Categories
SELANGOR

Tiada Lagi Kecurian Kayu Bakau Di Rekodkan

SHAH ALAM, 27 MAC : Jabatan Perhutanan Selangor (JPS) mengambil beberapa langkah yang proaktif bagi menangani masalah kecurian kayu bakau setelah lesen pengusahasilan kayu bakau ini ditamatkan pada 1 Julai 2010.

JPS merekodkan sehingga 29 Februari 2012 tiada sebarang kecurian kayu bakau dalam kawasan Hutan Simpan Pulau Ketam dengan tertangkapnya seorang warganegara Malaysia yang menjadi ketua sindiket di Pulau Ketam pada tahun 5 Mei 2010.

Sehubungan itu, JPS melaksanakan operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin PDRM Selangor, dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menambah kekerapan rondaan di 25 hutan simpan paya laut persisir pantai dan kawasan pulau.

Selain itu, JPS juga melakukan rondaan enam kali melalui udara setahun dan turut menempatkan kakitangan JPS di jeti-jeti bagi memeriksa kayu bakau yang di import dari Indonesia dan negeri-negeri lain.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata demikian  ketika menjawab soalan dari ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib berkaitan pengurusan Hutan Paya Laut di Selangor.

Elizabeth turut berkata, selain pemasangan papan tanda di sepanjang hutan simpan, JPS juga melaksanakan kempen kesedaran tanaman bakau dengan kerjasama korporat, NGO dan orang awam.

“Tindakan pemasangan tanda ini adalah sebagai salah satu kaedah untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang kewujudan hutan simpan,” ujar beliau.

 

Categories
SELANGOR

Strawberry Leisure Farm Tarikan Baru Pelancong Selangor

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri Selangor telah mengenal pasti beberapa produk pelancongan di negeri ini yang mempunyai potensi untuk menarik pelancongan dalam dan luar negara.

Antara tarikan terbaru adalah ladang strawberry yang terletak berhampiran Batang Kali dan bersempadanan dengan Negeri Pahang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong ketika menjawab soalan soalan Adun Batang Kali, Mohd Isa Abu Kassim bahawa tarikan terbaru tersebut telah dibuka semenjak 2009 lagi.

“Produk yang terbaru berhampiran Batang Kali yang juga menjadi tumpuan ialah seperti Starwberry Leisure Farm yang mejadi tumpuan pelancongan dalam dan luar negara.

“Semenjak ia dibuka pada Ogos 2009, ia telah dapat menarik pengunjung seramai 500,000 orang sehingga ke hari ini,” ujar beliau di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Selain itu, beberapa padang golf turut dikenal pasti mempunyai potensi untuk menarik pelancong-pelancong ke Negeri Selangor.

“Begitu juga dengan Bukit Beruntung Golf Course yang menjadi tumpuan para pemain golf khususnya pelancong-pelancong dari negara Korea.

“Pada masa yang sama terdapat pembangunan Mines Golf City of Bukit Beruntung yang bakal menjadi golf course  terulung di negara ini,” kata beliau yang juga merupakan Adun Bukit Lanjan itu.

Sebelum itu Elizabeth turut memberitahu usaha membangunkan produk pelancongan di Negeri Selangor dibuat secara menyeluruh dan bukannya ditumpukan kepada sesetengah kawasan sahaja.

“Kerajaan Negeri turut berusaha membangunkan produk-produk pelancongan seluruh negeri Selangor dan tidak tertumpu kepada sesetengah kawasan sahaja.

“Kawasan-kawasan berpotensi ini akan dipromosikan kepada pelancong luar sebagai kawasan-kawasan tarikan baru yang terdapat di seluruh Negeri Selangor,” kata beliau lagi.

Categories
SELANGOR

Permatang Kuarza Genting Klang Dijadikan Tapak Warisan Dunia

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa kerja peringkat negeri untuk mengkaji Permatang Kuarza Genting Klang (PKGK) sebagai Tapak Warisan Negara dan Dunia.

Menurut kenyataan media Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong hari ini Kerajaan Selangor telah meluluskan penubuhan sebuah Jawatankuasa Kerja Peringkat Negeri pada 14 Disember 2011.

“Jawatankuasa ini bertujuan untuk mengkaji Permatang Kuarza Genting Klang (PKGK) sebagai Tapak Warisan Negara dan Dunia,” demikian menurut kenyataan media

Jawatankuasa yang ditubuhkan itu turut membabitkan pelbagai agensi-agensi kerajaan.

“Jawatankuasa ini terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Pejabat Tanah Gombak dan Jabatan Perhutanan Selangor.

“Agensi lain yang terlibat dalam jawatankuasa itu ialah Lembaga Urus Air Selangor, Perhilitan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan lain-lain,” menurutnya.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mewartakan TNS untuk fasa 1 seluas 91,144.5 hektar mengikut seksyen 10(1)(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Pada mesyuarat pada 15 Disember 2011, jawatankuasa tersebut telah bersetuju supaya pencalonan PKGK sebagai Tapak Warisan Dunia perlu dimulakan dengan saintifik bagi mengenalpasti fakta-fakta saintifik atau ‘Outstanding Universal Value” di kawasan PKGK.

Selain itu menurut kenyataan itu lagi, beberapa agensi kerajaan lain juga didapati telah mewartakan kawasan PKGK di dalam bidang kuasa masing-masing.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mewartakan TNS untuk fasa 1 seluas 91,144.5 hektar mengikut seksyen 10(1)(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Terdapat juga pelbagai warta lain di PKGK dan kawasan sekelilingnya termasuk warta di bawah Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Perhilitan,” menurut kenyataan itu lagi.

Categories
SELANGOR

Kerjasama Dengan MYCAT Hindar Jenayah Hidupan Liar

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan kerjasama dengan Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT) bagi menjalankan Kempen Kesedaran Membanteras Jenayah Hidupan Liar.

Menurut Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, kempen tersebut khusus untuk meningkatkan kesedaran awam bagi mengelakkan kepupusan hidupan liar selain meningkatkan kesedaran awam yang masih rendah terutama dalam isu penjualan makanan eksotik.

“Kempen ini bertujuan untuk mendapatkan kerjasama orang awam bagi melaporkan segala kejadian jenayah hidupan liar seperti yang termaktub di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010..

“Dengan itu, kita mewujudkan talian Hotline Hidupan Liar khas untuk membantu meningkatkan usaha penguatkuasaan serta menyediakan saluran untuk masyarakat membantu pihak berkuasa khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan),” jelas Elizabeth sambil menambah Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 20,000 bagi menjayakan kempen tersebut.

Di samping itu, Elizabeth turut memberitahu Kerajaan Negeri menjalinkan kerjasama erat dengan Pihak Berkuasa Tempatan, Perhilitan, dan MYCAT dalam perlaksanaan CLAW (Cancelling of Licences to Aid Wildlife).

“Kita sudah melantik pegawai-pegawai khas untuk memantau kawasan hutan kita supaya aktiviti jenayah dapat dikawal.

“Lesen-lesen juga boleh ditarik balik bagi mana-mana pihak yang menyalahi akta yang digariskan,” terang Elizabeth dalam satu sidang media ketika Sidang DUN berhenti rehat yang turut ditemani pembantu khasnya, Lee Kim Sin.

Orang ramai boleh menghubungi talian hotline Hidupan Liar di talian 019-356 4194 yang beroperasi 24 jam. Mereka juga boleh menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) ke talian yang sama atau boleh juga menghantar email ke [email protected] dengan menyertakan maklumat tempat, masa, jenis jenayah serta gambar atau video yang dapat membantu siasatan.

Categories
SELANGOR

Pegawai Maklumat Distruktur Supaya Lebih Efektif

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri memutuskan untuk memberi insentif berupa elaun khas sebanyak RM500 sebulan kepada semua Pegawai Maklumat menerusi peruntukan jabatan masing-masing.

Peruntukan ini tidak membabitkan sebarang pertambahan dana tetapi melibatkan penstrukturan semula penjawatan di agensi masing-masing.

Exco Hal Ehwal Pelancongan, Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata pemberian elaun khas itu adalah memandangkan pelantikan Pegawai Maklumat ini mengakibatkan pertambahan tanggungjawab sedia ada ke atas para pegawai yang dilantik.

“Berhubung perkara ini, Pejabat Kewangan Negeri telah diminta untuk menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM162 ribu setahun bagi menampung bayaran elaun khas ini di setiap agensi di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kecuali Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-badan Berkanun,”jelas Elizabeth.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan rakyat mencatat sejarah apabila menjadi negeri peneraju dengan meluluskan Bil Enakmen Kebebasan Maklumat (Selangor) 2011 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Ogos 2011.

Keputusan itu berpadanan dengan warga negeri yang dahagakan ketelusan dan keterbukaan di dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Susulan daripada itu, 42 jabatan-jabatan yang terlibat, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-badan Berkanun perlu melantik Pegawai Maklumat dari kalangan pegawai berstatus tetap yang akan diwartakan melalui Warta Kerajaan.

Kesemua pegawai yang dilantik diwajibkan menjalani kursus pemahaman Enakmen yang dilaksanakan oleh Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Selangor.

“Enakmen ini bukan sahaja penting untuk Pakatan Rakyat di Selangor, malah ia adalah untuk semua khususnya dalam politik tanah air,”jelasnya.

Mengulas lanjut berhubung pelaksanaan Enakmen ini, Elizabeth berkata sehingga kini Kerajaan Pusat belum lagi mencabar enakmen ini sebagai bercanggah dengan perlembagaan seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

“Justeru, saya menjemput pihak pembangkang (Umno-BN Selangor) untuk menggunakan Enakmen ini untuk menyiasat Kerajaan Negeri.

“Ini kerana kebebasan maklumat ini membawa faedah kepada semua, dan kerajaan Negeri akan mempertahan kan Enakmen ini jika dicabar Kerajaan Pusat,”katanya.

Categories
SELANGOR

“Selangor Shines” Berjaya Menarik Lebih Pelancong

SHAH ALAM 20 MAC: Jumlah pelancong yang datang ke Selangor meningkat kepada 6.04 juta pada tahun 2011 berbanding 5.83 juta pada tahun 2010 selepas Kerajaan negeri melancarkan Tahun Melawat Selangor Selangor, “Selangor Shines”.

Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Yap Ee Wah, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata peningkatan itu merupakan satu rekod baru bagi Kerajaan Negeri berbanding kerajaan sebelum ini.

Katanya, pada suku tahun 2012, jumlah kedatangan pelancong pula sebanyak 1.87 juta.

“Sepuluh kawasan khas yang menjadi tumpuan pelancong antaranya Masjid Negeri, I-City, Sunway Lagoon dan Hutan Lipur Congkak,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini Kerajaan Negeri turut memberi peruntukkan khas melalui Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) kepada Sabak Bernam khususnya DUN Sekinchan.

“Dalam mesyuarat Exco Pelancongan baru-baru ini, kita mengesyorkan untuk menaiktaraf empat daerah yang menjadi tumpuan pelancongan antaranya Sekinchan dan Hulu Langat bagi kerja membaiki kawasan dan kemudahan.

“Kita juga akan mengindahkan kawasan Sekinchan sempena Bulan Melawat Sekinchan akan datang,” katanya ketika menjawab soalan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Categories
NASIONAL

Program MM2H Gagal Kerana Dasar Negara Lemah

SHAH ALAM 16 MAC : Tindakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen menyalahkan perhimpunan aman rakyat Malaysia sebagai alasan kegagalan program Malaysia My Second Home (MM2H) amat mengecewakan, kata Exco Pelancongan Selangor Elizabeth Wong.

Dalam Parlimen semalam, ketika menjawab soalan, Dr Ng berkata warga asing tidak berminat dalam program MM2H kerana mereka tidak melihat negara Malaysia sebagai negara aman dan stabil.

Elizabeth dalam satu kenyataan media berkata kenyataan Ng hanya memalukan diri dan kerajaan Malaysia dan hanya mencari alasan daripada kegagalan Kementeriannya.

“Saya ingin mengingatkan menteri itu bahawa kebanyakkan negara di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi menganggap perhimpunan aman sebagai amalan yang biasa.

“Kebebasan rakyat menyuarakan pendirian tidak dilihat sebagai kelemahan sesebuah negara tetapi keutuhan terhadap prinsip demokrasi,” katanya.

Sebaliknya, beliau memberitahu Dr Ng bahawa MM2H bukanlah gagal kerana perhimpunan awam tetapi dasar berkaitan yang tidak mengurangkan masalah imigresen dan juga permit MM2H yang kurang menarik kerana tiada keistimewaan khas.

“Misalnya, baru-baru ini, saya menerima aduan sepasang suami isteri yang menyertai MM2H. Walaupun anak mereka berjaya memasuki universiti tempatan, beliau terpaksa keluar Malaysia sebelum membuat permohonan baru.

“Tindakan sebeginilah yang mengakibatkan kesusahan terhadap pelabur MM2H dan mengurangkan penerimaan program tersebut.

Tegasnya, adalah lebih wajar jika NG membuat kajian mendalam untuk memahami sebab-sebab kegagalan MM2H.

“Saya yakin dasar imigresen, gejala rasuah dan kedaulatan undang-undang merupakan isu-isu yang lebih utama kepada warga asing yang cuba ditarik menyertai program MM2H,” katanya.

 

 

 

Categories
SELANGOR

Elizabeth Wong: Wanita Mampu jadi Peneraju Perubahan

SHAH ALAM , 8 MAC : Kaum wanita wajib menjadi peneraju perubahan besar di negara bagi mewujudkan Malaysia yang bebas dari rasuah, penyelewengan dan keganasan, tegas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar Negeri Selangor,Elizabeth Wong.

“Walaupun Hari Wanita Sedunia mula disambut lebih seratus tahun dahulu, pada tahun 2012, keadilan dan kesaksamaan bagi kaum wanita masih jauh lagi untuk dicapai.

“Tidak dapat dinafikan bahawa wanita pada hari ini telah menerajui banyak kejayaan.  Kaum wanita didapati dalam puncak pelbagai bidang, tidak kira perniagaan, profesional, ataupun politik.” kata Elizabeth dalam kenyataan medianya.

Menurut Elizabeth, Malaysia masih jauh di belakang berbanding dengan negara-negara jiran.  Di dalam Parlimen dan Dewan-Dewan Negeri di seluruh negara, kaum wanita masih tidak dapat mencecah 30 peratus kerusi.

“Walaupun populasi wanita hampir sama dengan lelaki, kami masih kurang diwakili dalam badan-badan berpengaruh, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta.  Malang lagi, budaya menghina dan menindas wanita masih wujud dalam segelintir masyarakat, sama ada di rumah, pejabat atau pun di Parlimen.

“Oleh demikian, saya menyeru semua parti politik untuk mengutamakan calon-calon wanita dalam pilihanraya yang akan datang.  Bagilah kami peluang untuk membawa budaya politik baru yang bersih.

Saya juga berharap seramai mungkin akan turut sertai perhimpunan Wanita Suara Perubahan pada 2 petang, 18 Mac di Padang Astaka, Petaling Jaya.  Hanya dengan bersuara sebagai satu, kepentingan wanita akan diberi keutamaan yang sewajarnya,” ujar beliau yang juga Adun Bukit Lanjan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPR Tidak Boleh Nafikan Hak Rakyat Malaysia Di Luar Negara Mengundi

SHAH ALAM, 2 FEB : Cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengundi dengan alasan bukan pembayar cukai adalah langkah kebelakang dan merupakan penafian hak rakyat , tegas MPP PKR Elizabeth Wong.

Menurut Elizabeth yang juga ADUN Bukit Lanjan berkata walaupun cadangan itu adalah terhad kepada rakyat Malaysia di luar negara buat masa ini, namun mencerminkan sikap SPR terhadap pengundian yang ia adalah satu keistimewaan, bukan hak.

“Dengan menafikan hak perlembagaan rakyat Malaysia untuk mengundi,SPR telah sekali lagi menunjukkan pandangan samar-samar mengenai proses demokrasi.

Menghubungkan cukai dengan mengundi bermakna melebarkan jurang yang luas dalam masyarakat termasuk pelajar, belia dan seluruh warga negara di semua peringkat.

Ini menandakan satu trend yang bahaya dalam politik Malaysia daripada pengukuhan demokrasi,” kata Elizabeth dalam kenyataan medianya.

Menurut Elizabeh ,sebaliknya, bagi kebanyakan negara-negara demokratik,mengundi di luar negara semata-mata melibatkan satu proses yang mudah dengan mendaftar di kedutaan yang terdekat atau Konsulat.

Tidak mengejutkan, cadangan itu disokong oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, membuktikan mencabut mutlak parti itu daripada aspirasi rakyat Malaysia biasa yang menunjukkan sokongan itu adalah bukti bahawa MCA semakin menjadi parti elitis.

Tambahan pula, contoh Chua, Amerika Syarikat sebagai hanya memberikan undi tidak hadir kepada pembayar cukai adalah tidak benar. Malah, pindaan perlembagaan Amerika Syarikat ke-24 secara khusus menyatakan bahawa hak rakyat untuk mengundi tidak boleh dinafikan atau diringkaskan oleh sebab kegagalan untuk membayar apa-apa cukai pungutan suara atau cukai lain.

“Saya ingin mengingatkan SPR, Chua dan MCA bahawa mengundi adalah satu asas hak semua rakyat. Ia bukan mereka untuk membuat keputusan yang seseorang itu dapat mengundi ataupun tidak,” katanya.