Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat tidak terjejas banjir turun padang, edar barangan keperluan

SHAH ALAM, 27 DIS: Wakil rakyat kawasan yang tidak terjejas dengan kejadian banjir mengambil inisiatif turun padang membantu penduduk terkesan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama menggunakan pendekatan mewujudkan pusat pengumpulan barangan keperluan bagi menggalakkan orang ramai di kawasannya menyumbang bagi membantu mangsa banjir.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin mengedarkan tilam kepada mangsa banjir di kawasan Dusun Tua pada 23 Disember 2021. Foto ihsan JAMALIAH JAMALUDDIN

“Barangan-barangan yang telah kami sumbangkan termasuklah tilam, kotak makanan kering, lampin bayi, roti, dan biskut.

“Terima kasih kepada semua penyumbang budiman yang berbesar hati memberi sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat bencana banjir ini,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi SelangorKini.

Jamaliah berkata selain mengedar barangan keperluan, beliau bersama 15 sukarelawan dari Bandar Utama turut terbabit dalam kerja pembersihan di beberapa kawasan terjejas sejak Isnin lalu.

Sementara itu, ADN Rawang berkata beliau bersama 300 sukarelawan terdiri daripada pusat khidmatnya, pelajar institusi pengajian tinggi serta Angkatan Muda KEADILAN terlibat dengan kerja pembersihan.

Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat (kanan) membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Orang Asli Pulau Indah pada 23 Disember 2021. Foto ihsan CHUA WEI KIAT

“Kami melakukan gotong-royong membersihkan 50 rumah-rumah yang terjeas di sekitar Klang terutamanya di Kampung Sungai Pinang.

“Usaha ini walaupun tidak seberapa namun diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir. Kita berharap lebih ramai pihak tampil membantu mangsa,” kata Chua Wei Kiat.

Pada Khamis lalu beliau bersama 80 sukarelawan membersihkan 20 rumah di kawasan Kampung Orang Asli Pulau Indah.

Sukarelawan membungkus makanan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 400 individu sertai Team Selangor, pelawa lebih ramai sukarelawan

SHAH ALAM, 27 DIS : Lebih 400 individu menyertai sukarelawan Team Selangor bagi melaksanakan aktiviti bergotong-royong di kawasan terjejas banjir setakat semalam, kata ketua sekretariatnya.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Syahaizel Keman berkata penyertaan masih dibuka dan mereka yang berminat perlu mempunyai minat tinggi dalam aktiviti kesukarelawanan serta sihat tubuh badan.

“Team Selangor turut menerima penyertaan sukarelawan daripada pasukan Selangor FA dan Selangor FC. Kita mengalu-alu lagi penyertaan orang awam untuk bersama membantu mangsa banjir,” katanya.

Beliau ditemui dalam program gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di Kampung Lombong di sini.
Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.


Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong membersihkan kawasan dilanda banjir di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Pemakluman sukarelawan ke misi bantuan banjir untuk tujuan keselamatan

SHAH ALAM, 26 DIS: Dato’ Menteri Besar meminta masyarakat membaca kenyataan penuhnya berhubung sukarelawan yang menyertai misi bantuan mangsa banjir perlu memaklumkan kepada Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu dilakukan supaya kehadiran individu atau kumpulan itu ke lokasi bencana diketahui pihak berkuasa.

“Pemakluman ini harus dibuat bagi tujuan keselamatan. Agar pihak berkuasa tahu siapa yang masuk ke kawasan banjir. Kedua bagi tujuan koordinasi agar bantuan tidak hanya tertumpu ke sesuatu kawasan sahaja,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Amirudin menerusi hantaran berbeza juga mengulangi asas utama tindakan itu dibuat iaitu demi keselamatan.

“Keselamatan adalah asas utama. Saya dimaklumkan pihak polis ada sukarelawan yang turut menjadi korban, kita ucapkan takziah namun perkara ini tidak boleh berulang.

“Isu permohonan bantuan juga saya telah minta permudahkan namun kita tak boleh ‘compromise’ isu keselamatan,” katanya.

Kelmarin, beliau dilaporkan berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi dan sukarelawan yang menyertai misi bantuan mangsa banjir di Selangor perlu memaklumkan kehadiran mereka kepada Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata langkah itu akan memudahkan pihaknya menerusi Majlis Sukan Negeri bagi menyelaraskan pergerakan sukarelawan seterusnya menumpukan kawasan lebih memerlukan bantuan.

“Saya jangkakan menjelang perayaan Krismas, menjelang hujung minggu ini, jumlah kehadiran (sukarelawan) akan lebih ramai, saya perlu melihat bagaimana koordinasi dapat dibuat.

“Bukan ingin menghalang (bantuan dan sukarelawan) tetapi mengelakkan sebarang pembaziran tenaga dan kerja kerana penumpuan yang kurang di satu tempat tetapi terlebih tumpu di satu tempat yang lain,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Radio.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Team Selangor bantu cuci rumah, edar makanan di tujuh lokasi

SHAH ALAM, 25 DIS: Seramai 115 sukarelawan Team Selangor meneruskan aktiviti membantu mangsa banjir pada hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata aktiviti memasuki hari kelapan itu meliputi tujuh kawasan di lima daerah iaitu Hulu Langat, Kuala Selangor, Klang, Sepang dan Petaling.

“Pergerakan sukarelawan bermula jam 8.45 pagi dengan aktiviti mencuci rumah penduduk di Kampung Bangi Lama (Hulu Langat), Kampung Tanjung Siam (Kuala Selangor), Meru (Klang) dan Kampung Sri Tanjung (Sepang).

“Bagi aktiviti pengedaran makanan siap masak pula kita lakukan di Kampung Lombong (Klang), Desa Subang Perantau dan Taman Setia Warisan (Petaling),” katanya kepada SelangorKini.

Syahaizel Keman berkata pihaknya memperuntuk sekitar 20 hingga 30 sukarelawan dalam satu-satu masa bergantung keadaan lokasi.

“Dianggarkan lebih 250 sukarelawan Team Selangor telah terlibat sejak kejadian ini minggu lalu hingga setakat sekarang,” katanya.

Semalam Team Selangor mempelawa individu atau organisasi yang berminat menjadi sukarelawan pasukan mereka untuk turun padang membantu mangsa banjir di negeri ini.

Individu yang berminat boleh daftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukarelawan banjir selamatkan warga emas dihempap bumbung akibat pokok tumbang

SUBANG JAYA, 25 DIS: Warga emas dihempap bumbung rumah akibat pokok tumbang antara mangsa yang diselamatkan sukarelawan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Selangor dalam kejadian banjir pada malam Sabtu.

Yang dipertuanya berkata tiga sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu mengeluarkan wanita berusia 60-an yang terperangkap di ruang dapur rumah di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Selangor, Dato’ Dr Gavin Voon

Dato’ Dr Gavin Voon memaklumkan warga emas yang tinggal bersendirian sedang memasak dan lambat menyedari limpahan air deras pada paras pinggang dan tidak sempat menyelamatkan diri.

“Sukarelawan kami sedang periksa rumah ke rumah. Sebaik tiba sebuah rumah, mereka terdengar jeritan seseorang meminta bantuan sebelum bertindak masuk.

“Mereka mendapati wanita itu cedera di kaki kiri akibat dihempap zink. Warga emas tersebut segera dikeluarkan dan diserah kepada pasukan keselamatan,” katanya ditemui di Balairaya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Lanchong semalam.

Presiden Worldwide Wellness Club Gilbert Pang pula berkata pihaknya menubuhkan pasukan sukarelawan yang sertai 200 orang bagi membantu mangsa bencana di seluruh negeri.

Beliau menjelaskan mereka dibahagi mengikut kumpulan bagi membuat kerja nyahkuman sejak Ahad lalu di penempatan penduduk terjejas untuk mengelak penularan Covid-19.

“Kita turut sediakan penyapu, minuman dan pelitup muka untuk diagih kepada mangsa yang giat menjalankan pembersihan di kawasan perumahan masing-masing.

“Kami seronok dapat sumbang bakti kepada masyarakat, malah sanggup meninggalkan urusan kerja untuk membantu mangsa terlibat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sukarelawan diperlukan bersih sampah pukal di lorong sempit

SHAH ALAM, 23 DIS: Khidmat sukarelawan diperlukan bagi mempercepat operasi pembersihan sampah pukal di kawasan terjejas banjir di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka juga dapat membantu mengangkut sampah dari rumah penduduk yang tidak dapat diakses lori.

“Sekarang bukan masalah di luar kerana sampah sudah dibersihkan semalam, namun masih berlonggok di lorong, jadi selagi tidak dikeluarkan, selagi itu pembersihan tidak selesai.

“Saya harap selain bantuan makanan dan selamatkan mangsa, sukarelawan juga boleh bantu keluarkan barang daripada rumah di lorong kecil untuk diuruskan KDEB Waste Management (KDEBWM),” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pembersihan KDEBWM pascabanjir di Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Seksyen 16 di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan sebanyak 600 tan metrik sampah pukal diangkut dari kawasan itu sejak Isnin dan menjangka proses pembersihan selesai antara satu hingga dua minggu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantu mangsa banjir lain meski rumah sendiri dinaiki air

SHAH ALAM, 22 DIS: Seorang sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sanggup meninggalkan rumahnya yang turut terjejas akibat banjir kerana mahu membantu mangsa lain.

V Vijakomar menganggap dirinya bersalah dan ‘berdosa’ jika tidak membantu orang lain dalam kesusahan berikutan sudah biasa berbuat demikian sejak puluhan tahun lalu.

V Vijakomar

“Saya 40 tahun dalam PBSM kalau tidak tolong rasa bersalah, berdosa dan tidak tenteram, seperti ada yang tidak kena,” katanya ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Emerald di sini, semalam.

Warga emas berusia 64 tahun itu berkata dia bertugas di PPS berkenaan sejak Isnin lalu dan antara rutinnya ialah mengenal pasti mangsa yang tidak sihat dan menjaga lalu lintas.

Dia berkata dalam kejadian Sabtu lalu, kediaman satu tingkatnya di Taman Sentosa, Klang dinaiki air sehingga paras lutut yang mengakibatkan beberapa perkakasan rumah rosak.

“Saya bertugas dari pagi hingga malam dan kemudian bila balik saya kemas rumah serta cuci barang bersama anak-anak,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

 

Categories
SELANGOR

Sukarelawan kongsi punca sukar bantu mangsa bah Sri Ehsan

BANTING, 21 DIS: Beberapa sukarelawan dari badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang ingin menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan perumahan Bandar Seri Ehsan, di sini berhadapan kesukaran berikutan jalan utama memasuki kawasan perumahan itu masih ditenggelami air.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati, pihak terbabit terpaksa menggunakan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bot yang dipinjamkan daripada orang awam, bagi mengangkut barangan itu.

Selain itu, lori tanah terpaksa digunakan bagi membawa mangsa banjir keluar dari kawasan perumahan terbabit.

Sukarelawan MyFundAction Shahidah Othman, 26, berkata NGO itu membawa kira-kira 1,000 Kotak Rezeki Ummat untuk diedar kepada mangsa terlibat, namun berhadapan kelewatan berikutan masalah logistik.

“Kami sudah dapat kebenaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk masuk ke kawasan perumahan itu. Ada barang yang kami masukkan dalam lori ATM, PDRM dan APM. Ada juga yang kami bawa masuk menggunakan bot.

“Bantuan lambat tiba disebabkan kekangan ini. Kami sukar untuk bawa barang bantuan ke kawasan perumahan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata Kotak Rezeki Ummat mengandungi barangan makanan dan minuman selain lampin bayi serta tuala wanita.

Sementara itu, selebriti Nadzmie Adhwa Nor Adzmi, 29, bersama isteri Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana berkata sebagai sukarelawan yang tidak mewakili mana-mana NGO, beliau turut berhadapan masalah sama, namun ia tidak melunturkan semangat prihatin mereka.

Beliau berkata bantuan berupa makanan, minuman, lampin dan susu bayi yang menggunakan dana peribadi dan sahabat handai perlu diserahkan kepada mangsa banjir dengan segera, kerana ia merupakan amanah yang diberikan kepada mereka.

“Hari ini kami bekerjasama dengan ‘team Ayer Spot’. Mereka bersama-sama kami turun ke lokasi bawa kami dan bantuan menaiki bot mereka. Alhamdulilah semua barangan telah diserahkan di lokasi pengumpulan barangan bantuan iaitu di pondok Persatuan Penduduk Bandar Seri Ehsan,” katanya.

Wakil penduduk Bandar Seri Ehsan Nor Azizi Ismail, 47, berkata kira-kira 9,000 penduduk di kawasan perumahan terbabit bukan sahaja terputus hubungan dan bekalan barangan keperluan, malah berhadapan masalah komunikasi memandangkan stesen pemancar telekomunikasi tidak berfungsi setelah bekalan elektrik terpaksa ditutup sementara.

“Sudah tiga hari kami tiada bekalan elektrik dan rangkaian telefon. Jalan utama ini dinaiki air sejak Jumaat lepas. Namun pada hari Sabtu, kami telah keluarkan golongan wanita khususnya ibu mengandung dan menyusukan anak, kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR SELANGOR

Unisel gerakkan 300 sukarelawan bantu bersih rumah mangsa banjir

SHAH ALAM, 21 DIS: Universiti Selangor (Unisel) hari ini menggerakkan seramai 300 orang sukarelawan bagi misi bantuan pasca banjir ke kawasan-kawasan yang terjejas.

Pengarah komunikasi korporat Hasril Abu Hassan berkata misi diketuai Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman membantu membersih rumah mangsa banjir selain menyerahkan bantuan kewangan.

Katanya, misi bantuan tersebut menumpukan beberapa kawasan terjejas antaranya di Bestari Jaya, Sungai Kandis dan Padang Jawa.

“Buat masa ini Unisel kampus Bestari Jaya masih selamat dan tidak terjejas. Meskipun begitu, kesemua pelajar yang berada di dalam kampus telah diberikan pelbagai bantuan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut menyalurkan bantuan Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin, Penggerak Belia Selangor (PeBS), Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kewangan kepada mangsa banjir di Bestari Jaya pada 21 Disember 2021. Foto Facebook Unisel

 

Sukarelawan misi bantuan pasca banjir yang digerakkan oleh Universiti Selangor (Unisel) membantu membersihkan rumah penduduk di Bestari Jaya pada 21 Disember 2021. Foto Facebook Universiti Selangor
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rujuk EXCO elak bantuan banjir bertindih, lambakan barang

SHAH ALAM, 21 DIS: Sukarelawan luar yang mahu membantu mangsa banjir di negeri ini disaran berhubung dengan EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi mengelak pertindihan, kerugian atau lambakan barang bantuan di sesuatu lokaliti.

“Ini tidak bermaksud kita ingin menghalang atau mengganggu keinginan mereka. Apa yang kita harapkan ialah dapat memberi fokus kepada lokalti-lokalti yang sewajarnya mendapat bantuan.

“Kita mengalu-alukan, jika mereka ingin pergi sendiri pun tidak mengapa tetapi kebimbangan saya berlaku kerugian dari segi kewangan, tenaga jika kawasan itu sudah dibantu,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Amirudin berkata nombor telefon Mohd Khairuddin sebagai penyelaras sukarelawan dan belia serta pihak yang berkaitan akan dimaklum segera menerusi media sosial.

Selain Mohd Khairuddin, beliau menambah EXCO lain juga mempunyai peranan masing-masing dalam usaha memulihkan semula Selangor selepas banjir.

Katanya, antara tugas mereka ialah V Ganabatirau sebagai penyelaras bantuan kebajikan, Ng Sze Han (pembersihan kawasan banjir) dan Ir Izham Hashim (pemulihan infrastruktur).

Selain itu. Dr Siti Mariah Mahmud serta Borhan Aman Shah (bantuan kesihatan), Rodziah Ismail (bantuan di pusat pemindahan) dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni (pemantauan di masjid, surau).

Categories
EXCO SELANGOR

Seru masyarakat gotong-royong bersihkan Sungai Ampang sebulan sekali

SHAH ALAM, 25 OKT: Wakil rakyat menyeru masyarakat sekitar bergotong-royong membersihkan Sungai Ampang sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Penyelaras Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata usaha itu bertujuan memulihkan habitat semulajadi flora dan fauna di samping menghidupkan semula aktiviti tebing sungai.

“Ingin saya tegaskan sungai merupakan antara anugerah Allah yang paling berharga dan wajib kita jaga sebaik mungkin demi kemaslahatan generasi kini dan masa hadapan.

Penyelaras Parlimen Ampang Rodziah Ismail bergotong-royong bersama masyarakat setempat membersihkan Sungai Ampang pada 24 Oktober 2021. Foto Facebook Rodziah Ismail

“Oleh itu, saya menyeru penglibatan semua pihak daripada kanak-kanak sehingga warga emas menjadi sebahagian sukarelawan bergotong-royong bersihkan sungai setidaknya sebulan sekali,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri turun padang bagi program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) sambil membersihkan Sungai Ampang di Kebun Komuniti FoSA, Jalan Merbau, Kampung Melayu Ampang semalam.

Program itu dianjurkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jawatankuasa Penduduk MPAJ Zon 7 dan badan bukan kerajaan seperti Friends of Sungai Ampang serta Sahabat Sungai Ampang.

Lebih 100 sukarelawan terdiri daripada masyarakat sekitar turut menyertai misi tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukarelawan Selangor sasar 3,000 ahli, mantapkan aktiviti kemasyarakatan

SHAH ALAM, 23 OKT: Sukarelawan Selangor (SERVE) menyasarkan 3,000 ahli berdaftar menjelang akhir tahun ini, kata EXCO jaringan kemasyarakatan dan kesukarelawan.

Danish Hairudin berkata pertambahan ahli di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) memudahkan serta memantapkan gerak kerja sekiranya berlaku bencana.

Menurut beliau, kumpulan terbabit mampu menyokong pusat khidmat masyarakat setempat dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas.

“SERVE adalah platform meneruskan aktiviti sosial bersama masyarakat. Ramai yang berminat dengan cara kerja SERVE terhadap komuniti kerana kita boleh bergerak dalam apa jua situasi musibah.

“Jadi, kita buka ruang kepada orang ramai di Selangor termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk menyumbang khidmat bakti. Kita akan bimbing mereka untuk meneroka pengalaman baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara “Kenali SERVE: Sukarelawan Selangor” yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Danish berkata SERVE diletakkan bersama Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor sebagai kumpulan sokongan pertama jika berlaku insiden.

Keputusan memasukkan SERVE dalam unit berkenaan dicapai sebaik selesai misi bantuan bencana fenomena kepala air di Yan, Kedah akhir Ogos lalu, jelasnya.

“Hasil perbincangan bersama EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan unit itu, mereka bersetuju meletakkan SERVE dalam kumpulan sokongan. Kami dapat pastikan keselamatan serta keadaan terkawal di lokasi selepas bencana,” katanya.

29 Ogos lalu, hampir 50 ahli SERVE digerakkan ke Yan bagi membantu mangsa bencana kepala air selaras tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

Selain misi berkenaan, SERVE tampil menghulurkan bantuan makanan asas kepada mangsa tanah runtuh di Kemensah Height dan banjir kilat di Selangor.

Malah, sebelum ini pasukan terbabit turut ditempatkan di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi melancarkan operasi suntikan pelalian Covid-19.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.