Categories
AGENDA NASIONAL

RON95 dan RON97 naik lima sen, diesel naik empat sen

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing akan naik lima sen seliter, manakala diesel naik empat sen, bagi tempoh 26 September hingga 2 Oktober ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, berdasarkan penetapan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga baharu seliter bagi RON95 adalah RM1.68, RON97 (RM1.98) dan diesel (RM1.71).

Menurut kenyataan itu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian, bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MTUC gesa kerajaan, BNM lanjutkan moratorium enam bulan lagi

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah untuk memastikan pihak bank melanjutkan tempoh moratorium sedia ada kepada sekurang-kurangnya enam bulan lagi.

Menerusi kenyataan hari ini, Setiausaha Agung, J. Solomon berkata lanjutan itu perlu diberikan terutama kepada kumpulan pekerja sasaran yang masih tidak mampu untuk membayar balik pinjaman.

Ini akan merangkumi majoriti daripada 800,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan sehingga April tahun ini dan ribuan lagi yang terpaksa mengalami pemotongan gaji atau diberikan cuti tanpa gaji oleh majikan masing-masing, katanya.

Beliau berkata untuk bank mengamalkan sikap ‘perniagaan seperti biasa’ serta mengharapkan pekerja yang masih dibelenggu kehilangan pekerjaan dengan memiliki sedikit atau tiada pendapatan kembali membayar balik pinjaman adalah tindakan kejam selain tidak berperikemanusiaan terhadap peminjam.

“Perangkaan rasmi jelas menunjukkan ramai pekerja kehilangan pekerjaan disebabkan kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pembukaan semula ekonomi pula satu proses yang perlahan, justeru, masa yang lebih panjang diperlukan untuk pekerja dapat kembali bekerja dan membayar balik pinjaman,” katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan dan BNM tidak seharusnya meragui bahawa sebilangan besar tenaga kerja adalah jauh daripada bersedia untuk membayar balik pinjaman kereta dan rumah mereka.

Sekiranya bank-bank terus bertegas untuk ‘mengutip’, maka dijangkakan peningkatan kehilangan kenderaan dan kediaman dalam kalangan golongan pekerja sekali gus mengakibatkan penderitaan yang tidak tergambarkan akan dialami mereka dan keluarga mereka, katanya.

Solomon berkata kementerian dan BNM tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka untuk memastikan moratorium itu dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi seluruh kumpulan B40 dan M40, serta semua pekerja yang kehilangan pekerjaan tanpa mengira skala gaji mereka.

Lanjutan tempoh moratorium itu juga perlu diberikan kepada syarikat yang mempunyai pinjaman kerana mereka turut mengalami kesukaran untuk kekal bertahan semasa tempoh pandemik ini, katanya.

Beliau berkata tidak wujud persoalan mengenai bank mengalami kerugian susulan moratorium, ini kerana pinjaman tidak dihapus kira sebaliknya hanya pembayaran ansuran bulanan ditangguhkan sehingga ekonomi kembali normal.

“Sekiranya berlaku, hanya keuntungan sahaja yang mungkin berkurangan disebabkan kerugian faedah pelaburan semula dan kos mudah tunai. Kerugian faedah pelaburan semula, bagaimanapun, tidak dapat dielakkan berikutan kemerosotan akibat pandemik ini,” katanya.

Pada 2019, semua bank di Malaysia mencatatkan keuntungan berbilion ringgit, seperti yang direkodkan selama bertahun-tahun.

Dalam menghadapi Covid-19, Menteri Kewangan dan BNM berulang kali mengatakan bahawa sektor perbankan tetap kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi.

Solomon berkata angka BNM menunjukkan kedudukan mudah tunai dan modal lebihan sistem perbankan masing-masing berjumlah RM199.6 bilion dan RM159 bilion, melebihi tahap minimum peraturan.

Menurut BNM, ini telah membolehkan bank-bank di Malaysia memainkan peranan utama dalam membantu isi rumah dan perniagaan untuk pulih daripada kejutan pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan sektor perbankan kukuh dan rancak yang dengan mudah dapat memberikan lanjutan enam bulan lagi kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Semalam, BNM berkata tempoh moratorium enam bulan pembayaran ansuran bulanan untuk pinjaman kenderaan dan rumah yang akan berakhir 30 September ini mungkin tidak dilanjutkan.

Ia berkata setakat 19 Jun, 2020, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM47.5 bilion sejak ia berkuat kuasa pada 1 April 2020.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah dimanfaatkan rakyat bernilai RM30.9 bilion melalui pinjaman yang layak mendapat moratorium oleh institusi kewangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Bantuan Prihatin Nasional perlu waspada elak ditipu

SHAH ALAM, 29 MAC: Penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bermula April ini diminta berhati-hati dengan ‘scammer’ bagi mengelakkan penipuan berlaku.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata penerima diminta merujuk kepada sumber rasmi serta tidak mendedahkan maklumat diri kepada pihak ketiga.

“Pembayaran BPN akan dibuat melalui dua fasa iaitu akhir April dan Mei ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan memaklumkan penerima BPN tidak perlu membuat permohonan baharu berikutan pihaknya akan menggunakan data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) selain Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Bantuan akan dimasukkan ke dalam nombor akaun yang berdaftar dengan BSH dan LHDN.

“Orang awam yang tidak tersenarai dalam data BSH dan LHDN boleh buat permohonan baharu bermula 1 April di laman web BSH, LHDN dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Harga RON95, RON97 dan diesel kekal

KUALA LUMPUR, 5 APR: Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel bagi tempoh 6 April hingga 12 April ini, kekal seperti minggu lepas.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, harga runcit petrol RON95 ialah RM2.08 seliter, RON97 pada RM2.63 seliter dan diesel RM2.18 seliter.

Tanpa subsidi kerajaan, harga runcit RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan masing-masing sepatutnya RM2.33 seliter dan RM2.36 seliter.

“Ini selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” kata kenyataan itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Harga RON95, Diesel kekal RM2.08

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Harga runcit petroleum bagi RON95 dan diesel bagi tempoh 9 hingga 15 Mac masing-masing kekal RM2.08 dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini, turut memaklumkan harga runcit RON97 bagi tempoh sama naik sebanyak 3 sen daripada RM2.43 seliter kepada RM2.46 seliter.

Berdasarkan pengiraan dibawah Automatic Pricing Mechanism (SPM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan sepatutnya adalah masing-masing RM2.16 seliter dan RM2.38 seliter.

“Namun begitu, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berikutan keputusan Jemaah Menteri untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum demi mengurangkan bebanan kewangan rakyat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan akan terus komited melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum yang memberi manfaat kepada rakyat.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

TH kekal di bawah kawalan JPM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) kekal di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sekali gus menolak dakwaan bidang kuasa itu dipindahkan kepada Kementerian Kewangan.

Dalam kenyataannya, TH berkata, perkara itu tidak berubah dengan pengenalan Syarikat Tujuan Khas (SPV) seperti yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.

“Dakwaan dan tuduhan bahawa TH dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

“TH juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM). BNM sebagai badan yang bebas dan di bawah pimpinan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di dalam negara termasuk institusi kewangan Islam,” katanya.

Terdahulu, TH dilemparkan dakwaan berhubung isu berkaitan selepas keputusan Jemaah Menteri untuk memindahkan aset yang tidak menguntungkan kepada SPV milik kerajaan.

Kenyataan sama turut menyebut, pemindahan aset berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal selain mempercepatkan proses pemulihan kewangan institusi terbabit selepas berlaku salah laku secara besar-besaran.

 

Categories
NASIONAL

RON97 dan RON95 naik 4 sen seliter

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 FEB: Harga runcit petrol bagi RON97 dan RON95 naik 4 sen seliter, mulai 9 Februari hingga 15 Februari ini.

Harga baharu minyak itu menyaksikan petrol RON97 naik daripada RM2.23 kepada RM2.27 seliter.

Manakala, petrol RON95 pula daripada RM1.93 kepada RM1.97 seliter, sementara itu, harga runcit diesel kekal pada paras RM2.18 seliter.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, penetapan harga runcit produk petroleum bagi minggu tersebut (9-15 Februari) adalah mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia telah meningkat berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$60 (RM244) setong kepada AS$62 (RM252) setong bagi petrol RON95 dan daripada AS$72 (RM293) setong kepada AS$73 (RM297) setong bagi diesel.

“Peningkatan harga pasaran global ini telah menyebabkan kenaikan harga runcit bagi produk petrol dan diesel. Namun harga runcit petrol RON95 masih lagi di bawah paras penstabilan harga yang dijanjikan oleh kerajaan iaitu RM2.20 seliter,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Kementerian Kewangan turut memaklumkan, bagi produk diesel, peningkatan harga pasaran tersebut sepatutnya menyebabkan harga runcit diesel di bawah formula APM dinaikkan sebanyak 1 sen seliter iaitu daripada RM2.18 kepada RM2.19 seliter.

“Bagaimanapun selaras dengan janji Kerajaan Pakatan Harapan untuk menstabilkan harga runcit diesel, maka harga runcit diesel bagi tempoh 9 Februari sehingga 15 Februari 2019 dikekalkan tanpa berubah pada paras RM2.18 seliter,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kementerian Kewangan lulus bayar gaji kakitangan awam Kelantan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kementerian Kewangan sudah meluluskan sejumlah peruntukan bagi membayar gaji kakitangan awam, di Kelantan.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, walaupun negeri itu sering menghentam pemimpin pemimpin Pakatan Harapan khususnya bukan Islam, namun kerajaan tidak pernah menghentikan bantuan kepada mereka.

“Saya tidak akan menceritakan lebih lanjut berkenaan jumlah yang diberikan tetapi perkara ini (peruntukan) sudah mendapat restu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Kelantan adalah penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada kerajaan persekutuan.

 

Categories
NASIONAL

BN tidak kembalikan cukai RM16.046 bilion

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Kementerian Kewangan mendedahkan kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sejak enam tahun lalu.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, baki kredit belum dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu membabitkan 1.65 juta kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

Katanya, baki tunggakan besar itu disebabkan kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

“Bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung terbabit.

“Baki sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei lalu hanya RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara, jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar.

“Justeru, RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama (BN), bermakna hasil Kerajaan Persekutuan yang dilaporkan kerajaan lama sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor,” katanya dalam kenyataan.

Guan Eng berkata, tunggakan besar bayaran balik baki kredit itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDN.

“Apa dilakukan kerajaan lama adalah pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit kerajaan sebelum ini supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, bagi meringankan bebanan pembayar cukai, kerajaan baru Pakatan Harapan bersetuju membenarkan mereka yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN membuat permohonan set-off sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa.

“Permohonan set-off ini hendaklah dikemukakan kepada LHDN untuk disemak dan dipertimbangkan kelulusannya. Di samping itu, bayaran wang akan dibuat mengikut kemampuan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

 

1MDB: Menteri akui tiada wang tunai disimpan di Singapura

Kementerian Kewangan mengakui tiada wang tunai berjumlah USD 1.1 bilion disimpan di sebuah bank di Singapura.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Penjualan aset negara bukti pengurusan kewangan pimpinan Najib terdesak

Oleh : Norhayati Umor

PETALING JAYA 26 DIS: Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyelar kenyataan Kementerian Kewangan yang mendakwa beliau memutar belit isu penjualan aset kerajaan.

Rafizi berkata, kementeria itu hanya memberikan alasan bahawa penjualan aset dan pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan adalah perkara biasa yang berlaku sebelum ini, bahkan tidak menafikan laporan Bank Dunia dalam beberapa perkara.

Rafizi1-179x300Minggu lalu, Rafizi mendedahkan laporan Bank Dunia yang menyatakan kerajaan pusat menjual aset negara bagi mengurangkan defisit ke paras empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, laporan Bank Dunia turut menyentuh pendapatan kerajaan pusat akan dijana RM1.4 bilion daripada aktiviti penjualan aset dan RM4.2 bilion daripada sekuriti hutang daripada aset negara.

“Kenyataan itu tidak dinafikan dan kementerian hanya menyebut perkara biasa sahaja. Mengapa tidak menjawab dalam konteks laporan Bank Dunia.

“Ini menunjukkan Kementerian Kewangan tidak boleh menafikan fakta yang dibentangkan Bank Dunia berkenaan terdesaknya pentadbiran Najib dalam mencapai sasaran defisit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, tindakan kementerian yang tidak menafikan perkara itu membuktikan kerajaan pusat mengakui laporan itu benar dan aset negara sudah dijual serta digadai untuk mendapatkan pendapatan tidak dirancang bagi mencapai sasaran defisit negara.

Beliau berkata, kaedah pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan akan terus digunakan sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan tambahan, namun perkara itu akan memberikan kesan peminjam.

“Memang mereka (kementerian) kata ia bukan sumber utama dan hanya mencakupi 1.9 peratus daripada hasil kerajaan pusat. Namun, RM1.4 bilion itu satu nilai besar yang boleh digunakan untuk pelbagai perkara.

“Mereka perlu faham, walaupun amalan yang dimulakan sejak 2004, pensekuritian pinjaman perumahan menjadi salah satu punca krisis kewangan subprima yang melanda Amerika Syarikat dalam tahun 2007 dan 2008,” katanya.

Rafizi berkata, tindakan itu mempunyai risiko tersendiri kerana rumah yang dibeli peminjam digadai dalam pasaran sekunder kepada pelabur yang mereka tidak ketahui.

“Pensekuritian membabitkan kerajaan menjual portfolio pinjaman perumahan kakitangan kerajaan kepada pelabur melalui penerbitan bon. Ini bermakna kakitangan kerajaan secara tidak langsung berhutang dengan pelabur yang membeli bon diterbitkan melalui kaedah pensekuritian itu,” katanya.

Katanya, satu-satunya cara untuk mencapai defisit empat peratus yang diumumkan Najib adalah dengan menjual dan menggadai lebih banyak aset kerajaan yang tidak dirancang serta diunjurkan ketika pembantangan Belanjawan 2013.

“Hakikat bahawa kerajaan pusat menjual aset negara dan menggadaikan pinjaman perumahan itu membuktikan terdesaknya pengurusan kewangan di bawah pimpinan Najib,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

BN jadi kambing hitam salur dana tutup salah SYABAS

charles syabasSHAH ALAM 23 OKT : Pinjaman kewangan yang dibuat antara Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dengan Kementerian Kewangan bagi pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) dan penggantian paip baru akan menambah lagi beban rakyat dan kerajaan negeri.

SYABAS menandatangani dua perjanjian kemudahan pinjaman dan perjanjian sampingan dengan Kementerian Kewangan bagi pinjaman masing-masing berjumlah RM75 juta dan RM76 juta, semalam.

Pinjaman itu bagi membiayai kerja pengurangan bekalan air yang membabitkan penggantian paip lama dan kritikal di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan pembiayaian fasa kedua membabitkan pengurangan NRW sebagai satu daripada projek untuk mengurangkan masalah kekurangan air di kawasan terbabit.

Tempoh pinjaman itu selama 20 tahun bermula dari tarikh pengeluaran pertama, manakala tempoh ehsan pinjaman itu tiga tahun yang akan bermula dari tarikh sama.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata hal itu kerana kerajaan negeri dalam usaha untuk mengambil alih penstrukturan industri air selangor dan akan membebankan jika pengambilalihan itu berjaya.

Charles berkata, kerajaan pusat tidak perlu memberikan pinjaman kepada SYABAS, selain bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk pengambilalihan syarikat konsesi itu.

“Saya terkejut bagaimana SYABAS boleh mendapat peruntukan begitu besar kerana kerja membaiki paip, penggantian paip atau pengurangan NRW perlu dibiayai sendiri mereka bukan wang kerajaan.

“Tetapi dalam kes ini, SYABAS diberi satu kelebihan dan ini menunjukkan penswastaan itu gagal. Kita perlu tahu prinsip penswastaan ialah mendapatkan wang sendiri dan SYABAS juga gagal mengurus air dengan baik di Selangor. Jadi lebih baik, syarikat itu diambil alih kerajaan negeri kerana mempunyai kewangan yang baik dan berkelayakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, mendakwa peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta kepada SYABS yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadikan jumlah dana untuk menyelamatkan syarikat berkenaan meningkat menjadi RM3.41 bilion dalam tempoh empat tahun.

Charles yang juga Penyelaras Badan Membantah Penswastaan Air (CAWP) mencadangkan supaya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Syabas dan kerajaan pusat menjelaskan dengan terperinci berhubung perjanjian itu.

“Ini akan menjadi masalah kerana siapa yang akan menanggung liabiliti itu. Kerajaan Negeri juga perlu tahu kandungan perjanjian itu dan rancangan SYABAS yang dicadangkan dengan lebih terperinci sama ada akan dilaksanakan sebaiknya atau tetap gagal lagi,” katanya.

-NFN-