Categories
BUDAYA RENCANA

Menjadi fetus semula

Oleh Haniff Yusoff

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

SESI makan malam yang sepatutnya menjadi medan waktu yang begitu membahagiakan telah beralih kepada fragmen yang menyedihkan [atau menakutkan] kerana saya akan ditelan semula oleh ibu. Saya tidak pasti sama ada ini adalah jalan yang terbaik buat masa ini ataupun sebaliknya. Saya pasti akan merindui hidangan tomyam yang dipesan dari sempadan juga nasi kandar yang begitu masyhur di negeri sebelah utara. Ayah saya seorang wakil rakyat, dalam pendefinisian sebenarnya-ayah merupakan entiti yang akan mendahului sekelompok masyarakat dalam segala perlakuan. Jangan tersilap, ayah saya hanya wakil rakyat, bukan seorang menteri. Oleh kerana kuasa yang dimilikinya, dapatlah dia memanjangkan kakinya melangkahi persempadanan daerah, mahupun negeri. Begitulah penjelasannya apabila saya bertanya tentang sekatan jalan raya.

Wabak semakin menular, menjelajah di setiap pojok dan paksi. Sesungguhnya semakin mengepung wilayah kami, wilayah tercinta ini. Sebegitulah dikhabarkan pembaca berita yang berada dalam kotak televisyen menerusi siaran berita pada waktu perdana. Petiakanlah, laporan mengenai wabak yang kian membuas menjadi berita utama dalam setiap siaran televisyen, di corong-corong radio, di pangkalan portal-portal berita dan juga dalam helaian surat-surat khabar pelbagai bahasa.

Kata ayah, kami perlu melakukan persediaan menangani wabak ini, wabak bahaya yang sudah membunuh jutaan manusia di dunia. Wabak ini akan membataskan kami dari keluar daripada kawasan perumahan kami waima wilayah ini sekalipun atau mungkin memenjarakan kami daripada menjalani kehidupan seperti biasa. Kata ibu pula, telah tiba pada suatu titik masa, zaman ini ialah zaman yang diperintah oleh wabak. Ah, saya menjadi teruja tiba-tiba. Pelbagai andaian yang melingkari pemikiran. Apakah wabak ini akan memungkinkan kita menyaksikan sebuah perbalahan seperti dalam kisah-kisah fiksyen dan kita juga akan melihat adiwira kita membuka langkah menentang penjarah dengan penuh magis? Saya beranggapan penuh imaginasi.

“Wilayah kita semakin tidak selamat. Dalam beberapa jam sahaja lagi mungkin virus itu akan mengetuk pintu rumah kita,” ayah berpendapat.

“Kehidupan akan menjadi sesuatu yang amat membosankan apabila kita terpaksa berkurung sahaja dalam rumah,” ibu pula seolah-olah mengeluh.

Apabila ibu menamatkan kata-katanya dan saya menangkap perkataan ‘bosan’ yang diujarkan, imaginasi saya yang sebelumnya tergantung di biru langit, jatuh berderai di lantai ruang tamu rumah kami. Saya fikir wabak ini akan mengubah rutin harian saya sebagai seorang pelapis pemimpin negara. Sudah tentunya wabak ini akan mematikan segala kreativiti saya untuk menyantuni alam, malah membantutkan proses kematangan mentafsir segala kejadian.

“Han, ayah dan ibu telah membuat keputusan demi kesejahteraan bersama bagi menempuh zaman dicengkam wabak,” ayah bersuara tegas. Saya tahu ayah sebagai wakil rakyat telah membuat keputusan secara rasional. Saya menaruh percaya sangat-sangat.

“Han akan ditelan oleh ibu, dan hiduplah dalam kandungan ibu semula seperti pernah Han lalui beberapa tahun dahulu.”

Malam itu, saya memejamkan mata, sebelum ibu menganga seluasnya, lalu menelan saya perlahan-lahan sehinggalah saya menjadi fetus semula dan berada dalam kandungan ibu. Saya dapat mendengar suara bahagia ibu. Ibu seolah-olah begitu gembira setelah saya menjadi fetus semula. Mungkin ibu begitu bimbang akan keselamatan saya memandangkan penularan wabak yang tidak terbendung lagi di wilayah kami.

Menjadi fetus semula merupakan pentafsiran saya kembali kepada sejarah. Sejarah yang menumbuhkan sesiapa sahaja di dalam dunia. Sejarah yang menjadi dasar permulaan segala-galanya. Sepertinya diri kita sendiri juga adalah sebahagian daripada sejarah hatta tak terpisahkan walaupun dengan satu garisan. Saya kembali menekuni naratif-naratif agung bangsa yang kaya dengan kearifan tempatan serta keluhuran budi bangsa. Saya fikir menjadi fetus semula adalah suatu nikmat kebahagiaan. Sungguh, saya tidak menafikan. Setiap detik begitu bermakna apabila saya hidup berteman mesra dengan watak-watak tradisi. Saya tidak seperti rakan sebaya yang lainnya, yang terpaksa bergelumang dengan kepayahan menghadapi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Saya mengheret pengamatan selama pandemik yang mengekang. Proses pembelajaran menjadi tidak menentu apabila menghadirkan diri ke sekolah bukan lagi pilihan yang selamat. Guru-guru terpaksa bertungkus-lumus untuk memastikan anak-anak murid tidak ketinggalan biarpun dihimpit tekanan yang datang dari pelbagai arah. Saya teringatkan Naim, sahabat saya yang berasal dari keluarga yang sederhana taraf ekonominya, tiada telefon bimbit pintar seperti saya, apatah lagi memiliki komputer riba. Tentunya sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah mendatangkan kegusaran padanya, apatah lagi Naim seorang anak yang baik, yang tidak mahu menyusahkan orang tuanya. Menyedari libang-libu hati dan pemikirannya melalui telepati, saya hadiahkannya sebuah komputer riba dengan harapan kecerdikannya terus lestari, tidak terbazirkan.

Perhitungan demi perhitungan yang saya catatkan, saya maklumi tarikh saya dilahirkan semakin hampir. Ibu juga dengan segala persiapan telah bersedia untuk menyambut kelahiran saya, dan seorang bidan peranakan istimewa telah dijemput oleh ayah untuk memeriksa kandungan ibu-memeriksa keadaan saya yang menjadi fetus semula.

“Datin, anak dalam kandungan ini janganlah dilahirkan.”

“Maksud Nenek Bidan?”

“Maksud saya, biarlah anak dalam kandungan ini menjadi fetus selamanya. Datin pernah dengar kisah kebijaksanaan seorang budak yang mengusul batang pohon pisang sebagai benteng tujahan todak?”

“Tidak pernah pula saya dengar.”

“Maklumlah, kisah ini dari lamanya masa, ketika Nenek Bidan masih kecil lagi. Ketika itu, kawasan perairan di selatan tanah air telah diserang todak yang berlaksa-laksa. Pada awalnya, pemerintah ketika itu mengutus pemuda berkubukan betis masing-masing, namun kesemuanya mati tanpa sempat mengecap nikmat dunia. Kasihan. Lalu, muncul seorang anak kecil mengusulkan betis digantikan batang pohon pisang, dan ternyata menghindari kematian dan permasalahan mayat bergelimpangan di persisir pantai. Namun, pembesar berpendapat kebijaksanaannya mampu menggugat kedudukan pemerintah ketika itu, lalu dijatuhi hukuman ekspansi menurut Intertekstualiti dengan dihantar ke masa hadapan.

“Lalu, apakah keterlibatan kisah yang terlalu renta itu dengan anak dalam kandungan saya?”

“Berdasarkan tilikan dan renungan panjang, anak dalam kandungan datin ini merupakan entiti kebijaksanaan yang akan menuntut keadilan terhadap generasinya akan kekhilafan serta pendustaan oleh susur galur keturunan sebelumnya.”

“Sungguhkah? Kalau sebegitu Nenek Bidan mengungkapkan, saya rela tidak melahirkan, biarlah Han menjadi fetus selamanya.”

***

Dan sebegitu lama dalam kandungan, saya dilahirkan melalui rahim kebenaran. Saya dilahirkan di sebuah negeri yang akan dilanggar todak tidak lama lagi!

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Jom kembara solo di Selangor, lima lokasi menarik untuk diterokai

Oleh Tourism Selangor

Pengembaraan solo bukanlah sesuatu perkara yang asing lagi. Melancong bersama keluarga
mahupun rakan-rakan sememangnya menyeronokkan. Tapi tahukah anda percutian seorang diri juga mempunyai daya tarikan tersendiri serta memberikan cabaran baharu?

Selangor kini memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara dan sektor pelancongan dibuka sepenuhnya, jadi anda harus menerokai seleksi tarikan pelancongan di negeri ini.

Memulakan percutian seorang diri pastinya dapat mengajar kita untuk menjadi seorang yang lebih teratur dan berdikari di masa hadapan. Jadi atur perjalanan anda dan pastikan anda kunjungi destinasi yang disenaraikan di bawah ketika melancong seorang diri ke Selangor.

1. Muzium Automobil Nasional

Muzium Automobil Nasional. Foto Tourism SelangorMuzium yang terletak di Welcome Centre, Litar Antarabangsa Sepang merangkumi ruang pameran seluas 7,949 kaki persegi bagi tingkat bawah dan 10,577 kaki persegi untuk tingkat satu.

Muzium ini dibuka pada 2004 dan menampilkan sejarah perkembangan industri automotif negara. Tingkat bawah mempamerkan segmen pengenalan Muzium Automobil Nasional serta sejarah perkembangan sistem pengangkutan di Malaysia dan produksi kereta terawal.

Manakala, di tingkat satu pula memaparkan industri permotoran di Malaysia secara umum. Sebagai pelancong solo, anda dapat melihat lebih 20 model tempatan dan antarabangsa termasuk kereta vintaj di sini. Sememangnya destinasi ini akan memberi keterujaan untuk pelancong solo.

2. Mee udang banjir di Kuala Selangor

Mee Udang Banjir Kuala Selangor. Foto Tourism Selangor

Makanan yang wajib anda cuba ketika anda berada di daerah ini tentunya menu mee udang banjir yang pasti membuatkan anda terliur. Ketika melancong
seorang diri, anda mesti ingin mencari pilihan makanan yang sedap serta murah.

Mee yang disajikan dengan udang bersaiz besar dan kuah banjir ini akan memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan. Jadi, di sini lah tempat paling sesuai untuk anda mulakan sesi “food hunting” dan nikmati makanan lazat tanpa perlu berkongsi dengan
sesiapa.

3. Memancing di Pulau Ketam

Pulau Ketam. Foto Tourism Selangor

Pulau Ketam bukanlah tempat yang asing kepada penggemar aktiviti memancing, terutamanya di Selangor. Pulau Ketam terletak berdekatan dengan Pelabuhan Klang yang merupakan lokasi yang popular untuk aktiviti perikanan. Peluang rekreasi sambil memancing ini akan memberi ketenangan dan masa bersendirian dalam suasana yang menyeronokkan kepada anda.

4. Aktiviti bersama hos komuniti Selangor

Habiskan masa terluang anda dengan melakukan aktiviti bersama para hos Komuniti yang bertempat di sembilan daerah di Selangor. Hos ini merupakan sekumpulan komuniti dengan pelbagai latar belakang, namun pastinya sangat “dekat” dengan cara hidup masyarakat setempat di sesebuah daerah.

Sawah padi di Sabak Bernam. Foto Tourism Selangor

Anda boleh rasai pengalaman melakukan aktiviti bersama para hos komuniti seperti belajar tentang cara memancing dan pemprosesan kelapa secara tradisional dari hos komuniti Sabak Bernam atau belajar tentang cara pemprosesan tempeh dan resipi tempeh yang lazat dari hos komuniti Kuala Langat.

5. ‘Cuci mata’ dan beli belah di 1 Utama Shopping Centre

Aktiviti yang santai dan paling diminati ramai adalah membeli belah, sambil ‘cuci mata’ di 1 Utama Shopping Centre merupakan pusat beli-belah terbesar di Malaysia yang tidak lekang dari kunjungan pelanggan. Ianya merupakan lokasi yang ideal untuk anda kunjungi kerana menawarkan deretan kedai yang menjual pelbagai barangan yang mampu memenuhi keperluan dan keinginan anda. Tak lupa juga di sini anda boleh cuba aktiviti sukan “FlowRider” atau “AirRider” Indoor Skydiving untuk pengalaman yang luar biasa.

One Utama Shopping Centre. Foto Tourism Selangor

Siapa kata dengan melancong seorang diri, anda tidak dapat melakukan pelbagai aktiviti
menarik? Jangan salah sangka.

Senarai di atas memberikan gambaran kepada anda sekiranya anda ingin melancong seorang diri ke Selangor, terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh dilakukan, dan semuanya pasti menyeronokkan.

Hanya individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan di Selangor. Sekiranya anda mempunyai perancangan untuk melancong seorang diri, pastikan anda Pusing Selangor Dulu! dan singgah ke destinasi yang disenaraikan di atas.

Bagaimanapun, adalah diingatkan kepada semua pelancong untuk sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.

Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi http://www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Selangor atau ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk sebarang kemas kini. #PusingSelangorDulu.

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di http://Selangor.Travel.

Categories
BUDAYA RENCANA

Battle Royale

one two som
kau atau dia harus mati.

pemenang mendaki menara. setingkat
demi setingkat. seseorang bersedia
dengan pistol, pisau atau penumbuk,
bakal memangkah namamu
demi menyambung nadi sendiri.

kerana nyawa adalah habuk roti
atas meja, manusia saling menumpahkan
merah. dam haji, ting ting, congkak –
sebutlah apa saja permainan, kau
sekadar hiburan antik
para penguasa.

kautiba di puncak menara.
lawanmu sang pengatur permainan.
lontarkan dadu, majukan buahmu.
ke petak nasib mana akan kauhenti,
atau tali-temali masih menarikan
anggota tubuh, menyusun segala
kemungkinan tingkahmu?

A’riff Mustaffa Hamzah

Categories
BUDAYA RENCANA

Kerana bebola daging

Oleh Wan Nor Azriq

AMEERA Hanbali Jones menikam bebola daging dengan garpu dan bersedia untuk menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia belum membalas komen peminat di Instagram. Tetapi dia belum membeli pencuci muka di Watson. Tetapi dia belum menonton video terbaru Zico di YouTube. Tetapi dia belum membeli pengecas bateri di Mac City. Tetapi dia belum like gambar kucing Adira Salahudi. Tetapi dia belum komen swafoto Cupcake Aisyah. Tetapi dia belum retweet kata-kata dorongan dan motivasi Yang Amat Mulia Tuanku Permaisuri.

Tetapi Ameera terlupa nak tanya Puteri Awani semalam di mana parti hari jadinya. Tetapi dia terlupa untuk rakam video TikTok di atas tangga eskelator. Tetapi dia terlupa untuk tangkap swafoto di depan cermin tandas. Tetapi dia terlupa minum pagi tadi susu kurma di atas meja dapur dan dia terlupa jenama susu kurma itu kerana secara peribadi dia tidak minum susu kurma atau susu pisang atau susu soya atau susu badam atau susu strawberi melainkan dia dibayar untuk minumnya.

Tetapi dia patut baca doa sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia patut tengok orang di kiri dan kanan sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia patut buat Instagram Live sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia patut pakai gincu Marc Jacobs sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya.

Tetapi kenapa Ameera selalu rasa gelisah? Tetapi kenapa kulit tangannya semakin gelap? Tetapi kenapa hidungnya sentiasa basah? Tetapi kenapa Kim Jonghyun bunuh diri? Tetapi kenapa Haziq main dengan lelaki lebih tua? Tetapi kenapa Sofia Jane pakai bikini dalam filem Harry Boy? Tetapi kenapa Ameera cepat marah? Tetapi kenapa dia rasa semua orang dengki dengannya di Twitter? Tetapi kenapa semua orang benci sangat PU Abu?

Tetapi Ameera tidak peduli kena kecam. Tetapi Ameera tidak peduli kena pulau. Tetapi Ameera tidak peduli kena block. Tetapi Ameera tidak peduli kena unfriend. Tetapi Ameera tidak peduli kena fitnah. Tetapi Ameera tidak peduli kena saman. Tetapi Ameera tidak peduli orang samakan pipinya dengan badak air dan punggung babi.

Tetapi rekod peperiksaan Ameera sentiasa cemerlang. Tetapi Ameera selalu pakai anak tudung dan sarung kaki panjang ke sekolah. Tetapi Ameera selalu galas beg sekolah di bawah tudung dan bukan atas tudung. Tetapi Ameera tidak pernah meninggalkan solat. Tetapi Ameera sentiasa membaca ayat kursi sebelum tidur. Tetapi Ameera masuk MRSM Pasir Salak. Tetapi Ameera couple dengan pelajar terbaik MCKK. Tetapi Ameera menangis di tapak tangan Fynn Jamal selepas konsert Maskara. Tetapi Ameera ulang baca lebih daripada sepuluh kali buku puisi Sofa Biru dan Bandaraya Bougainvilla.

Tetapi Ameera ingin melihat dunia. Tetapi dia ingin menaiki gondola di Venice. Tetapi dia ingin menaiki belon panas di Cappadocia. Tetapi dia ingin minum susu coklat bersama Ruhainies di Switzerland. Tetapi dia ingin melihat konsert Sehun dan SuperM. Tetapi dia ingin minum kopi arang di Jogja. Tetapi dia ingin berbulan madu bersama bakal suaminya di atas bumbung rumah di Santorini.

Tetapi baru semalam Ameera menonton video seorang rider Panda mati kena langgar lori simen di depan Times Square. Tetapi baru semalam dia menonton video seekor kucing mati dicampak ke dalam mesin basuh kedai dobi. Tetapi baru semalam dia menonton video seekor anjing mati ditembak di dalam sangkar. Tetapi baru semalam dia menonton video seorang perempuan Cina kena cabul oleh penunggang motosikal di Kota Bharu. Tetapi baru semalam dia menonton video tular seorang perempuan Melayu yang ditahan polis kerana tidak memakai coli. Tetapi baru semalam dia terlupa tutup gas dapur sebelum keluar rumah. Tetapi baru semalam dia pijak seekor lipas sampai mampus. Tetapi baru semalam dia teringat arwah bapanya yang mati tercekik biji buah cempedak.

Tetapi baru hari ini Ameera warnakan rambutnya hijau. Tetapi baru hari ini Ameera dan Lydia menyahut cabaran “Say So” di TikTok. Tetapi baru hari ini dia mute seorang rakan sekolah rendah di Twitter. Tetapi baru hari ini dia tahu San Francisco Coffee ialah syarikat tempatan. Tetapi baru hari ini dia tahu Singapura dulu sebahagian daripada Malaysia. Tetapi baru hari ini dia tahu mantan kekasihnya dari MCKK ialah homoseksual.

Tetapi bila kali terakhir dia memandang matahari? Tetapi bila kali terakhir dia tidur tanpa iPhone di bawah bantal? Tetapi bila kali terakhir dia keluar tengah malam untuk makan nasi lemak di Petaling Jaya? Tetapi bila kali terakhir dia minum teh tarik? Tetapi bila kali terakhir dia memeluk seseorang dengan jujur? Tetapi bila kali terakhir dia tidak bercakap dengan dirinya di dalam cermin? Tetapi bila kali terakhir dia membaca novel Fixi sehingga selesai?

Tetapi Ameera suka menerima hadiah. Tetapi Ameera suka meninggalkan komen di Instagram Sharifah Amani walaupun Sharifah Amani tidak pernah membalas komennya. Tetapi Ameera suka meratah sup tulang. Tetapi Ameera suka lelaki yang pakai subang dan kasut sukan. Tetapi Ameera suka filem yang boleh membuatnya menangis. Tetapi Ameera suka Putera Harry berkahwin dengan Meghan Markle.

Tetapi Ameera tidak suka Ernie berkahwin dengan Syamel. Tetapi Ameera tidak suka kawan-kawan lelakinya yang suka muzik Iqbal M. atau SXPH atau Couple atau Ramayan atau Satwo atau Bittersweet atau Countrywolves. Tetapi Ameera tidak suka hujan turun pada hari yang cerah. Tetapi Ameera tidak suka naik teksi dengan pemandu India. Tetapi Ameera tidak suka grafiti Fahmi Reza. Tetapi Ameera tidak suka lelaki yang muka mirip Jokowi atau Ustaz Idrus. Tetapi Ameera tidak suka lelaki yang lipat duit kertas di dalam dompet. Tetapi Ameera paling tidak suka lelaki bernama Rohaizat atau Fazilah atau Ghazali atau Zubir atau Zamri atau Mazlan atau Sazali.

Tetapi adakah bebola daging ini sebenarnya daging kuda? Tetapi adakah bebola daging ini sebenarnya halal? Tetapi adakah bebola daging ini akan membuat dunia lebih aman? Tetapi adakah bebola daging ini akan menyelamatkan alam sekitar? Tetapi adakah bebola daging ini akan membuat Ameera lebih kaya dan popular? Tetapi adakah bebola daging ini sedap daripada segala jenis bebola daging?

Tetapi kalau Ameera menyumbat bebola daging ini ke dalam mulutnya, adakah Ameera kekal menjadi Ameera, atau Ameera bertukar menjadi seketul bebola daging?

Categories
BUDAYA RENCANA

Kulit moka tanah sekebun

keceroian titih kulit moka yang belum
dapat pengesahan; rampai sari
kerabu asalmula & anekaraya

usulpangkal: akulah sakar sukar—
sejarah syukur & sabar, masih lagi
belajar nama-nama seakaran angin

brehi yang memaniskan bahasa
pulang. antara pekan dipalu harum
tengkujuh; bandar diketuhari wangi

bahang utara berbau macam putih kopi—
di sinilah tempat lidah pelajari maksud
sebenar baca. dengan nama kepulangan.

dengan nama tuhanmu. dengan nama
serendah tanah sekebun.dengan nama
sebatang pokok:
aku kembali.
aku kembali.
aku kembali. kembali & kembali.

 

Jack Malik

Categories
BUDAYA RENCANA

Sebelum gelap asa

resah menyewa di kepala
lubuk dada rahsia-rahsia berbalah
dua telaga tumbuh menenggelam mata
setiap waktu, bayangan asing mendekap
lalu mengucap selamat pergi
senyum terlucut tak lagi terpungut
kaufikir tali, tajam, racun dan terjun
titik akhir untuk gugur

sebelum itu kenangkan tangan
pernah menakung rimbun cahaya
walau terperap di sebalik mata
dan baru detik ini matahari tiarap
kaumahu jauh dari dengus manusia
terkurung di lembangan Maliau Basin

bayangkan wajah-wajah terdamping
setiapnya menyimpan puspa – menawar cinta
benar nafas sesekali tersusun
semisal formasi columnar basalt
kadang berlekak-lekuk jalanan
kawan, ini cara Tuhan membagi bintang

selebat doa, nabi jua tercalar
lagikan kau aku; hati sebentar kertas
langit pun berpanau kelabu
tiba waktu berketul peluh

kembali merenung, ingatkah lafaz
yang dialun ayahanda dulu
seusaimu membelah ketuban ibu?

 

Siti Alimah

Categories
BUDAYA RENCANA

Selami keindahan alam semula jadi Pulau Tuba

Oleh Muhammad Basir Roslan

LANGKAWI, 21 OKT: Siapa sangka tidak jauh dari Pulau Langkawi iaitu sekitar 5 kilometer dari Jeti Pelancongan Pekan Rabu, terdapat sebuah pulau yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan dan dianugerahi dengan pelbagai keindahan alam semula jadi.

Pulau Tuba, nama yang mungkin janggal kedengarannya buat pelancong adalah sebuah perkampungan nelayan pesisir pantai seluas kira-kira 17 kilometer persegi dengan sekitar 5,000 orang penduduk.

Penulis baru-baru ini berkesempatan berkunjung ke pulau ini bersama 10 pengamal media dari pelbagai organisasi yang lain, pada hari pertama program Ekspresi Media anjuran Tourism Malaysia, untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat tempatan serta aktiviti harian mereka.

Untuk sampai ke pulau ini, pelancong perlu menaiki bot atau feri yang tersedia dengan harga sekitar RM10 seorang, untuk perjalanan pergi dan balik. Setibanya di pulau ini, pengunjung boleh menaiki van atau motorsikal sewa untuk bersiar-siar menikmati keindahan panorama perkampungan di pulau ini.

Tawar percutian bermakna

Pemandu pelancong kami, Zamri Anuar, mengakui memang benar pelancong lebih mengenali Pulau Langkawi berbanding Pulau Tuba dan keadaan itu membuatkan ia agak kurang popular.

“Sebenarnya Pulau Tuba mampu menawarkan pengalaman percutian tidak kurang hebatnya. Ada pelbagai jenis motel dan vila untuk pelancong menginap dengan harga penginapan bermula serendah RM60 satu malam.

“Malahan paling menarik ada juga ditawarkan pakej percutian bersama keluarga angkat nelayan di rumah inap desa di sini ” tambah anak kelahiran Pulau Langkawi ini.

Menerusi pakej percutian bersama keluarga angkat, pelancong berpeluang mempelajari cara menangkap hasil laut seperti bronok (sejenis hidupan laut seakan gamat), udang, ketam dan ikan seperti kebasi dan jenahak serta bersawah padi.

“Mereka juga boleh melakukan aktiviti harian penduduk seperti menganyam beg dan tikar mengkuang. Harga pakej ini pula sekitar RM150-300 sehari bergantung kepada jumlah pelancong yang terlibat,” katanya.

Selain pakej aktiviti bersama keluarga angkat, pengunjung yang inginkan aktiviti lasak seperti pendakian boleh melakukannya di Gua Wang Buloh dan Gua Kelawar yang turut dilengkapi trek pendakian yang menarik dan mencabar.

Untuk mereka yang ingin melakukan aktiviti pendakian di Bukit Batu Licin, bagaimanapun, dinasihatkan untuk pergi bersama jurupandu hutan berlesen kerana trek masih belum tersedia di sana.

Pulau menakjubkan

Pulau Tuba dikelilingi bukit-bukau jenis batu kapur yang terbentuk lebih 350 juta tahun dahulu dan pengunjung boleh singgah ke Bukit Kecik untuk melihat sendiri bagaimana formasi batu kapur terbentuk.

Menurut Zamri, formasi batuan yang terbentuk di Bukit Kecik adalah sejenis batuan enapan yang terdiri daripada mineral kalsit dan arogenit.

“Terdapat tiga jenis batu kapur berlainan warna di sini, antara yang mudah didapati ialah berwarna putih yang biasa terdapat di bukit batu kapur lain. Selain itu, terdapat warna seakan lumut kerana tidak terdedah kepada cahaya matahari, dan yang terakhir berwarna oren atau kekuningan. Uniknya batu kapur di sini terdapat ketiga-tiga warna ini pada satu batuan yang tidak terdapat di bukit batu kapur yang lain.

“Terdapat juga batu berjalur di Bukit Kecik yang terbentuk akibat fenomena tekanan dan pergerakan muka bumi sejak ribuan tahun dahulu. Batuan ini berwarna hitam dan hijau seakan warna lumut. Terdapat juga beberapa batu kapur yang mempunyai bintik-bintik putih disebabkan kulit siput. Dipercayai kawasan ini pernah ditenggelami air laut yang sangat tinggi ribuan tahun dahulu sehingga menyebabkan terbentuknya formasi batuan ini,” jelasnya.

Foto Facebook Pulau Tuba

Selain itu, Zamri turut berkata, beberapa pantai peranginan yang popular di sini antaranya pantai Tanjung Pandan yang terkenal dengan kejernihan airnya dan terdapat pelbagai kedai makan mi udang, serta pantai Bagan Asam yang dikelilingi hutan paya bakau dan formasi batuan batu kapur yang memukau mata.

Tidak cukup dengan itu, Pulau Tuba yang mendapat nama jolokannya dari Pokok Tuba yang tumbuh melata di sini juga turut dihiasi pelbagai tumbuhan eksotik yang tidak mungkin terdapat di tempat lain seperti tumbuhan Pandan Laut, Orkid Harimau serta pokok Bogok yang hanya tumbuh di batu kapur, manakala di dada langit pula gagah berterbangan burung helang jenis Lang Merah dan Lang Siput.

Zamri menjelaskan, mungkin ada pengunjung yang beranggapan bahawa Pulau Tuba tidak terdapat kemudahan yang lengkap dek kerana rata-rata penduduknya menjalani kehidupan ala desa.

Namun sebenarnya, penduduk di pulau ini turut sama menikmati kemudahan asas seperti sekolah dan klinik, malahan turut dilengkapi kemudahan capaian internet yang pastinya bermanfaat buat pengunjung.

Mula bernafas kembali

Sementara itu, salah seorang penyedia servis van sewa di Pulau Tuba Mohd Senafi Ishak, 63, berkata, beliau kini mampu menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan baru-baru ini.

Menurut beliau, selepas pengumuman itu, semakin ramai pelancong mula datang ke pulau berkenaan.

Beliau menambah, rata-rata penduduk di pulau itu amat bergantung kepada pelancong kerana tanpa mereka, ekonomi ekopelancongan dan pelancongan desa terjejas teruk.

“Seperti saya, antara penyedia servis van sewa di sini, memang terasa pendapatan saya berkurangan terutama ketika pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Namun kini jumlah pelancong kini mula beransur-ansur pulih dan semakin ramai.

“Servis yang saya tawarkan buat pelancong juga berbaloi, iaitu perjalanan mengelilingi Pulau Tuba selama empat jam pada harga RM100 menaiki van besar yang boleh memuatkan sekitar 10 orang. Setakat sekarang, saya sudah mula mendapat satu atau dua trip sehari namun saya tetap berasa lega dan bersyukur,” katanya yang juga dikenali sebagai Pak Ali.

Beliau menambah, antara destinasi popular yang sering diminta untuk dikunjungi pelancong ialah jeti lama Pulau Tuba yang panjangnya sekitar 800 meter, dahulunya pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem tempatan seperti Ombak Rindu dan Langit Cinta.

Destinasi popular ialah jeti lama Pulau Tuba yang dahulunya pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem tempatan. Foto Facebook Pulau Tuba

Program ekspresi media

Program Ekspresi Media ini yang diadakan buat julung-julung kalinya dengan kerjasama bersama syarikat penerbangan AirAsia, berlangsung selama empat hari bermula 11 hingga 14 Oktober 2021.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris, program berkenaan berlangsung serentak dengan hari pertama kebenaran rentas negeri serta pembukaan semula sektor pelancongan domestik di seluruh negara.

Antara lain, ia bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong serta menguar-uarkan jaminan produk pelancongan yang bersih dan selamat di Langkawi dalam amalan norma baharu.

“Memasuki edisi kelima, program Ekspresi Media pada kali ini masih mengekalkan konsep lawatan suai kenal interaktif dengan mengetengahkan produk berasaskan pengalaman pelancongan.

“Diharapkan, impak perkongsian pengalaman oleh peserta media ini dapat merancakkan lagi aktiviti promosi pelancongan domestik melalui perencanaan kempen Cuti-Cuti Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Riko tercedera dengan pensel dan kertasnya sendiri

Oleh Nik Aidil Mehamad

Ilustrasi Matarojit

 

Riko tercedera dengan sekeping kertas berwarna kuning senja. Ia luka kecil seperti telapak kakinya yang tergores dengan pokok semalu. Merayap tumbuh liar di belukar belakang rumahnya di kampung. Pokok semalu akan menguncup apabila saja kaki bogel Riko memijaknya.

Riko juga terluka dengan sebatang pensel yang baru diasah dengan pisau cukur. Pensel jatuh dari meja dan menikam kaki kirinya.

Luka dari jari kakinya memancutkan darah.

Rutin pagi Riko selalunya adalah berdiri dalam elarti. Di mana dia temui penumpang dengan wajah emosi kosong. Kulit bersentuhan secara tak sengaja. Anak mata ke anak mata sehingga Riko dapat lihat warna kornea mata penumpang yang berdiri di sebelahnya dalam elarti. Cela-cela di muka bukanlah hal yang Riko endahkan.

Hubungan sosial ini terhenti untuk seketika. Rumah jadi tempat paling selamat.

Riko balik ke tempat yang paling selamat. Walau kadangkala rumah juga adalah neraka.

Namun rumah juga rahim paling aman. Rumah juga tempat dosa pertama lahir.

Pahala pertama diajar adalah seperti pada waktu kecil, Riko masukkan syiling 50 sen ke dalam mesin mainan di kedai runcit dan pecahkan telur plastik tanpa mengetahui isi di dalamnya. Ganjaran yang Riko tidak nampak tapi Riko percaya.

Tempat di mana Riko bebas untuk jadi apa sekalipun. Waktu kecil, rumah adalah syurga, taman permainan pertama yang terbesar dan bebas pernah Riko miliki.

Hari demi hari, keresahan pun masuk ke dalam rumah. Keluar mengalir dari peti suara televisyen. Menjelma dari paparan bercahaya telefon pintar, SMS pendek dari mana-mana kenalan atau individu yang Riko tidak kenali.

Meja tulis mula basah dengan darah.

Entah rasukan dari setan mana, kepercayaan Riko kini adalah untuk melayangkan cerekanya ke meja editor.

Barangkali seekor hantu menghuni dalam bilik menulis. Menghantui Riko sepanjang malam dengan mata terbuka, mulut terkatup. Sehinggalah Riko mula duduk di meja dan menekan papan kekunci komputer pelan-pelan.

Idea bergentayangan di siling bilik, di bawah meja tulis, bertinggung di atas meja. Berenang dalam akuarium di mana kura-kura tidur seharian. Juga tergantung di langsir.

Riko sepahkan cereka-cereka yang ditulisnya di atas meja editor.

Riko jarang sekali menulis menggunakan pen dan kertas, dan beberapa kali menggunakan mesin taip. Riko hanya mengangkut mesin taip dari bilik sewa ke bilik sewa yang baharu.

Rutin menulis adalah paling lama berbanding senaman kardio yang menjadi rutin Riko selain berlari di taman.

Darah dari luka di kakinya masih terpancut seperti replika ikan koi yang memancutkan air dari mulut ke dalam kolam ikan. Bilik hampir banjir dengan darah. Riko masih di meja tulis. Mengasah pensel baru dengan pisau cukur yang sama.

Riko pernah mengamati lelaki yang membesarkannya pada setiap pagi. Waktu itu, seingat Riko, dia belum mampu menulis patah-patah kata di atas kertas.

Bau minyak zaitun bertebaran dalam rumah yang dilumurkan di rambut ikal lelaki itu. Rambut ala Morissey berkilat. Kemas dengan bulu muka rapi terjaga. Setiap pagi, lelaki itu mencukur bulu-bulu yang tumbuh di muka dengan jenis pisau cukur yang sama untuk mengasah penselnya.

Pensel tetap juga Riko asah walaupun mengundang kecelakaan kepadanya. Diasah dengan baik agar matanya tajam. Patah-patah kata yang akan ditulisnya sekurang-kurangnya sedikit lancar.

Pernah juga berlaku kecederaan lain. Kertas tercedera apabila mata pensel ditekan dengan kuat akibat kedunguan Riko menulis surat cinta kepada Salma. Gadis yang tidak membawa tuah kepada Riko apa-apa pun sebenarnya. Emosi cinta mereka palsu. Sepalsu kasut-kasut di Petaling Street.

Bilik sewa sudah dibanjiri darah yang memancut laju dari jari manis dan kaki kirinya. Darah melimpah di lantai. Bau hanyir mengapung. Kertas–kertas yang bersepahan di lantai dihanyutkan arus darah ke muka pintu. Riko dapat lihat pantulan wajahnya apabila dia menunduk ke lantai.

Selalu juga pada waktu petang dia melihat kelesuan seperti ini. Arus darah dalam bilik ini selesu arus tali air berdekatan bilik sewanya. Riko berdiri di jambatan dan menjulurkan kepala sehingga kepalanya terbias dari permukaan air. Dia melihat kepala dengan leher panjangnya menari-menari di permukaan air.

Tanpa mengendahkan darah yang melimpah dalam bilik. Barangkali juga kerana kesakitan yang tidak dirasainya menyebabkan Riko meneruskan rutin malamnya dengan menulis cereka yang sudah beberapa minggu belum siap.

Kerusinya berlumuran darah. Papan putih yang tergantung di depan meja tulisnya terpercik darah dari luka di jarinya. Nota-nota kecil yang ditampal di papan putih tertanggal jatuh ke meja seperti daun-daun kering gugur di luar biliknya.

Seorang lelaki masuk ke dalam bilik Riko. Dia mengamati banjir darah. Riko tahu lelaki itu adalah Faris. Sangat akrab dengannya. Bekerja di kedai serbaneka tidak jauh dari bilik sewa mereka.

Faris selalu saja pulang dengan sepasang mata yang lesu dan berdengkur keras selepas itu seolah-olah protes terhadap kesunyian malam.

Dengkur tidur Faris akan menemani Riko menulis patah-patah kata di atas kertas dan seperti malam-malam sebelumnya. Kawan sebiliknya itu akan membancuh dua cawan teh hijau selepas pulang dari kerja jam 11 malam dan mengajaknya berbual sebelum Faris terlelap sendiri.

Tetapi tidak untuk malam ini.

Riko tahu, malam ini Faris tidak dapat tidur nyenyak.

Dan dengkurnya tidak akan kedengaran.

Categories
BERITA UTAMA BUDAYA RENCANA

Aneka motif alam Melayu hiasi estetika masjid

Elemen flora banyak terpancar dalam reka bentuk dan seni ukiran pelbagai premis termasuk masjid di negeri ini.

Sekalipun ada pengaruh luar tetapi motif alam Melayu kekal menghiasi rekaan rumah ibadat itu yang banyak didirikan sejak Islam tersebar ke Selangor pada abad ke-15.

Aneka motif kerawang, gaya bumbung bertingkat limas dan sisip angin antara ciri-ciri yang menambahkan lagi keindahan masjid.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pada 19 Oktober, jurufoto Ahmad Zakki Jilan, Remy Arifin dan Fikri Yusof merakam keunikan seni ukir lapan masjid. Wartawan Nadiah Zamlus menjelaskan estetika ukiran itu berdasarkan buku Warisan Masjid-Masjid Lama di Selangor tulisan Mohd Zainudin Abdullah dan Noorhayati Md Yatim

Motif gabungan kerawang bunga kerak nasi dan bunga pepulut menghiasi siling Masjid Diraja Sultan Ala’eddin di Kampung Bandar, Kuala Langat. Kerawang itu juga dihias mengelilingi kaligrafi dua kalimah syahadah yang terserlah dengan warna keemasan.

Pandangan dalam ruang mihrab Masjid Lama Panchang Bedena, Sabak Bernam dilengkapi sisip angin dengan hiasan pola bujang dan kerawang geometri bagi menyejukkan bahagian dalam rumah ibadat itu. Dibina pada 1905, masjid tertua

Pola hias berupa ukiran corak geometri asas dalam seni Islam menghiasi dinding Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Corak ini menjadi pilihan hiasan kebanyakan masjid baharu

Mimbar Masjid Inayaturrahman Kampung Batu Laut diukir dengan teknik tebuk tembus dan dihiasi motif tradisi berupa awan larat. Mimbar itu diperbuat dari kayu jati yang ditempah dari Jepara, Jawa pada 2000

Dibina pada 1917, Masjid Inayaturrahman Kampung Batu Laut, Kuala Langat ada dua reka bentuk kubah iaitu kubah potong bawang di atas bumbung ruang utama manakala kubah payung untuk menara azan

Motif pola bujang pada cucur atap Masjid Syiekh Ismail di Hulu Bernam, Hulu Selangor menampilkan ukiran teknik tebuk tembus. Susunan palang-palang kayu pula sebagai sisip angin yang direka bentuk seakan-akan rumah tradisi

Jata Kerajaan Selangor di puncak Masjid An-Nur Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam yang dibina pada 1949. Penyangganya diukir motif kerawang awan larat manakala bumbung limas pula dihiasi ukiran cucur atap pola bujang dengan teknik tebuk tembus

Bumbung Masjid Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam dibina bertingkat limas hasil pengaruh dari Jawa, Indonesia. Ukiran tebuk tembus motif pola bujang menghiasi bahagian cucur atap

Berciri seni bina Moor hasil cetusan arkitek British Leofric Kesteven, Masjid Diraja Sultan Suleiman disenarai sebagai Warisan Negara. Ia dibina pada 11 September 1932 sempena pengisytiharan Klang sebagai bandar diraja Selangor

Ukiran tebuk tembus berbentuk geometri dengan corak bunga berulang menghiasi keliling bangunan Masjid Kampung Tebuk Mufrad. Asalnya surau yang dibina menggunakan batang pokok nibung pada 1935, ia dibesarkan hingga mampu memuatkan 1,000 jemaah

Categories
BUDAYA RENCANA

Bukit Besi bukan sekadar sejarah perlombongan, wujud perkampungan antarabangsa

DUNGUN, 16 OKT: Sejarah perlombongan di Bukit Besi bukan sahaja memaparkan memori peninggalan penjajah dalam sosioekonomi penduduk tempatan, tetapi juga bukti wujudnya perkampungan antarabangsa di negara ini sejak 1929.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata pada era kegemilangannya, kawasan itu didiami warga British, Amerika, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, India dan China.

Katanya, tumpuan warga asing di situ menjadikan Bukit Besi dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuklah kolam renang pertama di Malaysia yang lengkap dengan papan anjal, dibina sekitar 1950-an.

Miniatur yang terdapat di Muzium Bukit Besi memaparkan aktiviti perlombongan bijih besi ketika itu dan menggunakan kereta api untuk membawa bijih besi ke pelabuhan untuk dieksport ke luar negara. Foto BERNAMA

“Bukit Besi adalah nadi pertumbuhan ekonomi yang penting dalam negara khususnya di Terengganu apabila sebuah syarikat dari Jepun, Kuhara Mining Limited diberi lesen oleh kerajaan negeri memulakan aktiviti perlombongan pada Mei 1930.

“Ia sentiasa beroperasi 24 jam dan penempatan pekerjanya dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk stesen keretapi, sekolah, balai polis, hospital dan pawagam. Ia berlaku ketika syarikat dari British, Eastern Mining Metal Company (Emmco) mengambil alih perlombongan bermula 1950. Ketika itu, Bukit Besi sangat terkenal setaraf Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya kepada Bernama sempena pembukaan hari pertama Muzium Bukit Besi di sini, semalam.

Menurut Wan Mohd Rosli, menyedari kehebatan di sebalik sejarah kegemilangan industri perlombongan bijih besi itu, beliau bersama 130 ahli persatuan berusaha mengumpul pelbagai maklumat dan bukti agar dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Susulan itu, sebuah galeri perlombongan diwujudkan di pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Cawangan Bukit Besi pada 2002.

“Sejak itu, usaha berterusan dilaksanakan hinggalah terbinanya Muzium Bukit Besi yang membolehkan pengunjung melihat gambar penduduk ketika itu dan peralatan melombong, malah ada juga data penduduk asing yang dilahirkan di situ.

“Sebab itulah, kita menjangkakan muzium ini bukan sahaja akan dikunjungi rakyat negara ini tetapi juga waris warga asing yang mempunyai nilai sentimental tersendiri dengan Bukit Besi. Malah sehingga kini ramai waris dari Kanada, Australia dan Amerika Syarikat sering datang ke sini untuk mengimbau semula kenangan manis ayah, ibu, datuk dan nenek mereka yang pernah bekerja di sini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran mengumpulkan semua koleksi bersejarah di situ, beliau berkata pihaknya bukan sahaja perlu mencari semula bekas pekerja yang pernah tinggal di Bukit Besi tetapi juga berhubung dengan waris warga asing.

Tambahnya, sebahagian peralatan yang dipamerkan dibeli daripada pemilik asal dan waris, tetapi ada juga yang disumbangkan oleh waris warga asing dari Kanada dan Australia sebagai kenangan untuk diabadikan di muzium ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah (tiga, kiri) menerangkan kepada pengunjung mengenai aktiviti perlombongan bijih besi ketika ditemui di Muzium Bukit Besi. Foto BERNAMA

“Cuma, ada satu artifak yang masih kita usahakan iaitu keretapi lama yang digunakan di Bukit Besi. Agak sukar mahu mendapatkan keretapi yang sebenar untuk diletakkan di muzium ini. Ia adalah simbol kegemilangan dan kemajuan sektor pengangkutan darat hasil aktiviti perlombongan dari Bukit Besi ke pelabuhan di Dungun,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Rosli berkata pengunjung berpeluang masuk ke situ secara percuma sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kelak. Pengunjung juga akan didedahkan dengan lebih terperinci tentang pemprosesan bijih besi bermula dari kerja-kerja perlombongan hinggalah bahan mentah itu dieksport ke luar negara.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui Bernama mengakui mereka teruja dapat melihat semula nostalgia kehidupan pada masa dahulu dan menghargai kesungguhan kerajaan yang komited membina muzium berkenaan.

Wan Mohamad Hazman Wan Ramli, 51 berkata muzium itu adalah bukti betapa tabahnya generasi terdahulu mengharungi liku-liku kehidupan meskipun terpaksa bekerja di bawah syarikat asing pascaperang dunia kedua ketika itu.

“Generasi sekarang terutama rakyat Terengganu perlu mengambil iktibar dan roh perjuangan nenek moyang mereka demi meneruskan kelangsungan hidup ke arah yang lebih baik,” katanya.

Bagi Fatimah Tambon, 67 yang pernah menetap di situ ketika suaminya bekerja di Bukit Besi, kewujudan muzium itu dapat mengembalikan kenangan manisnya kerana ia adalah penempatan yang sangat moden dan menjadi kebanggaan ramai ketika itu.

“Ia adalah titik permulaan kehidupan yang lebih berkualiti kerana syarikat perlombongan sangat menjaga kebajikan kami semua.

“Peluang menjadi sebahagian komuniti Bukit Besi secara tidak langsung mengubah kehidupan kami sekeluarga kerana lebih berfikiran positif dan berjiwa besar hasil asimilasi bersama penduduk dari pelbagai negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Jambatan Pekan Mak

Oleh Clariessa Kesulai

Ilustrasi matarojit

SEJAK dilahirkan di bawah jambatan menghala ke Pekan Mak, kau hanya melaluinya beberapa kali. Meski sudah dua puluh tahun, jambatan itu masih utuh menghubungkan dua cabang jalan namun jarang-jarang kenderaan menggunakan laluan itu sejak jalan pintas dibuka. Dalam 10 meter ke depan, terdapat enam buah rumah kayu yang telah diubah suai dengan atap zink dan kayu cengal.

Menurut penduduk di sana, dahulu selang setahun, akan berlaku kelahiran bayi di bawah Jambatan Pekan Mak, dan nasib si ibu juga anak akan sering menepati ramalan mereka; bayi yang bertelanjang dan bertali pusat itu akan ditemui dengan tangisan manakala ibunya lesap, usai meninggalkan darah hanyir yang masih pekat di tar jalan. Lebih meruntun hati, daging kecil itu jadi tidak bernyawa apabila mereka lupa menjenguk ke situ beberapa hari.

Begitulah khabar lebih menghempas hati apabila kau mula menyoal penduduk Pekan Mak tentang kejadian kelahiran dan pembuangan bayi bawah jambatan itu bertahun-tahun lamanya.

Murahkah nyawa si bayi untuk dipertaruhkan atas kesilapan ibunya? Mungkin reaksi masyarakat terhadap kejadian itu tidak harus dipersoalkan kerana seorang bayi seharusnya lahir di bilik bersalin hospital, ditunggu seorang lelaki bergelar bapa.

Rasa pilu, tidak puas hati sentiasa menyelubungi, bersama-sama persoalan belum terjawab tentang wanita yang melahirkan engkau. Kau pernah didatangi mimpi yang menggemakan rintih seorang wanita menahan kontraksi setengah jam sebelum bayinya dilahirkan. Sejak itu, kau mengandaikan wanita itu adalah ibu yang hanya sempat mengucup dahi dan pipi sebelum meninggalkan engkau seorang diri di bawah jambatan.

Sampai detik ini, hati kau sering dipujuk Tuhan untuk faham akan alasan dia melarikan diri dari tanggungjawab membesarkan kau seperti anak-anak yang seharusnya dibelai dan dimanjakan ibu mereka.

Jadi, keputusan menetap di setinggan berdekatan jambatan adalah untuk mencari ibumu yang bertahun-tahun hilang? Begitu andaian anak tuan rumah sewamu, yang memperkenalkan dirinya sebagai Chiong. Misai Chiong menampakkannya lebih matang daripada usia sebenar, malah matanya yang senang terjegil kurang menampakkannya sebagai seorang Cina.

Malah katanya, sebenarnya mungkin dia tidak berdarah Cina pun. Chiong sebaliknya yakin dia diasuh dengan nama tersebut oleh seorang penduduk berbangsa Cina di setinggan berdekatan jambatan Pekan Mak itu.

Kau mengajak Chiong berjaga malam setelah mengetahui dia senasib denganmu, cuma apa yang kalian lalui berbeza sehingga mencecah umur dewasa.

Semestinya kau amat bertuah apabila menemui keluarga angkat yang sudi mengasuh dan menghantar engkau memperoleh pendidikan sehingga ke luar negara. Sebaliknya Chiong hanya diwasiatkan ayah angkatnya untuk meneruskan penyewaan rumah setinggan mereka.

***

Dari laporan orang yang menemuimu di bawah jambatan, engkau mempunyai dua petunjuk: pertama, si ibu merupakan penduduk di situ, atau kedua, dia sekadar menjadikan jambatan tempat bersalin kerana bimbang dicemuh keluarga.

Engkau buntu. Tidak kau temui sebarang petunjuk. Amat sukar kerana engkau langsung tidak mengenali wajah atau mengetahui latar belakang wanita itu. Menurut Chiong, orang yang senasib denganmu memang ramai. Akhirnya, perasaan rindu itu dipendam dan hanya berdoa agar peluang bertemu muncul pada kemudian hari.

Untuk tempoh dua tahun, Chiong dan penduduk setinggan Jambatan Pekan Mak menganggap kes pembuangan bayi mulai selesai sejak pihak penguatkuasa menitikberatkan tindakan undang-undang. Namun bagi engkau, perubahan yang ada hanya menutup sebarang penjelasan tentang pertanyaan selama ini.

Chiong bertegas menahan engkau daripada pulang sebelum menemui kepuasan yang engkau mahu. Setidak-tidaknya, kepulangan engkau ke bandar nanti akan berakhir dengan ketenangan walaupun wanita yang membawa engkau ke dunia ini belum ketahuan alamat pusara atau penempatan barunya.

Petang itu engkau memberanikan diri mengikuti Chiong melihat pemandangan sepanjang jambatan sehingga engkau mengagumi kebersihannya apabila permukaan bawah jambatan hanya dipenuhi dedaun kering. Dalam sehari tidak lebih sepuluh kereta lalu sehingga menjadikan suasananya sunyi sekali.

Chiong memang mengambil berat kebersihan persekitaran Jambatan Pekan Mak. Jika dibiarkan, bahagian bawah jambatan itu akan suram serta bersepah dengan puntung rokok dan botol minuman. Keluasan kawasan bawahnya cukup memuatkan sekumpulan remaja yang sering menghabiskan masa merokok dan mengambil minuman keras. Yang lebih memudaratkan adalah jika anak-anak muda berlainan gender itu tidak segan melakukan perbuatan sosial.

Di seberang jambatan kelihatan deretan kedai serbaneka dan kedai runcit yang jadi tumpuan penduduk yang hampir mengecil kelompoknya. Golongan belia ramai berhijrah ke bandar dan rata-rata penduduk berusia pun hampir melupakan kes pembuangan bayi yang sering berlaku di bawah Jambatan Pekan Mak.

Namun, masalah pembuangan bayi di situ beredar mengikut perubahan zaman yang mencatatkan penambahan jenis gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

Engkau mengangguk perlahan mendengar celoteh Chiong sambil memandang ke arah bunyi bising ekzos motosikal di sepanjang jambatan. Dari belakang, kelihatan seorang wanita berwajah kusut-masai berlari memegang sebatang kayu mengejar kedua-dua pemilik motosikal yang sedang memecut laju. Suaranya nyaring memaki namun hanya disambut gelak ketawa kedua-dua mereka.

Dunia sudah terlalu kotor gamaknya bagi insan yang serba kekurangan untuk menempuhi hidupnya di sini. Dahulu, kau dan bayi-bayi yang serupa nasib pun pernah tidak dipedulikan sesiapa. Ibu yang telah diamanahkan pun tidak terdaya mempertahankan status kalian sebagai anak yang tidak berdosa.

Mak Pinak, seorang wanita gigih membanting tulang saban hari membesarkan tujuh cahaya mata kini melalui fasa keuzuran dengan diabai anak-anaknya. Sakit tuanya melarat sehingga menyebabkan mentalnya terganggu dan dianggap nyanyuk. Mak Pinak sering merayau-rayau sepanjang jambatan dengan harapan dapat melihat kereta anaknya memasuki persimpangan jambatan.

Menjelang petang, dia akan bergegas pulang ke kediamannya di kawasan setinggan untuk menyediakan lauk kegemaran anak-anaknya pula. Atas rasa rindu teramat, Mak Pinak tidak pernah mempedulikan omongan orang lain yang menganggap perbuatannya hanya membazir makanan dan kudrat tuanya.

Ketika hati kau mula terdetik untuk memujuk Mak Pinak ke rumahmu kerana bimbang akan keselamatannya, mata tuanya hanya memandang kosong ke persimpangan jambatan. Wajah Mak Pinak tidak mempamerkan riak kecewa sebaliknya hanya mengatakan bahawa kasih seorang ibu tetap akan membawa anaknya pulang suatu hari nanti.

Manakala engkau, telah merasakan pengorbanan Mak Pinak pada anak-anaknya mula menyedarkan engkau tentang semua perasaan yang tiada selama ini.

Pada hari ulang tahun engkau, Chiong membeli kek lalu mencadangkan engkau membawanya ke kediaman Mak Pinak. Petang itu, dari luar rumahnya, gulai rempah kari dan sambal belacan memanjat rongga hidung sebelum kau mengetuk pintu rumah Mak Pinak perlahan-lahan.

Categories
BUDAYA RENCANA

Waktu-waktu walang

Kota berbaju tidur
manusia masih ramai berjaga
semacam ada pesta mabuk-mabukan
bersama tari bulan dan siulan bintang
aku si algojo
yang mahu tenang
dalam kardinal waktu-waktu walang
melupakan kekasih berwajah pisau
di batin yang jadi ombak gerbang
menghapus gersang musim

Keju cheddar dan tobasco pizza Amerika
adalah hati yang terbahagi
mengulang-ulang namamu
di langit asbak yang kehilangan wahyu
salju-salju yang gugur dari tangan kota
adalah odisi krismas yang berbalut sutera
hadiah dari seorang santa tua
yang kehilangan manteranya
dan aku mabuk dalam secawan air syurga
menghitung malaikat dan mencium neraka.

Ahmad Taj