Categories
SELANGOR

MB: Perkasa TVET di setiap lapisan usia depani Revolusi Industri 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEPT: Semua pihak perlu berperanan secara tuntas bagi terus memperkembangkan Program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua peringkat usia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pasaran TVET ketika ini bukan lagi menjadi pilihan kedua pelajar yang gagal memasuki universiti tetapi keperluan semasa dalam mendepani Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata, usaha itu perlu diperkenalkan sesuai dengan peringkat usia bermula dari sekolah rendah hingga seterusnya.

“Suasana Malaysia Baru ini dilihat akan meluaskan lagi akses pendidikan di mana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dalam mendokong Dasar Pendidikan Negara.

“Untuk menghadapi revolusi 4.0, Kerajaan Negeri juga berpandangan guru atau pendidik perlu diperkasakan dengan segenap aspek kemahiran untuk menyediakan generasi muda mendepani revolusi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Siri ke tiga, Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019: Pendidikan dan Modal Insan di Hotel Grand Bluewave, di sini.

Amirudin berkata, di Malaysia ketika ini pasaran TVET hanya sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding negara maju lain antaranya German 70:30 (kemahiran:akademik).

“Pengenalan program Coding di sekolah-sekolah merupakan usaha memupuk budaya inovasi dan keusahawaan. Ini dapat melatih dan mengembangkan kemahiran murid menerusi pengaturcaraan komputer dan meningkatkan kreativiti pelajar dalam membangunkan pelbagai bentuk aplikasi.

“Menjadi akar yang penting bagaimana menukar pandangan lama berhubung program kemahiran. Pemilihan bidang kemahiran bukan lagi menjadi pilihan kedua. Kita perlukan tenaga berkualiti yang mampu menyusun kehidupan dengan falsafah dan logik tanpa meninggalkan ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata, Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) perlu diberikan perhatian kerana ia mampu menjadi nadi Kerajaan Negeri dalam melahirkan pelajar atau produk berkualiti negeri ini.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri mahu Yayasan Selangor menjadi penggerak utama bidang pendidikan negeri dari peringkat rendah, menengah dan vokasional.

Terdahulu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai program pendidikan bermula pada 2009 sehingga kini yang mana ianya dimulakan di peringkat tadika sehingga institusi pengajian tinggi.

Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan RM50 juta bagi melaksanakan Program Inisiatif Kemahiran dan Ikhtisas Smart Selangor menerusi bidang kemudahan, pengangkutan termasuk aerospace, bioteknologi, elektrik dan elektronik serta industri makanan dan perindustrian.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Uma Dewi: Generasi muda digalak serta TVET

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 24 MAC: Anak muda lepasan SPM, Diploma mahupun Ijazah adalah digalakkan menyertai dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET) kerana ia juga kerjaya yang semakin diiktiraf masa kini.

Pemandu Wanita India Pertama Malaysia LRT Ampang Line LRT, Uma Dewi Rengasamy berkata, kaum wanita mempunyai peluang setara dengan lelaki untuk mendapatkan pendidikan dan menceburi kerjaya berkemahiran.

“Bidang kemahiran ini tidak terbuka hanya kepada kaum lelaki tetapi kaum wanita di zaman moden kini juga mampu melakukan menceburinya.

“Sedangkan bidang kemahiran wanita seperti dandanan rambut, juru solek dan pereka fesyen juga diceburi oleh kaum lelaki, jadi tidak salah untuk anak-anak perempuan terlibatkan diri dalam program ditawarkan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISAS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Program IKTISAS 2018 dalam slot bicara kerjaya di Sunway Convention Center, di sini semalam.

Uma juga menyokong inisiatif Kerajaan Negeri itu supaya orang ramai dapat membuka minda bahawa bidang kemahiran dan teknikal juga salah satu kerjaya yang boleh menjamin masa depan.

“Oleh itu, saya amat mengalukan anak muda untuk tidak lepaskan peluang ini melihat program-program TVET yang ditawarkan,” katanya.

Bercerita lanjut berkenaan dirinya, Umar merupakan wanita India pertama Malaysia sebagai Kapten Tren yang membawa kira-kira 1,200 penumpang.

Memilih kerjaya yang jarang diceburi wanita menjadi satu kebanggaan disamping membuktikan kemampuan dirinya sebagai wanita mampu melakukan sesuatu yang baru dan mencabar.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Banyak permohonan kemasukan TVET tapi peluang terhad

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhadapan masalah menempatkan pelajar ke pusat institusi kemahiran walaupun menerima permohonan kemasukan hampir 140,000 sejak 2016 hingga 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata sehingga kini, tujuh peratus daripada murid lepasan tingkatan tiga mengikuti pendidikan vokasional di bawah institusi pendidikan dibawah KPM.

“KPM sedang mengkaji segala bentuk peluang yang membolehkan pemberian peluang kepada anak muda khususnya masih berada di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di Dewan Rakyat.

Pada 2016 sebanyak 72,000 permohonan kemasukan ke institut kemahiran diterima dengan kapasiti peluang sebanyak 16,000 manakala 66,000 permohonan dengan 17,000 peluang bagi tahun 2017.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kementerian melaksanakan bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, Kementerian Kerjaya Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut terlibat dengan penyelarasan oleh Kementerian Sumber Manusia.

“KPM turut melakukan tiga fasa promosi untuk meningkatkan kadar kemasukan pelajar dengan fasa pertama adalah proses pengambilan pelajar ke kolej vokasional.

“Fasa kedua adalah mempromosikan aktiviti pelajar dalam kolej vokasional dan memberikan penjelasan bahawa pelajar vokasional berpeluang memperoleh pekerjaan dengan pendapatan lumayan selain menjadi usahawan muda,” katanya.

Mengulas soalan tambahan dikemukakan Nurul Izzah yang menyentuh soal pengurusan tabung memperkasa pelan induk pembangunan TVET bernilai RM4.9 bilion, Kamalanathan menjelaskan KPM akan memantau segala aktiviti perbelanjaan yang dilakukan dengan meletakkan wakilnya di dalam setiap jawatankuasa induk.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor RM52 juta ‘vs’ Persekutuan RM4.5 juta untuk TVET

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Peruntukan RM4.5 juta bagi melonjakkan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti diumumkan dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini mencerminkan sikap tidak serius dalam menyediakan tenaga kerja mahir di kalangan belia dan sekaligus menangani isu pengangguran.

Dato’ Menteri Besar , Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini berbeza dengan Kerajaan Negeri yang menyedari kepentingan menyediakan belia berkemahiran tinggi bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM52 juta menerusi program terbarunya Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Kita bertindak berdasarkan fakta dikemukakan banyak laporan di mana isu pengangguran di Malaysia melepasi satu angka membimbangkan dan sebab itu Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk melihat bagaimana penyelesaiannya.

“Penyelesaian terbaik adalah beri kemahiran kepada anak muda dan tak mungkin masalah ini dapat diselesaikan kalau peruntukan hanya RM4.5 juta di mana jumlah belia yang terlibat adalah besar.

“Walaupun ada antara mereka memiliki pendidikan asas seperti diploma atau ijazah tetapi dalam mencapai sebuah negara maju dan melalui satu proses transformasi ke arah revolusi industri 4.0 kita kena bersedia dengan tenaga kerja yang terlatih dan mempunyai kemahiran,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas beliau membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Jelasnya, walaupun Selangor hanyalah merupakan sebuah negeri yang kecil, namun peruntukan RM52 juta dianggap sebagai satu jumlah besar berbanding RM4.5 juta peruntukan untuk belia seluruh negara.

Justeru katanya, langkah Kerajaan Persekutuan itu jelas merupakan keputusan salah dan merugikan golongan belia itu sendiri.

Katanya lagi, beliau percaya usahasama dengan beberapa agensi bertauliah bagi memberikan latihan kemahiran mampu melahirkan anak muda berkemahiran dan akhirnya menembusi pasaran kerja dalam industri memerlukan tenaga kerja mahir.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

#Selangor18: IKTISASS diperkenalkan untuk jayakan TVET

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat meningkatkan peruntukan sektor pendidikan tinggi kepada RM101.73 juta bagi tahun 2018 berbanding RM28.5 juta, tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Samrt Selangor (IKTISASS) sebagai usaha menjayakan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menerusi peruntukan itu.

“RM52 juta yang mewakili 51.1 peratus daripada peruntukan untuk pendidikan tinggi disalurkan untuk program IKTISASS.

“Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada ‘millennials’ menggarap latihan kemahiran bagi menjamin kebolehpasaran dengan pendapatan yang tinggi dan meningkatkan rantaian nilai modal insan,” katanya

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan membiayai sepenuhnya 2,000 anak muda Selangor sebagai perintis program IKTISASS sebagai langkah awal, pada tahun 2018.

Program itu akan dilaksanakan dengan kepakaran Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC), Strand Aerospace Malaysia dan SST & Consultancy Academy.

Katanya, jurang antara keluaran institusi pendidikan dengan keperluan sumber manusia negeri dan industri perlu dipandang serius kerana ia menyumbang kepada peningkatan pengangguran dalam kalangan anak muda iaitu tiga kali ganda berbanding kadar purata pengangguran nasional.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM181.98 juta bagi memperkukuh intitusi pendidikan, pada tahun 2018.

Categories
SELANGOR

TVET: Najib bagi RM5 juta, kita bagi RM10 juta satu negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 31 OKT: Peruntukan RM5 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memperkasa program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat Persekutuan disifatkan terlalu kecil.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri sebaliknya memperuntukkan RM5 juta untuk membiayai anak Selangor menjalani program TVET di Kolej Antarabangsa Inpens, bagi tahun ini.

Katanya, tambahan RM5 juta turut diperuntukkan untuk menaik taraf dan menambah fasiliti di Inpens, bersesuaian dengan kehendak pasaran TVET yang berkait rapat dengan peralatan serta teknologi terkini.

“Sekarang Persekutuan baru nampak TVET, itupun dengan peruntukan sangat kecil.

“Kita sudah lama perkasa TVET di Selangor, sejurus mengambil alih tampuk Kerajaan Negeri pada 2008 lagi, malah peruntukan terus bertambah dari tahun ke tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Majlis Sambutan Deepavali Inpens, di sini, hari ini.

Ganabatirau berkata, seramai 5,333 anak Selangor menerima manfaat tajaan program Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, melibatkan peruntukan lebih RM20 juta, sejak 2008.

Katanya, peruntukan 2008 dimulakan dengan RM2 juta dan kekal sehingga 2013.

“Selepas itu, pada 2014, kita tingkatkan kepada RM4 juta dan tahun ini naik lagi kepada RM5 juta.

“Ia akan terus meningkat bagi membolehkan lebih ramai pelajar ditaja dan seterusnya menyumbang kembali kepada pembangunan negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor peneraju TVET lahir graduan berkualiti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: Selangor dijangka akan menerajui program latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini dengan menyediakan pelbagai latihan di dua institusi pendidikan negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor pendidikan yang menawarkan kemahiran itu penting dalam menentukan kejayaan pelajar akan datang.

“Pendidikan adalah pelaburan penting untuk menjadikan sesebuah negeri maju dan menjadi cabaran kepada kita bagaimana ingin menerajui usaha mengimbangi keluaran graduan mengikut keperluan.

“Ketika ini, kita melahirkan banyak graduan, namun tiada pekerjaan sesuai dengan kemahiran dan pengetahuan pelajar,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, di sini.

Justeru, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri perlu mendekati pendidikan TVET bagi menjamin masa depan negara.

Katanya, ia bakal dilaksanakan di dua institusi pendidikan negeri iaitu Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Antarabangsa Inpens.

CP2A1470-800x533“Kita perlu mengambil contoh negara maju antaranya Jepun dan Jerman yang memberikan tumpuan besar dalam program sedemikian,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Exco, pimpinan tertinggi pihak berkuasa tempatan dan pakar dari badan profesional mengadakan retrear di Port Dickson, baru-baru ini.

Dalam retreat itu, tiga perkara diberi tumpuan antaranya ekonomi, pendidikan dan perumahan.

Dalam Belanjawan 2017 lalu, Mohamed Azmin mencadangkan RM5 juta untuk program TVET di Inpens bagi memperkasakan pendidikan vokasional yang akan membekalkan tenaga mahir kepada industri.

-AA-

Categories
SELANGOR

TVET bakal tingkat pekerja mahir di Selangor

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 16 OGOS: Sebanyak RM10 juta peruntukan diperlukan untuk melaksanakan usaha penambahbaikan Pendidikan dan Program Modal Insan melalui program Teknikal dan Vokasioanl (TVET) bagi meningkatkan tenaga kerja mahir di Selangor.

Timbalan Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Mokhtar Abdullah, berkata persediaan perlu dipertingkatkan daripada segi pengetahuan dan kemahiran yang sesuai kepada golongan belia serta meningkatkan bilangan pelajar bagi aliran TVET.

“Kita memerlukan institusi yang dapat menampung sekurang-kurangnya 4,000 pelajar tetapi kapasiti kampus Inpens terhad kepada 600 pelajar sahaja.

Kampus-UNISEL-604x270“Disarankan Kerajaan Negeri meminjam kepada Inspen untuk menggunapakai aset seperti bangunan, tanah dan fasiliti di setiap daerah bagi tujuan mewujudkan lebih banyak pusat latihan,” katanya ketika Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2017 di Shah Alam Convention Center, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, terdapat beberapa projek lain yang dicadangkan antaranya penyediaan Blueprint & Roadmap 2017 hingga 2020 TVET di Selangor dan penambahbaikan peralatan dalam progran kerjasama Akademia Industri TVET di antara UNISEL dan Inpens.

“Kita juga bercadang melaksanakan program ‘Smart Education Using MOOC Platform’ untuk pembelajaran kemahiran teknikal dan vokasional serta program STEM berteraskan Al-Quran (Q-STEM) bagi sekolah di bawah Kerajaan Negeri.

“Itu antara beberapa projek yang kita percaya berpotensi memperkasakan pelaksanaan TVET di Selangor,” katanya.

-NFN-