Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais edar lebih 4,000 set makanan kepada petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak 4,350 set makanan diedar kepada petugas barisan hadapan di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata sumbangan berbentuk roti dan air mineral diserahkan kepada PPV UiTM Shah Alam; Dewan MBSA Seksyen 19; Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya dan Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Serdang.

“Manakala enam IPD termasuk Klang Utara, Klang Selatan, Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam dan Serdang.

“Masing-masing menerima sumbangan antara 100 set hingga 1,000 set makanan dan minuman mengikut kapasiti keperluan petugas di lokasi masing-masing,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Mais, sumbangan fasa kedua ini mendapat kerjasama anak syarikatnya, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Categories
AGENSI SELANGOR

IPD Petaling Jaya, MBPJ tahan 12 individu ingkar PKP

SHAH ALAM, 14 April: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerusi Operasi Bersepadu Covid-19 menahan 12 individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Operasi bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membabitkan 15 pegawai dan 47 anggota kedua-dua agensi itu menumpukan kawasan sekitar Taman Medan dan Taman Dato’ Harun.

IPD Petaling Jaya menerusi kenyataan di Facebook berkata kesemua individu itu ditahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 7(1) g Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Matlamat operasi ini bagi mengenal pasti premis perniagaan yang tidak mematuhi arahan PKP.

“Pihak MBPJ mengeluarkan notis arahan tutup serta-merta dan menasihati kesemua premis diperiksa mematuhi arahan PKP. Tidak ada saman dikeluarkan dan penyitaan dibuat,” kata kenyataan itu.

Categories
SELANGOR

PKP: IPD Petaling Jaya terima bantuan kekuatan FRU

PETALING JAYA, 10 APRIL: Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima bantuan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk penugasan sekatan jalan raya Op COVID-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata seramai 80 anggota dan empat pegawai FRU ditempatkan di daerah itu bermula hari ini.

“Kami telah menggunakan kekuatan maksimum melibatkan 930 anggota dan pegawai.

“Pertambahan dua lagi sekatan jalan raya di daerah ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan sekatan, juga memerlukan kami untuk mendapatkan kekuatan tambahan daripada FRU, “ katanya ketika ditemui selepas memeriksa dua sekatan jalan raya tambahan di Jalan PJU 7/1, Mutiara Damansara, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang untuk melaksanakan  pos kawalan bergerak bagi menempatkan peronda pejalan kaki di lokasi tertentu di daerah ini.

“Rancangan itu masih di peringkat kajian dari segi kekuatan anggota, logistik dan kawasan yang sesuai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sembilan kompaun dikeluarkan bagi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324) di daerah ini semalam.

“Semua sembilan individu berkenaan membabitkan warga tempatan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 selepas memberi alasan remeh termasuk berkumpul bersama rakan dan menghantar barang selepas 10 malam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pendedahan Deepak : NGO Desak Najib, Rosmah, Nazim Disiasat

KUALA LUMPUR 14 DIS: NGO Jingga 13 mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta adiknya Datuk Mohammad Nazim Razak disiasat mengenai pendedahan terbaru yang dibuat ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Ini kerana Deepak dilaporkan mendakwa ketiga-tiga individu tersebut terlibat dalam usaha merangka Akuan Bersumpah Kedua (SD2) yang dilakukan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

SD2 merupakan satu dokumen yang berkait rapat dengan kes pembunahan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu pada Oktober 2006.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, satu siasatan wajar dilakukan berkaitan pendedahan Deepak mengenai penglibatannya untuk membuat SD2 yang bertujuan untuk menyekat pendedahan yang lebih besar.

Oleh itu Fariz berkata Polis dan Peguam Negara didesak supaya membuka balik kes pembunuhan yang ternyata wujud saksi baru di dalam kes itu.

“Penglibatan Najib dan Rosmah dalam kes tersebut perlu diambil tindakan dengan serius oleh pihak polis.

“Satu tindakan salah guna kuasa dan rasuah bagi tujuan perbuatan menutup jenayah yang dilakukan oleh mereka,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Beberapa portal berita telah menyiarkan pendedahan terperinci Deepak yang mengatakan beliau mengaku bercakap dan bertemu Najib dan Rosmah di kediamannya bagi mencari jalan untuk berjumpa Balasubramaniam.

Perjumpaan tersebut bertujuan membatalkan pengakuan bersumpahnya yang pertama (SD1).

Deepak mendakwa Nazim dihantar bagi mewakili Najib dan perbincangan dilakukan termasuk merasuah Balasubramaniam bagi membatalkan SD1 dan membuat SD2 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Selain itu, Deepak turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beliau untuk disiasat namun beliau menyatakan SPRM lebih berminat untuk menutup kes tersebut dan tiada tindakan diambil.