Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Modenkan sektor tani negeri bantu tingkat hasil, jual harga patut

KUALA SELANGOR, 25 NOV: Kerajaan Negeri giat memodenkan sektor pertanian bagi meningkatkan hasil tanaman tempatan yang boleh dijual pada harga berpatutan, kata EXCO Asas Tani.

Ir Izham Hashim berkata kenaikan harga makanan seperti sayur yang dilaporkan berlaku masa kini kerana kebergantungan negara kepada sumber luar negara yang bernilai berbilion ringgit.

Menurutnya, bagi mengurangkan kesan itu Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memodenkan sektor pertanian untuk meningkatkan hasil tempatan dan menarik minat golongan muda menceburinya.

“Kita ada perkenal program sedia dana RM20,000 untuk tanaman secara fertigasi yang dikendalikan aplikasi dibangunkan anak tempatan, hasilnya lebih selamat.

EXCO Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim

“Perbincangan juga diadakan dengan Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk kita mengeluarkan makanan untuk ayam dan ruminan, sekarang terpaksa diimport menyebabkan kos mahal,” katanya di sini, hari ini.

Izham berkata demikian selepas menyampaikan bantuan nelayan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Beliau mengulas usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mengurangkan kos sara hidup susulan peningkatan bahan makanan terutama sayur seperti dilapor media.

Media yang memetik sumber Persatuan Pengguna Pulau Pinang itu mendakwa harga sayur naik lebih sekali ganda.

Kubis bunga contohnya dijual RM16 berbanding RM7 sebelum ini manakala brokoli daripada RM8 kepada RM20.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Banjir kilat: Pengendali lebuh raya langgar peraturan boleh dikena tindakan

SHAH ALAM, 24 NOV: Tindakan akan dikenakan kepada pengendali lebuh raya di negeri ini yang melanggar peraturan termasuk kegagalan mengurus hakisan dan lumpur.

EXCO infrastruktur berkata tindakan wajar itu bagi mengelak sebarang kelemahan dilakukan mereka sehingga menyebabkan kejadian seperti banjir contohnya.

Berkata kepada Kosmo, Ir Izham Hashim berkata pihaknya percaya pembinaan lebuh raya banyak menyumbang kepada pencemaran dan kekeruhan Sungai Ampang selain dipengaruhi projek pembinaan di kawasan sekitar.

“Sebab utama (banjir) ialah hujan yang melebihi 100 milimeter (mm) dalam masa yang panjang sehingga lebih tiga jam sehingga sistem saliran tidak dapat menampung air sebanyak ini,” katanya.

Beliau menegaskan, siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa berhubung kejadian banjir lumpur di kawasan Ampang khususnya di Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan.

Isnin lalu, beberapa kawasan di sekitar Ampang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama lebih satu jam lewat petang tadi.

Kawasan terjejas meliputi Jalan Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan, maklum pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Norazam Khamis berkata seramai 22 pegawai serta anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 malam.

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Lebih 20,000 penduduk terima manfaat jalan baharu

SEPANG, 23 NOV: Lebih 20,000 penduduk akan menerima manfaat selepas Jalan Sambungan Kota Warisan/B40 (Missing Link) di sini mula dibuka kepada umum, Khamis ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata jalan menghubungkan Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi itu bertindak sebagai laluan alternatif bagi penyuraian trafik di jalan sedia ada.

“Projek sepanjang 4.8 kilometer ini menelan belanja RM105 juta iaitu penjimatan RM4 juta berbanding anggaran awal iaitu RM109 juta.

“Kalau ikut laluan biasa tanpa kesesakan untuk menghubungkan Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi ia mengambil masa 15 minit tetapi dengan jalan ini dapat mengurangkan tempoh hanya lima minit,” katanya selepas merasmikan jalan berkenaan petang tadi.

Projek yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Selangor dimulakan pada November 2017 dan siap pada 6 Mei lalu.

Kos berkenaan turut merangkumi pembinaan empat bulatan dan dua persimpangan bagi penyambungan kepada jalan sedia ada.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sedia awal hadapi kemarau panjang menjelang 2026

SHAH ALAM, 17 NOV: Belanjawan #Selangor2022 diharap merangka persediaan awal bagi berdepan kemarau panjang yang dijangka pada 2026, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata perancangan teliti perlu dimulakan sekarang bagi mengelak masalah meskipun ramalan tersebut dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Persiapan tidak boleh saat akhir. Kita akan lihat sumber air mentah kebanyakan milik persendirian. Kita kena bincang termasuk pemasangan paip supaya bila sampai masa kita terus guna.

“Air empangan sekarang memang tidak cukup, hanya separuh daripada keperluan sahaja,” katanya selepas meninjau rumah pam di pintu air Taman Sri Muda, Seksyen 25 hari ini.

Wakil rakyat Pandan turut berharap dana besar bagi menaik taraf jalan raya negeri yang uzur demi kepentingan dan keselamatan orang ramai.

Selain itu, Ir Izham berkata rangkaian internet perlu diperluas ke seluruh negeri dan dibincangkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Semalam terima banyak aduan tentang syarikat telco. Banyak kawasan terputus internet, tidak boleh berhubung. Kita negeri maju jadi kena tumpu bagaimana untuk tingkat isyarat komunikasi,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November
menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi selepas pandemik Covid-19 reda.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor serta portal.

Maklumat pantas dan infografik isi menarik pula dimuatkan di media sosial dengan tanda #Selangor2022.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rumah pam sementara kurangkan risiko banjir sekitar Sri Muda

SHAH ALAM, 17 NOV: Pembinaan rumah pam sementara di pintu air Taman Sri Muda, Seksyen 25 mampu mengurangkan risiko banjir di kawasan berhampiran.

Menempatkan dua pam berkapasiti 200 liter sesaat, EXCO infrastruktur berkata ia berfungsi secara automatik bagi menyedut air jika paras Sungai Rasau naik.

“Ini kawasan pertemuan (air) Sungai Klang, Sungai Rasau serta aliran dari perumahan penduduk dan industri. Bila hujan lebat, air naik tinggi dan pintu air terpaksa ditutup.

“Jadi pam ini akan berfungsi sedut air dengan cepat. Kalau tidak, air akan melimpah ke kawasan perumahan. Cuma pam ini perlu dijaga dan diperiksa selalu untuk elak sampah,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui selepas meninjau rumah pam bernilai RM770,000 bersama EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi yang juga wakil rakyat Kota Kemuning V Ganabatirau.

Ir Izham berkata masalah banjir di Sri Muda, Bukit Kemuning, Bukit Rimau dan Bukit Naga diatasi sepenuhnya menjelang 2023 selepas pembesaran kolam dan pembinaan rumah pam kekal siap.

“Projek itu bernilai RM10 juta dan sedang dilaksanakan dengan dua pam air lebih besar. Sepatutnya siap lebih awal namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, proses lambat,” katanya.

V Ganabatirau sebelum ini meminta pihak bertanggungjawab menaik taraf longkang dan sistem perparitan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan banjir yang merisikokan 16,000 penduduk.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan RM40 juta laksana kerja pembaikan segera tangani banjir

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk hampir RM40 juta bagi melaksana kerja pembaikan segera di 50 kawasan titik panas kerap dilanda banjir di Selangor.

EXCO Infrastruktur berkata tindakan segera itu membabitkan RM25.7 juta bagi kerja mengorek dan mendalamkan sungai serta kolam; membina dan naik taraf ban; memasang pam baharu dan meroboh struktur haram dalam rizab sungai.

Ir Izham Hashim berkata sebanyak RM4 juta bagi membina kolam takungan Bluewater di Seri Kembangan dan RM10 juta membina kolam takungan banjir di Lebuhraya Grand Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja.

Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika tinjauan kerja menaik taraf jalan raya di Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Tindakan segera ini bertujuan mengurangkan kekerapan dan kesan banjir terhadap penduduk di kawasan terlibat sehingga terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda.

“Pelaksanaan kerja bermula Disember ini dan dijangka siap secara berperingkat sehingga April tahun depan,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurutnya kawasan titik panas banjir antaranya sekitar Seksyen 13 (Shah Alam), Taman Meru Daya (Klang), Kampung Ginching, Kampung Salak Tinggi (Sepang) dan Selayang Baru (Gombak).

Jelas beliau banjir berlaku disebabkan jumlah taburan hujan yang tinggi melebihi 65 milimeter dalam tempoh singkat selain sistem saliran dan sungai yang tidak mampu menampung kapasiti aliran.

“Kepesatan pembangunan juga menjadi faktor banjir kerap berlaku serta halangan struktur bangunan haram yang berada dalam rizab sungai juga memberi kesan terhadap kelancaran aliran air.

“Kita harap dengan tindakan segera ini mampu menangani kejadian banjir di kawasan berkenaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Video tular tidak benar, SKE bukan projek dilaksana di Selangor

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Selangor menegaskan pembinaan projek lebuh raya Sungai Klang Ekspressway (SKE) yang tular menerusi video di media sosial adalah tidak benar.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata beliau sendiri meneliti video berdurasi lebih 10 minit itu dan jelas projek tersebut tiada dalam senarai projek yang akan dilaksana di Selangor.

“Sebaliknya kita dapati terdapat satu projek yang mirip sama melibatkan Jajaran Sungai Klang bermula dari Klang hingga Kuala Lumpur yang telah mendapat kelulusan dasar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Projek dimaksudkan ialah cadangan pembinaan lebuh raya Sungai Klang Link atau SKL yang mendapat kelulusan dasar pada 27 Januari lalu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya susulan penyebaran video berkenaan kerana mengandungi maklumat tidak benar.

“Saya akan merujuk Kamar Penasihat Undang-undang Selangor sama ada kita perlu ambil tindakan lebih lanjut atau tidak… ada logo pihak berkuasa tempatan (PBT) digunakan dalam video itu.

“Ini adalah salah guna logo tanpa kebenaran kerana kita bimbang orang di luar sana beranggapan projek ini mendapat kelulusan Kerajaan Negeri, hakikatnya ia tiada dalam senarai,” katanya.

Katanya, SKL telah menghubungi beliau berhubung penyebaran video projek SKE yang mirip sama dengan projek mereka dan pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang.

Izham menjelaskan segala pelaksanaan projek lebuh raya adalah tertakluk pada kelulusan kerajaan pusat dan pihaknya hanya memudah cara pelaksanaan.

“Setakat ini kerajaan pusat belum memberikan apa-apa komen dan kelulusan penuh mengenai projek SKL ini serta beberapa projek lebuh raya lagi di Selangor.

“Semua enam projek ini masih ada di peringkat cadangan dan ada yang telah diberi kelulusan dasar seperti SKL,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Undian video bantu tentukan pemenang Ikon Agro Selangor

SHAH ALAM, 7 NOV: Lapan calon Ikon Agro Selangor 2021 menjalani penggambaran video di premis masing-masing sejak 1 November sebagai salah satu proses pertandingan.

Sesi rakaman selama dua minggu berjalan lancar sebelum video ditayangkan di Facebook dan YouTube Agro Selangor untuk pengundian, kata EXCO pemodenan pertanian.

“Sebanyak 30 peratus markah undian dinilai berdasarkan jumlah tanda suka dan tontonan,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi hari ini.

Lapan usahawan agro disenarai pendek adalah Muhammad Fathullah Janal (penternakan), Sri Sutesh Chelladurai (tanaman)dan She Cheng Siang (tanaman).

Selain itu, Siti Nurul Aisyah Zakariah (akuakultur), Chia Boon San (agropelancongan), Cheng Poh Guat (tanaman), Hasbullah (ternakan) dan Affendi Zainuddin (tanaman).

Edisi kedua penganjuran menawarkan wang tunai RM10,000, bantuan kelengkapan pertanian dan sijil.

Peserta dinilai mengikut penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Ikon Agro Selangor berperanan sebagai duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini serta membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung.

Jawatankuasa pertanian negeri turut memantau Ikon Agro Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Categories
EXCO SELANGOR

Empat kebun komuniti di Hulu Selangor dapat bantuan tani RM20,000

SHAH ALAM, 3 NOV: Sebanyak empat kebun komuniti bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerima bantuan bernilai RM20,000.

Sumbangan input pertanian berjumlah RM5,000 setiap satu sebahagian daripada Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum pada Jun lalu, kata EXCO pemodenan pertanian.

“Sering saya tekankan pertanian bukan lagi bidang yang dianggap remeh, sebaliknya dapat membantu meningkatkan ekonomi di samping mengeratkan hubungan komuniti setempat,” kata Ir Izham Hashim di Facebook semalam.

Kerajaan Selangor memperuntuk sebanyak RM250,000 bagi memajukan 50 kebun komuniti di negeri ini untuk menggalakkan orang ramai mengusahakan pelbagai tanaman.

Melalui inisiatif itu, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memilih empat kebun komuniti untuk diberikan bantuan masing-masing sebanyak RM5,000.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Warga emas, OKU Pandan Indah dapat barang dapur sempena Deepavali

SHAH ALAM, 1 NOV: Seramai 150 penduduk sekitar Pandan Jaya dan Pandan Indah menerima bantuan bakul makanan dan wang tunai sempena sambutan Deepavali Khamis ini.

Sumbangan yang diagihkan semalam mengandungi makanan asas seperti beras, tepung dan gula bernilai RM100 setiap satu, maklum wakil rakyatnya Ir Izham Hashim.

“Penerima meliputi keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban terutama bagi masyarakat India yang akan menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi,” katanya menerusi Facebook.

Lebih 8,000 penduduk sekitar Pandan Indah yang terkesan akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan dibantu menerusi agihan bakul makanan sejak Disember tahun lalu.

Ir Izham berkata sebanyak 1,000 bakul makanan diedar setiap bulan oleh pusat khidmatnya dengan peruntukan RM50 setiap satu.

Turut diagihkan ialah 500 tablet dan 200 komputer riba bagi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Senarai akhir calon Ikon Agro Selangor diumum malam ini

CYBERJAYA, 31 OKT: Senarai akhir calon Ikon Agro Selangor 2021 akan diumum menerusi Facebook EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim malam ini.

Izham memaklumkan jumlah keseluruhan permohonan yang diterima adalah seramai 19 peserta sehingga ditutup pada 24 Oktober lalu.

“Menariknya tahun ini kita menerima penyertaan daripada agro pelancongan.

“Saya uar-uarkan senarai pendek peserta yang terpilih malam esok (ini) dan video mereka dimuat naik untuk pemarkahan juri awam sebanyak 50 peratus,” katanya selepas melawat tapak jualan SAM di Taman Tasik Cyberjaya semalam.

Menerusi lawatan itu, Izham diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor Aiaida Abdul Rashid.

Ikon Agro Selangor 2021 mempertaruhkan lima kategori iaitu pertanian, penternakan, akuakultur, industri asas tani dan agro pelancongan.

Pemenang akan membawa pulang wang tunai, insentif input dan alatan pertanian berjumlah RM10,000.

Ikon Agro Selangor berperanan sebagai duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini serta membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung.

Jawatankuasa pertanian negeri turut memantau Ikon Agro Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang sedia beri kerjasama, galak aktiviti ekonomi

CYBERJAYA, 30 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menggalakkan aktiviti ekonomi seperti program Selangor Agro Market (SAM) dalam kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata program seperti itu membantu usahawan dalam menjana pendapatan selain memudahkan masyarakat setempat memperoleh keperluan harian dengan kualiti yang baik.

“Contohnya di program SAM di Taman Tasik Cyberjaya ini, selain masyarakat dapat bersenam mereka berpeluang untuk membeli keperluan seperti ikan dan tidak perlu ke pasar.

“Di daerah Sepang kawasan agak luas dan sekiranya ada permintaan kita tiada masalah untuk mempertimbangkannya dan sedia memberi kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Abd Hamid mengiringi EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim ke tapak jualan SAM di Taman Tasik Cyberjaya hari ini bersama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor Aiaida Abdul Rashid.

Program SAM adalah kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Fama yang sudah bermula sejak tiga tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan sebanyak RM5.2 juta.