Categories
AGENDA NASIONAL

Bukan semua sekolah buka 3 Oktober, tertakluk fasa pemulihan setiap negeri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menjelaskan bahawa  pembukaan sekolah di seluruh negara adalah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata jika negeri itu berada dalam Fasa Satu PPN maka tidak ada sekolah yang dibuka di negeri terbabit.

Beliau menjelaskan perkara itu kerana KPM mendapati masih ada yang mengganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Okt ini, meskipun perincian mengenainya sudah dijelaskan semalam.

Radzi berkata dapatan itu dikenal pasti hasil pemantauan beliau terhadap maklum balas yang diutarakan melalui pelbagai platform termasuk di media sosial berkenaan pengumuman pembukaan sekolah semalam.

“Pada maklum balas yang kami lihat secara langsung atau pun melalui media termasuklah media sosial, kita dapati ada yang masih mengganggap seolah-olah pada 3 Okt ini, semua sekolah di seluruh negara akan dibuka,” katanya dalam video penjelasan pengoperasian sekolah yang diberikan kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Radzi berkata bagi negeri berada di Fasa Dua PPN pula, pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober ini.

“Untuk negeri di bawah Fasa Tiga PPN, selain daripada MBK di SKPK dan PPKI, kita akan masukkan (melibatkan) murid prasekolah, pelajar Tingkatan Lima dan juga pelajar STPM lain.

“Manakala untuk negeri di bawah Fasa Empat PPN – dua minggu pertama bermula daripada 3-17 Okt, mereka yang berada di sekolah adalah sama seperti di Fasa Tiga, sebelum kita memperluaskannya kepada murid Tahun Satu, Dua dan Tiga bermula 17-31 Okt, diikuti murid Tahun Empat, Lima dan Enam (di akhir Oktober),” katanya.

Bagi pengoperasian sekolah menengah di fasa itu pula, Radzi berkata sesi pembelajaran akan dimulakan oleh pelajar Tingkatan Lima dan Enam iaitu dari 3-17 Oktr dan selepas itu, disusuli secara berperingkat oleh pelajar tingkatan tiga, empat, satu dan dua.

Katanya, kemasukan secara berperingkat dengan kapasiti hanya 50 peratus dalam kelas ini adalah demi memastikan murid dan pelajar sekolah dapat terus rapat dengan sekolah serta dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa boleh pilih untuk tidak hantar anak ke sekolah

PUTRAJAYA, 12 SEPT: Ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbangkan ancaman Covid-19 apabila sesi persekolahan bersemuka dibuka semula secara berperingkat bermula 3 Okt ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin dan tiada surat amaran akan dikeluarkan kepada pelajar.

“Namun ibu bapa diminta untuk menulis surat bagi memaklumkan ketidakhadiran anak mereka ke sekolah,” katanya pada sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Hari ini Radzi mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Okt ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri dan turut akan memperkenalkan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pemakaian pakaian seragam sekolah adalah tidak diwajibkan dan murid dibenarkan untuk memakai pakaian yang bersesuaian, kemas dan sopan sekiranya pakaian seragam sekolah sudah tidak sesuai untuk dipakai.

“Kita tidak mahu beri tekanan kepada ibu bapa menyediakan pakaian baharu…matlamat kita hanya mahu anak-anak ke sekolah sahaja,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri: Sesi persekolahan tahun ini dilanjut ke Mac 2022

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sesi persekolahan 2021 dilanjutkan sehingga Mac tahun depan, umum Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memastikan intervensi dalam kalangan pelajar lemah dapat dilaksanakan berikutan pelajar telah lama tidak ke sekolah.

“Murid akan kekal dalam kelas sama sehingga Februari 2022. Tempoh dua bulan ini digunakan untuk lihat tahap penguasaan murid dan apa bentuk bantuan atau sokongan akan diberikan.

“Bagi murid yang cemerlang tempoh itu digunakan untuk mengukuhkan lagi kefahaman mereka agar dapat menguasai topik-topik pembelajaran” katanya dalam sidang media hari ini.

Cuti akhir tahun akan bermula pada 10 November hingga 31 Disember. Kemasukan murid tahun satu dan tingkatan satu pada 2022 akan bermula pada Mac 2022.

Tambah Radzi, sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober ini dilaksanakan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara bergilir dengan kapasiti 50 peratus daripada jumlah keseluruhan murid.

“Setiap kelas persekolahan akan dibahagi kepada dua kumpulan iaitu secara pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang bergilir pada setiap minggu.

“Sistem penggiliran ini akan mengurangkan jumlah murid dalam kelas. Maka boleh mengurangkan risiko jangkitan dalam kelas. Dulu katalah, ada 36 orang murid, sekarang datang secara fizikal hanya 18 orang,” katanya.

Dalam sidang media mengenai operasi sekolah itu, Radzi juga memaklumkan:

– Pemakaian pelitup muka bagi murid diwajibkan di sekolah

– Semua pelajar yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke sekolah

– Kadar vaksinasi dalam kalangan guru setakat 11 September adalah 88.56 peratus telah lengkap dua dos vaksin dan 97.46 peratus baru menerima satu suntikan pelalian.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggap Covid-19 sebagai endemik bukan tanda mengalah

PUTRAJAYA, 9 SEPT:  Pendekatan menganggap Covid-19 sebagai satu endemik bukan tanda mengalah terhadap pandemik itu sebaliknya adalah bersifat untuk mengadaptasi diri, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bercakap dalam sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini beliau berkata dengan adanya varian Delta, saintis seluruh di dunia mengatakan bahawa untuk mencapai imuniti kelompok agak sukar disebabkan kemunculan varian baharu.

“Sebab itulah kita (Malaysia) terima hakikat bahawa mungkin pengakhirannya adalah peringkat endemik. Saya sebutkan akhir Oktober (Covid-19) akan dianggap sebagai endemik. Ini banyak bergantung kepada varian dan apa yang akan berlaku dalam dua bulan akan datang.

“Andaian saya adalah dengan kadar vaksinasi yang tinggi pada akhir Oktober kita (Malaysia) boleh mula peralihan kepada peringkat endemik. Bukan pada 31 Okt tiba-tiba endemik sepenuhnya,” kata beliau.

Perkara itu bergantung kepada tingkah laku masyarakat di negara ini dalam tempoh dua bulan ini, kata Khairy yang mengingatkan rakyat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Saya rasa tidak akan ada negara yang akan menyatakan bahawa penerimaan Covid sebagai endemik adalah mengaku kalah terhadap pandemik,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata proses vaksinasi Covid-19 kepada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun akan berjalan serentak dengan pembukaan sekolah yang akan bermula 3 Okt ini.

Beliau berkata proses itu juga akan dikendalikan secara berperingkat dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali akan menjadi penyelaras kepada program vaksinasi untuk golongan remaja itu.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah buka 3 Oktober kecuali negeri fasa satu PPN

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Okt iaitu dilewatkan berbanding 1 Sept seperti yang diumum sebelum ini.

Menteri  Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.

Beliau berkata bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.

“Ini adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN)… jadi, kita tidak boleh menyatakan 1 Sept akan buka semua (sekolah). Keselamatan murid adalah keutamaan kerajaan.

“Sasaran dan hasrat kita pada 1 Sept (untuk pembukaan sekolah) namun tertakluk kepada penilaian risiko yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dengan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan,” katanya menerusi video dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau malam ini.

Radzi berkata keadaan semasa negeri termasuk kadar vaksinasi dan kapasiti fasiliti kesihatan juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dicapai.

Beliau berkata keputusan akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pembukaan semula sekolah.

Radzi turut mengulas inisiatif bagi murid yang ketinggalan sekiranya sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan.

“Bagi murid Tahun Satu dan Dua yang mungkin agak ketinggalan dari segi pembacaan literasi dan numerasi, kita sediakan program pembugaran bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan ketetapan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 Sept selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah.

Bagaimanapun, KPM turut menyatakan bahawa penilaian risiko oleh KKM dan MKN diambil kira sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh itu.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Majoriti ibu bapa, guru tidak setuju sekolah dibuka 1 September

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 94.6 peratus atau 398,687 ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah tidak bersetuju institusi itu dibuka semula pada 1 September, kata Pakatan Harapan (PAKATAN).

Daripada semua responden tersebut, sebanyak 87.1 peratus (367,079 orang) dalam kalangan ibu bapa, 9.7 peratus membabitkan guru dan 2.4 peratus adalah kakitangan sekolah.

Dalam lampiran yang dikongsikan, sebanyak 88.7 peratus tidak bersetuju berikutan kes makin tinggi, ramai belum divaksin (8.8 peratus), lain-lain sebab (1.9 peratus) dan sekolah belum bersedia (0.6 peratus).

Pungutan suara dalam talian oleh Jawatankuasa Pendidikan PAKATAN antara 11 hingga 13 Ogos turut mendapati hanya 5.4 peratus atau 22,759 orang bersetuju sekolah dibuka.

“Bilangan kes yang semakin meningkat dan bilangan kematian yang semakin tinggi menjadikan ibu bapa tidak mahu memperjudikan nasib anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu dianggotai Dr Maszlee Malik selaku pengerusi dan ahli parlimen Simpang Renggam,
Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin).

Selain itu, Teo Nie Ching (Kulai), Natrah Ismail (Sekijang), Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu).

Dalam kenyataan itu, jawatankuasa tersebut turut memberi cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu tutup dan buka sekolah meliputi:

1. Keputusan berpandukan data, sains dan panduan WHO dengan mengambil kira kadar jangkitan, peningkatan kes baharu, kadar kematian serta kes unit rawatan rapi

2. Pelan strategik jelas, komprehensif dan meyakinkan yang dibangunkan bersama pakar kesihatan

3. Elak keputusan pukul rata yang menyebabkan ramai pelajar keciciran dan munculnya kluster sekolah

4. Tatacara operasi piawai (SOP) khas untuk pelajar kategori tidak divaksin dalam kawasan dan luar sekolah

5. Semua guru, pekerja sekolah termasuk kakitangan kantin, pengawal keselamatan pemandu bas serta van perlu divaksin

6. Mengkaji semula untuk membenarkan program vaksinasi kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan secara sukarela

7. Melibatkan kesatuan guru dan pengetua sebelum mengambil apa-apa keputusan

8. Keutamaan buka sekolah bagi kawasan luar bandar yang kurang murid disusuli kawasan hijau dan  mencecah imuniti kelompok

9. Jadual persekolahan bergilir selain SOP ketat bagi sekolah-sekolah yang padat

10. Banyakkan masa murid-murid di luar bilik darjah dan tempat terbuka bagi mengelak penularan

11. Memberi kuasa autonomi kepada sekolah untuk merangka yang terbaik berdasarkan panduan daripada semua pemegang taruh

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru, kumpulan sokongan terima vaksin sebelum buka sekolah

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Semua warga pendidik dan kumpulan sokongan akan menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula secara berperingkat yang dijadual pada 1 Sept.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti bilangan guru, anggota pelaksana dan perkhidmatan kontrak untuk penjadualan janji temu dos pertama vaksin.

Setakat semalam katanya, sejumlah 303,682 atau 73.5 peratus guru di seluruh negara menerima suntikan satu dos vaksin.

“Seramai 45,197 anggota kumpulan pelaksana (67 peratus) dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak (38 peratus) (sekolah kerajaan) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala bagi sekolah swasta 12,894 guru (66.4 peratus) sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Saya bersama menteri pendidikan beri jaminan bahawa semua warga pendidikan akan diberi vaksinasi sebelum sekolah bermula,” katanya ketika menggulung pertanyaan Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy hari ini membentangkan penerangan berhubung pelaksanaan PICK dan seramai 23 Ahli Parlimen mengajukan pertanyaan dan cadangan yang antara lain turut menyentuh isu vaksin bagi sektor pendidikan, kelewatan perolehan vaksin serta masalah logistik dan pengagihan vaksin.

Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) membangkitkan soal vaksinasi bagi sektor pendidikan yang turut mencadangkan agar semua warga Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diberikan vaksin.

Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan vaksin dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS) yang berada dalam ujian klinikal fasa tiga di negara ini sejak Januari lepas mungkin akan dapat diketahui keputusannya hujung tahun ini.

“Ada syarikat yang dah mula proses pendaftaran vaksin ini dengan NPRA (Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara), bila NPRA dah puas hati dengan dossier atau maklumat terkandung dalam permohonan itu maka kita akan beri kelulusan.

“Saya juga maklum bahawa vaksin ini telah terima Emergency Use Authorisation di China… jadi vaksin ini mungkin kita akan luluskan dalam masa terdekat,” katanya menjawab persoalan yang dibangkitan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu).

Dalam perkembangan lain, Khairy sekali lagi memaklumkan isu berhubung penetapan harga siling vaksin Covid-19 untuk pasaran swasta akan ditentukan dalam mesyuarat JKJAV minggu hadapan.

“Perkara ini telah dimaklumkan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan disyor jawatankuasa itu semalam,” katanya sambil memberitahu rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin untuk memuktamadkan pemerolehan vaksin bagi 2022 sedang dilakukan.

Menjawab soalan Dr Kelvin Yii (DAP-Bandar Kuching) mengenai ujian antibodi untuk menilai imuniti selepas divaksin, Khairy berkata buat masa ini Malaysia tidak menyarankan ujian itu dibuat selaras garis panduan oleh United States Food and Drug Administration (FDA) dan Centers for Disease Control and Prevention (CDC).

Malaysia, katanya, sedang membangunkan satu dasar untuk ujian antibodi itu dan memperuntukkan RM15 juta bagi ‘antibody immunosurveillance program’ di bawah Institut Penyelidikan Perubatan Kementerian Kesihatan (IMR).

“Kajian ini penting untuk melihat tahap antibodi dan neutralizing antibody dalam kalangan penerima-penerima vaksin di Malaysia dan dapat ditentukan meliputi beberapa perkara spesifik.

“…ini adalah penyelidikan perubatan yang sedang dijalankan dan bagi ujian antibodi… kita masih belum ada garis panduan dan saya harap boleh dilaksanakan,” katanya.

Khairy juga bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) agar kerajaan melihat ke hadapan berhubung kajian vaksin generasi kedua pelbagai varian bagi persiapan melawan varian baharu atau penyakit zoonosis (penyakit bawaan haiwan).

Berhubung cadangan melanjutkan selang masa antara dos pertama dan kedua Pfizer, Khairy berkata kerajaan pada awalnya sudah bersetuju, namun disebabkan penularan varian Delta COVID-19 tempoh selang masa tiga minggu itu dikekalkan.

“Kita dapati keberkesanan satu dos Pfizer melawan varian Delta hanya 30 peratus, oleh sebab itu kita kekalkan dengan tempoh selang masa itu,” katanya.

Sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersambung esok dengan pembentangan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan Pakej Bantuan Ekonomi.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin pelajar: ‘Jalan keluar’ untuk kembali ke sekolah

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Pemberian vaksin kepada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama pada tahun hadapan disifatkan ‘jalan keluar’ terbaik untuk membolehkan pelajar kembali segera ke sekolah walaupun negara masih ‘bertarung’ dengan jumlah kes harian Covid-19 yang tinggi.

Pengumuman Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin pada 18 Jun lalu, merupakan khabar gembira seterusnya memberi sinar kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 untuk mengikuti sesi pembelajaran di sekolah sehingga menjelangnya tarikh peperiksaan.

Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan kerajaan untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas dijangka akan diterima calon peperiksaan ini pada pertengahan Julai depan untuk dos pertama.

Sudah tentu usaha ini turut memberi kelegaan kepada guru dan ibu bapa bagi memastikan persediaan pelajar yang terjejas berikutan terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini dapat kembali dipertingkatkan.

Vaksin yang bakal diterima ini menjadi perisai terbaik pelajar khususnya bagi calon yang akan menduduki peperiksaan terutama dapat melindungi mereka daripada komplikasi teruk Covid-19, menurut Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh.

Meskipun dapatan menunjukkan gejala Covid-19 yang dihadapi kumpulan kanak-kanak sehingga 17 tahun ini lebih ringan berbanding orang dewasa namun usaha pemberian vaksin ini sangat penting untuk memberi keyakinan kepada pelajar mereka dilindungi sebelum kembali ke sekolah bagi meneruskan pembelajaran.

Jelasnya, pelajar tidak perlu merasa bimbang dengan kesan sampingan seperti demam dan sakit kepala yang biasanya akan dihadapi penerima vaksin kerana ia hanya bersifat sementara.

“Apabila tidak mengambil vaksin, risiko jangkitan Covid-19 lebih besar sehingga boleh menyebabkan kesan akut dalam jangka masa panjang.

“Apa yang paling penting, apabila pelajar menerima vaksin, secara tidak langsung akan mengurangkan gangguan terhadap proses pembelajaran sekali gus pelajar boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa,” katanya kepada Bernama.

Dr Rosnida menyatakan berdasarkan kepada situasi semasa dan pendedahan maklumat berkaitan vaksin melalui pelbagai saluran media, pelajar pada masa kini dilihat bersikap lebih terbuka dan yakin program vaksinasi seperti yang dirancangkan akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Lazimnya, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seperti pelajar SPM dan STPM sudah cukup bijak dan matang dalam mencari informasi yang tepat mengenai vaksin daripada sumber-sumber yang sahih.

“Mereka ini boleh membuat keputusan sendiri dan saya rasa mereka (akan) lebih bersikap terbuka untuk menerima vaksin,” katanya.

Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad pula berpandangan pemberian vaksin kepada calon peperiksaan perlu lebih bersasar.

Jelasnya, pendekatan itu perlu supaya pelajar yang berkeperluan diberikan vaksinasi terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pembelajaran mereka.

“Jangkaan kasar jumlah pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM tahun ini sekitar 500,000 orang.

“Oleh kerana jumlahnya yang besar dan masa pendek, sasaran (pelajar) perlu jelas, kumpulan pelajar manakah yang perlu didahulukan, dalam kalangan pelajar bandar atau luar bandar?,’’ soalnya.

Anuar menyatakan sekiranya pemberian vaksin dibuat secara berperingkat, kumpulan pelajar luar bandar yang mempunyai kesukaran mendapatkan akses internet perlu diberi keutamaan.

Katanya, langkah itu perlu supaya pelajar berkenaan boleh meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

“Bagi kumpulan yang mempunyai akses internet buat sementara waktu boleh teruskan pembelajaran online (secara dalam talian) seperti sekarang.

“Amat diharapkan, pemberian vaksin akan disegerakan serta diperluaskan untuk pelajar lain (bukan calon peperiksaan). Saya yakin, kebanyakan pelajar akan mendaftar untuk menerima vaksin kerana orang muda (biasanya) lebih faham kepentingan vaksin untuk kesihatan mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Sesi persekolahan diteruskan

PUTRAJAYA , 26 APRIL: Kementerian Pendidikan (KPM) komited meneruskan sesi persekolahan kerana tatacara operasi piawai (SOP) di sekolah diyakini dapat mengawal penularan Covid-19, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata data yang diperolehi jelas menunjukkan sekolah adalah selamat dan bukan tempat pencetus kluster Covid-19 seperti yang dikatakan pelbagai pihak.

Data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan daripada 99 kluster pendidikan, 52 daripadanya adalah melibatkan sekolah di bawah KPM dengan 2,274 kes.

“Ia adalah 4.8 peratus daripada keseluruhan kluster atau 2.07 peratus daripada kes kluster.

“Daripada kes itu 1.42 peratus atau 1,559 kes melibatkan sekolah berasrama dan hanya 0.53 peratus atau 585 kes melibatkan sekolah bukan asrama, tidak sampai satu peratus pun,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Terdahulu, menurut KKM setakat ini 60.8 peratus kes Covid-19 di Malaysia adalah kes sporadik dan baki 39.2 peratus melibatkan kes kluster.

“Jika kita lihat 60.8 peratus kes sporadik, dalam konteks ini, kanak-kanak terdedah (kepada Covid-19) di mana-mana saja, cumanya dalam keadaan di sekolah murid-murid berada dalam keadaan terkawal kerana SOP memang telah ditetapkan, bukan kita katakan yang kita ini sempurna (perfect) tetapi kita akan sedaya upaya memastikan jangkitan di sekolah dapat diminimakan dengan SOP yang kita tetapkan,” katanya.

Radzi berkata bagi memperketatkan pematuhan SOP di asrama, pihaknya akan menambah baik langkah pematuhan SOP melalui pasukan petugas khas yang ditubuhkan.

Bagaimanapun, menurutnya arahan penutupan sekolah akan dilaksanakan jika keadaan bertambah buruk dan mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setakat ini, katanya, SOP sekolah yang disahkan mempunyai kes positif diselaraskan iaitu ditutup dua hari dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan penilaian risiko sama ada untuk melanjutkan penutupan itu atau tidak.

Ia juga bagi PKD melaksanakan pengesanan kontak rapat dan memantau kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.

Radzi berkata bagi kawasan zon merah dan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali PKP Diperketatkan (PKPD) sekolah tidak akan ditutup, namun kerajaan negeri boleh berbincang dengan kementerian jika risiko jangkitan memerlukan sekolah di sesuatu lokaliti ditutup dengan penilaian risiko daripada KKM.

Beliau turut berkongsi peratusan kehadiran ke sekolah sejak 1 Mac hingga 23 April iaitu 90.26 peratus yang disifatkan tinggi.

“Ini bermakna ketika murid telah masuk ke sekolah walaupun kes tinggi, keadaan pembelajaran berlangsung dengan baik dan dalam keadaan yang selamat.

“Apabila kita turun ke bawah dan tanya anak-anak, mereka ‘excited’ ke sekolah. Guru-guru juga boleh lihat tahap penguasaan murid-murid, mereka menggunakan masa yang ada ini untuk membawa murid-murid ke tahap penguasaan minima, ibu-bapa juga mahu anak-anak ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata keputusan untuk menutup sekolah pada ketika ini mungkin satu keputusan yang mudah, tetapi mungkin bukan satu keputusan yang tepat.

“Kalau kita pilih jalan mudah, itu (tutup sekolah) memang jalan mudah. Tetapi KPM berpandangan ‘mari kita lakukan perkara yang betul’. Adakah menutup sekolah keputusan yang tepat (pada masa ini)? Kita perlu buat keputusan berdasarkan data dan analisa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster sekolah, institusi pendidikan naik sejak Januari

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan (KPM) telah dikesan dari 1 Januari hingga 20 April lepas.

Berdasarkan infografik disiar di Twitter rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), kluster melibatkan institusi pendidikan merekodkan peningkatan sekali ganda daripada enam kepada 12 kluster dalam tempoh tujuh hari pada minggu lepas.

Berikutan itu sejumlah sekolah di beberapa buah negeri diarah tutup bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidik.  

Pada 18 April, semua sekolah dan institusi pendidikan yang berada di tujuh jajahan di Kelantan di arah tutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu hingga 24 April.

Seterusnya pada 20 April, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist di Jalan Sungai Daun, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang diarah tutup berikutan kes Covid-19 di sekolah itu dan dijangka dibuka semula pada 26 April.

Pada hari sama, sebanyak 19 sekolah di Selangor turut ditutup melibatkan 11 sekolah menengah, enam sekolah rendah, satu sekolah menengah agama dan satu sekolah jenis kebangsaan berikutan  kemunculan kluster pandemik Covid-19.

Turut diarah berbuat demikian pada tarikh berkenaan, dua buah sekolah di Johor Bahru, Johor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya 3 dan Sekolah Kebangsaan Taman Daya.

Pada 21 April, bilangan sekolah yang terpaksa ditutup di Johor meningkat sebanyak 27 sekolah setelah merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas, murid serta pelajarnya membabitkan 10 sekolah agama dan 17 lagi adalah sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan. 

Hari ini, enam buah sekolah lagi di Johor ditutup bagi memberi laluan pengesanan aktif dan operasi sanitasi susulan kes Covid-19 sejak semalam, menjadikan jumlah sekolah terlibat di negeri itu meningkat kepada 33 buah berbanding  27 sekolah dua hari lepas. 

Untuk rekod, sekolah menengah mula dibuka semula pada 4 April melibatkan Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B memulakan persekolahan pada 5 April.

Murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua pula dibenarkan ke sekolah rendah bermula 1 Mac, manakala murid Tahun Tiga hingga Enam  hadir ke sekolah mulai 8 Mac lepas.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jais cadang tubuh Kelab Zakat di sekolah agama, pupuk kesedaran pelajar

SHAH ALAM, 13 APRIL: Semua sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menubuhkan Kelab Zakat untuk memupuk kesedaran pelajar, kata EXCO agama.

Zawawi Ahmad Mughni berkata aktiviti kokurikulum itu bertujuan melahirkan generasi memiliki kekukuhan tauhid untuk membantu asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Saya ada bincangkan cadangan ini dengan pihak berkaitan, kita kena jadikan amalan zakat sebagai gaya hidup dan usaha ini perlu bermula di sekolah.

“Kita yakin mampu melahirkan masyarakat yang suka bayar zakat pada masa depan,” ucapnya pada forum ‘Membangun Khayra Ummah: Reformasi Islahiy dan Agenda Pemberdayaan Umat’ semalam.

Program anjuran Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Hal Ehwal Negeri Islam dan Institut Darul Ehsan (IDE) diadakan di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Islam serta disiarkan menerusi platform media sosial.

Pada 23 November tahun lepas, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendedahkan seramai 300,000 individu layak membayar zakat tetapi gagal menunaikan tanggungjawab.

Antara kempen kesedaran dilaksanakan adalah MY2.5 iaitu membayar zakat sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan.

LZS turut melaksanakan kempen zakat digital menerusi EZakatPay, perbankan internet, portal MyEG, Pos Online, e-dompet GoPayz serta Boost.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPM 2020 tamat selepas tertangguh akibat wabak Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Sesudah tamatnya kertas peperiksaan subjek Sains Komputer hari ini, maka berakhirlah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang tertangguh sejak tahun lepas akibat wabak Covid-19.

Pelbagai gelagat pelajar dapat disaksikan, antaranya melakukan sujud syukur, bertepuk gemuruh serta bersyukur setelah berjaya menjawab kesemua kertas peperiksaan yang sepatutnya mereka duduki tahun lepas.

Di KUALA LUMPUR, pusat peperiksaan SPM 2020 di Victoria Institution walaupun hanya 15 calon yang menduduki peperiksaan pada hari terakhir SPM 2020, namun pusat peperiksaan itu tetap gamat dengan sorakan calon menandakan berakhirnya peperiksaan utama negara itu.

Lebih mencuri perhatian, kesemua calon yang menduduki peperiksaan subjek Sains Komputer di sini, melakukan sujud syukur sebaik sahaja tamat peperiksaan itu sebagai tanda syukur dan meraikan ‘perjuangan’ mereka dalam SPM2020.

Seorang pelajar Sekolah Victoria Institution di Kuala Lumpur mengaminkan bacaan doa kesyukuran setelah selesai menjawab kertas soalan Sains Komputer pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA

Bagi Syed Fikri Syaddad Syed Izwan,18, dia mengakui walaupun berasa kurang selesa dengan pemakaian pelitup muka sepanjang masa ketika menjawab peperiksaan, namun baginya itulah cabaran dalam membiasakan amalan norma baharu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Rasa kurang selesa juga (pakai pelitup muka) tapi inilah cabaran dan juga satu kenangan buat kami sebagai kumpulan pertama SPM dengan pematuhan SOP (tatacara operasi piawai) ketat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

DI NEGERI SEMBILAN, cabaran ketika menduduki peperiksaan dalam suasana norma baharu susulan pandemik Covid-19 membuatkan kebanyakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 di sini, melipat gandakan usaha untuk menjawab peperiksaan SPM dengan lebih baik.

Ahmad Syafi Ahmad Sahfengi, 18, berkata cabaran ketika menjawab peperiksaan SPM pada tahun ini memerlukan dirinya berusaha lebih susulan banyak menghabiskan masa belajar hanya dalam talian sebelum menjelang hari peperiksaan SPM.

Muhd Afeeq Haiqal, 18, pula berkata suasana peperiksaan sememangnya berbeza tahun ini apabila tiada pelajar yang berkumpul dan berbincang selepas keluar dari dewan peperiksaan.

Di KEDAH, wakil pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Muhd Arman Mohd Sobri, 18, dalam ucapannya berkata dia dan rakan-rakan seperjuangannya sangat berharap agar keputusan yang akan diperolehi mampu membanggakan semua pihak.

Pelajar ceria selepas selesai menduduki kertas peperiksaan terakhir hari ini pada Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, Kedah pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Noor Azman Abdul Rahman berkata walaupun sedang berdepan pandemik Covid-19, semua pelajar berjaya menduduki peperiksaan SPM.

“Bukan mudah untuk menduduki peperiksaan SPM kali ini kerana sejak Mac tahun lalu, pelajar tidak boleh ke sekolah. Cabaran untuk mengajar dan belajar ini sukar kerana perlu menggunakan cara pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Pengurusan SPM 2020 di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini hari ini.

Di KELANTAN, seorang pelajar perakaunan, Alyaa Maisarah Mohd Zamani, 17, melahirkan rasa gembira SPM akhirnya sampai ke penghujung biarpun terpaksa menjawab peperiksaan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Rasa bahagia… akhirnya semuanya tamat selepas beberapa kali ditangguhkan. Sepanjang peperiksaan memang tidak selesa perlu menjawab dalam keadaan perlu memakai pelitup separuh muka,” katanya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran Sempena Tamat SPM 2020 di SMK Salor, Kota Bharu.

Di TERENGGANU, Ketua Pengawas peperiksaan SPM di SMK Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, Muhammad Othman berkata antara cabaran yang dihadapi sepanjang menjaga peperiksaan pada kali ini adalah SOP yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan calon dan pengawas.

“Sepanjang 10 tahun menjadi pengawas peperiksaan, SPM 2020 ini adalah yang paling tidak boleh dilupakan. Antara yang perlu dipatuhi adalah kami perlu memakai sarung tangan setiap kali mengedarkan kertas soalan dan perlu menukar sarung tangan yang baru setiap kali mengutip kertas peperiksaan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Kesyukuran Sempena Tamat SPM 2020 dilaksanakan sekolah itu.

Ketua Pelajar SMK Sultan Sulaiman Muhammad Khalil Muzammil Mohamad Yusof,18, berasa bersyukur kerana akhirnya selesai menduduki SPM dan menganggapnya sebagai pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana menjadi antara calon pertama menduduki SPM dengan norma baharu.

Di PERLIS, pelajar SMK Tuanku Lailatul Shahreen, Goh Guang Wei, 18, berkata walaupun agak tertekan apabila peperiksaan SPM ditunda sebanyak dua kali, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar.

Turut berkongsi pengalaman Amirul Azri Zamri, 18, berkata beliau bersyukur kerana akhirnya dapat menjawab kesemua tujuh kertas peperiksaan yang diduduki dan kini bercadang untuk bekerja sementara menunggu keputusan SPM.

Di PAHANG, calon SPM di SMK (LKTP) Jengka 2 Anis Zulaikha A.Mujaini, 18, turut merasa lega kerana akhirnya berjaya menamatkan sesi persekolahan selepas tidak dapat menduduki peperiksaan penting itu tahun lalu mengikut jadual asal.

“Dahulu setiap masa berdebar dan tertanya-tanya bila saya boleh mengambil SPM kerana saya mahu belajar ke peringkat lebih tinggi dan sudah tentu untuk memohon institusi pengajian tinggi memerlukan keputusan SPM. Lega juga apabila semuanya berjalan lancar dan tamat hari ini,” katanya kepada Bernama.

Di JOHOR, seorang wakil pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Luqmanul Hakeem Mohd Nurr, 18, menyifatkan peperiksaan SPM amat mencabar baginya kerana beberapa kali tertangguh untuk menduduki peperiksaan berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Di PULAU PINANG, Ketua Pengawas Peperiksaan, Mohd Zulfadli Jusoh berkata dari segi moral para pelajar tidak terdapat sebarang masalah dan tiada yang menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi memandangkan tidak banyak perubahan dalam pengurusan peperiksaan.

“Kalau peperiksaan sebelum ini, pelajar akan dijarakkan satu meter (m), cuma kerana SOP Covid-19, jarak itu ditambah ke 1.5m,” katanya.

Di LABUAN, wakil pelajar SPM SMK Mutiara Muhd Amsyar Dzulqarnain Amirulla berkata dengan masa yang lebih mencukupi dan sistem PDPR akan membolehkan mereka memperolehi keputusan yang cemerlang.

Di PERAK, R. Ruthannie, 18, pelajar SMK Jelapang Jaya, di Ipoh, berkata beliau berasa gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan peperiksaan itu yang tertangguh sejak tahun lepas dan berterima kasih kepada ibu bapanya kerana banyak memberi sokongan dan galakan supaya saya tidak berputus asa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Adzman Talib berkata pihak Kementerian Pendidikan akan terus memantau SOP untuk pelajar yang dibenarkan menduduki peperiksaan selepas disahkan bebas Covid-19.

“Jika ada keperluan mengubah SOP yang lain, Lembaga Peperiksaan Malaysia akan meneliti, berhati-hati dan kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara untuk pastikan semua pelajar menduduki peperiksaan dengan cukup selamat dan kesihatan mereka terjaga,” katanya.

– BERNAMA