Categories
PBT SELANGOR

Covid-19: Tiada kes di Shah Alam, Klang pada 14 April

SHAH ALAM, 15 APRIL: Tiada kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan Shah Alam dan Klang pada 14 April.

Laporan itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Klang yang dikongsikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA memaklumkan perkembangan baik itu hasil kerjasama semua warga Shah Alam kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Jika kita sepenuhnya kekal di rumah kita mampu memastikan Shah Alam bebas Covid-19,” tulis agensi itu di Facebook.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) turut memaklumkan Selangor mencatatkan penurunan apabila seramai 17 individu positif pandemik itu berbanding 50 kes semalam setakat jam 12 tengah hari tadi.

Bilangan kes terkumpul di negeri itu setakat ini 1,316 manakala kes di seluruh negara pula seramai 5,072 individu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Shah Alam lokasi carian paling popular pembeli rumah pada 2019

SHAH ALAM, 15 FEB: Shah Alam mendahului senarai lokasi carian tertinggi pembeli rumah di kawasan Lembah Klang sepanjang 2019, lapor firma perunding hartanah terkemuka Nawawi Tie Leung.

Pengarah Urusannya Eddy Wong berkata pemilihan didorong nilai hartanah yang berpatutan dan hubungan sistem jalan raya yang baik termasuk pembinaan LRT3 menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia, lapor Edgeprop.

“Shah Alam juga dihubungkan dengan beberapa lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Lembah Klang Baru, Lebuhraya Guthrie dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam.

“Pembukaan pusat beli-belah seperti Setia City Mall dan Central i-City juga menambah nilai kehidupan di bandar berkenaan,” katanya.

Selain Shah Alam, laporan itu turut menyenaraikan Cheras, Petaling Jaya, Puchong dan Klang sebagai lokasi pilihan.

Sementara itu, Perunding Hartanah Reapfield Properties (KL) Sdn Bhd Hayati Husin berkata institusi pendidikan dan hospital yang pelbagai di Shah Alam dan Petaling Jaya menjadi tarikan kepada pencari rumah.

Categories
SELANGOR

PKT: Rujuk Kerajaan Negeri sebelum buat kenyataan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 DIS: Pihak yang berkenaan disaran merujuk kepada Kerajaan Selangor terlebih dahulu berhubung menjadikan Shah Alam sebagai kawasan uji kaji pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sepatutnya merujuk Kerajaan Negeri terlebih dahulu berhubung isu itu.

Katanya walaupun kedudukan Khalid selaku Ahli Parlimen diakui tetapi ia melibatkan banyak pihak termasuklah pihak penjawat awam.

“Saya berpandangan adalah sesuatu yang wajar dan bijaksana sekiranya Menteri Wilayah Persekutuan merujuk Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Pilihanraya Kerajaan Tempatan terutamanya membabitkan Shah Alam yang merupakan pusat pentadbiran Negeri Selangor Darul Ehsan.

“Dato’ Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) mengambil maklum akan saranan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) untuk tidak melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan dan juga menyambut baik usaha Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) yang mahu mengadakan suatu kajian komprehensif berkaitan pelaksanaan Pilihanraya Kerajaan Tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri amat komited untuk meningkatkan sosio-ekonomi rakyat di samping mengekalkan kesentosaan negeri ini.

Selain itu, semua pihak diharapkan lebih bertanggungjawab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Semalam, Khalid dilaporkan berkata pilihan raya PBT boleh dimulakan di Shah Alam kerana penduduk di kawasan itu dalam persekitaran yang selesa serta tiada ruang untuk memainkan isu kaum.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

35 kedai di ‘Uptown’ Shah Alam musnah dalam kebakaran

SHAH ALAM, 12 NOV: Sebanyak 35 kedai di bazar larut malam ‘Uptown’ Shah Alam di Seksyen 24 di sini, musnah dalam kebakaran pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Rizal Buang berkata seramai 39 anggota dari balai Shah Alam, Kota Anggerik dan Subang Jaya telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pukul 5.37 pagi.

“Ketika tiba di tempat kejadian api sedang marak namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kami difahamkan operasi Uptown berakhir pada pukul 4 pagi.

“Sebanyak 28 buah kedai di blok pertama dan blok kedua terbakar 100 peratus manakala tujuh buah kedai di blok ketiga 50 peratus terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Rizal, kebakaran berjaya dikawal kira-kira 5.50 pagi.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Kebakaran ini merupakan insiden ketiga berlaku di Uptown Shah Alam selepas kali pertama berlaku pada 2014 membabitkan 196 kedai dan kali kedua membabitkan empat kedai pada 2016.

Berikut adalah gambar suasana keadaan di Uptown Shah Alam diambil oleh juru foto SelangorKini : Remy Arifin

SUMBER BERITA: BERNAMA

Categories
SELANGOR

MPP bantu hubungan mesra Kerajaan Negeri dan penduduk

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 OK : Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang aktif menjadi salah satu faktor hubungan erat diantara Kerajaan Negeri dan juga penduduk, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, MPP turut memainkan peranan untuk mengenalpasti tuntutan dan isu yang dibangkitkan penduduk kerana mereka bertemu secara langsung.

“Ahli-ahli MPP ini tidak bergaji dan tidak mempunyai elaun tetap, namun sumbangan mereka di dalam mengaktifkan komuniti membantu serta mengekalkan Shah Alam menjadi bandaraya terbaik.

“Tanggungjawab yang ditunjukkan oleh ahli MPP kepada penduduk dan masyarakat ini amat membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Karnival Sukan Bendang anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Mengulas lanjut mengenai karnival berkenaan, Amirudin berkata, usaha MBSA bersama MPP perlu dipuji atas semangat cintakan alam sekitar.

“Program sebegini dapat memupuk semangat cintakan kehijauan di kalangan penduduk, tidak semestinya acara sukan hanya diadakan di padang sahaja, namun Shah Alam bertuah kerana mempunyai taman seperti Taman Botani sekali gus membolehkan penduduknya berkumpul dalam suasana aman.

“Selain mengeratkan hubungan silaturrahim, ia juga dapat membina budaya sayangkan kehijauan yang sedia ada di Shah Alam,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tangkap keli dalam bendang di bandar unik dan mengujakan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 OKT: Gelagat lebih 100 peserta menangkap ikan keli di dalam bendang mencuri tumpuan orang ramai yang berada di Taman Botani, pagi ini.

Kesemua peserta dikehendaki menangkap ikan keli yang dilepaskan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari beberapa minit sebelum itu.

Peserta terdiri daripada 24 Zon Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dari seluruh kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Salah seorang peserta, Hassan Abu Bakar, 43 berkata, aktiviti tersebut lain daripada lain memandangkan ianya berlangsung di tengah kesibukan bandaraya Shah Alam.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai acara sebegini sepanjang menetap di Selangor dan rasa seperti berada di kampung pula.

“Saya harap pada masa akan datang acara sebegini akan diadakan lagi bagi mengeratkan hubungan diantara penduduk termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Sementara itu bagi Raudhah Zulkifli, 34 berkata, kebiasaannya dia dan rakan-rakan menyertai aktiviti riadah berbasikal dan juga bersenam di sekitar Taman Botani.

“Tetapi kali ini berbeza apabila riadah saya dan jiran-jiran setaman adalah dalam bendang, walaupun selalu ke sini tetapi kami tidak pernah masuk ke bendang.

“Pada saya aktiviti sebegini menyeronokkan, tambahan lagi anak-anak kecil rasa seperti duduk di kampung,” katanya.

Selain pertandingan menangkap keli dalam bendang, peserta turut menyertai acara pertandingan tarik tali, rebut mutiara, pijak belon dan cari gula dalam tepung.

 

Categories
NASIONAL

Masyarakat India tolak Azhari

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 MEI: Kaum India dari seluruh negara menolak keras calon Barisan Nasional (BN) P.108 Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang dianggap tidak sensitif apabila menghina agama dan budaya kaum lain.

Perakara itu disuarakan hampir 80 badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari masyarakat India berkaitan isu demonstrasi tindakan Azhari membawa kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, pada 28 Ogos 2009.

Salah seorang wakil, BT Gana berkata, tindakan Azhari itu satu penghinaan kerana diketahui masyarakat India menganggap lembu adalah tuhan yang disembah.

“Dalam perarakan itu, mereka memijak kepala lembu sebagai protes untuk mengalihkan pembinaan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

“Oleh itu, kami sebulat suara membantah pencalonan beliau dan kami tidak mahu seseorang yang ektremis keagamaan sebagai wakil rakyat,” katanya ketika sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Malaysian Hindu Sangam, Arun Dorasamy berkata, walaupun perkara itu hampir 10 tahun berlalu, namun tiada tuntutan maaf secara rasmi oleh Azhari kepada kaum India.

“Mahkamah ketika itu menyatakan tindakan Azhari salah dan beliau dikenakan denda RM1,000 serta kami tidak mengambil tindakan lanjut, namun kami tidak mahu orang sebegini dilantik.

“Sememangnya media masa ada melaporkan Azhari ingin memohan maaf kepada kami, namuan hakikatnya perkara itu tidak pernah berlaku.

“Oleh itu, kami menyeru semua rakyat Selangor khususnya di Parlimen Shah Alam untuk tidak mengundi Azhari pada 9 Mei ini,” katanya.

Manakala, calon Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, menolak dakwaan Utusan sidang media itu sebagai senjata menyerang pihak lawannya.

“Perkara ini adalah permintaan persatuan masyarakat India dan bukan motif menyerang secara individu seperti yang didakwa.

“Maka saya nasihatkan kepada Azhari itu memohin maaf secara terbuka kepada seluruh masyarat India dan belajar menghormati agama dan bangsa lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Yakin Shah Alam kekal bawah PAKATAN

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MEI: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan keyakinannya bahawa Shah Alam mampu mengekalkan kerusinya di tangan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Dr Wan Azizah berkata, melihat kepada sambutan, penduduk Shah Alam sudah selesa dengan penyandang terdahulu, jadi tidak mustahil Shah Alam mampu mengekalkan kedudukkanya.

“Kita sedar perpecahan undi dengan pertandingan tiga penjuru di antara PAS dan Barisan Nasional (BN), tetapi jika dilihat ‘track rekod’ sebelumnya, Khalid Samad dan Rodziah Ismail telah memberikan yang terbaik dengan membawa suara rakyat di DUN dan Parlimen.

“Tidak mustahil penerimaan rakyat terhadap anak muda seperti Najwan Halimi semakin bertambah setelah melihat kredibiliti beliau walaupun kita tahu ramai pengundi yang telah keluar dari kawasan Kota Anggerik selepas persempadanan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini dalam program makan tengah hari secara santai bersama penduduk sekitar di Wakaf Kebun Komuniti Blok 6, Sekysen 17, Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun katanya, perlu adanya kerja keras dan komited secara berterusan supaya kemenangan terus boleh berpihak kepada PAKATAN.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Khalid, Rodziah kerja keras kekalkan kerusi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) Shah Alam bakal melipat gandakan usaha berkhidmat memperjuangkan hak rakyat jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Calon Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, usaha itu dilaksanakan supaya PAKATAN bukan hanya menang di Selangor, malah terus ke Putrajaya.

“Di peringkat Selangor, apa yang kita mampu buat terhad, namun kita tetap melakukan sebaik mungkin jauh mengatasi negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu, kali ini kita akan lipat gandakan manfaat dan kekuatan bukan sekadar mempertahankan kerusi di Parlimen Shah Alam, malah terus ke Putrajaya dengan tujuan menyelesaikan masalah ekonomi yang membelenggu kehidupan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada PRU13, Khalid menewaskan calon BN, Datuk Zulkifli Noordin dengan majoriti 10,939 undi.

Sementara itu, calon DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, walaupun beliau memegang kerusi di kawasan itu selama dua penggal, namun pihaknya tetap bekerja keras bagi mengekalkan Selangor di bawah pentadbiran PAKATAN.

“Walaupun saya mempunyai kelebihan sebagai penyandang tetapi kali ini kita akan tentang habis-habisan tidak kira siapa pun lawan kita kerana ia pertembungan antara parti.

“Saya yakin usaha yang diberi selama dua penggal ini membolehkan rakyat menilai setelah melihat Selangor mencernakan hasil lebih baik jika PAKATAN terus memegang negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, jika diberi mandat sekali lagi oleh rakyat beliau akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan modal insan selain menyelesaikan isu berbangkit.

“Selesai penggal kedua, banyak isu infrastruktur dan fizikal sudah dilaksanakan.

“Maka, kali ini saya berjanji untuk membangunkan modal insan di kawasan ini bagi memberi jati diri baik kepada rakyat di Shah Alam khususnya,” katanya.

Rodziah akan menentang calon BN, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop dan calon PAS, Abdul Halim Omar.

Categories
SELANGOR

Parlimen Shah Alam & DUN saksikan pertembungan 3 penjuru

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 APR: Kerusi Parlimen Shah Alam dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) disahkan berlaku pertandingan tiga penjuru oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (P108), Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad sekitar jam 11 pagi tadi.

Zaharin berkata, SPR menerima kertas penamaan dari tiga calon untuk bertanding bagi pemilihan di Parlimen Shah Alam (P108), melibatkan Khalid Samad (AMANAH) mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuhdi Marzuki (PAS) dan Datuk Azhari Shaari dari Barisan Nasional (BN).

Diperingkat DUN Kota Anggerik juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru antaranya wakil anak muda dari parti (KEADILAN) mewakili Pakatan Harapan iatu Najwan Halimi bertemu Ahmad Dusuki (PAS) dan Jumaeyah Masdi (BN).

Sementara itu kerusi yang dijangka menjadi tumpuan umum di DUN Batu Tiga melibatkan Mua’adzam Shah Yaakop (BN) dan Abdul Halim Omar (PAS) bakal berdepan penyandangnya terdahulu iaitu Rodziah Ismail.

“SPR telah menerima kertas penamaan kesemua sembilan calon mengikut masa yang ditetapkan.

“Setelah menyemak, saya berpuas hati dan tiada calon yang ditolak penamaannya dan mereka semua disahkan bertanding dalam PRU14,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Proses penamaan calon di Shah Alam berjalan lancar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 APR: Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Shah Alam yang diadakan di Dewan Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam di sini hari ini berjalan lancar.

Seawal jam 7.30 pagi kawasan sekitar dilihat penyokong mula hadir menanti ketibaan calon-calon sokongan mereka.

Bagi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi bagi parti (KEADILAN) mewakili Pakatan Harapan mula bersiap dan berkumpul di Surau Hamidee Seksyen 19, seawal jam 7 pagi bagi melaksanakan solat hajat untuk memohon kepada Allah s.w.t perjalanan penamaan calon berjalan dengan lancar.

Perkara itu dilaksanakan calon Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ADN Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Sejurus selesai persiapan, ketiga calon berarak ke dewan penamaan calon sekitar jam 8.30 pagi diiringi penyokong.

Sekitar jam 8.40 penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS juga berarak menghampiri kawasan berdekatan dewan bersama calon masing-masing.

Tepat jam 9 pagi kesemua calon dibenarkan masuk ke dewan selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya (P108), Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad yang juga merupakan Dato’ Bandar Shah Alam mengumumkan kebenaran kertas penamaan pencalonan dibuka dan tutup jam 10 pagi.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lagi kes kemalangan maut langgar Plaza Tol Batu 3

SHAH ALAM 19 FEB: Kemalangan maut melibatkan Plaza Tol Batu 3 Shah Alam masih lagi berlaku walaupun ia sudah tidak beroperasi.

Dalam kejadian terbaharu, dua maut selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar tembok di Plaza Tol Batu Tiga di sini yang tidak beroperasi lagi tengah malam tadi.

KOSMO ONLINE melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam itu, mangsa Fathurezza Khairol Hida Halimsuyto, 31, dan Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Shah Alam selepas menghadiri sambutan hari lahir di Kuala Lumpur.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dipandu Fathurezza dipercayai hilang kawalan akibat dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar tembok di plaza tol berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan,” katanya.
Baharudin berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sebelum ini pada 14 Januari lalu, dua remaja maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Plaza Tol Batu Tiga itu.

Dalam kejadian jam 6.36 pagi itu, ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.

Kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai gagal dikawal lalu melanggar plaza tol berkenaan.

Susulan pelanggaran itu, dua rakannya yang menumpang dalam kereta iaitu seorang remaja lelaki berusia 21 tahun dan seorang perempuan berusia 20 tahun maut di tempat kejadian.

GAMBAR KREDIT: KOSMO ONLINE

=EZY=