Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Calon UPSR diperingat bawa MyKad

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengingatkan semua calon yang bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) supaya membawa MyKad masing-masing ke pusat peperiksaan yang akan bermula pada 20 hingga 27 September ini.

KPM dalam kenyataannya berkata, ia bertujuan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.

Berdasarkan kenyataan tersebut, Lembaga Peperiksaan turut mengingatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan UPSR 2018 untuk maklumat mengenai masa peperiksaan dan arahan serta amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan sedang berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my,” katanya.

Difahamkan, seramai 440,743 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan UPSR itu.

Manakala, daripada jumlah itu, 430,031 calon terdiri daripada calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan serta 10,712 calon sekolah swasta.

Selain itu, sebanyak 8,100 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara membabitkan 54,253 petugas peperiksaan yang dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

EXCO rai pelajar bakal hadapi UPSR & PT3

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 13 SEPT: Lebih 100 pelajar diraikan dalam Program Pecutan Akhir Pentaksiran Ujian Tingkatan Tiga (PT3) dan Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian, di sini, hari ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, ia membabitkan 50 pelajar UPSR dan 52 pelajar tingkatan tiga dari sekolah sekitar Kajang, yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

Katanya, program itu memberi banyak manfaat kepada pelajar terutama mereka yang kurang berkemampuan untuk hadir ke tuisyen.

“Program ini amat bagus dan saya optimis ia dilaksanakan pada setiap tahun serta dibuat dengan lebih meluas lagi.

“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan akan datang,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Pecutan Akhir PT3 dan UPSR.

Sementara itu, Guru Besar SK Saujana Impian, Khatijah Yusof menyambut baik pelaksanaan program terbabit yang memberi pendedahan meluas kepada pelajar.

“Menerusi program ini, pelajar diberi pendedahan lebih meluas daripada guru di sekolah yang berbeza kerana kita bergabung juga dengan beberapa sekolah sekitar Kajang,” katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Massita Mohamed Sin berkata, menerusi program itu, pelajar dan guru dapat berinteraksi dengan lebih dekat kerana ia membabitkan beberapa pembahagian kumpulan.

“Jika di dalam kelas, kadangkala pelajar malu untuk bertanya mungkin disebabkan bilangan terlalu ramai, namun program ini mendekatkan pelajar dan guru,” katanya.

Antara sekolah terbabit menjayakan program ini adalah SMK Sultan Abdul Aziz Shah, SMK Taman Jasmin, SMK Jalan Bukit, SK Kantan Permai, SK Kajang, SJK (C) Sungai Chua dan SK Kajang.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

48 sekolah daerah Petaling Utama ikuti Program Intervensi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Sebanyak 48 sekolah daerah Petaling Utama, menyertai Majlis Pelancaran Program Intervensi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) yang dianjurkan Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis).

Program itu turut mendapat kerjasama bersama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Utama.

Program Intervensi itu diadakan secara berperingkat bermula dengan 23 sekolah rendah membabitkan calon UPSR seramai 2,500 pelajar yang sudah dimulakan sesinya pada 30 Jun lalu dan akan berakhir 21 Julai ini.

Pengasas MyPerintis, Dato’ Lawrence Low berkata, program intervensi yang berjalan selama satu jam itu bertujuan meningkatkan tahap motivasi pelajar.

“Idea keseronokan dalam proses pembelajaran jarang sekali terlintas dalam fikiran pelajar dan ada segelintir yang sukar untuk memahaminya.

“Oleh itu Youth Influencer kami, Karmen Lee akan memperkenalkan persepsi baharu untuk pelajar bahawa pembelajaran merupakan proses menarik dan menyeronokkan,” katanya dalam kenyataan.

Lawrence berkata, selain memberikan pelajar motivasi dalam Program Intervensi, ia juga memfokuskan penerapan nilai murni yang penting seperti kejujuran, bekerja keras dan berdisiplin seperti sudah diterapkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga selaku penaung MyPerintis.

“Menerusi Program Intervensi, pelajar dapat mengatasi tekanan mereka dengan lebih baik sekali gus mengubah persepsi terhadap peperiksaan dan pada masa sama masih menikmati proses pembelajaran dengan seronok.

“Selain itu, ia bertujuan membantu pelajar memberi gambaran mengenai kehidupan dalam persediaan untuk memulakan pendidikan mereka di sekolah menengah dan peringkat universiti,” katanya.

Justeru, katanya, program itu selaras dengan inisiatif yang dinyatakan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang mahukan proses pembelajaran menyeronokkan sekali gus membawa sistem pendidikan ke era baharu.

“Keseronokan memberi impak positif terhadap tahap motivasi dan sekiranya pengalaman itu menyeronokkan, pelajar akan mempunyai sikap ingin tahu serta terus bersemangat untuk menjalani pelajaran mereka,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelajar Filipina lakar kejayaan cemerlang UPSR

OLEH SYASYA SUFIAN

KUALA LANGAT, 21 NOV: Semangat jihad berterusan seorang pelajar Filiphina dalam mempelajari pembelajaran dan budaya yang baru membuahkan hasil apabila berjaya mencipta kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ahmed Gonzales Galender,12, yang hadir menerima anugerah cemerlang di DUN Sijangkang berasa gembira dengan keputusan 5A dalam UPSR walaupun beliau baru menetap di Malaysia tiga tahun.

“Guru, rakan dan ibu bapa merupakan pembakar semangat untuk saya belajar berbahasa Melayu dengan fasih seterusnya ke mata pelajaran yang lain.

img_20161121_094206 “Saya dan keluarga berpindah ke Malaysia ketika umur saya 10 tahun dan pada waktu itu tidak tahu langsung bercakap bahasa Melayu apatah lagi membaca. Namun, tekad guru yang tak pernah putus asa mendidik akhirnya saya dapat memberikan keputusan yang cemerlang buat mereka,” katanya yang bercita-cita menjadi saintis.

Guru Matematik Sekolah Kebangsaan Teluk Panglima Garang, Saiful Anuar Basiran berkata, beliau berasa amat bangga dengan pencapaian muridnya itu walaupun penulisan Ahmed hanya mendapat keputusan C, namun mata pelajarannya yang lain semua A.

“Ketika saya menjadi guru matematiknya pada 2014, hari-hari beliau menangis dan sedih kerana tidak faham pengajian di sini. Bapanya juga menyerahkan seluruh kepercayaan kepada sekolah ketika itu untuk mendidik anaknya.

“Apabila saya melihat tekad beliau belajar dan saya suruh dia bergaul dengan anak Melayu, tidak sangka akhirnya membuahkan hasil. Saya juga ada meminta guru agama di sekolah untuk mengajar beliau bab agama dan mengaji,” katanya kepada Selangor Kini.

img_20161121_094141Sementara itu, Anis Sofea Hasan Parid, 12 dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Kebun Baru pula merupakan pelajar terbaik Mumtaz DUN Sijangkang, tahun ini.

Katanya, setiap malam beliau tidak tinggal untuk mengulang kaji dan menghafaz al-quran.

“Apa yang penting untuk kita berjaya adalah solat perlu jaga dan kalau nak dapat lebih, perbanyakkan solat sunat kerana itu yang selalu dipesan mak ayah dan guru di sekolah,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

UPSR 2016: 1,025 peroleh 6A, 9 sekolah lulus 100%

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM – Sembilan sekolah di Selangor berjaya mendapat keputusan lulus 100 peratus bagi pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan mencatatkan 1,025 calon memperoleh 6A.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, pencapaian yang disifatkan cemerlang itu menyumbang kepada Gred Purata Negeri yang mencatatkan 2.85 peratus berbanding Gred Purata Kebangsaan iaitu 2.96 peratus.

“Sejumlah 87,229 calon menduduki peperiksaan UPSR bagi tahun ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 83,315 adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, manakala 3,914 adalah calon sekolah swasta.

UPSR 2016 / SHAH ALAM“Jumlah calon yang memperoleh pencapaian cemerlang 6A bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan 8A bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) ialah 1,025 iaitu 1.24 peratus,” katanya.

Mohd Salleh berkata, format peperiksaan UPSR baharu dan ditambah baik yang diperkenalkan tahun ini merupakan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), di samping membudayakan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Hasrat transformasi kurikulum dan penaksiran di peringkat pendidikan sekolah rendah adalah bagi memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Indeks yang digunakan bagi menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara membabitkan Gred Purata Sekolah (GPS), manakala nilai untuk mengukur pencapaian bagi mata pelajaran pula ialah Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu nilai lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Gandakan usaha tingkat prestasi UPSR 2016

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 NOV: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Selangor pada 2016 diyakini mampu mencatatkan keputusan lebih cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata penekanan Kerajaan Negeri bagi melahirkan generasi berilmu pada masa depan berupaya melahirkan pelajar cemerlang.

upsr-1“Kita mengharapkan supaya keputusan ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya kepada Selangor Kini di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan UPSR tahun ini di Selangor membabitkan seramai 82,969 calon dengan catatan 7,354 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) mendapat keputusan 5A serta Sekolah Jenis Kebangsaan dengan 7A.

Katanya, keputusan UPSR sememangnya penting untuk langkah seterusnya tetapi jalan melakar masa depan lebih cemerlang masih panjang jika gagal memperoleh keputusan membanggakan kali ini.

“Kita harap adik-adik mendapat keputusan mungkin kurang cemerlang dan sebagainya tidak berputus asa kerana boleh menggunakan peluang pada masa hadapan untuk mencipta keputusan lebih baik,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

1,023 pelajar SKJT terima anugerah kecemerlangan UPSR 2014

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 24 APR: Lebih 1,000 pelajar cemerlang UPSR 2014 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh Selangor akan diberi anugerah oleh Kerajaan Negeri.

Exco  Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, program tahunan terbabit diadakan bagi menghargai pelajar cemerlang berketurunan India, sekali gus membuktikan peranan kaum itu tidak pernah dipinggirkan.

“Ini antara program terbesar anjuran Kerajaan Negeri kepada pelajar berbangsa India di bawah peruntukkan anak pekerja ladang .

xavier UPSR tambang bas andalas mac17 02“Ia juga salah satu sebab kaum India begitu gembira dengan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat. Walaupun program ini tidak melibatkan belanja besar, tetapi memberi makna cukup besar kepada kaum India,” katanya dalam sidang media, di pejabatnya, semalam.

Sekurang-kurangnya 1,023 pelajar berketurunan India yang memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR 2014 bakal menerima anugerah berbentuk wang tunai dan sijil penghargaan.

PC YB Ganabatirao (3)Majlis yang dijadualkan berlangsung di Dewan Jubli Perak itu, pada 3 Mei ini bakal menyaksikan 303 pelajar dengan keputusan 7A menerima saguhati RM200 serta sijil, manakala 343 (6A) mendapat RM150 serta sijil dan 377 (5A) RM100 serta sijil.

“Pada majlis itu, tiga SJKT dengan catatan keputusan UPSR terbaik akan diberikan wang saguhati. Johan menerima Rm10,000 sementara tempat kedua RM6,000 dan ketiga RM4,000.

“Lima tokoh guru akan dianugerahkan dalam kalangan guru SJKT yang sudah bersara. Mereka akan diberikan sijil perghargaan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor ulangi kejayaan, 100% lulus UPKK & UPSR

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 FEB: Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Rendah Agama Integrasi seluruh Selangor sekali lagi mencatat kelulusan 100 peratus bagi tahun 2014.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya kini berbincang lanjut dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membenarkan pengambilan UPKK di Sekolah Rendah Agama (SRA) juga atas pencapaian cemerlang itu.

upsr-1“Kita jangkakan hujung tahun ini dapat dilaksanakan di SRA atau mungkin bermula tahun hadapan.

“Sukatan pelajaran tidak berbeza kerana ajaran Islam itu satu sahaja,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan UPKK dan UPSR 2014 peringkat Selangor, di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jais, Mohamad Amir Danuri dan Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jakim, Tarmizi Ahmad.

Lebih 17,000 calon UPKK di tahun lima sekolah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) mencatatkan kelulusan penuh dalam lapan mata pelajaran seperti amali solat, bidang Al- Quran dan ulum syariah.

Murid Kafa Selangor berpeluang menduduki dua peperiksaan iaitu UPKK di tahun lima dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di tahun enam.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Mengapakah kertas soalan simpanan UPSR tidak digunakan?

Oleh: Zairil Khir Johari

Saya menerima baik berita bahawa dua orang akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban esok berkaitan kes pembocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 28(3) Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980, mereka boleh didenda RM10,000 atau dipenjarakan selama tiga tahun, atau kedua-dua sekali.

Pada bulan September lalu, lebih 473,000 calon UPSR dikejutkan dengan berita pembocoran kertas soalan, mula-mula dengan kertas Sains dan Bahasa Inggeris, dan kemudiannya Matematik dan Bahasa Tamil. Akibatnya, murid-murid terpaksa menunggu sebulan untuk mengambil semula kertas-kertas tersebut.

upsr-1Peristiwa ini bukan sahaja memalukan negara dan menimbulkan kesangsian umum terhadap pengendalian peperiksaan awam, tetapi juga mengakibatkan keresahan dan tekanan mental bagi hampir setengah juta murid tahun enam di serata negara, di samping menjejaskan integriti sistem pendidikan negara.

Namun begitu, ini bukan kali pertama pembocoran kertas soalan berlaku, dan ramai yang tertanya bagaimanakah perkara ini boleh terus berlaku. Tidakkah ada cara untuk mengelak atau memitigasikan pembocoran sedemikian?

Saya ingin merujuk kepada laporan The Edge Financial Daily pada 3 Oktober 2014, di mana sumber dalaman memberitahu bahawa Lembaga Peperiksaan secara lazimnya akan menyediakan tiga set kertas soalan. Justeru, sekiranya berlaku pembocoran, maka set simpanan akan digunakan.

Menurut laporan yang sama, pembocoran pernah berlaku pada tahun 2004 bagi kertas soalan Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Punca pembocoran itu dikatakan berlaku di Sarawak, namun arahan telah dikeluarkan secara senyap bagi menggantikan semua kertas soalan mata pelajaran tersebut di seluruh negara.

Pertukaran ini berlaku pada tengah malam dengan kerjasama antara pegawai-pegawai Kementerian dan pihak polis. Pada hari esoknya, peperiksaan berjaya dilaksanakan dengan kertas soalan simpanan tanpa disedari sesiapa.

Maka, saya ingin bertanya sama ada kertas soalan simpanan bagi UPSR tempoh hari telah disediakan sepertimana dalam peperiksaan SPM.

Jika ya, mengapakah kertas soalan simpanan tidak diguna pakai, khususnya bagi mata pelajaran Sains yang telah diketahui pembocorannya pada 10 September, iaitu sehari sebelum ia dijadualkan berlangsung?

Tambahan kepada itu, mengapakah murid-murid terpaksa menunggu hampir sebulan untuk menduduki semula kertas-kertas tersebut?

Meskipun pembocoran itu dikesan kemudian, seperti dalam kes kertas soalan Matematik dan Bahasa Tamil, tidak bolehkah kertas soalan simpanan digunakan dalam masa yang terdekat?

Tindak balas yang kurang bijak daripada pihak Kementerian menimbulkan pelbagai keraguan. Oleh itu, Kementerian harus menjelaskan apakah tatacara operasi standard (SOP) dalam pengendalian peperiksaan awam?

Adakah kertas soalan simpanan disediakan bagi UPSR tahun ini, dan mengapakah ia tidak diguna pakai, khususnya bagi kertas Sains? Sekiranya kertas soalan simpanan tidak disediakan, Kementerian harus juga menerangkan kenapa.

Dalam pada itu, saya ingin mengulangi cadangan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bukan sahaja untuk menyiasat insiden pembocoran kertas soalan UPSR ini, tetapi juga untuk meneliti penurunan taraf pendidikan secara umum di negara kita akibat masalah dasar yang tidak teliti, tadbir urus yang tidak efisien dan pembaziran wang awam yang berleluasa.

*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Apalah gunanya gred ‘A’ jika dari soalan bocor

Oleh: AMIDI ABDUL MANAN

Kebocoran soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini amat memalukan. Antara objektif UPSR ini adalah untuk mengukur kebolehan dan kemahiran pada peringkat asas persekolahan di Malaysia.

Jika seseorang pelajar itu mendapat keputusan yang memberangsangkan, dia bepeluang mendapat tempat ke sekolah-sekolah menengah terpilih yang berprestij. Itulah peluang (mendapat tempat di sekolah terpilih) yang dihambat oleh masyarakat kita bermati-matian.

UPSR BOCORSanggup bergolok-gadai demi memenuhi impian tersebut. Sanggup juga dikorbankan fasa kanak-kanak dalam proses pembesaran anak-anak.

Anak-anak telah dipaksa menghadiri kelas tambahan, tuisyen, bengkel dan seminar semata-mata mengejar impian tersebut. Anak-anak hilang keseronokan bermain kerana terpaksa mengikuti rutin yang telah ditetapkan oleh ibu bapa dan pihak sekolah.

Pada persepsi ibubapa pula, mereka bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Lantas para ibu bapa menyimpulkan pendidikan terbaik mestilah datang bersama sekolah yang terpilih tersebut.

Maka dijadikanlah ukuran kejayaan pendidikan anak-anak adalah mendapat tempat di sekolah terpilih, jika gagal maka kegagalan itu adalah kegagalan ibubapa mendidik anak-anak.

Kenapa obsesi terhadap sekolah terpilih ini wujud? Jawapannya adalah segala rencah kecemerlangan akademik wujud pada sekolah tersebut.

Kemudahan, kecanggihan prasarana, guru berpengalaman, kepimpinan sekolah yang mantap dan seribu satu kelebihan dan keutamaan. Timbul pula persoalan berikutnya adalah, kenapa wujud sekolah yang sedemikian keutamaannya?

Adakah sekolah ini sahaja jaminan kepada pendidikan yang cemerlang? Kenapa dilonggokkan seribu satu kelebihan pada sekolah tersebut? Siapakah yang melonggokannya?

Jawapannya terletak pada pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan akhirnya Kementerian Pendidikan itu sendiri.

Apabila keputusan UPSR, PMR, SPM/V dan STPM/ STAM diumumkan, maka turut sama dikeluarkan adalah kedudukan (ranking) negeri mengikut Gred Purata Keseluruhan (GPS) bagi setiap mata pelajaran dan lain-lain statistik seumpamanya.

Lantas para Pengarah Pendidikan Negeri berasa bahawa ini merupakan tanggungjawab semasa mereka menjawat jawatan tersebut dan boleh digunakan untuk menggapai kedudukan yang lebih baik lagi.

Oleh itu, para pengarah ini berlumba-lumba merencana program dan strategi untuk meningkatkan prestasi GPS negeri masing-masing. Segala sumber kekayaan negeri dicurahkan demi mencapai hasrat tersebut. Hampir 70% sumber pendapat yayasan negeri dibelanjakan untuk meningkatkan pencapaian akademik ini.

Inilah kitaran pemusnah (vicious circle) pendidikan. Pendidikan di Malaysia yang berfalsafahkan individu yang seimbang secara harmonis dan berketrampilan sudah dimusnahkan oleh kitaran peperiksaan ini.

Perbincangan berkaitan falsafah ini sudah semakin dipinggirkan dan tidak lagi menjadi topik sentral dalam dunia pendidikan negara pada hari ini.

Kitaran ini perlu dihentikan sebelum ia meratah rakus satu persatu kriteria yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Membiarkan kitaran ini berterusan akan menyebabkan masyarakat Malaysia kehilangan jati diri dan lebih teruk lagi hilang kemanusiaannya. Apabila ini terjadi maka kita akan kehilangan satu sifat yang terpenting dalam kehidupan iaitu sifat ‘malu’.

Hilangnya sifat ini, membuatkan kita berani melanggar prinsip dan kebenaran kerana benteng dalaman diri telah roboh dan berkecai. Maka kebobrokan dalam masyarakat akan terus berlaku dan menjadi semakin parah.

Oleh yang demikian, segala obsesi terhadap peperiksaan perlu dtangani dengan cermat. Kembalikan fungsi peperiksaan sebagai dapatan guru terhadap kualiti pengajarannya sama ada yang berbentuk kaedah (pedagogi) mahu pun kesediaan belajar (psikologi) para pelajar.

Sudah tentu sebagai warga pendidik yang bertanggunjawab akan menunaikan objektif pendidikan sebagaimana yang dihasratkan oleh negara. Konsep ‘ajar sampai jadi’ perlu dihayati oleh setiap pendidik. Ia memerlukan sokongan ibu bapa bagi merealisasikan hasrat ini.

Jika konsep ‘kemenjadian’ ini tercapai, tiada lagi istilah sekolah terpilih kerana hantarlah anak bersekolah dimana-mana sekolah pun, insya Allah penguasaan teori dan praktikal juga emosi dan rohani akan dapat dicapai.

Di sinilah terletaknya keperluan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ia adalah usaha untuk memutuskan kitaran pemusnah ini.

Setiap guru diberikan ruang secukupnya untuk mengajar, menguji dan melakukan pembaikan bagi setiap kelemahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Guru juga diangkat agar pentaksiran yang dilakukannya diperakui oleh masyarakat dan ia bermula dari para ibubapa, terutamanya ibubapa yang juga dalam kalangan guru.

PBS ini amat penting bagi memberi gambaran yang setepatnya terhadap proses pendidikan yang dilalui oleh anak-anak kita.

Apalah gunanya gred ‘A’ sekiranya ia diperolehi dari kebocoran soalan. Apalah gunanya gred ‘A’ sekiranya ia diperolehi dari usaha yang curang dan tidak bermoral. Mungkin ada pertanyaan sekiranya PBS hanya mengandungi prestasi dari kaca mata seorang guru, maka bagaimana kita mahu menggredkan pelajar yang layak ke IPT-IPT atau kursus-kursus tertentu? Jawapannya adalah perkenalkan peperiksaan kemasukan (entrance exam). Ia telah diamalkan oleh banyak negara.

Hampir kesemua pelajar sekolah kita yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara menduduki peperiksaan ini.

Sebagai contohnya para pelajar yang mahu memasuki Universiti al-Azhar, Mesir perlu menduduki peperiksaan kemasukan yang dinamakan imtihan qabul tanpa mengira gred yang diperolehi pada peperiksaan STAM. Begitu juga saya difahamkan kemasukan untuk IPT di negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Sememangnya insiden kebocoran soalan UPSR adalah satu tragedi yang besar dalam dunia kependidikan Malaysia. Namun formula penyelsaian jangka panjang telah pun ada.

Namun kekehuatiran tetap wujud apabila Peperiksaan TIngkatan 3 (PT3) akan dilaksanakan pada bulan Oktober ini. Ia sekali lagi akan menguji integriti guru kerana perebutan tempat ke sekolah-sekolah terpilih masih belum dihentikan sepenuhnya.

* AMIDI ABDUL MANAN adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Categories
NASIONAL

Jika UPSR bocor macam mana nak bina loji nuklear?

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan patut memberi jaminan dalam menangani insiden kebocoran kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) supaya tidak berulang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata kebimbangan berhubung rentetan insiden ‘bocor’ yang berlaku terhadap prasarana awam di Malaysia kini merebak hampir ke seluruh sistem pentadbiran negara, malah kepada soalan peperiksaan UPSR.

nuklearLim turut mempersoalkan sekiranya kerajaan masih gagal menangani kebocoran kertas UPSR, adakah jaminan perkara yang sama tidak berlaku sekiranya loji janakuasa nuklear dibina di negara ini

“Ini adalah sesuatu yang memalukan dan kita perlu menilai kembali dengan berterus terang. Masalahnya ialah sistem kawalan dalaman. Selama ini tidak ada tindakan diambil apabila kelemahan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengingatkan bahawa Laporan Ketua Audit Negara saban tahun mendedahkan ketirisan, pembaziran dan kebocoran yang berlaku sistem kewangan dan pentadbiran negara, namun tidak ada sebarang perubahan drastik diambil.

“Kita tengok LKAN, setiap kali laporan dibuat tidak kira sama apa sahaja benda, dari jam (dinding) hinggalah kepada scanner (alat pengimbas) yang harganya dari RM100, tetapi dibeli pada harga RM3,000.

“Kita (pernah) menghadapi masalah kebocoran dalam bangunan Parlimen yang kos (pembaikan) menelan belanja jutaan ringgit. Sekarang kita nak bina loji nuklear?,” soalnya.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanatan berkata Kementerian mengesahkan laporan kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi matapelajaran Matematik dan Bahasa Tamil.

Manakala minggu lalu, kertas peperiksaan bagi matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris turut dilaporkan bocor.

Susulan itu beberapa laporan polis dibuat dan 14 orang ditahan bagi membantu siasatan.

Kerajaan turut menggantung tugas Pengarah Lembaga Pengarah Peperiksaan Dr Na’imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenainya selesai.

Kebocoran kertas soalan itu menjejaskan hampir 470,000 murid Tahun Enam yang terpaksa mengambil semula peperiksaan bagi matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris yang dijadualkan pada 30 September.

EZY

Categories
NASIONAL

Individu bocor soalan UPSR pengkhianat negara – Fuziah

Oleh Lizawati Madfa

SHAH ALAM, 12 SEPT: Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin didesak meletak jawatan ekoran kejadian soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bocor.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata ia bukan sahaja memalukan, malah menghancurkan integriti institusi pendidikan negara yang diuar-uar sebagai terbaik dunia.

Sebagai menteri bertanggungjawab, beliau berkata Muhyiddin tidak boleh lari dan sekadar menuding jari kepada pihak lain.

“Akibat tangguh kertas peperiksaan ini, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan, cetak semula, kos pengangkutan, bayaran kepada pemeriksa dan pengawas peperiksaan dan lain-lain kos.

“Juga, kesan kepada perkara lain seperti perancangan percutian keluarga terganggu, masa guru terpaksa masuk kelas dan mengajar lagi,” katanya dipetik dari Facebooknya.

Pada 10 Spetember lepas, soalan kertas Sains UPSR didapati bocor diikuti kertas Bahasa Inggeris yang diduduki calon pada pagi semalam yang juga terpaksa dibatalkan.

Kementerian Pendidikan mengumumkan kedua-dua kertas peperiksaan berkenaan akan ditangguhkan kepada 30 September ini.

Mengulas lanjut, Fuziah menggesa agar kerajaan dapat mengesan punca kejadian ini dan memastikan ia tidak akan berulang di masa hadapan.

“Orang yang membocorkan soalan ini adalah pengkianat negara, bangsa dan agama,” katanya.