Categories
ADN SELANGOR

ADN Kuala Kubu Bharu peruntuk lebih RM100,000 sumbang bakul makanan

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu memperuntuk sebanyak RM141,000 untuk bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan sejak awal tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) berkata daripada jumlah itu lebih 2,500 keluarga dibantu yang mana rata-ratanya hilang punca pendapatan kerana terkesan susulan pandemik Covid-19.

“Bantuan ini sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa dan fokus kita tidak hanya bakul makanan sebaliknya turut menyumbang komputer riba dan wang tunai bergantung atas permintaan,” kata Lee Kee Hiong kepada SelangorKini.

Penduduk sekitar DUN terbabit yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pusat khidmat masyarakat di talian 0111-550 9837.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pakej bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program itu memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 7,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Kota Kemuning

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lebih 7,000 bakul makanan diagih kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN Kota Kemuning terjejas akibat Covid-19 setakat ini.

Wakil rakyatnya berkata semua penerima mendapat bekalan makanan asas seperti beras, sardin, susu dan minyak.

“Kita dapati semakin ramai penduduk memerlukan bantuan selepas terkesan wabak malah jumlah kategori miskin bandar juga meningkat.

“Jadi kita akan teruskan program ini supaya dapat ringankan beban penduduk dan memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan,” kata V Ganabatirau pada sidang media peruntukan rumah ibadat selain Islam di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) semalam.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata pihaknya juga membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi menyediakan baucar membeli belah di pasar raya 99 Speed Mart bernilai RM50 setiap satu.

“Untuk golongan tertentu seperti warga emas terlantar, bantuan lampin pakai buang turut disediakan,” katanya.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 15,000 komuniti India negeri dapat bakul makanan sejak pandemik

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lebih 15,000 keluarga masyarakat India di negeri ini yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 dibantu sejak tahun lalu.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata bantuan melalui program bakul makanan bagi memastikan penduduk tidak terputus bekalan.

Beliau menjelaskan sumbangan diagih menggunakan dana rumah ibadat selain Islam berikutan projek pembinaan tidak berjalan tahun ini.

“Kita tiada peruntukan khas. Jadi gunakan peruntukan kuil untuk sediakan bakul makanan dan beri kepada keluarga memerlukan terutama B40 (golongan berpendapatan rendah),” katanya pada sidang media di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini semalam.

Selain itu, Ganabatirau berkata Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas) turut menyediakan bank makanan di kuil bagi masyarakat memerlukan.

“Bank makanan bukan untuk penganut Hindu sahaja malah agama lain termasuk warga asing. Tujuan kita membantu penduduk susah tanpa mengira agama, bangsa atau kaum,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MBI belanja RM800,000 sediakan bakul makanan sejak awal tahun

SHAH ALAM, 2 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan sebanyak RM800,000 bagi penyediaan bakul makanan sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata bantuan kepada golongan memerlukan hasil kerjasama 50 badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan pusat khidmat masyarakat.

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan usaha yang turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak termasuk agihan 6,000 baucar di pasar raya 99 Speed Mart dan KK Super Mart.

“Setiap baucar bernilai RM50 bagi membantu penerima mendapatkan barangan keperluan. Proses agihan secara dua peringkat dan kita dibantu 150 ahli majlis dari beberapa PBT.

Ahmad Azri Zainal Nor

“Akan datang kita akan sumbang barangan basah kepada golongan sasar sebagai langkah meringankan beban mereka,” katanya selepas menyerahkan bakul makanan kepada Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan Media Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Azri berkata pemberian bakul makanan akan dikhususkan kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selepas ini.

“Kita sudah serahkan kepada penduduk PKPD Sabak Bernam dan Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah selaras jaminan Dato’ Menteri Besar untuk hulur bantuan dalam tempoh 48 jam selepas dikenakan PKPD,” katanya.

Pada 12 Julai, Dato’ Seri Amirudin Shari memberi jaminan agihan bekalan bakul makanan diserahkan kepada penduduk yang dikenakan PKPD tidak lebih daripada 48 jam.

Categories
AGENDA NASIONAL

MBI sumbang 100 pek makanan kepada kelab Media Selangor

SHAH ALAM, 2 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 100 bakul makanan kepada Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan Media Selangor (KERISEMAS) hari ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan merupakan kesinambungan bantuan terutama kepada golongan memerlukan dan terjejas sepanjang pandemik Covid-19.

“Ketika ini kita tidak boleh menjalankan aktiviti bersemuka atau akademik bersama orang awam jadi ini cara kita mendekati masyarakat.

“Bakul ini mengandungi makanan asas seperti beras, minyak, gula dan bihun dengan anggaran RM70 setiap satu,” katanya selepas majlis penyerahan di pejabat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB).

Sementara itu, Pengerusi KERISEMAS Badrul Hisyam Mohamed berkata bakul makanan diagihkan mulai hari ini dan tidak hanya tertumpu kepada kakitangan MSSB sahaja.

“Kita juga serahkan kepada orang awam berpendapatan rendah (B40) selain bekas kakitangan MSSB yang terkesan wabak.

“Program ini merupakan percubaan KERISEMAS menyantuni masyarakat dan akan diteruskan pada masa hadapan, tidak tertumpu ketika penularan pandemik ini sahaja,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN pembangkang wujud pusat makanan di masjid bantu penduduk

SHAH ALAM, 1 SEPT: Wakil rakyat pembangkang negeri ini mewujudkan pusat makanan di masjid dan surau bagi membantu penduduk yang memerlukan sepanjang tempoh pandemik.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong berkata usaha itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menyantuni golongan terkesan di setiap kawasan.

“Sekarang di Sungai Burong kita mewujudkan pusat makanan untuk memudahkan penduduk datang dan ambil di mana lokasinya adalah di surau dan masjid.

“Selain itu, kita juga bekerjasama dengan sebuah kedai di mana penduduk yang terkesan boleh mengambil barangan keperluan mereka di kedai berkenaan,” kata Dato’ Mohd Shamsudin Lias.

Beliau berkata sebanyak RM200,000 dibelanjakan bagi mengagihkan bakul makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuat kuasa awal tahun ini.

Sementara itu, ADN Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail berkata bantuan diagihkan sepanjang masa meskipun kawasannya terletak di luar bandar dan mencatatkan kes Covid-19 yang rendah.

“Saranan Tuanku itu memang wajar dan akan diteruskan kerana ramai yang menghadapi kesulitan pada ketika ini. Sebanyak 6,000 bakul makanan telah diagih sepanjang tahun ini,” katanya.

Pada 23 Ogos, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk yang memerlukan bantuan.

Baginda bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 8,000 penduduk Pandan Indah terima bakul makanan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Lebih 8,000 penduduk Pandan Indah yang terkesan akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) diberi bakul makanan sejak Disember lalu.

Wakil rakyatnya Ir Izham Hashim berkata 1,000 bakul makanan diedar setiap bulan oleh pusat khidmatnya dengan peruntukan setiap bantuan bernilai RM50.

“Kawasan saya antara yang banyak menerima sumbangan, selain peruntukan Kerajaan Negeri kita juga menerima bantuan pihak swasta yang setiap bulan menyalurkan RM50,000 untuk 1,000 bakul makanan.

“Malah ada bakul makanan turut diagih luar kawasan Pandan Indah, kita mahu pastikan agihan dibuat secara adil bagi memastikan semua yang terkesan menerima bantuan,” katanya menerusi bual bicara bertajuk `Membangun negeri, menyambung merdeka’ yang disiarkan menerusi platform Media Selangor malam tadi.

Izham juga memaklumkan pihaknya juga memberi bantuan 500 tablet dan 200 komputer riba kepada pelajar bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Ia bukan sahaja di Pandan Indah tetapi juga seluruh Selangor dengan yang terbaru sim kad percuma selama setahun yang melibatkan 68,000 kad sim untuk diedar di seluruh Dewan Undangan Negeri.

“Saya juga difahamkan kit ujian kendiri juga akan diedar sebanyak 1,000 setiap DUN. Jadi banyak program sedang diusahakan kepada rakyat,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

2,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Sungai Kandis

KLANG, 31 OGOS: Sebanyak 2,000 bakul makanan diagih sepanjang tahun ini kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang terjejas akibat pandemik Covid-19 .

Wakil rakyat Mohd Zawawi Mohd Mughni berkata kebanyakan penerima terdiri golongan berpendapatan rendah selain mereka yang hilang sumber pendapatan.

“Bantuan berupa makanan asas seperti beras, minyak, gula dan tepung itu dapat mengelakkan mereka terputus bekalan makanan,” katanya selepas Program Minyak Hitam Percuma Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sungai Kandis hari ini.

Menurutnya beberapa syarikat terkemuka antaranya IOI Corporation Bhd dan GM Klang turut menghulur bantuan kepada penduduk Sungai Kandis menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kita alu-alukan syarikat korporat atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk sama-sama membantu bagi menjaga keperluan rakyat ketika pandemik ini,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 setiap DUN bagi menjayakan Program Bakul Makanan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Edar poskad hargai penerima vaksin negeri, boleh tebus bantuan

HULU SELANGOR, 29 OGOS: Sebanyak 1,000 poskad penghargaan diedar kepada penerima suntikan pelalian pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.

Penyelaras Pusat Khidmat Rakyatnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata pemegang poskad berkenaan boleh menebus bakul makanan dan barangan persekolahan di pejabatnya pada Oktober depan.

“Inisiatif ini sebagai penghargaan kepada individu hadir untuk melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dalam usaha kita berdepan wabak itu,” katanya ditemui pada program itu di Dewan Dato’ Abdul Hamid di sini, hari ini.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad

Saifuddin berkata seramai 3,100 penduduk di DUN berkenaan lengkap dua dos vaksin di bawah Selvax Komuniti yang membantu mencapai sasaran imuniti kelompok bagi memutuskan penularan wabak.

“Selepas ini kita akan fokus pula kepada golongan tercicir di bawah program Selvax bergerak pada bulan depan.

“Kita sasar untuk memberi vaksin kepada sekitar 200 hingga 400 penduduk, penerimanya sedang dikenal pasti pemimpin tempatan,” katanya.

Selvax dilancarkan pada hujung Jun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan dua juta dos kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 penduduk yang belum divaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.

Categories
PBT SELANGOR

MPK agih 5,800 bantuan makanan, ringan beban golongan terjejas PKP

SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyumbangkan 5,800 bakul makanan berupa keperluan asas seperti beras, gula, minyak dan telur kepada golongan terjejas susulan penularan Covid-19.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pihaknya menyedari kesukaran dihadapi mereka yang hilang mata pencarian disebabkan sekatan pergerakan dan ekonomi.

“Menjadi tanggungjawab MPK untuk peka kebajikan penduduk serta warga kerjanya kerana mereka merupakan sebuah keluarga perlu dijaga dan disokong dalam menghadapi wabak ini,” katanya.

Ahmad Fadzli berkata pihaknya turut dibantu agensi lain iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menyediakan 500 set bantuan dan 300 bakul disumbangkan Klanggroup Holdings Sdn Bhd.

“Kerjasama ini menterjemahkan usaha kerajaan bersama pihak lain untuk meringankan beban rakyat dalam saat-saat sukar,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 6,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Pelabuhan Klang

KLANG, 19 OGOS: Lebih 6,000 bakul makanan diagih sepanjang tahun ini kepada penduduk Pelabuhan Klang yang terkesan pendemik Covid-19, kata wakil rakyatnya.

Azmizam Zaman Huri berkata bantuan turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat persendirian yang mahu bersama-sama meringankan beban penduduk.

“Bantuan berupa makanan kering dan basah ini bukan hanya tertumpu individu terjejas kewangan sahaja sebaliknya mereka yang dikuarantin akibat pandemik.

“Kita akan terus membantu penduduk terutama mereka yang hilang kerja serta tiada sumber pendapatan bagi memastikan bekalan makanan tidak putus,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 kepada semua Ahli Dewan Negeri.

Pakej bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

 

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 3,000 penduduk Subang Jaya terima bakul makanan, baucar RM100

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntukkan lebih RM300,000 untuk menyediakan bantuan makanan kepada 3,554 golongan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Michelle Ng Mei Sze berkata setiap penerima mendapat bakul makanan dan baucar bernilai RM100 yang boleh ditebus di pasaraya terpilih.

Jelasnya baucar makanan turut diberikan kerana ada penerima memerlukan diet tertentu mengikut tahap kesihatan mereka.

“Mereka boleh memilih barangan makanan sesuai dengan diet mereka, jadi tidak ada pembaziran berbanding kalau kami beri bantuan yang sudah ditetapkan.

“Selain itu kami juga berterima kasih kerana ada penderma yang tampil membantu membolehkan lebih ramai penduduk dibantu ketika PKP,” katanya ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma di sini, hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.