Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hospital Klang terima tambahan lima ambulans

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menambah lima lagi ambulans untuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, kata pengarah hospital berkenaan Dr Zulkarnain Mohd Rawi.

Menerusi laman Facebook HTAR, beliau berkata tambahan itu berikutan keadaan darurat pada masa sekarang membabitkan penggunaan ambulans yang sangat tinggi atau disifatkan beliau sebagai ‘luar biasa’.

“Panggilan yang diterima sangat banyak. Permintaan mengatasi keupayaan sedia ada,” katanya.

Dr Zulkarnain mengulas demikian susulan laporan sebuah portal dalam talian bahasa Inggeris semalam (17 Julai), yang mendakwa Ahli Parlimen Klang Charles Santiago sebagai berkata dua individu dari kawasannya gagal mendapatkan ambulans untuk menerima rawatan Covid-19 di HTAR.

— BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais edar lebih 4,000 set makanan kepada petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak 4,350 set makanan diedar kepada petugas barisan hadapan di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata sumbangan berbentuk roti dan air mineral diserahkan kepada PPV UiTM Shah Alam; Dewan MBSA Seksyen 19; Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya dan Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Serdang.

“Manakala enam IPD termasuk Klang Utara, Klang Selatan, Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam dan Serdang.

“Masing-masing menerima sumbangan antara 100 set hingga 1,000 set makanan dan minuman mengikut kapasiti keperluan petugas di lokasi masing-masing,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Mais, sumbangan fasa kedua ini mendapat kerjasama anak syarikatnya, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Categories
AGENDA NASIONAL

HTAR terima dua lagi kontena kendali mayat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 14 JULAI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bakal menerima tambahan dua lagi kontena daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai persediaan Jabatan Forensik di hospital berkenaan untuk mengendalikan kebarangkalian pertambahan jumlah mayat, susulan situasi wabak Covid-19 yang dihadapi Selangor ketika ini.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata dengan tambahan kontena itu, HTAR memiliki empat kontena bagi menempatkan mayat termasuk satu kontena masing-masing disumbangkan oleh MIC pusat dan satu lagi milik sedia ada jabatan berkenaan yang boleh memuatkan 120 mayat.

“Dengan empat kontena tersebut dan ditambah lagi dengan kemudahan sedia ada di bilik menempatkan mayat serta jenazah di Jabatan Forensik, kita mampu menempatkan anggaran maksimum sekitar 150 mayat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas berhubung keadaan mayat yang tidak dapat diuruskan dengan rapi di Jabatan Forensik hospital itu susulan kekurangan pegawai inspektor kanan (IK) untuk menguruskan mayat Covid-19, Dr Zulkarnain berkata perkara berkenaan akan diselesaikan secara berperingkat dengan bantuan dan aset daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata kerjasama tersebut adalah hasil perbincangan antara Ketua Setiausaha (KSU) KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah bersama pihak ATM.

Selain itu, Dr Zulkarnain berkata HTAR yang dijadikan sebagai Hospital Hibrid Covid-19 memaklumkan pihaknya masih menerima kes selain Covid-19 khususnya kes-kes kecemasan melibatkan kes kemalangan jalan raya dan sakit jantung.

”Kes tersebut kita masih terima dan HTAR juga ada merujuk kes kemalangan jalan raya dan sakit jantung kepada Hospital KPJ Selangor di Shah Alam dan KPJ Klang,” katanya.

Menurutnya, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dibuat antara KKM dengan Hospital KPJ sejak Jun lepas, HTAR setakat ini sudah merujuk lebih kurang 20 pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di dua hospital berkenaan.

“Kita akan buat ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum pesakit dirujuk ke hospital berkenaan serta kos perbelanjaan pesakit juga ditanggung kerajaan,” katanya.

Mengenai mobilisasi petugas perubatan dari luar Lembah Klang, beliau berkata setakat ini pihaknya sudah menerima 20 orang petugas kesihatan dari Perlis untuk membantu pengurusan di hospital terbabit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Klang nafi kosongkan Jabatan Kecemasan ketika lawatan PM

SHAH ALAM, 14 JULAI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengatakan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu “dikosongkan” kerana menerima lawatan daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata perkara itu adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit yang setakat semalam, seramai 177 pesakit masih belum menerima rawatan.

Dr Zulkarnain memaklumkan trend semasa di Jabatan Kecemasan dan Trauma menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 hingga 180 pesakit.

Beliau berkata pemindahan pesakit Covid-19 ke Kompleks Rawatan Harian (ACC) yang ditukarkan fungsi sebagai Wad Covid-19 adalah pelan kontigensi yang diambil bagi Pengurusan Bencana Peringkat Hospital.

Katanya pada 8 Julai, Wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma dikenal pasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Pada 9 Julai pula, Kompleks Rawatan Harian (ACC) dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad merawat pesakit Covid-19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan di dalam ruang yang selesa.

“Kriteria untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 ke Wad Covid-19 Berisiko Rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad, dan ia bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma,” katanya.

Mengenai isu berkaitan doktor pelatih diarah untuk berpindah dari Asrama Doktor Pelatih, Dr Zulkarnain berkata mereka dipindahkan ke bangunan Asrama Pelajar Perubatan Universiti Malaya (UM) yang lebih selesa.

Beliau berkata ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan Blok A, B dan C Asrama Doktor Pelatih memandangkan Blok D Asrama Doktor Pelatih telah pun digunakan sebagai Pusat Saringan Covid-19 (PSC) sejak April 2020.

Dr Zulkarnain berkata selepas semua pemindahan doktor pelatih ke Asrama Pelajar Perubatan UM selesai dilakukan pada 12 Julai, fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih ditukarkan kepada Wad Covid-19 Berisiko Rendah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

HTAR tutup semua perkhidmatan rawatan pesakit luar

SHAH ALAM, 10 JULAI: Semua perkhidmatan rawatan pesakit luar Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ditutup sepenuhnya bermula semalam.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata penutupan dilakukan sebagai persediaan menghadapi pengurusan Covid-19.

Perkhidmatan rawatan klinik pakar pesakit luar di Kompleks Rawatan Harian serta Fisioterapi dan Pemulihan Carakerja di bangunan utama antara yang terjejas.

“Pesakit mempunyai janji temu di klinik pakar dinasihatkan supaya tidak hadir ke hospital sehingga diberitahu kelak.

“Beberapa pegawai perubatan akan memantau dan menyusun semula janji temu pesakit di klinik pakar termasuk pemberian preskripsi baharu bagi pesakit kehabisan ubat,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Dr Zulkarnain, pihak hospital akan memberi tarikh dan masa baharu janji temu klinik pakar serta pengambilan ubat di farmasi kepada pesakit melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

“Pesakit dinasihatkan peka dengan notifikasi diberikan melalui SMS supaya tidak terlepas janji temu dan terputus bekalan ubat-ubatan sepanjang penutupan perkhidmatan ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

50 petugas hospital Klang dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 17 DIS: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan seramai 50 petugas kesihatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dijangkiti Covid-19.

Pengarahnya Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata kesemua petugas terbabit kini mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Siasatan pasukan JKNS dan HTAR tidak dapat mengenal pasti punca jangkitan petugas kesihatan berkenaan sama ada berlaku sebelum pesakit dimasukkan ke dalam hospital atau semasa pesakit berada dalam tempoh inkubasi selama 14 hari.

“Namun keadaan terkawal, kesemua kontak sudah disaring dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO). Semua pesakit yang kontak kepada kes juga disaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga memaklumkan pengurusan rawatan pesakit di hospital berkenaan masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak hadir ke hospital sekiranya tiada urusan penting selain tidak menularkan berita tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

140 sertai kempen derma darah DUN Morib sempena Merdeka

BANTING, 2 SEPT: Seramai 140 individu sertai kempen derma darah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib sempena Hari Kebangsaan Ke-63 pada 31 Ogos lalu.

Ahli Dewan Negerinya, Hasnul Baharuddin berkata program yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat adalah usaha membantu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menambah bekalan darah.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggesa seluruh negara melabur dalam pembangunan infrastruktur dan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan bilangan penderma darah sebagai usaha membendung pandemik Covid-19,” katanya di Facebook.

Beliau menambah kempen tersebut akan diadakan secara kerap di sekitar mukim itu bagi memudahkan masyarakat yang berdepan kekangan masa untuk pergi ke hospital.

“Misalnya, hari cuti sempena menyambut Merdeka sebegini dapat memberi peluang kepada mereka untuk hadir dengan keadaan lebih selesa seterusnya memupuk nilai murni,” katanya sambil menambah peserta diberi sijil penghargaan oleh HTAR.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bekalan susut, HTAR mohon orang ramai derma darah

SHAH ALAM, 26 MEI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mengajak orang ramai menderma darah bermula esok hingga 29 Mei di pusat beli-belah Aeon di sini bagi menampung bekalan yang semakin kritikal.

HTAR dalam hantaran di Facebook memaklumkan program bermula dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

“Jangan lupa bawa buku merah dan makan dulu sebelum menderma,” kata pusat derma darah hospital itu hari ini.

Pada 21 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memohon orang ramai untuk segera menderma darah susulan tabung bekalan di HTAR semakin kritikal.

Hospital terbabit memaklumkan bekalan tabung darah mereka menyusut ketara dan dijangka hanya bertahan sehingga Aidilfitri.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KRIBA HTAR dijangka beroperasi tahun hadapan

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 13 MEI: Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (KRIBA) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dijangka beroperasi sepenuhnya tahun hadapan susulan kekurangan kakitangan dalam kalangan jururawat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini, KRIBA hanya digunakan sekitar 40 peratus dan ia sedang diselesaikan secara berperingkat dengan pengambilan kakitangan baharu akan berlangsung, pada Julai ini.

“Kita bina kemudahan dan peralatan tetapi kita tidak dapat menjalankan KRIBA secara optimum kerana kekurangan tenaga kerja.

“Perkara ini sangat dikesalkan, sebab itu pembinaan infrastruktur mesti sekali dengan perjawatan, sistem dan perisian. Kita sudah mohon 57 perjawatan baharu untuk jururawat di HTAR sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke HTAR buat pertama kali, hari ini.

Sempena lawatan itu, beliau turut meluluskan peruntukan segera RM200,000 bagi membeli mesin ‘autoclave’ baharu dan tambahan RM200,000 untuk membaik pulih bumbung dapur hospital.

Dr Dzulkefly sebelum itu turut melawat Kompleks Rawatan Harian dan mendengar taklimat disampaikan Pengarah HTAR, Dr Mohamad Sabri Othman di Auditorium Permata.

Aktiviti diteruskan dengan lawatan ke Multidiscipline Short Stay Unit (MSSU), Jabatan Kecemasan, Bed Management Unit (BMU) dan KRIBA.

Categories
SELANGOR

HTAR nafi bekalan darah O negatif kurang

KLANG 23 JUN: Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) menafikan tular dakwaan seorang waris pesakit bahawa darah jenis O negatif semakin berkurangan di hospital terbabit.

Pengarah HTAR, Dr. Mohamad Sabri Othman berkata, hasil siasatan mendapati bekalan darah O negatif pada ketika ini adalah mencukupi.

Katannya, pihaknya turut telah membekalkan keperluan bekalan darah yang mencukupi kepada pesakit tersebut.

“Darah jenis O negatif adalah dikategorikan sebagai kumpulan darah yang jarang dijumpai (rare).

“Sehubungan itu, semua tabung darah tidak menyimpan stok yang banyak pada satu-satu masa. Bagaimanapun, stok sedia ada adalah mencukupi untuk kegunaan semasa kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas beliau, HTAR juga mempunyai senarai penderma darah tersebut untuk dipanggil pada bila-bila masa terutama pada waktu kecemasan.

Justeru, Mohammad Sabri menegaskan pihaknya memandang serius isu tersebut dan menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat palsu seterusnya menyebarkannya kepada orang lain.

SUMBER: KOSMO!

Categories
SELANGOR

76 petugas HTAR keracunan makanan

SHAH ALAM 3 MAC: Seramai 76 petugas Jabatan Anestesiologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengalami keracunan makanan sejak Rabu lalu selepas menikmati makanan yang disediakan oleh katerer swasta dari luar hospital.

Pengarah HTAR, Dr Ding Lay Ming, yang mengesahkan insiden tersebut, berkata siasatan awal mendapati kemungkinan punca keracunan adalah makanan yang disajikan selepas mesyuarat jabatan pada hari berkenaan.

“Beberapa daripada petugas dimasukkan ke wad. Pengurusan hospital bersama-sama dengan pasukan klinikal telah menguruskan keadaan dengan baik bagi memastikan operasi hospital berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata semua semua pembedahan kecemasan dan perkhidmatan rawatan intensif tidak terjejas berikutan hanya Jabatan Anestesiologi yang terjejas.

“Beberapa pembedahan elektif yang dijadual semalam dan hari ini ditangguhkan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Ding berkata dengan bantuan dan kerjasama berpasukan yang hebat daripada semua pihak yang terlibat membolehkan perkhidmatan bilik bedah kini sudah kembali seperti biasa.

Menurutnya, pihak berkuasa yang relevan daripada Kementerian Kesihatan akan melakukan langkah-langkah pemulihan yang wajar sementara menunggu keputusan siasatan penuh.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kantin HTAR dibenar buka semula

SHAH ALAM 20 OGOS: Kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang yang diarah tutup petang Jumaat selepas didapati tidak mengamalkan penyediaan makanan yang bersih dibenarkan beroperasi semula pada 10 malam hari yang sama.

Pengarah HTAR Dr Ding Lay Ming ketika dihubungi Bernama semalam berkata, keputusan itu dibuat selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang membuat penilaian semula terhadap tahap kebersihan kantin HTAR dan meluluskan untuk pembukaan semula selepas premis tersebut mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

PKD Klang mengeluarkan notis arahan penutupan kantin itu kira-kira jam 2 petang Jumaat selepas melakukan pemeriksaan susulan video seekor tikus berada di dalam bekas sayur yang dihidangkan kepada pelanggan, tular di laman media sosial.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Zailan Adnan berkata kebenaran membuka semula kantin tersebut dibuat selepas mengambil kira kebajikan pelawat dan warga kerja hospital HTAR.

Dr Zailan berkata pihaknya akan sentiasa memantau kebersihan di kantin-kantin hospital dan akan menyenarai hitam serta menamatkan kontrak pengusaha kantin yang kerap dikenakan tindakan notis pembersihan.

SUMBER: BERNAMA