Categories
SELANGOR

Pembangunan Sabak Bernam diberi perhatian

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 FEB: Pembangunan projek membabitkan 260 unit projek Rumah Selangorku di Taman Air Manis Perdana di Sabak Bernam bagi memastikan kawasan daerah Sabak Bernam turut diberikan perhatian.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata projek itu terdiri daripada 260 unit Rumah Selangorku berharga dari RM100,000 sehingga RM250,000.

image (6)“Ia juga membabitkan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dengan 10 buah gerai, stesyen minyak, 67 unit kedai, rumah teres dan rumah bandar,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar menjangkakan projek itu menjadi projek penting apabila siap kerana kedudukannya di sebelah Lebuhraya Pantai Barat atau West Coast Expressway (WCE) yang bakal dibina.

“Kerja tanah sedang berjalan dan selesai pada bulan Jun tahun ini. Projek dijangka siap pada bulan Disember 2018.

“Pemaju projek ini adalah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB),” katanya.

Beliau berkata projek itu dilaksanakan sendiri oleh PNSB dan bukan usaha sama dengan mana-mana pihak.

EZY

Categories
SELANGOR

Tiada projek perumahan terbengkalai selepas 2008

Oleh: NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 24 FEB: Tidak sanggup melihat wajah dikecewakan dan tertekan apabila kediaman diimpikan terbengkalai seperti banyak berlaku sebelum 2008, Kerajaan Negeri memantau projek perumahan diluluskan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata pemantauan berterusan itu mendatangkan hasil positif apabila sehingga kini tiada projek perumahan diluluskan selepas 2008 terbengkalai ekoran kegagalan pemaju.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (2)“Bayangkanlah, sesiapa berada di kedudukan mereka. Nak kumpul duit pendahuluan bukan senang, selepas bayar pendahuluan kena bayar bulanan pula walaupun ada sesetengah pendapatan tidak seberapa tetapi disebabkan nak beli rumah impian mereka gagahkan juga.

“Tiba-tiba dapat tahu rumah tak siap, pemaju lari atau gulung tikar. Pada masa itu apa perasaan mereka, rumah tidak ada sedangkan pinjaman bank kena bayar. Menyedihkan bila kita fikir nasib mangsa teraniaya ini dan sebab itu Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh pastikan tiada projek terbengkalai.

“Tetapi bila ada projek mula perlahan, kita jumpa pemaju dan berikan mereka peringatan,” kata Iskandar kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Program Dialog Terbuka Cadangan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Dewan Dato’ Hormat di sini, semalam.

Iskandar berkata, ketika ini walaupun Kerajaan Negeri boleh menyemak status kewangan syarikat pemaju tetapi pemaju terbabit mempunyai hak dilindungi undang-undang sekiranya mereka enggan mendedahkannya kepada Kerajaan Negeri kecuali bagi Syarikat Berhad.

Sebelum 2008 semasa era pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) terdapat beberapa projek perumahan diluluskan gagal disiapkan sehingga memberi kesan terhadap kehidupan pembeli.

Bagaimanapun, atas dasar prihatin membantu rakyat, Kerajaan Negeri melaksanakan usaha memulihkan semula projek perumahan terbengkalai menerusi program ‘Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai atau Dana TEPAT’.

EZY

Categories
SELANGOR

Dialog terbuka cadangan lebuhraya WCE nilai suara rakyat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 23 FEB: Dialog terbuka cadangan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) diadakan bagi membolehkan semua pihak menilai sendiri suara dan kehendak rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar Kerajaan, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata amalan mendengar pendapat rakyat sebelum melaksanakan projek dibuktikan Kerajaan Negeri terhadap satu projek lebuhraya tidak berapa lama dahulu.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri memang menunggu cadangan jajaran daripada LLM kerana tahun lepas mereka bentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kita beri banyak komen yang perlu dia betulkan.

Taklimat WCE“Bila lama sudah tak dimuktamadkan dan penduduk juga tanya status isu ini, saya berikan dialog dengan wakil penduduk pada 7 Disember lepas apabila ketika itu saya adalah penyelaras DUN Sungai Burung tetapi dia tak boleh bagi perinciannya. Mereka minta masa dua bulan.

“Jadi hari ini selepas dua bulan, kita buat sekali lagi dan nampaknya masih cadangan sama juga dibentangkan cuma kali ini kita buat secara terbuka sebab kita nak dengar daripada rakyat dan kita juga nak LLM juga dengar sendiri dari rakyat,” kata Iskandar kepada SelangorKini.

Katanya, amalan ini berbeza dengan pendekatan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar yang hanya mengadakan dialog bersama LLM dengan disertai beberapa pemimpin Umno dan beberapa pemimpin setempat.

“Seperti saya, takkanlah saya nak berbincang dengan tiga atau empat orang tetapi kita kena dengar pandangan rakyat sebab isu ini melibatkan rakyat,” kata Iskandar lagi.

Majlis dialog dihadiri hampir 100 penduduk khususnya penduduk di Kampung Sungai Gulang-Gulang dan Kampung Sungai Tengi Kiri.

Semasa majlis berlangsung beberapa penduduk mengemukakan pandangan untuk diberi perhatian LLM, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Salah seorang penduduk hanya menamakan sebagai Fazli menggesa Kerajaan Persekutuan dan konsesi tidak meneruskan projek ini sekiranya tidak mempunyai dana mencukupi.

“Saya cadangkan kalau tiada duit tak payah buat, dengan cara ini tidak menyusahkan penduduk,” katanya.

Cadangan itu mendapat sorakan gemuruh apabila mengulas terhadap pandangan LLM bahawa cadangan membina lebuh raya merentasi Pekan Tanjung Karang bakal melibatkan kos lebih tinggi.

EZY

Categories
SELANGOR

Noh Omar diikat janji “tak dapat bertanding pun tak apa”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 23 FEB: Datuk Seri Noh Omar diminta mengotakan janjinya untuk menggesa Perdana Menteri supaya Kerajaan Persekutuan mengambil kira kepentingan penduduk sebelum memutuskan jajaran bagi Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata hal itu berikutan pembinaan projek lebuh raya merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan termasuk memilih syarikat konsesi dan membiayai kos pembinaannya.

“Kita dah tahu apa pandangan rakyat dan kita akan memastikan sentimen rakyat diambil kira kerana yang tanggung akhirnya adalah rakyat juga seperti penduduk di Kampung Sungai Gulang-Gulang dan penduduk Tanjung Karang.

wce_alignment_map2“Datuk Seri yang dapat bertemu Perdana Menteri. Saya harap dia dapat beri tekanan kepada Kerajaan Persekutuan supaya ikut kehendak rakyat dan tadi Datuk Seri dah berjanji dengan kita, dia kata tak dapat bertanding pun tidak mengapa. Kita pegang janji Datuk Seri,” kata Iskandar.

Kenyataan itu disambut tepukan gemuruh oleh orang ramai yang menghadiri Majlis Penerangan Projek WCE di Dewan Dato’ Hormat di sini hari ini.

Iskandar turut mengingatkan supaya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengambil kira pandangan rakyat di Tanjung Karang dalam membuat sebarang pindaan terhadap cadangan projek lebuhraya itu.

Noh OmarTerdahulu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar ketika menyampaikan bantahannya berkata, sebelum ini beliau sudah beberapa kali bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu pembinaan lebuh raya itu.

Noh yang cenderung supaya jajaran lebuh raya ini merentasi Pekan Tanjung Karang berkata, beliau sanggup bertemu Najib sekali lagi bagi memastikan projek itu mengambil kira kepentingan rakyat.

“Saya akan jumpa Perdana Menteri bagi memastikan keputusan diambil nanti tepat walaupun selepas ini saya tak dapat bertanding pun tak mengapa,” kata Noh merujuk kerusi Parlimen Tanjung Karang yang disandangnya.

EZY

Categories
SELANGOR

Lebuhraya Pantai Barat: Noh Omar diminta hadir sesi penerangan

OLEH : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 FEB: Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dialu-alukan menghadiri majlis penerangan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) pada 23 Februari (Selasa) ini .

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata majlis kali ini dijangka membentangkan jajaran terperinci WCE yang tidak dapat dibentangkan pada taklimat sebelum ini.

“Ia bukan bertujuan menyalahkan sesiapa tetapi adalah peluang bagi semua termasuk wakil rakyat menyatakan pandangan.

wce_alignment_map2“Ingin ditegaskan, laluan muktamad WCE belum lagi dibentangkan kepada kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sesi taklimat berkenaan dijadualkan diadakan di Dewan Dato’ Hormat, Tanjong Karang pada jam 10.30 pagi dan terbuka kepada semua.

Terdahulu, Noh mendakwa terkejut taklimat WCE diadakan tanpa pengetahuannya.

Pada 7 Disember 2015, majlis penerangan dan dialog WCE diadakan dan disertai wakil LLM, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri (JPBD), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi lebuhraya.

Iskandar berkata, isu utama dibincangkan dalam sesi lepas termasuk isu tanah penduduk dan kerisauan pekan Tanjong Karang ‘mati’ dengan wujudnya WCE.

“Satu pembentangan oleh LLM di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) diadakan pada 2015.

“Di dalam mesyuarat itu LLM diminta untuk membentangkan semula jajaran baru dengan mengambil kira pandangan mesyuarat.

“LLM atau Kerajaan Persekutuan belum lagi membentangkan jajaran baru ini kepada MTES,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

PAS: “Jangan digigit dari lubang sama”

SHAH ALAM 23 DIS: Ahli-ahli PAS perlu berhati-hati kerana kemungkinan perkembangan politik terkini adalah perancangan secara halus untuk memecahbelahkan PAS.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad, berkata Presiden PAS hanya sekadar menghadiri Multaqa Al-Azhar tetapi terdapat media yang mencanangkan seolah-olah PAS akan bersatu dengan UMNO atau PAS akan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

umno-dan-pas-565x376Katanya, media yang selama ini memusuhi PAS atau sentiasa memburuk-burukkan pimpinan PAS menjadikan isu ini berita utama mereka.

“Kononnya pelbagai inisiatif sedang dirancang bersama oleh kedua-dua parti.

“Mereka mendakwa terdapat kumpulan yang menyokong perpaduan bersama UMNO dan terdapat kumpulan yang menentang. Mungkin agar ahli-ahli PAS bergaduh sesama sendiri,” kata Iskandar dalam kenyataan media.

Beliau berkata ahli perlu berwaspada dengan taktik seperti ini kerana “political move” dari Umno ini mungkin terdapat “udang di sebalik batu”.

“Umat Islam juga sentiasa diingatkan agar tidak digigit dari lubang yang sama,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor Smart Home Buyers ringan beban rakyat

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri mewujudkan skim ‘Selangor Smart Home Buyers’ dalam usaha meringankan beban rakyat.

Exco Perumahan, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata melalui skim itu Kerajaan Negeri akan membuat pendahuluan bayaran deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli Rumah Selangorku.

“Peruntukan RM10 juta bakal dinikmati lebih 1,000 pembeli melalui Bajet Selangor 2016.

IMG_1822“Ia bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang amat memerlukan,” katanya ketika perasmian Seminar Rumah Selangorku dan Akta Pengurusan Strata (Akta 757), di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kualiti kehidupan komuniti perumahan strata seperti Skim CERIA (Caring Government for Residence Improvement Aid), SAFWA (Selangor Free Water) dan Kursus Format Kurikulum Pengurusan Bangunan Strata (FOKUS).

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut wujud Skim Pengenalan Pengurusan Kehidupan Strata (SKORA), Kelab Interaktif Komuniti (KLIK) dan Skim Keselamatan Kejiranan (SEROJA).

“Kita berhasrat program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia bakal memberi manfaat kepada semua,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Negeri lain ‘sedut’ intipati Belanjawan Selangor 2016

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 NOV: Belanjawan Selangor 2016 yang dibentangkan Oktober lalu disifatkan peneraju kepada negeri lain, bahkan intipatinya diikuti Bajet Johor 2016 yang baru sahaja dibentangkan, Menteri Besarnya, Datuk Khalid Nordin.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, berkata Selangor sentiasa mengetuai negeri lain dalam aspek utama pelbagai perkara.

Hannah Yeoh pic“Selangor sentiasa mengetuai pelbagai perkara. Ada baiknya sistem dua parti. Bila ada pertandingan sihat, baru rakyat akan dapat yang terbaik,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hannah berkata perlaksanaan belanjawan di setiap negeri perlu dipantau supaya intipatinya dapat dilaksanakan.

Bajet Johor 2016 mengandungi enam strategi utama iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi Johor, menangani peningkatan kos sara hidup, merancakkan keusahawanan Johor berasaskan inovasi & pengetahuan, mengangkat agenda Johor lestari serta meneruskan agenda pendidikan berkualiti & pembangunan swadaya insan.

Majoriti strategi ada di dalam Belanjawan Selangor 2016 terutama memacu kehidupan rakyat dalam menangani krisis kelembapan ekonomi dan kenaikan harga barangan terutama sejak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pada 1 April lalu.

johorSementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Samad, berkata Belanjawan Selangor yang memandang jauh ke hadapan sememangnya perlu diikuti negeri lain.

Katanya, Selangor mempunyai tanggungjawab untuk memberi inspirasi dan dorongan kepada negeri lain sebagai negeri maju serta sentiasa berada di hadapan.

“Apa yang dilakukan oleh Selangor perlu dicontohi negeri lain. Ia perlu diikuti supaya semua negeri dapat melaksanakan program baru untuk membantu dan membela nasib rakyat.

“Ia menunjukkan jalan yang seharusnya dilalui negeri lain,” katanya.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdangangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, pula berkata persamaan intipati beberapa teras Bajet Johor 2016 itu membuktikan Selangor berjaya menjadi teladan.

“Bahkan, apa yang terkandung di dalamnya menjadi model kepada kerajaan negeri lain termasuk Johor,” katanya.

-NFN-

Categories
EKSKLUSIF SELANGOR

Kepelbagaian Rumah Selangorku bantu rakyat buat pilihan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 NOV: Rumah Selangorku yang mengkhususkan golongan berpendapatan rendah bukan bertujuan memansuhkan pembinaan rumah kos rendah.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata ia bagi mempelbagaikan pilihan rumah mampu milik kepada rakyat.

iskandar dun selangor“Konsep Rumah Selangorku adalah mempelbagaikan rumah mampu milik daripada segi jualan dan luas binaan untuk memberi pilihan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah memiliki rumah.

“Tidak timbil isu rumah kos rendah akan dimansuhkan, sebaliknya hanya diberi penjenamaan baru kepada jenis kediaman berkeluasan 700 kaki persegi dengan harga minimum RM42,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) berkenaan Rumah Selangorku pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Iskandar (PAS-Cempaka) berkata, Kerajaan Negeri menyediakan skim pembiayaan dan bantuan khas untuk membolehkan rakyat memiliki rumah.

Katanya, antara skim itu adalah DanaSel berkonsepkan sewa milik dan ‘Selangor Smart Home Buyer’ dengan pendahuluan deposit 10 peratus diberikan bagi memungkinkan pembeli mendapat pinjaman bank.

“Skim lain adalah Kerajaan Negeri meletakkan cagaran kepada bank dan memberi pinjaman kepada pembeli yang sebelum ini tidak dapat membeli rumah,” katanya.

Berkenaan sasaran pembinaan Rumah Selangorku untuk tempoh tiga tahun akan datang, Iskandar berkata, 29,176 unit sudah mendapat kelulusan pembinaan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tiada kenaikan harga rumah Selangorku

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 NOV: Tidak berlaku kenaikan harga rumah Selangorku walaupun kos pembinaan dijangka meningkat ekoran kejatuhan nilai ringgit.

Exco Perumahan Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Negeri berhasrat mengadakan perbincangan dengan pemaju untuk mengkaji semula kos perumahan.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (7)“Buat masa ini belum ada keputusan mengenainya di pihak Kerajaan Negeri.

“Namun, kita sebolehnya tidak menaikan harga rumah kerana Kerajaan Negeri sudah menetapkan kadar sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Iskandar berkata berkata kejatuhan ringgit memberi kesan kepada pemaju daripada segi harga bahan mentah dan bahan binaan import.

“Sekarang belum ada keputusan menaikkan harga rumah mampu milik. Kita adakan kajian kos kesan penurunan ringgit.

“Bagi perumahan, ada bahan mentah digunakan dari tempatan seperti keluli, paling ketara peningkatan harga ialah kos membeli lif kerana semua diimport.

“Memang ada kesan pada pemaju. Kerana itu Kerajaan Negeri akan adakan perbincangan dengan pemaju,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Kuala Selangor apabila Selangor mengenakan pelbagai caj kepada pemaju menyebabkan pemaju bermasalah membina rumah mampu milik.

Katanya, Kerajaan Negeri memberikan pelbagai faedah antaranya menetapkan penurunan 10 peratus bagi caj premium.

“Kita kesal dengan dakwaan itu, sepatutnya beliau mengkaji terlebih dahulu,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

KLIK inisiatif bina sahsiah remaja pantau aset komuniti

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 OKT: Kelab Interaktif Komuniti (KLIK) merupakan inisiatif baru yang diambil Kerajaan Negeri bagi membina sahsiah remaja supaya lebih berdisiplin menjaga aset komuniti di rumah pangsapuri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata sebelum ini pelbagai usaha dilakukan mendidik masyarakat yang tinggal di kawasan pangsapuri terutama orang dewasa namun gaya pemikiran yang sudah sebati dalam diri menyukarkan perubahan.

KLIKKatanya, penyertaan orang muda khususnya belia dapat memberikan kesedaran awal kerana mereka adalah ganerasi yang bakal memimpin badan pengurusan bersama (JMB) kelak.

“Kita dah buat banyak kempen untuk orang dewasa tetapi susah nak tukar cara pemikiran mereka. Jadi kita fokus kepada remaja dan diharapkan mereka mempengaruhi orang dewasa supaya menukar sikap.

“Kita perbaiki kerosakan semata-mata tidak bererti jika tidak menukar sikap mereka,” katanya.

1 isIskandar sebelum itu merasmikan Kursus Perdana Klik bertempat di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 yang disertai 20 kawasan yang terdiri daripada 20 agen penggerak, berumur 13 hingga 30 tahun.

Kursus perdana itu bertujuan memberikan pengetahuan terhadap konsep asas pengurusan pangsapuri dan peranan KLIK sebagai pencetus “Komuniti Bersih, Ceria dan Harmoni”.

EZY

Categories
SELANGOR

Skim deposit beli rumah dan penyelengaraan Persekutuan ciplak idea Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 OKT: Beberapa skim perumahan ‘diperkenalkan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2016 baru-baru ini turut mengenengahkan idea Kerajaan Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata antara idea ‘ciplak’ yang ‘diperkenalkan’ Najib, Skim Pembiayaan Wang Pendahuluan Untuk Membeli Rumah dan Skim Pembiayaan Penyelengaraan Bagi Perumahan Kos Rendah.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (2)“Kerajaan Negeri terlebih dahulu mengumumkan Skim Pembiayaan Deposit Pembelian Rumah Mampu Milik yang bakal dibentang Dato’ Menteri Besar dalam belanjawan nanti.

“Skim Pembiayaan Penyelenggaraan Rumah Kos Rendah kita dah mula sejak 2011 lagi dan semalam Perdana Menteri juga ikut idea ini.

“Ini menunjukkan kita juga menyumbang idea kepada belanjawan Persekutuan ini dan diiktiraf. Kita mengalu-alukan dan tahniah walaupun ciplak, tak mengapa,” kata Iskandar kepada Selangor Kini.

Pada 2011 Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Pembiayaan Membaik Pulih dan Kerja Penyelengaraan Kemudahan di pangsapuri kos rendah di bawah Program Ceria.

Manakala pada Ogos lalu, Iskandar memberitahu Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan Skim Pembiayaan Wang Pendahuluan 10 peratus untuk membeli rumah mampu milik Selangorku bagi golongan kurang berkemampuan dalam Belanjawan 2016 nanti.

EZY