Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kinrara agih lebih 5,000 pek makanan, ringan beban penduduk

SHAH ALAM, 17 OGOS: Lebih 5,000 bakul makanan diagih kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara sejak penularan pandemik Covid-19 melanda negara.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata pihaknya turut menyumbang 10 tan sayuran dan lima tan ikan segar di beberapa kawasan perumahan sebagai inisiatif meringankan beban mereka.

“Setiap Jumaat dan Ahad, sebanyak 500 bungkusan makanan turut diberi kepada penduduk menerusi projek Dapur Kinrara.

“Kami akan terus menyumbang terutama kepada mereka yang terjejas,” katanya di Facebook.

Dapur Kinrara diwujudkan hujung tahun lalu sebagai dapur berpusat yang akan mengagihkan makanan tengah hari secara percuma kepada golongan memerlukan.

Projek berkenaan berjalan di dua lokasi dan mendapat sambutan menggalakkan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih RM200,000 dibelanja, sedia pek makanan di DUN Sungai Tua

GOMBAK, 15 OGOS: Lebih RM200,000 dibelanjakan untuk menyediakan bakul makanan kepada keluarga terjejas akibat Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua setakat ini, sejak Januari.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meliputi keperluan perubatan dan pendidikan seperti pemberian komputer riba.

“Lebih RM200,000 disediakan untuk bakul makanan sahaja. Macam hari ini kita dapat sumbangan daripada pihak lain yang kita tambah lagi bagi membantu lebih ramai penduduk,” kata Dato Seri’ Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan makanan kepada wakil penduduk sekitar Gombak.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata bantuan barang basah dan kering kepada 2,000 keluarga itu disumbangkan Tenaga Nasional Berhad, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Kelab Lions Selangor.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor edar 6,000 lagi bakul makanan kepada Orang Asli

DENGKIL, 14 OGOS: Sebanyak 6,000 bakul makanan diedar secara berperingkat kepada 6,000 keluarga Orang Asli yang terkesan akibat Covid-19 di seluruh negeri mulai hari ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata agihan kali kedua pada tahun ini dengan peruntukan RM450,000 meliputi beras, gula, garam dan minyak masak.

“Pada Mac lalu kita bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengedarkan bakul makanan dengan jumlah peruntukan RM600,000.

“Kali ini berlainan apabila kita bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Chamber of Commerce in Hong Kong and Macau dan Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bakul makanan kepada sebahagian daripada 94 keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Buah di sini hari ini.

Loy Sian berkata NGO berkenaan turut mengagihkan bakul makanan bernilai RM60 setiap satu kepada
sebahagian kecil Orang Asli di Perak.

Pakej Kita Selangor yang dibentang awal tahun ini memperuntuk RM1.3 juta untuk mengagihkan keperluan asas kepada pemandu teksi dan bas sekolah, penyewa projek perumahan rakyat, pemandu lori sisa pepejal dan Orang Asli.

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk kediaman mewah di Kota Kemuning antara penerima bakul makanan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning mengagihkan 6,400 bakul makanan kepada masyarakat terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak Jun lalu.

V Ganabatirau berkata agihan bakul makanan kepada masyarakat sekitar Kota Kemuning tidak hanya memfokuskan golongan berpendapatan rendah tetapi turut melibatkan mereka yang tinggal di kediaman mewah.

“Walaupun banyak penduduk di DUN Kota Kemuning tinggal di rumah mewah tetapi ada sebahagian daripada mereka berdepan dengan kesusahan kerana syarikat ditutup.

“Selain bakul makanan, kita juga memberi sumbangan peralatan kesihatan, baucar Pasaraya Speedmart bernilai RM80 dan wang tunai untuk pengurusan jenazah Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Ganabatirau yang juga EXCO kebajikan masyarakat berkata pihaknya juga terus memperkasakan program “Sponsor A Family” iaitu keluarga berkemampuan membantu keluarga terkesan.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN kerajaan dan pembangkang menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) berjumlah RM30,000

 

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Ijok agih lebih 7,000 pek makanan, ringan beban penduduk

BESTARI JAYA, 8 OGOS: Lebih 7,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Ijok yang terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kata wakil rakyatnya.

Menurut Dr Idris Ahmad jumlah itu tidak termasuk bantuan kepada mereka yang dikenakan kuarantin.

“Semua penerima merupakan individu terjejas wabak antaranya kehilangan kerja serta pendapatan berkurangan.

“Untuk bantuan kuarantin pula, bermula awal tahun lalu sehingga sekarang hampir setiap hari kita edarkan 10 ke 15 bakul,” katanya ketika ditemui di Program Selangor Vaksin (Selvax) Komuniti di Dewan Besar Yuk Chih di sini semalam.

Dr Idris berkata bantuan berkenaan disalurkan kepada penghulu dan ketua kampung supaya sampai kepada golongan sasar.

“Tindakan ini dapat memastikan tiada penduduk terputus bekalan makanan. Ketua kampung dan penghulu lebih kenal penduduk susah di kampung masing-masing,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 setiap DUN bagu menjayakan Program Bakul Makanan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Pandamaran agih 2,900 bantuan makanan sejak PKP 3.0

SHAH ALAM, 6 OGOS: Sebanyak 2,900 bakul makanan diagihkan kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Wakil rakyat Tony Leong Tuck Chee berkata bakul makanan itu diberikan kepada penduduk yang diberhentikan kerja ketika pandemik Covid-19 dan mereka yang terjejas pendapatan.

“Selain bakul makanan bernilai RM50, kita turut menyumbang susu bayi dan lampin pakai buang kepada lebih 100 keluarga memerlukan.

“Tumpuan tidak sahaja diberikan kepada penduduk dalam Pandamaran tetapi juga kepada pengundi menetap di luar kawasan yang juga terjejas pendapatan,” katanya selepas meninjaun program Vaksin Selangor (Selvax) di PPV Hotel De Palma, Seksyen 19 semalam.

Tambah beliau setakat ini peruntukan diberikan Kerajaan Negeri untuk pengagihan bakul makanan sudah digunakan sepenuhnya.

“Namun, bantuan tetap diteruskan menggunakan sumbangan syarikat dan individu persendirian. Sebagai contoh kelmarin kita menerima baucar Pasaraya 99 Speedmart sumbangan sebuah syarikat bernilai RM20 dengan jumlah RM10,000.

“Baucar ini mula diberikan kepada keluarga terkesan dengan masing-masing menerima RM80 untuk digunakan membeli keperluan harian,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN kerajaan dan pembangkang menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

70 pek makanan diagih kepada penduduk Taman Templer setiap hari

GOMBAK, 26 JULAI: Sebanyak 70 bakul makanan asas diagih setiap hari kepada penduduk sekitar Taman Templer bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata edaran pek berupa beras, gula, tepung, bihun, sardin dan teh bernilai RM30 dibuat atas permintaan penduduk melalui ketua kampung serta pusat khidmat.

“Memang setiap hari bantuan ini disalurkan kepada penduduk sama ada serahan dilakukan sendiri oleh pegawai pusat khidmat atau mereka datang sendiri ke bank makanan yang disediakan.

“Kita menerima permintaan terlalu tinggi malah ada sebahagian mereka yang memohon bantuan sama sehingga tiga kali, namun kita percaya mereka ini sangat mengharapkan bantuan berikutan hilang pendapatan akibat Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan hari ini.

Selain barangan asas, Mohd Sany berkata pihaknya turut membekalkan lampin pakai buang dan susu bayi kepada keluarga memerlukan mengikut permintaan.

Beliau menjelaskan sumbangan komputer riba dan tablet diberi kepada pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).

“Biasanya kita akan selidik dahulu latar belakang pelajar terbabit kerana keutamaan adalah mereka yang mempunyai ramai adik-beradik bersekolah,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 4,000 bantuan makanan kepada penduduk Seri Setia sejak Mei

KELANA JAYA, 23 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia sudah mengagihkan lebih 4,000 bakul makanan kepada penduduk sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)3.0, Mei lalu.

Wakil rakyatnya, Halimey Abu Bakar berkata fokus beliau adalah untuk memastikan bekalan makanan kepada penduduk sentiasa mencukupi ketika berhadapan pandemik.

“Setakat ini fokus kita hanya bakul makanan dahulu kerana banyak permintaan daripada penduduk yang mana ada segelintir dikuarantin dan tidak boleh keluar untuk dapatkan keperluan harian,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti anjuran DUN beliau di Dewan PKNS SS7, di sini, hari ini.

Mengulas bantuan selain makanan, Halimey berkata perkara itu akan dipertimbang berdasarkan keperluan.

“Insya-Allah jika ada keperluan mendesak kita akan bantu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MBI serah bantuan makanan kepada penduduk PKPD dalam 48 jam

HULU LANGAT, 19 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menyerahkan bakul makanan kepada penduduk di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam tempoh 48 jam.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan perlu disegerakan selaras arahan dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) semalam.

“Insya-Allah kita akan serah bantuan tersebut dalam tempoh 48 jam dan sedang usahakan (penyerahan bakul makanan) bersama unit bencana SUK.

“Bantuan menumpukan beberapa kawasan bergantung pada keperluan kerana difahamkan di Taman Samudera, mukim Batu di daerah Gombak, bakul makanan sudah diagihkan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia semalam,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan pek makanan asas kepada 50 penghuni Pangsapuri Ghazal Balakong di sini hari ini dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Polis Bukit Aman.

PKPD di empat kawasan di Selangor membabitkan Damai Apartment, PJS 8, mukim Damansara, daerah Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, daerah Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, mukim Klang, daerah Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, daerah Gombak.

Perintah tersebut berkuat kuasa selama dua minggu sejak semalam hingga 31 Julai.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Azri berkata sebanyak RM3 juta daripada RM5 juta dana diperuntuk melalui pelan bantuan khas Covid-19 tahun ini digunakan untuk membantu pihak terkesan dengan pandemik.

Beliau menjelaskan peruntukan itu dimanfaatkan untuk melaksana program sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di hospital dan sekatan jalan raya (SJR), pusat pemberian vaksin (PPV), taman asuhan kanak-Kanak (taska) dan rakyat.

“Kita akan menggunakan peruntukan ini sebaiknya sehingga akhir tahun ini dengan matlamat memastikan semua pihak dibantu,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB arah bakul makanan mesti sampai 48 jam mulai PKPD

SHAH ALAM, 17 JULAI: Dato’ Menteri Besar mengarahkan bekalan bakul makanan sampai dalam tempoh 48 jam di empat kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Penyelarasan PKPD yang dipengerusinya pagi tadi.

“Saringan Covid-19 akan dilakukan kepada semua warga dalam lingkungan PKPD terbabit yang mana warga positif akan diasingkan bagi tujuan pemantauan dan rawatan yang bersesuaian.

“Manakala warga yang didapati negatif akan divaksin oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuat kuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Kuala Kubu Bharu belanja lebih RM82,000 salur bantuan makanan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Sejumlah RM82,446.45 dibelanjakan untuk agihan bakul makanan kepada penduduk Kuala Kubu Bharu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sehingga 30 Jun lalu.

Wakil rakyatnya berkata inisiatif dijalankan sejak pertengahan Februari tahun ini memanfaatkan ribuan masyarakat yang majoriti golongan berpendapatan rendah (B40) dan hilang punca pendapatan.

“Edaran yang dibuat setiap hari oleh ketua kampung, ahli majlis dan wakil persatuan penduduk turut menumpukan keluarga mengibarkan bendera putih di rumah mereka.

“Penduduk diberi barang keperluan asas bernilai RM50 dan RM100 bergantung pada permohonan dibuat melalui pihak berkaitan,” kata Lee Kee Hiong ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau menjelaskan bakul bantuan diperoleh dari kedai runcit berhampiran sebagai usaha menyokong perniagaan penduduk setempat selain menampan kemelesetan ekonomi dihadapi peniaga terbabit.

“Kita tidak boleh menumpukan (perolehan barang) di pasar raya besar sahaja kerana peniaga kedai runcit juga mencari rezeki dan mahu mendapat keuntungan.

“Melalui kaedah yang saya gunakan, pihak berkenaan akan membeli barang keperluan tersebut dan memulangkan resit kepada pusat khidmat untuk direkodkan,” katanya lagi.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Banting belanja lebih RM100,000 bantu penduduk ketika pandemik

SHAH ALAM, 13 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting membelanjakan lebih RM100,000 bagi membantu penduduk susah di kawasan itu sejak awal tahun lalu.

Wakil rakyatnya berkata bantuan itu meliputi bakul makanan, peranti elektronik, alatan tulis, kerusi roda dan katil boleh laras.

“Sejak Januari lalu, kami di pusat khidmat masyarakat memang sentiasa berusaha mengesan individu atau keluarga yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Kini lebih RM100,000 telah dibelanjakan bagi membantu golongan ini. Kita harap dengan bantuan ini  sedikit sebanyak meringan beban penduduk,” kata Lau Weng San ketika dihubungi SelangorKini.

Menurutnya usaha murni itu akan sentiasa diterus bagi memastikan tiada golongan yang terputus bekalan makanan termasuk pelajar yang tercicir akibat pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kita tidak mahu ada pelajar yang tercicir dalam pelajaran kerana tiada peranti elektronik seperti komputer riba atau tablet. Justeru, kita akan memberi bantuan itu kepada mereka,” katanya lagi.

Orang ramai di sekitar DUN Banting yang mahu memohon bantuan boleh hubungi talian 012-638 4724/ 012-693 4724/012-692 4724/012-695 4724 atau emel [email protected].