Categories
AGENDA NASIONAL

JAS buka kertas siasatan kes buang sisa kimia di Kajang

PUTRAJAYA, 3 FEB: Jabatan Alam Sekitar membuka kertas siasatan berhubung kejadian pembuangan haram bahan kimia di rizab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang semalam, kata Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar.

Beliau berkata JAS Selangor sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan pemeriksaan di lokasi petang semalam mendapati terdapat 21 tong berisi larutan cecair yang berbau seperti pelarut.

“Tiada tumpahan cecair dikesan di atas tanah semasa siasatan dan tidak kelihatan sebarang cecair mengalir di atas tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norlin berkata kawasan berkenaan ditutup bagi mengelak sebarang kesan bahan kimia kepada orang awam, manakala sampel bahan kimia tersebut dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling (EIA) daripada aktiviti yang ditetapkan (penstoran luar tapak) dan Seksyen 34B iaitu menempatkan buangan terjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada ketua pengarah.

Siasatan turut membabitkan Seksyen 18(1) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa lesen daripada ketua pengarah dan Seksyen 19(a) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis daripada ketua pengarah.

“Pihak JAS sedang giat memburu pelaku yang bertanggungjawab terhadap insiden ini dan tangkapan akan dibuat ke atas orang yang disyaki dalam masa terdekat,” kata Norlin.

Orang awam diminta membuat aduan pencemaran secara terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] atau melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong-tong berisi bahan buangan berjadual itu yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

JAS periksa kilang, pastikan lupus sisa kimia ikut SOP

KAJANG, 3 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor giat memantau premis kilang di seluruh negeri bagi memastikan sisa kimia dilupuskan dengan betul.

EXCO alam sekitar berkata kebanyakan kilang melepaskan sisa industri melalui syarikat pelupusan tidak berlesen tanpa memikirkan risiko pencemaran.

“Sepatutnya sisa kimia diuruskan kontraktor bertauliah, justeru JAS sedang memeriksa setiap kilang bagi memastikan ia mengikut tatacara operasi piawai (SOP) betul,” kata Hee Loy Sian selepas meninjau lokasi penemuan 165 liter bahan kimia di sini.

Pada November tahun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menasihatkan pemilik premis kilang menggunakan khidmat JAS bagi melupuskan sisa industri.

Jelasnya, meskipun proses itu memerlukan modal tinggi namun ia dapat mengelakkan masalah pencemaran yang akan menyusahkan ramai pihak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Teliti semula syarat daftar kilang sekitar lembangan sungai

SHAH ALAM, 27 NOV: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor diminta mengkaji semula kriteria pendaftaran kilang sekitar lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata ketika ini hanya kilang yang mengeluarkan sisa buangan (efluen) lebih 60,000 liter layak didaftarkan.

Ir Izham Hashim memaklumkan sebanyak 223 kilang didaftarkan setakat hujung tahun lalu, berbanding lebih 15,000 premis yang wujud.

“Kita minta JAS teliti perkara ini. Jika tidak dapat mengurusnya, kita akan minta Lembaga Urus Air Selangor ambil langkah kerana tidak mahu ada kelompangan,” katanya menambah akta perlu diselaras untuk tindakan holistik.

Ir Izham Hashim bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di Bilik Gerakan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Ir Izham menjelaskan semua kilang tidak berdaftar itu bukan dalam kelompok berisiko tinggi yang boleh menyumbang kepada masalah pencemaran.

“Masalah kita adalah hasil kumbahan yang sedikit tetapi banyak di sesuatu kawasan. Contohnya kumbahan restoran, ia sedikit tetapi ada banyak premis.

“Jadi kita mahu semua kilang yang keluarkan efluen sedikit tetap ada sistem,” katanya lagi.

Data Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor setakat 30 Jun 2017 mendapati sebanyak 15,331 kilang didirikan berhampiran lembangan sungai, namun hanya 223 berdaftar.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JAS perlu perketat penguatkuasaan atasi pencemaran sungai

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Isu gangguan bekalan air di Lembah Klang yang berpunca daripada pencemaran bekalan air mentah dari sungai kerap berlaku sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan persoalan mengapa pihak berkuasa masih buntu menangani masalah itu.

Terbaru, Selasa lepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas setelah pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor, menyebabkan gangguan bekalan air melibatkan 1,139,008 akaun pengguna merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pencemaran sungai yang sering berlaku terus mengundang resah dan bosan rakyat yang mahu tindakan lebih konkrit diambil kerana 90 peratus sumber air mentah negara ini diambil dari air sungai atau air permukaan.

Risiko pencemaran sungai seperti tidak akan berakhir terutama dengan situasi hari ini apabila berlaku pembangunan pesat di kawasan hulu sungai dengan pembukaan kilang dan premis yang boleh menyumbang kepada pencemaran. Dalam kes Selasa lepas, ia dikesan berpunca daripada pembuangan sisa dari sebuah premis di Taman Velox, Rawang yang melakukan pelepasan secara haram.

Bagi pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Azhar Abdul Halim, sungai di Lembah Klang mencapai tahap tepu yang menjadikannya lebih sensitif kepada pencemaran.

Katanya, oleh itu tidak ada pilihan lain untuk masalah itu melainkan mengawal pencemaran, menguruskan bahan-bahan kimia oleh kilang, memantau dan mengenal pasti sisa yang dilepaskan selain memperbanyakkan lagi kemudahan takungan air untuk kegunaan semasa kecemasan.

“Jika 20 tahun lalu, pencemaran yang berlaku masih boleh diserap tetapi sekarang lembangan sungai tidak lagi mampu dan sebarang pencemaran akan memberi kesan terus kepada rakyat dan pihak yang mencemarinya. Oleh itu pembuangan sisa industri secara tidak terkawal paling utama wajib dibanteras kerana ia menjadi sumber pencemaran,” katanya kepada Bernama.

Azhar berkata isu utama yg harus ditangani adalah kilang haram yang terdapat di Sungai Selangor terutama di bahagian hulu sungai kerana kilang haram ini sukar dipantau dan mengambil jalan mudah membuang sisa berjadual ke dalan sistem pembentungan untuk mengelakkan kos rawatan di Kualiti Alam, syarikat yang menguruskan pelupusan bagi sisa terjadual di Malaysia.

Kerana itu, setiap industri wajib berlesen dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) seharusnya mempunyai maklumat yang terkini bagi setiap bahan kimia yang digunakan, sisa kimia yang bakal dan beroperasi dilupuskan.

“Peraturan memang ada iaitu bagi industri berlesen wajib merawat air sisa yang dilupuskan. Jika melibatkan sisa berjadual memang wajib dirawat atau dihantar ke Kualiti Alam untuk rawatan. Ini semua melibatkan kos dan ia perlu dipantau. Sementara itu kilang-kilang haram memang tidak akan ada sistem rawatan,” katanya.

Tegasnya, penguatkuasaan yang ketat perlu dilakukan oleh JAS kerana jika pemantauan dan penguatkuasaan longgar kemungkinan ada pihak industri walaupun berlesen tidak melupuskan sisa tanpa rawatan kerana kos yang perlu dibayar.

Mengikut peraturan yang ditetapkan JAS, sisa industri berjadual perlu dihantar ke satu premis tertentu untuk dirawat dan diuruskan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Peningkatan kekerapan pencemaran sungai yang berlaku kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya adakah keadaan ini berkait rapat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di kebanyakan negeri termasuk Lembah Klang ketika ini?

Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air Dr Zaki Zainudin berkata terdapat rasional andaian itu berikutan ramai peniaga dalam kalangan industri kecil dan sederhana mengalami kegawatan akibat PKP dan PKPB hingga ada yang terpaksa menutup operasi.

Keadaan ini juga dipercayai memberi kesan kepada kerja pembersihan sisa industri yang menyebabkan pihak terbabit mengambil jalan mudah melupuskan bahan-bahan pencemar sewenang-wenangnya.

“Kos rawatan sisa industri bukannya murah…, ia boleh menelan belanja beribu-ribu ringgit malah berpuluh-puluh ribu ringgit. Jadi mungkin disebabkan kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang ini menyebabkan premis-premis ini mengambil jalan mudah bagi mengurangkan kos.

“Keadaan ini menyebabkan lebih banyak premis melupuskan sisa-sisa secara haram bagi kurangkan kos untuk mereka bertahan dalam situasi pandemik ini,” katanya.

Pihak berwajib sepatutnya mendengar pandangan pemain industri ini untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku sama ada mereka terkesan dari segi kos merawat sisa industri.

Jika benar mereka terkesan, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian insentif kepada mereka untuk memastikan mereka dapat merawat sisa industri seperti yang ditetapkan, kata Zaki.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS: Kilang produk makanan punca tumpahan minyak di alur air

SHAH ALAM, 30 OKT: Kilang produk makanan dikenal pasti menyebabkan pencemaran minyak di alur air Kampung Baru Balakong kelmarin, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Pengarah Norlin Jaafar berkata JAS Selangor memberhentikan serta-merta operasi kilang terbabit selain diarahkan menutup saluran haram ke Sungai Balak dan membersihkan kawasan yang tercemar.

“Kilang dilarang mengendalikan proses perindustrian sehingga langkah pemulihan sepertimana diarahkan itu dipatuhi, termaktub dalam Perintah Larangan (PL) di bawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

“Ketika siasatan dilakukan, kita dapati pelepasan air berwarna putih sedang berlaku melalui saluran paip bawah tanah dan menuju ke Sungai Balak selain efluen mentah dan lelehan minyak hitam mengalir memasuki longkang kilang dan seterusnya ke Sungai Balak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norlin berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 25(1) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“JAS juga mengambil tiga sampel kilang itu dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM). Keputusan analisis dijangka diperolehi dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata kilang terbabit telah membersihkan kawasan sungai tercemar petang semalam.

Pada 28 Oktober, Lembaga Urus Air Selangor dilaporkan bertindak pantas menyekat aliran minyak hitam di alur air di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong daripada memasuki Sungai Balak dan Sungai Langat.

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS: Lebih 2,800 tindakan terhadap kilang cemarkan alam sekitar, air

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan 66 Op Gempur, membabitkan 2,398 kilang daripada pelbagai jenis industri bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos lalu, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,819 tindakan dikenakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk kesalahan berkaitan pencemaran air.

“Isu jenayah alam sekitar ini bukan sahaja mengancam kelestarian negara dan kesihatan manusia, tetapi turut menggugat keselamatan negara secara amnya,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan Senator N Balasubramaniam yang bertanyakan tentang langkah yang dilaksanakan kementerian dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap kilang bagi mengelakkan berlakunya pencemaran khususnya air sungai.

Menurut Ahmad Masrizal, Op Gempur ialah operasi terhadap kilang yang dilakukan secara besar-besaran dengan kerjasama pelbagai agensi dan dibuat secara rawak berdasarkan beberapa kriteria tertentu.

Katanya, berdasarkan rekod JAS, terdapat 57,396 kilang yang menjalankan pelbagai jenis aktiviti perindustrian beroperasi di seluruh negara dengan 3,480 daripadanya menghasilkan influen perindustrian.

Selain itu, katanya berdasarkan rekod kementerian, sebanyak 48 kertas siasatan dibuka untuk didakwa di mahkamah dengan 39 premis disabitkan kesalahan dengan jumlah denda keseluruhan lebih RM1 juta.

Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas, jumlah keseluruhan kadar kompaun dan denda yang dikenakan oleh mahkamah ialah lebih RM2 juta.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk A Kesavadas yang bertanyakan sama ada kerajaan merancang mengadakan undang-undang lebih keras terhadap pesalah pencemaran air mentah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS: Tiada hak eksklusif urus buangan terjadual

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Tiada hak eksklusif dilesenkan kepada mana-mana Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual (PYDT BT) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengendalikan buangan terjadual di negara ini.

Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar menegaskan, setakat ini, jabatan itu melesenkan Kemudahan Pemerolehan Kembali, Pengolahan dan Pelupusan Terjadual di seluruh negara yang melibatkan 406 kemudahan (PYDT BT) dan 343 pengangkut.

“Ia bagi memastikan pengurusan buangan terjadual adalah berkesan dan memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“Semua industri dan punca yang menghasilkan buangan terjadual hendaklah menguruskan buangan berkenaan dengan sempurna dari segi notifikasi, maklumat ciri buangan, penstoran, pelabelan, inventori dan maklumat pergerakan buangan terjadual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norlin berkata pengurusan buangan perlu direkodkan melalui sistem dalam talian iaitu Sistem Maklumat Elektronik Buangan Terjadual atau eSWIS, selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Semalam, tular di media sosial mengenai dakwaan kerajaan memberi hak eksklusif kepada beberapa syarikat untuk mengumpul sisa terjadual dan syarikat terlibat mengenakan bayaran tinggi terhadap premis yang ingin mendapat perkhidmatan tersebut.

Norlin turut menegaskan JAS tidak terlibat dalam penetapan kos dan sebarang bayaran yang dikenakan ke atas pengeluar buangan adalah ditetapkan oleh PYDT BT yang dilesenkan.

Beliau berkata, hak eksklusif yang pernah diberikan kerajaan adalah bagi operasi ‘Centralized Integrated Scheduled Waste Management Centre’ kepada Kualiti Alam Sdn Bhd selama 15 tahun bermula 1 Mac 2000 dan tamat pada 28 Feb 2015.

Tambahnya, kerajaan bercadang untuk membina lima kemudahan pengurusan sisa bersepadu di Johor, Perak, Terengganu, Sabah dan Pulau Pinang bagi memastikan sisa buangan berjadual dapat diurus dengan lebih baik dan sempurna.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

JAS henti operasi kilang makanan cemar alam

SHAH ALAM, 29 APRIL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor menghentikan operasi kelengkapan sebuah kilang makanan di Semenyih kerana didapati menyebabkan pencemaran.

Pengarah JAS Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata tindakan tegas bagi menghentikan pencemaran itu dibuat mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Katanya, permintaan tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kilang itu beroperasi melebihi kapasiti.

“Ini menyebabkan berlaku limpahan daripada Sistem Pengolahan Efluen (SPE) yang tidak dapat menampung lebihan efluen (sisa buangan) dikeluarkan.

“Pihak industri dan sektor yang dibenar menjalankan operasi sepanjang tempoh PKP diingatkan sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan semua Peraturan-Peraturan di bawahnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembakaran terbuka dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan

PUTRAJAYA, 20 MAC: Pembakaran terbuka adalah dilarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini, demikian tegas Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini.

JAS dalam kenyataan, berkata ia akan terus membuat rondaan harian ke kawasan yang berisiko tinggi dan mereka yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

JAS berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan itu juga, stesen pengawasan kualiti udara beroperasi biasa.

Data Indeks Pencemar Udara (IPU) boleh didapati di laman sesawang JAS iaitu http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di Android ‘Google Play’ dan Apple ‘App store’, katanya.

IPU yang direkodkan di laman web JAS pada jam 1 tengah hari ini menunjukkan 18 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 50 kawasan pada tahap sederhana dan tiada kawasan mencatatkan bacaan status kualiti udara pada tahap tidak sihat.

JAS turut meminta orang ramai bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan di talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JAS: Tiada stesen catat kualiti IPU tahap baik

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik setakat pukul 11 pagi tadi, dengan satu stesen iaitu di Johan Setia, Klang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat iaitu 213, lapor Jabatan Alam Sekitar (JAS), hari ini.

JAS dalam kenyataan berkata, keadaan di Johan Setia itu disebabkan oleh jerebu merentas sempadan dan beberapa kejadian kebakaran di kawasan belukar dan kebun persendirian seperti di Jalan 4B, Johan Setia dan Jalan Sungai Tengkorak, Kg Teluk Gong, Klang.

Bandar raya Shah Alam masih ditahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 139 ketika dirakam pada 12 tengahari, pada 13 September 2019. Foto – HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut JAS, sebanyak 29 sekolah di Selangor ditutup hari ini berikutan keadaan jerebu di Lembah Klang masih belum berkurangan.

“Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat, selatan dan timur Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak,” kata JAS.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 221 titik panas di Sumatera, 1,307 titik panas di Kalimantan, dan 20 titik panas di Malaysia iaitu Johor (empat), Melaka (dua) dan Sarawak (14).

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC semalam, menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di timur, barat, tengah dan selatan Kalimantan, Indonesia dan di Jambi, Riau, Sumatera Selatan dan Lampung di Sumatera.

Kebakaran hutan tanah gambut di daerah Pelalawan sebuah wilayah di Pulau Sumatra yang menjadi jiran Singapura dan Malaysia pada 2 Ogos 2019. Foto AFP

“Arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan dan Sumatera yang terjejas ke kawasan bahagian barat Sarawak dan seluruh Semenanjung Malaysia dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut,” kata JAS.

Sebanyak 25 stesen mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat sehingga pukul 11 pagi tadi manakala 42 stesen pula mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Stesen dengan IPU pada tahap tidak sihat ialah Sungai Petani, Kedah (111); Kulim Hi-Tech, Kedah (109); Seberang Jaya, Pulau Pinang (107); Minden, Pulau Pinang (114); Balik Pulau, Pulau Pinang (111) ; Tasek Ipoh, Perak (120); Pegoh Ipoh, Perak (103) ; Seri Manjung, Perak (126); Batu Muda, Kuala Lumpur (154); Cheras, Kuala Lumpur (146); Putrajaya, (142), Kuala Selangor, Selangor (103).

Petaling Jaya, Selangor mencatatkan IPU 141; Shah Alam, Selangor (136); Klang, Selangor (129); Banting, Selangor (126); Nilai, Negeri Sembilan (128); Seremban, Negeri Sembilan (107) ; Port Dickson, Negeri Sembilan (104); Bukit Rambai, Melaka (105); Bandaraya Melaka, Melaka (107); Segamat, Johor (107); Batu Pahat, Johor (102); Rompin, Pahang (168) dan Tangkak, Johor (134).

Proses membakar jerami adalah satu proses biasa yang dilakukan sebagai langkah memastikan tanah sawah kekal subur.
Selain itu, sisa pembakaran iaitu abu jerami dijadikan sebagai baja organik untuk kesuburan tanah tersebut.
– Foto BERNAMA

JAS menasihati orang ramai untuk tidak menjalankan aktiviti luar seperti sukan dan majlis perayaan yang mendedahkan orang awam kepada udara tidak sihat.

“Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Perintah larangan berhubung pembakaran terbuka telah dikeluarkan Ketua Pengarah JAS pada 11 September lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan stesen catat bacaan IPU tidak sihat

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Sebanyak lapan stesen mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pada 12 tengah hari tadi, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Lapan stesen itu membabitkan tujuh di Sarawak iaitu Samarahan (IPU 200), Sibu (185), Mukah (177), Miri (155), ILP Miri (142), Kuala Baram (116) dan Bintulu (110), manakala satu stesen di Selangor iaitu Johan Setia dengan bacaan 124.

Sementara itu, dua stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat di Sarawak iaitu Sri Aman (238) dan Kuching (223), menurut JAS dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik manakala 58 stesen pada status kualiti udara tahap sederhana.

Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak.

“Kebakaran belukar bagi tujuan pertanian yang berlaku di Jalan 9, Johan Setia, Klang memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di stesen Johan Setia, Klang dan jerebu setempat di Bandar Putera 2, Klang,” menurut kenyataan itu.

JAS berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang memadamkan api tersebut dan pihak JAS Selangor dalam usaha mencari pemilik tanah untuk tindakan penguatkuasaan.

Tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian, katanya, turut dipertingkatkan ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke masa.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, 116 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia, 646 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia, satu titik panas dikesan di Brunei dan 52 titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Sarawak (40) dan enam titik panas masing-masing di Sabah dan Johor.

“Terdapat titik panas yang tidak dapat dicerap oleh imej satelit disebabkan oleh litupan awan yang tebal dan laluan satelit tidak dicerap sepenuhnya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS aktifkan dua pelan tindakan atasi jerebu

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaraskan tindakan oleh agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta menghadapi situasi jerebu negara.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, langkah itu dilaksanakan selepas kualiti udara mencapai tahap bahaya di kawasan Miri dan Kuala Baram, sejak dua hari lalu.

“Pihak kami juga mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada semua pemilik tanah di kawasan tanah gambut Kuala Baram, Sarawak bagi mencegah dan mengawal kebakaran, di kawasan berkenaan.

“Kami juga menjalankan rondaan operasi harian ke kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka selain menyalurkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak untuk tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi Bernama News Channel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa tindakan sudah diambil bagi mengatasi masalah jerebu di Sarawak seperti meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka dan punca lain yang berpotensi memberi kesan kepada masalah terbabit.

Selain itu, katanya JAS turut menjalinkan kerjasama dengan agensi lain dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) kebakaran di tanah gambut bagi mencegah dan mengawal kebakaran serta menyebarkan maklumat.

Norlin berharap semua pihak berkepentingan dan pemilik tanah memantau secara rapi kawasan yang mudah serta sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut serta tanah pertanian juga industri.

“Orang ramai pula diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sehingga menjejaskan kualiti udara setempat. JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebabkan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Setakat jam 12 tengah hari ini, stesen Institut Latihan Perindustrian Miri mencatat bacaan IPU 340 pada tahap bahaya, manakala stesen Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 berada pada peringkat sangat tidak sihat dengan bacaan IPU 291.

– BERNAMA