Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak: Bomba utama anggota di negeri berisiko banjir

KUANTAN, 2 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi keutamaan kepada pegawai dan anggota jabatan itu yang berkhidmat di negeri berisiko banjir untuk mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata dos penggalak itu penting sebagai perlindungan tambahan kepada kakitangan JBPM terutamanya kepada mereka yang akan terlibat dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa bencana.

“Walaupun kakitangan kita sudah lengkap dua dos vaksin, namun risiko dijangkiti tetap ada terutamanya dalam melaksanakan operasi menyelamat kerana kita tidak tahu status kesihatan mangsa dan keutamaan kita pada waktu itu ialah keselamatan setiap nyawa.

“Ada anggota yang agak berusia daripada pasukan perlu diturunkan pada masa bencana dan risiko dijangkiti (Covid-19) masih ada walaupun rendah selepas divaksin, menyebabkan kita perlu melindungi mereka,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini semalam.

Seramai 75 pegawai dan anggota JBPM negeri ini menerima APC manakala 25 lagi menerima sijil 30 tahun perkhidmatan dalam majlis itu yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pahang Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan timbalannya Mohd Zahar Abdullah.

“Semua pegawai dan anggota kita tidak mempunyai halangan bagi mendapatkan suntikan itu, kerana mereka telah melepasi tempoh enam bulan dari tarikh akhir suntikan kedua seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Setakat ini, katanya, kira-kira 1,400 kakitangan JBPM disahkan positif Covid-19 sejak pandemik itu melanda tahun lepas dengan 83 daripadanya adalah kes yang dilaporkan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata sebuah kompleks latihan operasi menyelamat di air yang mengkhususkan pada operasi menyelamat di empangan tembok rendah dan air deras, di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu, dijangka siap tahun depan.

Kompleks itu, yang merupakan antara terbesar di Asia Tenggara, adalah penambahbaikan modul latihan susulan tragedi enam anggota bomba lemas semasa melakukan operasi menyelamat di Lombong Taman Putra Perdana di Puchong, Selangor pada Oktober 2018.

“Hasil kajian jawatankuasa siasatan insiden itu mendapati aspek manusia dan kemudahan latihan yang boleh diperbaiki, daripada situ kita menghantar pegawai ke United Kingdom untuk belajar menjadi jurulatih danm pakar dalam operasi di empangan tembok rendah dan air deras.

“Kemudahan latihan juga dipertingkatkan bagi memastikan aspek kompetensi dalam kalangan pegawai dan anggota yang memerlukan latihan berterusan kerana mereka berhadapan situasi yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa atau memburukkan keadaan jika tiada latihan berterusan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: SOP menyelamat ketika banjir ditambah baik

KUANTAN, 27 OKT: Tatacar operasi piawai (SOP) menyelamat ketika musim banjir akan ditambah baik berdasarkan dapatan jawatankuasa siasatan insiden kematian seorang anggota bomba yang rebah dalam banjir ketika bertugas, minggu lepas.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata selain empat pegawai JBPM, jawatankuasa yang ditubuhkan baru-baru ini itu turut dianggotai seorang pakar perubatan.

Beliau berkata selain siasatan berkaitan pengurusan keseluruhan operasi, elemen utama siasatan oleh jawatankuasa itu juga melibatkan pengurusan rawatan segera terhadap mangsa serta bagaimana kawalan penilaian risiko dibuat semasa kejadian.

“JBPM sudah mempunyai manual SOP keselamatan dan kesihatan pekerjaan, namun kita terbuka untuk menambah baik kelemahan yang ada, terutamanya menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November,” katanya.

Nor Hisham berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Kursus Asas Pertauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Pada 21 Okt lepas, Mohd Diya Che Jusoh, 46, yang bertugas di BBP Melaka Tengah meninggal dunia pada 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, selepas rebah semasa menyertai operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, pada 20 Okt.

Sementara itu, Nor Hisham berkata pihaknya mewujudkan dua pangkalan hadapan bagi menghadapi musim tengkujuh iaitu di Wakaf Tapai, Terengganu yang akan menumpukan negeri-negeri di Pantai Timur, serta di Ayer Hitam, Johor, dengan bantuan dari negeri berhampiran yang tidak mengalami bencana itu.

Beliau turut memaklumkan JBPM telah melaksanakan penjajaran semula di semua BBP di seluruh negara bagi memastikan setiap balai memiliki keanggotaan yang mencukupi berdasarkan penilaian risiko lokaliti terlibat.

Nor Hisham menambah seramai 11 PBB telah dibatalkan lantikan dalam tempoh dua tahun sejak 2019 kerana masalah disiplin, termasuk penyalahgunaan dadah dan tidak hadir bertugas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Selangor semakin pulih, jumlah mangsa di Melaka meningkat

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Jumlah mangsa banjir di Melaka terus meningkat pagi ini manakala keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Selangor pula semakin pulih.

Di MELAKA, mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,105 orang daripada 283 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 932 mangsa daripada 249 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka Lt Kolonel Cuthbert John Martin Qudra berkata jumlah PPS di tiga daerah masih kekal 12 buah setakat ini.

Beliau berkata Melaka Tengah mencatat jumlah mangsa paling ramai membabitkan 718 orang daripada 173 keluarga di enam PPS.

Antara PPS dibuka di daerah tersebut ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, SK Krubong, SK Taman Merdeka, SK Ayer Molek dan SMK Bukit Katil.

Di daerah Alor Gajah pula seramai 121 mangsa daripada 38 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan SK Telok Berembang, manakala di Jasin, seramai 266 mangsa daripada 72 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Seri Bemban, SK Tehel dan SJKC Shuh Yen.

Beliau berkata lokasi terjejas banjir di Melaka Tengah antaranya Sungai Putat, Bukit Beruang, Malim Permai, Desa Duyong, Ayer Keroh, Taman Rambai Jaya, Kampung Sungai Badau, Bakar Batu, Balai Panjang, Kampung Kolam, Kampung Morten dan Tengkera.

Katanya bagi Alor Gajah, ia melibatkan kawasan antaranya Kampung Dalong, Kampung Danun, Parit Melana, Kampung Padang Keladi, Durian Daun dan Bukit Balai manakala di Jasin, lokasi terjejas antaranya Pekan Merlimau, Jasin Bestari, Asam Kumbang, Lubuk Kasau dan Tehel.

Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata setakat 8 pagi tadi keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di negeri ini semakin pulih.

“Keadaan banjir semakin baik dan mengikut rekod yang kita peroleh, terdapat tujuh pusat pemindahan di Sepang yang melibatkan 69 keluarga dengan 279 mangsa,” katanya kepada Bernama.

Norazam berkata pihak berkuasa akan membenarkan mangsa banjir di PPS pulang jika keadaan selamat dan semakin baik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba buat penerbangan ihsan bawa lima kotak organ dari Melaka ke HKL

MELAKA, 17 OKT: Satu operasi penerbangan ihsan bagi membawa lima kotak organ manusia untuk kegunaan pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) digerak menggunakan helikopter Agusta AW189 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata penerbangan itu mengambil masa lebih sejam setelah pesawat berlepas dari LTAM pada 2.36 petang.

“Misi ini menggunakan ambulans udara bertujuan mempercepat penghantaran bagi menyelamatkan nyawa, menjamin integriti organ yang dipindahkan dan menjamin kualiti penghantaran organ,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata ambulans udara itu dikendalikan juruterbang Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman dan pembantu juruterbang Penolong Kanan Penguasa Bomba Safri Rambli dari Pangkalan Udara JBPM Subang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA

Bekas jurugambar hilang di laut ditemukan selamat di Pulau Kendi

BALIK PULAU, 13 OKT: Seorang nelayan yang juga bekas jurugambar sebuah akhbar bahasa Inggeris nekad berenang ke Pulau Kendi dekat sini selepas botnya terbalik akibat dipukul ombak semalam.

Nasibnya baik apabila dia yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan semalam ditemukan selamat oleh nelayan di pulau itu dekat sini awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan mangsa Wan Mohizan Wan Hussein, 55, pada pukul 8.18 malam tadi.

“Sebaik menerima maklumat berhubung kehilangan mangsa pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang dengan bantuan polis.

“Berdasarkan maklumat awal daripada nelayan, tiada petunjuk mengenai kedudukan mangsa atau bot di lokasi dan pihak kami menjalankan operasi di kawasan dipercayai mangsa selalu menangkap ikan dan operasi ditangguhkan pada pukul 11.30 malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihak bomba menerima maklumat daripada polis mengenai penemuan mangsa pada 6.30 pagi tadi dan difahamkan Wan Mohizan yang memakai jaket keselamatan berenang ke Pulau Kendi sebaik bot yang dinaikinya terbalik.

Beliau berkata nelayan itu keluar ke laut pada pukul 3 petang semalam sebelum botnya terbalik dipercayai akibat dipukul ombak.

“Mangsa berenang ke Pulau Kendi sebelum diselamatkan nelayan dan dibawa ke Jeti Pantai Malindo, Jalan Kuala Sungai Burung di sini,”  katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wad hospital terbakar, 30 pesakit dipindah

SHAH ALAM, 11 OKT: Seramai 30 pesakit dua wad di Hospital Pantai di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang dipindahkan susulan kebakaran malam tadi.

Seramai 20 kakitangan hospital terbabit turut dipindahkan namun tiada mangsa cedera dilaporkan, maklum pengarah bomba Selangor.

Norazam Khamis berkata seramai 13 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 malam.

“Bomba yang tiba di lokasi pada jam 11.42 malam mendapati kebakaran melibatkan bilik bernombor A60 dan A61, namun telah dikosongkan.

“Pasukan bomba menggunakan konsep ‘receo’ iaitu membuat kerja menyelamat, memindahkan pesakit dan kerja pemadaman,” katanya.

Beliau berkata api berjaya dikawal 10 minit kemudian dan operasi ditamatkan jam 12.57 pagi manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba siap siaga kecemasan cuaca melampau, bencana alam bulan depan

LABUAN, 10 OKT: Sejumlah 12,000 anggota bomba di seluruh negara siap siaga bagi menghadapi musim monsun timur laut yang akan datang, dengan enam negeri dijangka mengalami banjir, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid hari ini.

Beliau berkata jabatan itu telah meningkatkan keupayaan logistik dan tenaga kerjanya untuk bertindak balas dengan berkesan serta membantu orang ramai sekiranya berlaku bencana.

“Kami telah dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi mengenai monsun akhir tahun (monsun timur laut) yang bermula bulan depan.

“Enam negeri termasuk Sabah diramal mengalami cuaca buruk dan kemungkinan bencana banjir. Kami sudah bersedia dan jika keadaan bertambah buruk, kami akan mendapatkan bantuan dari negeri berhampiran,” katanya kepada pemberita pada penganugerahan pingat jabatan dan perkhidmatan cemerlang di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata enam negeri yang diberikan tumpuan ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Beliau juga berkata sejak Januari lepas, jabatan itu telah menerima 115,000 panggilan kecemasan dari seluruh negara.

“Secara purata, kami menjawab kira-kira 400 panggilan kecemasan setiap hari dan kami tidak pernah menyangka bahawa semasa pandemik Covid-19, kami akan menerima jumlah panggilan kecemasan yang begitu tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Mohammad Hamdan juga berkata kira-kira 1,300 anggota bomba di seluruh negara telah diuji positif Covid-19 yang kebanyakannya membabitkan jangkitan dalam komuniti.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tujuh kawasan dilimpahi air pasang besar, waspada jika hujan lebat

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak tujuh kawasan di negeri ini dilimpahi air susulan fenomena air pasang besar hari ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Norazam Khamis berkata kawasan terbabit ialah Jeti Pelabuhan Selatan, Pengkalan Nelayan Telok Gong; Pantai Remis, Jeram; Sungai Janggut, Pasir Penambang, Kg Tok Muda Kapar, Pantai Morib Lama, Pantai Morib Baru dan Pantai Kelanang.

“Berlaku sedikit limpahan air kira-kira 0.2 meter tetapi masih terkawal. Air pasang besar berlaku jam 6 pagi dan kembali surut selepas satu jam.

“Kita menjangkakan keadaan mungkin buruk dan air naik sekiranya hujan lebat,” katanya kepada SelangorKini.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau air laut yang melimpah hingga ke jalan raya berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Kelanang, Kuala Langat pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Norazam turut menasihatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan dengan menyelamatkan barangan berharga dan peralatan elektrik untuk mengelak berlakunya renjatan.

“Kita minta jika terdapat arahan berpindah penduduk akur demi keselamatan mereka.

“Bomba sentiasa bersedia dan lebih kerap melakukan pemantauan ketika air pasang besar,” katanya.

Semalam, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menasihatkan penduduk di kawasan pesisir pantai di daerah itu supaya berwaspada sepanjang fenomena air pasang besar yang berlaku mulai hari ini hingga 10 Oktober.

Antara kawasan yang terbabit ialah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: Fenomena air pasang besar di lima daerah terkawal

SHAH ALAM, 7 OKT: Keadaan di kawasan pesisiran pantai di Selangor yang dilanda fenomena air pasang besar masih terkawal walaupun berlaku sedikit limpahan air di beberapa tempat, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis.

Beliau berkata limpahan air berlaku di Pantai Remis di Kuala Selangor; Jeti Pelabuhan Klang, Jeti Pulau Indah dan Telok Gong, Pelabuhan Klang; Jeti Tok Muda, Kapar; selain Bagan Sungai Lang, Bagan Parit Baru, Bagan Nahkoda Omar, Bagan Sekinchan dan Pantai Batu 3 di Sabak Bernam.

Norazam berkata fenomena air pasang besar dijangka berterusan membabitkan lima daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Klang dan Sepang dengan bacaan tertinggi dilaporkan hari ini adalah setinggi 5.6 meter pada 6.30 pagi tadi.

“Kami menasihatkan orang awam terutamanya yang tinggal di kawasan berkenaan agar mengambil maklum tentang tarikh yang dijangka berlakunya fenomena tersebut dan segera berpindah ke rumah saudara mara terdekat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Kuala Langat (MPKL) Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata anggotanya telah digerakkan bagi melakukan pemantauan di beberapa kawasan yang dikenal pasti mengalami limpahan air laut.

Beliau berkata kawasan di bawah pemantauan MPKL adalah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Berdasarkan jadual air pasang surut, daerah ini dijangka mengalami paras air tertinggi pada esok hingga 9 Okt dengan ketinggian 5.6 meter sekitar 6.30 pagi hingga 7.40 pagi. Manakala pada 10 Okt menunjukkan penurunan dengan paras air tertinggi hanya 5.4 meter pada 8.13 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MPKL akan menutup kawasan peranginan di pantai dan kemudahan-kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk, selain orang ramai dinasihatkan agar tidak mendekati atau memasuki serta menjalankan aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dan kawasan yang terlibat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayi maut jatuh ke dalam lubang tandas sebaik dilahirkan

SHAH ALAM, 27 SEPT: Seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang tandas sebaik sahaja dilahirkan di sebuah rumah di Parit 7, Sekinchan petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan berkata ketika kejadian kira-kira 4.03 petang itu, seorang wanita yang sedang mengandung kira-kira tujuh bulan melahirkan bayinya secara tidak sengaja di dalam tandas ketika hendak membuang air besar.

“Bayi yang dilahirkan telah terjatuh ke dalam (lubang) mangkuk tandas dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dalam masa 10 minit setelah memecahkan tandas tersebut,” katanya.

Beliau berkata bayi tersebut disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan ibunya yang berumur 37 tahun berada dalam keadaan stabil serta telah dihantar ke Hospital Tanjung Karang menggunakan ambulans.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kanak-kanak empat tahun dikhuatiri hanyut dalam longkang di Seksyen 26

SHAH ALAM, 26 SEPT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dikhuatiri hanyut dibawa arus deras dalam longkang di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali Siti Aisyah Supardi, warga Indonesia berstatus penduduk tetap.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 6.18 petang dan usaha mencari mangsa sedang dijalankan.

“Dipercayai kanak-kanak itu bermain berhampiran longkang dan terjatuh menyebabkannya hanyut dibawa arus deras susulan hujan berlarutan selama beberapa jam.

“Operasi mencari dan menyelamat membabitkan empat ahli Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 petang,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Norazam berkata sebuah kenderaan dilapor terkandas dalam banjir kilat di Seksyen 13 di sini, petang tadi.

“Beberapa kawasan sekitar Stadium Shah Alam dinaiki air sehingga empat kaki dan sebuah kenderaan terkandas namun pemandunya sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai diminta peka, waspada perubahan cuaca ketika riadah

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Orang ramai yang berhajat melakukan aktiviti riadah dan berkelah diminta peka terhadap sebarang perubahan cuaca dan persekitaran berikutan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula hujung bulan ini.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad berkata orang ramai perlu berwaspada terutama apabila melakukan aktiviti seperti mendaki dan berkelah di kawasan pantai atau air terjun.

Beliau berkata sikap sambil lewa dan memandang ringan terhadap situasi arus deras dan angin kencang merupakan antara punca berlakunya kemalangan di kawasan pantai dan air terjun.

“Orang ramai perlu beri perhatian terhadap sebarang perubahan air jika berkelah di kawasan air terjun untuk elak terperangkap akibat kepala air, terutama jika berlaku hujan pada hari sebelumnya. Jika lihat ada banyak ranting kayu, dahan pokok dan daun dibawa arus, mereka perlu hentikan aktiviti mandi-manda dan pergi ke kawasan selamat kerana ia petanda awal kejadian kepala air.

“Sekiranya berlaku hujan atau angin kuat, dinasihatkan kepada mereka yang berkelah di pantai atau air terjun untuk tidak meneruskan aktiviti di dalam air kerana kekejangan akan mudah berlaku berikutan air bertambah sejuk, ini merupakan faktor menyumbang kepada kejadian lemas,” katanya kepada Bernama.

Nor Hisham berkata penggemar aktiviti mendaki juga perlu berhati-hati berikutan hujan yang kerap ketika ini menyebabkan laluan mendaki menjadi licin dan berbahaya.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan JBPM bagi menghadapi fasa peralihan monsun dan Monsun Timur Laut yang akan datang, Nor Hisham berkata kebanyakan anggota JBPM akan diarah bertugas dan hanya 20 peratus daripadanya dibenarkan mengambil cuti.

“Ini bermakna dalam setiap syif yang terdiri daripada sembilan orang, hanya seorang sahaja anggota dibenarkan bercuti. JBPM akan memberi fokus terhadap enam negeri yang dijangka akan menerima taburan hujan yang tinggi iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Anggota JBPM dari negeri-negeri lain juga akan diarah bersiap sedia untuk membantu negeri yang teruk dilanda banjir sekiranya diperlukan,” katanya.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan sebelum ini menjangkakan negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan malam ketika fasa peralihan monsun bermula hujung September hingga awal November ini.

Monsun Timur Laut dijangka membawa lebih banyak hujan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak pada Disember hingga Januari tahun hadapan.

-BERNAMA