Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Keputusan laksana haji bergantung kelulusan Arab Saudi

PUTRAJAYA, 4 MAC: Keputusan untuk menghantar jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini bergantung pada kelulusan daripada Arab Saudi dan situasi pandemik ketika itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Katanya beliau akan sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan jemaah haji Malaysia.

“Setakat mana kebolehan untuk pergi ke Makkah ini amat bergantung pada keputusan kerajaan Arab Saudi dan situasi pandemik Covid-19 adakah reda dan melandai atau masih lagi dalam keadaan yang cukup mencabar.

“Ini bukan jemaah Malaysia sahaja tetapi seluruh dunia. Saya yakin kebijaksanaan (kerajaan Arab Saudi) dan melihat situasi (Covid-19) semasa, mereka akan buat keputusan,” katanya kepada media selepas melancarkan Kit Ramah dan menyampaikan kerusi roda kepada pesakit hospital, di sini hari ini.

Ditanya sama ada bakal jemaah haji akan diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 sekiranya ibadat itu dibenarkan, Zulkifli berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah sebelum ini dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai depan ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Namun beliau tidak menyatakan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan ibadat itu.

“… sebagai sebuah kerajaan, kita nak terima satu keputusan rasmi.. apa syarat dan akan kita patuhi,” kata Zulkifli.

Pada tahun lepas, kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang sahaja bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

Pada majlis hari ini, Zulkifli menyerahkan 600 unit Kit Ramah yang mengandungi debu tayamum dan botol semburan wuduk, serta 15 unit kerusi roda bernilai RM13,200 untuk pesakit di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Guna telefon bimbit permudah bayaran zakat

SHAH ALAM, 22 FEB: Orang ramai kini boleh membuat bayaran zakat pendapatan, pelaburan dan perniagaan hanya menerusi telefon bimbit, kata Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi itu berkata menerusi laman portal ezakatpay itu mereka perlu mengikuti empat langkah iaitu mengisi maklumat pembayar seperti nama penuh dan kad pengenalan.

“Langkah lain ialah memilih kaedah bayaran, pilih bank dan terakhir mendapatkan resit bayaran.

“Segalanya makin pantas di dunia ini, termasuk juga cara anda untuk membantu saudara yang memerlukan dalam komuniti kita,” kata LZS menerusi Facebook.

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS sasar kutipan RM875 juta penuhi keperluan asnaf

SHAH ALAM, 18 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM875 juta tahun ini bagi memenuhi golongan memerlukan, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Katanya sasaran berkenaan bakal disemak semula bergantung kepada keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ini kerana banyak syarikat yang terjejas dan kemungkinan ada individu yang dahulu boleh melakukan potongan zakat tetapi mungkin tahun ini tidak dapat berbuat demikian atas faktor ekonomi,” kata Saipolyazan Md Yusop kepada SelangorKini.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau turut memaklumkan jumlah keluarga fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS sehingga Januari lalu ialah 58,654 berbanding 58,327 pada Disember 2020.

“Jumlah ini dilihat bertambah sebelumnya, dan mungkin disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan telah menjejaskan punca pendapatan hampir kesemua kumpulan masyarakat.

“Ada yang dibuang kerja, gaji dipotong separuh, cuti tanpa gaji. Ramai di antara mereka yang sebelum ini tidak disenarai sebagai asnaf tetapi disebabkan keadaan ekonomi sekarang, mereka tergolong sebagai asnaf baharu,” katanya.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Mufti: Jangan ragui status vaksin Covid-19

GEORGE TOWN, 15 FEB: Orang ramai, khususnya umat Islam dinasihatkan agar mengetepikan perasaan ragu terhadap vaksin Covid-19 dan berpegang pada pandangan Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan hukumnya harus dan halal digunakan oleh orang Islam.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut menasihati umat Islam agar tidak terpengaruh dengan dakyah golongan antivaksin, khususnya berhubung pengambilan vaksin Covid-19 bagi membendung penularan pandemik berkenaan.

“Agama Islam mewajibkan umatnya mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelak daripada terkena jangkitan penyakit, malah memelihara nyawa termasuk antara matlamat syariah dan menolak pengambilan vaksin bererti mendedahkan diri kepada bahaya sedangkan sikap sebegini dilarang oleh syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya umat Islam juga tidak mempunyai sebab untuk terus meragui vaksin tersebut memandangkan ahli muzakarah yang memutuskan status dan hukum vaksin itu merupakan pakar dalam bidang profesional dan akademik yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Pada 4 Februari lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama dari Februari hingga April untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan sementara fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan manakala fasa ketiga adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Mufti WP setuju hukum ambil vaksin Covid-19 harus

PUTRAJAYA, 14 FEB: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bersetuju mengguna pakai resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada 3 Disember lepas yang mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata PMWP menyokong sepenuhnya pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijangka bermula penghujung Februari ini.

“Dari aspek kepenggunaan pula, katanya hukum harus itu turut diputuskan selepas mengambil kira pendirian tegas kerajaan bahawa hanya vaksin yang telah dikenal pasti statusnya sebagai halal dan tayyiban sahaja yang akan digunakan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini,” katanya.

Luqman berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada Khamis lepas yang diadakan renteran timbulnya pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin itu.

Sehubungan itu, katanya PMWP menyeru seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan agar menghormati fatwa yang telah diputuskan berhubung pengambilan vaksin Covid-19 di Malaysia.

Luqman berkata fatwa itu diputuskan setelah melalui pelbagai proses perbincangan bersama pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang masing-masing.

“Tambahan pula, ia juga satu daripada usaha kerajaan dalam memastikan Malaysia berjaya mengharungi krisis Covid-19 ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Justeru, beliau mengajak umat Islam agar menjadikan fatwa itu sebagai rujukan utama khususnya bagi mendukung usaha pemimpin negara untuk memerangi pandemik ini dengan lebih berkesan.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Mais tangguh operasi bersemuka, Baitulmal secara janji temu

SHAH ALAM, 5 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menangguhkan operasi melibatkan pertemuan dengan orang ramai sehingga 18 Februari susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Agensi itu bagaimanapun memaklumkan perkhidmatan Baitulmal dibuka secara bersemuka melalui penetapan janji temu terlebih dahulu.

Menurutnya, operasi di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Pemulihan Baitul Islah pula berjalan seperti biasa.

“Bagi perkhidmatan yang disediakan oleh Baitulmal, orang ramai boleh mendapatkan tempahan janji temu menerusi https://www.picktime.com/baitulmalmais .

“Antara perkhidmatan disediakan menerusi aplikasi itu ialah wasiat, hibah, harta pusaka, pengamanahan, fidyah, kaffarah, sedekah, wang tidak patuh syariah, wang orang berhutang, wang tidak dituntut, harta luqatah dan pendaftaran muallaf,” katanya dalam kenyataan.

Mais menambah, orang ramai boleh terus berurusan menerusi pelbagai perkhidmatan dalam talian di laman sesawang www.mais.gov.my .

Katanya perkhidmatan meliputi permohonan wasiat (e-wasiat), e-Aduan, katalog hartanah, sumbangan sedekah, bayaran premis atau tanah baitulmal, sewaan hartanah, bayaran utiliti premis dan bayaran tebus pusaka.

“Selain itu, sumbangan saham wakaf Selangor, sumbangan anak yatim, penyerahan wang tidak patuh syariah dan penyerahan wang orang berhutang,” katanya.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Tabung Haji perkenal perkhidmatan pindahan dana guna JomPAY

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian menerusi JomPAY sebagai sebahagian usaha ke arah pendigitalan dengan menyediakan lebih banyak titik sentuh untuk memudahkan pendeposit.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan atau semasa bank kepada akaun simpanan TH melalui platform perbankan Internet sedia ada.

“Tambahan pula, pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut TH jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan Internet dan pelbagai saluran dalam talian meningkat kepada hampir 80 peratus berbanding transaksi dilakukan di kaunter.

Ia menjelaskan sebanyak 28 bank di Malaysia menyediakan kemudahan ini menerusi platform perbankan Internet masing-masing.

‘Biller Code’ JomPAY bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Ref-1.

– BERNAMA

Grafik: Facebook Tabung Haji

 

Categories
AGAMA AGENSI SELANGOR

PKP: 442 pengantin dinikahkan Jais guna sidang video

SHAH ALAM, 28 JAN: Seramai 442 pasangan pengantin dinikahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi sidang video sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 14 Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pelaksanaan akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) itu hanya dilakukan setelah pasangan mendapat kebenaran berkahwin serta temujanji Paid.

“Menerusi kaedah ini, pendaftar perkahwinan yang berada di Paid menyaksikan lafaz ijab dan qabul oleh wali dan pengantin lelaki yang berada di rumah bersama pengantin perempuan dan dua orang saksi.

“Pernikahan secara sidang video ini dilakukan mengambil kira faktor terutama mendahulukan perkara wajib dan rukun nikah, ia juga bagi memastikan keselamatan pihak terlibat dari jangkitan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Mohd Shahzihan berkata bermula 25 Januari, pihaknya memperluaskan pelaksanaan akad nikah kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) yang bertugas di semua masjid pengurusan.

“Kesemua PPP dibenarkan untuk melaksanakan pernikahan secara sidang video untuk melancarkan urusan pernikahan pasangan yang bakal berkahwin mulai 4 Februari depan.

“Selaras dengan itu, pada 25 Januari juga, perkhidmatan kaunter secara temujanji juga mula dibuka bagi urusan tertentu di Paid,” katanya.

Mengulas lanjut, untuk permulaan hanya 25 urusan temujanji ditetapkan setiap hari bagi perkhidmatan kaunter yang dibuka dari jam 8 pagi sehingga 1 petang.

“Slot temujanji yang dibuka ini juga diperbanyakkan dari semasa ke semasa mengikut arahan daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan (KKM) dan permintaan pelanggan,” katanya.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Solat Jumaat, fardu di negeri PKP terhad ahli jawatankuasa masjid

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Solat Jumaat dan solat fardu di beberapa negeri yang kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Januari, dilaksanakan hanya terhad kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau.

Bagi negeri-negeri yang dikuatkuasakan PKP Bersyarat (PKPB) pula, kelulusan adalah mengikut had jemaah serta keluasan ruang solat dengan mengambil kira penjarakan fizikal, sekurang-kurangnya satu meter.

Di Selangor, solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau ditangguhkan sepanjang pelaksanaan PKP, namun hanya lima petugas masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah pada setiap waktu.

Bagi majlis akad nikah, ia akan dijalankan secara sidang video membabitkan pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dan tarikh janji temu akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah atau di masjid pengurusan.

Situasi sama di Sabah yang turut menangguhkan aktiviti solat Jumaat di masjid dan surau sepanjang tempoh PKP, bagaimanapun ahli kariah wajib melaksanakan solat fardu Zohor bagi menggantikan solat Jumaat di rumah masing-masing.

Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan, namun dengan kapasiti terhad iaitu lima orang sahaja dan terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan surau terbabit.

Di Johor, pelaksanaan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat dibenarkan di semua surau dan masjid dengan jumlah jemaah dihadkan kepada 12 orang sahaja sepanjang PKP.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook baginda bertitah bagaimanapun, 12 jemaah tersebut adalah terdiri daripada pegawai masjid dan surau serta ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.

Mengenai majlis akad nikah, baginda bertitah ia hanya dibenarkan di Pejabat Kadi Daerah dan terhad kepada pasangan pengantin dan wali dari daerah yang sama sahaja, serta telah memperoleh kebenaran berkahwin sebelum dari tarikh PKP.

Di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata beberapa aktiviti di masjid dan surau ditangguhkan dalam tempoh PKP antaranya, solat fardu dan Jumaat bagi orang awam serta akad nikah.

Namun, terdapat beberapa perkara dibenarkan bagi meneruskan fungsi masjid dan surau iaitu azan dan solat fardu yang terhad kepada lima individu membabitkan imam, bilal, siak serta dua ahli jawatankuasa masjid, serta solat Jumaat yang hanya membabitkan 15 individu iaitu imam, bilal, siak dan ahli jawatankuasa masjid.

Di Kelantan, hanya 50 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu di semua masjid bandar dan jajahan serta mukim negeri ini berkuat kuasa sepanjang tempoh PKP Bersyarat (PKPB).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan had bilangan jemaah berkenaan perlu mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter pada setiap waktu.

Semua kuliah agama sama ada kuliah Subuh, Maghrib dan Dhuha termasuk kelas al-Quran di masjid, surau dan musalla di seluruh negeri juga ditangguhkan sepanjang tempoh PKPB.

Di Kedah, semua masjid dan surau dibenarkan dibuka sejam sebelum solat fardu, manakala bagi solat Jumaat sejam setengah lebih awal sepanjang pelaksanaan PKPB di negeri itu.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata bagi solat fardu dan Jumaat di zon hijau dan kuning, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah berdasarkan keluasan ruang solat, dengan menjaga penjarakan fizikal minimum satu meter.

Bagi zon jingga pula, bilangan jemaah yang dibenarkan adalah mengikut keluasan ruang solat utama masjid dan surau, juga dengan menjaga penjarakan fizikal minimum satu meter.

Sementara itu, Negeri Sembilan membenarkan semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat fardu dan solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini sehingga 26 Januari nanti.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata SOP kali ini sama seperti PKPB dahulu iaitu antaranya jemaah perlu membawa sejadah mereka sendiri, memakai pelitup muka dan perlu mengambil wuduk di rumah selain had keluasan mereka melakukan ibadah itu adalah dalam ruang utama masjid sahaja.

Di Melaka, hanya 45 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau dan masjid sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa bermula hari ini hingga 26 Januari depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat berkata jumlah itu membabitkan kalangan kariah, pegawai, ahli jawatankuasa serta petugas masjid atau surau terlibat.

“Ruang solat utama masjid atau surau hendaklah ditutup sepenuhnya selepas pelaksanaan solat Jumaat.

“Bagi solat fardu lima waktu berjemaah pula, hanya lima orang yang terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Hanya warganegara dan penduduk tetap dan berusia 12 tahun ke atas dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau atau masjid di negeri itu.

Selain itu, pengurusan dan solat jenazah boleh dibuat di masjid dengan kehadiran tidak melebihi 40 orang melibatkan pegawai masjid, petugas dan waris.

Pengurusan masjid juga hendaklah menyediakan ruang khas, tempat wuduk dan tandas bagi musafir yang singgah menunaikan solat.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

39 masjid pengurusan negeri dibenar langsung majlis nikah – Jais

SHAH ALAM, 2 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan majlis akad nikah dijalankan di 39 masjid pengurusan negeri mulai Isnin (4 Januari) ini.

Agensi berkata kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya tidak lebih lima pasangan dinikahkan dalam sehari dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, setiap majlis juga tidak boleh melebihi 20 tetamu termasuk jurugambar namun ia tidak melibatkan jumlah penolong pendaftar perkahwinan serta saksi.

“Tetamu dari zon merah tidak dibenarkan hadir. Semua perlu merekodkan kehadiran, suhu, memakai pelitup muka, penjarakan fizikal serta mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Majlis juga hanya dibenarkan di ruang atau bahagian bersesuaian yang diputuskan pegawai tadbir agama daerah atau imam besar,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Bagaimanapun agensi berkata pindaan lokasi akad nikah dari kawasan zon merah luar Selangor tidak dibenar dilangsungkan dalam masjid terbabit.

“Pasangan ini hanya boleh nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dengan kehadiran maksimum tiga individu sahaja,” katanya.

 

Categories
AGAMA BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Imbauan 2020: Ibadah tanpa jemaah

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai versi mulai 18 Mac tidak menghalang rutin ibadah sekalipun suasana jauh berbeza.

Apatah lagi, pembukaan dan penutupan masjid dan surau juga bergantung kepada penularan Covid-19, malah solat berjemaah juga dijalankan dengan jarak 1.5 meter antara jemaah.

Namun, kegiatan keagamaan tidak terhenti walau tidak dilakukan beramai-ramai sebaliknya diamal sendirian atau bersama keluarga di rumah. Ia dijalankan berterusan melalui program yang dijalankan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Imam-imam Masjid Negeri berdoa setelah selesai berselawat dan zikir ketika Program Rakyat Selangor Berdoa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Antaranya, mereka menganjurkan zikir munajat “Rakyat Selangor Berdoa” menerusi media sosial bermula 30 Mac sebelum diteruskan sepanjang tempoh perintah kawalan.

Imam, musollah dan masjid mengalunkan bacaan zikir dan berdoa melalui pembesar suara. Orang ramai turut menyertai bacaan melalui siaran langsung di Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah.

Solat Berjemaah

Sejak Mac, ahli jawatankuasa masjid dan imam menjalankan solat berjemaah membabitkan tiga hingga maksimum 12 orang. Begitu juga solat tarawih dan sunat Aidilfitri. Azan juga tetap berkumandang setiap kali masuk waktu, dilaungkan bilal bertugas.

Apabila penularan wabak reda, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 15 Mei berkenan membenarkan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, masjid diraja dan masjid daerah.

Pada 12 Jun, bilangan jemaah solat Jumaat, Subuh, Maghrib dan Isyak ditambah kepada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa membabitkan 39 masjid terpilih.

Penguat kuasa melakukan sekatan di pintu masuk Masjid Negeri, Shah Alam pada 19 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berkuat kuasa 19 Jun, jumlah kehadiran jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ditambah kepada 250 orang.

Jumlah jemaah 38 masjid lain juga ditambah daripada 40 orang kepada 150 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid.

Bermula 14 Oktober, peningkatan kes positif menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuat kuasa sekali gus kelonggaran aktiviti ditangguh melalui perkenan Sultan Sharafuddin.

Perayaan

Suasana berpuasa juga berbeza kali ini. Sekalipun tanpa amalan pengedaran bubur lambuk atau majlis berbuka puasa bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), suasana Ramadan tetap dirasai.

Sambutan Aidilfitri pada 24 Mei juga lebih sederhana. Dengan kelonggaran rentas negeri sejak pelaksanaan PKP pada Mac, umat Islam berpeluang mengerjakan solat sunat hari raya bersama ahli keluarga di rumah.

Seorang ketua keluarga menggunakan mesin basuh seolah-olah ‘mimbar’ bagi memudahkannya meletakkan teks khutbah.

Gelagat ketua keluarga membaca khutbah raya meriuhkan media sosial sekali gus menghidupkan keceriaan pagi Syawal. Teks itu didapati dari laman sesawang jabatan agama negeri.

Agihan daging turut diagih kepada umat Islam sekalipun ibadah korban sempena Aidiladha pada 31 Julai hanya di masjid sahaja.

Selain itu, upacara nikah dan prosedur mahkamah syariah juga bergantung kepada perkembangan kes Covid-19 tetapi kelonggaran tetap ada. Selain kaedah nikah melalui sidang video manakala akad secara fizikal dengan pematuhan SOP dijalankan apabila jumlah kes turun.

Agihan zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) pula banyak membantu golongan terkesan akibat penularan wabak sejak fasa awal PKP.

Bantuan khas zakat Covid-19 berjumlah RM500 seorang diberi kepada 9,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf selain sumbangan kepada 20,000 penjaja dan peniaga kecil serta keluarga B40.

Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menemu bual pekerja Malindo Airways Sdn Bhd yang terjejas akibat Covid-19 di pejabat syarikat itu di Ara Damansara pada 22 Disember 2020. Foto Facebook LZS

LZS turut mengagih bantuan khas RM1 juta kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas barisan hadapan dan pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Sebanyak RM43.31 juta juga diperuntuk bagi membantu asnaf sepanjang PKPB antara 8 Oktober hingga 18 November. Bantuan itu berbentuk kewangan dan makanan, perubatan, dialisis, sewa rumah dan keperluan hidup.

LZS turut menyantuni pekerja Malindo Airways Sdn Bhd dan Syarikat I&P Group Sdn Bhd yang terjejas pendapatan akibat hilang pekerjaan.

Selain itu, kebakaran asrama perempuan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat, Jalan Istana Lama, Kampung Bandar Banting pada 4 Ogos mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar

Categories
AGAMA AGENSI SELANGOR

Rumah pemulihan Al-Riqab terima RM22,000 bantuan makanan Mais

SHAH ALAM, 27 DIS: Empat rumah pemulihan Al-Riqab di Hulu Langat menerima bantuan makanan kering berjumlah RM22,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Agensi itu menerusi kenyataan berkata sumbangan itu membabitkan Rumah Teduhan Kasih, Rumah Sinar Kasih, Rumah Akhlak Insani dan Baitul Islah Bukit Beruntung.

“Sumbangan makanan kering ini bertujuan meringankan beban penghuni rumah pemulihan yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat.

“Sebanyak 220 pek makanan kering iaitu beras, minyak, gula, tepung dan susu diserahkan kepada wakil ketua rumah pemulihan,” katanya.

Bantuan disampaikan anggota Mais, Profesor Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian.

Hadir sama Penasihat Undang-undang Mais, Nurhani Salwa Jamaluddin dan Pengurus Pemulihan Riqab Mais, Hafizatul Akmal Abdul Jalil.

Pada masa sama, Mais turut menyerahkan sumbangan kepada Rumah Pemulihan Al-Riqab di Gombak dan Kuala Selangor pada 25 Disember lalu.

“Bantuan akan terus disalurkan secara berperingkat ke daerah Klang, Petaling, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

“Sumbangan fasa kedua ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM100,000 bagi 26 buah rumah Al-Riqab,” katanya.