Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan percuma fasa tiga kesan kilang rekod kes wabak tinggi

SHAH ALAM, 17 JUN: Saringan percuma fasa tiga akan menggunakan sistem pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) bagi mengesan lebih banyak kes Covid-19 dalam kalangan pekerja industri.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata sistem itu dapat mengenal pasti kilang yang mempunyai kadar perebakan tinggi sekali gus mengekang penularan kepada masyarakat.

“Saringan Komuniti kali ini akan lebih tertumpu kepada sektor industri selain kawasan yang mencatatkan kes positif tinggi.

“Saya menyeru warga Selangor mengambil peluang ini untuk memastikan diri sendiri dan ahli keluarga terlindung daripada jangkitan wabak,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Facebook semalam.

Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri diteruskan mulai Sabtu ini ke kawasan mencatat lebih lima peratus jangkitan pada fasa kedua yang berjalan sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Lokasi pertama dilaksanakan di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan menyasarkan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan.

Program sama turut dijalankan untuk DUN Sungai Tua, Gombak Setia, Taman Templer, Kajang, Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa.

Individu disyaki positif pada fasa ini akan dibekalkan kit penilaian di rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang komponen elektronik pertama di Selangor dapat vaksin esok

SHAH ALAM, 15 JUN: Syarikat pengilang komponen elektronik Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd di Ampang bakal menjadi kilang pertama di Selangor yang menerima vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata inisiatif bermula esok adalah sebahagian fasa keempat suntikan vaksin.

“Ia sangat penting kerana terdapat kawasan tapak kerja yang menjadi kluster jangkitan dan sebab itu kita kena beri tumpuan kepada fasa empat,” katanya dalam sidang media di Bangunan Annex.

Khairy ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Selangor bersama Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata pemberian vaksin turut diperluas kepada sektor perkilangan dan pembinaan di negeri ini mulai bulan hadapan mengikut senarai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Saya ingin maklumkan bahawa kita tidak ketepikan fasa dua, ia masih diteruskan cuma dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) terdapat sektor tertentu yang masih beroperasi yang juga perlu diberi perhatian,” kata Khairy.

Categories
ADN SELANGOR

Ribuan kilang tanpa kebenaran terima notis patuh syarat operasi

SHAH ALAM, 14 MAC: Sebanyak 1,800 notis program pematuhan syarat dan penguatkuasaan dihantar kepada pemilik kilang tanpa kebenaran sekitar Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Wakil rakyat Rawang berkata usaha mulai awal bulan ini susulan premis beroperasi tanpa lesen, tiada kebenaran merancang atau kelulusan bangunan dan masalah hak milik tanah.

“Pertemuan bersama Jabatan Perancangan Bandar MPS dibuat untuk memahami arahan tersebut sekali gus membantu memudahkan proses kelulusan kilang yang menjalankan pelbagai aktiviti.

“Mereka perlu diberi penjelasan terperinci sebelum tindakan lanjut supaya penyelesaian menang-menang dapat dicapai,” kata Chua Wei Kiat menambah sebahagian besar kilang berada dalam kawasan pentadbirannya.

Beliau berkata pengusaha kilang tidak perlu khuatir terhadap notis berkenaan sebaliknya dinasihat memberi kerjasama bagi mengelak tindakan lebih tegas.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan kilang berkenaan dapat dipantau sepanjang masa sekali gus mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: POIS mampu kekang penularan Covid-19 tanpa tutup kilang

SHAH ALAM, 8 FEB: Langkah memperkenalkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) dalam sektor pengilangan mampu mengesan lebih banyak kes Covid-19 tanpa menghentikan operasi kilang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem itu merupakan langkah penyelesaian untuk industri terus berjalan tetapi dalam masa sama kes positif dapat dikenal pasti.

“Setiap dua minggu, kita akan lakukan saringan kepada pekerja dan yang positif akan dikuarantin malah kita sarankan beberapa SOP (tatacara operasi piawai) untuk kilang teruskan operasi,” katanya menerusi siaran langsung Facebook malam tadi.

Beliau menjelaskan ramai pengilang enggan menjalani program berkenaan susulan risau perniagaan ditutup sekiranya pandemik dikesan dalam kalangan pekerja.

“Bagaimanapun ramai yang takut. Sepatutnya 800,000 pekerja asing di beberapa negeri termasuk Selangor wajib lakukan saringan namun hanya 200,000 sahaja menjalaninya. Ini fakta yang menakutkan,” katanya.

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan program POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan yang mendaftar POIS perlu menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi, merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua SOP dipatuhi.

Selain itu platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja serta memantau komponen POIS dan menganalisis risiko pekerja bagi melaraskan kekerapan ujian saringan.

Categories
EXCO SELANGOR

JAS periksa kilang, pastikan lupus sisa kimia ikut SOP

KAJANG, 3 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor giat memantau premis kilang di seluruh negeri bagi memastikan sisa kimia dilupuskan dengan betul.

EXCO alam sekitar berkata kebanyakan kilang melepaskan sisa industri melalui syarikat pelupusan tidak berlesen tanpa memikirkan risiko pencemaran.

“Sepatutnya sisa kimia diuruskan kontraktor bertauliah, justeru JAS sedang memeriksa setiap kilang bagi memastikan ia mengikut tatacara operasi piawai (SOP) betul,” kata Hee Loy Sian selepas meninjau lokasi penemuan 165 liter bahan kimia di sini.

Pada November tahun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menasihatkan pemilik premis kilang menggunakan khidmat JAS bagi melupuskan sisa industri.

Jelasnya, meskipun proses itu memerlukan modal tinggi namun ia dapat mengelakkan masalah pencemaran yang akan menyusahkan ramai pihak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang Top Glove Klang beroperasi semula dua minggu lagi

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Top Glove Corporation Bhd dijangka membuka semula kesemua 28 kilang pengeluarannya di Meru, Klang dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, menurut Pengerusinya Tan Sri Dr Lim Wee Chai.

Beliau berkata tujuh kilang telah dibuka semula ketika peringkat pertama pemulihan operasi yang bermula semalam, manakala peringkat kedua akan melibatkan tujuh lagi kilang untuk kembali beroperasi menjelang hujung minggu akan datang.

“Diharapkan, semua (28) kilang ini akan beroperasi dan kesemuanya akan kembali normal dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang,” katanya dalam taklimat maya mengenai keputusan syarikat untuk suku pertama berakhir 30 November 2020 di sini semalam.

Top Glove telah menutup sementara 28 kilangnya di Klang akibat peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya. Kesemua 28 kilang ini mewakili kira-kira 50 peratus daripada kapasiti pengeluaran syarikat.

Bagaimanapun, Lim berkata penutupan kilang di Klang sejak November lepas dijangkakan hanya menjejaskan empat peratus daripada perolehan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2021.

Suasana di hadapan asrama pekerja wanita Top Glove Jalan Abadi 1A Meru, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan sekitar jam 6.30 petang pada 16 November 2020. Foto BERNAMA

Untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, Pengarah Urusan Datuk Lee Kim Meow berkata Top Glove menyasarkan untuk mengambil 7,000 pekerja tempatan bagi tahun kewangan 2021 berbanding hampir 5,000 pada tahun kewangan 2020.

Ditanya mengenai penalti kerajaan berikutan kegagalan syarikat itu mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), Lee berkata setakat ini, Top Glove belum menerima sebarang maklumat daripada pihak berkaitan.

“Bagaimanapun, kami ingin merayu kepada kerajaan untuk membantu kami, dan, agar mereka tahu kami syarikat yang serius dan mahu mematuhi (peraturan ini),” katanya.

Mengenai kemungkinan vaksin Covid-19 akan menjejaskan pertumbuhan syarikat itu pada tahun depan, Lim melahirkan keyakinan bahawa permintaan terhadap sarung tangan akan terus kukuh di seluruh dunia meskipun wujudnya vaksin.

“Berdasarkan nilai perolehan kontrak kami dengan kapasiti pada tahun depan telah ditempah sepenuhnya, ini menunjukkan vaksin itu tidak akan mempengaruhi permintaan sarung tangan di seluruh dunia,” katanya.

Berdasarkan slaid pembentangan Top Glove, permintaan terhadap produk syarikat itu kekal kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2021. Ini dipacu oleh Asia tidak termasuk Jepun, yang melonjak 72.9 peratus tahun ke tahun, dan Eropah Barat yang menokok 70.2 peratus tahun ke tahun.

Bagaimanapun, permintaan daripada Amerika Utara turun dua peratus pada tahun kewangan 2021 berbanding tahun sebelumnya, terutama disebabkan isu larangan import oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat.

-BERNAMA

 

Categories
ADN SELANGOR

Kilang punca banjir kilat di Rawang diminta mohon lesen

SHAH ALAM, 27 NOV: Pemilik kilang yang menjadi punca banjir kilat sering berlaku di Taman Garing Jaya, Rawang diminta memohon lesen sebelum tindakan perobohan dijalankan.

Ahli Dewan Negeri Chua Wei Kiat berkata hasil siasatan mendapati premis tersebut mengubah aliran sungai tanpa kebenaran sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.

“Kita dapati mereka gagal mengemukakan lesen. Namun, kita beri tempoh seminggu untuk mereka memohon lesen dan betulkan kembali aliran sungai tersebut.

“Sekiranya gagal tindakan akan diambil dan kita juga tidak akan berkompromi dengan kilang yang menjadi punca pencemaran atau banjir ini,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Wei Kiat bersama Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Tanah turun ke Taman Garing Jaya untuk mencari punca banjir yang kerap berlaku di taman tersebut.

Katanya, beliau mendapati sebuah kilang tanpa lesen mengubah aliran sungai tanpa kebenaran yang menyebabkan laluan air tidak lancar ketika hujan.

Bagaimanapaun, kompaun dikenakan dan JPS serta Pejabat Tanah meneruskan siasatan supaya tindakan tegas dapat diambil bagi menyelesai masalah itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS: Lebih 2,800 tindakan terhadap kilang cemarkan alam sekitar, air

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan 66 Op Gempur, membabitkan 2,398 kilang daripada pelbagai jenis industri bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos lalu, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,819 tindakan dikenakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk kesalahan berkaitan pencemaran air.

“Isu jenayah alam sekitar ini bukan sahaja mengancam kelestarian negara dan kesihatan manusia, tetapi turut menggugat keselamatan negara secara amnya,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan Senator N Balasubramaniam yang bertanyakan tentang langkah yang dilaksanakan kementerian dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap kilang bagi mengelakkan berlakunya pencemaran khususnya air sungai.

Menurut Ahmad Masrizal, Op Gempur ialah operasi terhadap kilang yang dilakukan secara besar-besaran dengan kerjasama pelbagai agensi dan dibuat secara rawak berdasarkan beberapa kriteria tertentu.

Katanya, berdasarkan rekod JAS, terdapat 57,396 kilang yang menjalankan pelbagai jenis aktiviti perindustrian beroperasi di seluruh negara dengan 3,480 daripadanya menghasilkan influen perindustrian.

Selain itu, katanya berdasarkan rekod kementerian, sebanyak 48 kertas siasatan dibuka untuk didakwa di mahkamah dengan 39 premis disabitkan kesalahan dengan jumlah denda keseluruhan lebih RM1 juta.

Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas, jumlah keseluruhan kadar kompaun dan denda yang dikenakan oleh mahkamah ialah lebih RM2 juta.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk A Kesavadas yang bertanyakan sama ada kerajaan merancang mengadakan undang-undang lebih keras terhadap pesalah pencemaran air mentah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA PBT SELANGOR

MPS tarik balik lesen empat kilang di Sungai Gong

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menarik balik lesen empat kilang di sekitar Sungai Gong, Rawang atas kesalahan menjalankan aktiviti tambahan tanpa kebenaran.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata pihaknya mengeluarkan notis pematuhan syarat lesen kepada pemilik premis termasuk satu pejabat urusan perniagaan kerana beroperasi tanpa kelulusan.

“Sebanyak 15 kilang diperiksa untuk memastikan setiap kilang beroperasi dengan sah dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MPS dan agensi yang berkaitan.

“Pihak MPS juga ke kilang penyelenggaraan jentera di kawasan sama yang disyaki menjadi punca pencemaran air di kawasan tersebut untuk penyerahan notis dibawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan membina bangunan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah syarikat terbabit diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan dokumen berkaitan kepada MPS sebelum tindakan roboh dilaksanakan.

“Pihak PDT Gombak juga telah menyerahkan Borang 7A (Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat) atas kesalahan melanggar syarat guna tanah.”

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

PBT Selangor tidak halang operasi syarikat diluluskan MITI

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak menghalang operasi syarikat atau kilang yang sudah mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata pihaknya tetap memantau operasi mereka supaya mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kerajaan seperti digariskan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“PBT tidak akan menghalang sekiranya kilang mendapat kelulusan MITI. Bagaimanapun, pemantauan akan dijalankan untuk memastikan mereka mematuhi SOP. Pemantauan juga dilakukan setiap hari sehingga tengah malam,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata pihaknya menerima kira-kira 10 aduan dalam kalangan operator pengeluar barangan elektronik yang dilarang PBT untuk terus beroperasi tanpa sekatan masa, mulai hari ini.

Kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang mendapat kelulusan beroperasi ketika PKP boleh menjalankan aktiviti secara kapasiti penuh tanpa sekatan sebarang sekatan masa.

Bagaimanapun, kelonggaran itu tertakluk kepada kewajipan syarikat berkaitan untuk mematuhi syarat SOP yang ditetap bagi sektor masing-masing.

Categories
SELANGOR

397 pemilik kilang USJ 1 dapat hak milik tetap

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 12 JUN: Selepas 18 tahun menanti, 397 pemilik kilang di kawasan Taman Industri Subang USJ 1, di sini, akhirnya berpeluang memiliki secara sah hak milik tanah mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, itu adalah kali pertama Kerajaan Negeri bertindak di bawah Seksyen 97 Kanun Tanah Negara untuk memberi peluang kepada pemilik dan bukan kepada pihak pemaju.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mengecualikan pembayaran kos guaman, kos pentadbiran serta tiada memorandum kos pindahan dikenakan.

_MG_2085“Kebiasaannya, urusan perlu dibuat melalui pihak pemaju yang kemudian akan memindahkan kepada pemilik, jadi segala jenis bayaran akan dikenakan.

“Tetapi untuk kali ini, Kerajaan Negeri mengambil kira semua perkara dan membenarkan pemilik membuat permohonan secara terus dengan pejabat tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya yang turut disertai pihak pemaju, Ultramine Sdn Bhd yang diwakili engarahnya, Ariffin Osman serta Penolong Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Nazrul Shukri, di sini, hari ini.

Hannah berkata, 127 daripada 397 pemilik di kawasan pemaju Ultramine di Lot PT 19639 dan PT 27731 sudah mula memulakan proses pertukaran hak milik, sementara bakinya masih gagal dihubungi.

“Jadi, kita harap mereka dapat menghubungi pemaju, selesaikan dahulu segala tunggakan dan mendapatkan pengesahan sebelum berurusan dengan pejabat tanah daerah Petaling.

“Pejabat tanah akan memberi hak milik, tetapi mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada pemaju terlebih dahulu bahawa ini adalah pemilik sebenar kerana tidak mahu sebarang penipuan.

_MG_2155“Harap semua pemilik tanah dapat memberikan kerjasama, Kerajaan Negeri hanya berhasrat semua dapat memperoleh hak milik mereka, bahkan lagi cepat lagi baik,” katanya.

Pemilik kilang terbabit terlebih dahulu perlu mendapatkan Jadual 1 daripada pejabat tanah dan mendapatkan pengesahan daripada pemaju sebelum diberikan Notis 5A.

Mereka kemudiannya mempunyai masa enam bulan daripada tarikh Notis 5 A dikeluarkan untuk menjelaskan yuran premium RM 1,000.

-NFN-