Categories
SELANGOR

PAS Selangor Sudah Siap Sedia Hadapi PRU-13

SHAH ALAM, 17 JUN : Kehadiran lebih 1,000 aktivis PAS pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Selangor jelas menggambarkan kesediaan parti itu mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Pilihan Raya, PAS Selangor sudah bersedia sepenuhnya, sementara negeri-negeri lain kini berada pada tahap lebih 90 peratus.

Beliau berkata, PAS perlu membuat persiapan sebaik sahaja PRU-13 diwar-warkan, ditambah keengganan Kerajaan Pusat mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal berbanding negara-negara luar.

“Oleh kerana kita tidak tahu tarikh, maka kita terpaksa bersiap sedia sebaik sahaja PRU-13 diwar-warkan akan berlangsung pada bila-bila masa.

“PAS sudah sedia sejak tahun lepas lagi, malah Selangor dan beberapa negeri lain juga sudah hampir selesai (jentera parti).

?Persediaan itu merangkumi Parlimen dan DUN,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad dan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli.

Himpunan itu merupakan kesinambungan daripada perhimpunan ijtima’ yang dilakukan sejak tahun 1980-an di setiap negeri dan kawasan terutamanya ketika menjelang PRU.

Siri himpunan ini akan diteruskan di Stadium Kuala Selangor pada 15 Julai depan.

Sementara itu, Pas juga melancarkan TV Impian Selangor, iaitu satu perkhidmatan televisyen internet melalui teknologi e-coder. Siaran TV Impian Selangor memaparkan lima saluran yang boleh ditonton melalui e-coder mereka.

Categories
NASIONAL

Umno-BN Perkecil Soal Agama Jika Adakan PRU-13 Pada Musim Haji

SHAH ALAM, 14 JUN : PAS menyifatkan kerajaan Umno-BN sebagai memperkecilkan soal agama dan hukum Islam sekiranya menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada musim haji.

Ini kerana menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad, sekiranya parti itu benar-benar menghormati Islam dan ibadah haji seperi yang dinyatakan, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengadakan PRU-13 pada tarikh lain yang dirasakan sesuai.

“Kalau Kerajaan Pusat katakan mereka tahu soal hukum agama, tetapi tetap adakan PRU-13 pada musim haji, maka ia jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati haji, tidak pentingkan soal ibadat dan tidak pentingkan hak Islam untuk tentukan corak pemerintahan negara,” katanya.

Berbanding Umno-BN, PAS sentiasa berpegang pada konsep kepimpinan politik dan kepentingan Islam yang menjadi keutamaan dalam pentadbiran parti, kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau berkata, ulama PAS juga menetapkan keputusan bagi seseorang calon atau wakil calon yang dipilih itu untuk menangguh ibadah haji ke tahun hadapan sekiranya tarikh pilihan raya jatuh pada waktu tersebut.

Tambahnya, ibadah haji boleh dilaksanakan setiap tahun, manakala PRU hanya berlangsung sekali dalam tempoh antara empat hingga lima tahun.

“Kedudukan sebagai calon adalah sebagai amanah dan tanggungjawab besar yang tidak boleh diganti. Oleh itu, mereka perlu mengutamakan persoalan itu (pilihan raya) berbanding ibadah haji,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar ketika ditemui di parlimen mengesa kerajaan Umno-BN perlu mengeluarkan satu kenyataan muktamad bagi menjawab persoalan sama ada PRU-13 akan diadakan pada musim haji atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan, reaksi pemimpin Umno-BN dan beberapa tokoh agama yang meminta jemaah mengutamakan ibadah haji daripada politik banyak menimbulkan spekulasi.

“Kalau mereka (kerajaan) mengatakan, pergilah(menunaikan haji), tidak mengapa. Insya Allah pilihan raya tidak diadakan, itu sepatutnya kenyataan daripada kerajaan

“Ini tidak, pergi menunaikan haji. Itu adalah keutamaan, politik adalah kedua.

“Macam mereka suruh jemaah pergi kerana pilihanraya akan diadakan untuk mengurangkan jumlah undi orang-orang yang mungkin ingin membuat perubahan pada pilihanraya akan datang,” katanya.

PAS sebelum ini menegaskan hanya ahli parti yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya sahaja diminta untuk menangguh ibadah haji sekiranya PRU-13 berlangsung pada tarikh tersebut.

Terdahulu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno-BN menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU-13 pada musim haji tahun ini.

Hadi menyatakan, hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan di antara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Beliau menegaskan, Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Categories
NASIONAL

Tuan Ibrahim : Hanya Calon Dan Wakil Calon Diminta Tangguh Haji

SHAH ALAM, 12 JUN : PAS sekali lagi menegaskan hanya ahli parti yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya sahaja diminta untuk menangguh ibadah haji sekiranya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berlangsung pada tarikh tersebut.

Penangguhan itu tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu hanya merujuk kepada calon, wakil calon serta pengarah pilihan raya parti itu.

Kenyataan yang disuarakan Tuan Ibrahim itu sekaligus menolak dakwaan media pro Umno-BN yang mengatakan kononnya tindakan parti itu adalah tidak berlandaskan Islam dan seolah-olah mempermainkan hukum agama.

“Kita minta hanya kepada calon sahaja. Ini bukan soal mempermainkan hukum Allah, tetapi bagi saya buat pilihan raya pada musim haji itu seolah-olah menunjukkan Kerajaan Pusat meletakkan rakyat dalam situasi serba salah.

“Kalau buat musim haji, kesannya cukup besar kepada rakyat. Kita harap kerajaan tidak buat (pilihan raya). Kalau hendak dibuat juga, ahli parti yang terlibat memang kita minta dia tangguh dahulu, bukan pengundi,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata, jika pilihan raya diadakan pada musim haji ia akan mendatangkan kesukaran bagi pengundi yang dipilih untuk pergi ke Makkah.

Katanya, keputusan terhadap perkara itu bergantung kepada Kerajaan Pusat kerana mereka mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh pilihan raya sebenar.

“Katakanlah kerajaan adakan pilihan raya pada waktu itu, dan calon tersebut namanya naik dan dalam waktu sama dipilih untuk pergi haji, dia tidak akan berada di situ sepanjang waktu berkempen.

“Haji sememangnya tidak boleh ditangguh, ibadah haji tetap berlaku. Cuma sekiranya kerajaan tetap mengadakan pilihan raya pada musim haji, mereka telah menafikan hak rakyat untuk keluar mengundi,” ujarnya.

Terdahulu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno-BN menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU-13 pada musim haji tahun ini.

Hadi menyatakan, hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan di antara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Beliau menegaskan,Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perhimpunan 13 Mei, Warga Kerja Diseru Hadir Kemuka Masalah

SHAH ALAM 8 MEI : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali menggesa warga pekerja untuk hadir beramai-ramai di Majlis Himpunan Pekerja pada (Ahad)13 Mei ini bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Majlis tersebut akan disertai pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat(PR) seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Lim Kit Siang, selain kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Dr Halimah, gesaan tersebut dibuat selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyampaikan dasar PR dalam memartabatkan golongan pekerja.

“Pakatan Rakyat dari dulu hingga sekarang komited untuk melaksanakan dasar-dasar bagi membela nasib pekerja kerana kita yakin apabila pendapatan rakyat meningkat, pengaliran ekonomi juga sama meningkat dan begitu juga dengan taraf hidup rakyat.

“Kita juga berharap dengan adanya program ramah mesra bersama rakyat Ahad ini, dapatlah kita mendengar luahan pekerja sambil berbincang secara lebih terbuka dasar-dasar yang boleh diketengahkan demi kepentingan warga pekerja,” jelas beliau yang ditemani Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid sewaktu mengadakan Lawatan Program Ramah Mesra Bersama Warga Industri di Kilang Pokka Ace (M) Sdn. Bhd di sini pagi tadi.

Mengulas tawaran Kerajaan Pusat untuk menyelaraskan gaji minimum sebanyak RM900 bagi pekerja di Semenanjung sementara RM800 bagi Sabah dan Sarawak, Dr. Halimah menegaskan tawaran itu sama sekali tidak relevan.

“Ramai yang tidak setuju dan tidak gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu kerana dengan kos sara hidup yang tinggi, kos sebegitu tidak lagi sepadan untuk perbelanjaan bagi seisi rumah hari ini.

“Sebaliknya Pakatan Rakyat komited untuk menyelaraskan pendapatan minimum sebanyak RM 1,500 dan itu sesuatu yang kita mampu dan pasti lakukan jika berjaya menawan Putrajaya nanti,” jelas beliau.

Selain Abdullah Sani, lawatan pagi tadi turut disertai pemimpin dan wakil dari 16 kesatuan sekerja dengan menaiki bas persiaran yang dilepaskan Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di sini pagi tadi.