Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Cegah penularan Covid-19, Selangor batal sambutan Thaipusam

SHAH ALAM, 8 JAN: Tiada acara sambutan tahunan perayaan Thaipusam di negeri Selangor pada 28 Jan ini bagi membendung penularan pandemik Covid-19, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Selain Islam (HESI) negeri V Ganabatirau.

Ganabatirau berkata aktiviti serta sambutan tahunan perayaan itu dan Ponggal akan digantikan dengan program membantu masyarakat India di negeri berkenaan dengan menggunakan dana yang telah diperuntukkan bagi perayaan itu, tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja negeri ketika dihubungi Bernama turut menasihati penganut Hindu untuk tidak menyertai sebarang perarakan sempena Thaipusam nanti.

Ganabatirau turut menyarankan penganut agama itu untuk melakukan upacara keagamaan khususnya sembahyang pada hari Thaipusam di rumah.

Katanya, orang awam khususnya penganut Hindu harus mengelakkan diri daripada mengunjungi atau berkumpul di kawasan yang sesak bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Provokasi terhadap anggota Imigresen beri impak buruk kepada negara

IPOH, 15 FEB: Provokasi terhadap anggota penguat kuasa Imigresen Selangor semasa melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves, Selangor baru-baru ini memberi kesan buruk kepada negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.

“Dalam hal ini, bila pegawai dapat maklumat mereka hendak jalankan tugas tapi telah dihalang untuk elak timbul pergaduhan dan kecederaan pegawai telah hentikan operasi.

“Pegawai bertindak bijaksana tidak ambil tindakan tapi timbul masalah lain sedangkan pihak terlibat bertindak secara luar batas iaitu menghalang pegawai dan penjawat awam menjalankan tugas, yang merupakan satu kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-48 Rela Peringkat Kebangsaan 2020 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Muhyiddin berkata berdasarkan maklumat terdapat ramai peniaga dari India di lokasi itu dengan disokong oleh warga tempatan yang jelas bercanggah dengan undang-undang.

Semalam, tular di media sosial bahawa kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh Ahli Jawatankuasa Kuil Batu Caves.

Selain itu, mereka dicemuh dengan bahasa kesat.

Sementara itu, Muhyiddin meminta semua 3.1 juta ahli Rela di seluruh negara agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk memelihara keselamatan negara dan pada masa sama, berharap lebih ramai tampil menyertai unit beruniform tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Operasi Thaipusam: Polis buat 76 tangkapan pelbagai kesalahan

SHAH ALAM, 15 FEB: Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak membuat 76 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi sempena Thaipusam dari 5 hingga 11 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe dalam kenyataan berkata kesalahan termasuk pemerasan, ugutan jenayah dan parkir haram yang jelas menyalahi undang-undang.

Katanya, pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Selayang, bomba, jabatan kesihatan, Persatuan Bulan Sabit Merah, St John dan Keretapi Tanah Melayu turut membantu memastikan perayaan itu disambut dengan aman dan teratur.

“Kerjasama ini berjaya memastikan perayaan Thaipusam 2020 berlangsung dengan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Sambutan Thaipusam yang diraikan penganut Hindu pada 8 Februari lalu menarik kira-kira 1.8 juta pengunjung ke Batu Caves.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 1,800 ditugas pantau perayaan Thaipusam

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Lebih 1,800 petugas dan sukarelawan termasuk 300 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersiap sedia dalam memastikan sambutan perayaan Thaipusam berjalan lancar, terutamanya dalam mengawasi penularan koronavirus 2019.

Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam Batu Caves, Datuk Dr A.T. Kumararajah berkata 24 buah ambulans disediakan termasuk sebuah ambulans yang dikhaskan sebagai pusat kuarantin.

“Sekiranya ada penganut atau pengunjung menunjukkan gejala dijangkiti koronavirus mahupun influenza-like-illness (ILI), kita akan bawa mereka terus ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau yang juga Penyelaras Keselamatan dan Perubatan Sambutan Thaipusam 2020 berkata selain itu, sebanyak lapan hospital kerajaan antaranya Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya dan Hospital Ampang sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kes kecemasan.

Menurutnya, sebanyak 15 agensi terlibat menjadi sukarelawan termasuk ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

“Dalam pada itu, pihak kuil dan penganjur dengan kerjasama KKM turut menyediakan lima pusat kesihatan antaranya di pekarangan kuil Batu Caves, di tepi sungai (dalam kuil) serta di Stesen KTM Batu Caves,” katanya.

Katanya, dijangka lebih 1.5 juta orang hadir ke kuil di Batu Caves sepanjang perayaan itu yang bermula malam tadi hingga hujung minggu ini.

Kemuncak perayaan Thaipusam ialah perarakan pedati perak membawa arca Dewa Murugan yang bermula malam tadi dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun HS Lee dan dijangka tiba di Batu Caves, jam 3 petang hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Ambil langkah pencegahan awal semasa Thaipusam

PUTRAJAYA, 6 FEB: Penganut Hindu dan pengunjung yang mahu menyertai sambutan Thaipusam Sabtu ini dinasihat mengambil langkah pencegahan awal bagi mengelak kemungkinan jangkitan koronavirus.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata mereka diminta mengutamakan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau pembersih tangan (hand sanitizer) serta memakai penutup mulut dan hidung.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin menasihatkan elakkan hadir bagi mereka yang tidak sihat tetapi jika mahu hadir juga mereka perlu mengambil langkah pencegahan, pakai topeng mulut dan hidung,” katanya pada sidang media harian situasi terkini koronavirus di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata Pusat Operasi Perubatan yang diselaraskan Hospital Selayang juga akan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan bagi mencegah, membendung dan bertindak balas bagi sebarang insiden yang mungkin berlaku.

Thaipusam akan disambut Sabtu ini dan Batu Caves, Selangor antara lokasi yang dijangka menerima kunjungan 15,000 penganut selain sambutan di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata KKM kini masih dalam fasa pembendungan dan berharap situasi tersebut kekal dalam menangani penularan koronavirus di negara ini.

“KKM kini berada dalam fasa pembendungan dan kita sedang menguji lebih ramai orang bermakna kita belum masuk ke tahap mitigasi antaranya tidak cukup katil di hospital, tidak cukup makmal untuk ujian atau fasiliti hospital tidak mampu menampung (pesakit). Kita harap tidak jumpa situasi sebegini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perarakan pedati perak Thaipusam bermula esok

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Perarakan pedati perak membawa arca Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam akan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun HS Lee di sini pada 10 malam esok dan dijangka tuba di Batu Caves pada 3 petang Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata susulan itu, penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat mengikut pergerakan perarakan dan akan dibuka semula selepas selesai.

“Perarakan itu akan melalui Jalan Tun H.S. Lee; Jalan Sultan; Jalan Pudu; Jalan Tun Perak; Jalan Leboh Ampang; Jalan Ampang; Jalan Munshi Abdullah; Jalan Dang Wangi; Jalan Raja Laut; Jalan Ipoh; Jalan Perhentian; Jalan Ipoh; Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves.

“Perarakan kembali pula bermula pada 4 petang Ahad dari Batu Caves dan dijangka tiba di kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun HS Lee pada 5 pagi esoknya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zulkefly berkata laluan perarakan balik bermula di Kuil Sri Subramaniar Batu Caves; Jalan Ipoh Batu 5; Jalan Ipoh; Jalan Perhentian; Jalan Tun Razak; Jalan Ipoh; Jalan Raja Laut; Jalan Dang Wangi; Jalan Munshi Abdullah; Jalan Ampang; Jalan Leboh Ampang; Jalan Tun Perak; Jalan Sultan; Jalan Hang Kasturi; Jalan Hang Lekir dan Kuil Sri Maha Mariamman Tun H.S. Lee.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rapid KL sedia perkhidmatan bas khas sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Rapid Bus Sdn Bhd akan menyediakan dua perkhidmatan bas khas untuk kemudahan pengguna yang meraikan sambutan Thaipusan pada 7 dan 8 Februari ini di Batu Caves.

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan selama dua hari itu menyediakan 20 buah bas untuk laluan dari Hab Bas Pasar Seni ke Batu Caves melalui Jalan Ipoh dan Jalan Kuching dengan kekerapan 15 hingga 20 minit

“Sementara dua bas lagi disediakan dari stesen LRT Gombak ke Batu Caves melalui Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan kekerapan masing-masing 30 hingga 40 minit.

“Waktu perkhidmatan bagi dua perkhidmatan khas ini bermula dari jam 4.30 pagi hingga 11.59 malam pada 7 Februari dan 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Februari,” menurut kenyataan itu.

Kadar tambang sehala yang dikenakan adalah RM3 bagi laluan dari Pasar Seni dan RM2 dari Stesen LRT Gombak dengan kaedah pembayaran adalah secara tunai atau kad Touch N’ Go.

Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan Rapid KL iaitu 03-78852585 atau menerusi saluran media sosial Rapid KL untuk maklumat lanjut.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ tutup 2 kaunter sempena Thaipusam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menutup Kaunter Khidmat Setempat aras 4, Menara MPAJ dan Kaunter Kutipan Cawangan Melawati, sempena cuti Thaipusam, pada Isnin ini.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Norhayati Ahmad berkata, kaunter perkhidmatan terbabit akan kembali beroperasi seperti biasa, pada 22 Januari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang (hari bekerja).

“Orang ramai boleh menggunakan sistem perkhidmatan E-Banking (iCOMM) yang beroperasi 24 jam untuk proses pembayaran semasa cuti,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Perbendaharaan di talian 03-42857004.

Categories
NASIONAL

Operasi KTMB tanpa henti sempena Thaipusam

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan komuter akan beroperasi selama tiga hari dua malam tanpa henti, sempena sambutan Thaipusam, bermula 30 Januari ini.

Pengurus Besar Operasi KTMB, S Mahendran berkata, perkhidmatan disediakan bermula dari 30 Januari hingga 1 Februari ini bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut Hindu serta pelancong ke Batu Caves.

“Jumlah keseluruhan perkhidmatan tren yang disediakan untuk tempoh itu adalah 783 perkhidmatan. Seramai 400 kakitangan KTMB bersama anggota polis dan ambulans dijadual bertugas bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang sepanjang tempoh itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mahendran berkata, orang ramai yang ingin ke Batu Caves sepanjang tempoh berkenaan digalak menggunakan Stesen KTMB Sentul kerana perkhidmatan lebih kerap.

“Perkhidmatan pengangkutan e-hailing, GrabCar, turut bekerjasama menawarkan promosi sempena Thaipusam dengan kod promosi GRAB2KTMBC, diskaun RM5 untuk dua kali perjalanan,” katanya lapor Berita Harian.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan KTMB, Meyor Hamdan Meyor Mohamad berkata, lebih 100 anggota polis bantuan KTMB akan bertugas sepanjang tempoh berkenaan bagi melancarkan perjalanan dan perkhidmatan.

“Polis juga menyalurkan khidmat di stesen yang dijangka padat dengan orang ramai. Selain itu, kami akan menugaskan beberapa anggota polis bantuan di dalam tren bagi memantau keselamatan penumpang,” katanya.

KTMB menjangkakan lebih 400,000 pengguna menggunakan perkhidmatan tren sepanjang tempoh tiga hari berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, KTMB memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan kad Komuter Link secara percuma bagi urusan pembayaran tanpa tunai dengan tambah nilai minimum RM3.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Thaipusam: MB sampaikan sumbangan RM380,000 kepada 28 kuil

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 9 FEB: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan sumbangan kepada rumah ibadat bukan Islam berjumlah RM380,000 kepada 28 buah kuil bersempena sambutan Thaipusam Peringkat Selangor.

Dalam ucapannya beliau berkata, kehadiran orang Melayu dan Cina sempena sambutan Thaipusam sebagai tanda hormat muafakat berbilang kaum di Malaysia.

“Saya mahu masyarakat dan komuniti termasuk rakyat dari negeri lain yang datang ke Selangor bukan kerana ekonomi yang pesat semata-mata, kita mahu mereka datang kerana ada masyarakat bertoleransi serta hormat-menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Bagi Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Selangor di perkarangan luar Kuil Batu Malai Sri Subramaniar, semalam.

Katanya, komuniti India di Selangor mendapat hak sama seperti kaum lain dalam menikmati kemudahan dan bantuan disalurkan Kerajaan Negeri.

“Generasi muda India berpotensi untuk berjaya dalam bidang keusahawanan.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi merealisasikan ‘Selangor Indian Entrepreneurship and Capacity-Building Program: Towards Economic Resilience, Empowerment and Upward Mobility’,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberikan jaminan akses pendidikan lebih kondusif dengan meluluskan pembinaan Asrama Anak Pekerja Ladang.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Gangguan elektrik 20 minit tak jejas sambutan Thaipusam

Oleh: AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 3 FEB: Sambutan perayaan Thaipusam kali ke-125 berlangsung di Kuil Batu Malai Sri Subramaniar terganggu selepas bekalan elektrik terputus hampir 20 minit.

Kejadiaan diluar jangkaan ini berlaku pada jam 8.55 malam sebelum Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin menyampaikan ucapan.

Sambutan Thaipusam 2015 BatuCaves-MB (6)Namun sambutan Thaipusam diteruskan di pentas luar berhadapan pintu masuk kuil dibawah jejambat Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2).

Bagaimanapun, aktiviti keagamaan seperti perarakan kavadi terus berjalan seperti biasa.

“Itu di luar kuasa kami, tapi saya tetap berterima kasih kepada penganjur.

“Ini masalah teknikal dan memang di luar jangkaan,” katanya dalam sidang media sejurus selesai majlis.

Ribuan penganut agama Hindu masih bersesak-sesak untuk merayakan perayaan Thaipusam dengan bantuan suluhan lampu limpah yang dipancarkan terus ke tangga kuil Batu Caves.

Perayaan Thaipusam yang diraikan penganut agama Hindu tahun ini disambut buat kali ke-125.

Perayaan ini adalah bagi merayakan kebesaran Dewa Murga yang melawan kejahatan.

Penganut yang bernazar akan berpuasa selama 48 hari tanpa memakan daging.

Selain itu, terdapat penganut yang memikul kavadi untuk membayar nazar selain membawa susu sebelanga untuk disiram ke atas patung Dewa Murga.

EZY

MB rasmi Hari Thaipusam di Batu Caves