Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Covid-19: UiTM tangguh daftar pelajar di zon merah secara bersemuka

SHAH ALAM, 28 SEPT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama dari Sabah dan kawasan zon merah secara bersemuka bagi sesi pengajian yang dijadualkan bermula bulan depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata arahan yang sama turut dikeluarkan kepada pelajar dari Semenanjung yang akan mendaftar di kampus UiTM Sabah.

“Pelajar baharu dan lama boleh mendaftar secara dalam talian. Notis mengenai perkara tersebut akan dikeluarkan hari ini. Proses pembelajaran juga akan dijalankan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan peralatan pengajaran dan pembelajaran oleh Kedutaan China kepada UiTM di sini, hari ini.

Ditanya mengenai istiadat konvokesyen UiTM yang dijadual berlangsung pada November ini, Mohd Azraai berkata pihaknya sedang berbincang mengenai perkara tersebut sama ada ia diteruskan seperti biasa atau secara kebiasaan baharu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.

KPT mencadangkan proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit boleh dilakukan secara dalam talian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan galak rakyat hulur sumbangan Tabung Pahlawan 2020

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Kerajaan menggalakkan semua lapisan masyarakat menghulurkan sumbangan kepada warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka menerusi Kempen Tabung Pahlawan 2020.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata objektif kempen itu adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengorbanan anggota ATM dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Katanya, kempen berkenaan juga bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada veteran atau keluarga mereka, kumpulan asnaf dan golongan veteran orang kurang upaya (OKU).

“Negara kita tidak akan berjaya seperti hari ini tanpa pengorbanan mereka, dan rakyat perlu diingatkan bahawa jasa mereka (ATM) tidak boleh dilupakan. Mungkin ramai dalam kalangan anak muda tidak sedar atau tidak arif tentang perjuangan.

“Perjuangan anggota tentera kita yang terkorban nyawa atau mengalami kecederaan dan sebagainya demi mempertahankan negara, dan orang muda hari ini perlu sedar, apa yang kita capai hari ini adalah antara hasil perjuangan veteran ATM,” katanya menerusi rancangan Malaysia Hari Ini terbitan TV3, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian sempena pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 yang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selaku Penaung Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Sri Pentas, Bandar Utama.

Memandangkan negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membataskan pergerakan aktiviti mengumpul dana, Ismail Sabri berkata kempen kini giat dilaksanakan menerusi media elektronik dan media sosial untuk menghebahkan usaha mengutip dana berkenaan.

“Kita ingin libatkan semua lapisan masyarakat dalam kempen dari segi kutipan seperti pelajar-pelajar dari institut pengajian tinggi (IPT), atau syarikat-syarikat korporat mereka tentu ada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk memberi sumbangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

RMS berkenan terima sumbangan RM1.55 juta bina Kompleks Anak Yatim Yide

SHAH ALAM, 21 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj berkenan menerima sumbangan bagi pembinaan Kompleks Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah.

Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata lima syarikat korporat dan agensi kerajaan menyumbang dengan jumlah keseluruhan RM1.55 juta.

“Yide mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat atau agensi berkaitan kerajaan untuk bersama menjayakan pembinaan kompleks ini.

“Kompleks ini juga adalah usaha sama Yide dengan Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor yang sehingga kini telah mengumpul sejumlah RM6.3 juta tetapi masih perlukan RM3.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada majlis ringkas di Istana Mestika hari ini, Raja Muda Selangor berkenan menerima sumbangan daripada Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd bernilai RM1.3 juta; Worldwide Holdings Berhad (RM45,000); Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (RM36,600); Celcom Axiata Berhad (RM50,000) dan Aiman Platinum Sdn Bhd (RM41,000).

Turut hadir, Pengerusi Yide Dato’ Bakhtiar Husin dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar.

Yide menyeru orang ramai, syarikat korporat dan agensi kerajaan menyumbang bagi pembinaan kompleks itu melalui Bank Islam (1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz (https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/), Jom Pay (BillerCode: 81059) atau aplikasi SnapNPay.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

TNB sumbang RM2 juta untuk Tabung Covid-19 Selangor

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerajaan Selangor menerima sumbangan RM2 juta dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk Tabung Covid-19 yang dilancarkan Dato’ Menteri Besar pada 1 April lalu.

“Sumbangan ini termasuk sumbangan peralatan berjumlah RM500,000 kepada Hospital Shah Alam.

“Terima kasih diucapkan kepada TNB atas sumbangan ini,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya, hari ini.

Kerajaan Negeri menubuhkan Tabung Covid-19 Selangor bagi membolehkan orang ramai yang berhasrat memberi sumbangan.

Sumbangan boleh disalur menerusi akaun Maybank Islamic – 562106684326 dalam bentuk mata wang tempatan Ringgit Malaysia.

Kaedah sumbangan menerusi perbankan internet, cek, sistem pemindahan dana dan sekuriti secara elektronik masa nyata (Rentas), mesin teler automatik (ATM) dan pindahan telegrafik (TT).

Penyumbang tabung layak menerima potongan cukai mengikut Subseksyen 44(6) ACP oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Categories
SELANGOR

Dua anak istimewa terima sumbangan YAWAS

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) memperuntukkan sejumlah RM5,000 kepada dua penerima Bantuan Anak Istimewa Selangor (ANIS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negerinya (ADN), Mazwan Johar berkata, dua anak istimewa iaitu Muhammad Ikmal Mohd Kamarul Arifin dan Siti Umaiyah Mohamad Sobri merupakan penerima sulung untuk program yang baharu dilaksanakan tahun ini.

Katanya, kedua-dua anak istimewa berusia 10 dan 12 tahun itu mengidap penyakit ‘cerebral palsy’ dan memerlukan kerusi roda khas untuk kemudahan mobiliti mereka.

“Sumbangan ini bertujuan untuk membiayai pembelian kerusi roda terbabit.

“Saya berharap bantuan yang kami usahakan ini meringankan sedikit sebanyak beban yang dipikul mereka. Saya juga mendoakan kedua-dua keluarga supaya dapat terus menempuh kehidupan dihari muka dengan tabah dan sabar,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan itu, baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Besar YAWAS, Gan Pei Nei.

Pada masa sama, Mazwan berkata, sebagai ADN kawasan itu beliau berbesar hati kerana berjaya mendapatkan perhatian daripada YAWAS untuk membuat pemberian sulung kepada pemohon yang berjaya dalam kawasan DUNnya.

“Saya dimaklumkan YAWAS memilih DUN saya sebagai tempat pertama untuk dirasmikan pemberian di bawah skim ini kerana menilai saya antara ADN yang paling menyerlah dalam membuat kerja kebajikan dan rekod komitmen saya menyokong dan menghadiri program YAWAS.

“Alhamdulillah, sememangnya itulah pengharapan yang saya letakkan apabila menunjukkan sokongan dan minat saya kepada aktiviti kelolaan YAWAS dan lain-lain badan atau organisasi kebajikan,” katanya.

Bermula tahun ini Kerajaan Negeri memperkenalkan satu lagi skim Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang baharu iaitu ANIS.

Ibu bapa yang mempunyai anak dalam kategori OKU berumur kurang daripada 18 tahun boleh memohon untuk mendapatkan bantuan ini.

Kepada pemohon yang berjaya, mereka akan mendapat bantuan yang bernilai maksima sehingga RM5,000 dengan sekali pemberian.

Categories
NASIONAL

DYMM Sultan Selangor berkenan serah sumbangan Aidilfitri

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SERDANG, 27 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Aidilfitri berjumlah RM212,000 kepada 424 asnaf fakir, miskin dan mualaf, di daerah ini.

Sumbangan terbabit disampaikan pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada fakir, miskin serta perasmian masjid di Masjid Kompleks Pertanian Serdang, di sini.

Menerusi jumlah itu, sebanyak RM105,000 diserahkan kepada 210 asnaf miskin, manakala RM38,000 pula diagihkan kepada asnaf fakir.

Pada masa sama, sebanyak RM69,000 diagihkan kepada 138 penerima mualaf.

Yang turut hadir menyambut ketibaan baginda, Dato’ Menteri Besar; Amirudin Shari, Pegawai Daerah Petaling; Datin Paduka Roslinah Md Jani dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor; Dato’ Haris Kasim. 

Baginda turut berbuka puasa bersama rakyat dan menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak serta tarawih.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Food For Mahasiswa bantu agih juadah berbuka puasa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 MEI: Sekumpulan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan program Food For Mahasiswa (FFM) sepanjang bulan Ramadan dalam usaha meringankan beban golongan itu.

Penggerak FFM, Muhammad Affendy Hasni berkata, program itu dijalankan sejak April 2015 dengan memberi makan malam percuma kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.

“Kita utamakan kepada dua golongna pelajar iaitu datang daripada keluarga susah dan engalami masalah kewangan, ketika akhir semester.

“Usaha ini kita teruskan pada bulan Ramadan yang dianggap sebagai satu tradisi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bagaimanpun, Affendy berkata, bantuan makanan percuma itu hanya terhad kepada 200 bungkusan sehari kerana bergantung kepada nilai sumbangan diberikan orang ramai.

“Jika ada rezeki, lebih kita mampu edar sehingga 300 bungkusan, namun perkara itu jarang berlaku kerana dana melalui sumbangan.

“Bagaimanapun, tahun ini kami di FFM tetap bertekad untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan makan malam setiap hari sehingga kertas peperiksaan semester tamat.

“Bagi menjayakan hasrat itu, sumbangan daripada orang ramai amat dialu-alukan tidak kira dalam bentuk wang tunai, makanan, minuman, kuih-muih, kurma, atau buah-buahan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu menyumbang dalam bentuk kewangan boleh menyalurkan terus ke akaun Persatuan Mahasiswa Prihatin 564481410901 (Maybank).

Difahamkan, secara kasar, FFM memerlukan kira-kira RM1000 sehari bagi menampung makan malam berjumlah RM4 untuk 250 pelajar.

Categories
SELANGOR

MBI salur bantuan RM180,000 untuk masjid dan surau Klang

OLEH HAFIZAN TAIB

KAPAR, 23 MAC: Kerajaan Negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menghulurkan sumbangan berjumlah RM180,000 kepada masjid dan surau, di daerah Klang, hari ini.

Majlis penyerahan di Masjid As-Syarif, Meru, di sini, disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum menunaikan solat Jumaat.

Sumbangan untuk program membaik pulih dan menaik taraf diagihkan kepada Masjid As-Syarif sebanyak RM50,000, Masjid Taman Sri Mudap (RM50,000), Masjid Al-Munawwarah (RM50,000) dan Surau Al-Amin (RM30,000).

Selain itu, melalui bantuan diterima pihak kariah masjid dan surau menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan untuk disertai masyarakat setempat.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Ketua Korporat MBI, Ahmad Ashraf Asnan.

Categories
SELANGOR

MB sampaikan sumbangan RM148,000 di DUN Bukit Antarabangsa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 21 OKT: Sebanyak RM148,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri sebagai inisiatif bantuan kepada 66 individu membabitkan masyarakat awam, agensi tempatan, institusi keagamaan masjid dan surau di bawah Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Majlis Penyampaian Sumbangan disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di perkarangan Masjid Al-Mardhiyah Fasa 5 Taman Melawati, hari ini.

Mohamed Azmin dalam ucapan perasmiannya berkata, sumbangan diberikan sebagai inisiatif dan komitmen Kerajaan Negeri terhadap keperluan masyarakat di bawah Parlimen dan DUN berkenaan.

“Anggaplah bantuan ini sebagai tanggungjawab saya untuk mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat menerusi agihan bantuan dan inisiatif peduli rakyat daripada Kerajaan Negeri.

“Pastinya komitmen ini sudah menjadi kelaziman dan menjadi aktiviti harian saya di peringkat Kerajaan Negeri dalam memastikan masyarakat memerlukan dibantu dalam segenap aspek,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri kekal konsisten melaksanakan komitmen inisiatif peduli rakyat dalam membantu meningkatkan keperluan ekonomi masyarakat seluruh negeri.

Katanya, ini termasuklah pelaksanaan 42 program di bawah inisiatif peduli rakyat yang dijayakan sejak menerajui kepimpinan negeri.

“Kerajaan Negeri akan terus membantu semua golongan sama ada peringkat belia, mahasiswa, penggiat industri, pengusaha, wanita dan lainnya.

“Saya percaya peningkatan kos (kehidupan) kini semakin meningkat dan menjadi lebih sukar apabila Kerajaan Persekutuan memotong pelbagai peruntukan.

“Namun, di peringkat Kerajaan Negeri dengan kemampuan terhad, kita akan terus menumpukan aspek pembangunan dalam Belanjawan Negeri 2018 ini,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Masjid terharu, baru nak mohon dah dapat sumbangan

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 25 MAC: Pihak pengurusan Masjid Darul Iman Kampung Parit Serong terharu apabila hajat untuk membesarkan ruang solat muslimat bakal tercapai apabila menerima sumbangan RM150,000 daripada Kerajaan Negeri.

Setiausaha Masjid Darul Iman, Kampung Parit Serong, Nasaruddin Shaarani berkata, sebelum ini pihaknya merancang untuk mendapatkan sumbangan orang ramai dan Kerajaan Negeri bagi membiayai projek terbabit.

“Kami sangat bersyukur, setahun lebih memikirkan bagaimana nak mencari dana untuk membesarkan ruang muslimat tetapi belum sempat permohonan dipanjangkan, hari ini kami dah dapat sumbangan. Seluruh kariah mengucapkan ribuan terima kasih,” katanya.

IMG_20170324_131641_552Beliau berkata demikian pada program Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid, Surau dan Sekolah Rendah Agama Daerah Kuala Selangor di Masjid Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini, semalam.

Katanya, bumbung di ruang muslimat sedia ada pada masa ini agak rendah hingga menyebabkan keadaan tidak selesa dan terlalu sempit untuk menampung jemaah terutama ketika mengerjakan solat terawih.

Katanya, sumbangan itu akan digunakan untuk membina bangunan tambahan termasuk ruang mengambil wuduk dan tempat menukar pakaian bagi kegunaan kaum wanita.

Nazir Masjid As-Solihin, Tali Air 2, Sungai Burong, Mohd Nor Saad pula berkata, pihaknya menerima sumbangan RM50,000 untuk membaik pulih Surau Hj Mahmud di bawah seliaan Jawatankuasa Masjid As-Solihin.

“Surau Hj Mahmud perlu dibaik pulih kerana selepas raya nanti, Masjid As-Solihin akan dirobohkan bagi memberi laluan projek pembinaan masjid baru dan sementara menunggu siap, Surau Hj Mahmud akan dijadikan masjid sementara,” katanya.

Katanya, sebelum ini Kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukan bernilai RM5 juta untuk membina masjid baru bagi menggantikan bangunan uzur masjid itu yang dianggarkan berusia 120 tahun.

IMG_20170324_150742_449Sementara itu, Setiausaha Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang, Mahroii Rangdimin pula menyifatkan sumbangan RM20,000 yang diterima terlalu besar dan amat bermakna kepada kariah kawasan terbabit.

“Ribuan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana beri sumbangan ini kepada surau kami dan sebenarnya RM20,000 terlalu besar untuk surau kami, bahkan ia sungguh bermakna kerana banyak boleh digunakan untuk meningkatkan kemudahan surau.

“Pada masa ini, kami sedang menaik taraf sistem pembesar suara memandangkan yang sedia ada terlalu uzur dan untuk kemudahan lain surau,” katanya.

Katanya, selain sistem pembesar suara, sumbangan itu juga akan dibelanjakan untuk membeli beberapa keperluan lain seperti permaidani, tempat mengambil wuduk wanita dan penghadang pemisah ruang solat muslimat.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan sumbangan RM2.1 juta kepada 22 masjid, surau dan sekolah rendah agama di Kuala Selangor.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PEKAWANIS serah sumbangan sempena Tahun Baru Cina

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) melalui ADN Selat Klang melawat 13 warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) dalam kalangan kaum Tionghua bagi menyampaikan beberapa hadiah dan sumbangan wang.

ADN Selat Klang, Halimah Ali berkata, beliau bersama petugas PAS dan Briged Amal Selat Klang menyerahkan sumbangan daripada PEKAWANIS kepada 13 penerima di sekitar Teluk Pulai, pada 26 Januari lalu.

“Sumbangan itu mensasarkan golongan warga emas dan OKU berbangsa Cina bagi meringankan beban mereka menyambut Tahun Baru Cina.

pekawanis (3)“Selain menyerahkan sumbangan, saya sempat menziarahi dan bertanya khabar, di samping melihat hasil lukisan yang unik oleh seorang belia OKU,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, seramai 400 rakyat Selat Klang yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina menerima baucer Jom Shopping, pada hari itu.

“Kita mahu orang Cina gembira ketika menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama keluarga tersayang,” katanya.

Difahamkan, pemberiaan baucer itu dilakukan melalui tiga fasa iaitu pada 17, 24 dan 26 Januari lalu yang diadakan di Pasaraya Econmart berhampiran pejabat ADUN Selat Klang.

Turut hadir ialah Ketua Komuniti Kaum India Selat Klang, Radhakrishnan; Ketua DHPP Selat Klang, Ramanchandran dan Pegawai Khas Ahli Majlis MPK, Ismail Rabbani.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa banjir terima bantuan RM1,050

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 17 OKT: Sebanyak 35 keluarga yang terkesan akibat fenomena air laut pasang besar, pada 30 September lalu, menerima sumbangan bantuan sekurang-kurangnya RM1,050.

7Sumbangan itu membabitkan RM300 daripada Kerajaan Negeri, RM300 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), RM250 sumbangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa dan Yayasan Islam Darul Ehsan sebanyak RM200.

Selain itu, Yayasan Warisan Anak Selangor turut menyumbang sebanyak RM200 bagi setiap ahli keluarga yang berdaftar sebagai ahli Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS).

Selain bantuan kewangan, keluarga mangsa turut diberikan bantuan makanan kering seperti beras .

Bantuan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan wakil agensi terlibat di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, di sini, petang tadi.

Selain menyampaikan sumbangan, Mohamed Azmin turut meluangkan masa bertemu 236 mangsa daripada 53 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara itu.

Turut hadir, ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi dan ADN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

-NFN-