Categories
NASIONAL

Rasuah: Ikan bilis terjerat, jerung dilepas?

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memantau tindak tanduk pemimpin yang memiliki kekayaan luar biasa sejak dulu lagi bukan sehingga disuruh.

Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata,  SPRM ‘lambat’  mengambil tindakan kerana rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap badan terbabit.

“Rakyat sentiasa mengawasi tindak tanduk pemimpin khususnya menteri dalam konteks kekayaan luar biasa. SPRM sebenarnya lambat memberi fokus kepada isu ini,” katanya kepada Selangor Kini.

logo SPRMBeliau berkata demikian ketika diminta mengulas  berkenaan kenyataan SPRM bahawa undang-undang baru perlu digubal supaya mereka yang mempuyai kemewahan melampau wajib mengisytihar harta.

Suee Lim berkata, bagaimanapun langkah SPRM itu sedikit sebanyak dapat memantau dan mencegah elemen rasuah daripada terus menular, namun berharap kes dikendalikan telus serta adil.

” Kenyataan itu sebenarnya langkah permulaan baik dan memberi keadilan kepada semua. Namun, kita mahu SPRM kendalikan dengan adil dan tidak pilih kasih atau pilih bulu ,” katanya.

Katanya, persepsi awam yang beranggapan SPRM hanya bertindak terhadap ‘ikan bilis’ harus dipulihkan melalui tindakan adil dan drastik.

ngsueelim“Ia demi keyakinan rakyat terhadap peranan SPRM dalam usaha membanteras rasuah. Semua harus diadili sama ada ikan bilis atau ikan jerung,” katanya.

Minggu lalu, SPRM menyatakan sedang mengawasi setiausaha peribadi dan politik menteri kabinet berhubung dakwaan mereka hidup di luar kemampuan masing-masing.

Sementara itu, Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir pula berkata, SPRM perlu merangka undang-undang baru itu sewajarnya.

“Adakan  proses konsultasi dengan pelbagai pihak termasuk orang ramai bagi memastikan pendekatannya menyeluruh,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Enggan diludah anak cucu kemudian hari, penguatkuasa tolak rasuah RM10k

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 2 OKT: Perbuatan menerima rasuah bukan sahaja salah di sisi agama dan undang-undang, malah perbuatan khianat itu juga mendatangkan kemudaratan kepada generasi hari ini dan akan datang.

Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) Hairol Azman Razali tidak teragak-agak menolak mentah-mentah wang tunai RM10,000 yang ditawarkan kepadanya oleh seorang pengusaha pusat perjudian haram cyber cafe.

Tawaran itu dibuat sejurus Hairol Azman dan 60 anggota penguatkuasa lain tiba ke lokasi serbuan untuk menjalankan operasi cegah pusat judi haram cyber cafe yang dinamakan Ops Dadu di Bandar Baru Salak Tinggi, semalam.

20141001_124109“Dia jumpa saya tadi dan minta saya ke restoren berhampiran untuk serahkan RM10,000 tetapi kalau saya terima, bukan sahaja tak selamat di akhirat tetapi nafkah untuk menyara keluarga juga jadi tak berkat.

“Kami berkerja, hidup berkeluarga, Insya-Allah akan bersara di sini dan tentunya kami tak mahu generasi anak cucu kami yang membesar di sini terjebak dalam gejala seperti ini kalau kami tak tegas.

“Jangan esok anak cucu kami meludah ke muka kami dan bertanya kenapa kami tak tegas dan rasuah hingga mereka atau anak mereka terjebak,” kata Hairol Azman sejurus operasi itu selesai dijalankan.

DSC_9313Jelas beliau, perkara ini turut ditekankan kepada seluruh anggota MPSp bagi mengingatkan mereka akan tanggungjawab yang diamanahkan dan kesan buruk rasuah terhadap agama, bangsa dan negara.

Kata Hairol lagi, sikap amanah yang diterapkan dalam diri setiap anggota penguatkuasa MPSp itu menjadi salah satu faktor penting kawasan pentadbiran MPSp bebas daripada sarang pelacuran dan pusat karaoke.

DSC_9292“Ini adalah usaha berterusan di mana kami tak tunggu dah banyak baru cantas tetapi asal naik sedikit kami terus cantas awal-awal dan pusat karaoke pula, jika ada sahaja kesalahan dilakukan kami tidak teragak-agak bertindak tegas,” kata Hairol Azman lagi.

Bagaimanapun ujar Hairol Azman, pusat perjudian haram sukar untuk dibendung memandangkan sikap pengusaha yang berani mengambil risiko diserbu lantaran mampu memperolehi keuntungan berlipat kali ganda berbanding hukuman yang dikenakan.

“Pusat perjudian ini akan terus wujud selagi ada permintaan tetapi kami tetap berusaha sebaik mungkin dengan harapan orang ramai menjauhi tabiat berjudi,” kata Hairol Azman lagi.

Sementara itu ketika anggota penguatkuasa sibuk memunggah barang rampasan ketika operasi dijalankan, dua lelaki sekitar 50an dilihat sujud di atas permukaan jalan berhampiran salah satu lori penguatkuasa yang berada di situ.

Hairol memberitahu Selangor Kini, tindakan dua lelaki yang dipercayai ahli kariah surau berdekatan itu, berikutan rasa syukur dan gembira apabila melihat pusat-pusat perjudian berhampiran kediaman mereka itu diserbu.

HM

Categories
NASIONAL

SPRM, Jabatan Hutan bentuk jawatankuasa banteras rasuah pembalakan

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah bersetuju secara dasar untuk menubuhkan jawatankuasa bersama memantapkan integriti dan menangani gejala rasuah berkaitan perhutanan dan pembalakan.

Timbalan Ketua Persuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata jawatankuasa itu merupakan platform terbaik menangani gejala rasuah dan mempertingkatkan integriti dalam perlaksanaan tugas di peringkat jabatan.

“Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mencetuskan idea ini. SPRM menyambut baik dan merasakan perlu sebuah jawatankuasa bersama kerana ia akan membawa peranan yang lebih efektif kedua-dua agensi ini,” kata beliau, dipetik dari laporan agensi berita Bernama.

SPRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah mengadakan sesi perbincangan di ibu negara baru-baru ini bagi menggalakkan lagi kolaborasi untuk memantapkan tadbir urus dan sistem penyampaian di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Pada sesi pertemuan ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Dato’ Profesor Dr. Abd Rahman Abd Rahim bersama Pengarah-pengarah Jabatan Perhutanan Negeri dan Bahagian. Selain Mustafar, SPRM diwakili oleh Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Dato’ Mohd Yusoff Akope.

“Kerjasama antara agensi adalah penting bagi memperkukuhkan integriti dan menangani isu rasuah, dan pada masa yang sama, membetulkan persepsi di kalangan orang ramai,” kata Dr Abd Rahman.

Categories
NASIONAL

Pemberian ketuhar berjenama warnai PRK Pengkalan Kubor

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM – Kehadiran puluhan penunggang motosikal mengunjungi Rumah Umno Pahang di UPU Kg Ketil dan penunggangnya membawa ketuhar berjenama Pensonic yang menimbulkan curiga banyak pihak.

Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya merasa curiga dan mengesa pihak berkuasa membuat siasatan. mikrowave

Beliau khuatir pemberian ketuhar itu cubaan merasuah pengundi Dun Pengkalan Kubor sempena proses pembuangan undi bagi Pilihanraya Kecil Dun tersebut yang berlaku hari ini.

“Kita merasa curiga dengan senario yang berlaku dan kita minta supaya pihak berkuasa membuat siasatan kerana kita syaki telah berlaku rasuah besar-besaran untuk membeli undi pada PRK ini.

“Kita mengecam strategi yang kotor seperti ini dan ini bukanlah yang kali pertama berlaku,” katanya dipetik laman rasmi Pengkalan Kubor.Pas.Org

Beliau turut menyatakan pihak lawan ada menggunakan taktik yang tidak disenangi terhadap PAS semasa tempoh berkempen yang berakhir jam 12 malam semalam.

“Sebelum ini sudah ada sabotaj terhadap PAS di mana ada pihak-pihak tertentu mengedarkan buletin palsu yang kononnya dikeluarkan oleh pihak PAS.

“Ini adalah sabotaj terhadap PAS dan kami pihak Pemuda PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang dimainkan oleh pihak tertentu ini,” katanya lagi.

HM

Categories
NASIONAL

Bertindak terhadap perasuah, bukan berlari

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 22 APRIL: Program larian bagi menunjukkan komitmen menjadikan negara bebas rasuah yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mampu memberi apa-apa kesan dalam usaha memerangi rasuah.

Mantan Pengarah Bank Negara, Dr Rosli Yaakop berkata sebaliknya program yang dijalankan itu hanya merupakan percubaan Kerajaan BN memberi persepsi kononnya bersungguh-sungguh membenteras rasuah.

lari“Rakyat sekarang sudah bijak. Mereka juga tahu program seumpama ini hanya untuk membina persepsi positif kepada Perdana Menteri dan kerajaan sahaja. Tidak lebih, tidak kurang dari itu.

“Sepatutnya, apa yang penting ambil tindakan orang yang rasuah tanpa mengira warna kulit, pangkat, tidak memilih bulu seperti darjat, politik dan sebagainya.

“Maknanya tanpa takut semua kena ambil tindakan tegas kerana rasuah merosakkan masyarakat dan perlu dibenteras hingga akar umbi,” kata beliau ketika dihubungi Selangor Kini di sini.

Beliau menambah di negara ini, tindakan hanya diambil terhadap penjawat awam yang tidak mempunyai pengaruh dan kedudukan yang tinggi.

Dr Rosli Yaakop“Masalahnya di Malaysia mereka yang pemimpin atasan makan rasuah tidak diambil tindakan, yang dikenakan tindakan adalah kerani, Lans Koperal atau Sarjan dalam polis dikenakan tindakan,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, Najib mengetuai kira-kira 3,000 orang termasuk golongan pelajar sekolah rendah dalam larian tiga kilometer di Padang Merbok kononnya bagi menunjukkan komitmen menjadikan negara bebas rasuah.

Larian yang bermula dan berakhir di Padang Merbok itu dinamakan Larian ‘Hapuskan Rasuah, Jangan Beri Jangan Terima’, anjuran Parti Gerakan.

EZY

Categories
NASIONAL

SPRM masih gagal tangani rasuah, Paul Low perlu letak jawatan

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Prestasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih kurang memuaskan walaupun pembiayaan yang besar disalurkan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Paul Low masih belum dapat mengurangkan kes rasuah walaupun diberi tanggungjawb bagi pelaksanaan ketelusan dalam kerajaan untuk memerangi gejala terbabit dan hal ehwal integriti berkenaan.

“Bagi setiap kes disabitkan dalam tempoh lima tahun ini, purata jumlah yang dicatatkan Putrajaya RM707,744,59 dan jumlah purata RM34,892.87. Pulangannya hanya 4.9 peratus.

ko-chung-sen-110713_400_356_70“Apa yang membimbangkan pada tahun lalu, bilangan kes disabitkan hanya menurun 31.7 peratus walaupun terdapat peningkatan yang besar dalam bajet iaitu lebih daripada satu perempat daripada RM1 bilion daripada 2011,” katanya di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, rasuah masih berlaku secara berleluasa di negara ini adalah kerana SPRM tidak menangkap ‘jerung’, bahkan ikan kecil juga terlepas.

“Sejak Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau telah berulang kali mengisytiharkan keazamannya untuk memerangi rasuah, malangnya gagal walaupun pembiayaan yang lebih tinggi dikeluarkan dalam menangani rasuah.

logo SPRM“Daripada 5,517 kes dibuka dari 2009 hingga tahun lalu, hanya 1,395 sabitan direkodkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Low meletak jawatan kerana tidak menunjukkan sebarang peningkatan rasuah berjaya dikurangkan.

“Dia (Low) memang memberikan impak yang negatif kepada SPRM dan dengan ini beliau harus jujur dengan dirinya dan meletakkan jawatan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar: Pendapatan rakyat perlu ditingkat untuk laksana GST

anwar-gst

KUALA LUMPUR 31 OKT – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala bentuk kebocoran, rasuah dan sistem monopoli yang membengkak dalam negara perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum memikirkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya, jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah, GST akan dilaksanakan dengan bersyarat, namun tidak menjadi keutamaan yang perlu disegerakan kerana memerlukan pertimbangan khusus terlebih dahulu.

Beliau berkata, pendapatan rakyat perlu diberi perhatian dan dipertingkatkan sebelum pelaksaaan GST yang dilihat bakal membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya tidak mengatakan bantahan pada prinsip GST dalam ucapan belanjawan saya. Saya tegaskan daripada sudut sistem pelaksanaan GST itu lebih telus dan efisyen.

“Soalnya, dua syarat yang kita tekankan iaitu pertama hapuskan ketirisan dan kebocoran dengan menjimatkan wang itu untuk berbelanja,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata, syarat kedua adalah peningkatan tahap pendapatan rakyat harus ditingkatkan dan turut mengakui sistem GST efisyen dengan negara mencatatkan lebihan ketika menjadi Menteri Kewangan.

“Tetapi sekarang defisitnya parah dan saya tidak laksanakannya ketika itu walaupun kajian sistem berkenaan baik, tetapi pelaksanaannya tidak wajar,” katanya.

Berhubung hujah menjadikan Singapura sebagai contoh dalam  melaksanakan GST, Anwar menjawab negara terbabit melaksanakan GST dengan perkiraan tempoh masa, selain memastikan pendapatan rakyat meningkat.

“Saya bukan tidak menyokong prinsip dasar, tetapi Singapura laksana tiga peratus dijamin tujuh dan sembilan tahun tidak naik,” katanya.

“Semua parti komponen PR akan meneruskan sesi penerangan berkenaan GST kepada rakyat supaya mereka memahami mengapa perkara ini tidak boleh dilakukan sekarang,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan kenyataan Anwar dan mendakwa PR menyokong perlaksanaan GST secara keseluruhan, namun perkara berkenaan dinafikan. -NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Respon terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kementerian Belia dan Sukan

audit 2012

Pendedahan yang dibuat menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2012 bukanlah perkara yang mengejutkan buat rakyat Malaysia, yang sudah tidak yakin lagi dengan kesungguhan Kerajaan UMNO-BN untuk membanteras rasuah dan mengukuhkan lagi kebertanggungjawaban pentadbiran.

Ini telah menjadi satu fenomena tahunan, yang mengundang banyak retorik dan janji-janji kosong daripada Kerajaan namun akhirnya tiada tindakan diambil dan kesilapan sama berulang.

Pendirian kami ialah meskipun diadakan begitu banyak mekanisme semak dan imbang, ataupun audit tiga kali setahun tidak akan menyelesaikan masalah ini, apa yang diperlukan ialah keazaman politik Kerajaan untuk menguatkuasakan mekanisme semak dan imbang tersebut. Malangnya, Kerajaan telah berkali-kali gagal dalam ujian kebertanggungjawaban ini.

Saya ingin mengetahui siapakah yang betul di dalam kontroversi konsert K-Pop ? Ketua Audit Negara dan Menteri Belia dan Sukan hari ini Khairy Jamaluddin yang mendakwa Kementerian terpaksa akhirnya membiayai konsert tersebut; atau Ahmad Shabery Cheek, Menteri sebelum Khairy yang mendakwa konsert tersebut dibiayai penaja menerusi akaun Majlis Sukan Negara? Shabery malah mendakwa Ketua Audit culas dalam menyediakan laporan tersebut.

Adakah Khairy bersedia menjamin rakyat Malaysia bahawa Kementeriannya tidak lagi akan terperangkap di dalam perbelanjaan yang dipertikaikan seperti ini apabila Laporan Audit 2013 akan dibentangkan pada 2014 nanti, terutamanya bagi tempoh selepas Mei 2013 apabila beliau dilantik menjadi Menteri.

Kewajaran membelanjakan RM 67.61 juta wang rakyat bagi satu acara seperti Hari Belia Negara 2012 menimbulkan persoalan, apabila kesan positif jangka panjangnya terhadap anak muda boleh dipertikaikan.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor
Adun Seri Setia

Categories
NASIONAL

Peranan Paul Low Tidak Berkesan Jika Tidak Didayakan Dalam Kabinet

bn putrajaya

SHAH ALAM, 21 MEI : Perlantikan Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (TIM), Datuk Paul Low sebagai Menteri disifatkan tidak mendatangkan hasil sekiranya beliau tidak diberikan kuasa sepenuhnya untuk memperkenalkan pembahruan untuk membasmi rasuah.

Perlantikan Paul akan hanya bermakna sekiranya pembahruan-pembahruan yang dibawa beliau diterima kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebelum ini, Malaysia telah menubuhkan institusi, agensi dan undang-undang anti-rasuah tetapi persepsi rasuah masih buruk kerana tiada iiltizam politik untuk membersihkan pentadbiran.

Dr Dzulkefly berkata Paul dibawa masuk ke dalam Kabinet dengan harapan supaya komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membanteras rasuah dapat dilihat rakyat sebagai sesuatu yang positif.

“Saya mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun Low adalah daripada TIM, beliau tidak akan dapat berbuat apa-apa sekiranya peranannya (Low) tidak didayakan di dalam Kabinet.

“Ini bermakna, sekiranya Low mengesan kecurangan dalam tadbir urus dan tata kelola khususnya pemberian kontrak, perolehan dan sebagainya, beliau mesti menyatakan tentangan dengan tegas, telus, lantang dan berani,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Paul, seorang yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti politik Umno-BN dilantik sebagai Menteri di Dalam Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tegas Dr Dzulkefly, pelantikan Paul tidak akan mengubah tanggapan buruk rakyat terhadap pentadbiran Najib ekoran pelbagai salah guna kuasa yang dilaporkan berlaku sebelum ini.

“Undang-undang itu ada, institut pun ada, badan penguatkuasaan pun ada tetapi kesemuanya akan gagal andainya pihak eksekutif tidak mempunyai komitmen yang tegas untuk memerangi rasuah.

“Peraturan boleh dibolosi kerana tiada iltizam politik untuk membersihkan pentadbiran,” katanya lagi.

Sementara itu, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan melahirkan kebimbangan beliau terhadap pemilihan Paul dalam Kabinet yang dikatakan mungkin tidak akan mendatangkan sebarang impak.

“Pelantikan Low ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana beliau bukan daripada kalangan ahli politik.

Tetapi apa yang membimbangkan ialah sama ada beliau akan diberikan tanggungjawab yang membolehkannya melakukan tugasan atau hanya bertindak sebagai penasihat sahaja.

“Kita perlu tunggu sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hingga enam bulan untuk melihat perubahan,” jelasnya.

Categories
NASIONAL

Raja Kamarul : PRU-13 Tsunami Nilai Bukan Politik Bangsa

Kamarul Bahrin

SHAH ALAM 16 MEI : Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukanlah tsunami politik bangsa tetapi perubahan pengundi yang lebih memilih kepada perjuangan sistem nilai demokrasi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata masyarakat kini tanpa mengira bangsa bangkit dengan memperjuangkan nilai menentang rasuah dan ketidakadilan yang berlaku.

“PAS banyak menang di kawasan yang banyak institusi pendidikan dan bukan kepada sentimen bangsa, di Terengganu banyak isu berkenaan pengabaian hak orang Melayu.

“Kini masyarakat semakin sedar dengan soal kebergantungan kepada pihak kerajaan dan kerajaan (Umno-BN) amat suka orang Felda bergantung harap, kerajaan tidak ingin mereka berdikari dan merdeka daripada mencari nafkah atas usaha sendiri,” kata Raja Kamarul.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar Siri ke-20 yang berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu, di sini.

Dalam pada itu Kamarul turut mempersoalkan sikap kerajaan pimpinan Umno-BN yang didakwa gagal dalam menangani isu professional Melayu apabila tidak menghargai peranan mereka dalam membangunkan negara.

Kata Raja Kamarul, beliau mengambil contoh mantan Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican yang kini diambil bekerja oleh syarikat asing di Singapura.

“Orang-orang yang amanah tidak dapat memberikan sumbangan kepada kerajaan dan tiada tempat , seorang Melayu lebih dipercayai oleh negara di Singapura dan Amerika Syarikat,” kata beliau.

Wacana ini turut mengetengahkan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Program ini dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Categories
NASIONAL

Kakitangan Awam Kongsi Dividen Banteras Rasuah

Wong-Chen

PETALING JAYA, 1 APRIL: Kakitangan awam bakal menerima Dividen Banteras Rasuah yang akan diperkenalkan Pakatan Rakyat (PR) apabila menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Semua ini terhasil daripada usaha membanteras gejala pembaziran dan rasuah dari perbelanjaan mengurus sebanyak RM34 bilion setahun oleh Kerajaan PR.

Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri PKR, Wong Chen berkata, sebagai insentif, apa-apa penjimatan berhasil dari usaha membanteras rasuah ini sebahagiannya akan diperuntukkan sebagai dividen kepada kakitangan awam yang akan dibayar dalam bentuk bonus tambahan.

“PKR percaya dan yakin dengan keikhlasan kakitangan awam untuk bersama-sama membina Malaysia baru yang bebas dari rasuah.

“Pendekatan dividen banteras rasuah ini diyakini akan dapat mempercepatkan sasaran PR menghentikan ketirisan untuk membiayai program-program Manifesto Rakyat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, pagi tadi.

Tambahnya, PR juga akan melaksanakan sebarang pengumuman kenaikan gaji yang dibuat berkuatkuasa pada 1 Julai 2013 dan penyelarasan gaji bagi pihak polis dan askar pada 1 Januari 2014.

Selain itu, PR akan melaksanakan pelarasan gaji kepada kakitangan awam sesuai dengan pelaksanaan gaji minima RM1,100 bagi kakitangan awam dan swasta di seluruh negara.

Katanya, semakan pelarasan gaji turut dicadangkan diadakan setiap tiga tahun secara automatik, bukannya mengikut amalan yang tidak menentu sekarang berdasarkan kehendak pimpinan politik sahaja.

“Cara Umno-BN menangani masalah tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat adalah dengan menaikkan gaji dan elaun kakitangan awam bermula pada 1 Julai 2013, iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

“Cadangan itu merupakan penyelesaian separuh masak dan tidak menyeluruh. Ia bersifat jangka pendek tanpa menyelesaikan masalah pokok yang dihadapi kakitangan awam dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya berhubung kenaikan harga barang yang mendadak,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jual Dokumen Rasmi : AMK Lapor Polis Terhadap Najib

 

AMK bersama laporan polis yang dibuat

SHAH ALAM, 18 JUN : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak polis menjalankan siasatan segera dan telus berhubung dakwaan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal penjualan dokumen rasmi pertahanan negara ketika urusan pembelian kapal selam Scorpene.

Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin dalam kenyataan medianya berkata, sewajarnya pendedahan terbaru Suara Rakyat Malaysia (Suaram) diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana kes berprofil tinggi itu melibatkan kepentingan negara.

Menurutnya, AMK Pusat menerusi jentera AMK negeri akan terus membuat desakan ini dengan siri laporan polis yang dijalankan di seluruh negara dan sekiranya tiada respon dari polis maka laporan susulan akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Polis perlu menjalankan siasatan biarpun ia melibatkan Perdana Menteri yang ketika itu Menteri Pertahanan kerana adalah jelas adanya elemen rasuah dalam perkara ini. AMK juga menyifatkan perkembangan terbaru skandal ini sebagai pengkhianatan tertinggi dan amat tidak bertanggungjawab dalam membocorkan akses dokumen keselamatan negara.

“AMK telah dan akan meneruskan gerakan membuat laporan polis dan SPRM di seluruh negara dalam memastikan tuntutan kita supaya siasatan dilakukan terhadap Perdana Menteri termasuk pihak berkaitan dengan kes penyelewengan paling korup dalam sejarah politik negara tidak ditutup dan tidak terlepas daripada muka pengadilan akibat kesalahan penggunaan kuasa dan pengaruh politik sewenang-wenangnya,” katanya.

Shamsul selanjutnya menyelar Najib dan pihak terlibat sebagai melakukan perbuatan jenayah dagangan yang melibatkan jumlah transaksi melampau bagi kepentingan peribadi selain menjual kedaulatan negara.

Sehingga kini AMK telah membuat laporan polis di Selangor pada 6 Jun, Sabah (11 Jun), Melaka, Pulau Pinang, Perlis dan Perak (14 Jun),Johor dan Negeri Sembilan (15 Jun) serta Kelantan (17 Jun).

AMK akan meneruskan siri jelajah laporan polis itu ke Kuala Lumpur dan Pahang pada esok diikuti Terengganu (20 Jun); Kedah (21 Jun) diakhiri Sarawak (22 Jun).