Jom Konvoi Ke Utara MPSJ Libatkan 130 Peserta

SUBANG JAYA, 25 APR : Seramai 130 peserta terlibat dalam program Jom Konvoi Ke Utara anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) selama lima hari bermula Jumaat ini hingga Selasa depan.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, ia adalah program tahunan MPSJ bermula pada 2007 yang mana belia dan beliawanis terlibat adalah terdiri dari mereka berusia 18 hingga 33 tahun bermotosikal berkuasa di bawah 150 cc.

Menurutnya, program tersebut jelas landasan terbaik bagi golongan muda membentuk potensi diri yang cemerlang selain dapat membina jaringan sosial dengan lebih meluas.

“Program kali ke enam ini kita hadkan penyertaan hanya 130 orang dengan 119 belia dan 11 beliawanis supaya dapat mewujudkan suasana selasa bagi diri mereka yang terlibat. Ia akan banyak membantu ke arah menerapkan nilai-nilai murni, meningkatkan jati diri, sifat patriotik dan semangat keusahawanan kepada remaja melalui modul-modul disediakan.

“Ia juga menggalakkan remaja cenderung ke arah aktiviti dan amalan yang lebih sihat serta bermanfaat untuk diri, keluarga, bangsa dan negara selain mempromosikan aktiviti pelancongan di dalam negara. Menerusinya akan menghindarkan remaja daripada terlibat di dalam aktiviti tidak sihat seperti merempit, gangsterisme, vandalisme, dadah dan sebagainya,” katanya selepas majlis perasmian Jom Konvoi di sini hari ini.

Program Jom Konvoi kali ini adalah program anjuran bersama Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Adat Melayu,

Belia dan Sukan serta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

Program kali ini akan menjelajah negeri di Utara bermula di Subang Jaya ke Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan kembali ke Shah Alam.

Asmawi berkata, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang di sepanjang program berlangsung yang mana ianya akan dipecahkan  kepada lima modul iaitu Belia Pembela Bangsa, Belia Cintai Alam Sekitar, Belia Cergas, Belia Madani dan Belia Prihatin.

“Antara aktiviti itu adalah bersama keluarga angkat, ceramah agama, program solat berjemaah, acara sukan, treasure hunt dan sebagainya.

“Program ini melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM90,000 yang mana akan memberi banyak kebaikan kepada peserta,” katanya.

MPSJ Beri Jaminan Tembok Pagar Rumah Akan Dibaiki Semula

SUBANG JAYA, 17 APR : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memberi jaminan bahawa tembok pagar banglo yang di robohkan di Jalan Puteri 9/2A Bandar Puteri 9, Puchong akan dibaiki semula.

Menurut Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, tembok pagar yang dirobohkan bagi pembinaan laluan sementara di kawasan itu akan dibaiki semula selepas tempoh enam bulan.

Beliau berkata, laluan alternatif tersebut penting bagi pemaju untuk menjalankan kerja-kerja memperbaiki tembok penahan yang runtuh bagi mengukuhan semula struktur tanah.

Laluan sementara yang berukuran lima meter lebar dan 70 meter panjang ini akan digunakan oleh 57 buah penghuni rumah lain agar tidak mengganggu proses membaikpulih kawasan yang terlibat.

“Laluan sementara ini akan digunakan bagi menjamin keselamatan pengguna Jalan Puteri 9/2 dan Jalan Puteri 9/2A untuk ke unit kediaman mereka tanpa melalui kawasan pembinaan,” katanya di sidang media di Bangunan MPSJ hari ini.

Selain itu, notis di bawah Akta 133 diserahkan kepada empat pemilik lot rumah terbabit supaya membenarkan pihak pemaju menjalankan kerja-kerja membuat jalan alternatif di kawasan itu.

Menurut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberikan kuasa untuk menyelenggara dan membaiki jalan-jalan awam dengan memberikan notis bagi meruntuhkan binaan dalam masa yang ditetapkan dan mengambil langkah-langkah yang difikirkan wajar oleh PBT.

Sehubungan itu, laluan alternatif yang menggunakan sebahagian halaman rumah No.1, Jalan Puteri 9/2A dimulakan pada 6 April 2012 dan siap diturap pada 16 April 2012.

Sebelum ini, pihak yang tidak berpuas hati dengan pembinaan laluan alternatif itu bertindak dengan meletakkan kereta dan batu-bata bagi menghalang jalan tersebut.

Categories
SELANGOR

MB Hargai MPSJ Bukukan Pelan Strategik

SHAH ALAM 16 APR : Buku Pelan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2012-2020 dijangka menjadi pencetus budaya perkhidmatan awam yang lebih cemerlang di kalangan warga kerja Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyempurnakan majlis pelancarannya pagi tadi berkata, komitmen yang ditunjukkan MPSJ harus diteladani Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain.

“Saya menghargai atas inisiatif dan usaha MPSJ membukukan pelan strategik mereka untuk diaplikasikan dalam usaha mentransformasikan perkhidmatan awam.

“Ini menunjukkan bukti usaha dan kesungguhan MPSJ dalam mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian kepada pelanggan yang mana PBT lain haruslah mencontohi rancangan jangka panjang sebegini,” ucap Abdul Khalid dalam majlis yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi ketika diminta mengulas lanjut mengenai pelan strategik berkenaan memberitahu ianya dibentuk melalui perbincangan bersama kumpulan masyarakat.

“Kita mengadakan perjumpaan dengan 99 buah kumpulan untuk mengumpulkan input dan kehendak mereka untuk dilaksanakan dalam pelan strategik ini.

“Kehendak mereka ini kita zahirkan dalam enam teras strategik iaitu tadbir urus, perbandaran hijau, ekonomi dan kewangan, teknologi maklumat dan komunikasi, komuniti dan penyertaan masyarakat serta infrastruktur dan kemudahan awam,” jelas Asmawi sambil menambah salinan pelan berkenaan akan diedarkan ke kuarters dan kumpulan masyarakat sekitar Subang Jaya.

Selain Majlis Pelancaran Pelan Strategik MPSJ, turut diadakan adalah Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPSJ kepada 110 kakitangannya selain penganugerahan sijil MS ISO 9001:2008 kepada MPSJ yang kesemuanya disampaikan Abdul Khalid.

Categories
SELANGOR

MPSJ :Bina Kunci Air Baru Halang Banjir

SHAH ALAM 09 APRIL : Sebuah kunci air akan dibina dalam tempoh segera di Kampung Kenangan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi mengekang limpahan air sungai Klang memasuki kampung itu dan menyebabkan banjir.

Yang Dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi berkata, pihaknya kini dalam proses merekabentuk kemudahan yang pernah dicadangkan beberapa penduduk sebelum ini.

“Jabatan Kejuruteraan kini dalam proses mereka bentuk kunci air itu yang akan berfungsi untuk mengelakkan air masuk kampung,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Asmawi berkata, pihaknya akan berbincang dahulu dengan Jabatan Kejuruteraan untuk meneliti pelan pembinaan kunci air terbabit dalam masa beberapa hari lagi.

“Segala maklumat akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Tambah Asmawi, kos pembinaan dianggarkan bernilai hampir RM20,000 dan penduduk diminta memberikan kerjasama menguruskan kunci air itu selepas pembinaannya selesai.

Inisiatif itu diambil oleh MPSJ selepas penduduk kawasan itu ditenggelami air awal bulan lalu.

Dalam kejadian lalu, kuantiti air hujan yang luar biasa menyebabkan air sungai Klang melimpah ke dalam kampung.

Bencana itu menyebabkan puluhan rumah ditenggelami air manakala laluan jalan raya dipenuhi sampah sarap yang dialirkan bersama limpahan air sungai.

Categories
SELANGOR

Mohon Permit MPSJ Secara Online

SUBANG JAYA 29 MAC : Bermula Ahad ini, orang ramai boleh membuat permohonan permit sementara kain rentang atau bunting, permohonan lesen anjing dan tempahan dewan atau gelanggang hanya perlu melayari laman web Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di www.mpsj.gov.my.

Selain itu, bagi kesemua permohonan yang dilakukan secara online itu boleh dibayar melalui penggunaan kad kredit sahaja.

Bagi permohonan permit sementara kain rentang atau bunting yang berjaya diproses, para pemohon boleh mengambil permit itu dengan hadir ke Jabatan Perlesenan.

Manakala permohonan lesen anjing boleh dimohon untuk dibuat penghantaran secara Pos atau hadir ke Kaunter I di Ibu pejabat MPSJ.

Seterusnya, bagi permohonan tempahan dewan atau gelanggang, kesemua aktiviti sukan seperti badminton, bola tampar, bola jaring boleh dibuat secara terus di online kecuali penggunaan kolam renang dan gymnasium.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Asmawi Kasbi berkata, penambahbaikan itu dilakukan bagi memberi kemudahan yang mudah kepada orang ramai.

Katanya, MPSJ juga sentiasa memikirkan cara yang terbaik di dalam penyampaian perkhidmatanya.

Categories
SELANGOR

Status Tanah Tapak Pasar Rakyat SK6/1 Seri Kembangan Selesai

SUBANG JAYA 29 MAC : Keraguan status tanah bagi Pasar Rakyat SK6/1 Seri Kembangan yang berlarutan sejak tiga tahun lalu selesai apabila dikenal pasti milik sah kerajaan negeri.

Sebelum ini, khabar angin mempertikaikan status tanah pasar baru itu bukan milik kerajaan negeri, disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ia disebarkan supaya peniaga diluar pasar lama di Jalan 10/3 dan Jalan Besar membuat bantahan agar tidak bersetuju dipindahkan ke pasar baru.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Asmawi Kasbi berkata, pemindahan ini bertujuan mengurangkan kesesakan akibat aktiviti menjaja di tepi jalan disamping pembangunan perumahan yang semakin banyak di Taman Universiti Indah, Taman Serdang Raya dan Taman Seri Serdang.

“Saya ingin mengatakan di sini bahawa pasar itu adalah sepenuhnya dikawal oleh MPSJ dan tidak ada tindakan undang-undang atau perkara berbangkit lagi mengenai status tanah.

“Kerana tanah itu milik kerajaan negeri dan dibangunkan oleh MPSJ dan akan mnguruskan pasar itu pada masa sekarang dan masa-masa akan datang,”katanya selepas Majlis Mesyuarat Penuh MPSJ.

Hadir sama, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Jelasnya, seramai 184 peniaga sudah bersetuju untuk berpindah ke lokasi baru itu dan peniaga akan diberikan kunci pada Ahad ini (1 April) serta akan mula beroperasi Isnin depan.

Pasar baru itu melibatkan sebanyak 104 unit bazar dan 80 unit bagi pasar basah.

“Kita juga minta peniaga-peniaga yang masih berniaga di pasar lama menghentikan operasi perniagaan mereka dan MPSJ akan menghantar pegawai penguatkuasa bagi memantau peniaga di kawasan lama itu untuk memastikan tiada sebarang perniagaan dijalankan,”katanya.

Berkenaan lesen perniagaan, pihak MPSJ akan menghantar pegawai dari Bahagian Perlesenan pada Isnin depan supaya peniaga dapat membuat permohonan lesen dan pembayaran boleh dibuat pada masa itu.

“Ini memudahkan peniaga supaya tidak perlu bersusah payah untuk datang ke MPSJ dan kadarnya mengikut jenis jualan perniagaan dari RM120 hingga RM240 setahun,” katanya.

Categories
SELANGOR

Serdang Bandar Biomass Pertama

SHAH ALAM, 14 MAC : Dalam usaha menyokong usaha kerajaan untuk mengurus sisa buangan domestik daripada penempatan penduduk dan kawasan pusat komersial khususnya di sekitar Serdang, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tampil menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama di negara ini dalam perlaksanan ‘Bandar Biomass’ yang akan dilancarkan pada Mac ini.

Perlaksanan Bandar Biomass yang memilih Bandar Serdang itu mendapat kerjasama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penyelidik daripada Kementerian Perikanan dan Perhutanan negara Jepun.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata inisiatif itu dilakukan dalam usaha untuk menangani sisa buangan seperti makanan atau organik yang perlu dirawat kerana jika tidak, ia akan memberi impak kepada pencemaran alam sekitar dan pemanasan sejagat.

Katanya, ianya juga selaras dengan tagline baru MPSJ iaitu ‘Vibrant City’ yang mana mahu menjadikan MPSJ sebagai sebuah perbandaran yang mampan.

” Program ini bukan sahaja melibatkan MPSJ tetapi juga melibatkan jabatan-jabatan kerajaan di Persekutuan, berdasarkan daripada kerjasama ini, kita akan menjadi salah satu PBT yang terawal melaksanakan bandar biomass.

” Saya harap program ini akan dapat menjadikan bandar Serdang bukan saja sebgai bandar Biomass tapi juga akan dipertandingkan di peringkat negeri sebagai bandar zon bersih MPSJ untuk tahun 2012,” katanya selepas Majlis Melafaz Ikrar dan menandatangani Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MPSJ.

Majlis Perlancaran itu akan diadakan pada 17 Mac ini di Taman Tasik Sri Serdang bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

Pelbagai aktiviti serta pameran dirancang bagi memeriahkan majlis itu antaranya, aktiviti konvoi berbasikal, demonstrasi pengasingan sisa bagi Medan Selera Awam dan Pasar Awam dan pameran pelbagai daripada agensi kerajaan.

Categories
SELANGOR

Perlantikan Baru 2 Ahli Majlis MPSJ

SHAH ALAM, 14 MAC : Dua muka baru telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menggantikan Roslan Shahir dan Ismail Kamal bagi tempoh 2012 hingga 2013.

Perubahan ini melibatkan Muzammil Hafiz dari parti PAS dan Sazana Isa dari wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam Majlis Melafaz Ikrar dan menandatangani Pengakuan Menerima Jawatan itu turut dilantik semula Chang Kim Loong dari Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Chia Yew Ken dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan 17 ahli lagi dikekalkan.

Perlantikan itu bermula 1 Mac 2012 untuk tempoh dua tahun iaitu berakhir pada 31 Disember 2013.

Yang diPertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata lantikan baru itu bertujuan untuk memberi laluan baru kepada wakil-wakil baru yang dilantik untuk mempelajari tugas-tugas sebagai Ahli Majlis.

Katanya, lima kekosongan sebagai Ahli Majlis akan diisi dan diputuskan oleh Kerajaan Negeri dalam satu mesyuarat yang akan diadakan nanti.

” Jumlah keseluruhan masih 24 orang Ahli Majlis, seramai lima orang lagi akan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, MPSJ akan menunggu senarai ahli itu sama ada ahli baru atau ahli lama yang akan diputuskan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Asmawi dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas diatas lantikan itu dan berharap semua Ahli Majlis dapat menjalankan tugas dengan baik dan meningkatkan prestasi.