Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Belanjawan Alternatif PR fokus pertahan hak rakyat

Anwar, Kit Siang, Hj hadi

SHAH ALAM, 20 OKT : Belanjawan Alternatif 2014 yang dibentangkan Pakatan Rakyat (PR) akan memberikan fokus kepada usaha mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Belanjawan Alternatif itu akan dibentangkan pada Isnin (21 Okt) di Parlimen sebelum Bajet 2014 dibentang Perdana Menteri pada 25 Oktober ini.

“Kita menjangka, negara akan mengalami krisis ekonomi dengan kadar hutang semakin meningkat, pelaburan berkurangan, harga barang meningkat dan beban kepada rakyat juga bertambah,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Bengkel Persediaan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Menerusi Bengkel Belanjawan tadi, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat rancak membincangkan draf belanjawan 2014 secara teliti.

“Ia kemudiannya dibentangkan kepada kami selaku pimpinan utama ketiga-tiga parti untuk membuat keputusan muktamad,” kata Anwar.

Anwar berkata, PR merancang untuk mengadakan sesi dialog dengan Kerajaan Pusat untuk membincangkan isu kepentingan rakyat.

“Kita mengusulkan Perdana Menteri dan kepimpinan BN tumpu tadbir negara, urus ekonomi dan tangani isu besar demi kepentingan rakyat yang terabai sekian lama sejak PRU-13 Mei lalu.

“Perlunya perbincangan dan dialog dalam isu ekonomi, perbalahan kaum dan agama, peningkatan kadar jenayah dan isu pengurusan kerajaan termasuk rasuah seperti yang dilaporan ketua audit negara,” kata Anwar.

PR sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian sebelum satu belanjawan bayangan dibentangkan sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mendapatkan satu formula terbaik untuk dimasukkan dalam belanjawan bayangan Pakatan Rakyat sekaligus mencabar Belanjawan 2014 yang dijangka akan dibentangkan Najib Razak.

Jawatankuasa yang dikordinasikan Institut Rakyat itu dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang diketuai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdasarkan kementerian tertentu dan bidang kepakaran masing-masing.

Sembilan kumpulan tersebut, kajian isu nasional dan antarbangsa; ekonomi dan kewangan; keselamatan; pendidikan dan pekerjaan; pertanian, perladangan dan pembangunan luar bandar; pengangkutan dan pembangunan bandar; pengurusan sumber dan kelestarian; masyarakat, kebajikan dan gender serta polisi berkaitan Sabah dan Sarawak.

Categories
NASIONAL

Calon PR PRK DUN Sungai Limau diumum 21 Okt

PRK DUN Sungai Limau

PETALING JAYA 17 OKT: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau akan diumum Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 21 Oktober ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, berkata majlis pimpinan Pakatan Rakyat mempersetujui calon itu dan yakin dapat mempertahankan kerusi yang disandang sebelum ini oleh mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Kita punya calon yang sudah diputuskan oleh PAS dan dah dikemukakan pada pimpinan Pakatan Rakyat dan dipersetujui dan akan diumumkan pada 21 haribulan ini,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, jentera PAS di Kedah akan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, PAS sentiasa bersiap sedia dan bekerja keras untuk menangkis setiap hujah yang akan dimainkan oleh Umno-BN sepanjang tempoh berkempen PRK itu.

Pada PRU-13 lalu, Allahyarham Ustaz Azizan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,774 undi menerusi pertandingan empat penjuru.

Sementara itu, PRK DUN Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PRK Sungai Limau: Pas Senarai Pendek 8 Calon

hadi awang konvesyen PR 2013 01

SHAH ALAM, 12 OKT : PAS Pusat menyenarai pendek lapan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata senarai yang diperolehi itu akan diteliti bagi memastikan PAS dapat mengekalkan kemenangan dan meneruskan amanah yang ditinggalkan bekas Adun Sungai Limau yang juga mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

“Dengan bantuan Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Jabatan Pilihanraya Negeri dan Pusat Penyelidikkan PAS, kesemua calon ini akan dikaji secara teliti sebelum kita membuat pilihan calon mana yang boleh diterima rakyat,”jelasnya.

Menurut Abdul Hadi, kesemua calon-calon itu merupakan anak tempatan dan mempunyai pelbagai latar belakang yang dikemukakan oleh PAS Kedah dan PAS kawasan.

Abdul Hadi berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyampaikan ucaptama Seminar Pelaksanaan Syariah Islam di Malaysia yang berlangsung di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) dekat sini hari ini.

Categories
NASIONAL

Boleh guna kalimah Allah tapi jangan salah guna – Hadi Awang

 

hadi awang bicara sinar 04

SHAH ALAM, 12 OKT :Menuju keputusan kes Kalimah Allah yang kini dibicarakan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Oktober nanti, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam.

Bercakap kepada media seusai menyampaikan ucaptama di Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia, Abdul Hadi berkata banyak hujah kukuh dari sudut agama, bahasa dan sejarah yang membolehkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

“Kita tidak boleh menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, malah baginda Rasullah membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada orang bukan Islam dalam satu perjanjian,”(Piagam Madinah) tegas Hadi, dan menambah bagaimanapun kalimah ‘Allah’ tidak wajar disalahgunakan oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan konflik.

Mahkamah Rayuan akan memutuskan pada 14 Oktober ini sama ada penerbitan mingguan Kristian Katolik, The Herald, dibenar menggunakan kalimah ?Allah?.

Pada 10 September lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah pihak berkenaan dalam kes itu.

Panel itu akan memutuskan rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah ?Allah?.

Sebelum ini, pada Januari 2010, Abdul Hadi telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Menerusi buku bertajuk: ‘Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah’, yang diterbitkan pada Januari 2010, Abdul Hadi menterjemahkan bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah “Allah” dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

“Kalimah ‘Allah’ adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa arab (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat,” jelas beliau dalam bukunya itu.

Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia berlangsung di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) dekat sini, hari ini.

Bertemakan ’56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia’, seminar anjuran Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Permuafakatan dan Instiusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis) dan Universiti Selangor (Unisel) itu membuka ruang mencari penyelesaian kearah pelaksanaan syariah dalam konteks negara demokrasi.

Hadir sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Exco Selangor Dr Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Konsisten Bantu Perjuangan Rakyat Palestin

Sallehen Mukhyi

SHAH ALAM 1 JULAI : Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor berterusan dalam memberikan sokongan moral dan material kepada pejuangan rakyat Palestin.

Exco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi berkata, Negeri Selangor akan menjadi bumi dan tempat bernaung orang-orang yang dizalimi daripada kekejaman regim Zionist Israel.

“Saya merasa yakin dengan kebangkitan Islam di negeri Selangor ini dengan pertemuan dan pengajian serta pengajian untuk melahirkan ummah yang akan memberikan sokongan kepada umat Islam di Palestin dan seluruh dunia.

“Dataran Kemerdekaan Shah Alam ini sudah menyaksikan sokongan terhadap kebangkitan ummah dalam membebaskan bumi Palestin daripada kekejaman regim Zionist,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dihadapan kira-kira 1,000 orang semasa Majlis Munajat Pembebasan Ummah yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini.

Kata Sallehen, beliau yakin akan perjuangan umat Islam di Palestin akan mendapat kejayaan dalam masa terdekat.

Munahat Palestin

“Kami mengharapkan agar hati dan sanubari rakyat Selangor akan terus bersama dengan golongan umat Islam di mana-mana sahaja dan kita bersedia untuk berhimpun pada bila-bila masa sahaja.

“Dan kita akan bersedia untuk membantu mereka yang dizalimi di mana-mana sahaja,” kata beliau.

Dalam majlis itu turut dihadiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Ahli Majlis Pemegang Amanah Yayasan Al-Quds. yang turut memimpin solat hajat dan munajat untuk pembebasan ummah.

Hadi dalam ucapannya menyeru umat Islam yang mencecah 3 bilion orang perlu mempunyai kekuatan dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan melaksanakan sepenuh ajarannya.

Tambahnya, hanya melalui perjuangan bersama Islam maka bumi Palestin dan dunia Islam dapat dibebaskan dengan tidak terpengaruh kepada perjuangan berasaskan nasionalisme yang di bawa penjajah untuk memecah belahkan umat Islam.

Malam Palestin

“Kita jangan kehilangan punca, perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin adalah teras untuk menyatupadukan seluruh umat Islam,” tegas  Hadi.

Turut sama hadir anak kepada As-Syahid Ahmad Yasin, Abdal Ghani A.I Yasin dan adik kepada As-Syahid Dr Nizar A.M Rayyan, Abdal Alatif A.M Rayyan.

Categories
NASIONAL

Anwar Hanya Akan Jumpa Najib Bersama Pimpinan Pakatan

anwar najib

AMPANG 23 JUN : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersedia berjumpa dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk mengadakan sebarang rundingan.

Bagaimanapun, Anwar berkata, perbincangan yang akan dilakukan itu hendaklah dilakukan secara telus dan terbuka.

“Saya tidak pernah menolak untuk berbincang dengan sesiapa, tetapi harus telus dan terbuka.

“Kita pelawa dari ‘consistent’ untuk ada rundingan, untuk berbicara dengan PR, saya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang sedia untuk jumpa Najib dan Muhyiddin pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam sesi pembukaan Konvensyen Pakatan di Hotel De Palma Inn, Ampang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang itu menafikan bertemu Najib di Indonesia seperti spekulasi media minggu lalu.

Sebuah portal berita melaporkan Najib dan Anwar berada di Jakarta pada masa yang sama dan berkemungkinan bertemu.

Laporan itu mendakwa pertemuan itu diatur ketika Najib dikhuatiri akan dicabar dalam pemilihan Umno tahun ini dan berkemungkinan akan berhadapan dengan usul undi tidak percaya di dalam Dewan Rakyat.

Categories
NASIONAL

PAS Tempatkan 100 Peguam Di Kawasan Parlimen

PAS-for-All

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Lajnah Undang-undang PAS Pusat menyediakan 100 orang peguam yang akan ditempatkan di semua kerusi Parlimen yang ditandingi PAS bagi membantu kelancaran Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

95 peratus peguam ini terdiri daripada golongan anak muda profesional bakal ditempatkan di bilik gerakan dan lapangan kempen.

Setiausaha Lajnah Undang-undang PAS Pusat, Abang Ahmad Kardee Abang Masagus, berkata, gabungan peguam anak muda dan profesional akan bertanggungjawab sebaiknya bagi membantu calon yang bertanding.

“Tujuan kami adalah memastikan PRU-13 menurut batas undang-undang.

“Kami menolak sebarang huru hara dan akan memastikan pilihan raya berlangsung aman,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung parti itu hari ini.

Secara keseluruhan PAS bakal bertanding 76 kerusi Parlimen dalam PRU- 13.

Categories
NASIONAL

PAS Pertaruh Husam Tawan Putrajaya

PAS Pertaruh Husam Tawan Putrajaya 01

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa diumumkan sebagai calon Parlimen Putrajaya bagi mencabar penyandang semasa, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara arkitek berpengalaman Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah diumumkan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Abdul Hadi turut mengumumkan tiga lagi kerusi Parlimen yang bakal ditandingi tiga pimpinan tertinggi PAS Pusat.

Mereka adalah Timbalan Presiden, Mohammad Sabu (Mat Sabu) yang diumumkan bertanding di Parlimen Pendang, Kedah, Naib Presiden, Salahuddin Ayub di Parlimen Pulai, Johor manakala Datuk Mahfuz Omar kekal bertanding di Pokok Sena.

Pada sidang media sama turut dimaklumkan Abdul Hadi kekal bertanding di Parlimen Marang.

Turut diumumkan, mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Fauzi Shaari bertanding di Parlimen Larut dan artis terkenal Wan Aisyah Wan Arifin bertanding di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan.

Abdul Hadi turut menyatakan kesemua calon PAS yang bertanding di peringkat negeri akan diumumkan sendiri PAS negeri masing-masing manakala calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan diumumkan kemudian.

Datuk Husam Musa yang menggalas cabaran PAS di Parlimen Putrajaya dalam ucapannya mengakui bakal berdepan tugas sukar untuk memenangi kawasan berkenaan namun mengambil pendekatan positif dalam menjadi penyumbang kemenangan di kerusi Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

“(Tengku Adnan) Tokoh yang hebat. Seorang strategis.

“Kawasan ini pengundinya sangat kecil. Kemudahan asas sudah baik. Tidak seperti masalah dikampung.

“Saya minta bantuan rakan-rakan media,” katanya yang juga Adun Salor, Kelantan.

Menurutnya lagi, beliau akan turun mendengar aspirasi rakyat yang perlu diketengahkan selain mengingatkan petugas PAS agar tidak menaikkan sebarang bendera parti di jalan protokol memandangkan Putrajaya menempatkan pelbagai agensi pentadbiran negara.

Beliau berharap agar kempen dapat berlaku secara aman tanpa sebarang diskriminasi.

Bagi Salahuddin Ayub, amanah yang diberikan parti untuk bertanding di Parlimen Pulai akan digalas sebaik mungkin dan percaya Johor boleh menyumbang 12 kerusi Parlimen bagi bantu PR ke Putrajaya.

“Terima kasih atas kepercayaan parti walaupun ini tugas besar, sehinggakan BN kata ‘Gali kubur Sendiri’

“PR tidak akan sampai ke Putrajaya tanpa sumbangan kerusi parlimen ke putrajaya

“Terima kasih kepada rakyat Johor, kerana memberikan sambutan baik sejak setahun lalu.

“Kawan-kawan berkumpul memberikan sumbangan. Keluarga kembali dekat. Ini sangat menarik. Saya akan pikul,” katanya.

Secara keseluruahan, PAS bertanding 76 kerusi Parlimen dan 230 kerusi DUN dalam PRU-13.

Categories
NASIONAL

PAS Umum Bertanding 76 Parlimen, 237 DUN

PAS Umum Bertanding 01

KUALA LUMPUR, 2 APR: PAS akan bertanding 76 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekaligus menyaksikan pertambahan 10 kerusi berbanding tahun 2008.

Di samping itu, PAS turut bertanding di 237 kerusi DUN seluruh Malaysia.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media sempena pelancaran Pusat Media PAS sempena PRU-13.

Menurut Abdul Hadi, PAS turut bertanding di kerusi campuran memandangkan sambutan positif terutama dalam kalangan kaum Cina dan India.

“Kita memecahkan benteng pemisah perkauman sehingga rakyat menolak MCA dan MIC,” katanya.

Antara calon PAS yang menang pada PRU-12 di kerusi campuran adalah Dr Siti Mariah Mahmood, kawasan Parlimen Kota Raja.

Selain itu, PAS turut mengumumkan calon yang bakal bertanding di tiga kerusi Parlimen.

Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi akan bertanding di Parlimen Temerloh sekaligus menyaksikan pertukaran semula kerusi bersama PKR yang bertanding pada PRU-12.

Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Juham), Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi diletakkan sebagai calon Parlimen Titiwangsa yang dahulunya diwakili Allahyarhamah Dr Lo’ Lo Ghazali.

Sementara itu, bekas Pengarah Kor Agama, Angkatan Tentera Malaysia, Briged Jeneral (B), Datuk Najmi Ahmad akan bertanding di Parlimen Baling.

Jelas Abdul Hadi, Datuk Taib Azamuddeen Taib selaku penyandang kerusi Baling tidak akan bertanding kerana mengalami masalah kesihatan

Categories
NASIONAL

Bekas Polis : Pencerobohan Lahad Datu Mengelirukan

SM_01

SHAH ALAM 1APRIL : Bekas Pengarah Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyifatkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah adalah mengelirukan.

Ini kerana menurutnya, polis melalui Cawangan Khas mempunyai sistem perisikan yang berkeupayaan jika mereka mengikuti standard arahan yang ditetapkan khususnya dalam menangani anasir yang mengancam keselamatan negara.

“Peristiwan pencerobohan pengganas di Sabah adalah kejadian yang amat mengelirukan kerana bagaimana mereka boleh menembusi tahap keselamatan pertahanan negara.

“Bagaimana mereka (pengganas bersenjata) itu boleh datang secara serentak dan membolosi pertahanan negara.

SM_04

“Seandainya pencerobohan secara serentak ini maka ia perlu ditangani oleh pihak Tentera,” kata Fauzi.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kejadian pencerobohan yang berlaku di Sabah adalah disebabkan kegagalan politik yang ditunjukkan oleh pimpinan Umno-BN dalam menangani situasi itu dalam mengambil tindakan pencegahan.

“Kita melihat betapa rapuhnya sistem pertahanan negara akibat kesilapan yang dilakukan oleh pimpinan politik.

“Pencerobohan yang berlaku menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena,” kata beliau.

Forum juga menampilkan tiga bekas pegawai tinggi tentera, Lt. Jen. (B) Datuk Abd Ghafir Abd Hamid, Brig. Jen. (B) Datuk Abd Hadi Abd Khatab (TUDM) dan Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (TLDM) .

SM_02

Sebelum forum dijalankan, majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan tazkirah kemudian diikuti solat Isyak berjemaah dan solat hajat serta munajat khas khusus mendoakan keselamatan negara dalam menangani krisis pencerobohan di Sabah.

Forum ‘Lahad Datu: Rakyat Berhak Tahu’ dan Ceramah Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Melawati di sini.

Kira-kira hampir 8,000 orang hadir dalam majlis itu yang turut dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri DrWan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul.

SM_03

Categories
NASIONAL SELANGOR

PR: Najib Gadai Nasib Rakyat Sabah, Pasukan Keselamatan

Lahad Datu 01

PETALING JAYA 4 MAC: Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) menyelar tindakan kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri yang sanggup menggadai keselamatan rakyat Sabah dan pasukan keselamatan berikutan pencerobohan kumpulan bersenjata warga asing di Lahat Datu sejak 23 Februari lalu.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan ketiga-tiga pemimpin tertinggi PR itu menyebut setiap pimpinan mana-mana negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab mempertahan kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat dan anggota pasukan keselamatan.

Kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat merupakan satu pengkhianatan serta menodai amanah rakyat.

Justeru PR berhasrat mengingatkan pimpinan negara agar tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara dan tidak alpa memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia.

Kenyataan media bersama tersebut dikeluarkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang pagi tadi.

Insiden pencerobohan sekumpulan bersenjata warga asing di sekitar Lahad Datu serta Semporna merupakan suatu kecuaian yang tidak boleh di maafkan. Malah setiap inci tanah Sabah dan keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan.

Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa PR merasa kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan dan iltizam dalam menyelesaikan masalah ini.

Dalam hal terbabit PR menyeru agar orang ramai tetap bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh menimbulkan keresahan.

Pimpinan negara juga gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin tersebar luas.

Pakatan Rakyat menggesa supaya isu ini tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka.

“Sewajarnya kerajaan perlu menyedari, keutamaan adalah demi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan perwira negara yang bertungkus lumus di perbatasan.” kata kenyataan bersama tersebut.

Pakatan Rakyat juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh.

Dalam pada itu Pakatan Rakyat menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah.

“Kita juga berhasrat mengadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini.

“Pencerobohan di Lahad Datu telah mengorbankan dua nyawa perwira negara manakala insiden terbaru di Semporna pula mengorbankan enam nyawa perwira negara.

“Sehubungan itu selurh pimpinan dan pendokong PR merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka dan rakyat Sabah serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat,” kata kenyataan itu.

Categories
SELANGOR

MB : Sistem Pendidikan Negara Kurang Lindungi Akhlak Generasi Muda

mb haji adi

SHAH ALAM 4 FEB : Sistem pendidikan negara masa kini perlu penerapan aspek akhlak dan adab mulia bagi membentuk peribadi pelajar, mahasiswa dan siswazah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pendidikan masa kini didapati terlalu menumpukan pada aspek kejayaan meritokrasi melalui pentaksiran dan penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata.

Malah, kejayaan sekarang juga didasarkan pada kiraan angka dan gred semata-mata dengan mengecilkan aspek akhlak atau moral dan maruah anak didik, guru dan pentadbir sekolah.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan salah satu penyebab utama berlakunya kepincangan sosial adalah kerana pendidikan itu sendiri kurang berjaya untuk menjana dan melindungi akhlak generasi muda.

“Ia terbukti kini negara kita dibelenggu pelbagai masalah sosial yang melibatkan generasi muda.

“Sebagai contoh berlaku di Universiti Utara Malaysia (UUM) kes pengerusi merampas mikrofon daripada seorang peserta yang sedang berhujah kerana bertentangan dengan hujah pengerusi itu.

“Ia adalah contoh bagaimana seseorang itu tidak mempunyai ketahanan diri dalam hal menghormati pendapat orang lain dan tidak mahu memberi peluang orang lain mengemukakan pandangan secara bebas dan terbuka,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Antarabangsa Pendidikan 2013 di Universiti Industri Selangor(Unisel).

Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ; Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad.

Sementara itu, Hadi berkata sekiranya negara mengamalkan sistem federalisme dengan cara yang baik dan demokrasi sudah tentu setiap negeri lebih banyak diberi peluang untuk merealisasikan agenda pendidikan dengan sebenarnya.

“Kita perlu menerima hakikat betapa kelemahan sistem pendidikan yang ada hari ni melahirkann pemimpin rasuah, penipu dan tidak bertanggungjawab juga melahirkan penjenayah.

“Ia kerana sistem pendidikan yang tidak betul…itu perlu dikaji semula kerana peringkat negeri tidak ada kuasa kerana akta universiti dan pendidikan sehingga kini tidak boleh diubah,” katanya.

Konvensyen Antarabangsa Pendidikan 2013 (KAP) itu diadakan bertujuan untuk membincangkan dasar pendidikan Malaysia daripada perspektif holistik.

Ia turut membincangkan topik pendidikan percuma, pembentukan sahsiah dan pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dalam konteks falsafah pendidikan negara.

KAP yang berlangsung selama dua hari turut membariskan beberapa panel penceramah dari luar negara dan dalam negara.

Antaranya Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim ; Pesantren Darul Salam, Gontor, Indonesia, Dr Amal Fathullah Zarkasyi ; pensyarah University of Mauritius, Prof Dr Ameenah Gurib; Mantan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Abas Awang dan Pakar pelembagaan negera, Dr Aziz Bari.

Selain itu, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli ; Adjunt Profesor UGSM, Dr Barjoyai Bardai ; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff ; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Ahmad dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Supyan Hussin.