Categories
SELANGOR

Jangan promosikan Malaysia sebagai destinasi arak

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 SEPT: Malaysia yang sering dilaungkan sebagai negara Islam tidak sewajarnya dipromosikan sebagai destinasi minuman arak menerusi Better Beer Festival 2017.

Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, acara itu diuar-uarkan dengan begitu gah sehingga menampakkan negara majoriti Islam sebagai destinasi utama minuman keras di rantau ini.

Katanya, ia melibatkan isu besar dan mesti diberi perhatian pihak berkaitan.

Iskandar Abdul Samad“Ini bukan isu PAS tetapi isu umat Islam kerana ia boleh beri kesan buruk kepada negara.

“Kita tidak menghalang bukan Islam minum tetapi jangan sampai ada festival promosi negara ini sebagai destinasi arak.

“Kita bukan halang tetapi kita mohon jaga sensitiviti umat Islam,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus selesai menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Iskandar berkata, penganjuran festival itu bagaimanapun tidak pernah dibincangkan di peringkat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pihaknya menolak permohonan penganjuran festival yang dijangka diadakan pada 6 hingga 7 Oktober ini.

Categories
SELANGOR

Persekutuan disaran beri rizab kereta api kepada rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerajaan Persekutuan disaran mempertimbang pemberian tanah kepada peneroka bandar yang menduduki tanah rizab yang diberikan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebelum ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, KTMB kini adalah entiti swasta dan tanah berkenaan dibimbangi digunakan bagi tujuan lain selain kereta api.

Katanya, perkara itu sudah berkali dibincangkan namun, Perbadanan Aset Keretapi bertegas bahawa mereka masih memerlukan rizab kereta api.

CP2A5465“Kita minta rizab dibatalkan dan diberikan kepada penduduk sebab kita melihat mustahil untuk keretapi lalu di kawasan berkenaan.

“Lagipun, penduduk sudahpun menduduki kawasan berkenaan bagi satu tempoh lama, maka wajarlah dipertimbangkan untuk diberikan kepada mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus selesai menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Antara rizab kereta api yang diduduki peneroka bandar termasuk di Kuang, Ijok dan Rawang.

Iskandar berkata, terdapat juga kediaman peneroka bandar di rizab jalan, rizab sungai, rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan lain-lain.

“Jika sesuai, kita akan syorkan agar mereka diberikan hak milik.

“Jika perlu juga, kita akan pindahkan mereka ke tapak lain yang sesuai atau tawarkan Rumah Selangorku,” katanya.

Categories
SELANGOR

Exco Kanan: PAS komited bersama Kerajaan Negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kebarangkalian Umno untuk menarik wakil rakyat Kerajaan Negeri, termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS adalah mustahil, tegas Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Exco Kanan Kerajaan Negeri itu berkata, PAS sentiasa komited untuk bersama menunaikan amanah memajukan Selangor yang diberikan rakyat sejak 2008.

“Saya tidak nampak itu berlaku kerana Kerajaan Negeri sekarang berfungsi dengan baik.

“Pelbagai program sudah dilaksana demi kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus selesai menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan sumber memberitahu kemasukan Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam Umno sepatutnya diiringi berita kemasukan kesemua ADN PAS, lapan ADN KEADILAN serta wakil rakyat bebas ke dalam Umno, seterusnya menumbangkan Kerajaan Negeri.

Pemerhati politik juga melihat langkah itu membayangkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno untuk mengguna pakai jalan sama seperti di Perak satu ketika dahulu untuk mengalahkan seteru politiknya di Selangor.

Iskandar berkata, pengumuman dibuat Presiden Umno itu juga merupakan tamparan kepada Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

“Pengumuman itu dibuat secara besar-besaran, seolah-olah dia masuk balik Umno untuk ganti peranan dimainkan Noh selama ini untuk rampas Selangor.

“Mungkin kerana Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri kecewa dengan prestasi Noh,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jangan korban rakyat kerana nafsu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 SEPT: Nasib golongan pekerja dan rakyat tidak boleh dikorbankan demi memenuhi tuntutan nafsu masing-masing, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Katanya, tindakan mengorbankan pihak lain atas tuntutan nafsu akan mengakibatkan balasan keras di akhirat.

“Tetapi jangan pula kita mengorbankan orang lain. Jangan pula majikan mengorbankan pekerja, pemimpin mengorbankan pengikut atau pemimpin mengorbankan rakyat semata-mata kerana hawa nafsu masing-masing dan ingatlah balasan Allah SWT itu amat keras,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidil Adha di sini, hari ini.

Katanya, masyarakat di Malaysia pada masa ini masih bernasib baik kerana belum lagi perlu mengorbankan nyawa tetapi hanya berkorban tenaga, wang ringgit, harta benda, keselesaan, masa dan ego.

Iskandar turut mengingatkan semua golongan masyarakat tidak jemu meneruskan perjuangan masing-masing yang ada kalanya memerlukan pengorbanan.

“Ibu bapa berkorban demi keluarga, anak berkorban demi ibu bapa, guru berkorban demi murid, majikan berkorban demi pekerja, pemimpin berkorban demi pengikut dan pemimpin berkorban demi rakyat.

“Semoga pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS akan menjadi satu motivasi meneruskan usaha kita,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri takkan biar penduduk PPR dihalau

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 JUL: Kerajaan Negeri bersedia menghalang sebarang tindakan Kerajaan Persekutuan menghalau penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 yang enggan mendaftar dengan mereka.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Persekutuan tidak berhak menghalau penghuni selagi tiada penyerahan secara rasmi dari Kerajaan Negeri kepada mereka.

Katanya, Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dipengerusikan Dato’ Menteri Besar pada 13 Julai lalu memutuskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan terus menguruskan PPR berkenaan.

iskandar01“Mesyuarat juga menetapkan Kerajaan Negeri akan tetap dengan tuntutan RM60 juta dari Kerajaan Persekutuan untuk segala kos penyelenggaraan dan baik pulih sepanjang ia diuruskan MBPJ sejak 2001.

“Kerja sedang dilakukan Kerajaan Persekutuan di PPR itu juga tidak mendapat kebenaran MBPJ dan mereka perlu bertanggungjawab ke atas sebarang kemalangan, kecederaan atau kematian akibat kerja berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, penduduk mengadu Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tempoh sehingga 22 Julai ini bagi penyewa mendaftar atau unit mereka bakal diisytiharkan kosong dan disewakan kepada orang lain.

Iskandar berkata, ugutan Kerajaan Persekutuan itu bagaimanapun tidak perlu dikhuatiri kerana Kerajaan Negeri yang berkuasa ke atas pengurusan PPR berkenaan.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan untuk menghalang sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan mengusir penduduk.

“Ugutan Kementerian adalah selari dengan amalan Kerajaan Barisan Nasional yang menghalau rakyat dari tempat tinggal mereka sepertimana polisi ‘Setinggan Sifar’ ketika mereka menguasai negeri Selangor sebelum ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Umno-BN ajar penduduk budaya subsidi dan ‘semua percuma’

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pangsapuri Seri Perantau sewajarnya menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi melancarkan segala urusan berkaitan, selaras Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri menerusi Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sudah melantik ejen pengurusan bagi mengatasi kelemahan pengurusan di pangsapuri itu.

Katanya, ia juga bertujuan melancarkan proses peralihan pengurusan kepada JMB supaya menjadi lebih teratur dan lancar.

“Ejen pengurusan dilantik membantu Kerajaan Negeri memberi fakta tepat berkenaan permasalahan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau.

“Berdasarkan fakta itu, Kerajaan Negeri mengadakan pelbagai program memberi pendidikan dan kefahaman kepada penduduk berkenaan tanggungjawab membayar caj, keupayaan pengurusan berdasarkan hasil kutipan caj sedia ada, penjagaan harta bersama serta peranan dan kelebihan penubuhan JMB,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, langkah ‘mendidik’ sangat penting kerana Kerajaan Negeri sentiasa menekankan keperluan pembangunan komuniti bestari untuk jangka masa panjang, walaupun ia tidak popular dan ‘tidak nampak’.

ISKANDAR SAMAD“Ini kerana, Kerajaan Negeri sudah melahirkan beberapa JMB pangsapuri kos rendah yang berjaya, malah pengurusannya lebih baik dari pangsapuri kos sederhana dan tinggi.

“Punca utama kegagalan pengurusan di Pangsapuri Seri Perantau kerana Kerajaan Negeri terdahulu hanya fokus kepada pemindahan setinggan.

“Penduduk juga dimomokkan dengan budaya subsidi atau semuanya ditangung percuma sehingga unsur pendidikan kepada budaya kehidupan berstrata dan pembentukan komuniti bestari diabaikan,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Saroni mendakwa Kerajaan Negeri gagal menyelesaikan isu pangsapuri berkenaan dan mendesak Iskandar meletak jawatan.

Categories
SELANGOR

Noh cari publisiti murahan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 JUN: Dakwaan Tan Sri Noh Omar kononnya Kerajaan Negeri mengabaikan pangsapuri di DUN Chempaka adalah tidak berasas, tegas Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka berkata, tindakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dilihat sekadar bertujuan mencari publisiti murahan.

Katanya, sejumlah RM2.7 juta diperuntuk kepada sembilan pangsapuri di bawah Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) dan RM792,000 melalui skim baik pulih jalan diperuntukkan kepada tiga pangsapuri kos rendah.

“Sebanyak 90 peratus dari kerja baik pulih skim CERIA sudah siap dan dapat dinikmati penduduk,” katanya dalam kenyataan.

ceria-iskandar-selayang-01Iskandar berkata, sejumlah RM1.1 juta turut diperuntuk bagi membaiki empat unit lif di dua pangsapuri menerusi Program Smart Life.

“Ia termasuk Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama yang dilawati oleh Menteri baru-baru ini.

“Tetapi memandangkan Kerajaan Persekutuan akan membaik pulih lif di situ, maka pangsapuri lain akan dipilih untuk menggantikan Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama,” katanya.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri bukan seperti Kerajaan Persekutuan yang tiba-tiba muncul dan menawarkan bantuan apabila pilihan raya hampir tiba.

“Kami yakin rakyat akan menolak sandiwara politik murahan ini.

“Kerajaan Negeri tiada masalah jika Kerajaan Persekutuan benar-benar hendak memberikan peruntukan untuk membaik pulih pangsapuri kos rendah di Selangor.

“Lagipun negeri ini menyumbang 22.6 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), maka adalah satu kewajipan bagi Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan,” katanya.

Semalam, Noh turut melawat pangsapuri di DUN Chempaka dan mendakwa ia berada dalam keadaan terabai.

Categories
SELANGOR

Isu PPR: Kerajaan Persekutuan jangan jadi ‘lanun’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan Persekutuan diingatkan supaya menjadi ‘gentlemen’ dan bukannya mengambil sikap seperti ‘lanun’ mengambil alih PPR Taman Putra Permai, Lembah Subang dari Kerajaan Negeri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad dalam kenyataannya berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya menghormati tuntutan Kerajaan Negeri sebanyak RM60 juta seperti dinyatakan sebelum ini.

“Kerajaan Persekutuan mungkin boleh menggunakan kekerasan mengambil alih PPR tersebut tetapi kita negara bertamaddun. Maka Kerajaan Persekutuan tidak boleh menggunakan undang-undang rimba untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.

“Tuntutan Kerajaan Negeri RM60 juta dari Kerajaan Persesekutuan adalah munasabah. Terdapat bukti seperti tuntutan pembayaran,” katanya.

ISKANDAR SAMADTegasnya, sekiranya Kerajaan Negeri mengambil sikap lepas tangan maka sudah tentu PPR itu tidak akan dapat didiami hari ini bahkan Kerajaan Persekutuan juga perlu membelanjakan kos tinggi untuk kerja baik pulih.

“Kerajaan Persekutuan mendakwa jumlah dibelanjakan Kerajaan Negeri adalah untuk penyelenggaraan berjadual. Bagaimanapun kebanyakan kerja baik pulih itu adalah akibat vandalisme dan perbuatan khianat lain. Ia tidak boleh dikategorikan sebagai penyelenggaraan biasa atau berjadual.

“Kerajaan Persekutuan juga mendakwa Kerajaan Negeri telah dapat mengutip sewa dari penduduk. Pada hakikatnya sewa dikutip adalah rendah. Amalan tidak membayar sewa ini berakar umbi sejak zaman Barisan Nasional. Di zaman Barisan Nasional pungutan sewa juga adalah rendah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Exco PAS komited teruskan tugas kekalkan kestabilan Kerajaan Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Exco PAS dalam Kerajaan Selangor akan terus menjalankan tugas seperti yang diamanahkan rakyat menerusi mandat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan memberikan sokongan penuh kepada kerjasama kepimpinan sedia ada.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad dalam kenyataan berkata, usaha membela rakyat menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) akan diteruskan dengan jayanya selain mahu mengekalkan kestabilan di Selangor.

“Terdapat banyak khabar-khabar angin tentang kedudukan PAS di dalam Kerajaan Selangor maka demi kestabilan Kerajaan Negeri ditegaskan di sini bahawa PAS masih bersama di dalam Kerajaan Negeri yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

iskandar01“Oleh demikian, Exco-Exco PAS akan menjalankan tugas mereka seperti biasa dan memastikan semua program-program Kerajaan Negeri seperti Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Dengan itu, kami memberi sokongan kepada kerjasama dan persefahaman serta kepimpinan yang sedia ada untuk memastikan rakyat Selangor dapat menikmati kestabilan dan pembelaan berterusan.,” katanya.

Tegasnya, Exco Kerajaan Negeri juga akan terus memainkan peranan yang aktif dan berkesan di dalam kerajaan selari dengan komitmen yang telah diberikan untuk mendukung prinsip serta dasar Kerajaan Megeri sejak Mac 2008.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Skim CERIA selesai isu Pangsapuri Cheras Utama

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri akan membantu penduduk di Pangsapuri Cheras Utama, Kajang menerusi peruntukan Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) susulan isu tangki pecah, baru-baru ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya sudah mengarahkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membuat penilaian.

Katanya, projek yang dimajukan oleh Rawang Jati itu akan segera dibaik pulih.

“Baik pulih boleh dilakukan menggunakan peruntukan CERIA Kerajaan Selangor kerana pangsapuri ini dikategorikan sebagai kos sederhana.

“Ia adalah perkongsian kos antara Kerajaan Negeri sebanyak 60 peratus dan penduduk, 40 peratus serta boleh dibayar secara ansuran,” katanya yang melawat pangsapuri itu, semalam.

Pada masa sama, Iskandar mengarahkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri terbabit menyiasat tangki air di blok lain jika berlaku keretakan.

ISKANDAR SAMADKatanya, JMB juga diarahkan mengurangkan paras air di tangki lain kepada separuh paras biasa untuk mengurangkan tekanan sehingga siasatan pakar dilakukan.

“Syarikat Air Selangor juga menghantar dua tangki statik bagi kegunaan penduduk, namun masalahnya bukan bekalan tetapi air tidak sampai kepada unit kediaman selepas dilakukan ‘by-pass’ supaya tidak menggunakan tangki.

“Saya akan cuba mencari pam air daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atau pusat khidmat wakil rakyat yang ada,” katanya.

Terdahulu, sebahagian dinding tingkat 12 pangsapuri itu runtuh selepas tangki air bangunan di Jalan CU 4A, pecah.

Runtuhan itu turut menghempap sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal yang terletak di bawah bangunan itu dan membabitkan bahagian ruang tamu rumah berkenaan serta tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden itu.

Categories
SELANGOR

MPAJ disaran tambah kiosk galak perniagaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disaran menambah kiosk perniagaan di Taman Chempaka bagi membantu masyarakat mencari sumber pendapatan.

Ahli Dewan Negeri Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, setakat ini teradapat enam kiosk yang dibuka untuk tiga sesi perniagaan iaitu pagi, tengah hari dan petang.

“Saya harap MPAJ boleh mengkaji semula untuk menambah beberapa kiosk bagi memberi peluang kepada individu yang ingin berniaga dan mencari sumber pendapatan memandangkan keadaan ekonomi yang semakin menekan.

“Ini kerana saya menerima banyak permohonan daripada masyarakat yang ingin menjalankan perniagaan. Saya juga menyarankan MPAJ memberi keutamaan kepada peniaga individu berbanding cawangan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

17799322_1489767937740051_7675767878254280700_nPada masa sama, Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar berkata, beliau turut menerima aduan terdapat empat gerai yang dipercayai tidak membayar lesen turut menjalankan perniagaan berhampiran kiosk berkenaan.

“Dipercayai gerai terbabit tidak membayar sewa RM5 kepada MAPJ bagi setiap satu sesi sehari.

“Walaubagaimanapun, MPAJ sudah mengeluarkan notis saman dan tindakan sitaan ke atas gerai itu, pada Mac lalu,” katanya.

Sebelum itu, Iskandar bersama ahli majlis dan pegawai Pusat Khidmat ADN Chempaka meluangkan masa bertemu dan mendengar masalah penjaja di Jalan Chempaka 8, Taman Chempaka, Ampang.

-AA-

Categories
SELANGOR

Lebih 700 kes peneroka bandar selesai sejak 2008

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 APR: Sejumlah 747 keluarga peneroka bandar sudah diberikan hak milik tanah sejak 2008, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata, ia melibatkan penempatan di dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Katanya, ia termasuk penempatan di Kampung Sungai Sireh dengan 79 keluarga, Tanah Mardi (137), Kampung Jawa Estate (66), Kampung Pecah Batu (78), Kampung Baru Lembah Pantai (33), Kampung Seri Makmur (60), Jaya Setia (44), Kampung Seri Aman (78) dan Kampung Sri Sentosa (172).

“Untuk makluman, tiada kos dibelanjakan Kerajaan Negeri sehingga 2015 untuk penyelesaian setinggan,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Dr Halimah Ali berhubung pencapaian penyelesaian setinggan di Selangor.

DNS MAC 17 (4)Iskandar berkata, terdapat 2,542 keluarga tinggal di penempatan setinggan melibatkan sembilan daerah di Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri masih mengekalkan dasar merobohkan penempatan Peneroka Bandar baru sementara penempatan Peneroka Bandar sedia ada atau yang dibawa ke mahkamah dipertimbang mengikut keperluan semasa.

“Dasar kita untuk kes masih belum berjaya diselesaikan adalah melalui cara berhemah dan mengambil kira pandangan semua termasuk peneroka sendiri.

“Kita akan mengenalpasti masalah peneroka terlebih dahulu sebelum diputuskan sama ada perobohan akan dijalankan atau dikekalkan di atas tapak.

“Pada masa sama, penawaran Rumah Selangorku juga ditawarkan kepada Peneroka Bandar yang layak memohon untuk memiliki rumah,” katanya.

-nR-