Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Prestasi eksport Malaysia mampu meningkat – Ambank

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Prestasi eksport Malaysia mampu meningkat di masa depan didorong oleh pemulihan sederhana sektor semikonduktor pada masa sama, demikian menurut AmBank Research.

Dalam nota penyelidikan hari ini ia berkata pandangan optimis itu sebahagiannya menyusuli keputusan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak industri menyambung semula operasi dengan ada di antaranya mencecah kapasiti penuh sejak 4 Mei lepas.

Ini jelas dipaparkan menerusi peningkatan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia pada Mei lepas yang menjadi petunjuk awal bahawa kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 berkemungkinan mulai reda.

PMI IHS Markit Malaysia meningkat kepada 45.6 pada Mei 2020 berbanding paras terendah pada 31.1 menerusi tinjauan pada April 2020.

Syarikat-syarikat di negara lain juga bertindak meningkatkan operasi perniagaan di tengah-tengah penularan pandemik tersebut.

Lebihan dagangan Malaysia meningkat semula pada Mei kepada RM10.4 bilion iaitu kenaikan sebanyak 14.7 peratus bagi tahun ke tahun, didorong oleh penyusutan ketara import berbanding eksport dan merupakan peningkatan besar berbanding defisit sebanyak RM3.4 bilion pada April.

Malah, lebihan dagangan pada Mei itu adalah angka bulanan tertinggi dicatatkan sejak Mei 2008 dan kali keempat bagi Malaysia merekodkan lebihan melebihi RM10 bilion tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MIDF: Eksport Malaysia Mei 2020 terendah 11 tahun, impak Covid-19

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Eksport Malaysia susut 25.5 peratus tahun ke tahun pada Mei 2020 kepada paras terendah dalam tempoh 11 tahun, penurunan ketara sejak Mei 2019 dan menunjukkan kesan berterusan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi yang bergantung kepada eksport, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan semalam berkata prestasi tersebut sejajar dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, yang turut mengalami penurunan melebihi 20 peratus tahun ke tahun bagi eksport masing-masing.

“Seperti eksport, import Malaysia juga susut 30.4 peratus tahun ke tahun, penyusutan terbesar sejak Januari 2009. Bagaimanapun, memandangkan import susut lebih ketara berbanding eksport, imbangan perdagangan mencatatkan lebihan sebanyak RM10.4 bilion, menepati jangkaan kami,” menurutnya.

Ia berkata namun, eksport akan meningkat secara beransur-ansur pada bulan-bulan akan datang susulan ekonomi negara-negara utama akan dibuka secara perlahan-lahan.

MIDF berkata eksport ke semua negara utama mengalami penyusutan, kecuali ke China, yang terus mencatatkan pertumbuhan bagi bulan kedua berturut-turut pada 4.5 peratus dipacu oleh antaranya produk petroleum dan minyak sawit.

Bagaimanapun, eksport ke negara utama lain termasuk Amerika Syarikat (AS) Jepun, Kesatuan Eropah dan rantau ASEAN masih berada dalam lingkungan negatif.

“Kesan Covid-19 muncul sebagai risiko utama bagi aliran perdagangan global kerana ia menjejaskan penawaran dan permintaan barangan.

“Ini termasuk Malaysia khususnya dengan hampir dua bulan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menganggu pengeluaran dan eksport,” kata bank itu.

Prestasi perdagangan luaran terkini China menunjukkan beberapa peningkatan walaupun prestasi sektor utama amnya masih ada yang diragui.

Tambahan pula, langkah dasar perlindungan meningkat terutama disebabkan memuncaknya kembali ketengangan AS-China yang mungkin memberi ancaman besar ke atas perdagangan asing.

MIDF berkata eksport semua produk utama turut mengalami penurunan, dengan eksport sektor utama mencatatkan penyusutan pada Mei 2020, dengan sektor perlombongan yang termasuk petroleum mentah dan gas asli cecair, merekodkan penurunan paling ketara (-49.1 peratus tahun ke tahun).

Bank pelaburan itu berkata begitu juga dengan sektor elektrik dan elektronik yang menjadi bahagian terbesar daripada jumlah eksport, meneruskan prestasi negatif untuk bulan ke-10 namun pada kadar yang sedikit perlahan berbanding semasa April 2020.

Sektor ini akan tetap suram bagi bulan-bulan akan datang bukan sahaja disebabkan oleh Covid-19 malah susulan kemelut AS-China.

Minyak sawit dan produknya juga merosot pada kadar yang lebih ketara -15.6 peratus tahun ke tahun namun mungkin meningkat dalam beberapa bulan akan datang memandangkan India secara beransur-ansur membuka kembali ekonominya, kata MIDF.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan minyak sawit mentah dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Dagangan kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meningkat pada minggu depan, dipacu oleh kenaikan data eksport, pengukuhan prestasi Bursa Komoditi Dalian, harga minyak mentah serta pasaran ekuiti.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata permintaan daripada pembeli utama seperti India dan China diunjur meningkat berikutan tindakan Malaysia menurunkan duti eksport MSM kepada sifar bagi bulan ini.

“India dan China telah meningkatkan pembelian minyak sawit masing-masing yang berkemungkinan besar mengurangkan lagi jumlah stok simpanan di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata kontrak hadapan MSM meningkat secara ketara di akhir dagangan pada Jumaat berikutan spekulasi pasaran bahawa eksport Malaysia bagi tempoh 1-20 Jun ini meningkat sebanyak 55-57 peratus berbanding tempoh sama pada Mei lepas.

“Berikutan itu, eksport Malaysia bagi Jun dijangkakan mencatat pertumbuhan bagi bulan keempat.

“Kontrak hadapan September 2020 yang juga penanda aras ditutup pada paras RM2,475 satu tan iaitu tertinggi dalam tempoh empat bulan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimana pun, peningkatan data pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan Persatuan Persatuan Pengilang-Pengilang Sawit Selatan Semenanjung serta kebimbangan mengenai penularan semula Covid-19 mungkin mempengaruhi harga komoditi itu.

Selain itu, penggiat pasaran juga akan turut memantau acara dalam talian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) – ‘Pointers on Price Trends’ pada 22-28 Jun ini bagi mendapatkan unjuran harga dan pengeluaran.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran kebanyakannya meningkat berikutan aktiviti ekonomi global yang kini dibuka kembali.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak hadapan MSM untuk Julai 2020 naik RM24 kepada RM2,454 satu tan manakala Ogos 2020 dan September 2020 masing-masing menokok RM29 kepada RM2,400 satu tan dan RM2,367 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 256,328 lot daripada 245,808 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka susut kepada 227,871 kontrak daripada 252.401 kontrak.

Di pasaran fizikal, Julai Selatan yang merupakan bulan kontrak baharu mencecah RM2,530 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Eksport minyak sawit turun 41.7 peratus sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Prestasi keseluruhan eksport produk sawit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April, 2020 mencatatkan penurunan signifikan 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1,486,521 tan berbanding 2,279,778 tan bagi tempoh yang sama pada 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata eksport minyak sawit iaitu minyak sawit mentah dan minyak sawit proses menyusut 41.7 peratus atau 636,847 tan kepada 890,331 tan berbanding 1,527,178 juta tan bagi tempoh yang sama.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara berkenaan.

“Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama.

Mohd Khairuddin berkata antara negara yang berpotensi adalah dari rantau Asia Pasifik (Filipina, Vietnam dan Myanmar), Timur Tengah (Mesir, Arab Saudi dan Jordan), negara rantau Afrika (Djibouti, Ethiopia, Somalia dan Mozambique) serta dari Asia Tengah (Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan) dengan anggaran pasaran dua juta tan setahun.

Menurutnya sebilangan besar negara tersebut telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terlibat dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia.

“Perkembangan ini menunjukkan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit Malaysia. Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit dan lelemak berasaskan sawit di negara mereka,” kata Mohd Khairuddin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Malaysia diunjur kuasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Ahli-ahli ekonomi mengunjurkan Malaysia bakal menguasai 65 peratus bahagian pasaran sarung tangan getah dunia tahun ini meningkat tiga peratus daripada 62 peratus sekarang, kata ketua pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata ini berikutan jangkaan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan susulan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Zairossani berkata dari segi impaknya kepada pendapatan negara, kenaikan tiga peratus itu berjumlah RM3 bilion tetapi ianya turut bergantung pada situasi Covid-19.

“Jika kita lihat industri getah terutamanya sektor sarung tangan, memang berkembang sejak tahun 80-an di Malaysia.

“Ianya berpunca kerana penyakit juga, iaitu HIV (Human Immunodeficiency Virus), virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan penyakiy AIDS (sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit).

“Dan daripada situlah sektor sarung tangan getah di Malaysia berkembang sehingga kini kita merupakan pengeluar terbesar di dunia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara kelolaan Bernama TV, yang membincangkan mengenai tajuk ‘Covid-19: Kesan Kepada Industri Getah dan Hala Tuju Seterusnya’.

Zairossani berkata apabila berdepan dengan sebarang pandemik, industri getah serta sektor yang berkaitan penjagaan perubatan adalah antara sektor yang akan mendapat manfaat, terutamanya sektor sarung tangan.

“Selain sarung tangan, kita ada juga menghasilkan kateter iaitu alat untuk pembedahan (yang memerlukan gantian getah),” katanya.

Menurutnya lagi, apabila industri getah Malaysia berdepan dengan situasi harga rendah, sektor sarung tangan menjadi penyelamat dengan sektor tersebut dijangkakan berkembang lima hingga 25 peratus, bergantung pada situasi Covid-19.

Pada 2019, sektor sarung tangan getah menyumbang RM17 bilion kepada pendapatan negara justeru Malaysia perlu memastikan industri ini kekal menjadi peneraju pasaran dunia, katanya.

Berkenaan harga getah yang rendah, Zairossani berkata fungsi kawalan harga getah bukan di bawah LGM, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ataupun mana-mana agensi yang terlibat namun ia dikawal oleh pasaran dunia.

”Secara umumnya kalau kita lihat sejarah industri getah, ianya akan turun naik, ini adalah kitarannya, dan jika waktu ketika ini, tahun 2020/21, ianya berada dalam kitaran rendah,” katanya.

Harga getah yang jatuh merundum daripada RM3.00 sekilogram beberapa tahun lepas kepada RM1.70 sekilogram ketika ini telah memberikan kesulitan kepada penoreh dan pekebun kecil.

Menurut Zairossani, ramai berpendapat bahawa industri getah adalah ‘sunset industry’ yang tidak akan kekal lama sama ada di bahagian huluan mahupun hiliran, tetapi tidak dapat disangkal bahawa sumbangan getah kepada eksport negara tetap meningkat dari tahun ke tahun.

Beliau berkata sejak tahun 1990 sehingga sekarang, industri getah kita berkembang lima hingga enam peratus setahun, dan ia adalah antara industri yang paling cepat berkembang di Malaysia.

“Jika kita lihat dari segi pengagihan kepada ekonomi negara, pada 1990 eksport kita adalah RM1.3 bilion dan eksport kita kini adalah RM31 bilion,” katanya.

Di peringkat global, beliau berkata, Malaysia hanya menguasai tiga peratus daripada nilai industri getah dunia dan berpendapat banyak lagi peluang untuk industri itu berkembang.

“Jadi untuk itu, kita harus pastikan pembangunan yang strategik dan industri getah serta pekebun kecil tidak boleh lagi bertindak menghasilkan getah cara seperti 20-30 tahun lepas,” ujarnya.

Zairossani berkata memandangkan tanah yang terhad pekebun kecil negara digesa untuk menggunakan teknologi kerana ia adalah cara yang paling baik untuk meningkatkan pengeluaran.

“Apabila kita tingkatkan pengeluaran, dan kualiti yang kita hendakkan, bukan sahaja pekebun kecil akan dapat faedah dari pendapatan yang meningkat, tetapi yang penting sekali produk getah yang kita hasilkan dapat menyokong keseluruhan industri kita.

“Saya yakin serta berpandangan jauh bahawa Malaysia ada masa depan yang cerah dalam industri getah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Eksport Malaysia dijangka sederhana tahun ini-MIDF Research

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) mengunjurkan pertumbuhan eksport Malaysia menyederhana kepada 3.6 peratus tahun ini daripada 6.7 peratus pada 2018 ditengah-tengah kesan asas yang tinggi dan petunjuk berterusan keputusan pelonggaran utama global.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma penyelidikan itu berkata kadar sederhana itu konsisten dengan harga komoditi global dan jangkaan berlakunya sedikit kelembapan dalam prestasi perniagaan secara keseluruhan, ekoran ketidaktentuan mengenai konflik perdagangan China-Amerika Syarikat (AS).

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini, eksport Malaysia pada Februari 2019 turun 5.3 peratus tahun ke tahun kepada RM66.6 bilion dan import juga merosot 9.4 peratus kepada RM55 .54 bilion.

Bagaimanapun, lebihan dagangan meningkat 22.7 peratus tahun ke tahun kepada RM11.06 bilion pada Februari 2019, menjadikannya bulan lebihan dagangan ke-256 berturut-turut sejak November 1997, kata kementerian itu.

Mengulas mengenainya, MIDF Research berkata kemerosotan eksport untuk bulan itu disebabkan oleh jumlah hari bekerja yang lebih pendek sempena Tahun Baharu Cina yang panjang.

“Semasa cuti umum ini, semua kilang-kilang milik Cina ditutup dengan sebahagian besarnya ditutup satu atau dua minggu sebelum cuti perayaan.

“Memandangkan perayaan itu menyebabkan pengeluaran hanya separuh kapasiti, ia mengganggu rantaian bekalan global yang mengakibatkan prestasi perdagangan yang lemah,” katanya.

Pada suku pertama 2019, firma penyelidikan itu menjangkakan eksport Malaysia menjadi sederhana, sejajar dengan prestasi perdagangan rakan kongsi serantau.

“Berdasarkan prestasi dagangan rakan serantau pada suku pertama 2019, pertumbuhan eksport Vietnam menyederhana kepada 3.7 peratus berbanding pertumbuhan 6.3 peratus pada suku keempat pada 2018, manakala eksport Korea Selatan menyusut 8.6 peratus tahun lepas, berbeza dengan pertumbuhan 8.1 peratus sebelumnya, eksport Malaysia juga dijangkakan mengalami trend yang sama,” katanya.

“Risiko akibat pertikaian perdagangan China-AS ke atas ekonomi dunia masih kekal kerana kedua-duanya masih belum memuktamadkan perjanjian,” katanya. -BERNAMA

Categories
EKONOMI

Eksport Malaysia pada Oktober catat nilai tertinggi RM96.38 bilion

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Eksport Malaysia pada Oktober 2018 melepasi nilai RM90 bilion buat pertama kali apabila mencatatkan nilai tertinggi RM96.38 bilion, meningkat 17.7 peratus daripada RM81.86 bilion pada bulan yang sama 2017, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia yang dikeluarkannya hari ini berkata, import meningkat kepada RM80.05 bilion daripada RM71.85 bilion bagi tempoh yang sama.

“Lebihan dagangan melonjak 63.1 peratus kepada RM16.32 bilion, merupakan lebihan dagangan tertinggi dicatatkan setakat ini. Lebihan ini merupakan lebihan dagangan yang ke-252 bulan berturut-turut sejak November” 1997,” menurut MITI.

Prestasi perdagangan Malaysia meneruskan momentum pertumbuhan positif pada Oktober 2018 apabila mencapai RM176.43 bilion, meningkat 14.8 peratus daripada bulan yang sama tahun lepas.

“Peningkatan dalam jumlah perdagangan dapat dilihat dengan ​​​​​​​ASEAN, China, Taiwan, Hong Kong, Australia, Korea Selatan, Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), India dan Kesatuan Eropah,” menurut MITI.

Eksport pada Oktober 2018 disumbangkan terutama barangan elektrik dan elektronik bernilai RM38.38 bilion, merangkumi 39.8 peratus daripada jumlah ​​​​​​​eksport, meningkat 23.3 peratus daripada jumlah pada Oktober 2017.

Barangan eksport utama lain ialah keluaran petroleum yang meningkat 31.2 peratus kepada RM8.13 bilion bagi tempoh yang sama, begitu juga kimia dan produk kimia yang melonjak 36.5 peratus kepada RM5.68 bilion; dan barangan perkilangan logam naik 29 peratus kepada RM4.38 bilion.

Bagaimanapun, menurut MITI, eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit susut 17.3 peratus kepada RM4.12 bilion bagi tempoh yang sama.

Menurut MITI, China kekal sebagai destinasi eksport utama Malaysia pada Oktober 2018, dengan jumlah perdagangan berkembang kepada RM29.71 bilion daripada RM11.37 bilion pada Oktober 2017, diikuti​​​​​​​ Singapura (RM13.37 bilion daripada RM11.30 bilion), AS (RM8.63 bilion daripada RM8.02 bilion), Hong Kong (RM7.32 bilion daripada RM5.15 bilion) dan Jepun (RM6.61 bilion daripada RM6.0 bilion).

Eksport ke AS pada Oktober 2018 meningkat 7.6 peratus kepada RM8.63 bilion, merupakan nilai tertinggi sejak Oktober 2007.

“Sementara itu, perdagangan dengan ASEAN pada Oktober 2018 meningkat 13.8 peratus tahun ke tahun ​​​​​​​kepada RM48.82 bilion dan merangkumi 27.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia,” menurut MITI.

Menurut MITI, bagi tempoh 10 bulan pertama 2018, jumlah perdagangan berkembang 6.5 peratus ​​​​​​​kepada RM1.558 trilion berbanding tempoh yang sama 2017 dengan eksport ​​​​​​​meningkat 7.5 peratus kepada RM829.89 bilion manakala import naik 5.4 oeratus kepada RM727.88 bilion.

“Lebihan dagangan bagi tempoh ini meningkat 25.6 peratus kepada RM102.01 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” menurut kementerian itu.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, eksport, import dan jumlah perdagangan masing- masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 16.2 peratus, 18.2 peratus dan 17.1 peratus peratus manakala lebihan dagangan meningkat sebanyak 7.2 peratus.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Pertumbuhan eksport Malaysia pada September meningkat semula

KUALA LUMPUR, 2 NOV: RAM Rating Services Bhd menjangka pertumbuhan eksport Malaysia meningkat semula buat sementara waktu kepada 12.2 peratus pada September, selepas penguncupan kecil 0.3 peratus pada Ogos.

Dalam kenyataan, firma penyelidikan itu berkata jangkaan lebih tinggi itu disebabkan permintaan lebih baik dari China bagi input pengantara Malaysia berikutan syarikat China berusaha untuk memenuhi pesanan awal daripada Amerika Syarikat (AS) menjelang pusingan terkini tarif import AS yang dikenakan ke atas China pada 24 Sept.

Ketua Penyelidikan RAM Kristina Fong berkata setakat ini, turun naik aliran perdagangan didorong terutamanya oleh aktiviti itu untuk melindungi daripada peningkatan ketara dalam kos pengeluaran untuk perniagaan.

“Sehubungan itu, prestasi eksport dijangka mengakhiri tahun ini pada kadar rendah, melainkan terdapat satu lagi pusingan tarif yang tidak dijangka,” katanya.

Jangkaan ini turut disokong oleh pesanan eksport pembuatan China yang merosot dalam beberapa bulan ini.

Pusingan terkini semakan semula tarif menekankan kepada produk perindustrian dan bahan perkilangan, yang akan mengurangkan tarif purata untuk kumpulan barangan ini kepada 7.8 peratus daripada 10.5 peratus, dengan kira-kira 75 peratus daripada barangan menarik pengurangan antara sifar dan empat peratus.

“Eksport Malaysia bagi barangan ini ke China menyumbang hanya 0.4 peratus daripada jumlah eksport kita, dengan tiada kelebihan perbandingan yang dapat dilihat dalam pengeluaran kumpulan barangan ini.

“Oleh itu, prestasi eksport Malaysia dijangka tidak didorong oleh langkah liberalisasi tarif yang terkini,” katanya.

Berbanding eksport, pertumbuhan import dijangka berkurangan kepada 6.4 peratus pada September (Ogos: 11.2 peratus, tanpa rangsangan daripada tempoh bebas cukai yang menyokong permintaan import dalam tempoh tiga bulan lepas).

Secara keseluruhannya, lebihan perdagangan pada September dijangka mencecah RM13.3 bilion.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Eksport Malaysia meningkat kepada 8.7 peratus pada Jun

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Pertumbuhan eksport Malaysia dijangka meningkat kepada 8.7 peratus pada Jun berbanding 3.4 peratus pada Mei walaupun dijangka lembap dengan sambutan Hari Raya.

RAM Ratings berkata permintaan kukuh daripada pasaran eksport utama, seperti yang dilihat daripada peningkatan berterusan dalam aktiviti industri, dijangka menyokong pertumbuhan eksport pada Jun.

“Sejajar dengan peningkatan eksport yang diunjurkan, yang biasanya dengan input yang diimport, pertumbuhan import diunjurkan meningkat kepada 8.1 peratus pada Jun,” menurut Ketua Penyelidikan Kristina Fong dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata aktiviti menambah stok agak berdaya tahan pada masa ini berdasarkan pertumbuhan global yang berterusan, tetapi terdapat sedikit dorongan untuk meningkatkannya dengan ketara pada bulan-bulan akan datang dengan ketidaktentuan mengenai pertikaian perdagangan pada masa ini.

“Secara keseluruhan, lebihan dagangan dijangka mencecah RM11.1 bilion pada bulan tersebut. Liberalisasi import China (menurunkan tarif import ke atas 1,449 produk pengguna) mulai 1 Julai dan seterusnya dijangka menawarkan lebih banyak peluang kepada pengeksport global barangan pengguna.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Eksport telur ayam Selangor ke Singapura lebih RM43.5 juta

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pengeluaran telur ayam di Selangor sudah mencapai status keperluan sara diri sekaligus membolehkan produk itu dieksport ke pasaran luar negara.

Mengikut data dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri, Selangor dianggarkan mengeksport produk telur ayam ke Singapura bernilai RM43,518,900, pada 2014.

telur ayamNilai eksport itu terdiri daripada 125,760,000 biji telur dengan nilai eksport RM38,985,600.

Sementara putih telur cecair pula mencatatkan 85,515 kilogram (kg) dengan nilai eksport RM1,539,270 dan 166,335 kg telur cecair bernilai RM2,994,030.

Pengarahnya, Dr Akma Ngah Hamid, berkata DVS Selangor turut mensasarkan ternakan ruminan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan rakyat negeri itu selain pengeluaran telur.

“Berbanding ternakan ruminan, pengeluaran telur di Selangor memang besar.

“Selain pengeluar kecil dan sederhana, kita ada ladang telur paling besar seperti Selasih dan Lay Hong yang mampu membekal telur dalam kuantiti besar bagi menampung permintaan dalam juga luar negeri,” katanya kepada Selangor Kini.

ayam itikKetika menyentuh pengeluaran ayam dan itik, Dr Akma memberitahu pengeluaran di Selangor mampu membekalkan 73,630 tan metrik pada 2014 dengan keupayaan sara diri mencapai 38.16 peratus.

Beliau berkata, permintaan makanan berasaskan ternakan di Selangor didapati semakin meningkat disebabkan statusnya sebagai negeri maju yang menjadi tumpuan pencari perkerjaan.

“Justeru itu, menjadi keutamaan kami memastikan jaminan bekalan makanan penduduk Selangor sentiasa mencukupi,” katanya.

-NFN-