Categories
AGENDA NASIONAL

Amirudin: Budaya bantu rakyat subur dalam KEADILAN

PETALING JAYA, 17 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) terus menyuburkan budaya membantu dan berkongsi rezeki dengan masyarakat memerlukan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata amalan itu telah lama diterap dalam kalangan pemimpin dan ahli yang digerak membantu rakyat kesempitan hidup tanpa mengira masa.

“Ia bukan perkara baharu dan harus ditingkatkan, kadang-kala kita jadi kerajaan, kita akan rasa selesa dengan dana kerajaan.

“Tetapi kalau kita dapat keluarkan dana melalui duit poket sendiri, itu nikmat dan kepuasannya luar biasa yang harus dikongsi,” katanya ditemui selepas majlis pelepasan konvoi program Jelajah Peduli Nadi Rakyat di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Konvoi dilepaskan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dato’ Menteri Besar Selangor mengulas kenyataan Anwar yang meminta wakil rakyat dan pemimpin parti itu supaya terus memberikan bakti kepada masyarakat terutama dalam berdepan penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Segera suntik RM45 bilion bantu golongan pendapatan rendah, sederhana

PETALING JAYA, 17 SEPT: Kerajaan pusat digesa mempercepat suntikan RM45 bilion bagi mengurangkan beban sara hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana sepanjang pandemik Covid-19.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya sudah mencadangkan pemberian bantuan kewangan itu dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai Isnin lalu.

“Wang ini mesti disekali dengan membatalkan faedah moratorium pinjaman bagi mengelakkan wang bantuan diberikan dibayar faedah pula kepada bank,” katanya berucap pada majlis pelepasan konvoi program Jelajah Peduli Nadi Rakyat di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sini hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Presiden KEADILAN itu menasihatkan wakil rakyat dan ahli parti itu supaya terus memberikan bakti kepada masyarakat terutama dalam berdepan penularan Covid-19.

“Perkara ini sudah saya tegaskan berkali-kali kepada semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri, selain sumbangan diterima kerajaan, setiap daripada mereka mesti dan wajib keluarkan dana peribadi untuk bantu rakyat yang susah.

“Bukan saja berupaya guna duit kerajaan atau minta derma (untuk bantu rakyat), tetapi mereka harus tunjuk tauladan baik dengan guna duit poket mereka sendiri,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lantik tokoh baharu ketuai Majlis Pemulihan Negara, bukan individu gagal  

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan seharusnya melantik tokoh lebih berpengalaman mengetuai Majlis Pemulihan Negara bukannya seorang yang telah gagal, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sudah memaklumkan supaya seorang tokoh baharu dilantik ke jawatan itu.

“Sebaiknya ambil tokoh baharu, ya dari kerajaan kita tidak cadang pembangkang. Ambil yang ada pengalaman dan mampu mengendali.

“Jangan ambil individu sama dan harapkan cadangan baharu yang boleh menyelesaikan isu Covid-19,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam perbahasan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada 4 September lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

Anwar berkata Muhyiddin ternyata gagal mengurus penularan Covid-19 ketika menjadi perdana menteri walaupun berkuasa penuh dengan mengisytiharkan darurat.

“Jumlah kes semakin tinggi dan lebih merunsingkan jumlah kematian negara kita di antara paling tinggi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kit ujian kendiri percuma Selangor ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 14 SEPT: Langkah Kerajaan Selangor memberi 60,000 kit ujian kendiri secara percuma meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjalani saringan Covid-19, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun kerajaan pusat menetapkan RM19.90 bagi harga siling peralatan itu namun masih tidak mampu dibeli keluarga berpendapatan rendah.

“Saya cadang bagilah (secara percuma), untuk orang susah dan tiada kerja RM17 RM18 mereka tidak akan beli.

“Sebab itu saya ucap terima kasih kepada Selangor yang sedia 60,000 kit…Pulau Pinang 40,000, saya harap negeri lain boleh bantu tetapi ini tanggungjawab Kementerian Kesihatan dengan peruntukan besar patut lakukan,” kata ahli parlimen Port Dickson dalam perbahasan pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kit itu diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kit itu mula diedar pada 3 September lalu kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang Jaya dengan masing-masing menerima 1,000 unit.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Pemimpin parti politik perlu kerjasama, wujud persefahaman baharu

SHAH ALAM, 17 OGOS: Semua pemimpin parti perlu bekerjasama bagi mewujudkan politik baharu selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Yang di-Pertuan Agong memulakan sesi pertemuan di Istana Negara dengan titah nasihat bahawa semua pihak harus bersatu menghadapi malapetaka Covid-19 dan menangani kemelesetan ekonomi.

“Tuanku Agong juga memberitahu tentang lunas-lunas Perlembagaan agar dapat mencari calon Perdana Menteri yang mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen. Tetapi politik harus berubah.

“Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku sebelum ini iaitu memakan yang kalah. Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baru,” tulisnya di Facebook.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata membentuk politik baharu yang lebih aman untuk rakyat juga penting sebagaimana ditekankan Seri Paduka Baginda.

“Isunya bukan sahaja mengenai pelantikan seorang Perdana Menteri baru, tapi apa yang penting seperti yang ditekan oleh Tuanku Agong dan juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk menggagas satu bentuk politik baru yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat,” katanya.

Hari ini ketua-ketua parti politik hadir ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Antaranya, timbalan presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan ahli parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sesi menghadap selama dua jam itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam selepas hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akaun bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum jam 4 petang esok.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Batal Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong hina institusi raja

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pengumuman kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lalu dianggap tindakan menghina institusi diraja.

Ketua pembangkang berkata pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu juga dilihat sebagai melanggar perlembagaan negara.

“Ini jelas menunjukkan kabinet diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk Takiyuddin melanggar perlembagaaan, menghina institusi diraja terutama Yang di-Pertuan Agong.

“Ini (pengumuman) juga mengelirukan dewan (Dewan Rakyat) dan rakyat serta tidak bercakap benar. Kita tuntut perdana menteri letak jawatan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas membacakan kenyataan dikeluarkan Istana Negara di Parlimen hari ini.

Terdahulu Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara menerusi kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

Menurut Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan dukacita kerana perkara diperkenan dan dititahkan pada 24 Julai lalu kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun supaya pembatalan Ordinan Darurat dibentang serta dibahaskan di Parlimen tidak dilaksanakan.

Baginda juga menitahkan kenyataan menteri di Parlimen tidak tepat dan mengelirukan ahli dewan selain permohonan pembatalan yang dibuat pada 21 Julai lalu dilakukan secara tergesa-gesa.

Pada Isnin lalu, Takiyuddin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tamatkan darurat 1 Ogos, terbukti gagal bendung wabak

SHAH ALAM, 25 JUN: Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal dengan pendiriannya supaya darurat ditamatkan selepas 1 Ogos depan kerana tidak berkesan mengekang penularan Covid-19.

Majlis Presidennya berkata malah keadaan pandemik semakin meruncing dan bertambah teruk sejak darurat diisytihar pada 11 Januari lalu dengan jumlah kes positif serta kematian harian kekal tinggi.

Katanya, wakil PAKATAN dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan menegaskan tiga perkara dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang terakhir pada Julai depan iaitu:

● Menjunjung titah pandangan Raja-Raja Melayu berhubung isu darurat
● Menerima bukti sains dan data bahawa darurat tidak memberi kesan kepada usaha pengawalan pandemik Covid-19
● Menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak melanjutkan darurat selepas 1 Ogos

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat juga akan tamat fungsinya dan terbubar selepas 1 Ogos,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada 16 Jun lalu, Raja-Raja Melayu bertitah tiada lagi keperluan melanjutkan tempoh darurat selepas ia berakhir pada 1 Ogos nanti.

Keputusan itu antara tujuh perkara yang sependapat dicapai oleh Raja-Raja Pemerintah dalam Persidangan Khas bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada hari yang sama.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli KEADILAN diingatkan supaya tidak taasub kepada pemimpin – Anwar

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diingatkan supaya tidak terlalu taasub kepada seorang pemimpin atau kumpulan kerana tindakan itu hanya akan membawa kepada pemikiran tidak taat kepada parti.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketaasuban itu juga akan membawa kepada tindakan yang tidak ‘selari’ dengan keputusan pimpinan parti.

“Kelemahan kita ini adalah kadang-kadang kita ini terlalu taasub dengan ketua sama ada saya atau yang lain.

“Oleh yang demikian, fikiran kita tidak lagi taat kepada jemaah dan kepimpinan tetapi kita izinkan wujudnya kelompok-kelompok,” katanya ketika menggulung perbahasan Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2020 yang berlangsung secara maya hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa bagi pihak yang tidak bersetuju dengan ketetapan jemaah parti, perkara tersebut boleh dibawa berbincang manakala mereka yang dahulunya merupakan sebahagian daripada ‘kartel’ juga harus diberikan ruang.

Terdahulu, semasa sesi perbahasan, perwakilan Kedah Razaini Md Isa mencadangkan supaya presiden parti mengadakan jajaran baharu bersama pelbagai pihak bagi meringankan bebanan rakyat yang terkesan ekoran Covid-19 dan melaksanakannya dengan pihak yang menerima prinsip perjuangan KEADILAN.

“Kita minta presiden dengan prerogatif beliau, kita beri wewenang (hak atau kekuasan) untuk presiden laksanakan dan lipatgandakan usaha dapatkan kembali mandat rakyat serta mengutamakan nasib rakyat terbanyak berbanding kepentingan politik dan peribadi,” katanya.

Perwakilan Melaka Muhammad Asri Ibrahim pula merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah berkorban masa dan tenaga sepanjang pandemik Covid-19.

Beliau turut mencadangkan supaya masjid dan dewan serba guna sedia ada di seluruh negara dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi membolehkan negara segera mencapai imuniti kelompok.

“Saya juga ingin cadangkan kepada kerajaan agar semua penjawat awam yang telah memberikan khidmat dengan penuh tanggungjawab sepanjang pandemik ini diberikan insentif penebusan gantian cuti rehat (GCR) bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Sesi perbahasan yang berlangsung sepenuhnya secara dalam talian itu disertai 16 pembahas dari seluruh negara.

Terdahulu, kira-kira 2,000 perwakilan menyertai kongres itu secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom bermula 8 pagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar minta PM akur titah Agong, buka Parlimen segera

SHAH ALAM, 17 JUN: Ketua pembangkang meminta perdana menteri akur titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan dengan segara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pandangan itu disuarakan setelah mendengar keluhan masyarakat dan majoriti pimpinan parti politik yang menuntut darurat dihentikan.

“Istana Negara terpaksa menyuarakan kerana ini keluhan masyarakat dan setelah mendengar majoriti parti, pimpinan parti politik yang menuntut darurat dihentikan dan Parlimen mengadakan sidang dengan kadar segera.

“Kalau kamu enggan, maka dengan cara terhormat kamu harus undur dan letak jawatan,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook, malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu juga, titah Raja-Raja Melayu mengenai tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos adalah kenyataan jelas.

“Bagi saya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dalam menasihati Agong boleh buat keputusan terus hentikan darurat sekarang atau selewatnya 1 Ogos… apa jawab perdana menteri?

“Beliau menyatakan telah sampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong soal covid, ekonomi, Parlimen, darurat..setelah dengar ini semua Agong berpendapat dan memberikan pandangan dengan titah yang sedemikian maknanya tidak memuaskan,” katanya.

Semalam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar saran kerajaan tingkat kadar ujian kesan Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan meningkatkan kadar pengujian dalam kalangan rakyat bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua pembangkang berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya dilaksanakan ketika ini adalah tempoh terbaik yang perlu dimanfaatkan susulan peningkatan jangkitan termasuk kes sporadik serta kadar kematian.

Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata langkah melipatgandakan saringan bersesuaian dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memaklumkan 10 hingga 30 pengujian bagi setiap satu kes yang telah disahkan.

“Demi rakyat Malaysia, saya benar-benar berharap sebab untuk mengurangkan kadar pengujian bukan menggambarkan kes semakin menurun bila secara realitinya kerajaan terus gagal dan rakyat terus mati.

“Dengan tindakan besar-besaran kita mendapat gambaran sebenar tentang penularan Covid-19, ambil langkah proaktif untuk kuarantin dan pengesanan kontak bagi melindungi warga yang terdedah dengan marabahaya untuk tiga bulan mendatang,” katanya dalam kenyataan.

Anwar mengulas laporan Kementerian Kesihatan berhubung purata kes jangkitan Covid-19 sebanyak 99,094 kes sejak tujuh hari lalu dengan kadar pengujian semakin menurun.

Pakar perubatan turut mempersoalkan kadar rendahnya dan percaya laporan harian tidak menggambarkan jumlah kes jangkitan sebenar dengan secara logik kadar positif Covid-19 pada tujuh peratus atau lebih menggambarkan langkah menggurangkannya adalah salah.

Beliau berkata persoalan itu pernah diajukan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai rasional kerajaan tidak meningkatkan kadar ujian dan hanya menunggu fasa vaksinasi besar-besaran bermula pada Julai atau Ogos ini.

Katanya, gesaan itu dibuat sejak tahun lalu dan kebelakangan ini namun tiada respon serta tindakan pantas dari pihak berwajib.

“Ini secara tidak langsung menggambarkan langkah darurat hanya untuk menutup kelemahan kerajaan serta untuk mereka mengelak dari kebertanggungjawaban,” katanya.

Selangor mula melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di lokasi panas pada 11 April tahun lepas selain turut memperkenal saringan pandu lalu.

Sejak 8 Mei lalu hingga hari ini, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan wabak secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN dengan menyasarkan 100,000 penyertaaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Laksana PKP penuh perlu ikut data tepat – Anwar

PETALING, 29 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh perlu mengikut data yang tepat dan cepat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang berkata semua pihak perlu diberi keizinan untuk mengumpulkan maklumat berkenaan bagi mengenal pasti lokaliti terlibat dengan penularan wabak Covid-19 secara lebih tepat.

“Pelaksanaan PKP penuh melibatkan kluster tertentu adalah lebih efektif. Kalau tidak kita akan ambil rambang sahaja.

“Kita minta supaya diberi keizinan sama ada kerajaan, bukan kerajaan, pusat kajian atau pertubuhan antarabangsa untuk kumpulkan maklumat ini,” katanya mengenai pelaksanaan PKP penuh susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Petaling di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini semalam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pembangkang juga memainkan peranan menyediakan pasukan sendiri bagi mengumpulkan data Covid-19 dan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

“Sekiranya data itu dikongsi, kita dapat membuat unjuran saintifik berdasarkan kaedah sains dan membuat andaian berhubung sebarang kemungkinan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Segerakan perolehan vaksin, rakyat sedia terima – Anwar

PETALING, 28 MEI: Kesediaan rakyat untuk menerima vaksin Covid-19 sangat tinggi namun ketika ini jumlah bahan berkaitan tidak mencukupi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang berkata permasalahan itu dikenal pasti selepas beliau bertemu orang ramai ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya, berdasarkan maklumat petugas dan orang awam ramai dalam kalangan mereka sudah mendaftar tetapi belum dipanggil, turut hadir dengan harapan dapat menerima vaksin dengan kadar segera.

“Jadi bagi saya permasalahan pokok dalam negara ialah menyegerakan perolehan vaksin dan memastikan pengendaliannya teratur serta lebih meluas.

“Kita dapat saksikan pusat di bandar memang lancar kerana kehadiran itu lebih cepat dan segera,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Petaling di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson berkata situasi berbeza di kawasan luar bandar apabila masyarakat kurang memberi sambutan dan jentera kerajaan perlu digerak sepenuhnya bagi tujuan pendaftaran.

“Kita tidak boleh terima alasan orang tidak mendaftar. Masa pilihan raya semua jentera boleh kenal pasti dan kemudian mengajak, merayu rakyat keluar mengundi.

“Alasan orang lambat daftar, orang enggan itu adalah remeh yang menunjukkan tidak cukup kesediaan dan komitmen pemerintah,” katanya.

Beliau juga berharap jumlah vaksin dapat dibawa masuk dengan kuantiti yang banyak, selain tempat pemberian turut diperluas seperti di Klinik Kesihatan bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin.