Categories
AGENDA EKONOMI

Teknologi, pendigitalan bantu syarikat tangani normal baharu

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Peneraju perniagaan di Malaysia terpaksa memanfaatkan kelebihan teknologi dan pendigitalan untuk pulih dan berkembang dalam normal baharu, menurut Ernst & Young PLT (EY).

Kajian impak perniagaan Covid-19 oleh EY, yang dijalankan pada 27 April hingga 19 Mei, mendapati bahawa perniagaan mempercepatkan penggunaan teknologi sebagai respons kepada sekatan semasa Covid-19.

Sejumlah 37 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta 32 peratus syarikat besar dan tersenarai mengambil langkah mengembangkan atau menaik taraf keupayaan teknologi mereka, kata EY berdasarkan kajian dalam talian meliputi hampir 700 firma besar termasuk PKS.

“Hampir 30 peratus syarikat juga melabur dalam perisian dan perkakasan ‘Kerja Dari Rumah’ bagi membolehkan pekerja mereka terus menyumbangkan produktiviti,” kata EY dalam kenyataan hari ini.

Rakan Kongsi Pengurusan EY Malaysia, Datuk Abdul Rauf Rashid berkata Covid-19 menjadi penentu dalam mendorong perniagaan melaksanakan transformasi digital.

“Sebelum ini, banyak inisiatif dan program yang memujuk syarikat untuk beralih ke arah pendigitalan mendapat sambutan dingin terutama daripada PKS, Covid-19 memaksa mereka berubah,” katanya.

Menurut EY, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendedahkan bahawa perniagaan di Malaysia tidak mempunyai persediaan mencukupi untuk beralih kepada persekitaran kerja lebih didayakan digital.

“Semasa PKP, kebanyakan syarikat (83 peratus syarikat besar dan tersenarai; 84 peratus PKS) mengalami masalah dengan sambungan dalam talian termasuk komunikasi dengan pembekal dan pelanggan mereka, di samping isu dengan infrastruktur,” katanya.

Syarikat ini perlu meningkatkan lagi transformasi digital mereka dan mengguna pakai proses serta sistem teknologi dalam persediaan untuk persekitaran lebih digital dalam normal baharu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Panggilan video pengganti diri, ubati rindu bersama keluarga

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Biarpun sambutan Aidilfitri kali ini cukup berbeza tanpa tradisi pulang ke kampung beraya bersama keluarga tercinta dan meneruskan aktiviti ziarah ke rumah rakan-rakan tahun ini, kemeriahan hari kebesaran itu tetap dirasai melalui aplikasi panggilan video yang digunakan ramai sebagai pengganti diri.

Tidak kira tua mahupun muda, ramai memanfaatkan teknologi komunikasi itu untuk menatap wajah-wajah yang dirindui di pagi Syawal, seolah-olah mereka terasa begitu dekat walaupun nun jauh di kampung halaman dek kerana kekangan pergerakan rentas negeri berikutan ancaman wabak Covid-19.

Jika sebelum ini gambar swafoto bersama keluarga dan rakan menjadi kewajipan untuk dijadikan hantaran di laman sosial, namun kali ini tangkap layar panggilan video secara berkumpulan pula menjadi pilihan untuk disiarkan menandakan kemanisan Syawal tetap diraikan dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan.

Bagi Nur Habibah Abdul Halim, 25, yang sudah hampir tiga bulan tidak dapat pulang ke kampung halaman susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, panggilan video disifatkan beliau sebagai satu cara baharu ‘bersua muka’ dengan keluarga tercinta.

Mengakui sedih tidak dapat bersalaman dan berpelukan di pagi raya seperti kebiasaan, beliau yang kini sedang menjalani latihan industri di sebuah kilang di Johor cukup teruja menerima panggilan video dari ibu tercintanya yang kini berada di Kuala Berang, Terengganu, pagi tadi.

“Pagi tadi apabila mak buat video ucap Selamat Hari Raya, saya begitu teruja sebab mak saya tak berapa pandai guna teknologi macam ini. Rasa sangat lega walaupun tengok muka dalam telefon sahaja. Sekurang-kurangnya saya tahu keluarga sihat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Zaki Md Yakin, 30, berkata kebiasaannya rumah beliau yang terletak di Kampung Bubul, Semporna, Sabah menjadi tumpuan sanak saudara serta rakan-rakan setiap kali Aidilfitri, namun berbeza kali ini kerana beliau hanya mengehadkan tetamu pada hari raya pertama sahaja.

Walaupun begitu, beliau tidak menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuknya mengingati sahabat karibnya sejak zaman universiti yang berada jauh di Kuala Lumpur serta yang tinggal di sekitar Semporna.

“Masih ada peluang untuk kita berhari raya melalui panggilan video, dapatlah kita saling bermaafan dan mengucapkan Selamat Hari Raya tanpa perlu berjumpa. Bak kata pepatah jauh di mata dekat di hati,” katanya.

Lain pula bagi penjawat awam, Aisha Hani Nor Azmir, 24, kecanggihan teknologi telefon pintar bukan sahaja terhad kepada panggilan video, bahkan membolehkan beliau turut ‘bergambar’ bersama keluarga biarpun tidak dapat beraya bersama di Ipoh, Perak.

Melalui aplikasi suntingan video, gambar raya bersama-sama keluarga diabadikan menggunakan teknik tampalan dan skrin hijau, yang sudah pasti mampu mengubati kerinduan beliau apabila tidak dapat pulang bertemu keluarga sejak empat bulan lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan diaktif

PUTRAJAYA, 9 JAN: Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) telah diaktifkan pada 7 Januari lepas bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan untuk menangani pembakaran terbuka oleh kementerian, jabatan dan agensi terlibat.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dalam satu kenyataan hari ini berkata turut diaktifkan ialah Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan agensi negeri terbabit pada 6 Januari.

Menurut MESTECC, dalam tempoh penghujung Monsun Timur Laut, taburan hujan akan berkurangan di seluruh negara dan kejadian pembakaran terbuka dikhuatiri akan berlaku di kawasan yang mudah dan sering terbakar sehingga berpotensi menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.

Di bawah PTPTK, katanya JAS dan agensi penguatkuasaan lain meningkatkan kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron di kawasan berisiko terbakar dan kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

Turut giat dilaksanakan ialah memantau status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik JAS dan memantau status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, katanya.

MESTECC berkata penguatkuasaan seperti tindakan mahkamah dan kompaun di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh JAS dan semua agensi yang telah diwakilkan kuasa turut dipertingkatkan.

Di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya.

MESTECC menggesa pemilik tanah untuk memantau tanah masing-masing secara rapi terutama yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut, kawasan pertanian, ladang, tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah termasuk yang beroperasi secara haram, hutan, belukar dan kawasan perindustrian.

“Pemilik tanah juga dikehendaki mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes seperti itu kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau https://eaduan.doe.gov.my serta Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999.

Orang ramai juga boleh menyemak bacaan IPU dan maklumat terkini status kualiti udara melalui laman portal JAS di www.doe.gov.my dan melalui aplikasi telefon pintar ‘MyIPU’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Demonstrasi 5G ke seluruh negara mulai bulan depan

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Ujian 5G yang dilancarkan di Putrajaya dan Cyberjaya April lalu kini diperluaskan ke seluruh negara dengan projek-projek demonstrasi 5G bermula pada bulan Oktober, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Diharapkan komitmen awal Malaysia untuk 5G, dengan cepat menggunakan ujian 5G dan projek-projek demonstrasi di seluruh negara, akan meletakkan negara itu sebagai salah satu peneraju pengangkatan 5G di dunia, katanya.

Gobind berkata, kementerian juga sedang mempertingkatkan kebersediaan dan akses kepada infrastruktur digital yang menjadi asas kepada Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

NFCP yang dilancarkan baru-baru ini dengan kos RM21.6 bilion untuk tempoh lima tahun dijangka mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan termasuk di luar bandar dalam aktiviti pembinaan, operasi serta penyelenggaraan infrastruktur digital.

“Dengan pelbagai inisiatif yang sedang dijalankan ini, jurang digital boleh dikurangkan dan sekaligus menaik taraf kehidupan rakyat Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Mobile 360 Digital Socities di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, bagi memastikan rakyat Malaysia yakin berhadapan dengan aktiviti ekonomi digital serta memantapkan lagi keselamatan pengguna internet, KKMM melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan kajian mengenai ID Digital Nasional.

Kajian ini, katanya, akan mengenal pasti rangka kerja yang sesuai untuk melaksanakan ID Digital Nasional.

“Kerajaan berharap pelaksanaan inisiatif baharu ini dapat melindungi data peribadi pengguna menerusi perkhidmatan dalam talian pada bila-bila masa.

“Ia akan meningkatkan kepercayaan rakyat untuk melaksanakan transaksi menerusi perkhidmatan dalam talian dengan kaedah pengesahan yang terkini, selamat dan melindungi privasi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menara Komtar menang anugerah Tenaga Efisien

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Menara Komtar Pulau Pinang muncul sebagai pemenang Anugerah Pengurusan Tenaga dalam Bangunan (Besar) bagi kategori Tenaga Efisien, di majlis yang julung kalinya diadakan, Majlis Penganugerahan Tenaga Negara (NEA) di sini malam tadi.

Empat lagi pemenang dalam kategori yang sama adalah Menara TM, MITC Melaka memenangi Anugerah Pengurusan Tenaga dalam Bangunan (Kecil); Anugerah Pusat Inovasi dan Pemeliharaan Alam Sekitar (EPIC), Negeri Sembilan (Bangunan Hijau); CSC Steel Sdn Bhd, Melaka (Pengurusan Tenaga dalam Industri (Besar); dan KLIA2, Sepang bagi Anugerah Reka bentuk Efisien Tenaga.

Pemenang kategori Tenaga Efisien diberikan anugerah itu kerana kejayaannya melaksanakan langkah-langkah efisien tenaga dalam bangunan dan industri menerusi reka bentuk inovatif.

Sementara itu bagi kategori Tenaga Diperbaharui, Cypark Resources Sdn Bhd dan FGV Palm Industries Sdn Bhd masing-masing memenangi Anugerah Grid Nasional dan Anugerah Grid Tempatan, kerana mengguna pakai teknologi tenaga diperbaharui bagi grid elektrik.

Majlis penganugerahan itu dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

“Kami menerima respons amat memberangsangkan dari 145 pemohon, dan ini jelas menggambarkan peningkatan dan keyakinan institusi serta perniagaan di Malaysia dalam menerima pakai amalan yang mampan dalam operasi mereka,” kata Menterinya, Yeo Bee Yin dalam ucapan beliau di majlis makan malam gala NEA dan penyampaian anugerah di sini.

Beliau berkata, usaha gigih dan komitmen juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti Tenaga Diperbaharui dalam penjanaan keupayaan menerusi program-program sedia ada seperti Skim Net Energy Metering dan Program Solar Skala Besar (LSS).

Memandangkan Malaysia mengeluarkan kira-kira 370 juta ton karbon dioksida, Yeo berkata, usaha lebih gigih diperlukan, terutama berkaitan jejak karbon.

“Penyingkiran karbon menerusi tenaga efisien adalah antara langkah yang sedang diusahakan dengan gigih oleh MESTECC, kerana ia menangani kedua-dua isu berkaitan kos efektif dan juga pengurangan emisi,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Merit diberikan kepada Menara KEN, KUB Berjaya Sdn Bhd, Gan Teng Siew Realty Sdn Bhd, Mattan Engineering Sdn Bhd dan Amcop Perting Hydro Sdn Bhd.

MESTECC turut memilih Gerbang Alaf Sdn Bhd, ZOG Engineering Technology, Malaysian Green Technology Corporation dan SIRIM Berhad untuk Penyertaan Khas ke Majlis Anugerah Tenaga ASEAN yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand tahun hadapan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL RENCANA

Jangan biar bencana Sungai Kim Kim berulang

JOHOR BAHRU, 23 MAC: Empat puluh enam lokasi! Sudah semestinya angka ini memeranjatkan kerana lokasi yang dikenalpasti itu berpotensi menjadi tempat pencemaran di sekitar Pasir Gudang.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin pada Rabu, 20 Mac.
Beliau menyatakan, ia adalah hasil kajian Jawatankuasa Saintifik yang menggunakan data imej satelit ke atas keseluruhan kawasan Pasir Gudang.

Nama Pasir Gudang sudah tentunya menjadi perbualan hangat sejak lebih dua minggu lalu akibat pencemaran Sungai Kim Kim yang terletak di kawasan perindustrian tersebut akibat pembuangan sisa toksik.

Jelas apa yang berlaku bukan berkaitan Sungai Kim Kim lagi tetapi sebenarnya realiti yang terpaksa dihadapi penduduk Pasir Gudang sejak sekian lama. Realiti hidup dalam kawasan perindustrian yang mempunyai aktiviti perindustrian yang tinggi termasuk 252 kilang yang dipercayai memproses bahan kimia dan berdepan dengan aktiviti pembuangan secara haram setiap hari.

Penduduk di Taman Tanjung Puteri Resort, sebagai contoh, mendakwa membuat laporan kepada pihak penguatkuasa setiap tahun, tetapi tiada tindakan susulan menyebabkan mereka terpaksa menghadapi bau busuk Sungai Selangkah, anak Sungai Kim Kim setiap hari sejak 2011.

Jadi bila Yeo mengumumkan akan memperkasakan jentera penguatkuasaan di bawah MESTECC, ia menggambarkan salah satu komitmen terbaik kerajaan bagi menangani masalah pembuangan haram bukan sahaja di kawasan industri berkenaan tetapi juga di seluruh negara.

Selain itu, kajian semula atau pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu ditambah dengan hukuman yang lebih berat supaya tidak ada siapa yang berani untuk melakukan kesalahan yang bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi juga manusia dan hidupan lain.

Jangan lagi kita ambil mudah untuk pesalah alam sekitar, kalau boleh kuatkuasakan hukuman yang tidak mampu dibayar atau diperkecilkan oleh mereka ini.

Pengajaran kedua dari episod malang ini ialah pengurusan krisis, yang sepatutnya ditangani sejak awal.

Sepanjang lima tahun saya bertugas di Johor, saya melalui dua krisis atau kejadian besar iaitu kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2016 dan kemalangan bas ekspres di Pagoh yang mengorbankan 14 nyawa, juga pada tahun yang sama.

Bila berita pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim tersebar pada 7 Mac, semua tidak menyangka termasuk saya ia akan menjadi satu “bencana” yang begitu besar impaknya.

Hakikatnya, ia memberi tamparan hebat kepada semua pihak memandangkan kita berdepan dengan pencemaran “yang tidak nampak dengan mata kasar” tetapi memberi kesan teruk kepada ribuan orang, sama ada dari segi kesihatan, emosi dan psikologi.

Apabila berlaku “Gejala Kim Kim” di depan mata saya, ia mengingatkan saya kepada kejadian histeria di sekolah dahulu yang “menjangkiti” semua orang tanpa mengira umur, darjah dan keturunan.

Sesungguhnya bencana Sungai Kim Kim adalah ujian besar dan pertama bagi kerajaan Johor, yang berjaya mengatasinya dengan semangat kerjasama berpasukan serta menggunakan kepakaran anak tempatan.

Apa yang menyerlah, ialah kepimpinan Yeo dalam krisis ini, terutama bila krisis ini sedikit sebanyak menunjukkan kepakarannya dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan bagaimana beliau bersama yang lain menggembleng usaha mengumpulkan pakar-pakar dari universiti tempatan untuk membentuk Jawatankuasa Saintifik.

Sudah tentu keyakinan rakyat bertambah bila komitmen untuk membersihkan sungai berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima hari sahaja dan Sungai Kim Kim dilaporkan kembali bersih dan selamat.

Selain itu, usaha gigih pasukan perubatan, pasukan keselamatan, sukarelawan dan rakan media perlu dipuji kerana menjadi “barisan depan” yang berjaya sehingga ada yang jatuh sakit demi menjalankan tugas hakiki.

Pastinya, banyak perkara yang perlu dipelajari oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pengurusan krisis, apatah lagi bila berdepan dengan perkara baharu seperti pencemaran kimia ini.

Satu kelemahan utama ialah, selain laporan media massa, orang ramai sukar mendapat akses kepada maklumat terkini sehinggakan terlalu banyak khabar angin yang harus ditangani pihak berkuasa. Keadaan ini sehingga menjejaskan kerja sebenar iaitu mengatasi krisis itu sendiri.

Akibatnya, penumpuan pihak berkuasa sedikit terjejas berikutan terpaksa menangani ramai mangsa yang apabila 70-90 peratus kes dirujuk di Medic Base lebih kepada serangan panik berikutan terlalu banyak berita tidak benar.

Saya bersetuju dengan saranan Jawatankuasa Saintifik Bencana yang diketuai Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff mengenai perlunya mewujudkan SOP Bencana Pencemaran Kimia supaya boleh menjadi rujukan di kemudian hari.

Dengan adanya SOP seperti ini, ia diharapkan dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kepincangan yang dikenalpasti terutama dari pengalaman bencana Sungai Kim Kim ini pada masa hadapan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sisa kimia: Pemilik syarikat dijangka didakwa esok

JOHOR BAHRU, 13 MAC: Pemilik syarikat tayar kitar semula, antara tiga suspek ditahan Isnin lalu, yang dipercayai membuang sisa toksik ke Sungai Kim Kim baru-baru ini, dijangka didakwa di mahkamah seawalnya esok.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, kertas siasatan telahpun siap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi tadi untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk mendakwa.

“(Dan) kita harap dapat dakwa (suspek) esok di mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjara maksimum lima tahun dan juga denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Beliau juga telah menghubungi Peguam Negara, Tommy Thomas, mengenai kemungkinan mengenakan beberapa tuduhan terhadap suspek memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius dan hukuman setakat ini tidak mencukupi.

“Memandangkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah siap siasatan, kita akan dakwa dahulu tetapi ia tidak dihadkan kepada undang-undang ini sahaja, dia boleh didakwa di atas Kanun Keseksaan dan mungkin akta lain,” katanya.

Yeo berkata, berdasarkan keputusan analisis terhadap empat sampel diambil JAS, pihaknya mendapati terdapat pelarut organik benzene, toulena, xilena dan ethilbenzena serta D-Limonina. Pelarut D-Limonina digunakan untuk proses pirolysis tayar.

Berdasarkan analisis berkenaan, pihaknya telah mengenal pasti pemilik kilang haram itu sebagai suspek utama.

Ketika ditanya sejauh mana keluasan kawasan yang terjejas akibat pencemaran itu, Yeo berkata, pihaknya perlu memastikan punca pencemaran merebak terlebih dahulu.

“Saya fikir terdapat beberapa sebab dan faktor yang menyebabkan ia merebak, mungkin disebabkan oleh hujan pada 11 Mac,” katanya.

Ditanya sama ada pencemaran itu telah dikawal, beliau berkata: “Kami mahu mengetahui keluasan kawasan (pencemaran). Saya akan menghadiri mesyuarat selepas ini, kami mahu mengetahuinya dan di mana sebenarnya (pencemaran) dan bagaimana mahu mengawalnya,” katanya.

Yeo berkata, yang penting sekarang ialah kerja pembersihan sungai berkenaan (di bawah Kerajaan Negeri) secepat mungkin bagi mengekang pencemaran dari terus berlaku.

Sementara itu, JAS juga menyediakan serta memasang pengesan gas di ketinggian berbeza sekitar kawasan Pasir Gudang untuk memantau kualiti udara dan kandungan kimia.

JAS turut mengenal pasti 252 kilang di Pasir Gudang yang memproses bahan kimia.

“Kita akan gerakkan sumber seluruh negara untuk menyiasat setiap kilang selepas krisis ini. Sebab sekarang tumpuan utama, kita sekat dulu impak ini (kesan pencemaran) dan kemudian, kita akan siasat kilang lain,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Teknologi tidak akan ambil alih pekerjaan manusia

KUALA LUMPUR 3 OKT: Kepercayaan umum bahawa teknologi akan mengambil alih pekerjaan manusia pada masa depan adalah tanggapan yang salah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Yusry Yusoff.

Beliau berkata, teknologi, sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), akan meningkatkan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan masa depan.

“Dengan teknologi, kita tidak perlu membuka cawangan bank lagi berikutan semuanya boleh dilakukan secara dalam talian. Bagaimanapun, orang ramai berpendapat bahawa dengan ini, akan kurang pekerjaan. Ini tidak betul.

“Mereka yang sebelum ini kerani kini boleh menjadi perancang kewangan jika mereka menambah baik diri mereka. Ya, pekerjaan yang mereka miliki sekarang mungkin tidak lagi wujud, tetapi pekerjaan baharu, sejajar dengan perubahan, akan diwujudkan,” katanya kepada Bernama di luar forum mengenai “Digital Economy and its Potential at Reskilling for Future Economy” di sini, hari ini.

Menurut Forum Ekonomi Dunia 2016, sebanyak 65 peratus kanak-kanak di sekolah hari ini akan memperoleh pekerjaan yang belum wujud.

Beliau berkata, proses perbankan tetap boleh dilakukan secara automatik tetapi perbankan pelaburan masih memerlukan sentuhan manusia.

“Tidak semua boleh dilakukan secara automatik. Terdapat bidang yang robot dan automasi tidak boleh menggantikan keupayaan manusia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusry berkata Malaysia terus menjadi pemimpin dalam kewangan Islam dan boleh pergi lebih jauh dengan penggunaan teknologi berikutan ia dapat mencapai lebih ramai orang.

“Kewangan Islam, dijangka berkembang dengan pesat, dan pada masa sama dengan pembangunan ekonomi Islam.

“Ini akan meningkatkan peluang perusahaan kecil dan sederhana mendapat bantuan kewangan. Dengan teknologi kewangan, kita akan dapat memanfaatkan pasaran yang lebih besar, ” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Fenomena gerhana bulan penuh dan Marikh hujung bulan ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JUL: Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh dan Planet Marikh dengan jarak lebih dekat bermula 27 dan 28 Julai ini.

Jurucakap Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (Mosti) berkata, fenomena itu boleh dilihat melalui teleskop yang disediakan di perkarangan pintu masuk Planetarium Negara.

Katanya, beberapa teleskop disediakan khas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kelab-Kelab Falak dan Persatuan Stargazer pada kedua-dua hari tersebut.

“Bagaimanapun, kenampakan kedua-dua fenomena berkenaan bergantung kepada keadaan cuaca.

“Orang ramai digalak hadir ke Planetarium Negara dan tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena luar biasa ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada 27 Julai, program pencerapan Planet Marikh dijalankan bermula jam 9 malam hingga 11.30 malam, manakala program pencerapan gerhana bulan penuh pula diadakan pada 28 Julai bermula 1 pagi hingga 7 pagi.

Siaran langsung melalui Facebook Planetarium juga akan dibuat bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat lintas langsung berkenaan fenomena itu.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22735484 atau laman sesawang www.planetariumnegara.gov.my atau laman Facebook Planetarium Negara.

Categories
NASIONAL

Kerajaan akan batalkan empat kontrak IPP

PUTRAJAYA, 12 JUL: Kerajaan sedang meninjau untuk membatalkan empat kontrak baharu Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Tanpa menjelaskan butiran mengenai syarikat terbabit, beliau berkata, satu daripada IPP berkenaan adalah syarikat senarai awam.

Yeo berkata, empat lagi kontrak IPP, yang juga adalah projek baharu, akan disemak semula untuk memastikan daya maju serta kos yang terbabit, tanpa sebarang kesan teknikal, kewangan dan undang-undang.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mencadangkan lapan IPP ini yang dianugerahkan melalui rundingan terus akan disemak semula. Empat yang akan dibatalkan adalah projek berisiko rendah dan kita tidak memerlukannya selepas siasatan menyeluruh mengenai implikasi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi town hall (dialog awam) dengan industri tenaga diperbaharui di sini, hari ini.

Yeo berkata, pada masa ini, terdapat lebih 30 kontrak IPP di seluruh negara dan menambah bahawa, kementerian sedang menyemak semula kontrak IPP lain juga.

Katanya, kementerian juga mengkaji cara untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain industri untuk menjana kuasa bagi mengawal kos elektrik di negara ini.

“Bekalan tenaga negara mengalami lebihan sebanyak 30 peratus dan kami ingin mengkaji bagaimana untuk membangunkan industri tenaga baharu yang berpusat di sekitar tenaga diperbaharui, bukannya terlalu bergantung kepada tenaga arang batu.

Ini sebabnya kenapa tenaga diperbaharui adalah sesuatu yang kerajaan ingin untuk maju ke hadapan, bagi menjana pertumbuhan tenaga juga membentuk lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

STEM: Lahir modal insan cemerlang, realisasi negeri pintar

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Sebanyak 50 buah sekolah disasarkan menyertai program Sains, Teknologi, Kejuteraan dan Matematik (STEM) tahun ini dalam usaha memupuk minat pelajar dalam bidang terbabit.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata program pertama kali diadakan di negeri itu mampu memberi asas dan kemahiran kepada pelajar.

ROBOTIK“Kita mahu memberikan pendedahan kepada pelajar dalam bidang ini selain memupuk minat selaras dengan peredaran masa dan teknologi dunia masa kini.

“Program STEM ini bertujuan mendedahkan pelajar dari Sekolah Rendah dan Menengah terhadap pelajaran program pengaturcaraan dan robotik,” katanya kepada media selepas merasmikan program STEM di Creative Minds, Laman Seri, di sini.

Nik Nazmi berkata. inisiatif Kerajaan Negeri itu juga mahu memberikan kesedaran masyarakat selain mencapai hasrat sebagai sebuah negeri pintar.

Beliau berkata, pihaknya akan membawa program terbabit secara lebih dekat dengan kerjasama tenaga pengajar dari Creative Minds.

“Kita harapkan seramai 50 pelajar dari setiap sekolah sertai program ini dan Kerajaan Negeri mahu program ini bukan hanya disertai pelajar bandar tetapi juga luar bandar malah pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

MB: Tumpu industri berteknologi kurangkan berteras buruh

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 10 OKT: Kerajaan Negeri lebih selektif terhadap kemasukan pelaburan luar bagi memastikan pelaburan baru di negeri itu memberi impak tinggi terhadap ekonomi negeri dan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan projek pelaburan berteraskan industri teknologi tinggi bagi mencapai sasaran menjadikan Selangor sebagai ‘smart state’ dalam masa terdekat.

MB Rasmikan Pulau Indah Fasa 3c Food Station (5)“Kita lebih selektif mengenai pelabur luar kita pada masa akan datang apabila kita tak mahu industri berteraskan buruh tetapi kita mesti berubah kepada industri berteknologi tinggi untuk mencapai sasaran sebagai negeri ‘smart state’.

“Kita menumpukan usaha mempromosi lima industri utama iaitu elektronik, elektrikal, barangan kenderaan, bioteknologi, makanan mesin dan peralatan,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jualan dan Perasmian Taman Perindustrian Hijau Pulau Indah Fasa 3C Dan Pulau Indah Food Station di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

MB Rasmikan Pulau Indah Fasa 3c Food Station (9)Katanya, Selangor merancang membina lebih banyak taman perindustrian moden dan lengkap di seluruh negeri itu berikutan permintaan semakin berkembang dalam projek seumpamanya sejak beberapa tahun ini.

Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor juga mempromosikan taman perindustrian bagi merancakkan kemasukkan pelabur dalam dan luar negara di negeri itu.

EZY