Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga penyelamat cedera terkena letupan ketika padam kebakaran kilang

JOHOR BAHRU, 12 DIS: Seorang pegawai bomba dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu, di Segamat, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata kesemua mereka adalah Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52, Pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman, 32, dan anggota ERT kilang Mohamad Azuraini Mahrani, 40.

“Kita (bomba) menerima panggilan kecemasan kebakaran pada 5.15 pagi. Semasa operasi pemadaman, berlaku satu letupan di tingkat tiga bangunan kilang pada kira-kira 10 pagi yang menyebabkan runtuhan pada struktur bangunan itu.

“Letupan menyebabkan Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini yang berada di tingkat tiga tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah manakala Syed Putra yang berada di tingkat bawah melecur di belakang kepala selepas terkena bahang letupan,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Mazuki berkata Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat manakala Syed Putra menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Beliau berkata keseluruhannya seramai 22 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat serta Labis terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran di bahagian dandang laluan habuk kayu di tingkat tiga bangunan kilang tersebut.

“Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 10.56 malam tadi, namun punca dan anggaran kerugian sedang disiasat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

86 peratus daripada 8,500 bangunan ditetap miliki sijil perakuan bomba

MELAKA, 29 NOV: Kira-kira 86 peratus daripada 8,500 bangunan di seluruh negara, ditetapkan untuk mempunyai sijil perakuan bomba (FC) meliputi bangunan kerajaan, premis industri, komersial, pusat beli-belah, hotel penginapan dan bangunan pejabat.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata semua bangunan tersebut perlu diperiksa dan diuji tahap keselamatan bagi mendapatkan perakuan yang diperbaharui setiap tahun itu selari dengan kehendak Akta Bomba dan Penyelamat 1988.

“Bagi negeri-negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak iaitu di pusat-pusat bandar yang besar, ia mempunyai jumlah bangunan lebih banyak perlu diperiksa untuk mendapatkan perakuan FC itu.

“Bangunan tersebut seharusnya mempunyai risiko kebakaran yang melepasi tahap-tahap tertentu diklasifikasikan di bawah Akta 341 dan ia penting jika berlaku sebarang kecemasan di premis, ia boleh dicegah atau dikawal di peringkat awal selain tidak menyebabkan kerosakan atau kemudaratan yang teruk,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Melaka di Kota Laksamana hari ini.

Hamdan berkata sebahagian daripada bangunan terlibat masih dalam proses pemeriksaan disebabkan kekangan sebelum ini yang menghalang pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh, ekoran sekatan pergerakan.

“Ada sesetengah pula minta ditunda pemeriksaan bagi menyelenggara dan membaiki bangunan agar dapat memenuhi syarat memiliki FC itu. Justeru, pihak bomba menasihatkan mereka yang belum mendapat sijil perakuan bomba ini agar tampil dan berbincang bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 341,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan skim takaful dan sumbangan berjumlah hampir RM194,000 kepada Noraida Che Nor iaitu balu Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba yang lemas selepas melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam Oktober lepas.

Sumbangan tersebut meliputi Skim Takaful Berkelompok, Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad, Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia dan Ibu Pejabat JBPM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai alat ganti kereta terpakai musnah, terbakar

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sebuah kedai menjual alat ganti kereta terpakai di Taman Segambut di sini musnah dalam kebakaran petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kira-kira 5.50 petang sebelum lapan jentera bomba dari balai Sentul, Jinjang, Sri Hartamas, Hang Tuah, Titiwangsa, Taman Tun Dr Ismail, Wangsa Maju dan Seputeh, tiba di lokasi kejadian.

“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan dan kebakaran tersebut melibatkan kedai menjual alat ganti kereta terpakai berkeluasan 4,000 kaki persegi yang terbakar hampir 90 peratus.

“Operasi pemadaman melakukan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’, dengan membahagikan pasukan pemadam kepada beberapa bahagian untuk mengelakkan api merebak ke kawasan lebih besar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan JBPM itu menyatakan setakat 8.30 malam tadi, kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan.

Kebakaran berhampiran susur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Selayang itu turut mengakibatkan trafik sesak dari Jalan Loke Yew sehingga lokasi di Jalan Kuching.

Kejadian tersebut turut tular di laman sosial, dengan pengguna memuat naik gambar dan video kejadian berkenaan yang memaparkan api sedang marak dan kepulan asap tebal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir surut, sukarelawan giat bersih rumah

SHAH ALAM, 23 NOV: Banjir kilat setinggi 0.3 meter hingga 1.5 meter sekitar Lembah Jaya, Ampang malam tadi surut selepas tiga jam, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata air mendadak naik mulai jam 7 petang akibat hujan lebat berterusan lebih tiga jam sekitar Lembah Klang.

“Air mula surut pada jam 11 malam dan penduduk terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang. Semalam merupakan antara banjir terburuk di kawasan berkenaan.

“Selain faktor hujan lebat, perparitan juga menjadi punca banjir kilat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata sejak pagi tadi pihaknya bersama agensi Kerajaan Selangor giat membersihkan rumah penduduk serta kawasan persekitaran.

Malam tadi kawasan sekitar Ampang, Hulu Langat dan Gombak mengalami banjir kilat. Bagaimana tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Susulan itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pihak berkuasa tempatan, KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN akan memberi bantuan kecemasan serta perpindahan selain Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu kerja pembersihan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mekanik maut dihempap kereta dibaikinya

GEORGE TOWN, 21 NOV: Seorang mekanik maut selepas dihempap sebuah kereta ketika sedang membaikinya di sebuah rumah yang dijadikan bengkel membaiki kenderaan di Kampung Bayan Lepas, dekat sini malam tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru Helmirizal Che Morad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.54 malam tadi sebelum sepasukan bomba terus ke lokasi kejadian.

“Sebaik pihak bomba tiba di lokasi kami mendapati seorang lelaki berada di bawah sebuah kereta yang menghempapnya dan mangsa yang berusia 31 tahun ketika itu sudah tidak bergerak.

“Berdasarkan maklumat, sebelum kejadian mangsa sedang membaiki sebuah kereta jenis Proton Saga dan tiba-tiba kereta terbabit menghempap separuh daripada badan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya pihak bomba menggunakan peralatan Rescue Tools sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada1.02 pagi dan pemeriksaan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian mendapati lelaki itu telah meninggal dunia.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota bomba bertugas ketika tengkujuh keutamaan terima dos penggalak

KOTA BHARU, 18 NOV: Pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terbabit dalam tugasan pengurusan bencana banjir pada musim tengkujuh akan diberi keutamaan untuk menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata ini kerana mereka antara golongan berisiko yang terdedah dengan penularan Covid-19 ketika menjalankan tugas.

“Bertugas dalam keadaan negara dilanda wabak Covid-19 memang mencabar termasuk ketika menguruskan mangsa banjir dan kita sentiasa mengambil berat mengenai aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang menjalankan tugas.

“Malah kesihatan anggota sentiasa dipantau agar berada dalam keadaan baik serta tidak mempunyai sebarang gejala sebab itu apabila mereka mengambil dos penggalak ini sekurang-kurangnya tahap kesihatan mereka terjamin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat hari ini.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata bagi pegawai dan anggotanya di Sarawak pula, sebanyak 84 peratus telah menerima suntikan dos penggalak.

Selain itu, mengenai pemberian vaksin Covid-19 pula, beliau berkata setakat ini 98 peratus anggota dan pegawai seluruh negara telah lengkap dua dos dan hanya dua peratus sahaja tidak menerima suntikan itu kerana masalah kesihatan seperti penyakit berisiko.

“Bagi anggota dan pegawai yang tidak menerima vaksin ini, mereka bukan antivaksin tetapi disebabkan nasihat daripada pakar perubatan, menyebabkan mereka tidak boleh disuntik vaksin Covid-19.

“Setakat ini kita amat berpuas hati dengan penglibatan pegawai dan anggota yang menyahut seruan kerajaan untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kepala air: Bomba Kedah kenal pasti 18 lokasi berisiko tinggi

JITRA, 10 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti 18 lokasi berisiko tinggi untuk berlaku kejadian kepala air di negeri ini, pada musim Monsun Timur Laut ketika ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata antara lokasi paling banyak dijangka berlaku kejadian itu adalah di daerah Yan, Kubang Pasu (Jitra) dan Baling.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai untuk menangguhkan percutian bersama keluarga buat sementara waktu ini yang membabitkan aktiviti perkelahan di kawasan air terjun mahupun sungai untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Di kawasan tasik juga tidak digalakkan untuk datang. Kalau ikutkan banyak lokasi terdedah dengan bencana kepala air ini termasuk Baling, Yan, Langkawi dan di sini (Jitra)…kita akan buat pemantauan secara berkala di lokasi terbabit,” katanya kepada pemberita di kawasan perkelahan Bukit Wang di sini hari ini yang berlaku kejadian kepala air petang semalam.

Bagaimanapun, kejadian pukul 6 petang itu tidak melibatkan kematian sebaliknya tiga keluarga telah berjaya dipindahkan serta dua mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan.

Mengulas lanjut, Mohamadul Ehsan berkata pihak bomba akan memantau setiap dua jam sekali di kawasan yang dikenal pasti berisiko untuk berlakunya kejadian kepala air itu.

“Jika hujan lebat berterusan sememangnya dijangka berlaku kejadian kepala air ini di kawasan air terjun dan sungai,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Air pasang besar diramal awal Disember, penduduk pesisir pantai perlu waspada

SHAH ALAM, 8 NOV: Fenomena air pasang pada minggu lalu terkawal walaupun limpahan air berlaku di beberapa kawasan, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Penolong Pengarah Operasi Hafisham Mohd Noor berkata sepanjang fenomena bermula Rabu hingga semalam, paras air laut tertinggi direkodkan mencecah 5.6 meter.

“Ada kediaman penduduk dinaiki air namun surut semula dalam tempoh masa singkat. Susulan itu tiada pembukaan mana-mana pusat pemindahan.

“Berdasarkan pengalaman, banjir dijangka berlaku sekiranya air pasang mencecah lebih tujuh meter atau kejadian ban pecah. Jadi kita bersama agensi lain akan memantau perkara ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Hafisham berkata air pasang diramal berlaku lagi pada awal Disember depan dengan jangkaan paras tertinggi kurang daripada enam meter.

“Jadi kita minta penduduk yang tinggal berhampiran pesisir pantai supaya mengambil maklum mengenai perkara ini, dan sentiasa waspada” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor minggu lalu melibatkan kawasan Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu turut melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama serta memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan jadikan fenomena air pasang besar sebagai pesta

KANGAR, 8 NOV: Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjadikan fenomena air pasang besar sebagai pesta untuk bersuka ria, bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata malapetaka atau bala, boleh sahaja berlaku walaupun sesuatu aktiviti itu dianggap sekadar hiburan atau riadah.

“Masyarakat kita beranggapan banjir (termasuk air pasang) itu bukan bencana kerana keghairahan untuk bermain air. Kita (masyarakat) seharusnya peka dengan keadaan sekeliling kerana apa yang pasti kita sebagai penduduk di kawasan itu lebih tahu keadaan sekeliling.

“Sebagai contoh, kita tinggal di suatu kawasan penempatan, kita tahu apa risiko yang ada sekiranya terjadi bencana, jadi elak berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, antara insiden yang boleh dijadikan iktibar ialah kejadian meragut nyawa seorang anggota bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh pada 20 Okt lepas, apabila wira negara yang lengkap dengan peralatan untuk menyelamat mangsa itu, turut terkorban.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya sendiri tidak boleh melarang mana-mana individu untuk melakukan tindakan sedemikian, namun apa yang pasti nasihat boleh diberikan dan perlu cegah sebelum terlambat.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 68 anggota dan pegawai yang menerima pingat kebesaran jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020.

Beberapa negeri termasuk Kedah, Perak, Selangor dan Johor sebelum ini dilaporkan mengalami fenomena air pasang besar sejak Khamis lepas (4 Nov) dan dijangka berakhir semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh ragut nyawa, jangan jadikan air pasang besar bagai pesta

KANGAR, 7 NOV: Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjadikan fenomena air pasang besar sebagai pesta untuk bersuka ria, bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata malapetaka atau bala, boleh sahaja berlaku walaupun sesuatu aktiviti itu dianggap sekadar hiburan atau riadah.

“Masyarakat kita beranggapan banjir (termasuk air pasang) itu bukan bencana kerana keghairahan untuk bermain air. Kita (masyarakat) seharusnya peka dengan keadaan sekeliling kerana apa yang pasti kita sebagai penduduk di kawasan itu lebih tahu keadaan sekeliling.

“Sebagai contoh, kita tinggal di suatu kawasan penempatan, kita tahu apa risiko yang ada sekiranya terjadi bencana, jadi elak berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, antara insiden yang boleh dijadikan iktibar ialah kejadian meragut nyawa seorang anggota bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh pada 20 Oktober lepas, apabila wira negara yang lengkap dengan peralatan untuk menyelamat mangsa itu, turut terkorban.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya sendiri tidak boleh melarang mana-mana individu untuk melakukan tindakan sedemikian, namun apa yang pasti nasihat boleh diberikan dan perlu cegah sebelum terlambat.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 68 anggota dan pegawai yang menerima pingat kebesaran jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020.

Beberapa negeri termasuk Kedah, Perak, Selangor dan Johor sebelum ini dilaporkan mengalami fenomena air pasang besar sejak Khamis lepas (4 November) dan dijangka berakhir hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba temui mayat kanak-kanak dengan kesan gigitan buaya

LAHAD DATU, 7 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki warga Filipina yang dilaporkan hilang selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Kampung Bakau Lama di sini semalam, ditemukan meninggal dunia pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata mayat Ibrahim Tolento, 10, ditemukan penduduk kampung terapung kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian di sungai berkenaan pada 6.41 pagi.

“Mayat ditemukan dengan kesan gigitan di kaki kiri dan pinggang, dipercayai akibat diserang buaya, namun mayat itu masih dalam keadaan sempurna, dan sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya beliau difahamkan dalam kejadian sekitar tengah hari semalam, arwah bersama dua rakannya sedang mencari udang di bawah rumahnya untuk dijadikan umpan memancing, apabila mereka tiba-tiba diserang buaya.

“Rumah Ibrahim terletak di atas air, difahamkan mulanya dia dapat melepaskan diri, namun buaya itu menyerang sekali lagi sebelum dia ditarik ke dalam sungai dan hilang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Limpahan air di Kuala Selangor, Tanjong Karang namun terkawal

SHAH ALAM, 7 NOV: Beberapa kawasan di sekitar Kuala Selangor dan Tanjong Karang dinaiki air susulan fenomena air pasang besar, kata pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Norazam Khamis berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor melakukan pemantauan bermula dari jam 6.45 pagi hingga 7.45 pagi, lapor portal Berita Harian.

“Antara kawasan yang dipantau adalah Pantai Remis, Pantai Jeram, Sungai Janggut dan Jambatan Kuala Selangor.

“Kami dapati berlaku peningkatan air pasang besar di beberapa kawasan tetapi tidak membahayakan penduduk berhampiran dan keadaan di lokasi terkawal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata anggota BBP Tanjong Karang turut melakukan pemantauan di Pantai Bagan Pasir dan Pantai Sungai Kajang selepas air pasang dikesan pada jam 6.22 pagi tadi.

“Berlaku limpahan air di kawasan tersebut tetapi keadaan terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan,” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar akan melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu turut dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.