Mahfuz : Minta Penjelasan Menteri Syarikat Konsesi AES Menyamar JPJ

KUALA LUMPUR, 31 OKT – Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menuntut penjelasan daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kejadian penyamaran sebagai pihak berkuasa oleh syarikat konsesi Sistem Kamera Automatik (AES).

Penasihat Undang-undang KASE, Zulhazmi Shariff berkata, berdasarkan sumber yang diperolehi, Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd mewarnakan kenderaan mereka seakan-akan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik JPJ.

“Apa yang berlaku sekarang, maklumat yang kami terima, ATES dan Beta Tegap mewarnakan kenderaan milik syarikat sebagai warna seakan-akan warna JPJ.

“Letak logo JPJ, nama ‘Automated Enforcement System’ sedangkan kenderaan tersebut bukan kenderaan JPJ. Ini apa cerita?” katanya di lobi Parlimen.

Tegasnya, penyamaran sebagai pihak berkuasa ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam sidang media sama, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menggesa semua penerima saman AES agar tidak membuat bayaran kompaun sebaliknya hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Ini kerana KASE akan menyediakan peguam kepada mereka selain penggunaan peruntukkan undang-undang yang salah seperti dinyatakan dalam surat saman.

Tegasnya, kerajaan sepatutnya membatalkan semua saman yang mula dikeluarkan pada 13 Oktober lalu dan penangguhkan perlaksanaan AES seperti yang didesak sebelum ini.

“Kalau kerajaan masih tidak menarik balik saman ini, KASE menyeru kepada semua penerima saman ini agar tidak membayar kompaun.

“Sebaliknya ikut arahan ini (dalam surat saman) ke mahkamah. Kami bersedia menyediakan beberapa peguam bagi membantu mereka yang bersedia ke mahkamah.

“Peguam ini hanya untuk saman AES dan bukannya saman trafik,” katanya.

Surat saman AES yang dikeluarkan menyatakan kesalahan melanggar had kelajuan berada di bawah Seksyen 79 (2).

Seksyen berkenaan sebenarnya bukan berkaitan perlanggaran had kelajuan sebaliknya merujuk pada perlanggaran kepada mengabaikan terhadap arahan dan isyarat lalu lintas.

Dari segi hukuman pula, tidak ada kompaun minimum RM300 sebaliknya tidak melebihi RM 500.

“Undang-undang disini (dalam surat saman) yang digunakan pun pelik. Dia (surat saman) kata miinta kita hadir ke mahkamah sendiri atau diwakil peguam.

“Mana boleh pertuduhan yang ingin disebut di mahkamah diwakili peguam,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, kesalahan AES ini tidak akan melibatkan kesan disenarai hitam sebaliknya penerima boleh membuat saman balas seandainya mereka dikenakan tindakan sedemikian.

Beliau menambah, langkah penyelesaian di mahkamah ini dapat mengurangkan peluang kepada syarikat konsesi memperoleh keuntungan RM16 dari setiap saman yang dikeluarkan.

Categories
NASIONAL

Terus Laksana AES Mahfuz Usul Potong Gaji Menteri Pengangkutan

 

KUALA LUMPUR, 18 OKT : Enggan mengadakan rundingan dan mahu meneruskan Sistem Pelaksanaan Automatik(AES) menyebakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengemukakan usul pemotongan gaji RM10 terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha kepada Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mahfuz yang merupakan Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), beliau kecewa dengan kenyataan menteri seperti yang dipaparkan media semalam di mana kerajaan akan meneruskan sistem AES.

“Yang kita minta semakkan dan kajian semula sistem ini. Alasan yang diberikan tidak menunjukkan memandu laju menjadi punca kemalangan

“Isunya bukan soal had kelajuan, tapi soal sikap manusia,” katanya di lobi Parlimen.

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar dan Penasihat Undang-Undang KASE, Zulhazmi Shariff.

Zulhazmi dalam sidang media sama turut membangkitkan persoalan berhubung jawapan menteri yang menyatakan jumlah pelaburan yang dibuat oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd bernilai RM717 juta.

“Berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Red Flex, Australia, mereka mendapat kontrak (Beta Tegap) lebih 50 juta USD untuk 450 buah kamera kelajuan (speed cam) dan 140 buah kamera mobil.

“Jika ditukarkan kepada ringgit Malaysia jumlahnya RM151,544,578.

“Genoptik Robot dari Jerman bagi syarikat ATES pula bernilai 53 juta USD untuk ‘install’ 550 buah kamera dengan nilai RM160,656,496.

“Jika dicampurkan jumlahnya lebih kurang RM312,201,074 tetapi berdasarkan jawapan yang diberikan bezanya hampir RM404.7 juta,” soalnya.

Jelasnya, kenyataan menteri sebelum ini yang menyatakan AES bukan berkait dengan keuntungan nyata mengelirukan dan sehingga kini masih belum dijawab.

Categories
NASIONAL

Noh Omar Akui Kelemahan Kementeriannya

 

KUALA LUMPUR 17 OKT : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini mengakui kelemahan pihaknya dalam pengagihan subsidi beras kepada syarikat-syarikat yang mendapat kouta.

Dalam sesi penggulungan bagi kementerian pertaniannya di Dewan Rakyat, beliau berkata pihaknya kini dalam proses membuat kajian dan mencari mekanisma baru.

“Kita sedang mencari kaedah baru yang lebih memberi manfaat,” katanya.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika mencelah penggulungan itu meminta Noh menyenaraikan nama-nama syarikat yang mendapat subsidi beras dari kerajaan.

Mahfuz berkata seharusnya Kerajaan Pusat mengkaji semula pemberian subsidi beras yang dilihat lebih menguntungkan syarikat pemborong berbanding rakyat kebanyakan.

Malah jelasnya, penyelewengan pemberian subsidi beras bukan perkara baru dan meminta kerajaan mengambil tindakan ke atas mereka yang mendapat kuota kemudian menjual semula subsidi itu.

“Saya pernah sebut sebelum ini, kerajaan kena kaji semula. Kenapa tidak beri subsidi lima peratus, semua orang dapat beli tidak ada lagi syarikat yang akan ambil keuntungan,” katanya.

Menjawab permintaan Mahfuz itu, Noh berkata pihaknya bersedia memberikan senarai lebih 30 syarikat yang terlibat itu.

“Saya boleh bagi senarai syarikat itu, tapi Yb (Pokok Sena) berjanji dengan saya akan bagi tahu syarikat mana yang tidak layak menerima kuota itu.

“Saya lagi suka. Saya minta Yb Pokok Sena tolong kita,” kata Noh.

Tahun ini kerajaan memperuntukan sebanyak RM 528 juta subsidi beras dan penggunaan beras sebanyak 180,000 tan metrik di seluruh negara.

Categories
NASIONAL

Mahfuz “: Kerajaan Perlu Tangguhkan AES


KUALA LUMPUR, 12 OKT : Kerajaan Pusat perlu membuktikan kawasan dipasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah lokasi yang sering berlaku kemalangan sebelum memasang sistem itu.

Berdasarkan tinjauan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) di beberapa laluan lebuhraya mendapati kawasan yang hendak dipasang kamera AES diragui pernah berlaku kemalangan.

Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar berkata perbincangan perlu diadakan di antara kerajaan pusat dan persatuan pengguna, persatuan pengendali pengangkutan awam dan komersial sebelum melaksanakan AES.

Kerajaan perlu mengemukakan bukti kawasan yang dipasang AES pernah berlaku kemalangan dan memberikan statistik dan kadarnya.

“Dari senarai yang ada, terdapat kawasan 30 km sejam, 60 km sejam dan 70 km sejam yang akan dipasang kamera AES.

?Kerajaan perlu buktikan kawasan itu ada berlaku kemalangan kerana kita ragui perkara itu.

Takkan kawasan 30 km sejam ada berlaku kemalangan? Apa yang nak berlanggar, kura-kura dan ular sawa ka?  Atau  kereta lembu?,” soalnya yang juga MP Pokok Sena semalam di dalam sidang media di lobi Parlimen.

Categories
NASIONAL

Didakwa Beri Tender Padi Kepada Kroni : Noh Digesa Lepas Jawatan Menteri

SHAH ALAM, 9 OKT: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar digesa meletakkan jawatan berikutan tiada ketelusan dan wujud skandal meragukan dalam proses tender membekalan benih padi oleh kementerianya.

Skandal benih padi negara itu melibatkan tender bernilai RM164.8 juta yang diserahkan kepada beberapa pembekal yang tidak memenuhi kriteria serta mempunyai kaitan dengan individu tertentu dalam Umno.

“Terdapat dua syarikat yang dapat lebih separuh dari kouta keseluruhan iaitu Seri Merbok Sdn Bhd yang pengarahnya Datuk Rais yang juga bekas exco Negeri Sembilan dapat 22,000 tan dan satu lagi, Hj Mohd Noor Sdn Bhd yang dapat 20,000 tan,” demikian menurut Adun Sekinchan, Ng Sue Lim ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Menurut Sue Lim lagi, anak kepada pemilik syarikat Hj Mohd Noor Sdn Bhd, Ahmad Fuad Mohd Noor pula merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor.

Selain dikaitkan sebagai milik kroni Umno, kemampuan dua syarikat tersebut menyediakan jentera, kewangan, peralatan dan kemahiran dalam proses penyediaan benih padi juga diragui sekaligus dibimbangi mampu mencetuskan krisis bekalan makanan negara.

Sebelum ini dalam satu laporan Malaysiakini yang turut disertakan keputusan pemenang tender membekal benih padi negara mendedahkan terdapat lapan syarikat lain yang turut berjaya memenangi tender, masing-masing memperolehi kurang 10,000 tan.

Antaranya Felcra Plantation Service Sdn Bhd, Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu dan Syarikat Perniagaan Peladang Sdn Bhd (MADA) yang masing-masing hanya memperolehi 8,000 tan dan sementara baki lima syarikat lain memperolehi sekitar 2,000 hingga 3,000 tan.

Rabu lalu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendedahkan satu salinan surat bertarikh 20 Julai 2012 yang mendedahkan berlaku ketidaktelusan dalam urusan pemberian tender berkenaan.

Surat yang ditandatangani oleh bahagian perolehan kerajaan Kementerian Kewangan dan dialamatkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Prosedur Kompaun AES Kelirukan Rakyat

SHAH ALAM, 6 OKT : Kerajaan Pusat diminta memperkenalkan satu mekanisme baru berkenaan notis kompaun pesalah trafik Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negara ini supaya tidak membebankan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (KASE), Datuk Mahfuz Omar berkata, prosedur yang jelas mengenainya perlu ada agar tidak timbul kekeliruan di kalangan orang ramai.

“Bila rakaman imej itu diperolehi, kerajaan kata akan terus keluarkan notis saman sedangkan notis itu sebenarnya adalah notis bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta kepastian samaada betul atau tidak betul imej yang dirakam itu adalah pesalah yang sebenar.

“Maka kerajaan tidak boleh terus mengatakan bahawa individu itu mesti ditawarkan kompaun. Tidak boleh begitu, ia mestilah selepas ada pengesahan bahawa seseorang itu mengaku itu imejnya barulah individu terlibat boleh ditawarkan untuk bayaran kompaun atau didakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Rahim Bakri bahawa AES sudah merakamkan 63,558 imej pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat di 14 lokasi panas dari 23 September hingga 30 September lalu.

Abd Rahim juga menjelaskan semua imej tersebut sedang dalam proses semakan dan pengesahan JPJ sebelum saman dikeluarkan.

Mahfuz berkata, persoalan mengenai pelaksanaan AES itu sudah dibangkitkan banyak kali terhadap kerajaan di Parlimen namun sehingga kini ia belum diperjelaskan.

Katanya, pengguna kebiasaan menghadapi masalah ketika waktu puncak di mana anggota polis mengawal lalu lintas serta persimpangan lampu merah.

“AES yang dipasang di simpang lampu merah, bagaimana pada waktu puncak dan ada empat simpang serta polis akan datang untuk mengawal laluan. Lampu tidak digunakan dan pengguna jalan raya perlu mengikut arahan polis.

“Pada waktu itu ada lampu yang berwarna merah, kalau kita langgar lampu merah bermakna kita melakukan kesalahan. Kalau polis suruh jalan waktu lampu warna merah dan kita tidak ikut arahan polis, kita juga dianggap salah. Ini satu penganiayaan kepada pengguna,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan juga diminta menjelaskan berhubung status AES tersebut dan pihak mana yang mengelola atau mengawalnya.

Tambahnya, kerajaan menetapkan Kementerian Pengangkutan dan JPJ adalah sebagai pemilik maka ia melibatkan penggunaan wang ringgit sedangkan sebelum ini kerajaan mengatakan tidak mengeluarkan satu sen pun sebaliknya ia dilakukan secara penswastaan kepada dua syarikat.

“Sehingga hari ini kita masih belum mendapat kepastian tentang dua syarikat tersebut maka kerajaan harus beritahu secara jelas apa kedudukan sebenarnya mengenainya. Jika ia dibangunkan oleh dua syarikat in maka sudah tentu ada satu perjanjian antara kerajaan dengan mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

“Bajet Gula-gula Pilihanraya” – Reaksi Pakatan Rakyat Kepada Belanjawan Pusat 2013


KUALA LUMPUR, 28 Sept : MP Pakatan Rakyat menyifatkan belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Kerajaan Pusat hari ini sebagai ?belanjawan pilihanraya? yang bertujuan membeli sokongan rakyat dengan banyak pemberian secara sekali atau ?one-off?.

Antara pemberian ?one-off? di dalam belanjawan itu adalah memperbesarkan Bantuan Satu Malaysia (BR1M) kepada individu bujang sebanyak RM 250 sebulan dan rebat RM 200 telefon pintar untuk belia berumur 21 -30 berpendapatan RM 3,000 ke bawah.

Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak, berjumlah RM 251.6 bilion.

Defisit negara daripada perbelanjaan belanjawan itu dianggarkan pada paras empat peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2013.

Manakala Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat yang diumumkan pada Sept 26, memperuntukkan RM 234 bilion dengan defisit yang berjumlah 3.5 peratus dari KDNK.

Berikut adalah petikan respons dari MP Pakatan :

MP Sungai Petani Johari Abdul 

?Ianya lebih kepada bajet betul-betul untuk PRU. Kita jangka PRU akan berlangsung Februari depan.

?Maknanya Januari org akan dapat BRIM termasuk orang muda, kemudian PRU akan diumumkan.?

 

 

 

 

 

MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad

“Jelas bahawa bajet PM seolah-olah tidak mengambil latar belakang fizikal dan hanya disusun untuk mendapatkan undi.

“Perbelanjaan sepatutnya bertanggungjawab dan ini sebaliknya (bajet Kerajaan).

“Segala pemmberian ‘one off’ bermakna Najib hanya mahukan undi untuk PRU.?

 

 

MP Kubang Kerian Salahuddin Ayub  

“Asas kekuatan ekonomi tidak disentuh secara kukuh dalam bajet kali ini.

“Kena kembali kepada asas dan pecahkan sistem monopoli.

“Bajet PR lebih bersifat fundemental dan punya objektif yang kukuh untuk menyelesaikan masalah rakyat jika memilih PR.?

 

 

 

MP Pokok Sena Mahfuz Omar

“Bajet panik kerajaan kerana ianya berasaskan pemberian yg diumumkan dan diakhirnya memang menyeru harapan rakyat supaya bagi peluang kepada Umno-BN sekali lagi.

?Kerajaan panik dengan gelombang kebangkitan rakyat. Bajet yang tidak mengenengahkan reformasi kepada struktur ekonomi.

“Ada lagi unsur ketirisan dan nak kayakan kroni bukan untuk rakyat. Dengan hutang negara telah mencecah RM476billion hutang negara, kerajaan masih tidak mengemukakan langkah untuk membawa pulang semula RM1.08 triliion ke dalam negara.?

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kabinet Bayangan Bukan Pra-Syarat Untuk Memerintah

SHAH ALAM, 21 SEPT : Kabinet Bayangan bukanlah suatu pra-syarat utama bagi menjamin sebuah pemerintahan yang cekap dan baik.

Sebaliknya Pakatan Rakyat (PR) yakin mampu mentadbir negara ini dengan baik seperti yang ditunjukkan di empat negeri pimpinan mereka iaitu Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, semasa diberi mandat memerintah keempat-empat negeri berkenaan, PR tidak mempunyai kabinet bayangan, namun membuktikan pimpinan mereka jauh lebih baik berbanding Kerajaan Umno-BN.

Beliau berkata, kejayaan PR turut diperakui Ketua Audit Negara yang menunjukkan kecekapan pengurusan wang serta penambahan hasil negeri berdasarkan tatakelola yang baik dan cekap.

“Waktu kita menang PRU-12, kita tidak mempunyai kabinet bayangan untuk menentukan siapa Menteri Besar atau barisan exco. Saya anggap isu kabinet bayangan bukan satu kepentingan kerana pemerhati politik ini mempunyai pemikiran dangkal. Mereka merujuk kepada politik luar seperti Amerika Syarikat.

“Pada pandangan saya, pemerihati politik perlu melihat skop yang lebih luas kerana sistem pemerintahan negara luar amat berbeza dengan negara kita,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Terdahulu, pemerhati politik menyatakan keraguan mereka bahawa PR masih lagi belum bersedia memandangkan terdapat lagi beberapa perkara yang tidak diselesaikan pakatan pembangkang tersebut, antaranya isu Hudud dan juga kabinet bayangan mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, PR menyandarkan perkara berkenaan kepada kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk membuat penilaian.

Beliau berkata, rakyat berhak untuk membuat pilihan sama ada mengekalkan pemerintahan Umno-BN atau memberi peluang kepada PR yang menunjukkan prestasi lebih baik apabila diberi mandat membentuk kerajaan di empat buah negeri.

Malah katanya, PR telah tampil dengan polisi yang mudah difahami rakyat selain mempunyai barisan pimpinan yang profesional dan bertenaga.

“Daripada 2008, apabila PR dibentuk kita dapat kemukakan beberapa polisi dan dasar yang boleh dinilai oleh rakyat iaitu pendidikan percuma dan menurunkan harga minyak yang bertujuan untuk mengurangkan kos kehidupan rakyat.

Kita juga perkenalkan polisi menurukan duti eksais kenderaan yang mana tidak boleh Umno-BN persoalkan dasar PR jika ingin memerintah negara. Malah kita mempunyai penampilan pemimpin yang lebih memikat dan bersedia untuk mengambil alih pemerintahan negara,” katanya.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : MPN Tidak Perlu Tentukan Siapa Jadi PM

 

KUALA LUMPUR 28 JULAI: Kaji selidik yang dijalankan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) terhadap kedudukan pemimpin politik dan parti tertentu di negara ini dianggap sebagai tidak perlu.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut tengahari tadi, MPN sepatutnya menumpukan kajian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat negara ini.

“Apa perlunya dan kenapa MPN perlu kaji siapa bakal Menteri Besar, siapa bakal Perdana Menteri?

“Sepatutnya MPN tumpukan kepada kajian yang lebih manfaat kepada masyarakat negara ini,” kata beliau.

Selain itu, Mahfuz turut memberitahu projek kaji selidik itu dijalankan dengan dibiayai oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Saya juga hairan, kenapa NCER pula yang taja kaji selidik ini, apa agenda mereka sebab sepatutnya mereka tumpukan usaha pembangunan di wilayah utara.

“Adakah untuk membantu populariti ahli politik tertentu?” Kata Mahfuz lagi.

Mahfuz menolak tanggapan bahawa beliau menolak keputusan kaji selidik itu disebabkan ianya tidak menyebelahi Pakatan Rakyat.

“Keputusan kajian itu bercampur-campur sebenarnya, tak menyebelahi Pakatan Rakyat dan tidak juga BN.

“Saya hormati hasil kajian itu dan pada masa sama kita akan terus memperkukuhkan jentera parti,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Mahfuz: Empat Pengarah Ditukar Gara-Gara Menteri Gagal ‘Gembirakan’ PM

KUALA LUMPUR 28 JULAI: Gara-gara sambutan suram terhadap ucapan Perdana Menteri dalam perhimpunan Hari Koperasi Negara 2012 baru-baru ini, empat Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri di empat buah negeri diarahkan berpindah ke negeri lain.

Surat arahan yang dikeluarkan dalam notis singkat itu diserahkan kepada empat pengarah tersebut dua hari selepas sambutan Hari Koperasi yang dianggap gagal dan mengecewakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Datuk Seri Ismail Sabri sebagai menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Pembangunan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna harus menjawab perkara ini.

“Mengapa beliau mengarahkan pertukaran empat Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri bagi negeri Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang hanya semata-mata beliau gagal mengembirakan PM,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Empat Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri yang terbabit adalah, Pengarah bagi negeri Pahang, Zazali Harun, Osman Ismail (Terengganu), Zainun Hamzan Setapa (Kedah) dan Suhaimi Abd Rahman (Negeri Sembilan).

Selain empat nama tersebut, Pengerusi Eksekutif, Yusuf Shamsuddin dan Timbalan Pengerusi Lembaga Koperasi Malaysia, Hajah Hawa Mohd Saleh juga bakal dikenakan tindakan.

Mahfuz menganggap keputusan itu sebagai keputusan yang tidak menghormati kakitangan awam yang sedaya upaya melaksanakan tugas mereka dengan baik.

“Adakah kerana pengarah tersebut dianggap gagal membawa orang ramai datang ke sambutan itu menyebabkan mereka ditukar?” kata Mahfuz lagi dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur tengahari tadi.

Mahfuz turut memberitahu, pihak kementerian menyasarkan seramai 100 ribu orang akan hadir dalam sambutan tersebut.

Bagaimanapun bilangan orang ramai yang hadir pada hari itu terlalu jauh dari sasaran sekaligus menimbulkan kekecewaan Najib.

Selain jumlah kedatangan orang ramai yang menghampakan, audien juga bertindak dengan memalukan Najib apabila membunyikan ‘air horn’ dan tidak mempedulikan Najib ketika menyampaikan ucapan.

Menurut Mahfuz, dalam majlis itu, Najib tepaksa meminta orang ramai dalam majlis agar diam ketika mendengar ucapan beliau.

Malah ramai peserta perhimpunan tersebut telah bertindak meinggalkan dewan ketika Najib masih sedang berucap.

Ekoran itu, Ismail Sabri dikatakan terpaksa memohon maaf kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas.

Categories
SELANGOR

Mahfuz : Kelantan, Kedah Tak Pernah Serah Tanah Kepada FGVH

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kerajaan Kelantan dan Kedah di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat tidak pernah bersetuju menyerahkan tanah rancangan Felda kepada Felda Global Venture Holding Bhd (FGVH) seperti yang tertera dalam propektus yang diterbitkan syarikat tersebut.

Demikian menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam satu sidang media di Lobi Dewan Rakyat hari ini.

“Kerajaan Negeri Kelantan dan Kedah tidak pernah setuju serahkan tanah kepada FGVH.

“Malah saya diberitahu perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz memberitahu beliau telah menyarankan agar kerajaan kedua-dua negeri terbabit agar mengkaji tindakan yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri terbabit terhadap FGVH.

“Suruhanjaya Sekuriti boleh mengambil tindakan terhadap FGVH atas memberi maklumat tak tepat, palsu kepada pelabur,” katanya lagi.

Sementara itu dalam sidang media sama, Mahfuz turut membidas pemilihan slogan Sambutan Hari Kebangsaan 2012, ‘Janji Ditepati’ yang menurutnya jelas berbaur politik.

Mahfuz menganggap slogan yang dipilih lebih mirip kepada kempen BN dalam pilihan raya.

“Sebelum ini slogan ‘Kerana Mu Malaysia’ dapat dijiwai oleh seluruh lapisan masyarakat, tetapi sekarang kerajaan gagal pilih tema yang dapat meresap ke jiwa seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

PAS Minta Penjelasan PM Berhubung Penamatan Perkhidmatan Abu Bakar

 

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: PAS hari ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan berhubung penamatan perkhidmatan Tan Sri Abu Bakar Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai lalu.

Tuntutan penjelasan tersebut terkandung dalam surat kepada Najib yang diserahkan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz di parlimen pagi tadi.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, perkhidmatan Abu Bakar ditamatkan melalui pemakluman sepucuk surat yang ditandatangi Najib sendiri.

“Kami difahamkan bahawa Tan Sri Abdu Bakar Abdullah berumur 57 tahun dan beliau baru sahaja menandatangani persetujuan melanjutkan tugas sehingga umur persaraan wajib 60 tahun mengikut polisi baru kerajaan.

“Bagaimanapun pun beliau dengan tiba-tiba telah ditamatkan perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam tanpa sebarang alasan diberikan,” menurut petikan surat yang diedarkan dalam sidang media yang diadakan di perkarangan Dewan Rakyat petang tadi.

Mahfuz memberitahu penamatan perkhidmatan tersebut menyebabkan Abu Bakar tidak akan memperolehi manfaat sebagai pesara kerajaan lain seperti menerima pencen bulanan dan lain-lain.

Penamatan Abu Bakar dibuat mengikut Peraturan 49 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atas dasar kepentingan awam serta gagal tapisan keselamatan.

“Persoalan yang timbul apakah maksud kepentingan awam serta keselamatan negara yang membolehkan peraturan tersebut digunakan dalam penamatan perkhidmatan Abu Bakar sebagai Ketua pengarah Perkhidmatan Awam? soal Mahfuz.

Sekiranya Abu Bakar benar-benar ada melakukan jenayah yang mengancam keselamatan dan kepentingan awam, maka satu tindakan tegas perlu diambil, bukan sekadar menamatkan perkhidmatan beliau, katanya.

Bagaimanapun, menurut Mahfuz, Najib harus mengkaji semula keputusan tersebut sekiranya penamatan perkhidmatan Abu Bakar dibuat bagi menutup kesalahan pihak lain dalam membuat keputusan kontroversi isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

“Dalam isu SPBA, bukan Abu Bakar sahaja yang membuat keputusan, tetapi diputuskan setelah dibuat kajian dan mesyuarat.

“Tak wajar kesalahan tersebut hanya dia seorang sahaja yang menanggungnya,” ujar Mahfuz lagi.

Selain itu, isu perlantikan Datuk Seri Dr Ali Hamsa sebagai KSN yang baru menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang berkuatkuasa pada 24 Jun baru-baru ini turut mendapat perhatian PAS.

“Kenapa Datuk Seri Dr Ali Hamsa dilantik ke jawatan Ketua Setiausaha Negara dan bukannya Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

“Tan Sri Abu Bakar Abdullah merupakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebelum ditamatkan perkhidmatan beliau.

“Semasa menjawat jawatan tersebut beliau memegang Gred Turus 2 berbanding Datuk Seri Dr. Ali Hamsa yang hanya memegang Gred Turus 3.

“Adalah menjadi amalan biasa perkhidmatan awam negara, pegawai tertinggi kerajaan akan dinaikkan pangkat mereka mengikut gred dan juga kekananan jawatan,” menurut petikan surat itu lagi.