Categories
SELANGOR

Selangor Tidak Pernah Lulus Pembinaan Kabel Bervoltan Tinggi

KUALA LUMPUR, 23 OKT : Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak pernah memberi kelulusan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk meneruskan Projek Pembinaan Kabel berkuasa tinggi sehingga hari ini.

Sebaliknya tegas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim projek ini sebenarnya diluluskan oleh Kerajaan Selangor BN pada 2007.

“Kalau MCA kata dia protes, dia mesti protes pada 2007 dan dia tidak boleh protes sekarang,” katanya dalam majlis lawatan kerja dan bertemu rakyat di Taman Connaught di sini hari ini.

Justeru, tuduhan MCA Bandar Tun Razak pada 17 Oktober lalu bahawa beliau dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memberi kelulusan kepada TNB untuk membina kabel itu merentasi beberapa kawasan di Cheras di Selangor dan Taman Connaught di sini adalah tidak benar.

“Sebaik sahaja menerima bantahan dan aduan daripada penduduk setempat tentang pembinaan ini pada 2010, saya mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) supaya tidak memberikan apa-apa kellulusan pembinaan kepada TNB di kawasannya sehingga TNB memberikan cadangan lain.

“Tetapi malangnya TNB bru-baru ini mula meneruskan kembali pembinaan itu bertumpu di kawasan Taman Connaught di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) manakala di Selangor pembinaan tidak diteruskan,” katanya.

Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak juga berkata, TNB seharusnya mempertimbangkan bantahan penduduk dan tidak meneruskan projek pembinaan kabel berkuasa berkenaan.

Bagi menyelesaikan masalah ini satu perbincangan dicadangkan diadakan dalam masa dua minggu ini melibatkan TNB dan DBKL bersama penduduk di situ serta Bandar Tun Razak bagi mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata, penduduk membantah projek tersebut kerana berasa bimbang akan tahap keselamatan dan kesihatan mereka bakal terjejas akibatnya.

Menurutnya, pihaknya menyokong penuh sebarang projek pembangunan untuk keselesaan rakyat tetapi ia perlu dilakukan secara berhemat dengan mengambil kira pandangan dan ketidakselesaan golongan itu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ahlli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Categories
SELANGOR

PDRM Didesak Jaga Seluruh Kuala Lumpur

SHAH ALAM 30 JULAI : Pakatan Rakyat Kuala Lumpur mendesak Polis diRaja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperluas operasi mencegah jenayah ke seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Pakatan difahamkan sebanyak 90 anggota PDRM dari Bukit Aman dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerah untuk menjaga keselamatan penduduk di Lembah Pantai.

Anggota tersebut juga diarahkan ke Desa Seri Hartamas dan Taman Tun Dr Ismail yang terletak dalam kawasan parlimen Segambut.

Bagaimanapun, lapan wakil rakyat Pakatan Rakyat mendesak agar PDRM memperluaskan operasi bukan hanya menumpukan dua kawasan parlimen itu sahaja.

Desakan tersebut dikeluarkan MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Tan Sri Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak), Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Tian Chua (Batu), Tan Kok Wai (Cheras) danĀ  Teresa Kok (Seputeh).

Turut mendatangani kenyataan tersebut Fong Kui Lun (Bukit Bintang) Lim Lip Eng (Segambut) dam Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa.

?Penduduk Kuala Lumpur sudah letih dan jemu mendengar khabar kejadian rompakan, penculikan, dan lain-lain jenayah yang tidak berkurangan walaupun dilaporkan kadar jenayah makin menurun,? kenyataan itu berkata.

MP Bukit Bendera, Liew Chin Tong pernah membangkitkan statistik yang hingga Januari 2011 kurang daripada 14 peratus dari 105,929 orang anggota PDRM ditugaskan untuk siasatan jenayah.

Iaitu 8 peratus di Jabatan Siasatan Jenayah, 4 peratus di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan 1.3 peratus di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Daripada statistik itu, Pakatan turut menggesa PDRM untuk meningkatkan jumlah anggota polis yang ditugaskan untuk siasatan jenayah bukan dengan tindakan menambah jumlah anggota polis secara keseluruhannya.

Anggota itu boleh di latih semula dan memasukkan anggota polis dari jabatan lain ke jabatan siasatan jenayah.

?Ia adalah langkah positif yang sepatutnya dilaksanakan daripada peringkat awal, bagaimanapun kontroversi penurunan statistik telah dijadikan alasan oleh kerajaan BN untuk berlengah-lengah sebelum bertindak.?