Categories
NASIONAL

SKMM siasat aduan kandungan promosi produk disiarkan Astro Ria

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan amaran kepada Astro supaya tidak mengulangi insiden mempromosi produk dengan mempersenda kulit dan raut wajah seseorang.

Amaran itu merujuk kepada promosi produk pada program Konsert Gegar Vaganza 5, baru-baru ini.

SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan setelah mendapat aduan orang ramai berhubung kandungan promosi produk yang disiarkan melalui saluran Astro Ria itu.

“Pihak Astro telah menghadiri perjumpaan dengan SKMM pada 7 November lalu bagi memberi penjelasan butiran insiden dan tindakan pencegahan serta pembetulan yang diambil.

“Permohonan maaf daripada pihak penaja dan Astro telah dikeluarkan semasa siaran program pada 11 November 2018.

“Sebagai tindakan pencegahan pengulangan insiden, Astro juga telah merkam terlebih dahulu apa-apa segmen yang melibatkan penaja utama bagi program ini,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, Astro selaku pemegang lesen Pembekal Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-i) adalah tertakluk kepada pematuhan Syarat Lesen Khas dan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Categories
NASIONAL

SKMM tentukan ‘nasib’ MYTV – Gobind

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menentukan ‘nasib’ MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo.

Katanya, SKMM sedang dalam peringkat perbincangan bersama Telekom Malaysia (TM) bagi mencari penyelesaian masalah yang dihadapi MYTV.

“Saya turut dimaklumkan dalam tempoh kurang dua minggu lagi mereka akan membuat kenyataan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Digital Tranformation Asia 2018, di Hotel Shangri-La, hari ini.

Sebelum ini Gobind dilaporkan meminta MYTV menjelaskan kedudukan sebenar syarikat itu selepas berlakunya gangguan siaran.

Antara lokasi yang mengalami gangguan termasuk di Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.

MYTV dilantik kerajaan untuk membangun dan mengendalikan infrastruktur serta rangkaian perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) di Malaysia bagi membolehkan sistem penyiaran negara beralih daripada analog kepada digital.

Categories
NASIONAL

SKMM ‘spam’ orang awam?

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APR: Sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada segelintir orang awam semalam menjadi tanda tanya.

Tindakan ‘spam’ oleh SKMM itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen seterusnya menjadi perbualan hangat di laman facebook dan twitter.

SMS itu berbunyi, ‘Meraikan 20 tahun Akta Komunikasi & Multimedia 1998. Rakyat terus mengecapi nikmat kemajuan teknologi. Jadilah rakyat digital yang HEBAT!’.

Menjadi tanda tanya apabila tiada nombor penghantar dipaparkan, hanya nama ‘MCMC’ tertera pada peti masuk telefon penerima.

Antara yang keliru dengan SMS berkenaan ialah aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir sehinga berkongsi kekeliruan di laman twitternya isu SKMM tersebut.

“Siapa lagi mendapat pesanan ini? Mereka lupa siapa yang menubuhkan SKMM? kan? Tsk, tsk! #GE14),” tulisnya di Twitter peribadinya.

Sementara itu seorang blogger yang dikenali sebagai Theskop berkata, mungkin masyarakat boleh bertindak memandang sebelah mata dengan SMS berkenaan.

“Menjadi tanda tanya bagaimana SKMM mendapatkan maklumat data pengguna.

“Sebelum ini saya pernah membuat aduan berhubung khidmat telco yang tidak memuaskan, kandungan internet dan maklumat peribadi disalahguna.

“Namun SKMM tidak pernah menjawab aduan berkenaan, sekarang tiba-tiba dapat sms dari mereka pula, adakah ini adil.

“Kalau SKMM pun begini, tidak hairanlah ada individu menggunakan nombor peribadi pengguna untuk tujuan jahat,” katanya.

Sementara itu SelangorKini sudah menghubungi SKMM melalui talian hotline, 1800 188 030 bagi mengesahkan sms yang dihantar pihak mereka.

Operator wanita di talian mengesahkan SMS itu sememangnya dihantar daripada SKMM bertujuan untuk kesedaran awam.

Categories
NASIONAL

SMS SKMM undang rasa jelik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil menyatakan rasa jeliknya dengan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada sebahagian rakyat di negara ini.

Katanya, mesej berbunyi ‘Meraikan 20 tahun Akta Komunikasi & Multimedia 1998’ itu tidak sewajarnya dihantar oleh suruhanjaya tersebut.

“SKMM tidak perlu meraikan kewujudan akta itu kerana hakikatnya kes kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih pada 2014 masih belum diselesaikan dan dijelaskan secara terperinci.

“Kejadian lima tahun lalu itu masih belum dipertanggungjawabkan oleh sesiapa, malah tiada penahanan dibuat atas kebocoran itu,” katanya kepada SelangorKini.

Fahmi berkata, tidak sepatutnya sms sebegitu dihantar kepada pemilik telefon bimbit secara rawak sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

“Apa tujuan SKMM sebenarnya, paparan nombor pengirim juga tidak tertera dan lebih penting tiada penjelasan dibuat berhubung penghantaran sms berkenaan.

“Adakah ini amaran atau sekadar nasihat?, SKMM tidak perlu menzalimi rakyat terutamanya dalam era kebangkitan media sosial sekarang,” katanya.

Categories
NASIONAL

SKMM sekat 46 sesawang, tutup 4,618 akaun palsu

OLEH HAZIQ ISMAIL

CYBERJAYA, 19 APR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 46 laman web dan blog yang dikesan menyebarkan berita palsu.

Ketua Pegawai Operasi SKMM, Dr Mazlan Ismail berkata, lebih 50 peratus dari 1,500 berita palsu disebarkan menerusi media sosial dan sedang disiasat suruhanjaya itu mengandungi unsur menyerang agensi kerajaan, Melayu dan Islam.

“Sekarang zaman tanpa wayar, tidak perlukan pejabat untuk gerakkan agenda ini, dan masing-masing ada masa sendiri untuk lakukan operasi.” katanya di Majlis Pelancaran Program Sukarelawan Teknologi Komunikasi Maklumat (MIV) di sini, semalam.

Memetik laporan Berita Harian, Dr Mazlan berkata, 99 peratus berita palsu disebarkan itu dilakukan pihak dalam negara sendiri dan ia merupakan cabaran SKMM mengenalpasti dalang yang menggerakkan penyebaran berita palsu.

“Semakin rumit, apabila pihak yang melakukannya menggunakan akaun palsu disebarkan menggunakan akaun palsu.

“Apabila sudah viral sesuatu isu itu, mereka serta-merta menutup akaun berkenaan bagi mengelak dijejaki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pihaknya kini berusaha menutup 4,618 akaun palsu media sosial.

Categories
NASIONAL

SUARAM: SKMM jangan jadi ‘budak suruhan’ Kerajaan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 17 APR: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengkritik tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang melakukan serbuan dan tangkapan terhadap individu, Muhammad Hafiz Rayyan, 24, ekoran memuatnaik dua ‘tweet’ mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, SKMM sepatutnya menjadi suruhanjaya bebas dan bersikap profesional, bukan menjadi ‘orang suruhan’ Kerjaaan.

Beliau mendakwa, tindakan itu juga sebagai cubaan menakutkan rakyat menjelang pilihan raya, sedangkan mereka mempunyai hak untuk bersuara.

“Ini sangat jelas mewujudkan rasa takut kepada rakyat Malaysia khususnya anak muda yang menggunakan media sosial bagi meluahkan pandangan mereka.

“Kita sekali lagi ingin menekankan rakyat mempunyai hak dan kuasa untuk menunjukkan kritikan terhadap sesuatu perkara seperti berlakunya salah laku,” katanya.

Pada 8 April lalu, sekumpulan anggota polis serta wakil SKMM menahan Muhammad Hafiz di rumah bapanya dan dibawa ke Balai Polis Taman Sentosa, Klang.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan tanpa sebarang waran dan telefon bimbit model Iphone 5s turut dirampas.

Lebih mengecewakan, beliau tidak diberikan peluang berunding dengan peguam selain diminta SKMM memberikan nama pengguna (username) dan kata laluan bagi akaun miliknya, @HafizRayyan yang mempunyai 44,000 pengikut.

“Selepas empat jam ditahan saya dibebaskan. Namun, saya mendapat tahu mereka (SKMM) telah menukar kata laluan dan email akaun Twitter saya.

“Saya tidak dapat mengakses akaun itu sehingga membuat permohonan kepada Twitter untuk mendapatkan semula akses kepada akaun saya tiga hari selepas itu,” katanya.

Bagi peguam, Syahredzan Johan pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada SKMM supaya memulangkan semula telefon bimbit milik Muhammad Hafiz sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk tindakan undang-undang.

Menurutnya, SKMM mempunyai kuasa mendapatkan nama pengguna dan kata laluan mana-mana akaun laman sosial tetapi tidak berkuasa untuk mengambilalih serta menukar pemilik akaun.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Petani Selangor Bantah Harga Padi BERNAS – BULETIN 13

BULETIN 13 Untuk 04062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Polis akan membenarkan perhimpunan Black 505 di Kuala Lumpur untuk diteruskan jika diadakan mengikut syarat-syarat dalam Akta Perhimpunan Aman, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

2. Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya jam 9 pagi esok untuk didakwa di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

3. Saiful Asraf Idris pegawai kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali disoal siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selama dua jam hari ini.

4. Sekurang-kurangnya 200 orang petani sekitar Sungai Burong dan Sekinchan menunjuk perasaan secara aman di hadapan Kilang Bernas Sekinchan hari ini bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap perubahan harga belian hasil padi.

Demonstrasi itu dilakukan sebagai reaksi terhadap tindakan Padiberas Nasional (Bernas) yang menurunkan harga pembelian padi di kawasan mereka.

Categories
NASIONAL

Video Projek IC : Pegawai Azmin Disiasat SKMM Dua Jam

IMG_7486

KUALA LUMPUR, 4 JUN : Saiful Asraf Idris pegawai kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali disoal siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selama dua jam hari ini.

Saiful ketika selesai soal siasat di pejabat SKMM, Bangunan Sultan Abdul Samad memberitahu ia berkaitan satu kenyataan media Azmin mengenai isu pemberian kad pengenalan di Sabah dalam satu video yang disiarkan di laman Youtube.

Pegawai SKMM menyiasat Saiful mengikut Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kenyataan Azmin bertajuk “Program Tukar ke Orang Melayu (Project IC by Mahathir)”.

“Difahamkan, saya dipanggil soal siasat hari ini berhubung satu video yang dimuat naik di laman Youtube.

“Ia berikutan terdapat satu komen di video itu yang mengaitkannya dengan kenyataan Azmin (kenyataan rasmi oleh pejabat Azmin) pada Januari lalu.

“Saya tidak pasti sama ada akan dipanggil lagi (untuk soal siasat) selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Azmin, Hilman Idham mengesahkan arahan untuk menyoal siasat Saiful dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Mewakili Azmin katanya, pihaknya akan memastikan perkara ini tidak akan menjadi satu titik tolak terhadap usaha kerajaan untuk menghalang mereka daripada terus menyatakan kebenaran kepada masyarakat.

“Seperti mana yang kita jangka ini adalah soal siasat lanjutan daripada siasatan sebelumnya.

“Kita telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SKMM,” ujarnya.

Pada 13 Mac lalu, SKMM menyiasat Azmin selama hampir empat jam berhubung kenyataannya di laman Youtube mengenai Projek IC yang didakwanya membabitkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Umno pada hujung Februari lalu menafikan terlibat dalam projek yang ditunjukkan dalam video tersebut.

Categories
SELANGOR

Kuasa Selangor Terhad, Kerajaan Pusat Sepatutnya Lebih Tegas Banteras Judi

SHAH ALAM 29 NOV : Agensi Kerajaan Pusat disarankan supaya mengambil tindakan yang lebih tegas bagi memerangi pusat judi haram dengan memotong talian internet dan telefon premis-premis yang menjadi pusat aktitivit tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu berkata kuasa lebih menyeluruh untuk mengambil tindakan terhadap premis-premis perjudian ini dimiliki Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepatutnya boleh mengambil tindakan memotong perkhidmatan internet dan talian telefon premis-premis judi.

“Tanpa kedua-dua perkhidmatan ini, mereka (premis judi haram) pasti tidak dapat beroperasi lagi,” jelasnya.

Ronnie berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Kota Damansara, Dr. Mohd Nasir Hashim pagi tadi di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mohd Nasir mendakwa pusat-pusat judi terus membuka operasi baru di kawasan Kota Damansara walaupun premis mereka diserbu dan sita oleh penguatkuasa tempatan.

Ronnie menjelaskan bahawa kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri adalah terhad dalam usaha menghapuskan kewujudan premis perjudian haram.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Kerajaan Pusat bertindak lebih tegas dalam menangani permasalahan ini.

“Malangnya, kita dapat lihat keadaan ini terus berlanjutan kerana kuasa PBT terhad, yang berkuasa pula lambat mengambil tindakan,” tegasnya.