Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Jamin Air Cukup Untuk Industri

SHAH ALAM 7 OGOS : Kerajaan Selangor akan menyelesaikan masalah bekalan air kepada industri yang ditangguhkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sejak Januari 2012.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok berkata jaminan itu diberi ekoran terdapat 234 permohonan projek ditangguhkan oleh Syabas.

Katanya, permohonan mereka tidak mendapat kelulusan Syabas kerana syarikat itu mendakwa ada masalah kekurangan bekalan air terawat.

Syabas adalah syarikat swasta yang bertanggungjawab mengurus rawatan air mentah dan mengagihkan air terawat di seluruh Selangor.

?Jika mereka (Syabas) tidak berupaya untuk selesaikan hal itu, kerajaan negeri kata biar kita ambil alih. Ini kerana kita buat banyak permohonan dan ia sudah setahun sejak Syabas dan kerajaan negeri tidak berkomunikasi.

?Mana-mana permohonan untuk (pembekalan air) yang ditolak oleh Syabas perlu membuat permohonan kepada kerajaan negeri.

?Kerajaan negeri akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Pemantauan Air Syabas,? katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima rungutan daripada beberapa komuniti perniaga di Selangor yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masalah air ketika sesi taklimat mengenai air dan isu hutang Talam di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Selangor, Nor Azmi Diron berkata bekalan air bagi projek-projek tersebut akan mencukupi menjelang 2014.

“Bagi projek-projek yang dipohon sejak 2012 hingga sekarang adalah projek yang hanya akan memerlukan air pada 2014.

Keperluan bekalan air bagi 234 projek itu adalah 194 juta liter sehari (MLD), katanya.

?Berdasarkan projek Mitigasi 1 yang akan siap Mac 2013, kita mampu sediakan tambahan bekalan air yang boleh diagihkan lebih kurang 120 MLD,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Betulkah Umno-BN Boleh Jamin Tarif Air “Yang Munsabah”?

SHAH ALAM, 7 OGOS : Pakatan Rakyat (PR) Selangor mempersoalkan kenyataan Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang menjanjikan harga air ?yang munasabah? jika diberi peluang mentadbir semula Selangor.

Ini kerana Noh memberi jaminan berkenaan walaupun Kerajaan Pusat akan menangguh beban pembinaan projek pemindahan air Langat 2 yang berjumlah RM 8.65 bilion.

Keupayaan Umno-BN menunaikan janji tersebut juga dipersoal kerana dengan adanya Langat 2, Selangor terpaksa membayar RM 60 juta kepada Pahang setiap tahun sebagai royalti air.

Lebih lagi, keikhlasan Umno-BN dipersoal kerana mereka memihak kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang pada asalnya mahu meningkatkan harga air sebanyak 70 peratus menjelang 2012.

Kenyataan Noh yang tidak memberi butiran jauh berbeza dengan jaminan Pakatan bahawa harga air tidak akan dinaikkan melebihi 12 peratus.

Lebih lagi kata Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, Selangor tidak akan membenarkan Syarikat Konsesi Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Pusat menaikkan tarif air sehingga 70 peratus.

Katanya, Kerajaan Selangor percaya bahawa pelaksanaan projek Langat 2 bernilai RM8.65 bilion itu hanyalah sekadar untuk mengkayakan kroni Umno-BN, tanpa mengutamakan keperluan rakyat.

“Umno-BN terlalu banyak memutar belit fakta kerana mereka mahu rakyat percaya bahawa kenaikan tarif air 70 peratus yang akan dikenakan Syabas adalah berpatutan dan munasabah.

“Bagaimana mereka boleh katakan begitu sedangkan rakyat Selangor nanti terpaksa membayar RM 60 juta setahun kepada Kerajaan Pahang kesan daripada projek tersebut.

?Adakah itu yang Umno-BN katakan tidak membebankan rakyat?”soalnya.

Beliau berkata, satu-satunya perkara yang menghalang Syabas untuk meningkatkan tarif air adalah campur tangan Kerajaan Negeri setelah Pakatan memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008.

Tambahnya, pentadbiran telus Kerajaan Negeri telah memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati hasil negeri, antaranya pemberian 20 meter padu air percuma yang akan diteruskan sekiranya PR terus diberi mandat.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mengurangkan ketirisan dan memperbaiki prestasi bagi memastikan lebih banyak  manfaat dapat diberikan kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mendapatkan penstrukturan semula air di negeri ini dan terus menjaga kebajikan rakyat.

?Tidak ada sebab sama ada dana kerajaan persekutuan atau negeri perlu digunakan untuk membiayai projek mega yang tidak wajar kepada rakyat Selangor,” katanya lagi.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Terima Gaji RM400 Ribu, Rozali Ponteng Taklimat Penting

SHAH ALAM 6 OGOS: Meskipun menerima bayaran RM400 ribu sebulan, Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail gagal menjalankan tanggungjawab apabila gagal hadir dalam satu taklimat penting kepada jawatankuasa menyemak dibentuk Kerajaan Negeri.

Kegagalan Rozali untuk hadir dalam taklimat penting yang diadakan baru-baru ini bagi mendapatkan gambaran sebenar akan perkembangan terkini status bekalan air Selangor mengundang kekecewaan Ahli Parlimen Utara, Tony Phua.

Memetik dari satu laporan wawancara eksklusif Malaysiakini bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, taklimat tersebut dihadiri oleh semua pegawai profesional tertinggi Syabas.

Hanya dua orang yang tidak hadir (dalam mesyuarat), orang yang kita bayar RM400,000 sebulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ruslan Hassan.

“Semua profesional tertinggi hadir,” kata Abdul Khalid merujuk dengan sinis kepada Rozali, dipetik dari Malaysiakini.

Menurut laporan itu juga, pegawai dari Syabas sendiri turut mempersetujui bahawa Selangor tidak mengalami krisis air dengan rizab kritikal dua peratus seperti yang didakwa syarikat itu sebelum ini.

Sebaliknya menurut Abdul Khalid, 35 loji rawatan air di Selangor berkapasiti untuk mengeluarkan 4,960 juta liter air sehari (MLD) iaitu  lebih 14 peratus atau 598 MLD daripada bekalan Syabas setiap hari.

Tony berkata, penolakan jemputan itu jelas mencerminkan sikap  Rozali dan Ruslan yang tidak ikhlas untuk menyelesaikan isu air Selangor.

“Kami tak kira politik, yang penting nak selesaikan isu demi masyarakat negeri Selangor.

“Tetapi malangnya Muhyiddin tak hadir dan Rozali yang terima gaji RM400,000 sebulan pun tak hadir.

“Tetapi Muhyiddin tolak jemputan ini dan ini jelas Muhyiddin tidak ingin menyelesaikan isu air Selangor, tetapi lebih berminat bermain politik dengannya,” kata Tony  ketika dihubungi TVS hari ini.

Tony turut menganggap tindakan Rozali tidak hadir dalam taklimat itu bertujuan untuk melindungi kepentingan diri sendiri dengan memastikan beliau terus diberi kuasa menerajui Syabas.

“Tindakan mereka ini sengaja menafikan hak rakyat untuk menikmati perkhidmatan air bersih pada kadar berpatutan semata-mata mahu menawarkan kontrak besar dan lumayan kepada kroni termasuk projek Langat 2,” katanya lagi.

Gangguan Bekalan Air Disebabkan Pengagihan Air Yang Lemah

SEMENYIH, 31 JUL : Masalah bekalan air di sesetengah kawasan di Cheras dan Puchong seperti didakwa oleh media pro-Umno menimbulkan persoalan kerana sumber air mentah mencukupi manakala loji rawatan beroperasi secara optimal.

Mengikut pemantauan Lembaga Urus Air Selangor, sungai-sungai yang membekalkan air kepada loji-loji rawatan tidak kering manakala paras air di ke tujuh-tujuh empangan di Selangor pada tahap yang tinggi.

Justeru, kesemua 33 loji rawatan air tidak sepatutnya mengalami masalah ketiadaan air untuk dirawat walaupun terdapat permintaan yang tinggi daripada pengguna.

Misalnya, Loji Penapisan Air Sungai Semenyih kepunyaan Konsortium ABASS Sdn Bhd berfungsi pada tahap optimum selama 24 jam untuk memenuhi kehendak pengguna di bahagian selatan Selangor.

Pengurus Besar (Operasi) Loji Penapisan Air Sungai Semenyih, Basar Ishak berkata loji itu pemproses air mentah untuk disalurkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang akan mengagihkannya kepada penduduk di Selangor.

“Kita tidak mempunyai penilaian yang tepat mengenai jumlah permintaan air terawat di Selangor melainkan merujuk kepada tangki ‘balancing reservoir’ iaitu saluran air terawat yang digunakan SYABAS.

“Jika tangki berkenaan menunjukkan pengurangan, maka kita akan tahu bahawa jumlah penggunaan air adalah tinggi.

?Air yang sudah dirawat akan disalurkan ke dalam tangki ini 24 jam sehari dan tangki ini tidak pernah kosong.

?Melainkan arahan daripada SYABAS supaya menutup tangki tersebut untuk melakukan pembaikian saluran paip,” kata Basar ketika ditemui semasa tinjauan di loji tersebut semalam.

Loji ini membekalkan air ke Petaling Jaya, Sri Kembangan, Puchong, Putrajaya, Cyberjaya, Bangi, Sepang dan sebahagian kawasan Kuala Langat.

Mengikut perjanjian penswastaan air 2004, Syabas dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi merawat air mentah dan mengedar air terawat di Selangor.

Sebelum ini, beberapa media pro-Umno melaporkan krisis air
di Selangor semakin membimbangkan berikutan ketiadaan air di beberapa kawasan seperti di Cheras dan Puchong.

Kes-kes ini digunakan sebagai alasan untuk mendesak Kerajaan Selangor supaya meluluskan projek pemindahan air dari Pahang ke Selangor yang bernama Langat 2 yang akan menelan belanja RM 6 billion.

Sebaliknya, hasil laporan pertama Jawatankuasa Pemantauan Air yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi mendapati SYABAS beroperasi di bawah keupayaan sebenar untuk mengagihkan air terawat di seluruh Selangor.

Menurut Khusrin, SYABAS juga didapati cuba menyembunyikan fakta sebenar berkaitan rizab air terawat dengan mendakwa ia berada di tahap dua peratus sedangkan jumlah sebenar ialah 11 peratus.

 

Krisis Air : MTUC Serah Memo Minta SYABAS Jawab Sebelum 7 Ogos

KUALA LUMPUR 26 JULAI : Syabas diberi tempoh sehingga 7 Ogos ini bagi menjawab persoalan berhubung krisis air yang didakwa berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sekiranya tiada jawapan dikemukakan syarikat konsesi air itu sehingga tempoh dinyatakan maka adalah jelas ‘krisis air yang berlaku’ hanyalah tidak benar dan retorik politik bagi kepentingan pihak tertentu.

Perkara ini dinyatakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ketika menghantar memorandum kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) di ibu pejabat syarikat itu di sini pagi tadi.

Beliau berkata, jawapan perlu diberikan berhubung perkara itu bagi mengelak sebarang implikasi negatif kepada orang ramai di Lembah Klang yang bimbang akan krisis tersebut.

“Kita menyerahkan memorandum kepada Syabas dengan menyenaraikaan tujuh isu yang perlu dijawab sebelum kita dapat mengatakan bahawa krisis air ini sebenarnya berlaku. Ketujuh-tujuh isu disenaraikan di sini di mana MTUC dan CAWP mengadakan perbincangan dengan golongan pakar serta ahli akademik yang mahir dalam isu air di mana memberikan kita beberapa panduan.

“Saya minta Syabas memberikan segala jawapan dan maklumat berkaitan malah saya juga meminta kerjasama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bertangungjawab dalam isu krisis air ini supaya mengarahkan Syabas melakukan sebelum 7 Ogos ini,” katanya dalam sidang media.

Antara yang terlibat dalam penyerahan memorandum itu adalah Senator Syed Shahir Syed Mohamud; Setiausaha Kehormat MTUC, Abdul Halim Mansor dan Presiden Aliran, Sarajun Hoda Abdul Hassan.

Ketujuh-tujuh isu itu ialah pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna melalui Syabas, buku log dan meter tentukur yang disahkan, bil-bil elektrik dari 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini, penggunaan kimia bagi tempoh yang sama dan bil pembayaran Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

“Saya fikir dalam kes air di Selangor ia bukan lagi penswastaan tetapi kaedah pelanunan (piratisation),” katanya dengan merujuk Syabas hanya memberikan keuntungan kepada pihak tertentu yang berkepentingan.

Memorandum sama akan turut diserahkan kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor selepas ini.

Categories
SELANGOR

Selangor Rancang Usaha Tingkatkan Air Terawat Berjumlah RM 500 Juta

SHAH ALAM 23 JULAI : Kerajaan Selangor telah memohon RM 225 juta dari Kerajaan Pusat bagi meningkatkan penjanaan air terawat di Loji Rawatan Sungai Selangor 1 (SSP1) dan Sungai Selangor 3 (SSP3).

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata melalui projek ini, hasil air terawat mampu ditingkatkan sehingga lebih 222 juta litre sehari (MLD).

Tegasnya adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk menyelenggara dan meningkatkan kemampuan semua aset-aset air di Selangor seperti loji-loji tersebut, kerana ia dipajak kepada mereka.

?Sekiranya Kerajaan Pusat tidak meluluskan permohonan dana berkenaan, Kerajaan Negeri bersedia mengeluarkan belanja untuk memenuhi keperluan kerja-kerja tersebut.

?Ini bagi memastikan rakyat Selangor mendapat air secukupnya,? Xavier dalam kenyataan medianya di sini.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk  membelanjakan antara RM 200 juta hingga RM 300 juta untuk meningkatkan kemampuan rawatan air dengan menggunakan teknologi membran.

Sementara itu, Kerajaan Negeri meminta kerjasama Syabas untuk membenarkan kumpulan profesional yang dilantik mesyuarat exco Selangor untuk memantau 29 loji yang diurus mereka.

Syabas, sebuah syarikat swasta, telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi rawatan dan pengedaran air mengikut satu perjanjian pada 2004.

Syabas menguruskan 29 daripada 33 loji di Selangor manakala empat lagi di bawah kawalan Kerajaan Negeri.

?Bahkan lebih baik sekiranya SYABAS membenarkan wakil-wakil rakyat Selangor untuk memantau angka dan unjuran permintaan air dan bekalan air.

?Buat masa ini, wakil-wakil rakyat Selangor tidak dibenar masuk ke loji rawatan air Syabas dan hanya bergantung kepada angka dan statistik yang mereka berikan,? Xavier berkata.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Langat 2 : Saranan Menteri Pusat Akan Bebankan Pengguna Dengan Tariff Tinggi


SHAH ALAM, 14 JULAI : Membina loji dan projek pemindahan air Langat 2 sebelum kenaikan tariff  air dibincangkan mampu melonjakkan harga air sebanyak 70 peratus.

Oleh itu, perlaksanaan projek itu perlu ditangguhkan sehingga kuasa pengurusan seluruh industri air dikembalikan daripada syarikat konsensi kepada kerajaan negeri, kata Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Xavier menyifatkan saranan dua Menteri Kerajaan Pusat Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Noh Omar agar Langat 2 disegerakan dan perbincangan tariff dilakukan kemudian, sebagai ?tidak bertanggungjawab?.

Kenyataan Peter (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan Noh (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dianggap seolah-olah untuk Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

“SYABAS adalah sebuah syarikat ‘profit making’ kerana selepas projek ini siap, SYABAS akan mengenakan tarif air yang tinggi sehingga 70 peratus kepada rakyat Selangor bagi membayar balik kos projek ini,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Di satu forum air pada Julai 12, Noh berkata beliau dan kerajaan pusat sedia untuk berbincang mengenai kenaikan tariff air sekiranya Kerajaan Selangor meluluskan projek Langat 2 dahulu.

Di laporkan sebelum ini bahawa Kerajaan Selangor mahu pengurusan industri air seperti pengedaran, operasi rawatan dan kuasa menentukan harga dikembalikan ke kerajaan negeri seperti termaktub di dalam Akta Perkhidmatan Air 2006.

Kerajaan Negeri sedang mendesak Kerajaan Pusat supaya proses tersebut berlaku sebelum Langat 2, yang akan menelan kos RM6 bilion, dilaksanakan.

“Peter Chin seharusnya menggunakan kuasanya untuk menguatkuasa akta tersebut bagi menyelesaikan krisis air di negeri ini,” kata Dr Xavier  yang juga terlibat dalam menyelesaikan isu air di Selangor.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa tujuh empangan yang membekalkan air mentah di negeri ini mencukupi dan tiada keperluan bagi mengambil air daripada Pahang seperti yang akan dilakukan oleh Langat 2.

Katanya, Kerajaan Negeri terpaksa membayar royalti air kira-kira RM 60 juta setiap tahun kepada Pahang sekiranya projek ini diteruskan.

Menurutnya, Selangor memahami bahawa Kerajaan Pusat didesak oleh Japan International Cooperative Agency (JICA) iaitu pihak yang memberi pinjaman untuk projek ini.

“Kerajaan Negeri faham bahawa sebahagian dana pinjaman kos projek ini telah digunakan dan berpendapat tiada sebab ianya harus diteruskan tanpa memikirkan ianya akan membebankan rakyat Selangor,” ujarnya.

Selain itu, rakyat Selangor akan melakukan ‘referendum’ samada mahukan projek Langat Dua ini diteruskan atau tidak di dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

“Saya minta menteri-menteri yang ‘beriya-iya’ mendesak mahukan projek itu disegerakan agar belajar bersabar,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Air Percuma Melalui Program “Lapor Dan Dapat” Dibuka Kepada Pangsapuri Kos Rendah

SHAH ALAM 1 JUN: Penduduk kediaman berstrata di Selangor yang tidak memiliki meter inidividu kini boleh mendapat 20 meter air percuma dengan menyertai program ‘Lapor dan Dapat’.

Dengan program yang diperluaskan ini memberi peluang kepada penduduk pangsapuri kos rendah menikmati air percuma, kata Iskandar Samad dalam satu kenyataan.

“Bagi mendapatkan kemudahan ini penduduk hanya perlu melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jumlah unit kediaman berpenghuni di pangsapuri mereka.

“PBT kemudian akan memberitahu Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) akan jumlah ini dan Syabas akan melakukan potongan pada bil di meter pukal. Pihak yang menguruskan pangsapuri itu pula akan melakukan potongan pada bil-bil setiap kediaman di situ,” kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan itu.

Program “Lapor Dan Dapat” ini adalah satu lagi program dibawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Selain itu, program ini juga diperluaskan kepada pangsapuri kos sederhana.

“Pihak yang menguruskan kediaman berstrata kos sederhana seperti pemaju, agen pengurusan, JMB, MC atau persatuan penduduk boleh menghubungi Pesuruhjaya Bangunan (COB) di Pihak Berkuasa Tempatan mereka untuk menyertai program ini,”jelasnya.

Iskandar juga berharap dengan membuka membuka penyertaan kepada pangsapuri kos sederhana, lebih ramai rakyat Selangor akan menikmati skim air percuma di bawah program MES.

Beliau juga menyarankan kepada penduduk agar mendesak pengurus bangunan mereka membuat laporan kepada COB secepat mungkin. Tanpa kerjasama pengurus bangunan, Kerajaan Negeri tidak akan dapat membantu penduduk.

 

Categories
SELANGOR

Jenice : Air Terputus, SYABAS Gagal Sedia Lori Air

CHERAS, 25 MEI: Kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyediakan lori bekalan air sebagai alternatif sepanjang bekalan terputus nyata mengecewakan penduduk di DUN Teratai.

Lebih dikesalkan, sistem talian aduan SYABAS yang disediakan juga memaksa pengadu menunggu sehingga 15 minit namun tidak ada sebarang respon yang diterima.

Lebih 10 taman perumahan, lapan daripadanya terletak di DUN Teratai menghadapi masalah bekalan air sejak Ahad lepas sehingga hari ini.

Masalah bekalan air berpunca daripada kebocoran yang berlaku pada asalnya di loji rawatan air di Pudu Hulu dan dikuti oleh Kampung Cheras Baru dua hari kemudian.

Adun Teratai, Jenice Lee melahirkan rasa tidak puas hati berhubung sistem pengurusan SYABAS sehinggakan beliau terpaksa bertindak lanjut.

“Kebocoran dan kerosakkan itu kita boleh terima. Masalahnya adalah pengurusan air sepanjang ketiadaan air ini. Ada kawasan tiga hari, ada kawasan lima hari. Bergantung kepada ketinggian.

“Taman Muda sudah mendapat bekalan air semula selepas lima hari. Tapi kawasan tinggi seperti Bukit Teratai masih belum mendapat bekalan air,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Masalah bekalan air turut melibatkan dua buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Bukit Teratai dan Sekolah Menengah Bukit Seraya selain kawasan masjid dan pusat perniagaan.

Jelas Jenice, sepatutnya lori bekalan air datang dua atau tiga kali sehari bagi memudahkan penduduk mendapat bantuan air sepanjang krisis berlaku.

“Saya diberitahu 10 taman terlibat. SYABAS ada 15 lori bekalan air. Tetapi kalau ada 15 lori satu taman satu lori okey. Berulang dua tiga kali pun tidak ada masalah. Tapi kita tidak merasainya.

“Kawasan taman perumahan di Teratai hanya berjiran sahaja. Mustahil kita tidak nampak mereka(lori bekalan air) datang.

“Jika begini cara pengurusan SYABAS, sepatutnya konsesi ini dijual kepada Kerajaan Negeri Selangor. Kita ada pengalaman dan kepakaran untuk uruskan semua,” katanya.

Beliau menambah, sepatutnya pihak pemaju perumahan perlu menyedikan sistem takungan air hujan supaya penduduk dapat menyimpan bekalan air bagi kegunaan tandas apabila berhadapan masalah bekalan air.

Sementara itu, Ketua Kampung Cheras Baru, Ismail Cheming berharap perkara ini dapat diselesaikan segera memandangkan ia berlarutan dalam tempoh yang lama.

Ujar beliau, pihak SYABAS sepatutnya menyediakan lebih banyak lori bekalan air supaya dapat masuk ke kawasan perumahan dengan lebih kerap untuk kemudahan penduduk.