Categories
SELANGOR

Sumbangan Kerajaan Negeri penghargaan buat VKU ATM

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 5 OGOS: Sumbangan kepada Abdul Rahman Lazim, 71, dianggap sebagai istimewa dan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikaan rakyat di Selangor termasuk Veteran Kelainan Upaya (VKU) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Anak lelakinya, Shahrul, 47, berkata keluarganya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan itu dan menghargai pengorbanan bapanya ketika menabur bakti dalam ATM.

“Saya dan keluarga berbesar hati atas kunjungan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) ke rumah kami untuk menyerahkan sumbangan ini.

“Kami gembira kerana khidmat bakti dicurahkan bapa ketika berkhidmat dalam ATM turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

IMG_20170805_170744Dalam program turun padang di daerah Hulu Langat, hari ini, Mohamed Azmin mengambil kesempatan mengunjungi Abdul Rahman di rumahnya di Kampung Tengah, di sini, yang mengidap strok dan menyerahkan sumbangan RM5,000.

Shahrul berkata, bapanya yang berkhidmat selama lebih 13 tahun dalam ATM mula mengidap strok lebih setahun lalu.

Katanya, beliau dan keluarga kini menjaga bapa termasuk membantunya bagi mendapatkan rawatan diperlukan.

“Sumbangan Kerajaan Negeri ini amat kami hargai dan begitu juga daripaada pihak lain yang pernah menyumbang kepada bapa,” katanya.

Melalui Belanjawan Selangor 2017, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran ATM.

Daripaada jumlah itu, RM500,000 disampaikan secara terus menerusi program turun padang diadakan secara bergilir di setiap daerah manakala bakinya diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Alat komunikasi rosak alasan tutup kelemahan pertahanan negara?

OLEH Mohamad Imran Abd Hamid

Saya ingin mengucapkan rasa syukur di atas penemuan semula bot KD Perdana dan 9 kru bot tersebut yang terputus hubungan selama 51 jam dilaporkan hilang di perairan Sedili.

Saya juga mengambil maklum bahawa menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin antara punca awal yang dikenal pasti menyebabkan bot KD Perdana terputus hubungan dengan kapal induknya adalah kerana kerosakan alat komunikasi selain kehabisan bekalan minyak.

1. Saya ingin bertanya bagaimana alat komunikasi yang merupakan perkara paling penting dalam sebuah bot boleh tidak berfungsi? Apakah puncanya? Adakah tiada pemeriksaan secara berkala dilakukan terhadap bot atau kapal selama ini?

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh kerajaan kerana ia melibatkan keselamatan mereka yang menjaga perairan negara ini dan juga keselamatan negara boleh terjejas.

2. Kerajaan sepatutnya perlu membekalkan peralatan yang lebih moden dan canggih untuk kegunaan Anggota Tentera Malaysia (ATM) agar kerja menjaga dan melindungi negara ini dapat dilakukan dengan baik dan sempurna.

Aset pertahanan kita pun boleh dikira ketinggalan zaman.

Jika pesawat kegunaan Najib dan Rosmah boleh ditukar ganti dengan nilai yang tinggi, takkan peralatan tentera boleh diabaikan.

3. Selain itu, saya juga ingin membangkitkan perkara mengenai tempoh bot tersebut hilang iaitu kira-kira 51 jam. Bagi saya itu satu tempoh yang agak lama. Sepatutnya pegawai yang sudah terlatih pada bot tersebut dapat melakukan sesuatu.

4. Namun yang paling musykil adalah adakah semua ini hanyalah sekadar alasan pihak kerajaan untuk menutup kelemahan pertahanan negara yang dilihat lemah?

5. Saya menggesa pihak yang bertanggungjawab melakukan siasatan berhubung perkara ini bagi mengenalpasti sekiranya terdapat unsur kecuaian atau sebagainya agar perkara sama tidak berulang di masa hadapan.

*Mohamad Imran adalah Ahli Parlimen Lumut dan Naib Pengerusi KEADILAN Perak

Categories
KENYATAAN MEDIA

Veteran ATM mampu buat keputusan sendiri

OLEH NIK NAZMI NIK AHMAD

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Sharuddin Omar agar veteran tentera terus menyokong penuh kerajaan sedia ada.

Menurut beliau, veteran telah lama berkhidmat untuk negara dan kerajaan dan harus terus berpegang pada prinsip ini.

Saya rasa kenyataan ini tidak wajar sama sekali kerana setiap ahli veteran ATM mampu membuat keputusan berdasarkan prinsip yang dipegang sendiri.

Perlu saya ingatkan di sini bahawa visi ATM sendiri adalah “Melindungi Kedaulatan, Integriti dan Kepentingan Negara”.

Menyamakan kesetiaan kepada negara dengan kesetiaan kepada kerajaan adalah satu salah faham yang lazim dan harus diperbetulkan.

Patriotisme adalah sikap cinta dan setia kepada negara, dan sekiranya sebarang pemimpin mentadbir negara dengan rakus dan zalim sehingga membebankan rakyat, apakah wajar kita terus memberi sokongan?

Pihak veteran juga boleh menilai sendiri keikhlasan pihak kerajaan di dalam menjaga kebajikan veteran yang pernah dizalimi dengan kelewatan pembayaran pampasan, penyalahgunaan dana LTAT dan dasar-dasar yang tidak melindungi veteran ATM.

Saya menyarankan pihak veteran ATM untuk membuat penilaian bukan berdasarkan sentimen memihak sebarang kerajaan yang memerintah (government of the day), tetapi atas dasar cinta pada negara dan memilih pemimpin yang berlaku adil.
* NIK NAZMI NIK AHMAD ADALAH KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Categories
KENYATAAN MEDIA

ATM, PDRM fokus keselamatan negara, bukan isu pengguna

OLEH LEE CHEAN CHUNG

SHAH ALAM, 24 APRIL: Saya mengambil maklum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan menangani masalah kepenggunaan.

Memetik kenyataan Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kerjasama tersebut perlu memandangkan masalah jumlah premis yang semakin meningkat selain menangani masalah kepenggunaan yang semakin kronik dalam negara.

Beliau berkata ketika ini dengan kekuatan 2,600 pegawai dan anggota KPDNKK, agak sukar bagi pegawai penguatkuasaan kementerian itu untuk berada di semua lokasi serta menangani isu yang dibangkitkan tanpa bantuan pelbagai pihak.

1. Bagi saya, kenyataan itu adalah alasan semata-mata. Hal ini kerana sekiranya pihak KPDNKK melakukan tugas mereka secara berkala dan pemeriksaan terhadap peniaga atau kedai-kedai runcit dengan awal, tanpa menunggu aduan, sudah pasti mereka dapat menangani masalah kepenggunaan di negara ini.

2. Selain itu, saya melihat situasi ini juga telah menganggu tugas sebenar pegawai PDRM dan juga pegawai ATM. Saya mahu pihak kementerian mencari jalan lain untuk mengatasi masalah tersebut, bukannya mencampur adukkan tugas-tugas PDRM dan ATM, mereka perlu lebih fokus kepada isu kelselamatan negara bukannya masalah kepenggunaan.

Untuk mengatasi masalah ini supaya berkesan, saya menyarankan supaya pihak kerajaan menambah bilangan pegawai KPDNKK untuk menyelesaikan masalah ini tanpa perlu menggunakan khidmat pegawai lain, jika jawatan menteri boleh ditambah, mengapa tidak pegawai KPDNKK?

Lee-Chean-Chung3. Pihak KPDNKK mungkin dilihat terbeban, namun itu bukan alasan untuk mereka tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Saya harap mereka tidak lepas tangan kerana rakyat terbeban dengan kenaikan harga barangan yang semakin melambung tinggi.

4. Selain Projek Penguatkuasaan Seimbang (PPS) bagi tempoh 2017 hingga 2020 yang dicadangkan oleh KPDNKK bagi mendepani cabaran dan isu pegawai penguatkuasa tidak kelihatan di lapangan, isu keberkesanan penguatkuasaan serta tahap pematuhan perundangan oleh peniaga juga perlu ditingkatkan.

Pihak KPDNKK juga perlu mencari sebab-sebab yang lain kenapa pegawai mereka tiada di lapangan untuk memantau peniaga-peniaga yang menaikkan harga barangan.

5. Melihat kepada trend terkini, kedudukan ekonomi Malaysia semakin teruk ditambah pula faktor kejatuhan ringgit Malaysia yang semakin lemah, hal ini mengundang bebanan kepada rakyat ekoran kenaikan harga barangan yang dilihat mendadak sehingga ada yang tidak masuk akal harganya.

Kebanyakkan kenaikan harga dikesan pada musim perayaan. KPDNKK tidak perlu menunggu musim berkenaan, mereka perlu segera memperbaiki serta membuktikan kepada seluruh rakyat akan berkesanan pasukan penguatkuasaan mereka dalam melaksanakan fungsi-fungsinya serta meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dengan menangani kos sara hidup dan harga barang yang melambung tinggi.

*Lee Chean Chung adalah ADUN Semambu

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB hulur sumbangan RM10,000 kepada veteran kurang upaya ATM

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 25 MAC: Nasib golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya golongan veteran kurang upaya (VKU) di Selangor sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu ekoran jasa dan pengorbanan veteran terbabit demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Kita tidak lupakan pengorbanan besar anggota keselamatan khususnya tentera dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

IMG_20170324_121221_774“Mulai tahun ini, Kerajaan Negeri memberikan sumbangan kepada tabung pahlawan dan sebahagiannya kita peruntukkan untuk kebajikan, kesihatan serta mungkin juga pendidikan anak mereka.

“Dalam tempoh tiga bulan, ini kali ketiga kita berada di Kuala Selangor untuk menyampaikan bantuan kepada veteran angkatan tentera yang kali ini kita sumbangkan RM10,000 di atas pengorbanan besar VKU yang mengalami masalah kesihatan kencing manis yang memerlukan kos perubatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada program Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid, Surau dan Sekolah Rendah Agama Daerah Kuala Selangor di Masjid Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini, semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi membiayai program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera membabitkan bantuan keperluan perubatan dan kebajikan 89 veteran tentera cedera perang di Selangor, tahun ini.

Sebanyak RM500,000 pula diperuntukan terus ke dalam Tabung Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti diumumkan pada pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2017.

Terdahulu, Mohamed Azmin meluangkan masa mengunjungi VKU, Abu Hassan Sulong di kediaman beliau di Taman Bukit Belimbing, di sini, bagi menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000.

-NFN-

Categories
SELANGOR

VKU ATM terima sumbangan Kerajaan Negeri

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

KUALA SELANGOR, 24 MAC: Jasa dan pengorbanan parajurit yang mempertahankan keselamatan juga kedaulatan negara sentiasa dihargai Kerajaan Selangor.

Terbaru, veteran kelainan upaya (VKU) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Abu Hassan Sulong menerima kunjungan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di kediamannya di Taman Bukit Belimbing, di sini.

Dato’ Menteri Besar yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari tadi sempat meluangkan masa selama 15 minit selain menghulurkan sumbangan kepada Abu Hassan.

Mohamed Azmin berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri menghargai sumbangan dan pengorbanan ATM yang banyak berkhidmat menjaga kedaulatan negara juga keselamatan rakyat sejak sebelum merdeka.

“Beliau adalah penerima ketiga dari Kuala Selangor. Beberapa bulan lalu, saya juga berada di daerah ini dan kita sudah serahkan (sumbangan) kepada dua veteran.

IMG_20170324_121345_587“Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang banyak menyumbang kepada negara dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Abu Hassan yang ditemui meluahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan yang diberikan.

“Syukur di atas kehadiran Dato’ Menteri Besar dengan memberi sumbangan daripada Kerajaan Negeri melalui Veteran Angkatan Tentera. Saya ucapkan syukur dan terima kasih” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta kepada Tabung Pahlawan ATM dan Program Kemasyarakatan serta Kebajikan Veteran ATM.

Terdahulu, Mohamed Azmin hadir pada Program Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat di Kampung Bukit Badong, di sini dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

-AA-

Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan acuh tak acuh bela nasib veteran ATM

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 FEB: Layanan acuh tidak acuh Kerajaan Persekutuan terhadap veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyebabkan golongan itu semakin terhimpit dengan kos sara hidup.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pentadbiran Umno-BN tidak pernah serius memperjuangkan nasib wira negara yang seharusnya menerima pengiktirafan lebih baik.

Katanya, sejak puluhan tahun, Kerajaan Persekutuan masih gagal mewujudkan mekanisme menyeluruh bagi membantu golongan berkenaan.

“Lihat sahaja apa yang berlaku sejak kes 1MDB diriuhkan sehingga pencen veteran ATM juga disentuh untuk menutup hutang besar syarikat milik kerajaan itu.

“Kelewatan pembayaran pencen itu merupakan gambaran sebenar layanan kerajaan terhadap veteran ATM.

“Sekiranya kerajaan sememangnya berniat menaiktaraf kehidupan veteran tentera, ia dialu-alukan tetapi mereka harus mengakui bahawa selama ini mereka mengabaikan wira negara ini dan tidak terus menunding jari,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan mengkaji kaedah bagi membantu veteran ATM yang tidak menerima pencen.

Beliau bagaimanapun tetap menuding jari terhadap veteran ATM yang memilih untuk tidak mengambil pencen.

Nik Nazmi berkata, alasan Hishammuddin itu adalah terlalu biasa digunakan sesebuah kerajaan yang tidak pernah mengambil berat kebajikan rakyat.

“Menurut menteri sendiri, seramai 176,000 veteran ATM tidak menerima pencen dan jumlah ini semakin meningkat. Persoalannya, mengapa perkara ini boleh dibiarkan berlaku?

“Kenaikan kos hidup ini juga sedikit sebanyak disebabkan pentadbiran kerajaan Umno-BN yang rakus.

“Jadi menteri tidak perlulah mengulas seakan-akan mereka prihatin padahal hakikatnya keadaan ini berlaku kerana mereka juga,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan berterusan bela nasib veteran ATM

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG, 14 JAN: Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dibantu secara berterusan bagi memastikan golongan terbabit terbela.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib berkata, hal itu bagi meringankan beban mereka terutama kepada pesara yang cedera ketika berkhidmat.

“Saya banyak merasmikan program mereka sebelum ini. Mereka meluahkan rasa kecewa kerana diketepikan kerajaan.

Polis ATM“Mereka ini sebenarnya memerlukan penghargaan daripada semua pihak,” katanya kepada SelangorKini.

Saari berkata, pendekatan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mendekati dan membantu golongan itu sangat bertepatan.

“Banyak hak mereka masih tidak terbela. Jadi, Kerajaan Negeri cuba laksanakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan Tabung Pahlawan ATM perlu diperkasakan.

“Kita minta pengurusan menguruskan tabung itu dengan baik dan telus. Jalinan kerjasama antara ADN dan Ahli Parlimen juga pesara perlu diwujudkan supaya lebih memahami keperluan yang boleh dibantu,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Air mata gembira veteran ATM sambut kunjungan MB

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG, 14 JAN: Deklamator terkenal, Nuri Angkasa, sebak sebaik sahaja melihat kedatangan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke kediamannya.

Lebih mesra dengan Pak Nuri atau nama sebenarnya Noordin Mohamed, 83, mengalirkan air mata ketika mula menyambut tangan Mohamed Azmin untuk bersalam.

Beliau yang pernah menyertai Rejimen Askar Melayu DiRaja selama 30 tahun menzahirkan penghargaan tidak terhingga atas lawatan itu.

“Saya sangat terharu. Inilah kenangan manis yang tidak mungkin akan dilupakan.

MB Ziarah Veteran (1)“Lucu melihat veteran seperti saya menangis. Sungguh saya sangat terharu dan teruja atas keprihatinan Menteri Besar,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini,

Beliau kini terlantar hampir lima bulan selepas mengalami lumpuh separuh badan.

“Saya sedih dan risau dengan keadaan diri. Kini, hanya bergantung dengan susu sebagai ganti makanan lain,” katanya yang mula menyertai rejimen Askar Melayu pada usia 18 tahun.

Pak Nuri turut mendoakan diberikan kesihatan berpanjangan kepada orang nombor satu di Selangor itu untuk terus berbakti kepada rakyat.

“Saya berdoa supaya Menteri Besar kita sihat sentiasa dan diberikan kekuatan untuk membantu juga berbakti kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia, Indra Kumaran, 53, turut meluahkan perkara sama selain tidak menyangka Menteri Besar sudi menziarahinya.

“Gembira dengan lawatan dan sumbangan yang diberikan. Saya berharap beliau terus membantu golongan ATM.

“Keprihatinan beliau terhadap bekas anggota ATM seperti kami tidak dapat disangkal lagi,” katanya yang kini tinggal seorang diri selepas berpisah dengan isterinya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Polis dan ATM tingkat kawalan keselamatan

SHAH ALAM, 21 JAN: Polis Selangor mengambil langkah drastik melaksanakan Rondaan Bersama Polis bermula pada hari ini, ia berikutan arahan dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid bAbu Bakar dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.

Lokasi rondaan bermula di sekitar lokasi tumpuan orang ramai iaitu di Batu Caves, Gombak sempena persediaan menyambut Hari Thaipusam pada Ahad ini.

Polis ATMRondaan bersama ini juga dilaksanakan di dua lokasi berbeza iaitu daerah Petaling Jaya serta Subang Jaya.

Kehadiran Polis dan ATM bukan sahaja bertujuan mempertingkatkan tahap keyakinan orang ramai malah memberi isyarat bahawa keadaan keselamatan di negara ini berada dalam keadaan terkawal.

EZY

Categories
NASIONAL

Belanja pertahanan beratus juta tapi meriam tak boleh tembak

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Perbelanjaan bagi menyelenggara dan membangun aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diragui apabila ada yang tidak dapat beroperasi.

Ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR), berkata keadaan itu menggambarkan barisan pertahanan negara tidak bersedia apabila berlaku ancaman keselamatan seperti di Lahad Datu.

“Belanja beratus juta ringgit tetapi ada aset TLDM tak diselenggara dengan baik seperti KD Laksamana Hang Nadim.

tldm1“Malah, ada meriam yang tak boleh tembak walaupun banyak dibelanjakan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di sini.

Mohamad Imran adalah mantan Laksamana TUDM sebelum bersara dan kemudiannya menyertai PKR.

Katanya, perkara itu terjadi disebabkan kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar : Pejabat PM Didakwa Terlibat Operasi Bawa Pengundi Hantu

anwar taman ampang 1 mei 03

PETALING JAYA 2 MEI : Pejabat Perdana Menteri didakwa terlibat dalam operasi membawa masuk pengundi yang dicurigai dari Malaysia Timur ke Semenanjung.

Dakwaan ini dibuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan pihaknya memperolehi bukti dokumen dan gambar 16 penerbangan sewa khas yang membuat perjalanan setiap hari dari pelbagai lokasi di Malaysia Timur.

Anwar mendakwa, sekurang-kurangnya 4,500 dibawa masuk ke semenanjung setiap hari sehingga menjelang hari mengundi. Penerbangan dibuat kecuali pada 1 Mei, dan bermula 25 April lalu.

Anwar menambah, berdasarkan maklumat yang diperoleh pihaknya sebanyak 16 penerbangan direkodkan daripada Sabah dan Sarawak, khususnya dari Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan, Miri dan Sibu menggunakan pesawat jenis Jumbo dan C130 Hercules yang ditempah khas.

?Ini bermakna 40,000 individu ragu ada dan masih memasuki melalui KLIA, tak termasuk rakyat asing yang melalui jalan darat, pelabuhan dan fasiliti seperti LCCT,? kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Turut didakwa terlibat ialah syarikat penerbangan tambang murah Air Asia dan MAS selain Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia.

?Kami difahamkan pesawat C130 Hercules milik ATM digunakan untuk membawa pengundi hantu ke lapangan terbang kecil seperti di Batu Berendam (Melaka) dan Ipoh (Perak),? kata Anwar.
Beliau menambah, kemudahan kem Askar Wataniah turut digunakan untuk menempatkan pengundi asing.

Tambah Anwar, beliau turut mendapat maklumat kemasukan secara tiba-tiba warga Thailand, Kemboja, Pakistan dan Myanmar dalam jumlah yang besar di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, manakala kemasukan rakyat asing Indonesia di Pelabuhan Klang.

Berikutan senario ini, Anwar menuntut penjelasan Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak, Ketua Polis Negara dan Ketua Turus ATM tentang jaminan dan sikap profesionalisme dan neutral yang kini menjadi dalang BN untuk mengekalkan kuasa.

Anwar juga berkata pihaknya juga memperolehi salinan komunikasi emel Sistem Penerbangan Malaysia yang didakwa mengaitkan Pejabat Perdana Menteri dengan penerbangan sewa khas tersebut.

Beliau turut mempersoal sama ada Ketua Pengarah Jabatan Peguam Negara terlibat memberikan kad pengenalan kepada pekerja asing di Sirkit F1 Sepang dan di KLIA.

?Sebab kita ada bukti dokumentari bergambar dan video yang dirakam dengan kerjasama dari PAS. Yang nyata ialah penglibatan Jabatan Pendaftaran Negara.

?Seandainya Pakatan Rakyat menang, kita akan mendakwa sesiapa sahaja yang bertanggungjawab. Pelanggaran peraturan tidak akan dimaafkan,? kata Anwar.