Categories
SELANGOR

GLC perlu tampil hulur bantuan Skim Teras YAWAS

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JAN: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) meminta semua pihak khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menghulurkan bantuan kebajikan kepada YAWAS melalui Skim Teras khususnya program ‘Donor Advised Fund’.

Pengurus Besarnya, Mohd Nor Mohd Zin berkata, tidak salah sebagai anak syarikat kerajaan negeri jika berkongsi pendapatan bagi membantu anak Tawas yang kurang bernasib baik.

Malah, katanya, penderma Skim Teras berpeluang menikmati rebat cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

photo 3Beliau berkata, setakat ini Skim Teras menerima sumbangan RM15,574.85 sejak mula dilancarkan, pada 1 Januari 2014,.

“Kita sememangnya mengharapkan lebih ramai penderma bagi membantu anak Tawas ini membabitkan pembangunan pendidikan, pembangunan modal insan dan kebajikan,” katanya kepada Selangor Kini pada Majlis Sumbangan ‘Donor Advised Fund’.

Mohd Nor berkata, pihaknya juga akan mengusulkan beberapa cadangan kepada Dato’ Menteri Besar dalam memastikan kebajikan anak Tawas diteruskan.

“Kita akan membawa cadangan kepada Dato’ Menteri Besar ykhususnya bagi program ini kerana ia sangat bermakna kepada anak Tawas.

“Oleh itu, kita sangat berharap GLC dapat membantu melalui tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

photo 1Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) memperkenalkan YAWAS sebagai produk terbarunya khusus buat individu atau syarikat yang ingin menjadi penderma kepada pembangunan ahli Tawas.

Pada 2012, YAWAS berjaya mendapatkan kelulusan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 daripada Kementerian Kewangan Malaysia untuk tempoh lima tahun sehingga 2016.

Rebat layak tuntut yang dibenarkan LHDN adalah tujuh peratus daripada pendapatan agregat bagi individu, manakala 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi syarikat.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KDEB sumbang RM87,420 bantu siswa, baikpulih masjid

SHAH ALAM, 30 SEPT: Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah menyumbang RM83,420 kepada 28 siswa dan pasca siswazah yang menuntut di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Agama KDEB, Zaharudin Muhammad berkata penerima terdiri daripada pelajar diploma, mahasiswa dan pascwa siswazah, diantaranya sudah berkahwin, amat memerlukan untuk sara hidup keluarga, dan membayar kos pengajian.

Bahkan, seorang penerima mempunyai anak yang mengalami jangkitan saliran darah dan sedang dirawat di Unit Penjagaan Intensif, manakala satu pasangan dibantu kerana mengalami kecederaan parah dalam satu pelanggaran motosikal.

zakat“Kami amat bersimpati dengan pelajar-pelajar yang sangat komited dan berazam tinggi untuk menamatkan pengajian mereka walaupun dalam keadaan yang amat mencabar. Atas rasa simpati, kami telah memperuntukkan hampir 90% dari wang sumbangan zakat perniagaan untuk membantu pelajar-pelajar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Setiap pelajar menerima sumbangan antara RM2,000 hingga RM5,000. Tujuh pelajar diploma dan mahasiswa sepenuh masa yang sedang menuntut di Yaman, seorang di Jordan dan seorang pelajar yang sudah berumah tangga di United Kingdom akan menerima sumbangan melalui pos.

Selain itu, KDEB turut menyumbang RM4,000 untuk kerja-kerja baikpulih masjid usang.

Peruntukan sumbangan ini merupakan sebahagian (38%) daripada zakat perniagaan syarikat bagi 2013 berjumlah RM826,455 yang telah dijelaskan kepada Lembaga Zakat Selangor.

HM

Categories
SELANGOR

Usahawan asnaf terharu terima sumbangan LZS untuk perniagaan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SEKINCHAN, 13 APRIL: Projek perintis program usahawan khusus untuk golongan asnaf fakir dan miskin yang dianjurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) disambut baik golongan itu kerana ia ternyata mampu membantu mereka meraih pendapatan tambahan.

Kebanyakan asnaf yang ditemui ketika penyerahan lori dan motor roda tiga dalam satu upacara di Dataran Pantai, petang semalam melahirkan perasaan gembira dan terharu terhadap sumbangan yang diberikan.

Seorang asnaf, Mohd Haris Mohamed, 52, berpendapat ia adalah satu ganjaran paling berharga dalam hidupnya yang membolehkan beliau menjana lebih banyak pendapatan untuk menampung kehidupan seharian.

moh harisBeliau yang menjalankan perniagaan menjual makanan berazam untuk memanfaatkan kenderaan berkenaan (lori) sebaik mungkin selain berhasrat mengembangkan perniagaannya ke tahap lebih tinggi.

“Saya rasa bersyukur atas bantuan yang diberikan kerana ia mampu menambah baik ekonomi kami sekeluarga. Kini, saya berniaga mee rebus, mee bandung dan mee jawa mungkin selepas ini saya akan cuba keluarkan produk sendiri dalam bentuk pes,” katanya.

Seorang lagi penerima, Marhani Kamaruddin, 48, yang turut menerima lori untuk urusan penjualan makanan dan minuman berterima kasih kepada LZS atas sumbangan yang diberikan.

Beliau yang juga ibu tunggal kepada empat orang anak akan menjalankan perniagaan bersama anak sulungnya di sekitar kawasan Pelabuhan Klang.

IMG_5738 (1)“Sebelum ini, saya tidak bekerja dan terpaksa menanggung empat orang anak melalui ihsan dan sumbangan zakat, tetapi syukur selepas diberikan lori ini mampu meraih pendapatan sendiri.

“Saya harap perniagaan makanan saya akan mendapat sambutan dan berkembang luas lagi pada masa akan datang,” katanya.

Bantuan berkenaan bertujuan memperluaskan projek perintis program keusahawanan, yang mana setiap asnaf menerima motor roda tiga beserta modal pusingan dan kelengkapan perniagaan.

Seramai 10 orang asnaf fakir dan miskin menerima bantuan motorsikal roda tiga, manakala 20 orang lagi diberikan lori untuk tujuan berniaga.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Aktiviti YB : ADUN Gombak Setia serah sumbangan RM31,300

GOMBAK, 20 MAC: Satu majlis penyerahan sumbangan kemasyarakatan diadakan di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Taman Berjaya, di sini, pada 18 Mac lalu.

Sumbangan berbentuk ‘mock cheque’ yang bernilai RM31,300 itu diserahkan kepada 14 badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat yang disampaikan ADUN Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan.

Hasbullah berkata, pihak pusat khidmat mengalu-alukan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang politik untuk memohon sumbangan aktiviti kemasyarakatan dan berfaedah demi kepentingan penduduk serta masyarakat.

DSC_0011“Peruntukan kewangan juga sudah dipecahkan kepada beberapa sektor antaranya infrastruktur, kebajikan, keselamatan, pelajaran dan keagamaan sebagai pemangkin semangat untuk penganjur terus mendidik masyarakat dalam aktiviti berfaedah,” katanya.

Antara wakil yang hadir menerima sumbangan adalah daripada JMB Sunway Batu Caves, Persatuan Ibu Tunggal Gombak, Kelab TRW Gombak, Flat Taman Samudra, Sekolah Kebangsaan Gombak Utara, Nisa’ Gombak, Pasti Al-Qamar, Kafa Jabal Nur, JKK Gombak Utara, Kelab Remaja Masjid Rahimah dan Kelab Enginius UIA.

DSC_0017Pengerusi Kelab Remaja Masjid Rahimah, Mohd Iqman Ibrahim, 29 tahun, berkata dia berterima kasih atas sumbangan yang diterima itu kerana boleh membantu aktiviti yang dijalankan.

“Saya mewakili Kelab Remaja Rahimah berterima kasih kepada ADUN yang memberi sumbangan dan berharap lebih ramai yang sudi menyumbangkan dana bagi aktiviti remaja,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Selangor sumbang RM20,000 kepada anggota polis maut diserang hendap

Oleh Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 5 MAC: Kerajaan Selangor menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada keluarga Koperal Raja Aizam Raja Mohd yang terbunuh selepas diserang hendap sekumpulan warga asing di Taman Sentosa, Klang semalam.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata sumbangan itu hasil peruntukan Tabung Wira Negara yang diwujudkan ketika insiden Lahad Datu.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata, sumbangan itu suatu insentif kepada insan yang bertarung nyawa mempertahankan keselamatan rakyat dan negeri ini.

“Takziah kepada keluarga Raja Aizam. Kita memandang berat hal itu kerana mereka cedera ketika melindungi keselamatan orang ramai,” katanya.

Selain Raja Aizam, sumbangan RM10,000 turut diberi kepada Koperal Mohd Aidil Mustafa yang cedera dalam kejadian sama dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Bantuan itu hasil peruntukan Tabung Wira Rakyat Selangor berjumlah RM10 juta yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantu ahli keluarga anggota keselamatan.

Raja Aizam, 53, cedera di kepala, maut ketika dalam perjalanan ke HTAR selepas diserang dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam.

Mereka yang bertugas dalam unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, diserang ketika meronda di Lorong Yusuf Shahbudin 44D, Taman Sentosa.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno Salahguna Sekolah Untuk Kepentingan Politik

SHAH ALAM, 2 NOV: Beberapa pemimpin Umno yang dijangka akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 didakwa menggunakan sekolah untuk raih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Kegiatan mereka dikesan apabila terdapat beberapa bakal calon tersebut hadir dalam majlis penyampaian anugerah kecemerlangan di beberapa sekolah di Selangor meskipun tidak mendapat jemputan oleh pihak sekolah.

Kehadiran mereka itu menyebabkan pihak sekolah ‘terpaksa’ memberikan layanan istimewa sebagaimana tetamu kehormat lain dan diberikan tempat duduk di barisan hadapan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media yang diadakan di pejabat beliau di sini hari ini.

“Saya juga dapat maklumat bakal calon Parlimen Shah Alam serta calon-calon Dun mereka hadir dalam majlis di sebuah sekolah di Shah Alam minggu lepas, tetapi bila pemimpin Pakatan Rakyat (PR) pula tak dibenarkan,” ujar beliau.

Abdul Khalid juga berkata, walaupun Kerajaan Negeri memberi tanah kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah, pemimpin Kerajaan Negeri dan pemimpin lain dari PR tetap tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke kawasan sekolah termasuk untuk menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Julai lalu, Kerajaan Negeri membidas tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang menghalang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadiri majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di SMK Sultan Sulaiman, Bestari Jaya.

Meskipun Abdul Khalid tidak dapat memasuki sekolah tersebut namun beliau tetap memberi sumbangan sebanyak RM 24,000 dari Kerajaan Negeri.