Abdul Khalid: Dari Penjual Kelapa Salai, Akhirnya Ke Menteri Besar Selangor

PETALING JAYA, 20 SEPT: Memandang dengan wajah yang sayu, anak itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rumah salai kelapa yang dibina bersama neneknya dari rentung dijilat api.

Pada hari itu, bukan sahaja salah satu punca pendapatan keluarganya hilang, malah dia harus mencari jalan melangsaikan upah yang perlu dibayar kepada beberapa orang perkerja.

Tertekan dengan kejadian itu, semangatnya tidak patah, malah dia mampu berdiri di hadapan keluarganya bagi menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab atas kejadian tersebut, sedangkan ketika itu dia cuma berusia 12 tahun.

Akibatnya, anak itu kehilangan biasiswa persekolahan dan terpaksa membuat kerja sambilan dengan  mengajar matematik kepada anak-anak seorang tauke Cina yang bersekolah di darjah tiga dan empat.

Akhirnya, hasil titik peluh anak kampung itu, beliau berjaya meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarganya.

Peristiwa kebakaran rumah salai itu memberi kesan sangat mendalam di hati kecil anak itu dan masih kekal dalam ingatanya.

Pada 1979, 21 Tahun selepas kejadian kebakaran rumah salai neneknya, anak kecil yang  pernah menjual kelapa salai itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad.

Dua tahun kemudiannya, nama penjual kelapa salai itu menjadi sebutan masyarakat dan korporat antarabangsa.

Ini atas kejayaan mengetuai operasi ‘dawn raid’ di Bursa Saham London dengan ‘membawa pulang’ syarikat ladang kelapa sawit gergasi Malaysianized Guthrie (kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd).

Dua puluh tujuh tahun selepas kejayaan ‘dawn raid’, anak itu dinobatkan pula sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-14.

Demikian antara liku-liku kehidupan pernah ditempuhi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sempat dirakamkan beliau dalam buku sulongnya, ‘Fearless: From Kampung Boy To CEO’.

Buku tersebut dilancarkan oleh isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Sunway Pyramid hari ini.

Selain menceritakan pengalaman beliau ketika meningkat dewasa, Abdul Khalid turut menyelitkan tips-tips berguna dalam mengejar impiannya untuk dikongsikan bersama masyarakat.

Antara pengajaran penting yang dikongsikan Khalid dalam buku setebal 76 halaman ini, beliau amat menitikberatkan sikap bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Selain isi kandungan yang padat dengan pengalaman perit dan lucu buku ini bertambah menarik kerana dipersembahkan dengan gaya penyampaian seolah-olah Abdul Khalid berkomunikasi secara intim dan mesra dengan pembaca.

Ketika ditemui semasa pelancaran, Abdul Khalid memberitahu, buku yang dihasilkannya ini merupakan perintis kepada penulisan bacaan yang lebih berat.

“Banyak kali rakan-rakan saya minta saya tulis buku pengalaman saya sebagai ahli korporat.

“Jadi saya hasilkan buku ini dahulu sebagai permulaan kepada penulisan yang lebih berat, lebih bersifat akademik,” katanya kepada media selepas pelancaran buku tersebut.

Menurut Abdul Khalid, hasil jualan buku yang berharga RM25 senaskhah ini akan disumbangkan ke rumah-rumah kebajikan.

Buku ini sudah pun berada di pasaran dan boleh didapati di kedai-kedai terkemuka.

Categories
SELANGOR

Elaun RM 750 Untuk Penyelaras PWB Perkasakan Ekonomi Wanita

SHAH ALAM 3 SEP : Kerajaan Selangor akan menyediakan elaun RM 750 sebulan bagi penyelia dan penyelaras Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi merancakkan lagi aktiviti program tersebut dalam menaikkan pendapatan wanita.

Dalam masa dua tahun, PWB yang telah beroperasi di sekitar Selangor telah membantu memberi pendapatan sokongan kepada pesertanya dan diharapkan tambahan elaun tersebut akan menggalakkan pembukaan lebih PWB.

Exco Hal Ehwal Wanita Rodziah Ismail berkata sejak diwujudkan pada 2010, inisiatif ini membuahkan pelbagai perkembangan positif.

“Antaranya kita berbangga dengan kejayaan PWB Dun Ijok yang berjaya dengan usaha jahitannya, PWB Dun Batu Tiga dengan tenunan kainnya dan PWB Selat Kelang yang berjaya dengan program-program keusahawanannya.

“Kejayaan-kejayaan ini membuktikan bahawa wanita Selangor semakin perkasa dan berdaya serta mampu memainkan peranan penting dalam memantapkan struktur ekonomi negeri,” katanya dalam Majlis Penghargaan Penyelaras dan Penyelia PWB hari ini.

Majlis dirasmikan isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut, yang turut menyampaikan watikah perlantikan Penyelaras dan Penyelia PWB kepada 56 wakil.

Dalam pada itu, Anizan Othman, penyelaras PWB Dun Kota Anggerik berikrar untuk berusaha membantu wanita memainkan fungsi maksimum memacu ekonomi keluarga dan negeri.

“Antara lain saya ingin menarik penyertaan wanita orang asal di Kota Anggerik iaitu lebih kurang 39 orang,? katanya apabila ditermui.

“Saya positif dan percaya usaha-usaha berterusan daripada inisiatif PWB dan Kerajaan Negeri ini akan menjadikan wanita lebih berdikari serta menguntungkan negeri bagi jangka masa panjang,” ujarnya.

Pada Julai lalu, PWB menerima peruntukan sebanyak RM 1.33 juta di bawah Geran Selangorku, bagi tempoh enam bulan akan datang.

Categories
SELANGOR

6,000 Pokok Bakau Bagi Memelihara Persisiran Pantai Selangor

PELABUHAN KLANG, 15 JULAI : Sebanyak 6,000 pokok bakau ditanam dalam tempoh tiga tahun dalam usaha menghijaukan bumi dan memelihara alam sekitar.

Usaha tersebut adalah sebahagian dari rancangan menanam 10,000 pokok bakau dalam masa lima tahun bermula dari 2010 di sekitar Selangor.

Ia dilakukan Persatuan Bulan Sabit Merah Selangor bersama Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Pengerusi Bulan Sabit Merah Selangor, Fatimah Sulaiman berkata, pihaknya berbangga kerana program tersebut berjaya dijalankan dalam masa tiga tahun dan berharap ia mencapai sasaran dalam dua tahun lagi.

“Program pertama pada 2010 kita jalankan di Kuala Selangor dan tahun lalu di kawasan timur Kampung Teluk Gong ini manakala tahun ini kita sambung di kawasan barat di kampung sama.

“Program ini melibatkan semua ahli masyarakat terutama ahli Bulan Sabit Merah Selangor dan pelajar demi memberi pendidikan dan pengetahuan mengenai penanaman pokok bakau dan penjagaan alam sekitar.

?Ia juga membawa banyak manfaat terutama kepada kawasan persisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi bencana alam seperti tsunami,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di atas sokongan mereka.

Fatimah berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Program Menanam Pokok Bakau di Kampung Teluk Gong di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Yang Dipertua Pekawanis yang juga isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut.

Salbiah berkata, usaha penanaman itu wajar dicontohi pertubuhan lain kerana program menghijaukan bumi dan menjaga alam sekitar perlu melibatkan semua pihak.

“Program ini juga membantu mendidik anak-anak dan pelajar supaya berdisiplin dan faham tentang peranan memelihara alam sekitar terutama di kawasan persisiran pantai. Malah bukan saja persisiran pantai tetapi juga kawasan lain.

“Selain bakau, kita juga perlu mengenal pasti pokok lain untuk ditanam kembali,” katanya.

Seorang guru, Nik Suhaimi Nik Jaafaar berkata, program seperti itu patut diperbanyakkan demi memberi kesedaran kepada masyarakat demi menjaga alam sekitar.

“Penanaman pokok bakau di kawasan persisiran pantai ini banyak manfaatnya kepada alam semulajadi dan penduduk tempatan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Geran RM5 Juta Diperuntuk Pelihara Alam Sekitar

PETALING JAYA 5 JUN : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM5 juta dalam ‘Geran Selangorku’ pada tahun ini bagi melaksanakan pemeliharaan dan aktiviti penjagaan alam sekitar di negeri ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, geran alam sekitar diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan dalam melaksanakan program yang dirancang berkaitan alam sekitar.

“Jadi fasa pertama, Kerajaan Negeri telah memberi lebih RM250,000 kepada NGO-NGO terbabit.

“Dalam senarai juga ada lagi 10 lagi permohonan dan pada masa terdekat kita akan menilai kesemuanya dan jika menepati kriteria maka Kerajaan Negeri akan meluluskannya,” kata Elizabeth dalam sidang media selepas penyerahan cek untuk projek dan aktiviti alam sekitar di sebuah hotel di sini.

Elizebeth berkata, Geran Selangorku yang dikhususkan kepada projek alam sekitar itu tidak terhad kepada NGO sahaja malah pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga dialu-alukan mengemukakan cadangan bagi mendapatkan geran itu.

 

“Kita juga menggalakkan sebagaimana JKKK Sungai Chua Kajang yang mempunyai program, di mana di peringkat akar umbi kita mahu memupukkan kesedaran awam di lingkungan orang kampung berkenaan penjagaan alam sekitar,” ujar beliau.

Tambah Elizabeth, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut 5 Jun (hari ini) dengan tema ‘Ekonomi Hijau’, Kita ada tanggungjawab yang berat kerana pembangunan di negeri Selangor ini dapat juga memenuhi kriteria-kriteria hijau dalam penjagaan alam sekitar,” kata Elizabeth.

Dalam majlis itu, Elizabeth menyerahkan geran kepada empat NGO dan sebuah JKKK yang masing-masing diterima oleh wakilnya.

Turut hadir dalam majlis itu, isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut dan Isteri Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Pegawai Komunikasi, The Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), Wong Pui May berkata, persatuan itu berharap dengan penerimaan geran itu akan meningkatkan usaha dalam penjagaan hidupan liar di negara itu.

“Dengan Geran ini,maka usaha pihak persatuan akan digiatkan dalam menyebarkan maklumat dan info berkenaan penjagaan dan pemeliharaan hidupan liar khususnya di Selangor dan memberitahu masyarakat tindakan yang boleh dilakukan dalam menjayakan usaha itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Resource Stewardship Consultants Sdn Bhd (RESCU) , Lim Teck Wyn berkata badan itu dengan penerimaan geran itu akan menumpukan kepada projek pemeliharaan hutan melalui usaha penjagaan pokok kayu bakau.

“Kebanyakkan hutan asli telah dilindungi dan dijadikan hutan simpan tetapi masih ada hutan bakau yang ada diluar hutan simpan, maka kami ada projek untuk pemetaan hutan bakau yang akan dimasukkan ke dalam pewartaan hutan simpan yang belum dilindungi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor Sediakan Garis Panduan Untuk Bina Rumah Ibadat Bukan Islam

SHAH ALAM, 2 MEI : Kerajaan Selangor sedang menkaji beberapa langkah agar rumah ibadat bukan Islam dapat disediakan dengan lebih teratur.

Langkah-langkah ini termasuk garis panduan bagi rumah ibadat di dalam rumah kedai dan pusat komersil, dan peruntukan tanah di dalam skim perumahan kawasan bandar.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata berikutan perkembangan pesat di kawasan bandar serta pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat, berlaku kekurangan tapak untuk mendirikan rumah ibadat bukan Islam di lokasi yang sesuai.

Berikutan itu, tambahnya, banyak pertubuhan agama bukan Islam termasuk persatuan Buddha menggunakan rumah kedai sebagai pusat keagamaan mereka.

“Kerajaan Negeri meneliti secara terperinci prosedur untuk pusat-pusat keagamaan sedia ada yang diwujudkan di kawasan perdagangan akibat kekurangan tanah di kawasan bandar.

?Garis panduan ini untuk diguna pakai bagi permohonan baru bagi menggunakan premis komersil sebagai pusat keagamaan bukan Islam,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapan sempena majlis sambutan Hari Wesak 2012 Negeri Selangor di sini semalam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut; Speaker Dewan Selangor, Datuk Teng Chang Kim dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah.

Satu lagi langkah bagi menangani kekurangan tanah untuk pembinaan rumah ibadat bukan Islam adalah garis panduan sedia ada yang mewajibkan setiap skim rumah 100 ekar ke atas harus diperuntukkan tanah untuk pembinaan rumah ibadat.

“Kerajaan Negeri sedar garis panduan ini masih ada ruang untuk menambahbaikan kerana pada masa ini sekiranya pembangunan dipohon kurang 100 ekar maka pihak pemaju tidak tertakluk pada kriteria peruntukan tanah untuk rumah ibadat bukan Islam.

?Jika keadaan ini wujud, kita akan kenakan pihak pemaju perlu membayar sejumlah caruman berdasarkan jumlah rumah yang dibeli masyarakat bukan Islam dan ia boleh diamsukkan dalam tabung Rumah Ibadat bukan Islam,” katanya.

Abdul Khalid berkata, sejak 2008 Kerajaan Negeri telah menyumbang sekitar RM4 juta setiap tahun kepada rumah ibadat bukan Islam dan peruntukan itu dinaikkan menjadi RM6 juta bagi tahun ini.

Di dalam ucapannya Ean Yong berkata ini adalah kali kedua Selangor menyambut Hari Wesak dan ia merupakan negeri pertama di Malaysia yang menyambut perayaan tersebut secara rasmi.

Dalam tempoh empat tahun Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri, katanya, kerjasama dan hubungan yang terjalin bersama pertubuhan penganut Buddha semakin erat dan kukuh.

Categories
SELANGOR

RM30,000 Bantu Adik Mawar Jalani Pembedahan

SHAH ALAM 28 MAC : Farid AlSuwad, 34, bapa kepada  adik Mawar Nur Farisya Alsuwad melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC)Selangor yang prihatin dengan nasib yang menimpanya sekeluarga.

Mawar,2, yang menghidap penyakit lumpuh otak, jantung berlubang dan injap jantung sempit memerlukan RM40,000 bagi membiayai kos pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagle Intan, Ampang 4 April depan.

Tiga anak syarikat Kerajaan Selangor menyumbang RM10,000 setiap seorang kepada keluarga Mawar. Mereka adalah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sumbangan itu disampaikan dalam bentuk cek oleh Isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datuk Ahmad Omar dan Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Hadir sama Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.

Menurut Farid, beliau terharu dengan bantuan yang diberi serta kesudian Puan Sri Salbiah hadir ke rumah untuk melihat keadaan anak saya.

“Terima Kasih banyak kerana memberikan saya peluang dan harapan kembali untuk melihat anak saya sihat seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, sebelum ini beliau hampir berputus asa kerana tiada tempat mengadu dan bergerak berseorangan mendapatkan bantuan.

Adik Mawar pada awalnya dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain, malangnya, dua minggu kemudian dia sering menangis tanpa henti.

?Saya tidak tahu apa punca kepada penyakitnya, nak kata keturunan, tiada keturunan kami yang ada menghidap penyakit begitu.

?Lagipun, ketika scan jantina bayi dalam kandungan sebelum dilahirkan, Mawar didapati sihat dan tiada penyakit,? katanya.

Isterinya, Salbiah Ramli, 29, bekerja sebagai kakitangan kerajaan yang menyara keluarga kerana beliau terpaksa berhenti kerja ketika Mawar berumur tiga bulan kerana menjaga anaknya itu.

“Pengasuhnya tidak dapat menjaganya lagi kerana Mawar seringkali pengsan dan sesak nafas.

“Sejak dilahirkan hanya bergantung dengan susu dan nestum kerana mulut Mawar sakit dan akan menangis setiap kali kami menyuapnya nasi,” katanya.

Katanya, hampir setiap hari Mawar akan menangis, kaki tangannya bengkak dan mukanya kebiruan.

“Perkara itu sangat merisaukan kami sekeluarga,” katanya.