Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma diteruskan di Shah Alam, Kota Damansara hari ini

SHAH ALAM, 7 MAC: Program Saringan Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Selangor diteruskan ke Shah Alam dan Kota Damansara hari ini.

Saringan komuniti bersasar itu bermula jam 9 pagi di Dataran Otomobil, Seksyen 15 Shah Alam dan Dewan Serbanguna Seksyen 2, Kota Damansara.

Tinjauan di Shah Alam mendapati walaupun cuaca hujan, ia tidak menghalang orang ramai menunggu seawal jam 8.30 pagi untuk menjalani saringan.

Seramai 30 petugas kesihatan Klinik Selcare dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) lengkap mengenakan sut perlindungan diri bagi melakukan proses saringan hingga jam 4 petang nanti.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.

Orang ramai yang ingin menjalani ujian perlu terlebih dahulu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan kemudiannya membuat pengesahan dengan petugas.

Lokasi saringan dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Saringan percuma hujung minggu kesan 39 kes Covid-19

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri mengesan 39 kes positif Covid-19 sepanjang dua hari penganjuran Saringan Komuniti percuma pada hujung minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan bersasar di Puchong, Klang dan Shah Alam melibatkan lebih 1,000 individu.

“Menerusi ujian Covid-19 yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada Sabtu dan Ahad lalu di empat lokasi berlainan, seramai 1283 individu tampil membuat saringan.

“Daripada jumlah itu, 39 individu dikesan positif. Ujian percuma ini akan diteruskan minggu ini,” katanya di Facebook.

Semalam, program itu berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Taman Puchong Indah yang mensasarkan penduduk berhampiran Kampung Sri Langkas, Taman Dahlia, Taman Puchong Perdana, Puchong Permata 2 dan Kampung Seri Andalas.

Pada Ahad, saringan diadakan di Dewan Serbaguna Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang dan Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19 dan Seksyen 7 Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB galak rakyat jalani Saringan Komuniti bersiri mulai hari ini

SHAH ALAM, 17 FEB: Rakyat Selangor digalakkan menjalani Saringan Komuniti bersiri secara percuma mulai hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ujian itu diadakan di beberapa penempatan seluruh negeri dalam usaha menurunkan kadar jangkitan Covid-19.

“Siri saringan ini bermula di kawasan berkepadatan tinggi seperti Shah Alam dan Klang. Warga Selangor yang tinggal berhampiran digalak untuk hadir.

“Sila ikuti perkembangan terkini menerusi media sosial saya untuk mengetahui siri saringan seterusnya di penempatan lain,” katanya di Facebook.

Program berkenaan dijalankan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 dari jam 9 pagi hingga 4 petang hari ini.

Ujian itu akan diteruskan di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang esok pada waktu sama.

Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan selain turut memperkenal saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor anjur Saringan Komuniti bersiri mulai esok

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan Selangor akan mengadakan Saringan Komuniti Covid-19 secara bersiri di beberapa penempatan berkepadatan tinggi mulai esok.

Sekretariat Akhbar Dato’ Menteri Besar berkata program percuma itu dimulakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, diikuti di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang pada Khamis.

“Saringan dijalankan dari 9 pagi hingga 4 petang. Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.

“Inisiatif ini merupakan langkah Kerajaan Negeri dalam melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan menangani wabak Covid-19. Lokasi seterusnya akan dimaklumkan nanti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berikutan itu, pihaknya menggalakkan penduduk berhampiran lokasi saringan untuk hadir bagi menjalani ujian terbabit.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan selain turut memperkenalkan saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes.

Pada 2 Disember 2020, portal Saringan Komuniti SELangkah dilancar bagi memperkemas proses pengesanan kontak dan saringan pantas Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB seru penduduk Shah Alam jalani Saringan Komuniti esok

SHAH ALAM, 16 FEB: Dato’ Menteri Besar menyeru penduduk sekitar Shah Alam menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ujian bersasar bermula jam 9 pagi hingga 4 petang akan diadakan di Dewan MBSA Seksyen 19.

“Penduduk di Seksyen 15, 17, 18, 19, 20 dan 24 digalakkan hadir menjalani saringan. Usaha ini antara inisiatif Kerajaan Negeri menangani Covid-19.

“Segera daftar di laman sesawang http://screening.selangkah.my agar proses saringan berjalan lancar,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan selain turut memperkenalkan saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes.

Pada 2 Disember 2020, portal Saringan Komuniti SELangkah dilancar bagi memperkemas proses pengesanan kontak dan saringan pantas Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP cawangan Shah Alam tutup untuk sanitasi

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabat dan kaunter Shah Alam mulai esok sehingga diberitahu kelak, selepas beberapa kakitangan di cawangan itu diuji positif Covid-19.

Ini sebagai mengikuti arahan daripada Kementerian Kesihatan untuk premis yang terlibat dengan pandemik, agar dijalankan pembasmian kuman dan sanitasi.

“Pekerja tersebut kini dalam rawatan manakala pengesanan kontak sedang dijalankan,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Semua kakitangan di cawangan itu akan mengambil ujian swab dan jika didapati positif, akan menjalani kuarantin wajib selama 10 hari.

Semua cawangan lain akan meneruskan langkah penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai pencegahan lain dalam mengurangkan penularan wabak Covid-19.

“Anggota dinasihatkan untuk berurus niaga secara dalam talian melalui i-Akaun bagi perkhidmatan tertentu atau menjadualkan semula lawatan mereka ke satu tarikh yang akan datang melalui kemudahan Janji Temu Online jika terdapat keperluan untuk hadir ke cawangan KWSP secara peribadi,” katanya.

Selain itu, cawangan Lahad Datu akan dibuka semula pada 4 Feb selepas ditutup sejak 20 Jan apabila beberapa kakitangannya diuji positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tambah baik sistem paip, tiga wilayah terjejas bekalan air Selasa depan

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu akan dilaksanakan di Persiaran Selangor, Seksyen 15, Selasa depan bagi membolehkan sistem pengagihan air berada di tahap yang baik.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata susulan itu 36 kawasan di wilayah Petaling, Shah Alam dan Klang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam mulai 9 pagi, 12 Januari.

“Penambahbaikan infrastuktur paip ini juga merupakan usaha Air Selangor dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan pengguna di masa hadapan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Agensi juga meminta pengguna terjejas supaya menyimpan bekalan secukupnya serta menggunakan air secara berhemat sepanjang gangguan berlaku.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan berbeza di setiap kawasan bergantung kepada jarak lokasi serta tekanan air pada sistem agihan.

“Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Air Selangor, http://www.airselangor.com atau merujuk saluran komunikasi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram, Twitter serta hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya.

Kawasan yang terjejas bekalan air seperti berikut:

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 5,000 jawatan menanti pencari kerja di Shah Alam hujung minggu ini

SHAH ALAM, 4 DIS: Sebanyak 5,143 jawatan menanti pencari kerja sempena penutup siri Jelajah Selangor Bekerja 2020 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak SUK, Seksyen 6 di sini pada 5 dan 6 Disember.

EXCO pembangunan generasi muda berkata kekosongan jawatan meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan, profesional dan pendidikan yang ditawar berdasarkan kelayakan.

“Kerajaan Negeri berharap pemohon membuat persediaan rapi untuk menghadiri sesi temu duga seperti datang awal, berpakaian kemas dan membawa dokumen secukupnya.

“Pemohon disaran mencuba peluang lain yang ditawarkan dalam program berlangsung selama dua hari ini,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata sebanyak 34 majikan mengendalikan proses temu duga secara fizikal dan maya dengan hanya 9,696 pemohon yang berdaftar di portal JobsMalaysia dijemput menghadiri siri jelajah itu.

“Kerajaan Negeri juga merancang untuk mengadakan karnival kerjaya secara besar-besaran sebaik sahaja situasi Covid-19 pulih,” katanya.

Jelajah Selangor Bekerja anjuran Kerajaan Negeri diadakan di lima lokasi bermula di Kuala Selangor pada 15 November, Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November), Hulu Langat (29 November) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sanitasi: Kaunter LHDN Labuan, Shah Alam ditutup mulai esok

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Wilayah Persekutuan Labuan dan Shah Alam, Selangor ditutup bermula esok sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata sepanjang tempoh itu, pembayar cukai disaran untuk melakukan urusan percukaian secara dalam talian.

Menurut kenyataan itu, bagi sebarang pertanyaan serta maklum balas, orang ramai boleh menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara) atau HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM dipautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Kerja baik pulih paip pecah selesai kurang 24 jam

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerja pembaikan paip pecah di kawasan pembinaan Worldwide, Seksyen U11 di sini siap sepenuhnya jam 9 malam ini, kurang 24 jam selepas insiden berlaku.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pembaikan yang dibuat sejurus insiden yang dikesan berlaku sebelum jam 12 tengah hari, siap sejam lebih awal dari masa yang dijadualkan.

“Bekalan air mula disalurkan dan pemulihan ke 59 kawasan terjejas adalah secara berperingkat-peringkat mengikut jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Bekalan air di kawasan terlibat dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 pagi 17 Oktober (esok),” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Hari ini, pengguna di Shah Alam, Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan paip pecah berpunca daripada tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga menyebabkan tekanan berlebihan di kawasan pembinaan itu.

Terdahulu, Elina berkata kerja pembaikan giat dijalankan dan dijangka siap pada jam 10 malam ini, namun ia siap pada jam 9 malam.

Perkembangan kerja pembaikan akan dimaklum dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
BERITA UTAMA

Bekalan air 59 kawasan terjejas pulih pagi esok

SHAH ALAM, 16 OKT: Bekalan air ke 59 kawasan terjejas di Klang, Shah Alam dan Kuala Langat dijangka pulih sepenuhnya jam 10 pagi esok.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kerja pembaikan giat dijalankan dan dijangka siap pada jam 10 malam ini.

“Pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat berdasarkan jarak premis dan tekanan air apabila ia disalurkan semula.

“Bantuan bekalan air melalui lori tangki sedang digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu pengguna terjejas,” kata Elina Baseri menerusi kenyataan.

Hari ini, pengguna di tiga wilayah terbabit mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan paip pecah di Seksyen U11 di sini.

Agensi berkata insiden berpunca daripada tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga menyebabkan tekanan berlebihan di kawasan pembinaan Worldwide di situ.

Perkembangan kerja pembaikan paip akan dimaklum dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
AGENSI SELANGOR

Abang maut, adik sempat selamatkan diri rumah terbakar

SHAH ALAM, 23 JULAI: Seorang lelaki rentung manakala adiknya berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Saga, Seksyen 26 di sini, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang rentung, Ahmad Zulhilman Zakaria, 27, ditemukan di bilik tidurnya di tingkat atas rumah berkenaan.

Beliau berkata adik mangsa, Ahmad Hamizan, 25, yang berada di bilik tidurnya di tingkat bawah rumah pula menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap sebelum meminta bantuan jiran.

“Rumah ini didiami tiga beradik lelaki dewasa dan ibu bapa mereka bekerja di luar negara. Siasatan mendapati, adik bongsu mereka, Ahmad Nazmi, 21, tiada di rumah ketika kebakaran dan dimaklumkan dia bermalam di rumah kawannya.

“Rumah dua tingkat ini dianggarkan terbakar 90 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, beliau ada mendengar bunyi kaca pecah serta jeritan Ahmad Zulhilman meminta tolong kira-kira pukul 3 pagi dan menganggap rumah mereka dipecah masuk pencuri.

Namun, ketika keluar untuk menjengah rumah jirannya itu, beliau terkejut melihat api sangat marak dan asap yang tebal.

“Adiknya (Ahmad Hamizan) datang kepada saya dan beritahu abangnya tak boleh keluar. Beberapa jiran lain pun datang untuk bantu tapi api sangat marak dan haba terlalu panas menyebabkan kami langsung tak boleh dekat (dengan rumah tersebut).

“Saya yang menelefon bomba. Namun kami jiran-jiran berasa kesal kerana tak dapat bantu mangsa sebab mereka sekeluarga dah duduk sini sejak puluhan tahun lepas. Ibu bapa mereka pula tiada di sini (bekerja di luar negara),” katanya.

-BERNAMA