Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Wakil rakyat Hulu Kelang tekad majukan pelancongan

KEUNIKAN kuarza tulen di Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) berusia 200 juta tahun yang menyerlahkan landskap Hulu Kelang mahu dimanfaatkan oleh Ahli Dewan Negerinya.

Saari Sungib, 63, melihat jajaran mineral terpanjang di dunia iaitu sejauh 14 kilometer dengan lebar 200 meter mampu menjadikan Kampung Kemensah sebagai destinasi pelancongan apatah lagi kedudukannya dekat dengan ibu negara.

PKGS merangkumi Bukit Tabur yang terkenal dalam kalangan pendaki manakala Kampung Kemensah popular dengan kejernihan sungai dan kehijauannya. Selain itu, ada tarikan lain termasuk restoran makan dalam sungai dan Zoo Negara meski ada cadangan memindahkannya ke lokasi lain berikutan kedudukannya dihimpit pembangunan pesat.

Mesra dengan panggilan Pak Abu, beliau membuat perancangan dari segi pendakian dan kawal selia di PKGS tanpa menjejaskan alam sekitar. Itu selaras usaha mendapat pengiktirafan sebagai tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau turut dibantu individu berkemahiran dalam bidang tertentu termasuk pendaki Gunung Everest, Azim Afif Ishak dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) selain pihak berkuasa lain.

“Kita sokong usaha Kerajaan Negeri memeliharanya dan pada masa sama menjana pendapatan. Contohnya mengehadkan kumpulan yang memasukinya dan denda bagi yang melakukan pencemaran. Selain itu, perlu ada pemandu arah khas yang diberi upah.

Saari Sungib

“Kampung Kemensah sesuai untuk pelancongan. Ada sungai cantik dan pelbagai aktiviti seperti menaiki ATV (kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi),” katanya kepada SelangorKini.

Menjadi wakil rakyat sejak 2008, Saari yang terkenal sebagai pemimpin mahasiswa semasa belajar di United Kingdom turut mementingkan kebajikan masyarakat. Beliau membelanjakan sebahagian besar RM800,000 peruntukan ADN kepada rakyat.

Turun padang

Ketika wabak Covid-19 memuncak Mac lalu, beliau di sebalik menghidap penyakit Parkinson tidak memperlahankan langkah, bahkan kerap turun padang bagi menghulurkan bantuan makanan asas kepada penduduk terjejas.

Saari juga tidak melupakan kepentingan aspek prasarana dan sering membangkitkannya kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan agensi berkaitan.

Menjadi pembantu EXCO perumahan pada 2008, Saari mahir selok belok bidang itu dan menggunakan pengalamannya untuk membantu menyelesaikan isu rumah terbengkalai. Beliau juga menitik berat soal penempatan penduduk setinggan yang tapak kediaman mereka dibangunkan projek perumahan. Ada yang berpeluang membeli rumah dengan potongan harga atau menikmati pampasan.

Saari juga berharap Kerajaan Negeri memperkasakan pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi yang mampu meneruskan kemajuan selain menambah baik kelemahan di Hulu Kelang yang disifatkannya agak ‘comot’.

“Comot kerana masih ada projek terbengkalai dan tidak siap-siap. Saya pun agak rimas juga melihatnya dan harap ia dapat diperbaiki lagi,” kata Pak Abu yang dua kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Mudah didekati, tokoh terkenal dengan Risalah Usrah dan pengasas Jamaah Islah Malaysia (JIM) juga sering dijemput menyampaikan ceramah motivasi dan takzirah kerana penerangannya jelas.

Kisah mengenai Saari turut dibukukan dengan judul ‘Abu Urwah: Legenda Tanpa Soroton’ tulisan Dr Hamdi Ibrahim yang dijangka dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Perpustakaan Awam Selangor daerah Gombak pada Oktober ini.

(Maklumat tambahan) Penerima insentif DUN Hulu Kelang
– Skim Mesra Usia Emas: 4,808 orang
– Tabung Warisan Anak Selangor: 2,527 orang
– Skim Insurans Peduli Sihat: 1,386 orang
– Insentif Perkahwinan Belia: 604 pasangan

 

Categories
SELANGOR

Perkasakan Hulu Kelang sebagai Hab Pelancongan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini giat memperkasakan Hulu Kelang sebagai kawasan Hab Pelancongan di Selangor.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain, berkata ia ekoran daerah itu menjadi destinasi tumpuan seisi keluarga untuk melakukan aktiviti riadah di hujung minggu.

hamid_hussain2“Di sebalik kemodenan dan pembangunan pesat di bandar besar seperti di Shah Alam dan Klang, Selangor mempunyai banyak tempat berkelah menarik khususnya di Hulu Klang.

“Menyedari hakikat ini, pihak MPAJ terus memberi tumpuan terhadap projek yang mampu meningkatkan taraf ekonomi penduduk termasuklah memperkasakan Hulu Kelang sebagai hab pelancongan terkemuka di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Antara kawasan rekreasi di kawasan perbandaran Hulu Kelang seperti Zoo Negara, hutan lipur, penempatan Orang Asal di Kampung Kemensah, Air Terjun Batu Asah dan makanan tradisional popular, Lemang Pak Ali.

Selangor juga mempunyai beberapa destinasi air terjun seluruh negeri, antaranya Air Terjun Sungai Gabai Hulu Langat dan Air Terjun Sungai Tua Ulu Yam, Air Terjun Sungai Tekala Hulu Langat dan Air Terjun Perdik Hulu Langat.

Broga_HillSelain itu, kawasan Ampang Jaya turut menjadi destinasi pilihan pendaki melakukan aktiviti pendakian di Bukit Broga, Bukit Ampang dan Bukit Tabur.

Kerajaan Negeri sebelum ini juga menyediakan peruntukan RM7.75 juta setahun bagi mempromosikan acara pelancongan negeri.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut membelanjakan RM1.35 juta bagi menaik taraf Pusat Pelancongan Kelip-Kelip, prasarana di pantai dan pembelian trem di Bukit Melawati.

-AA-

Rumah Selangorku guna RM100 juta rizab Selangor

Projek ‘Rumah Selangorku’ pertama yang akan dibina di Sungai Sering, Hulu Kelang akan menggunakan RM100 juta daripada rizab Kerajaan Negeri yang berjumlah RM3 bilion.

Categories
SELANGOR

Penduduk Kg Kemesah Rasai Perubahan Di Bawah PR

HULU KELANG, 25 MAC : Penduduk Kampung Kemensah di sini terus berpeluang merasai pembangunan yang dibawa kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor khususnya dari aspek infrastruktur dan kemudahan awam menerusi peruntukan yang ditetapkan.

Ia terbukti melalui pembinaan semula dewan komuniti yang dilangkapi pelbagai kemudahan untuk kegunaan masyarakat setempat selain pembinaan gelanggang futsal bagi kegunaan belia.

Ketua Kampung Kemensah, Aziz Wahab berkata, sejak Pakatan mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2008, penduduk kampung di situ tidak pernah diabaikan, apatah lagi tercicir dari arus pembangunan.

Beliau berkata, penduduk di kawasan itu juga setakat ini berpuas hati dengan pentadbiran Dun Hulu Kelang yang dipimpin Adunnya, Saari Sungib.

“Jarang sekali timbul atau berlaku masalah di kalangan penduduk di Kampung Kemensah kerana Adun amat prihatin dengan nasib rakyat di sini.

Kemajuan infrastruktur juga bertambah baik. Sebagai contoh, dewan komuniti ini boleh digunakan oleh masyarakat atau JKKK untuk bermesyuarat selain aktiviti riadah juga boleh dilakukan di sini,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Aziz, pemantauan daripada pihak berkuasa amat diperlukan untuk menjaga keselamatan dan kemudahan yang ada di kampung tersebut.

Jelasnya, kemudahan yang baru siap dibina itu juga perlu berada di bawah pemantauan untuk mengelakkan kegiatan vandalisme.

“Kegiatan vandalisme masih lagi berlaku di kawasan ini cuma keadaannya terkawal. Saya ingin sarankan kepada Dun supaya meletakkan CCTV di dewan ini khususnya sebagai langkah berjaga-jaga,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

Penduduk Kuala Ampang Mahu Kerajaan Pusat Beri Perhatian Masalah Jalan Raya

HULU KELANG, 23 MAC : Penduduk Kuala Ampang di sini menggesa kerajaan pusat Umno-BN untuk memperbaiki mutu pembinaan jalan di sini yang sentiasa berlubang dan rosak walaupun kerap kali diturap.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Ampang, Patrick Ang berkata, jalan raya sepanjang empat kilometer yang menjadi laluan utama bagi penduduk kawasan itu telah dinaiktaraf beberapa bulan lalu oleh kerajaan Umno-BN.

Bagaimanapun, jelasnya, jalan raya tersebut hanya diturap separuh, manakala jalan-jalan lain di sekitar kawasan itu gagal diselenggara dengan baik.

Malah ujar Patrick, kenderaan berat yang sering keluar masuk melalui jalan-jalan tersebut mengakibatkan ia berlubang dan rosak teruk meskipun baru sahaja siap dinaiktaraf.

?Saya difahamkan, jalan raya berkenaan rosak dan berlubang berikutan ia dilalui oleh kenderaan berat (lori) yang melebihi had muatan. Setiap kali diturap, jalan raya itu mesti akan rosak semula.

?Namun, kami percaya jalan raya ini cepat rosak dan berlubang disebabkan pembinaannya yang tidak berkualiti. Ini kerana jalan ini baru sahaja dinaiktaraf baru-baru ini,? katanya.

Menurut beliau, meskipun keadaan jalan raya semakin teruk, namun pihak kerajaan pusat sekadar menampal sebahagian lubang-lubang jalan malah tiada sebarang tindakan untuk membaik pulihnya secara menyeluruh.

Beliau berkata, disebabkan jalan raya yang rosak dan berlubang, ia telah menyukarkan penduduk khususnya bagi penduduk yang menggunakan kenderaan kecil atau basikal.

?Kerajaan persekutuan tidak boleh lepas tangan terhadap masalah ini. Sudah beberapa kali aduan dibuat, namun masih tiada tindakan yang diambil.?

Categories
SELANGOR

Azmin: Pemimpin Berkebajikan Tidak Akan Muflis

HULU KELANG, 17 FEB : Kerajaan yang melakukan kebajikan terhadap rakyatnya tidak akan sesekali dilanda muflis, sebaliknya kerajaan korup dan tidak amanah sahaja yang akan merugikan sesebuah negara atau negeri, ujar Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

“Ingin saya tegaskan negeri dan negara tidak akan bankrup jika kerajaan menolong rakyat.

“Tetapi ianya akan bankrup jika pemimpin mengamalkan rasuah, salahguna kuasa, zalim dan menekan rakyat. Itulah yang sebenarnya menghancurkan sesebuah kerajaan dan negara,” tegas Azmin.

Beliau turut memberitahu Negeri Selangor berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara sebanyak RM 1.6 billion walaupun Kerajaan Pakatan melakukan pelbagai program kebajikan terhadap rakyat.

“Setelah empat tahun kerajaan memberikan air percuma dengan peruntukan sebanyak RM 150 juta setahun, bermakna sudah RM 600 juta dibelanjakan untuk air percuma ini.

“Tiada negeri yang memberikan air percuma melainkan Selangor namun negeri ini masih mencatatkan pertumbuhan memberansangkan dan tidak bankrup,” jelas Azmin yang juga merupakan Adun Bukit Antarabangsa.

Azmin berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Penyampaian Pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa Ke-dua peringkat Dun Gombak yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat Rakyat Taman Melawati pagi tadi.

Salah seorang penerima bantuan SMUE, Bidasiah Sindin 67, berasa terharu hingga menitiskan airmata tatkala ditemubual wartawan TVSelangor.

“Saya berbesar hati menerima sumbangan ini dan akan menggunakan wang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin.

“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Adun PKR Azmin Ali. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik beliau,” ujar ibu beranak tiga ini sebak.

Sementara itu, Mohd Anas Yosuf 27, yang baru kehilangan ayahanda tercinta berharap agar prgram-program kebajikan seumpama ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah banyak pembangunan dan kebajikan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri setelah mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Mudah-mudahan PRU akan datang ini kerajaan yang ada sekarang ini beroleh kejayaan dan terus menerajui negeri,” ujar jejaka yang merupakan seorang penjawat awam ini.

Selain penyampaian sumbangan kepada 24 penerima SMUE, Azmin turut menyampaikan sumbangan wang kepada tujuh keluarga miskin bagi meringani beban mereka.