Categories
NASIONAL

Isu Pasir: KSSB Akan Saman The Star

SHAH ALAM,16 MAC : Tidak wujud pertikaian antara Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Kumpulan Hartanah Sdn Bhd (KHSB) berhubung operasi perlombongan pasir seluas 50 ekar di Dengkil, tegas Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Wan Halim Wan Ismail.

Sebelum ini laporan The Star bertarikh 15 Mac di muka depan dan empat bertajuk “KSSB’s shortcomings the reason for rampant illegal mining” mendakwa wujudnya penyelewengan dan kecurian dalam pengendalian perlombongan pasir di Selangor.

Wan Halim berkata KSSB kini sedang berunding dengan pihak peguam untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang berhubung penyiaran artikel tersebut.

“KHSB bersetuju untuk KSSB untuk melombong kawasan pasir sebelum operasi bermula dengan terma yang dirundingkan bersama.

“KSSB telah membayar dengan sewajarnya KHSB berjumlah RM630,968 pada bulan Februari 2011, dan KHSB tidak pernah membangkitkan perkara tersebut sejak itu,” kata Wan Halim dalam satu kenyataan.

Beliau juga menafikan bahawa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah terlibat dalam rundingan atau perkiraan kewangan antara kedua-dua syarikat.

Wan Halim juga menjelaskan bahawa KSSB tidak terlibat dalam penguatkuasaan terhadap perlombongan pasir haram kerana syarikat tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk berbuat demikian, tetapi ia telah membantu dengan melaporkan aktiviti-aktiviti tersebut kepada pegawai-pegawai tanah masing-masing.

Categories
SELANGOR

Pendengaran SELCAT Tidak Di Bawa Ke DUN Tak Benar

SHAH ALAM, 11 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (Selcat)
menafikan dakwaan laporan media berhubung tindakan SELCAT tidak akan membentangkan keputusan siasatan awamnya selepas sesi pendengaran awam ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) depan.

Dalam laporan media itu memberitahu, jawatankuasa SELCAT tidak akan membentangkan keputusan siasatan awamnya mengenai tiga syarikat milik negeri di DUN yang dijadual bermula 19 Mac ini.

Pengerusi Selcat Teng Chang Khim, berkata keputusan untuk tidak membawa ke Sidang DUN 19 Mac ini bukan kerana SELCAT tidak mahu mengambil apa-apa tindakan tetapi kerana ianya tidak sempat berikutan masa yang terlalu singkat.

” Sesi pendengaran awam SELCAT baru sahaja selesai pada 7 Mac lalu, ianya satu masa yang singkat untuk dibawa ke Sidang DUN 19 Mac ini, pihak kita memerlukan masa untuk meneliti semua keterangan dalam SELCAT sebelum membuat sebarang rumusan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ianya bukan bermaksud untuk tidak dibincangkan langsung di dalam Sidang DUN tetapi memerlukan tempoh dua minggu sebelum membawa usul itu ke Sidang Dun.

“Kita juga memerlukan perbincangan dengan semua pihak untuk membuat sebarang keterangan bertulis kerana ianya banyak syarat-syaratnya, jadi keterangan dalam sesi itu belum siap dicatat, jadi segala tindakan kita akan ambil kemudian,” katanya yang juga Speaker Dun Selangor.

Dalam persidangan SELCAT baru-baru ini, Yayasan Selangor mendapati ketirisan aset yayasan itu adalah tidak kurang daripada RM 500 juta berdasarkan kajian dari tahun 1991 hingga Mac 2008.

Turut didedahkan punca Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sebelum 2008 yang mengalami kerugian jangkaan pendapatan RM 20 juta setahun disebabkan pengurusan yang tidak cekap serta ketirisan.

Selain itu, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) turut mencatatkan perkembangan positif terutama dari segi jumlah jualan berdasarkan ringkasan prestasi tahun kewangan 2008-2012 dengan nilai tertinggi pada tahun 2011 sebanyak RM 84,413,801 daripada jualan 8,030,801 tan metrik pasir.

Categories
SELANGOR

KSSB Salur Keuntungan Untuk Kebajikan Rakyat Selangor

SHAH ALAM, 5 MAC: Ketua Pegawai Eksklusif KSSB, Ir Wan Abdul Halim Wan Ismail tampil memberikan penerangan kepada Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berhubung syarikat yang terlibat dalam operasi pasir Selangor di bawah kendalian Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Berdasarkan ringkasan Prestasi Tahun Kewangan 2008-2012 KSSB mencatatkan perkembangan positif terutama dari segi jumlah jualan.

Tahun 2011 mencatatkan jualan tertinggi dengan nilai RM84,413,801 hasil daripada jualan 8,030,801 tan metrik pasir.

Sebelum ini, KSSB mencatatkan jumlah jualan RM61,301,231 dengan 5,886,612 tan metrik pada tahun 2010 manakala pada tahun 2009 jumlah jualan yang dicatatkan adalah RM31,028,289 (1,771,792 tan metrik) dan hanya RM4,824,874 (220,139 tan metrik) pada tahun 2008.

Untuk sumbangan kepada kerajaan negeri pula, KSSB telah menyalurkan RM7,946,010 untuk tahun 2011 berbanding pada tahun 2009 dengan jumlah RM1,398,950 meskipun mengalami penurunan jumlah sumbangan RM630,800 pada tahun 2010.

“Untuk tanggungjawab sosial korporat pula, RM899,559 telah diperuntukkan untuk tahun 2011 sementara tahun 2010 hanya RM20,190.

“Bagi tahun 2009, sebanyak RM13,747 digunakan manakala RM9,886 untuk tahun 2008,” katanya.

KSSB mencatatkan penurunan cukai korporat hampir RM570,000 pada tahun 2011 dengan jumlah RM5,000,000 meskipun mencatat perolehan tinggi pada tahun 2010 dengan jumlah RM5,573,026.

Menjawab persoalan yang diajukan oleh Shaari Sungib pula, Wan Abdul Halim memaklumkan, sebanyak 46 kontraktor terlibat dalam operasi melombong pasir sehingga Januari 2012 dibawah kendalian KSSB.

Enam syarikat kontraktor telah dipilih untuk mengendalikan operasi di lombong KSSB dengan keluasaan kawasan yang telah ditetapkan.

Syarikat-sayrikat tersebut adalah Cheong Weng Trading dengan keluasan terbesar sebanyak 120 ekar diikuti Reach Eastern Resources Sdn Bhd dengan 100 ekar dan Plustrans dengan 80 ekar.

“Tiga lagi kontraktor yang terlibat adalah Transcend Heritage Heritage Resources dengan 50 ekar, Uruswajar Sdn Bhd 49 ekar dan Krizik (Malaysia) Sdn Bhd dengan keluasan 42 ekar,” katanya.

Bagi jenis lombong persendirian pula, Goldgraf Sdn Bhd mempunyai keluasan kawasan operasi terbesar dengan 91.39 ekar disusuli dengan Benteng Nusantara dengan 90 ekar dan telah tamat operasi pada 6 Januari 2012.

Sementara Marita Sdn Bhd dan APMG Sdn Bhd merupakan dua lagi kontraktor yang mempunyai jumlah keluasan kawasan operasi yang besar seluas 50 ekar.

Setiap metrik tan tanah operasi perlombongan lombong KSSB dijual pada harga RM5.00 hingga RM6.00 per tan dan untuk lombong persendirian pula dijual pada harga RM1.82.

Beliau turut menegaskan Syarikat Double Dignity Sdn Bhd merupakan syarikat yang tidak terlibat dalam operasi perlombongan pasir di bawah kendalian KSSB.

Menurut satu kenyataan KSSB sebelum ii, syarikat Double Dignity tidak berdaftar di bawah KSSB dan tidak boleh terlibat dalam aktiviti mengorek dan menjual pasir sama ada atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan.

Categories
SELANGOR

SELCAT: Kesal Dengan Tuduhan Tanpa Bukti

SHAH ALAM, 5 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) melahirkan kekesalan terhadap tindakan sesetengah pihak yang telah membuat kenyataan dan tuduhan terhadap penyelewengan dalam pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), namun tidak tampil mengemukakan sebarang bukti.

Pengerusinya, Datuk Teng Chang Kim berkata, SELCAT sebagai jawatankuasa dewan hanya berkuasa untuk membuat siasatan berdasarkan bukti yang dikemukakan, tetapi tidak mempunyai kuasa untuk membuat rampasan, sitaan dan menangkap orang perseorangan bagi mendapatkan keterangan.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pihak-pihak tertentu yang suka membuat tuduhan sama ada tehadap jabatan kerajaan mahupun anak-anak syarikat negeri Selangor untuk membentangkan bukti.

“Saya rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang telah membuat kenyataan dan tuduhan terhadap KSSB dan SELCAT, yang kononnya banyak bukti tetapi langsung tidak membantu pihak Selcat dalam pendengaran awam.

Kita memang mengalu-alukan bukti tersebut. Tanpa bukti tersebut, kita tidak dapat bergerak, sebaliknya hanya bergantung kepada bukti yang dibentangkan. Adalah lebih baik sekiranya kita mendapat laporan berhubung perkara berkenaan,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan pendengaran Awam Selcat pagi tadi.

Teng berkata, isu penyelewengan yang dibangkitkan terhadap KSSB ini tidak mempunyai laporan audit, sebaliknya hanya berdasarkan kepada laporan negatif oleh pihak tertentu.

Sementara bagi pendengaran awam ke atas Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang akan turut didengar pada hari berikutnya, ia bergantung kepada laporan audit yang disediakan.

Justeru jelasnya, tugas SELCAT akan menjadi lebih mudah kerana mendapat bantuan dan rujukan daripada laporan audit kedua-dua syarikat berkaitan (GLC) kerajaan Selangor tersebut.

Beliau dalam pada itu turut berharap supaya semua pihak dapat memahami dengan lebih mendalam lagi peranan sesebuah jawatankuasa dewan seperti Selcat yang hanya bertindak berdasarkan laporan atau bukti yang diterima.

“Ada menteri yang menuduh SELCAT ibarat mati hidup semula. Tapi sekurang-kurangnya Selcat hidup semula. Tapi menteri ini perlu tahu kalau di parlimen yang sudah bersidang lebih 50 tahun, jawatankuasanya seperti hidup segan mati tak mahu. Itu lagi teruk.

Tetapi dalam SELCAT kita dapat menjalankan beberapa pendengaran awam ke atas tuduhan-tuduhan terhadap jabatan kerajaan dan berdasarkan laporan audit kita berjaya mendedahkan penyelewengan dan kelemahan pentadbiran dalam kerajaan sama ada kelemahan itu berpunca daripada kerajaan dahulu atau sekarang tanpa perlu menyorokkan apa-apa,” tegasnya.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa terdapatnya kegiatan rasuah dengan pemberian permit perlombongan pasir dan mencabar kerajaan negeri untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Namun Noh tidak mengemukakan sebarang prosiding bagi membolehkan beliau memberi keterangan dalam sesi SELCAT.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Double Dignity Tidak Pernah Pohon Tender Pasir

SHAH ALAM, 5 MAC: Adun Batu Caves, Amiruddin Saari menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) berhubung isu perlombongan pasir di Selangor.

Katanya, perkara ini dianggap sebagai satu tuduhan tidak beberapa tepat dan berniat tidak baik kepada kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan).

Beliau turut memberitahu Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT), bahawa beliau tidak menggunakan sebarang pengaruh peribadi dan tidak mempunyai nombor telefon untuk berhubung dengan KSSB.

Berhubung pertalian beliau dengan syarikat Double Dignity Sdn Bhd (DDSB), beliau memaklumkan mula menyertai syarikat tersebut secara rasmi sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada September 2009 sebelum meletakkan jawatan pada Ogos 2011.

“Saya dijemput lebih kurang bulan 9 atau 10, saya tidak pasti, saya hantar kad pengenalan saya. Dalam perbualan awal itu setiap bulan diberikan elaun (bulanan) ahli lembaga pengarah sebanyak RM5,000.

“Sepanjang ingatan saya, saya menerima ealun sebanyak tiga kali yang saya minta untuk diselaraskan bermula bulan 1, 2 dan 3.

“Saya ada berbincang sebanyak dua atau tiga kali untuk kenal mengenai syarikat ini.

“Seingat saya Shuhaimi Shafie mengajak saya untuk menyertai syarikat ini dan memaklumkan kepada saya syarikat DDSB ini ingin melakukan perniagaan perladangan di Sabah,” katanya.

Jelasnya, elaun bulanan itu dibayar untuk bulan Oktober, November dan Disember.

Namun, selepas itu beliau diberitahu menjadi ahli lembaga pengarah secara rasmi bulan Januari.

Mengulas lanjut berhubung perlombongan pasir, beliau mendapat satu surat daripada individu bernama Adnan yang memberitahu menyatakan hasrat untuk melombong pasir.

“Beberapa hari selepas itu saya menghubungi saudara Shuhaimi dan beliau memberitahu pada perancangannya DDSB tidak akan terlibat dalam aktiviti melombong pasir.

“Jadi saya pesan kepada beliau, tolong beritahu saudara Adnan jangan majukan surat itu (perlombongan pasir) ke hadapan sebab kita mahu berbincang dengan lembaga pengarah,” katanya.

Beliau juga memaklumkan telah memberi kenyataan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai 2010 dan tidak dimaklumkan berhubung hasil siasatan.

Ketika menjawab pertanyaan Mohamad Azmin Ali, Ketua Pegawai Eksklusif KKSB, Ir Wan Abdul Halim Wan Ismail berhubung kewujudan surat sokongan dari mana-mana pihak untuk kegiatan melombong pasir, beliau berkata KSSB tidak menerima mana-mana surat sokongan dari mana-mana pihak.

Selain itu, Abdul Halim juga memaklumkan DDSB tidak pernah berdaftar atau memohon dengan KBBS dan tidak wujud langsung pemberian tender kepada DDSB untuk menjalankan kegiatan melombong pasir di Selangor.

Categories
SELANGOR

Noh Omar Tuduh KSSB Tanpa Bukti

SHAH ALAM, 5 MAC – Dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mengatakan berlakunya penyelewengan di dalam pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd disifatkan sebagai satu tuduhan yang sengaja dirancang untuk memberi imej buruk kepada kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda,Shuhaimi Shafie dalam sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) di SUK di sini hari ini.

Menurut Shuhaimi, tuduhan-tuduhan liar ini dibuat oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) kerana merasakan kedudukan mereka di Selangor semakin tergugat memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU-13) yang semakin hampir.

“Kenyataan yang mengatakan berlakunya penyelewengan dalam isu perlombongan pasir dikhuatiri ditulis oleh penulis upahan yang tidak berintegriti.

Ia merupakan satu tuduhan yang jelas mempunyai kaitan dengan rancangan untuk memburukkan imej kerajaan negeri,” tegasnya.

Tambah Shuhaimi, tuduhan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab itu juga tidak perlu dibangkitkan kerana KSSB tidak pernah melakukan sebarang penyelewengan seperti yang didakwa.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara ini akan terus dipanjangkan kerajaan Umno-BN bagi memberi pandangan negatif rakyat kepada pentadbiran kerajaan Selangor.

“Saya berkeyakinan bahawa tuduhan ini semata-mata dibuat kerana keadaan PRU-13 dan cerita yang ditulis oleh penulis upahan ini yang lari daripada tanggungjawab untuk menjawab soalan pada pendengaran awam.

Sekurang-kurangnya saya hadir untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan berbanding penulis blog yang membuat tuduhan tersebut,” tegasnya.

Pendengaran awam SELCAT kali ini melibatkan tiga kes GLC. Selain KSSB, kes yang melibatkan Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut akan didengar.

SELCAT dipengerusikan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Kim beserta empat penal yang terdiri dari Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (Hulu Klang), Haniza Talha (Taman Medan) dan wakil BN yang juga Adun Permatang Sulaiman Abd Razak.

 

Categories
SELANGOR

Pendengaran Awam Selcat isu pasir 5 – 7 Mac

SHAH ALAM 20 FEB : Jawatankuasa Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) akan mengadakan pendengaran awam bagi tiga kes pengurusan anak syarikat kerajaan Selangor termasuk yang mengendalikan perlombongan pasir.

Pendengaran awam tersebut akan di adakan pada 5 hingga 7 Mac dan sesiapa yang mempunyai maklumat tentang dakwaan berlaku penyelewengan di dalam kontrak pasir di Selangor, samada menteri, blogger atau individu, diminta tampil ke hadapan.

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Kim meminta orang awam memberi keterangan bertulis kepada Selcat supaya jawatankuasa itu boleh menentukan samada ia ada kaitan dengan kes-kes yang akan didengarkan nanti.

“Saya harap beberapa pihak yang mendakwa mereka mempunyai bukti penyelewengan dalam jabatan kerajaan atau Kumpulan Semesta atau PKPS atau Yayasan Selangor memaklumkan kepada pihak kami supaya kami dapat mengesahkan kaitan keterangan yang meraka akan berikan,” katanya di dalam satu sidang akhbar di sini.

Teng berkata tiga kes itu termasuk dakwaan ada penyelewengan di dalam pemberian kontrak perlombongan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB)

Tambahnya, Selcat juga akan memanggil pegawai tertinggi Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi memberi keterangan.

Yayasan Selangor dipanggil berkenaan satu laporan audit dalaman tentang perlantikan pengurus besarnya.

Manakala dua anak syarikat PKPS, PKPS Agro-industri dan PKPS Premium Agro Produks dipanggil berkenaan pinjaman RM180 juta yang diambil bagi membeli peralatan pertanian.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata beliau mempunyai bukti tentang penyelewangan kontrak pasir KSSB dan akan tampil memberikan keterangan kepada Selcat.

Teng menjelaskan tujuan pendengaran awam tersebut adalah bagi memperbaiki cara pentadbiran kerajaan selangor dan anak syarikat dibawahnya dan bukan untuk menyiasat atau mendakwa sesiapa yang salah.

“Bidang kuasa dan fungsi Selcat dan polis dan SPRM berlainan. Selcat bertumpu kepada pentadbiran dan pemantauan.”

“Kita lebih lihat dari segi pentadbiran untuk menentukan kebertanggungjawapan dan ketelusan.

“Sementara itu kalau ada orang yang melakukan kesalahan jenayah, samada di bawah bidang kuasa polis atau SPRM, maka mereka perlu jalankan siasatan berdasarkan undang-undang berkenaan.”jelas Teng lagi.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng Chang Kim: SELCAT Minta Noh Beri Keterangan

SHAH ALAM, 17 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bersedia pada bila-bila masa untuk mendengar keterangan dari Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berkata Noh boleh berhubung dengan jawatankuasa SELCAT bagi membolehkan beliau mengemukankan pendengaran dan pembuktian berhubung pelbagai isu.

“Bukan sahaja isu pasir malah apa sahaja isu boleh di kemukakan kepada SELCAT.

“SELCAT tidak memilih bulu dan segala tindakan juga tidak memilih sesiapa sama ada menteri, Menteri Besar atau perdana Menteri sekali pun.” ujar beliau ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut beliau, Noh perlu mengikuti prosiding yang ditetapkan supaya semua dapat berjalan secara lancar.

“SELCAT tidak akan memanggil Noh untuk memberi keterangan kerana SELCAT tidak akan menjadikan kenyataan media sebagai asas untuk memanggil seseorang untuk memberi keterangan.

“Sebagai sebuah institusi dibawah kuasa Dewan Undangan Negeri SELCAT tidak boleh bertindak berdasarkan kenyataan media Noh.

“Sekiranya Noh mahu memberikan keterangan dan membuktikan apa-apa berhubung apa sahaja isu, beliau dipersilakan untuk berbuat demikian.”kata beliau yang juga Speaker Dun Selangor.

Dalam kenyataan media semalam, Noh berkata beliau sendiri akan hadir dan tampil bersama saksi dan bukti kepada SELCAT.

Noh berkata beliau bersedia mematuhi syarat-syarat yang bakal dikemukakan kerajaan negeri sekiranya beliau gagal membuktikan dakwaan beliau.

Dua hari lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Ahli Lembaga Pengarah Bebas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) dan Transparency International bertemu Noh untuk mendapatkan keterangan dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Di Minta Sedia Dedah Isu Pasir Kepada TI

SHAH ALAM 15 FEB : Transparency Internasional (TI) akan menemui Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar bagi mendapatkan bukti dakwaannya sebelum ini berhubung penyelewengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam pengurusan pasir.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya memohon kerjasama badan itu bagi menemubual Noh untuk mencari kesahihan dakwaannya itu.

“Jika benar Noh Omar mempunyai bukti seperti mana yang didakwanya itu, beliau sewajarnya memberi kerjasama kepada TI dan segala kebenaran akan dibentangkan kepada umum kelak.

“Kami (Kerajaan Negeri) mengharapkan kerjasama itu berlangsung dengan baik,”katanya.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.                                                                                                                                                                                                                                               

Sebelum ini, pada Sabtu lalu Noh mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh KSSB dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Noh mendakwa daripada maklumat yang diperolehnya, sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50 sementara syarikat-syarikat lain hanya diberi potongan 50 sen sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli.

Menjawab dakwaan ini, Khalid berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan TI diberi kebebasan penuh untuk memantau syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu.

Menurut beliau pegawai SPRM dibenarkan memasuk secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

Selain itu, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau TI dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

Inisiatif ini dibuat kerajaan negeri bagi memastikan syarikat ini diurus secara telus dan bertanggungjawab.

“Saya sangat berharap Noh Omar bersiap sedia bertemu dengan wakil TI,”jelasnya.

Selain itu kerajaan negeri juga telah memperuntukan RM20 juta kepada orang ramai untuk mendedahkan pelbagai penyelewengan rasuah di Selangor.

 

Categories
SELANGOR

MB : Operasi KSSB Dipantau SPRM Dan Transparency International

SETIAWANGSA  10 FEB : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan Transparency Internasional diberi kebebasan penuh untuk memantau Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri.

Inisiatif ini dibuat kerajaan negeri bagi memastikan syarikat ini diurus secara telus dan bertanggungjawab.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pegawai SPRM dibenarkan memasuk secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

“Ketika KSSB dikritik pada 2009, saya mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan SPRM yang diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan dan menawarkan untuk menempatkan pegawai-pegawai di pejabat KSSB.

“SPRM menerima tawaran ini dan sejak itu pegawai dan kakitangan SPRM bebas keluar masuk ke pejabat KSSB,” katanya ketika mengulas dakwaan rasuah melibatkan operasi pasir di Selangor yang disiarkan di sebuah laman blog.

Menteri Besar berkata, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau Transparency International dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

“Kita meminta Transparency International mencalonkan dua nama untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB kerana kita berpendapat, sekiranya lantikkan dibuat oleh kerajaan negeri, individu berkenaan mungkin tidak berlaku bebas.

“Transparency International melantik Chong Seng Gee dan Sabtu Md Ali untuk menduduki jawatan Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu,” katanya sambil menambah, KSSB juga diaudit setiap suku tahun oleh juruaudit bebas.

Menteri Besar berkata beliau tidak akan menghalang sesiapa yang ingin memberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri komited dalam usaha memerangi rasuah di semua peringkat termasuklah menyediakan geran berjumlah RM15 juta yang disediakan dalam Bajet 2012 Selangor yang diumumkan pada November 2011 lepas.

Tambah beliau lagi, semasa perbincangan di dewan negeri bulan November lepas ada beberapa Adun membangkitkan rasuah dan salah guna kuasa berlaku dalam KSSB, terutama daripada pihak pimpinan Umno.

“Saya meminta dua orang pengarah daripada Transparency International untuk berjumpa dengan pihak Umno itu untuk meminta maklumat yang betul untuk menangkap orang-orang yang dikatakan berlaku melakukan rasuah,sampai sekarang tidak mendapati perkara itu,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

Double Dignity Tidak Di Daftar Di Bawah KSSB

SHAH ALAM 9 FEB : Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor, hari ini menafikan dakwaan bahawa syarikat Double Dignity (M) Sdn Bhd terlibat dalam industri pasir di Selangor.

Dalam kenyataannya kepada Tv Selangor berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2008, KSSB tidak pernah menerima permohonan daripada syarikat Double Dignity untuk menjalankan sebarang aktivviti melibatkan industri pasir di Selangor

“Syarikat Double Dignity tidak berdaftatr di bawah KSSB dan tidak boleh terlibat dalam aktiviti mengorek dan menjual pasir sama ada atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan,” katanya.

KSSB menambah, mereka bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bersedia untuk memberikan kerjasama kepada semua agensi pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Semalam, penulis blog Malaysiatimes, Raja Petra Kamaruddin mendakawa wujudnya penyelewengan dalam industri pengorekkan pasir di Selangor yang didakwa melibatkan beberapa dua ahli PKR.

Sementara itu sebuah portal Umno memaparkan dua Ahli PKR tersebut telah menubuhkan sebuah syarikat Double Dignity (M) Sdn Bhd bagi membuat permohonan mengorek pasir di Dengkil.

Bagaimana pun satu laporan kepada SPRM telah dilakukan pada 2010 namun tiada laporan penyelewengan dikeluarkan SPRM.

Kini isu tersebut dihidupkan kembali disaat pilihanraya umum yang kian hampir.