Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais peruntuk RM2 juta bantu keluarga hilang kerja, pendapatan merosot

SHAH ALAM, 15 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntukkan sebanyak RM 2 juta untuk membantu 20,000 keluarga Islam yang terkesan akibat COVID-19 terutamanya golongan B40, mereka yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau mereka yang hilang punca pendapatan.

Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan hari ini berkata, MAIS telah mengagihkan sumbangan kepada 15,418 keluarga penerima dengan jumlah RM1.514 juta dari peruntukan agihan fidyah Mais, sejak Program Agihan Fidyah MAIS ini dilancarkan pada 28 Dis 2020.

“Sumbangan berupa pek makanan kepada pemohon yang layak, dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah Mais (RSAFM) yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah yang terlibat,” katanya.

Ahmad Shahir berkata, RSAFM memainkan peranan dengan membantu mengemas kini dan mengesahkan maklumat yang diperlukan oleh mereka serta menolong pengagihan fidyah MAIS.

Katanya Mais berharap agar sumbangan yang diterima, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang perlu ditanggung mereka, terutamanya ketua keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Mais mengajak semua umat Islam di Selangor yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan memerlukan bekalan makanan asasi untuk menyertai Program Sumbangan Agihan Fidyah Mais, dengan menghubungi mana-mana Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat masalah dan kemusykilan berkaitan permohonan bantuan agihan fidyah Mais, pemohon boleh merujuk pegawai urusetia Agihan Fidyah Mais (AFM) iaitu Ustazah Hafizatul Akmal Abd Jalil di talian 019-264 6277 atau Amirah Addilah Mohd Johari di talian 017-327 2069.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor rangka strategi bantu golongan terjejas perintah kawalan penuh

KLANG, 29 MEI: Kerajaaan Negeri akan merangka strategi bagi menyediakan bantuan bersesuaian kepada golongan terjejas susulan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial minggu depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bentuk sumbangan bakal diteliti dengan mengambil kira kedudukan semasa kewangan negeri.

“Saya baru lepas berbincang dengan pasukan dan mungkin boleh kenal pasti (bentuk bantuan) dalam masa terdekat. Kita perlu memikirkan perkara ini kerana kesannya sangat parah.

“Apatah lagi dalam tempoh dua minggu ditetapkan kita bimbang tidak boleh habis, mungkin akan lebih panjang,” katanya pada Saringan Komuniti percuma di Dewan Serbaguna Teluk Pulai di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa ini hingga 14 Jun.

Menerusi langkah itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada 20 Januari lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan pakej bantuan khusus untuk rakyat sebagai langkah mendepani cabaran Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pakej Kita Selangor memberi implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta kepada Kerajaan Negeri.

Categories
EXCO SELANGOR

Waris penghantar makanan maut ketika bertugas terima sumbangan

SHAH ALAM, 13 MEI: EXCO kesejahteraan bandar menyampaikan sumbangan RM500 setiap seorang kepada dua waris penghantar makanan yang meninggal dunia ketika bekerja.

Sumbangan diberikan kepada ibu Allahyarham Noor Asyraf Abd Rahim, Rahimah Zaiton Abdullah ketika mengunjungi kediaman keluarga itu di Pangsapuri Mentari, Seksyen U5, di sini.

Rodziah Ismail kemudian meluang masa bertemu isteri Allahyarham Badrul Hafiz Karim, Rozita Samsudin di pejabat EXCO bertempat Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Beliau berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban serta memberi keceriaan kepada keluarga mangsa.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga turut mengunjungi pusat pengumpulan barangan syarikat Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) serta menyampaikan sumbangan kepada penghantar barangan.

“Saya berharap syarikat e-panggilan tidak mementingkan keuntungan semata-mata sebalik perlu menjaga kebajikan pekerja yang komited menghantar pesanan siang dan malam,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kajang kumpul maklumat mangsa banjir untuk bantuan

KAJANG, 9 MEI: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang mengumpul maklumat individu yang menjadi mangsa banjir kilat di kawasan itu pada Rabu lalu.

Wakil rakyatnya, Hee Loy Sian berkata beliau difahamkan lebih 1,000 penduduk terbabit dan pihaknya sedang mengenal pasti untuk diberikan bantuan.

“Bantuan ini akan diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan. Kita akan cadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya memberi bantuan RM500.

“Walaupun nilainya tidak seberapa, diharap ia membantu mereka. Kita mungkin salur bantuan ini selepas raya,” katanya ketika meninjau program saringan Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian semalam.

Pada 5 Mei lalu dilaporkan hujan lebat menyebabkan lima kawasan di Kajang iaitu Taman Sungai Jelak, Taman Kantan Permai, Jalan Cheras Batu 13, Kampung Sungai Ramal Baru dan Jalan Sungai Kantan dilanda banjir kilat.

Sementara itu, Loy Sian berkata bantuan bakul makanan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan golongan memerlukan boleh memaklumkan pihaknya untuk tindakan lanjut.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Empat beranak hidup susah dapat duit, keperluan asas

SHAH ALAM, 8 MEI: Nasib empat beranak yang ditimpa kesusahan selepas kehilangan ketua keluarga akibat kemalangan mendapat perhatian wakil rakyat Rawang.

Chua Wei Kiat yang menziarahi keluarga itu kelmarin menyerahkan bantuan wang tunai dan barangan asas bernilai RM2,600 hasil kutipan orang ramai.

Beliau berkata Nurul Ain Ali, 21, yang kematian suami dua tahun lalu tinggal bersama anak perempuan dan ibu bapanya di rumah sewa dengan kadar RM500 sebulan.

“Beberapa hari lepas saya menerima mesej daripada pengerusi Persatuan Penduduk Ebony (Kota Emerald) berkenaan sebuah keluarga yang menghadapi masalah pendapatan.

“Kemalangan tersebut menyebabkan suami (Ain) maut dan tangannya cedera. Kini, mereka hanya bergantung kepada ibu Ain yang bekerja di restoran dengan pendapatan RM25 sehari,” katanya.

Wei Kiat berkata pusat khidmatnya turut memberi sumbangan bulanan RM200 kepada wanita terbabit melalui program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss).

Pengerusi Persatuan Penduduk Ebony (Kota Emerald) Lee Loong Hin berkata usaha mengumpul dana digerakkan sejak 4 Mei selepas kerap menerima panggilan daripada keluarga tersebut.

“Saya cuba hubungi semula dan dijawab oleh ibu wanita berkenaan yang memaklumkan dia simpan nombor saya semasa mewakili wakil rakyat mengagihkan bantuan makanan tahun lalu.

“Jadi, saya terus bertanyakan jika ada keperluan tidak cukup. Diharap bantuan ini memberi keceriaan kepada mereka sekeluarga untuk menyambut hari raya tidak lama lagi,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat gesa ikut SOP, sedia bantu penduduk terkesan PKP

SHAH ALAM, 6 MEI: Wakil rakyat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berharap penduduk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal menyifatkan PKP di enam daerah negeri ini langkah tepat berikutan merekodkan jumlah kes pandemik yang tinggi.

“Kawasan saya khususnya Bandar Baru Bangi tumpuan ramai untuk membeli-belah. Kita khuatir mesej kesedaran tidak sampai kepada mereka jika orang Bangi tidak bimbang mengenai perkara ini.

Mazwan Johar

“Jadi kita berharap pihak berkuasa dapat memantau lebih ketat SOP di kawasan tumpuan selain memastikan tiada pihak cuba merentas daerah,” kata Mazwan Johar ketika dihubungi.

Katanya, dalam tempoh berkenaan pihaknya juga akan mengagihkan bantuan makanan kepada golongan memerlukan yang dianggar mencecah ratusan keluarga.

Wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin pula meminta orang ramai mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung SOP PKP bagi mengelakkan kekeliruan.

“Bantuan ketika PKP juga sentiasa diberikan dengan kerjasama wakil penduduk. Mereka yang memerlukan sumbangan boleh maklumkan melalui e-mel [email protected],” katanya.

Sementara itu, ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed berpendapat risiko pelanggaran SOP mungkin tinggi ketika ziarah Aidilfitri.

Dr Gunarajah R George

“Jumlah 15 orang itu tidak ada masalah jika masing-masing mengikut SOP tetapi kita harap semua pihak dapat meminimumkan masa kunjungan mereka,” katanya.

ADN Sentosa Dr Gunarajah R George pula berkata beliau memahami situasi dialami peniaga yang terkesan berikutan PKP dan berharap mereka menggunakan kaedah jualan dalam talian.

“Bagi asnaf yang terkesan pula saya minta mereka datang ke pusat khidmat kerana kita ada peruntukan bagi membantu golongan ini,” katanya.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan PKP mulai hari ini hingga 17 Mei.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS salur pelbagai bantuan keluarga ’28 anak’ sejak 2010

SHAH ALAM, 5 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan zakat sejak 2010 kepada keluarga besar yang tular di media sosial semalam ekoran hidup dalam keadaan tidak kondusif dan mempunyai 28 orang anak.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M. Yusop berkata keluarga yang tinggal di Klang itu telah menerima pelbagai jenis bantuan antaranya bantuan sewa rumah, persekolahan, kecemasan dan modal bagi membaiki keadaan keluarga itu.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling kepada keluarga tersebut khususnya ketua keluarga manakala anaknya yang tidak bersekolah akan menghadiri kursus kemahiran sebagai usaha merubah mereka.

“Mereka juga akan diberikan motivasi termasuk perlu menandatangani akur janji untuk berubah. Manakala, anak-anak yang tercicir di sekolah menengah dibantu dengan mencari kursus vokasional dan latihan teknikal dalam membantu meningkatkan potensi mereka,” katanya selepas Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan oleh 24 syarikat, semalam.

Terdahulu, sebuah keluarga besar mempunyai 28 orang anak hasil perkahwinan bapa mereka bersama empat orang isteri yang hidup dalam keadaan tidak kondusif tular di media sosial dan mewujudkan pelbagai persepsi dalam kalangan netizen kelmarin.

Terdahulu, LZS hari ini menerima RM 7.7 juta zakat perniagaan daripada 24 buah syarikat.

Saipolyazan berkata pihaknya turut menyasarkan RM150 juta kutipan zakat merangkumi zakat harta dan fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

Selain itu, LZS turut melancarkan aplikasi ‘Zakat Selangor’ iaitu aplikasi pembayaran zakat mudah alih untuk memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan ibadah tersebut yang kini boleh dimuat turun di Playstore dan App Store.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

20,000 veteran tentera diminta daftar untuk salur bantuan

KUANTAN, 3 APRIL: Kira-kira 20,000 warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kegagalan golongan veteran ini membuat pendaftaran menurut Ismail Sabri, menyukarkan pihak ATM untuk menghulurkan bantuan yang diperuntukan kepada mereka.

“Justeru, saya minta persatuan veteran yang berada di setiap daerah mendapatkan golongan ini, kita nak tahu mereka masih ada atau sebaliknya. Setiap kali bantuan nak diberi itu masalahnya, kerana mereka tidak daftar dan kita tidak boleh nak sampaikan.

“Saya harap mereka ini daftar segera, antara faktor tidak mendaftar mungkin sebab duduk di luar bandar dan sebagainya, kami tidak ada maklumat mereka,” kata menteri pertahanan itu pada sidang media selepas menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia, kepada 295 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pahang.

Selain itu Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertahanan turut memperuntukkan kuota sebanyak 30 peratus kepada anak termasuk cucu veteran ATM untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ATM Bera dengan permohonan boleh dilakukan kini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata keputusan rentas negeri untuk Aidilfitri masih belum diputuskan dan segala keputusan dibuat bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), yang melakukan kajian terhadap kebolehjangkitan.

“Tunggu dulu, kita akan bincang lagi kerana kes di beberapa negeri diisytihar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masih tidak banyak berubah antaranya di Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang. Jika KKM kata stabil dan boleh rentas, kebenaran akan diberikan.

“Sama juga mengenai cadangan yang membolehkan penerima dua dos vaksin boleh rentas negeri, kita belum putuskan dan akan bincang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

63 kuil terima bantuan fasa pertama RM630,000

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Selangor menyalurkan sejumlah RM630,000 kepada 63 kuil di seluruh negeri melalui peruntukan rumah ibadat bukan Islam tahun ini.

Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) menjelaskan agihan bantuan fasa pertama membabitkan kelulusan permohonan yang direkodkan sejak Oktober hingga Januari lalu.

V Ganabatirau berkata sumbangan itu bagi membolehkan kuil berkenaan menjalankan pelbagai aktiviti untuk komuniti India di kawasan masing-masing.

“Saya minta mereka menggunakan peruntukan ini sebaik mungkin. Disebabkan pandemik Covid-19, bantuan diharap dapat digunakan untuk melakukan aktiviti kebajikan masyarakat setempat.

“Jangan asyik kita beri tumpuan kepada pembangunan kuil itu sendiri sehingga meninggalkan keutamaan masyarakat sejagat,” kata ketika menyerahkan cek bantuan kepada wakil persatuan kuil di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Ganabatirau yang juga wakil rakyat Kota Kemuning berkata pihaknya menganggarkan kira-kira 800 permohonan diterima daripada persatuan kuil sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, kelulusan permohonan terhad sehingga 350 berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat selain memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.

“Pada dasarnya, sebanyak RM2 juta diperuntuk untuk diagih kepada kuil Hindu. Kuil akan dapat bantuan antara RM5,000 hingga RM10,000 manakala RM20,000 bagi kes luar biasa.

“Kita mungkin tidak dapat beri bantuan besar seperti diinginkan, namun tekad untuk bantu jika dokumen permohonan lengkap,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor cakna OKU, terus hulur pelbagai bantuan

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Selangor akan terus cakna dan prihatin terhadap golongan istimewa di negeri ini dengan mewujudkan pelbagai bantuan.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan merangkumi peringkat keluarga, pendidikan dan masyarakat bertujuan menyedarkan orang awam kepentingan menolong orang kelainan upaya (OKU).

“Menerusi inisiatif Anak Istimewa Selangor (AnIS), kita menawarkan program Didik AnIS, Cikgu AnIS, Akademi AnIS serta Bantuan Khas AnIS,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut hari ini.

Menurutnya, menerusi sambutan saban tahun, ia membuka peluang kepada masyarakat memahami perspektif dunia dari kaca mata golongan istimewa terbabit.

“Memahami adalah langkah penting sebelum kita membantu,” katanya.

Dalam Belanjawan Selangor 2021 Kerajaan Negeri meluluskan sejumlah RM3.25 juta menjayakan program dan inisiatif pemberdayaan OKU termasuk seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Lembah Jaya sumbang hampir RM100,000 bantu penduduk terjejas Covid-19

AMPANG, 7 MAC: Pusat Khidmat Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya memperuntukkan hampir RM100,000 bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 hari ini.

Penyelarasnya Daing Muhammad Reduan Bachok berkata jumlah berkenaan membabitkan sumbangan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40), surau, ketua komuniti India dan Pusat Wanita Berdaya.

“Dari jumlah itu juga sebanyak RM60,000 diberikan kepada enam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Persatuan Belia Bandar Ampang Jaya dan Persatuan Muafakat Lembah Jaya turut menerima bantuan.

“Walaupun DUN ini tidak mempunyai wakil rakyat, namun kami akan pastikan keperluan rakyat mencukupi dan terjamin,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelajah sekitar Parlimen Ampang bagi melihat aktiviti masyarakat serta pembangunan kawasan itu.

Sementara itu, beliau berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Mac tahun lalu, pihaknya mengagihkan 3,700 bakul makanan kepada keluarga terjejas.

“Jumlah itu melibatkan 2,000 bantuan sepanjang tahun lalu manakala 1,700 dari Januari hingga hari ini.

“Sebanyak 300 bakul makanan kecemasan turut disediakan di PKR. Ini bagi memastikan individu yang benar-benar terjejas dapat dibantu segera,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Warga tani diseru daftar maklumat diri, mudahkan salur bantuan

HULU LANGAT, 25 FEB: Warga tani Selangor diseru untuk mendaftar maklumat peribadi dengan jabatan berkaitan bagi memudahkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata golongan itu merupakan mereka yang bergiat dalam sektor pertanian, nelayan, penternakan serta akuakultur.

“Kerajaan Negeri mahu mereka mendaftar maklumat peribadi kerana lebih mudah untuk kita salurkan sebarang bantuan. Kita ada banyak bantuan untuk warga tani, tetapi sayangnya maklumat mereka tiada dalam mana-mana agensi kerajaan berkaitan.

“Oleh itu saya gesa supaya semua warga tani di negeri ini segera berdaftar, tidak kisah sama ada anda usahawan tani secara kecil-kecilan ataupun berskala besar,” kata Ir Izham Hashim selepas menyerahkan 6,400 kilogram baja kompos percuma kepada petani di pasar lama Pekan Beranang hari ini.

Beliau menjelaskan sehingga kini hanya 20,000 individu yang mendaftar sedangkan Selangor mempunyai lebih 50,000 warga tani serta golongan terbabit boleh berbuat demikian di Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan mahupun pejabatnya di SUK.

“Memandangkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, kita akan permudahkan urusan pendaftaran dengan melantik ketua kampung dan juga ahli majlis untuk mencari warga tani ini.

“Data-data yang dikumpul ini juga amat berguna untuk Kerajaan Negeri memperkasakan pengeluaran makanan iaitu hasilnya dikeluarkan oleh warga tani kita sendiri,” katanya.