Categories
AGENSI SELANGOR

Bomba temui mayat remaja lemas di Tasik Cermin

SHAH ALAM, 16 SEPT: Seorang remaja berumur 19 tahun ditemukan lemas di Tasik Cermin, Puncak Perdana, dekat sini sekitar pukul 4 petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.08 petang dan tiba ke tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Sampai ke lokasi kejadian dan selepas membuat ‘size up’, kami difahamkan R.Puravinraj yang hilang, dipercayai lemas di dalam tasik. Anggota operasi bertindak membuat pencarian melalui ‘water surface’ dan membuat selaman.

“Pemuda itu berjaya dijumpai pada pukul 4.33 petang pada kedalaman empat meter di tasik itu, dan disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan kemudiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata kes telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Bomba pantau lapan lokasi ancaman kepala air di Hulu Selangor

SHAH ALAM, 23 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang memantau lapan lokasi tumpuan orang ramai yang berisiko berlakunya ancaman fenomena kepala air terutama ketika musim hujan di Hulu Selangor.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata kawasan tersebut adalah Latar Medang dan Sungai Kampung Orang Asli di Pertak, River View di Sungai Bernam, kawasan rekreasi Sungai Inki Kalumpang, Sungai Sendat dan Sungai Tua di Ulu Yam, Sungai Kedondong di Jalan Genting Highland dan Sungai Cilin di Kuala Kubu Baru.

“Bagi persediaan menghadapi kebarangkalian kejadian banjir pula, JBPM Selangor telah mengenal pasti beberapa lokasi atau kawasan yang sering banjir seperti di Bestari Jaya, Sepang, Dengkil, Batu 18 Hulu Langat, Gombak dan kawasan sekitar Rawang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Norazam berkata persediaan dari segi peralatan dan kelengkapan seperti bot dan perapian enjin sudah pun dilakukan, selain pemantapan kendiri anggota dan pegawai JBPM Selangor yang dilatih dengan kemahiran pengendalian bot dan latihan menyelamat di air.

Beliau berkata JBPM juga menyusun cuti anggota dan pegawai iaitu jika ada keperluan cuti akan dibekukan di samping meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan-kawasan rendah yang mudah dinaiki air.

Rabu lalu, beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai termasuk di Yan, Kedah, dilanda banjir akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki gunung itu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua lelaki warga India maut terhidu gas beracun di Cyberjaya

CYBERJAYA, 21 OGOS: Dua lelaki warga India maut dipercayai akibat terhidu gas beracun ketika melakukan kerja-kerja memasang kabel di dalam lubang laluan air ‘manhole’ di Persiaran SP3 di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa Kesavan Matarasan, 30, dan Sailu Makkala, 40, bersama lima lagi rakan melakukan kerja di tempat tersebut sebelum mereka dilaporkan sesak nafas dan tidak sedarkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata mangsa yang berada di dalam lubang sedalam 39 kaki (12 meter) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terhidu gas.

“Mayat kedua-dua lelaki itu berjaya dikeluarkan dari lubang tersebut (masing-masing) pada 4.30 petang dan 5 petang oleh anggota Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata seramai 20 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dan HAZMAT Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 2 petang.

“Anggota HAZMAT mengesahkan bahawa terdapat gas di dalam lubang berkenaan. Pemeriksaan kandungan udara dan gas dilaksanakan sebelum anggota melakukan kerja-kerja mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Cuaca panas hingga September, bomba pesan elak pembakaran terbuka

SHAH ALAM, 31 JULAI: Orang awam diminta untuk segera melaporkan insiden kebakaran kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di samping tidak membuat pembakaran terbuka ekoran cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, sebarang kejadian yang mencurigakan seperti asap dan api kecil perlu dilaporkan segera bagi mengelakkan ia menjadi lebih besar ataupun merebak.

“Terus maklum pada kita insya-Allah pihak kami akan respon secepat mungkin dan saya harap tiada pihak yang melakukan pembakaran terbuka, kerana takut tidak ada kawalan dan akan merebak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan, negara ketika ini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September.

Pada masa yang sama Hafisham berkata, JBPM Selangor sentiasa melakukan rondaan wajib di kawasan yang dikenal pasti menjadi ‘titik panas’ kebakaran, terutamanya ketika cuaca panas dan kering antaranya di Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan; HSKL Utara dan kawasan Johan Setia, Klang.

Beliau berkata, pihaknya kini giat menjalankan pemadaman di kawasan dipercayai lokasi pertanian di sekitar Johan Setia sejak Rabu, dan ia kini seolah-olah menjadi ‘rutin’ tahunan untuk pihaknya melakukan pemadaman di lokasi itu.

“Sebenarnya sudah selesai padam kebakaran pada Rabu (28 Julai), tapi selepas itu ada kawasan baru yang terbakar. Dipercayai kebakaran berpunca daripada aktiviti pertanian, ditambah dengan cuaca panas kering sekarang ini menyebabkan bacaan Indeks Indeks Pencemaran Udara (IPU) naik mendadak,” katanya.

Media melaporkan pada Rabu lalu, IPU tidak sihat tersebut dicatatkan sejak 2 pagi hari berkenaan pada paras 152 sebelum melonjak kepada 191 setakat 1 tengah hari, hari yang sama.

Dalam pada itu, Hafisham berkata Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 555 kes kebakaran hutan sehingga bulan ini, berbanding 279 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata pada tahun ini, pihaknya telah menyelesaikan dua kes kebakaran berskala besar di Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan, iaitu pada 27 Februari hingga 8 Mac dan 27 hingga 29 Jun lalu membabitkan lebih 200 keanggotaan daripada pelbagai agensi.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,240 kebakaran belukar atau lalang direkodkan untuk tempoh yang sama pada tahun ini berbanding hanya 791 kes tahun lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kontraktor arah henti kerja di tapak laluan LRT3, insiden disiasat

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd, Kontraktor Pakej Kerja GS09 Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) kini bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyiasat punca insiden perancah besi jatuh di tapak pembinaan projek itu di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Menerusi kenyataan hari, syarikat itu memaklumkan Arahan Henti Kerja (SWO) telah dikeluarkan bagi menghentikan serta-merta semua aktiviti pembinaan.

“Kami ingin mengucapkan takziah dan maaf kepada mangsa dan keluarga mereka serta meminta maaf kepada orang ramai atas sebarang kesulitan,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau kebimbangan berhubung isu keselamatan, sila hubungi talian LRT3 di 1 800 18 2585.

Terdahulu, media melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas perancah besi di tapak pembinaan itu jatuh manakala tiga lagi rakan senegaranya serta seorang rakyat Indonesia berusia 30-an mengalami cedera ringan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan pada 4.20 petang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kali pertama jadi bidan, anggota bomba syukur bayi selamat

SHAH ALAM, 25 JULAI: “Kepala bayi sudah hendak keluar dah ni!” jeritan seorang ibu yang berada dalam kesakitan hendak melahirkan anak semalam masih terngiang-ngiang dalam fikiran Pegawai Bomba Kanan II Nor Syuhadah Ahmad, 33, sehingga kini.

Pengalaman menyambut bayi perempuan di tempat duduk hadapan kereta di perkarangan tempat bekerja beliau di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dekat sini adalah perkara yang cukup luar biasa bagi Nor Syuhadah.

Nor Syuhadah yang memang tiada pengalaman dalam urusan kelahiran bayi, malah belum mendirikan rumahtangga berkata, beliau terpanggil untuk memberikan bantuan kepada Nyak Siti Nurleena Zulkarnain, 29, yang membatalkan hasrat ke Hospital Shah Alam bersama suami, sebaliknya mencari pertolongan terdekat di BBP Kota Anggerik kerana air ketuban telah pecah.

“Berbekalkan sarung tangan perubatan, saya bertawakal kepada Allah dengan niat hendak menolong wanita itu yang berada dalam kesakitan kerana bayi sudah hendak keluar ketika itu.

“Saya berdebar, baca doa banyak-banyak dan kemudiannya bayi itu keluar, menangis. Saya terbalikkan bayi itu dan mengusapnya, memastikan saluran pernafasan tidak terhalang, dan kemudiannya ambulans tiba,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nor Syuhadah berkata sebagai anggota bomba, walaupun latihan hanya tertumpu kepada kebakaran, naluri kemanusiaan mendorong beliau untuk menolong wanita itu, dan beliau gembira apabila kedua-dua ibu dan bayi perempuannya selamat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan hari ini berkata Nyak Siti Nurleena serta suami yang dalam perjalanan ke hospital itu memohon bantuan di BBP Kota Anggerik sekitar pukul 7 malam semalam, dan pada masa yang sama anggota bomba telah menghubungi pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bantuan.

“Pada 8.28 malam seorang bayi perempuan, yang merupakan anak kelima Nyak Siti Nurleena serta suami telah selamat dilahirkan, disambut oleh anggota bomba dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans KKM untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemadaman lokasi sisa tayar kitar semula terbakar dijangka selesai esok

KUALA LANGAT, 29 JUN: Operasi pemadaman kebakaran kawasan menempatkan sisa tayar kitar semula di atas jeti persendirian di Jalan Bandar Lama, Telok Panglima Garang di sini dijangka tamat esok.

Penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata setakat ini pihaknya menggunakan kaedah menggali dan menyiram kawasan terbakar di timbunan sisa setinggi 12 meter.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor

“Setakat ini kebakaran masih terkawal dan disyaki berpunca disebabkan terdapat bahan mudah terbakar selain faktor cuaca panas.

“Siasatan hanya dijalankan apabila operasi pemadaman selesai di kawasan terbakar seluas 0.37 hektar itu,” kata Hafisham Mohd Noor ketika ditemui hari ini.

Menurut beliau seramai 38 anggota dan pegawai melibatkan enam balai bomba ditugaskan dalam operasi pemadaman berkenaan.

Katanya, balai terlibat ialah Telok Panglima Garang, KLIA, Shah Alam, Puchong, Serdang, Kota Anggerik dan Sungai Pinang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Diusung bomba ke pusat vaksin, bekas atlet bersemangat terima suntikan

KOTA BHARU, 13 JUN: Bekas atlet bola keranjang kebangsaan, Wee Cheong Phor tetap bersemangat untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, walaupun terpaksa diusung anggota bomba ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana keuzurannya.

Walaupun dalam keadaan terlantar, Wee, 79, tetap berusaha untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di PPV Kompleks Balai Islam, Lundang pada Jumaat lepas (11 Jun), bagi memastikan dirinya terhindar daripada jangkitan virus maut itu.

Masalah kesihatan yang dialami Wee, sejak enam tahun lalu menyebabkan beliau hanya terlantar dan memerlukan pengendalian secara khusus bagi membolehkannya bergerak ke tempat lain.

Justeru, beliau dibawa menggunakan pengusung beroda oleh tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu menaiki ambulans milik jabatan tersebut untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Katanya, pada peringkat awal beliau terpaksa menolak janji temu pertama untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Mei lalu kerana beranggapan agak mustahil untuk dirinya yang berkeadaan sedemikian ke PPV yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya di Kampung Cina di sini.

“Walaupun terpaksa menolak janji temu pertama, saya tidak berputus asa. Saya cuba menghubungi Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan Datuk Oie Poh Choon yang juga sahabat saya untuk membantu mencari jalan bagi membawa saya ke PPV.

“Saya sangat terharu usaha yang dilakukan Oie mendapatkan bantuan pasukan bomba, akhirnya saya dapat dibawa ke PPV untuk menerima vaksin pada 11 Jun,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, hari ini.

Wee yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Jurulatih Persatuan Bola Keranjang Malaysia berkata anak sulungnya Wee Hoa Khee, 52, membantu beliau mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin itu.

Pada masa sama, beliau turut memuji proses pemberian vaksin di PPV yang diuruskan Kota Bharu Medical Centre (KBMC) kerana segala-galanya berjalan sangat lancar selain beliau turut diberikan laluan laju bagi menerima suntikan vaksin.

”Jadi, saya ingin menyeru orang ramai terutamanya golongan seperti saya agar segera menerima suntikan memandangkan ia tanggungjawab kita bagi melindungi diri, keluarga serta seluruh masyarakat daripada jangkitan wabak ini,” katanya yang akan menerima suntikan dos kedua pada 2 Julai depan.

Sementara itu, Oie berkata sehingga kini pihaknya sudah membantu hampir 20 orang di seluruh Kelantan yang tidak mengetahui cara untuk mendaftar di aplikasi MySejahtera selain turut menghadapi kekangan tidak memiliki alat peranti sendiri.

“Mereka terdiri daripada golongan warga emas, tinggal seorang diri dan tidak mempunyai kemudahan telefon bimbit. Kami membantu mereka untuk mendaftar sebagai penerima vaksin dan sekiranya mereka menghadapi kekangan untuk ke PPV, kami akan cuba sebaik mungkin membantu mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga bomba kena renjatan elektrik padam rumah atas air terbakar

KOTA KINABALU, 16 MEI: Kira-Kira 15 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Meruntum, Lok Kawi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah Mohd Ali Ismail berkata kejadian dipercayai bermula pada 5.30 petang dan pihaknya menerima laporan kira-kira 10 minit selepas itu sebelum api berjaya dikawal pada 8.01 malam ini.

Beliau berkata tiga anggota bomba mengalami kecederaan selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan operasi memadam kebakaran itu.

“Ketiga-tiga anggota itu mengalami kecederaan tidak serius dan sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I serta Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut, mereka berada dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, kita tengok 15 buah rumah terlibat tetapi kita akan buat pemeriksaan lagi tengok kerosakan semua, selepas ini kita akan memadam sisa-sisa yang terbakar sebelum menyiasat punca kebakaran itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Ali berkata seramai 25 anggota dan lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran daripada Balai Bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas dengan dibantu pasukan bomba Angkatan Tentera Malaysia dari Kem Lok Kawi yang terletak berhampiran kawasan kejadian.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota, pegawai bomba langgar SOP berdepan tindakan tatatertib

SHAH ALAM, 3 MEI: Anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dikenakan tindakan tatatertib sekiranya melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah kawalan pergerakan yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata sehingga kini dua pegawai termasuk seorang pegawai kanan yang terbukti melanggar SOP perintah kawalan dikenakan tindakan tatatertib.

Beliau berkata salah seorang daripada mereka ditahan di sekatan jalan raya kerana tidak mempunyai dokumen yang sah di Semenanjung manakala seorang lagi ketika menguruskan perniagaan keluarga lebih masa di Sabah.

“Anggota bomba juga seperti orang biasa yang perlu mengisi borang dengan lengkap disertakan dokumen. Mereka tidak akan dibenarkan rentas negeri kecuali tugas rasmi, kecemasan, kematian dan kecederaan.

“Sekiranya berlaku (pelanggaran SOP) kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pegawai berkenaan memandangkan keadaan begini (perintah kawalan) sudah begitu lama dan mustahil pada saya pegawai itu tidak memahami serta mengetahui arahan yang telah ditetapkan,” katanya pada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Selangor 2020 hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata seramai 8,296 anggota dan pegawainya selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara sehingga hari ini.

“Sehingga kini tiada anggota yang menunjukkan kesan yang kritikal daripada suntikan tersebut,” katanya.

Terdahulu, seramai 131 anggota dan pegawai JPBM Selangor serta sembilan anggota bomba bantuan diraikan dalam majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Empat rentung kenderaan terbabas bawah jejambat SKVE

SHAH ALAM, 1 MEI: Empat maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke bawah jejambat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan terbakar sepenuhnya di Jalan Teratai Batu 10 Kampung Kebun Bharu, Telok Panglima Garang awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.10 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang bergegas ke lokasi kejadian.

“Selepas selesai pemadaman sebuah kereta Mercedes didapati terdapat empat mangsa yang tidak diketahui identiti dan jantina.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa telah selesai dilaksanakan dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor negeri pertama serah jentera pemadam terbesar kepada pasukan sukarelawan

SUNGAI BULOH, 10 APRIL: Kerajaan Selangor menjadi negeri pertama menyumbangkan jentera pemadam (FRT) terbesar kepada Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS).

EXCO modal insan berkata sumbangan anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd bernilai RM160,000 itu diserahkan kepada PBS Saujana Utama bagi memudahkan urusan membantu masyarakat setempat.

“Kawasan ini mempunyai kira-kira 80,000 penduduk tetapi balai bomba agak jauh dari sini dan mengambil masa jika ada kecemasan.

Khairuddin Othman berucap di Majlis Penyerahan Kereta Bomba kepada Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 9 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Jadi dengan serahan ini, kita harap PBS dapat membantu orang awam secepat mungkin bukan hanya setakat memadam kebakaran tetapi kes-kes lain,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau ditemui pada majlis serahan FRT terbabit di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Saujana Utama malam tadi.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras itu turut meminta MDKS mewartakan tapak balai PBS terbabit secepat mungkin supaya bangunan lebih lengkap dan selesa dapat dibina.

“Dasar Dato’ Menteri Besar memang memudahkan urusan permohonan tapak terutama pembayaran premium sekiranya melibatkan kepentingan rakyat seperti pendidikan, keselamatan.

“Jadi kita harap agensi kerajaan mengambil peluang memohon (tapak) jika memang memerlukan. Ini tidak memberi masalah (untuk luluskan),” katanya.

FRT disumbangkan berkapasiti 3,000 liter air selain mempunyai ruang besar untuk memuatkan barang keperluan operasi menyelamat.