Categories
NASIONAL

Semua Kaum Perlu Bersatu Tolak Umno-BN

SABAK BERNAM 21 JUN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari meminta semua kaum di negara ini bersatu dan menolak pentadbiran Umno-BN.

Katanya, hal itu kerana ramai pemimpin Umno-BN banyak mencetuskan masalah kepada rakyat dan akan berlagak hero untuk menyelesaikan masalah itu.

“Mereka ini pemimpin yang berpura-pura. Jadi kita mesti berubah untuk menolak dan membuang mereka.

“Contohnya, saya dimaklumkan, terdapat lebih 300 nelayan Cina di Sabak Bernam memohon untuk mendapatkan geran tanah tempat tinggal mereka tetapi tiba-tiba mereka dapati bahwa tapak rumah mereka itu dikenal pasti adalah tanah rizab melayu.

“Saya pelik bagaimana penempatan nelayan kaum Cina yang sudah berusia lebih 100 tahun boleh bertukar status. Kita dapat lihat, ini bukan kerja kita tetapi kerja Umno-BN yang mahukan pemimpin mereka bangunkan tanah terbabit,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penduduk dalam Program Merdeka Rakyat, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Turut hadir, Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon, Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Adun Hutan Melintang, S Ke savan, Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Sementara itu, Chua Jui Meng berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berani untuk mengumumkan Pilihan Raya Umum ke -13(PRU13) kerana khuatir Umno-BN akan tergugat.

“Saya diberitahu oleh sumber-sumber yang boleh dipercayai, jika Najib umumkan pembubaran parlimen, Johor bukan lagi kubu kuat Umno-BN tetapi akan jadi kubu kuat Pakatan Rakyat.

“Kerana di Johor sekarang angin sudah meniup, apabila Johor bergoyang maka Umno-BN di seluruh negara akan tergugat,” katanya.

Selain itu, Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR memberitahu pemberian saguhati RM50 sebulan kepada wanita seluruh negara akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat memenang PRU13.

Katanya, pemberian tersebut yang dinamakan Program Caruman Wanita Nasional adalah salah satu daripada program yang dirangka khusus bagi membela kaum wanita.

“Ia untuk membantu wanita tersebut sekiranya ditimpa perkara yang tidak diingini kepadanya, suami atau keluarganya. Maknanya wanita ada sesuatu untuk membantu mereka sekiranya ditimpa kesusahan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

UCAPAN KAAMATAN : Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim

Sinopsis : Ucapan Ketua Umum PR Sempena Perayaan Kaamatan

Categories
NASIONAL

UCAPAN GAWAI : Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim

Sinopsis : Ucapan Ketua Umum PR Sempena Hari Gawai

Categories
NASIONAL

PKR Kecam Serangan ‘Malam Berdarah Lembah Pantai’

SHAH ALAM 26 MEI : PKR menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno kerana mengganggu program Ceramah Perdana PKR Lembah Pantai yang berlangsung di Apartment Pantai Permai pada 24 Mei lepas.

Dalam kenyataan media bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan provokasi samseng Umno yang membaling batu bata, telur dan botol air mineral mengakibatkan dua orang yang menghadiri ceramah PKR mengalami kecederaan.

“Beberapa pegawai Ahli Parlimen Lembah Pantai diugut sebelum dan sewaktu program ceramah ini berlangsung dan tayar kereta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang diletakkan di tapak berdekatan dengan tapak tempat ceramah juga telah ditoreh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan media itu.

PKR menggesa supaya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) menyiasat bagaimana kuarters tersebut dibenarkan untuk diguna pakai pihak Umno.

PKR melihat tindakan provokasi Umno bukan sahaja pada malam itu tetapi pada insiden-insiden sebelum ini di Merlimau, di Felda Lepar Hilir dan banyak lagi sebagai satu taktik yang cukup terdesak oleh sebuah parti politik yang cukup ghairah untuk terus memegang kuasa dengan apa cara sekalipun.

“PKR menggesa pihak Polis untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpanya dengan sepenuhnya, agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan,” jelas kenyataan media itu.

Categories
NASIONAL

Anwar : Moral Politik Najib Paling Hina Dalam Sejarah Malaysia

SHAH ALAM, 11 MEI: Moral politik di era Perdana Menteri ke enam Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dianggap sebagai yang terburuk dalam sejarah politik Malaysia.

Demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di hadapan kira-kira 2,000 penyokong Paktan Rakyat di Subang Jaya malam tadi.

“Anda beritahu saya, negara mana? Amerika Latin? Afrika? China? India? Bagi tahu ada tak negara yang ada politik kotor macam negara di bawah Najib sekarang.

“Ada tak negara di mana televisyen tiap malam, seks, seks, seks, seks, tiada lain? Najib dari segi ini, segi moral paling hina dalam sejarah negara kita,” ujarnya.

Menurut Anwar, beliau tidak akan terikut-ikut dengan budaya politik kotor yang diamalkan oleh Umno-BN di bawah Najib walaupun mengetahui rahsia peribadi Najib.

“Semasa saya memangku jawatan Perdana Menteri dan selama tiga bulan itu, semua laporan polis cawangan khas akan dilaporkan kepada saya. Saya tahu kesemuanya.

“Adakah anda mahu saya beritahu anda apa yang saya tahu? Tidak sebab politik saya tak gunakan cara politik kotor seperti Najib.

“Saya tidak akan mengikut style politik Najib yang kotor, kalau saya ikut bermakna saya juga sama seperti mereka.

“Adakah saya tak tahu cerita tentang beliau? Ya, saya tahu. Siapa beritahu saya? Cawangan Khas, laporan khas.

“Adakah mampu saya maklumkan kepada orang ramai? Tidak, sebab saya nak menang, tetapi bukan dengan cara mencaci, memfitnah, menipu, memburukkan peribadi orang dan merosakkan rumahtangga orang,” kata beliau dalam ceramah ‘Merdeka Rakyat’ itu.

Anwar juga mengutuk keras perbuatan media Umno-BN yang melemparkan pelbagai fitnah terhadap beliau sendiri, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan pemimpin lain Pakatan Rakyat.

Beliau turut menganggap perbuatan samseng upahan Umno sebagai perbuatan bodoh penyokong Umno.

“Semasa saya pergi ke Johor, mereka pukul kereta saya sampai pecah. Kalau mereka pukul saya tidak akan melemahkan semangat saya, inikan pula pukul kereta, lagilah tidak akan beri kesan.

“Ada yang baling batu, menjerit, Israel, Yahudi, ini apa benda bodohnya ni?” Kata Anwar lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perhimpunan 13 Mei, Warga Kerja Diseru Hadir Kemuka Masalah

SHAH ALAM 8 MEI : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali menggesa warga pekerja untuk hadir beramai-ramai di Majlis Himpunan Pekerja pada (Ahad)13 Mei ini bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Majlis tersebut akan disertai pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat(PR) seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Lim Kit Siang, selain kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Dr Halimah, gesaan tersebut dibuat selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyampaikan dasar PR dalam memartabatkan golongan pekerja.

“Pakatan Rakyat dari dulu hingga sekarang komited untuk melaksanakan dasar-dasar bagi membela nasib pekerja kerana kita yakin apabila pendapatan rakyat meningkat, pengaliran ekonomi juga sama meningkat dan begitu juga dengan taraf hidup rakyat.

“Kita juga berharap dengan adanya program ramah mesra bersama rakyat Ahad ini, dapatlah kita mendengar luahan pekerja sambil berbincang secara lebih terbuka dasar-dasar yang boleh diketengahkan demi kepentingan warga pekerja,” jelas beliau yang ditemani Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid sewaktu mengadakan Lawatan Program Ramah Mesra Bersama Warga Industri di Kilang Pokka Ace (M) Sdn. Bhd di sini pagi tadi.

Mengulas tawaran Kerajaan Pusat untuk menyelaraskan gaji minimum sebanyak RM900 bagi pekerja di Semenanjung sementara RM800 bagi Sabah dan Sarawak, Dr. Halimah menegaskan tawaran itu sama sekali tidak relevan.

“Ramai yang tidak setuju dan tidak gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu kerana dengan kos sara hidup yang tinggi, kos sebegitu tidak lagi sepadan untuk perbelanjaan bagi seisi rumah hari ini.

“Sebaliknya Pakatan Rakyat komited untuk menyelaraskan pendapatan minimum sebanyak RM 1,500 dan itu sesuatu yang kita mampu dan pasti lakukan jika berjaya menawan Putrajaya nanti,” jelas beliau.

Selain Abdullah Sani, lawatan pagi tadi turut disertai pemimpin dan wakil dari 16 kesatuan sekerja dengan menaiki bas persiaran yang dilepaskan Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di sini pagi tadi.