajaya bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata 32 peratus daripada garis panduan dalam Pelan Induk Putrajaya Bandaraya Pintar 2018-2025 telah berjaya dicapai setakat ini dan bakinya diyakini mampu dicapai menjelang 2025.

“Pembangunan terdahulu lebih kepada pembangunan fizikal dan infrastruktur (sebagai pusat pentadbiran), sekarang fokus lebih tertumpu kepada pengisian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi merealisasikan hasrat menjadi bandar pintar, PPj telah melancarkan Pelan Induk Putrajaya Bandaraya Pintar 2018-2025 yang antaranya menekankan elemen bangunan pintar; selamat dan e-mobility, katanya.

Mengenai konsep bandar hijau yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar, beliau berkata 70 bangunan di Putrajaya sekarang dipantau tahap pelepasan karbonnya, manakala bangunan yang akan dibangunkan diwajibkan mempunyai elemen jimat tenaga atau konsep hijau.

Mengenai bandar sukan pula, Aminuddin berkata ia bagi memenuhi keperluan permintaan kemudahan sukan dan riadah kerana ramai penduduk dari luar Putrajaya yang datang ke sini bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, Football City akan dibangunkan di Presint 5 yang dijangka siap pada 2023 dan menempatkan Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), manakala Stadium Ragbi Nasional pula akan dibina di Presint 13 dan dijangka siap pada 2022.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya jadi tumpuan warga tidak balik ke kampung

PUTRAJAYA, 24 MEI: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, yang lazimnya lengang ketika cuti umum Aidilfitri, hari ini ceria dengan kehadiran orang ramai yang lengkap dengan pakaian hari raya.

Mereka yang kebanyakannya tidak dapat pulang ke kampung halaman berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mencegah penularan Covid-19, datang untuk bersiar-siar dan bergambar di lokasi-lokasi menarik dan bangunan-bangunan ikonik di sini.

Seorang pengunjung, Abu Bakar Burhanuddin hadir bersama seorang rakannya dari Kuala Lumpur untuk bersiar-siar bagi menghilangkan kebosanan di rumah.

Katanya pada setiap tahun, beliau pulang ke rumah datuknya di Johor selepas solat sunat Aidilfitri, namun kali ini beliau terpaksa akur berhari raya di ibu kota bagi mematuhi PKPB.

“Saya tak kisah pun tak dapat balik kampung sebab kita mesti ikut norma baharu, jaga penjarakan sosial dan sebagainya.

“Suasana pun sangat berbeza, tiada solat hari raya di masjid dan selalunya Kuala Lumpur dan Putrajaya lengang, tetapi kali ini ramai orang dan kenderaan di jalan raya pun banyak,” katanya.

Bagi Siti Nabilah Zulkifli, 35, beliau bersama-sama keluarga mengambil kesempatan bersiar-siar dan bergambar di Putrajaya bagi menceriakan anak-anak kerana tidak pulang berhari raya di Kedah.

“Pada mulanya kami hanya ingin makan-makan dan berehat sahaja di rumah di Seri Kembangan, tetapi anak-anak nampak bosan, jadi kami ke sini untuk bersiar-siar,” katanya.

Amirul Adli Razali, 33, berkata ini kali pertama beliau bersama isteri dan anak-anak tidak pulang ke kampung halaman di Bachok, Kelantan untuk menyambut Aidilfitri.

“Disebabkan tak dapat ziarah rumah saudara-mara, jadi saya bawa anak-anak bersiar-siar ambil gambar,” kata petugas di Kementerian Pendidikan itu.

Dalam pada itu, beberapa kereta peronda polis kelihatan membuat pemantauan di sekitar Putrajaya bagi memastikan orang ramai tidak berkumpul dan mematuhi amalan penjarakan sosial.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM rasmi arca Putrajaya, mercu tanda tarikan terkini

PUTRAJAYA, 31 DIS: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini merasmikan arca ‘Putrajaya’, iaitu mercu tanda tarikan terkini di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Dengan latar belakang Perdana Putra, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, arca yang direka bentuk dengan imej abstrak berwarna-warni itu menampilkan keunikan paparan imej grafik yang boleh ditukar ganti.

Majlis perasmian mercu tanda Putrajaya baharu di Dataran Putra, Presint 1 di sini itu turut dihadiri Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Arca berketinggian 2.4 meter (lapan kaki) yang diperkukuhkan dengan asas tapak huruf berkelebaran 1.5 meter (lima kaki) serta panjang keseluruhan huruf sepanjang 22 meter (66 kaki) itu dibina daripada ‘stainless steel’ (keluli tahan karat) supaya tahan lasak, manakala bahagian belakang huruf-huruf yang membentuk perkataan Putrajaya pula berimejkan kibaran Jalur Gemilang.

Aminuddin berkata, pembinaan arca hasil inspirasi pegawai-pegawai muda PPj itu menjadi manifestasi keutuhan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sejak dibangunkan pada 1995.

Beliau berkata, idea pembinaan arca itu antara perancangan pelan penceriaan Putrajaya yang dibentangkan kepada Perdana Menteri pada 12 Disember lepas dan kerajaan menetapkan tempoh sehingga Mac depan untuk disiapkan.

“Alhamdulillah dalam tempoh singkat kita dapat bangunkan arca ini dan Dataran Putra dipilih sebagai lokasi yang juga tapak asal Putrajaya mula dibangunkan,” katanya.

Aminuddin berkata, imej grafik pada perkataan itu akan ditukar setiap enam bulan sekali yang disesuaikan dengan tema semasa seperti sambutan hari kebangsaan.

“Perdana Menteri amat berpuas hati dengan rekaan arca dan mahu lebih banyak idea menceriakan Putrajaya dapat dilaksanakan di masa depan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sambutan Hari Kebangsaan 2018: Beberapa jalan utama di Putrajaya ditutup

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Beberapa jalan utama di Putrajaya akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula Ahad ini sehingga 31 Ogos sempena acara raptai serta sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata lencongan serta penutupan jalan akan dibuat bermula 6 pagi sehingga acara selesai.

Beliau berkata jalan terlibat ialah Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Wawasan, Lebuh Saujana, Lebuh Bestari, Lebuh Setia, Jalan Perpaduan, Jambatan Wawasan, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Jalan T. A. Rahman.

“Lebih kurang 6,000 lot parkir awam disediakan dan bagi memudahkan orang ramai untuk ke lokasi sambutan serta terdapat bas ulang-alik yang disediakan di zon tertentu untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

“Sambutan ini akan dimeriahkan dengan perbarisan serta perarakan aset-aset Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi lain dan dijangka 300,000 orang akan hadir,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau berkata 1,351 pegawai dan anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan dan lalu lintas sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PELANCONGAN

Neutral sokong parti politik, penjawat awam perlu bantu dasar Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 1 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menuntut penjawat awam supaya bersifat ‘neutral’ tanpa menyokong kepada parti kerajaan semata-mata.

Beliau berkata, wujud persekitaran pegangan politik dalam kalangan penjawat awam sebelum ini yang hanya berpihak kepada parti kerajaan sahaja.

Katanya, senario itu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap komitmen mereka dalam membantu Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) melaksanakan manifesto pentadbiran gabungan itu.

“Kita dapati ramai pegawai kerajaan sama ada dengan sukarela atau tidak mengambil bahagian berkempen untuk Barisan Nasional dalam pilihan raya, sebelum ini.

“Kerajaan PAKATAN sangsi terhadap pegangan politik mereka, sama ada masih menyokong parti lama atau kerajaan sekarang, selepas pentadbiran Putrajaya berubah.

“Kami berharap pegawai kerajaaan ini boleh mengubah pendirian mereka dengan lebih (bersifat) neutral terhadap pegangan politik mereka.

“Tumpuan utama mereka adalah terus membantu kerajaan melaksanakan dasar sedia ada kini,” katanya pada sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Terdahulu, sidang media berkenaan diadakan sebagai lanjutan mesyuarat kali pertama Majlis Presiden Pakatan Harapan yang turut dihadiri Ketua Umum gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar antara pimpinan utama gabungan itu yang turut hadir, pada sidang media itu.

Dalam perkembangan sama, Tun Dr Mahathir turut mengulas isu pemberian bantuan kewangan membabitkan penjawat awam di bawah klasifikasi lantikan kontrak ketika pentadbiran Barisan Nasional, sebelum ini.

Beliau berkata, tidak wujud sentimen ‘penganiayaan’ terhadap penjawat awam berstatus kontrak apabila penamatan serta merta diputuskan Kerajaan PAKATAN.

“Mereka juga turut menerima insentif bantuan hari raya. Kita bukan menganiaya mereka. Ketika ini kita dapati lebih 17,000 penjawat awam berstatus kontrak ditubuhkan parti lawan.

“Jawatan itu tidak diperlukan, kerana ia hanya diberikan kepada orang parti yang berkempen secara terang-terangan memakai baju biru dalam berpolitik.

“Atas alasan inilah, maka kami mempersoalkan kesetiaan mereka terhadap parti politik,” katanya.

Categories
NASIONAL

Jawatan Timbalan, ikut keperluan Menteri – Tun M

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 1 JUN : Jawatan Timbalan Menteri bagi setiap Jabatan Kementerian di Putrajaya terhad kepada keperluan Menteri sahaja.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia tidak semestinya perlu dianggotai 25 kementerian kabinet yang ditetapkan.

“Jawatan Timbalan Menteri itu masih kita tidak tahu jumlahnya berapa.

“Ia bergantung kepada keperluan Menteri,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, petang ini.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini menegaskan tiada keperluan penambahan jumlah Menteri Kabinet dibuat sekiranya gabungan itu memegang tampuk pentadbiran Putrajaya.

Komitmen itu kini direalisasikan secara jelas pentadbiran PAKATAN apabila gabungan itu hanya melantik beberapa Menteri Kabinet terpenting, bagi menggerakkan fungsi pentadbiran di Putrajaya.

Untuk rekod, Tun Mahathir hanya melantik 13 anggota jemaah Menteri bagi mengikut keperluan Kementerian utama Putrajaya kini.

Bagaimanapun, tiada lantikan Timbalan Menteri diumumkan sehingga kini.

PAKATAN sebelum ini memaklumkan kabinet baru gabungan itu hanya akan dianggotai 25 menteri, termasuk daripada wakil Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Jumlah itu disifatkan rendah berbanding jumlah kabinet di bawah pentadbiran Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memiliki 35 jemaaah menteri.

Categories
NASIONAL

Menang RM24,000 rakam detik indah di Putrajaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 29 MEI: Hanya dengan merakam detik-detik indah di Putrajaya, orang ramai layak memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM24,000.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail berkata, acara yang dinamakan Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya 2018 itu pastinya dinanti orang ramai termasuk jurugambar.

Katanya, terdapat kategori video pendek yang membolehkan peserta merakam suasana Putrajaya yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti terutamanya pelancongan.

“Kami membenarkan rakaman video pendek ini menggunakan telefon bimbit, namun terdapat lokasi tertentu boleh dirakamkan untuk mengikut tema disediakan, ia termasuk taman awam, tasik dan juga kawasan berpaya yang memperlihatkan keindahan flora dan fauna,” katanya dalam kenyataan.

Hadiah utama bagi setiap kategori ialah RM4,000 dan jumlah keseluruhan wang tunai disediakan ialah RM24,000.

Untuk syarat dan terma pertandingan, orang ramai boleh mendapatkannya dengan melayari laman web http://putrajayatourismphotocontest.com atau hubungi 03-8887 7736 atau 03-8887 7448.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Gaji jemaah menteri dipotong 10%

PUTRAJAYA 23 MEI: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan gaji jemaah menteri akan dipotong sebanyak sepuluh peratus.

Beliau berkata ia bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terhadap masalah kewangan kerajaan.

“Jemaah menteri setuju supaya gaji menteri dipotong 10 peratus…(Potongan) ini berdasarkan gaji asas.

“Kita tidak bercadang untuk naikkan gaji menteri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agenda Reformasi, babak baru pentadbiran negara – Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 16 MEI : Agenda Reformasi akan terus diangkat dalam mandat pentadbiran baru Kerajaan Putrajaya, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia akan menjadi senario dan babak baru ke arah memacu pentadbiran Malaysia yang lebih baik dan bebas korupsi.

“Ini berlaku dengan izin Allah, ia juga terjadi kerana semangat kuat yang ditunjukkan rakyat yang berjuang hampir 20 tahun tanpa rasa letih.

“Hari ini akan menjadi detik permulaan dan babak baru. Saya secara peribadi sudah menyatakan sokongan saya terhadap Tun Mahathir Mohamd (Perdana Menteri) dan Wan Azizah (Timbalan Perdana Menteri) untuk menerajui negara.

“Saya sebagai rakyat biasa, akan menyokong kepimpinan ini,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya di Bukit Segambut, petang ini.

Hadir sama, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga pimpinan utama KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Dr Xavier Jayakumar.

Ini merupakan sidang media pertama Anwar Ibrahim selepas mendapat pembebasan daripada Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pembebasan Anwar Ibrahim dibuat tanpa sebarang syarat dan diputuskan Lembaga Pengampunan, pagi ini.

Anwar dibebaskan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur tepat jam 11.30 pagi ini.

Sejurus pembebasannya, beliau dilaporkan ke Istana Negara, menghadap Seri Paduka Agong, bagi menzahirkan penghargaan Anwar ke atas pembebasannya.

Terdahulu, Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan Fitnah II.

=EZY=

Categories
SELANGOR

PAKATAN Putrajaya, jamin pulangan ekonomi rakyat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 13 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan kelangsungan ekonomi Selangor tidak akan dinafikan, walaupun pentadbiran Putrajaya beralih kuasa.

Beliau berkata, ketetapan itu perlu dilaksanakan selepas mengambil kira sumbangan besar pendapatan ekonomi Selangor di Putrajaya.

“Saya sudah adakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Perbincangan ini dibuat bagi memastikan Kabinet Pakatan yang akan dibentuk ini (memberi jaminan) terhadap hak rakyat Selangor yang telah menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) tertinggi negara.

“Justeru, ia perlu dipulangkan kepada negeri dan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata, ia bagi memastikan hak ekonomi negeri ini terus diangkat ke arah piawaian terbaik dalam mengekalkan rentak kemajuan Selangor, sebagai negeri termaju di Malaysia.

Bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Selangor kekal mendahului negeri-negeri lain sebagai penyumbang terbesar KDNK negara.

Mohamed Azmin sebelum ini memaklumkan, perolehan kejayaan itu didorong hasil sentimen kepercayaan pelaburan dari dalam dan luar negara.

Antaranya, kemasukan pelaburan dari Jepun, yang mensasarkan perolehan kewangan sebanya RM1.2 bilion.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Gombak, di Dataran Greenwood, hari ini.

=EZY=