Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Industri Air Dimulakan Kembali

mb exco baru pc 01

KLANG 30 MEI : Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan Selangor.

Ini supaya proses pengambilalihan operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta dapat disempurnakan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat rasmi mengenai perbincangan sudah dihantar Isnin lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air baru Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Surat tersebut sebagai respons Kerajaan Negeri kepada kenyataan Dr Maximus minggu lepas yang mahu bertemu dan berbincang dengan Selangor tentang perkhidmatan air di Selangor.

Abdul Khalid berharap kementerian akan memberi respon segera supaya satu perbincangan dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Keutamaan kita ialah untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang menerusi penstrukturan semula perkhidmatan air seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA.

“Saya telah menghantar surat rasmi kepada Dr Maximus Ongkili untuk mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan proses penstrukturan ini.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah ahli jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Minggu lalu, Dr Maximus menyatakan hasrat bertemu dengan Abdul Khalid dalam cadangan untuk menstruktur semula industri air di Selangor supaya satu kesimpulan secara baik akan dapat dicapai.

Dr Maximus berkata beliau harap untuk duduk bersama dengan Abdul Khalid untuk meneroka bahagian yang Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

ABCD Memacu Kemajuan Desa – Iklan


 

Sinopsis:
Model Pembangunan Komuniti Berasaskan Aset atau Asset Based Community Development (ABCD)  adalah pendekatan pelbagai sisi dalam membangunkan komuniti setempat.

Projek penyeliaan Exco Pembangunan Usahawan Kerajaan Selangor ini mengenalpasti bakat dan kemahiran individu dan persatuan dalam sesebuah komuniti, dan membina kelebihan itu menjadi sumber manfaat untuk komunitinya.

Komuniti berdaya-saing! Tahukah anda sumber kekuatan komuniti anda?

Hubungi 0355447217 untuk keterangan lanjut!

Categories
NASIONAL

Bola Sepak Pantai Mendekati Rakyat dan Pemimpin

KUALA LANGAT, 11 MEI : Sikap merendah diri dan mesra tanpa protokol menyebabkan rakyat semakin merasai kelainan pimpinan Pakatan Rakyat berbanding dengan kerajaan sebelumnya.

Tinjauan yang dijalankan menyatakan sikap keterbukaan dan kemesraan pimpinan Pakatan amat berbeza dengan pimpinan
Terdahulu.

Kini pemimpin tertinggi mudah ditemui rakyat samada dalam program bersukan dengan exco atau mengemukan aduan terus kepada Menteri Besar.

“Di bawah kerajaan Pakatan Rakyat sekarang pemimpin yang ada di peringkat kerajaan negeri tidak mementingkan protokol samada di peringkat negeri ataupun daerah,? kata Mustapha Idris,41, ketika ditemui selepas program Bolasepak Pantai di Pantai Morib sini.

?Kerana pemimpin itu dipilih oleh rakyat dan oleh itu pemimpin perlu menghormati rakyat dan bukan hanya rakyat sahaja yang menghormati pemimpin,” katanya.

Program itu mempertemukan Pasukan Pilihan Menteri Besar Selangor dan Pasukan Pilihan DUN Morib.

“Ini yang kita mahukan kerana pemimpin dan rakyat itu umpama kepala dan badan, jika tanpa kepala maka badan tidak akan bergerak,” ujar beliau lagi.

Menurut Khairul Nizam Mohd Misnan,32, berkata usaha mendekati rakyat seperti bersukan dapat mengurangkan jurang perbezaan antara pemimpin dan rakyat.

“Memang seronok dapat bermain dengan Exco Selangor pada hari ini. Melalui sukan seperti inilah yang kita lihat pada hari ini Yang Berhormat dan Exco dapat bergaul mesra dengan para belia,” ujarnya.

Exco Kerajaan Tempatan,Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu yang bersama bermain bola sepak pantai menyifatkan usaha kesukanan ini perlu diteruskan yang melibatkan antara pemimpin dan rakyat.

“Ini kali pertama saya dapat bermain bola sepak pantai ini dan ia merupakan satu pengalaman yang amat menarik,” ujarnya.

Program itu dilancarkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid yang memulakan sepak permulaan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bantuan Kewangan, Hakmilik Tanah Masalah Utama Diajukan MB

KUALA LANGAT 11 MEI : Sesi kaunter aduan rakyat bersama Menteri Besar dan Exco Selangor sekali lagi disambut baik oleh penduduk Tanjung Sepat yang berasa lega masalah mereka diberi perhatian oleh pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

Seperti V.Jayaraman, 57, yang membawa masalah pemilikan tanah isterinya di Kampung Orang Asli Bukit Kemandol.

Katanya, beliau dan isterinya, Siah Junjung, 45, sudah menetap di kampung itu sejak 18 tahun lalu.

“Tanah kebun dan rumah itu berkeluasan empat ekar tetapi belum mempunyai geran lagi setakat ini, saya sudah berusaha sebelum ini tetapi tidak dapat.

“Kawan-kawan lain di kawasan itu semua sudah pindah, hanya tinggal kami sekeluarga sahaja.

?Sekarang saya sudah lega selepas bersua muka sendiri dengan Menteri Besar.

Tan Sri akan menyelesaikan masalah saya sama ada di tempatkan di kawasan lain dan dibayar pampasan atau lain bergantung kepada hasil siasatan mereka,” katanya ketika ditemui di Kompleks Muhibbah, Tanjung Sepat di sini.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengetuai beberapa pemimpin tertinggi kerajaan Selangor dalam mengadakan kaunter aduan dan permohonan dalam sesi berjumpa rakyat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari dan exco Dr Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Dr Xavier Jayakumar, Dr Halimah Ali, Iskandar Samad dan Ean Yong Hian Wah.

Kira-kira 100 penduduk sempat mengadu masalah perumahan dan memohon pelbagai bantuan kewangan dan pemilikan tanah dalam sesi yang berlangsung selama dua jam itu.

Seorang lagi A. Danom, 62, mengemukan permohonan bantuan kewangan kepada Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.

Beliau yang merupakan penduduk Tanjung Sepat, berkata sudah empat tahun menumpang di rumah anaknya.

“Hidup saya susah, saya tidak dapat bekerja kerana menghidap kencing manis. Kini saya tinggal bersama anak perempuan saya.

?Rumahnya pun sudah dipotong bekalan elektrik kerana tidak mampu membayar bil.

“Jika boleh saya tidak mahu menyusahkannya kerana anak pun mempunyai masalah sendiri dan tidak bekerja.

?Sekarang sudah dapat jumpa sendiri Yb, sangat lega kerana Yb akan melawat saya dan anak serta akan memberi bantuan kewangan kerana katanya, saya layak untuk menerima,” katanya.

Manakala bagi Misnan Ahmad, 60, peluang bersua muka sendiri dengan Menteri Besar adalah cara yang terbaik bagi menyuarakan masalah penduduk kampungnya.

Beliau yang merupakan Ketua Kampung Kg Jenjarum berkata masih terdapat penduduk termasuk beliau yang tidak dapat hak milik tanah walaupun sudah menetap lebih 20 tahun.

“Sekarang masalah sudah diadukan dan masalah ini juga sudah terus diambil tindakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, saya harap ianya akan dipertimbangkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pertandingan Fotografi Cungkil Bakat Penduduk Kampung Baru

SHAH ALAM, 10 MEI : Pertandingan fotografi anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru berjaya mencungkil bakat peserta dalam bidang itu khususnya di kalangan penduduk kampung baru.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, program seumpama itu bukan sahaja berupaya menambah ilmu pengetahuan, bahkan turut meningkatkan kemajuan serta taraf hidup penduduk luar bandar.

Abdul Khalid turut menyifatkan pertandingan itu sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk mengekalkan ingatan serta memori terhadap kampung baru.

“Secara tidak langsung ia dapat mempromosi keunikan serta kepelbagaian budaya di kampung-kampung baru (bagan atau tersusun) di negeri Selangor kepada rakyat bukan Cina serta pelancong dari dalam atau luar negara.

“Syabas saya ucapkan kepada semua peserta pertandingan fotografi pada musim ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pertandingan itu juga dapat membuka peluang kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira usia untuk lebih mengenali kampung halaman mereka.

Tambahnya, menerusi program ini, kenangan di kampung dapat diabadikan dalam bentuk fotografi untuk tatapan generasi sekarang dan generasi berikutnya.

“Pada tahun 2011, kerajaan negeri sudah melancarkan laman web rasmi Kampung Baru Cina di negeri Selangor. Saya berharap gambar-gambar hasil pertandingan fotografi ini dapat dimuat naik ke laman web itu untuk tatapan umum,” katanya.

Abdul Khalid berkata, demikian semasa menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi di Bangunan SUK hari ini.

Pertandingan julung kali yang berlangsung selama dua bulan itu turut mendapat kerjasama daripada Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Pertandingan itu diselenggarakan di tiga buah kampung terpilih di negeri ini dan seramai 13 peserta dipilih sebagai pemenang.

Hadir sama, Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, Rodziah Ismail, Ronnie Liu dan Elizabeth Wong.

Sementara itu, salah seorang peserta, Nguan Wee Yong, 50, melahirkan kegembiraan apabila dipilih menjadi antara pemenang bagi kategori fotografi cemerlang.

Wee Yong yang menggunakan tema makanan tradisi Cina dalam fotografinya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 beserta sijil penghargaan.

“Fotografi merupakan minat saya sejak muda lagi. Selain daripada menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, saya turut meluangkan masa menjadi jurukamera bebas.

Saya berharap kerajaan negeri dapat menganjurkan pertandingan seperti ini lagi di masa-masa akan datang supaya lebih banyak bakat dapat dicungkil,” katanya.

Tidak ketinggalan, Lew Chee Leong, 40, turut berkongsi kegembiraan sama apabila dipilih sebagai finalis dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM200 beserta sijil.

“Walaupun tidak dipilih sebagai pemenang, tetapi saya tetap gembira apabila disenaraikan sebagai finalis. Saya pasti akan menyertainya di masa akan datang sekiranya kerajaan negeri menganjurkannya lagi,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perhimpunan 13 Mei, Warga Kerja Diseru Hadir Kemuka Masalah

SHAH ALAM 8 MEI : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali menggesa warga pekerja untuk hadir beramai-ramai di Majlis Himpunan Pekerja pada (Ahad)13 Mei ini bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Majlis tersebut akan disertai pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat(PR) seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Lim Kit Siang, selain kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Dr Halimah, gesaan tersebut dibuat selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyampaikan dasar PR dalam memartabatkan golongan pekerja.

“Pakatan Rakyat dari dulu hingga sekarang komited untuk melaksanakan dasar-dasar bagi membela nasib pekerja kerana kita yakin apabila pendapatan rakyat meningkat, pengaliran ekonomi juga sama meningkat dan begitu juga dengan taraf hidup rakyat.

“Kita juga berharap dengan adanya program ramah mesra bersama rakyat Ahad ini, dapatlah kita mendengar luahan pekerja sambil berbincang secara lebih terbuka dasar-dasar yang boleh diketengahkan demi kepentingan warga pekerja,” jelas beliau yang ditemani Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid sewaktu mengadakan Lawatan Program Ramah Mesra Bersama Warga Industri di Kilang Pokka Ace (M) Sdn. Bhd di sini pagi tadi.

Mengulas tawaran Kerajaan Pusat untuk menyelaraskan gaji minimum sebanyak RM900 bagi pekerja di Semenanjung sementara RM800 bagi Sabah dan Sarawak, Dr. Halimah menegaskan tawaran itu sama sekali tidak relevan.

“Ramai yang tidak setuju dan tidak gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu kerana dengan kos sara hidup yang tinggi, kos sebegitu tidak lagi sepadan untuk perbelanjaan bagi seisi rumah hari ini.

“Sebaliknya Pakatan Rakyat komited untuk menyelaraskan pendapatan minimum sebanyak RM 1,500 dan itu sesuatu yang kita mampu dan pasti lakukan jika berjaya menawan Putrajaya nanti,” jelas beliau.

Selain Abdullah Sani, lawatan pagi tadi turut disertai pemimpin dan wakil dari 16 kesatuan sekerja dengan menaiki bas persiaran yang dilepaskan Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di sini pagi tadi.